Khamis, 13 Mei 2010

Bicara: Salam Hari Ibu buat mak...

Saya bukanlah selalu menghabiskan masa menonton filem baik di panggung atau di televisyen. Namun baru-baru ini, saya tiba-tiba tertarik untuk menonton sebuah filem di televisyen, itupun bila mak saya turut serta menonton. Filem keluaran tahun 1998, Stepmom lakonan Julia Roberts, Susan Sarandon, Ed Harris, Jena Malone, Liam Aiken saya tonton bersama mak. Filem yang berkedudukan nombor dua (berada di belakang filem Adam Patch) selama dua minggu berturut-turut sewaktu tayangan di Amerika Utara ini memang ada kekuatan ceritanya. Maka tak hairan bila saya lihat air mata pada wajah mak ketika menonton filem ini. Memang menyentuh perasaan tapi mata saya masih kebal untuk mengeluarkan titisan air mata.

Kisah Isabel, seorang wanita muda bekerjaya lakonan Julia Roberts yang cuba membiasakan diri dengan dua bakal anak tirinya cukup menarik. Kisah konflik anak gadis yang baru berusia 12 tahun dan budak kecil yang nakal ternyata mencabar kesabaran Isabel. Tanpa memberikan beban apabila ibu kandung dua kanak-kanak ini turut bersikap terlalu defensif terhadap anak-anaknya sehingga menyebabkan Isabel tidak diberikan peluang untuk cuba mengenali dengan lebih rapat anak-anak tersebut.

Kisah mula berubah apabila si ibu kandung ini, Jackie Harrison telah disahkan sukar untuk sembuh dari penyakit barahnya. Bayangkan berhadapan dengan semua dugaan ini bersendirian, tidak diketahui sesiapa dan pada masa yang sama menghadapi konflik rumah tangga serta pada masa yang sama juga memikirkan masa depan anak-anaknya nanti telah menekan seluruh kehidupannya. Bertarung dengan barah dan pada masa yang sama bertarung dengan bahagia hidup.

Permusuhan Isabel dan Jackie tamat serta-merta bila Isabel tahu keadaan sebenar kesihatan Jackie. Maka bermulalah babak-babak yang menyentuh hati tatkala Jackie membantu Isabel mengenali dengan lebih dalam perihal dan sifat anak-anaknya. Sedikit tersentuh bila saya dengar dialog antara Jackie dan Isabel:

Kata Isabel: “Saya takut satu hari nanti, bila Anna (anak perempuan Jackie) berkahwin, saya berdua dengannya sedang bersiap-siap di dalam bilik, memakaikan gaun padanya, dia gembira dengan wajah tersenyum, dan tiba-tiba dia berkata, saya berharap ibu saya akan berada di sini…”

Jackie menjawab dengan linangan air mata: “Saya memang mengenali anak-anak saya sepenuhnya. Saya memang mempunyai segala kenangan silam mereka tapi awak mempunyai segala kenangan masa depan….”

Indahnya kata-kata ini. Betapa mulianya hati dua orang ibu walaupun salah seorangnya cuma ibu tiri saja.

Penghujung cerita, mereka sekeluarga menyambut Krismas. Turut serta bakal ibu tiri mereka, Isabel yang disambut dengan penuh mesra oleh Jackie yang telah lemah menanti hari untuk mati. Seluruh keluarga bersatu tanpa sebarang konflik.

Kehadiran Isabel ada hikmahnya. Menjadi pengganti anak-anak Jackie satu hari nanti. Di penghujung cerita Jackie berkata kepada anak perempuannya, Anna: Ibu takut dengan apa yang akan berlaku pada ibu nanti (mati), tapi ibu tak takut bila fikir kamu semua lagi sebab ibu tahu kamu tak apa-apa…”

Memang benar dan telah diakui suluruh kehidupan di dunia ini. Ibu memang besar pengorbanannya. Hakikat itu saya tak perlu lagi pertikaikan. Filem yang saya tonton itu cuma menggambarkan sedikit saja pengorbanan ibu. Hakikatnya memang jauh lebih besar jika mahu digambarkan pengorbanan itu.

Ah, panjang benar mukadimah kali ini. Entahlah, tujuan utama saya tulis ini bukanlah mahu pula nak jadi pengulas filem, bukan juga mahu menjadi pembikin filem, bukan juga mahu menyatakan keseronokan menonton filem itu. Namun mesej yang disampaikan yang bertitik pada satu iaitu pengorbanan seorang ibu, itulah matlamat saya.

