Rabu, 27 Januari 2010

Jodoh

Kini saya berumur 21 tahun. Masa berlalu dengan pantas sekali. Semakin meningkat usia juga, maka semakin meningkatlah tahap kematangan. Begitu jugalah yang berlaku dalam diri saya ketika ini. Apabila saya memasuki 21 tahun, banyak perkara baru yang selama ini saya rasakan masih terlalu awal untuk dibicarakan kini dilihat sudah sampai pada waktu yang sesuai untuk diperkatakan. Saya maksudkan di sini ialah bicara mengenai soal jodoh yang mula menerjah dalam kotak fikiran saya sejak kebelakangan ini.

Jika ditanya adakah masih terlalu awal untuk berbicara mengenai soal jodoh ini, maka sebenarnya bukanlah sesuatu yang terlalu awal lagi. Malah ada beberapa rakan saya kini telah mula merancang soal jodoh masing-masing malah ada yang telahpun menemui jodoh yang dicari. Ada yang kini mula merancang, menjelang usia 23 tahun, mereka akan mendirikan rumah tangga. Huh, saya rasa macam tak percaya kerana kini saya berada dalam usia yang memang sesuai untuk memperkatakan soal jodoh. Jadi terlintas pula di fikiran saya, adakah saya juga telah mula memikirkan akan soal ini.

Ramai yang bercakap, untuk mencari jodoh itu, maka berpasanganlah dahulu yakni bermulalah dahulu dengan satu hubungan yang dinamakan hubungan cinta. Namun, saya terfikir, adakah itu satu kewajipan yang memang perlu dilakukan oleh semua orang? Saya fikir tidak kerana bukan semua yang berkahwin itu akan melalui proses hubungan cinta dahulu. Ada sesetengah mereka hanya mula bercinta apabila telah diikat sebagai pasangan suami isteri yang sah. Jadi timbul satu soalan dalam diri saya, adakah saya tidak perlu untuk bercinta?

Sebenaranya mengikut pengetahuan yang saya tahu, kebanyakan ulama menghalang umat Islam untuk bercinta dengan orang lain. Cinta yang saya maksudkan di sini ialah hubungan cinta antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Terdapat beberapa alasan yang diberikan untuk menyokong hujah tersebut. Hujah yang paling kuat yang mengukuhkan larangan tersebut adalah bertujuan untuk menghalang daripada terbukanya pintu-pintu zina. Saya akui dengan hujah ini kerana apabila seseorang mula menjalinkan hubungan cinta dengan seseorang, pelbagai perkara yang haram mula dilakukan. Bolehlah dinyatakan beberapa perkara ‘normal’ yang biasa dilakukan bagi pasangan bercinta seperti berbalas sms, berbual melalui telefon, keluar bersama-sama atau lebih tepat berdating, menonton wayang, makan bersama dan banyak lagi perkara yang diharamkan dilakukan oleh pasangan bercinta.

Bersms dengan bukan mahram adalah sesuatu yang tidak digalakkan dalam Islam kerana perkara itu boleh membuka pintu zina. Malah perkara ini juga pasti akan membazirkan masa dan wang sebenarnya. Begitu juga dengan berbual menerusi telefon, itu juga adalah haram kerana suara itu adalah aurat bagi wanita dan suara wanita itu mampu mencetuskan rasa sehingga terdorong ke arah penzinaan. Namun, bersms dibolehkan jika terdapat perkara yang penting untuk dimaklumkan begitu juga dengan bercakap melalui telefon hanya dibolehkan jika terdapat perkara yang penting sahaja untuk diberitahu. Perkara lain seperti berdating tidak perlulah dihuraikan lagi kerana perkara itu memang terang-terangan adalah haram.

Jadi saya simpulkan bahawa tidak perlulah untuk saya bercinta. Cukup sekadar tertarik pada seseorang itu dan kemudian terus menyimpan niat untuk menjadikan dia sebagai isteri yang sah satu hari nanti. Namun ada yang berkata, bercinta ni membolehkan kita mengenali hati budi dengan lebih dalam supaya pilihan kita itu tak salah. Hehe, betul ke macam tu? Saya rasa tak, kerana Saidatina Khadijah pun tak pernah bercinta dengan Rasulullah sebelum berkahwin namun boleh juga mengenali dengan lebih mendalam mengenai Rasulullah. Islam ada caranya, cuma kita yang tak pedulikannya. Budaya yang dibawa Barat itulah yang lebih menarik perhatian kita. Maklumlah, Islam nak kena moden, jadi hidup kena moden jugak macam barat... Yalah betullah tu, nak moden punya pasal sampai banyak gadis membunting tak berbapa. Biasalah, hidup nak moden....

