Isnin, 29 November 2010

Kerana dia memelukku di KOMTAR...


Kunjungan semula ke Komtar setelah hampir enam bulan tak kunjung, maka hilanglah rindu yang dipendam selama ini. Ah, bukan ada apa-apa yang menarik, tetapi memang telah jadi tempat wajib untuk saya kunjung setiap kali berada di Pulau Pinang. Yalah, banyak lagi ‘shopping complex’ yang lebih menarik boleh saya kunjungi di Pulau Pinang ini.

Pulau Pinang dan Komtar memang tak dapat dipisahkan. Ibarat lagu dan irama, begitulah kata saya. Namun kunjungan kali ini membuka kisah lama beberapa bulan yang lalu, kisah yang membuatkan saya bersyukur dan tersenyum sendirian.

Ya, kisah seorang gadis memeluk saya, maka itulah bicara saya.

Apakah kenangan dipeluk itu yang membuatkan saya tersenyum? (saya akui, gadis tu sangat cantik).

TIDAK jawapannya.

Kisah sebalik pelukan itu yang membuatkan saya tersenyum. Apakah maksudnya?

Kisah dulu-dulu, ketika saya baru saja keluar dari kedai buku Popular, selesai membeli buku The Malay Dilemma karya Tun Dr. Mahathir, maka saya terus berjalan sambil melihat kedai-kedai di sekeliling. Sedang saya asyik menikmati pemandangan, tiba-tiba saya dikejutkan apabila seorang remaja perempuan tiba-tiba muncul dihadapan saya dan kemudian tanpa saya sangka terus memeluk saya.

TERKEJUT bercampur kerisauan. Terkejut kerana tidak menduga tindakan remaja prempuan itu, kerisauan pula terhadap orang-orang sekeliling yang mula memandang semacam ke arah saya.

Saya terus menolak dengan kasar remaja perempuan itu. Ya, agak kasar juga kerana saya ternyata tidak mahu perkara haram itu berlaku pada saya. Lantas terus saya bersuara: “Apahal ni?”

Balasnya sedikit terkejut mungkin kerana saya menolaknya dengan kasar dengan wajah sedikit kemerah-merahan: “Minta maaf”

“Apahal kamu tiba-tiba peluk saya ni? Saya kenal kamu ke?”

“Minta maaf bang.... Minta maaf...”

Kemudian saya terdengar gelak ketawa sekumpulan remaja di satu sudut tidak jauh dari tempat saya berada ketika itu. Lantas remaja perempuan itu menoleh melihat kumpulan remaja itu.

“Kawan kamu ke tu?” soal saya sebaik melihat sekumpulan remaja yang semuanya perempuan dan semuanya tidak bertudung.

“Ya...”

Saya hairan. Bagaimana dia boleh berkawan dengan mereka sedangkan penampilan remaja yang berada di hadapan saya ini jauh berbeza dari mereka di sudut itu. Bertudung, walaupun bajunya agak sendat malahnya jeansnya juga terlalu ketat, namun setidak-tidaknya tudung yang dipakainya itu membezakan dirinya dengan rakan-rakannya yang lain.

“Dioranglah yang cabar saya suruh peluk abang. Kalau saya buat macam tu, saya dapat RM50,” terang remaja perempuan itu.

Hah? Terkejut saya di dalam hati. Saya beristighfar di dalam hati. Tak disangka, itulah sebab remaja ini peluk saya. Hanya kerana RM50 dia sanggup lakukan perkara haram itu? Huh, terfikir saya, kalau disuruh berzina pun, mungkin si remaja ini sanggup buat. Itu kata hati saya ketika itu.

Saya hanya gelengkan kepala dan kemudian kembali berjalan meninggalkan remaja itu. Namun beberapa langkah saya berjalan saya menoleh kembali ke arah remaja itu.

“Jom ikut saya. Saya nak cakap sikit dengan kamu...” ajak saya secara spontan dan tiba-tiba.