Kisah ibu saya, atau lebih tepat mak saya dari dulu, kini, dan pastinya sehingga bila-bila… pengorbanan setiap tindakannya, kasih sayang yang dianugerahkan kepada anak-anaknya, ketiadaan jemu mendidik dan memberi panduan, kesabaran walaupun banyak penghalangnya, itulah satu kisah yang tidak ada insan yang mampu mengambil tempat dan tarafnya sebagai ibu.

Bilakah bermulanya pengorbanan mak?

Seawal usia 20 tahun, maka bermulalah kisahnya. Usianya masih muda, malah ada matlamat hidupnya. Bukan tak ada kelulusan dan tak juga tidak punyai kepintarannya. Mak korbankan hidupnya demi menurut kemahuan ibu bapanya. Tak hairan pengorbanan itu dek kerisauannya sendiri bila terpaksa menolak setiap pinangan orang terhadapnya dan pada masa yang sama melihat wajah Tok Wan dan Tok Yam yang bertambah kerisauan. Akhirnya, cita-cita dikorbankan demi menjadi anak yang solehah. Mahu sejukkan dan senangkan hati ibu bapa, pinangan terkakhir mak diterima, itupun selepas persaingan sengit di antara dua guru lelaki menemui penamat yang dimenangi guru nun jauh di Pantai Remis dan pastinya itulah ayah saya kini.

Kisah bermula sebagai isteri muda. Berkat patuhnya pada Tok Wan dan Tok Yam, maka mak mendapat keluarga mertua yang begitu baik. Bayangkan, Tok Rahmah (nenek sebelah ayah saya) lebih utamakan menantunya berbanding ayah sendiri sampaikan bila orang datang, semuanya ingat mak anak kandung Tok Rahmah. Bayangkan dalam segala hal, mak akan jadi nombor satu dan ayuh ikut di belakang di nombor dua. Itu belum kira perihal ayah saya, ibarat seperti suami idaman setiap wanita. Agamanya kuat, malah ringan tangan dengan kerja-kerja di rumah, hingga kadang-kadang mak ibarat jadi permaisuri di rumah, banyak berehat kerana ayah banyak bantu mak. Bayangkan nak susun atur perbot, belum sempat nak fikir, ayah dah aturkan segalanya. Bukan quen control, malah mak sendiri pun jadi serba salah bila ayah tolong mak buat kerja. Tapi itu sifat ayah, suka mengemas rumah.

Hehe.. bukan nak puji sendiri, tapi itulah kata-kata yang saya dengar sendiri dari mulut Tok Rahmah, ibu ayah saya merangkap nenek saya.

Jadi, saya simpulkan, itulah berkat bila patuh pada kata-kata ibu bapa. Berkat itu memang tak terucap nikmatnya.

Setahun berlalu, maka muncullah saya dalam keluarga. Anak sulung, dan usia mak baru 21 tahun. Huh, itu cabaran besar buat mak sebagai ibu muda. Terus hasrat dan cita-cita mak sebelum ini mengejar kerjaya idaman, dipadamkan terus. Saya dijaga dengan sepenuhnya. Tok Rahmah, Tok Yam jadi assistant bantu mak jaga saya. Pengalaman mak tak banyak, tapi jadi cekap dengan bantuan dua ibu ini.

Hah, itu pengorbanan pertama mak buat saya. Usia mudanya dikorbankan. Melangkah usia 21 tahun, kepentingan dirinya jadi nombor dua. Nombor satu menjadi tempat buat anaknya iaitu saya…

Itu belum masuk ragam saya sewaktu kecil lagi. Tiap-tiap hari terkejar-kejar mengikut rentak saya yang selalu merayap ke sana dan ke sini di sekitar kampung sehingga kadang kala penat dibuatnya mak mencari saya. Cari di merata tempat, rupa-rupanya saya dah ada di rumah Tok Rahmah (rumah Tok Rahmah tak jauh dari rumah mak tinggal)

Ya, saya akui, kisah kecil saya memang penuh dengan kenakalan. Malah sehingga kini gelaran tersebut tak dapat dirampas oleh adik-adik saya yang lain. Sayalah yang paling nakal sewaktu usia kecil.