Saya bukanlah golongan ustaz yang tahu serba-serbi bab hukum dan hakam. Tapi saya adalah insan biasa yang cuba mengikut kehendak Islam yang sebenar. Bukankah itu merupakan kewajipan untuk setiap umat Islam? Patuh pada segala yang dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis.. Namun tak ramai yang benar-benar mahu mengikut landasan Islam yang sebenar. Begitu juga dalam bab pergaulan, saya juga bukanlah sempurna untuk menyatakan bahawa saya tak pernah buat apa yang dilarang dalam Islam. Kadang-kadang kita boleh alpa seketika dek terpesona dengan keseronokan dunia. Namun apa yang penting, kesedaran harus ada supaya tidak lagi mengulangi kesilapan tersebut.

Berbalik kepada soal jodoh tadi, saya memang akui kini memang saya telah menetapkan satu sasaran untuk ke arah itu. Orangnya pun telah ada maka sasarannya pun telah ditetapkan. Namun cukuplah untuk saya bicarakan bahawa perjalanannya masih terlalu panjang. Saya baru mengatur langkah pertama sedangkan banyak lagi langkah perlu dilakukan. Soal sama ada mampu saya capai hasrat itu bukanlah mampu untuk saya jawab. Semua itu di luar kemampuan saya untuk mengetahuinya. Cukuplah untuk saya lakukan setakat di dalam kemampuan saya iaitu melakukan usaha setakat yang saya mampu, dan pada masa yang sama tidak akan putus-putus berdoa supaya hasrat murni saya itu akan tercapai. Soal sama ada termakbul atau tidak, itu hanya Allah sahaja yang tahu.

Ada yang bertanya pada saya, siapakah gerangan orang itu? Dah lama kenal atau baru sahaja berkenalan? Saya tak akan jawab soalan itu kerana bagi saya cukuplah sekadar hanya saya sahaja yang tahu akan perkara ini. Ada juga yang bertanya, adakah saya telah memperkatakan perkara itu pada gerangan orang tersebut? Saya tak menjawab juga namun saya tahu yang memang saya dah nyatakan. Jadi mungkin nanti ada orang bertanya, apa yang dia kata? Saya juga tak akan jawab pertanyaan itu. Malah saya sendiri tak pernah terfikir nak mintak orang itu menjawab pertanyaan saya. Bagi saya saya cuba mahu beritahu bukan mahu untuk ingin tahu. Maksudnya saya bukan mahu ingin tahu jawapan dari dia terhadap apa yang telah saya beritahu, saya cuma hanya mahu beritahu niat saya itu saja.

Mungkin nanti akan ada yang bertanya, kenapa perlu beritahu dia? Bukan masih terlalu awal? Mudah sahaja jawapannya. Saya tak mahu menjadi manusia yang berada dalam topeng sepanjang masa. Apa sahaja yang saya rasa, maka itulah akan saya cuba nyatakan pada dia tambah-tambah jika hal itu memang berkait dengan dia. Jadi, istimewakah hamba Allah ini? Ya, seorang wanita mungkin boleh jadi cukup istimewa buat saya, namun yang pasti saya tidak pula mahu mengangkat dirinya sehingga memujanya sepanjang masa. Cukup sekadar saya nyatakan bahawa saya hanya berniat untuk menjadikan dirinya sebagai isteri yang sah. Jadi salahkah niat saya itu? Memang tak salah kerana Islam tak pernah melarang. Carilah dalam mana-mana kitab pun, tak ada yang menyatakan bahawa niat untuk jadikan seseorang itu sebagai seorang isteri adalah salah. Kalau salah pun mungkin kerana wanita itu isteri orang, hehe.. memanglah tak boleh kalau ada niat pada orang macam tu.

Ada yang cuba mengorek rahsia yang memang saya tak akan ceritakan ini. Mereka ingin tahu, siapakah wanita ini. Saya cuma nyatakan, wanita ini bukan teman istimewa saya malah tak pernah untuk ke arah itu yakni untuk hubungan istimewa tersebut. Saya kawan dia? Mungkin juga atau mungkin dia sekadar kenalan biasa saya? Mungkin juga. Jadi siapa namanya? Jawapan saya mudah sahaja, yang pasti namanya pasti ada kalimah ‘binti’. Di mana dia berada? Di mana-mana sahaja bumi Allah, mungkin itulah tempat dia berada. Berapa usianya? Yang pasti umurnya tak jauh dari saya dan tak banyak bezanya. Muda atau lebih tua? Mungkin soalan ini saya pilih ‘atau’? hehe..

Saya hanya boleh simpulkan bahawa dia juga pelajar seperti saya. Mungkin tak sama tempat belajar, namun tujuan masih sama iaitu menuntut ilmu. Memang saya dah kenal lama, itu saya tak nafikan. Memang saya tahu tempoh saya kenal dia bukan tempoh yang singkat tapi satu tempoh yang lama. Cukuplah sekadar saya katakan tempohnya itu sejak adik perempuan saya baru belajar untuk meniarap sampailah adik saya dah mampu berlari untuk ke sekolah sekarang. Jadi bukankah lama tempoh itu? Lama atau tak, sehingga kini saya masih dapat berhubungan dengan dia. Alhamdulillah semua itu izin Allah juga.

Apabila bicara mengenai jodoh, banyak cerita, banyak kisah. Saya tak tahu bagaimana pula kisah saya kerana saya kini sedang berada dalam kisah itu. Saya kini sedang menyusun langkah namun tak tahu sama ada langkah itu betul atau tidak. Saya juga tak tahu sama ada sasaran saya tepat atau tidak. Saya juga tak tahu sama ada semua ini akan tercapai atau tidak. Semua itu hanya dalam pengetahuan Allah yang tak mungkin saya dapat ketahuinya.

Langkah yang saya lakukan kini terlalu kecil. Saya sedar saya manusia lemah namun saya tahu atas kelamahan itulah membuatkan saya lebih mengingati Allah supaya saya sentiasa bermohon dan berdoa kepada-Nya meminta pertolongan. Apakah usaha yang saya lakukan itu? Saya hanya mampu untuk terus berhubungan dengan dia. Walaupun sedikit usaha itu, namun saya harap usaha saya itu berbaloi.

Kemudian banyak pula soalan yang menerjah pada saya bila saya bicarakan soal jodoh ini. Dah ada perancangan nak berkahwin ke? Wah, soalan tu memang kasar bunyinya kerana saya tahu memang saya tak ada kemampuan lagi. Tapi semua orang tak akan nafikan yang memang mereka akan ada perancangan untuk itu bukan? Macam rakan saya semasa di tingkatan 5 dulu, katanya pada waktu itu, dia sekarang mahu belajar bersungguh-sungguh supaya nanti akan dapat masa depan yang cerah dan yang paling dia mahukan adalah supaya dia dapat berkahwin tanpa sebarang masalah. Bukan apa, masa tu dia dah ada calon pun. Niat itu tak salah, langkah yang dibuat itu betul. Sasaran dah ada, langkah pun dah disusun. Jadi apa salahnya kata-kata rakan saya itu. Malah sekarang dia dah pun bagitau saya yang dia dah hampir ke peringkat terakhir proses jodoh itu. Saya tanya dia, bila saya nak dapat kad jemputan? Dia cakap, mungkin tahun depan.... Fuh, memang bersungguh bila dia cakap macam tu dan memang bersungguh hasrat yang dia nyatakan semasa di tingkatan 5 dulu. Betul kata orang, kalau kita berusaha, insyaallah pasti akan berjaya. Malah jodoh dia pun dah ada. Jadi bila pula jodoh saya?

Macam yang saya katakan tadi, saya dah ada calonnya. Memang saya tak nafikan. Saya tahu memang dialah orang yang mampu memenuhi ciri-ciri calon yang saya mahukan. Namun yang penting keikhlasan hati saya apabila memperkatakan perkara ini adalah datang dengan keizinan Allah. Niat saya untuk menjadikan dia isteri saya bukan datang tiba-tiba. Saya pernah katakan dahulu niat ini muncul perlahan-lahan tanpa disedari. Tiba-tiba saya baru tersedar dan akhirnya itulah hasil yang saya nampak. Itu yang berlaku pada saya. Saya tak mencari niat itu, tapi niat itu muncul dalam diri saya sendiri. Niat itu bukan datang dari luar masuk ke dalam hati saya, tapi muncul dari hati bergerak ke luar dari diri saya. Saya tak kata yang mungkin saya akan berkahwin dalam masa terdekat ini, namun saya hanya berkata saya pasti akan berkahwin satu hari nanti. Proses itu mudah, tapi perlaksanaan itu bukan sesuatu yang senang.