Tahun 1992, kisah keluarga berubah. Ayah ditukarkan ke SMK Treacher Methodist, maka bermulalah kehidupan baru di Taiping. Pada tahun itu juga Izhar adik pertama saya lahir. Maka tugas sebagai ibu buat mak berganda.

Saya masih ingat, hari pertama saya ke tadika, bagaimana saya dipakaikan baju baru uniform tadika Kemas, dengan rambut disikatkan mak, dengan muka putih disapu bedak sambil mak nyanyikan lagu “Pok amai-amai belalang kupu-kupu, pok Yazid pandai, tadika kita tuju….”

Itu sajalah rangkap yang masih saya ingat. Kononnya mahu hilangkan ketakutan saya, tapi lain pula jadinya bila mak terpaksa tunggu sampai pukul 11 di tadika dek saya yang buat hal di tadika menangis tak mahu ditinggalkan mak. Mak sabar tak pernah pula dengar rungutan. Dan tempoh setahun itu, tiap-tiap hari mak hantar dengan basikal ke tadika, walaupun kadang-kadang tak sihat. Saya ingat lagi, pernah mak kena selsema. Lepas saja ambil saya, sampai rumah terus terlena sampai pukul 3 petang sehingga terlupa nak masak tengah hari. Mujurlah hari tu Isnin, ayah saya puasa sunat Isnin seperti kebiasaan.

Cerita sama terjadi lagi bila masuk tahun satu. Saya buat hal lagi kali ni lebih dasyat. Hari pertama saja, mak kena jadi jaga kat sekolah. Saya buat hal selama seminggu. Masa tu jugalah mak kena tebalkan muka seret saya tiap-tiap hari naikkan saya ke atas bas sampai terpaksa pula dipujuk konduktor bas. Huh, malu pula bila ingat waktu tu. Tapi mak, sabar je. Tak pernah pula dengar rungutnya….

Saya juga sampai sekarang masih terus ingat bagaimana mak terpaksa menjadi ibu dan ayah pada waktu yang sama. Ketika ayah berada jauh di Pulau Pinang menyambung pengajian di USM, kekuatan mak membolehkan famili saya terurus dengan baik. Bukan mudah tambahan pula pada waktu tu saya pula menghadapi UPSR. Ayah pula yang hanya ada di rumah 2 hari seminggu pasti memberi cabaran besar buat mak untuk ambil peranan ayah untuk lima hari yang lain. Masih ingat lagi saya, mak sanggup temankan saya buat kerja rumah walhal mak dah tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Huh, memang sukar bila dua peranan dipegang oleh seorang saja. Ditambah dengan kerenah 3 adik saya yang lain, bila saya kenang kini, saya rasa cukup kesian dengan mak. Sendiri berkorban dan tak ada tempat lain untuk mengeluh atau mengadu lagi. Yalah waktu tu, Tok Yam (ibu mak saya a.k.a nenek saya) baru saja meninggal…

Kisah remaja saya bermula. Sekolah menengah lain pula ceritanya. Keadaan tak berubah sebab ayah tak habis lagi belajar. Jadi bayangkan terpaksa pula nak jaga anak yang awal remaja, dengan emosi lain macam yang kadang kala tak difahami, dicuba juga mak untuk mendidik saya dengan baik. Yalah, bukan mudah untuk seorang wanita fahami hal lelaki yang mungkin lebih mudah difahami oleh ayah.

Maka tak hairanlah saya sedikit terhanyut ketika itu. Bukan mak tak berjaya jaga saya, tapi mungkin terlepas pandang tanpa mak sedari. Yalah mak seorang wanita, kadang-kadang tak faham keperluan lelaki. Ada perkara yang hanya difahami oleh lelaki saja dan dalam hal ni ayahlah orangnya. Tapi saya tak salahkan mak. Saya tahu, itu fitrah kejadian manusia.

Saya hanyut bercinta dengan seorang rakan ni… hmm… Seronok, tapi bila dah kepala terhantuk, baru tahu pedihnya hati. Ah, itu kisah cinta kebudak-budakan yang tak ada maknanya tapi berguna untuk pengalaman. Saya ingat lagi, orang pertama yang dekati saya semestinya mak sebaik putus saja hubungan cinta tu. Saya masih ingat lagi kata mak pada saya yang waktu tu macam tak keruan.