Kalau orang itu membaca catatan ini, saya cuma ingin nyatakan bahawa saya hanya sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran saya. Apa yang penting catatan saya ini tidak menyatakan siapa individu sebenar yang saya maksudkan ini. Pernyataan umum yang hanya boleh diketahui oleh orang itu sahaja, jadi tak perlulah risau. Namun saya tahu, mungkin catatan ini tak begitu selesa apabila disebarkan secara umum. Tapi apalah yang perlu saya risau sebab saya tak perincikan pun apa yang saya katakan tadi. Saya hanya ingin nyatakan bahawa apa yang saya tuliskan ini sekadar mahu berkongsi sahaja. Realiti kehidupan manusia memang semuanya akan berubah. Begitu juga soal pemikiran dan soal tahap kematangan. Saya akui apa yang saya tulis hanya mahu menggambarkan bahawa saya telah mula memasuki tahap kematangan itu bukan lagi macam dulu.

Soal rasa dan hati, tak boleh dipaksa. Sata tahu, jika dia membaca catatan ini, saya hanya mahu memberitahu ini sekadar rasa hati saya. Rasa hati dia adakah ingin saya tahu? Tak perlu kerana saya tak terfikir untuk tahu kerana soal ini tak boleh dipaksa. Kita tak boleh memaksa seseorang untuk menyatakan rasa hati dia. Biarlah rasa hati itu diperkatakan menerusi keikhlasan orang itu sendiri. Biarlah dia nyatakan bila dia rasa mahu nyatakan. Itu prinsip saya.

Apa yang saya nyatakan seolah–olah saya mahu menjalinkan hubungan cinta dengan dia pulak... Ish, tak ada sebenarnya. Saya dah cakap tadi, saya tak akan bercinta seperti yang banyak orang lakukan kini. Apa saya nyatakan tadi adalah untuk menyatakan bahawa saya ingin menjadikan dia isteri saya yang sah kelak. Haha.. Yazid, Yazid... besar betul cita-cita tu. Tapi kenapa perlu ketawa, bukan salah pun ada niat itu.

Dulu ada saya cakap, saya cukup risau jika hasrat dan niat saya itu tak tercapai nanti. Saya takut kecewa kerana mamang pedih bila kecewa. Namun kini saya sedar, walau apa yang berlaku pun, yang penting kini saya perlu berusaha dan berdoa. Soal lain itu saya hanya berserah pada Allah. Hah, baru boleh hati saya rasa tenang. Sama ada tercapai atau tidak niat saya itu, sama ada dia akan jadi isteri saya nanti, semua itu hanya di bawah penguasaan Allah. Betul bukan?

Fuh, banyak pulak yang saya tulis. Tak sedar dah beratus perkataan yang saya coretkan. Catatan ini tak ada penutup kerana mungkin saya akan sambung lagi. Yalah ini bukan esei untuk BM. Ini cuma catatan je. Jadi tak ada penutup tak ada pendahuluan. Hanya mahu ekspresikan diri saya sahaja. Jadi akan adakah yang membaca catatan saya ini? Saya tak peduli kerana saya tak terfikir pun soal tu. Yalah saya ni bukan orang terkenal pun. Orang biasa je. Jadi itulah sahaja kisah bicara mengenai jodoh... Jodoh.... hmmm.... memang tak habis kalau nak tulis lagi...

-hidup untuk beribadah-

2 ulasan :

Ahmad Zaki Bin Mohd Hashim berkata...

Menarik r pendapat ko neyh.....

Ahmad Zaki Bin Mohd Hashim berkata...

baru habis baca blog JODOH ko nie...memang menarik.....kene gak r ngan aku...hehehe....watpe nk rush2 kan??just wait and see...aku doakan impian ko utk jdkan si dia pasangan hidup tercapai...amin....P/S:-Sepatutnyer yg len2 pown bce blog nie......bg diorg sedar sket...tp part keburukan bercinta sebelum kahwin 2 je r....hasrat ko 2 diorg x bce pown xper.....hehehe....