Kata mak: “Memang betul perempuan tu manis macam madu, tapi kena ingat juga perempuan juga boleh jadi racun yang ada bisanya…”

Saya sedar. Setahun berlalu saya perbetulkan keadaan. Pelajaran pulih dan matlamat itu ditujukan pada mak. PMR dan keputusannya, saya tujukan pada mak. Hasrat itu berjaya bila mak menangis gembira bila saya cemerlang PMR. Titisan air mata mak gembira adalah saat terindah yang saya tak lupakan sampai hari ini.

Ini untuk mak. Itu kata hati saya bila dapat keputusan PMR dulu.

Kisah berubah. Saya berpindah. Kini MRSM Taiping jadi medan baru saya. Matlamat tetap sama juga. Semuanya khas buat mak. Lucu pun ada bila saya dah jadi macam penunggu di telefon awam blok kediaman, tiap-tiap hari lepas Zohor, Asar, dan Isyak, saya telefon mak. Rumah tak jauh, sampai ada pula yang kata saya ni anak mak. Ah, pedulikan kata mereka, kerana itulah cara saya cuba mahu membalas jasa mak. Senantiasa mengingati dia dan berada di sisi dia.

Setiap kali habis jawab exam, saya telefon. Kata-kata nasihat mak dah macam ubat beri semangat pada saya. Mak tetap berjasa walau di mana saya berada.

Kisah sedih bermula. Saya kini di Matrik Perak. Suasana baru lagi, tapi bezanya saya lebih jauh dari mak. Saya tak kisah. Tak lama lepas tu saya sakit. Teruk sangat dan akhirnya tangguh dulu pengajian. Saya berehat panjang.

Saya masih ingat lagi, mak sanggup jaga malam sampai pukul lima pagi temani saya yang tak boleh tidur sakit teruk sebab nafas tak cukup. Memang benar asma bukan perkara kecil. Tersengguk-sengguk sambil mata melihat surah Yaasin dengan kedengaran bacaan merdu tanpa henti dari mak. Mak urut dada saya walaupun tahu itu tak akan pulihkan asma saya dengan mudah. Mak tahu, tapi sekurang-kurangnya mak cuba. Saya tahu mak sebak. Bacaan mak kadang-kadang tenggelam suaranya mungkin tahan sebak. Saya tahu, mak menitiskan air mata sebab nampak kesan basah pada helaian-helain buku Yaasin.

Pernah mak peluk erat saya seaktu saya sakit teruk. Bila saya dah pulih sikit, saya tanya mak kenapa mak buat macam tu. Kata mak, dia harap sekurang-kurang dia nak saya tahu yang saya tak bersendirian bila sakit. Mak cakap kalau boleh dia nak semua sakit tu pindah pada dia. Saya sebak bila dengar.

Kisah sakit saya berterusan untuk tahun-tahun berikutnya. Pengajian saya tertangguh. Kesannya amat mendalam. Saya masih ingat, dan itu memang menekan jiwa. Saya masih ingat, saat mak bawa saya ke hospital sebelum dirujuk ke klinik psikatarik. Doktor sahkan saya dapat kemurungan. Banyak ubat diberi. Mak sabar saja walaupun terpaksa tebalkan muka ulang alik ke klinik tersebut setiap bulan dapatkan rawatan. Stigma orang, klinik tu untuk orang gila mak pedulikan saja.

Kisah berlalu. Perlahan-lahan saya pulih. Sumbangan mak besar. Dia berada di sisi saya setiap saat. Dia sentiasa menyokong saya sepanjang masa. Bila saya tertekan dulu, maklah yang redakan tekanan. Bila saya rungsing dulu, maklah yang tenangkan hati. Bila saya hilang yakin diri dulu, maklah yang serapkan semangat pada saya. Setiap saat mak ada di belakang. Memang benar besar pengorbanan mak.

Beberapa bulan lagi saya akan kembali kepada pengajian. Saya berjauhan kembali. Tapi saya tahu saya akan sentiasa di sisi mak. Ya, mungkin nanti handphone saya sibuk kembali. Perbualan mak dan saya pasti akan menguasai setiap waktu. Saya tak kisah bila setiap kali lepas kelas dan saya telefon mak, kemudiannya ada orang cakap saya ni ‘anak mak’, anak manja, atau apa saja gelaran pun. Apa saya kisah. Saya lakukan demi balas jasa mak. Apalah sangat tindakan saya ni jika nak dibandingkan pengorbanan mak yang jauh lebih besar. Biarlah apa orang nak kata.

Bayangkan semua yang mak korbankan untuk saya itu digandakan sebanyak enam kali…. Tak terbayang saya betapa hebatnya mak yang punyai enam orang anak.

Mak sanggup tinggalkan cita-citanya demi patuh pada ibu dan bapanya. Mak sanggup lupakan semua cita-citanya semata-mata mahu saya membesar dengan sempurna. Saya tahu, pengorbanan mak sungguh besar. Mungkin sepatutnya mak seorang guru sekarang. Mungkin juga mak sepatutnya pegawai kerajaan kerana mak sepatutnya layak. Dia tinggalkan semua untuk berkorban. Anak-anaknya nombor satu daripada dirinya.

Tak apa, jika mak berkorban, biarlah saya yang sambungkan cita-cita mak. Biarlah saya banggakan mak nanti. Itu janji saya. Saya nak mak sepanjang masa tersenyum di wajah dan hati.

Sungguh murni hati mak, korbankan segala-galanya.

Saya akui, ketika saya menulis tulisan ini, saya memang menitiskan air mata. Saya tak malu untuk akuinya kerana air mata itu adalah kerana terharunya saya dengan pengorbanan dan jasa mak. Tak salah untuk itu…

Malam semalam saya lakukan solat hajat. Saya memohon moga mak bahagia sepanjang masa tanpa sedikit pun rasa kesedihan. Mak selayaknya perlu rasa begitu atas segala pengorbanannya.

Malam semalam saya curi sekejap telefon mak. Saya bluetoothkan lagu Selamat Hari Ibu nyanyian Hujan. Saya tukarkan nada dering The Show nyanyian Lenka yang mak gunakan untuk alarm jam telefon kepada lagu Selamat Hari Ibu itu dan mak tak tahu. Pagi tadi mak terkejut bangun pagi terdengar lagu yang berbeza. Dan pagi itu jugalah beberapa kali mak mainkan semula lagu tersebut. Mak tersenyum saja mungkin gembira.

Penghujung bicara, saya tiupkan Salam Hari Ibu buat mak. Moga mak tahu, saya sangat sayangkan mak. Maklah nombor satu di hati saya.

‘Selamat Hari Ibu- Hujan’

Dengarkan lah lagu
Laguku ini
Ikhlas dari hati... Hanyalah untuk mu

Akulah anak mu
Anak mu yang selalu
Memelukmu...
Menciummu...

Memang banyak dosa yang telah ku lakukan
Menyakiti dikau ku mohon maafkan

Selamat Hari Ibu...
Ku ucap kepada mu...
Walauku jauh disini
Ku harap kau terus menanti kepulanganku
Tuk menemani mu hingga ke akhir nanti
Aku janji...

Kau tak tahu ku sentiasa bersyukur
Punyai pari-pari iaitu kamu
Ku pastikan agar kau sentiasa bahgia
Ingin ku nyatakan engkau milik syurga

Memang banyak dosa yang telah ku lakukan
Menyakiti dikau ku mohon maafkan

Selamat Hari Ibu...
Ku ucap kepada mu...
Walauku jauh disini
Ku harap kau terus menanti kepulanganku
Tuk menemani mu hingga ke akhir nanti
Aku janji...

Selamat Hari Ibu...
Ku ucap kepada mu...
Walauku jauh disini
Ku harap kau terus menanti kepulanganku
Tuk menemani mu hingga ke akhir nanti
Aku janji...


p/s: tulisan ini memang panjang namun saya tahu itu belum cukup menggambarkan betapa besarnya pengorbanan mak buat saya.
Tulisan ini hanya setitis air dari tasik dan air tasik itu menyuburkan segenap pokok di sekitarnya. Sayalah, dan kamilah (Muhammad Yazid Rosly, Muhammad Izhar Rosly, Muhammad Izwan Rosly, Muhammad Ikhmal Rosly, Nur Aisyah Nadhirah Rosly, Nur Adrina Najiha Rosly) merupakan pokok itu. Kami mohon maaf pada mak untuk setiap kesalahan kami…

Tiada ulasan :