Tiba-tiba saya tergerak mengajak remaja perempuan itu. Entah, tiba-tiba kata hati saya terasa mahu mengajak remaja itu. Saya membawanya pergi ke sebuah cafe (berjalan kaki sahaja ya...). Tak ingat saya apa nama cafe itu, namun yang pasti, saya dan remaja itu hanya duduk untuk minum sahaja.

Kenapa saya ajak? Adakah saya ada niat terselindung atau cuba mahu ambil kesempatan terhadapnya?

Semuanya bermula dengan satu niat. BERDAKWAH.

“Kamu tahu tak apa yang kamu buat tadi, kamu peluk saya tu haram dalam Islam?” soal saya sebaik duduk.

Remaja itu hanya tertunduk sahaja. Membisu mungkin bersetuju dengan kata-kata saya namun malu untuk mengakuinya.

“Kamu tahu, apa yang kamu buat tadi menjatuhkan martabat kamu sebagai wanita?” soal saya lagi.

Remaja itu masih terus membisu. Dia masih lagi tertunduk. Mungkin tak terkata dengan pertanyaan saya.

“Saya minta maaf abang...” remaja itu bersuara. “Sebenarnya, saya tak ada niat apa-apa pun. Kami bergurau saja”

Berderau darah saya. Mahu saja ditengking si remaja ini. Bergurau katanya bila memeluk seorang lelaki yang bukan muhrimnya?

“Ingatlah dosa...” kata saya. “Pernah atak kamu terbayang wajah mak dan ayah kamu bila kamu buat macam tu tadi?”


Remaja itu gelengkan kepala.

“Dan kamu rasa apa yang akan berlaku kalau mak dan ayah kamu tahu kamu peluk saya tadi?” soal saya. Remaja itu membisu. “Mungkin depa menangis...” terkeluar juga loghat utara saya walaupun cuba bercakap menggunakan bahasa standard dengan remaja itu.

Saya berkata lagi padanya. “Saya tak marah pada kamu. Cuma saya kesian dengan kamu, sebab kamu sanggup lakukan perkara yang haram, walhal, kalau saya lihat penampilan kamu, saya fikir kamu dah ok,” puji saya terhadap penampilan tudungnya, walaupun pakaiannya kurang saya suka dek terlalu sendat. Namun saya hormat remaja ini kerana dia masih mampu untuk tidak mendedahkan rambutnya.

Panjang benar saya bercakap dengannya. Bayangkanlah, kopi yang panas dah boleh jadi sejuk. Memang diakui agak lama saya bercakap. Dalam perbualan itulah, baru saya tahu, yang merosakkan diri remaja itu berpunca dari salah memilih kawan. Banyak yang diluahkannya dalam perbualan itu, dan itu sangat tidak saya jangka. Yalah, orang yang baru dia kenal sanggup dia ceritakan segala kisahnya. Saya pun tak tahu, dia berani ceritakan semua kisah dia walhal saya tak tanya pun.

Paling menarik perhatian saya ialah kisahnya dengan teman lelakinya. Ceritanya, dia selalu buat benda ‘ringan-ringan’ dengan teman lelakinya. Terkejut saya mendengar tapi itulah hakikat kisah hidupnya.

“Mujurlah kamu tak berzina. Dan ingatlah, janganlah kamu hampiri zina” pesan saya menutup bicara. Saya kemudian bangun dan meninggalkan remaja itu. Namun, sekali lagi, beberapa langkah saya berjalan, saya kembali semula ke tempat asal. Saya mengeluarkan sehelai kertas dan kemudian menulis sesuatu pada kertas tersebut dan kemudian kertas itu diserahkan pada remaja itu.

“Muhammad Yazid Rosly” Itu yang saya tulis.

“Kalau kamu ada masalah nak dikongsikan, add Facebook saya. Insyaallah saya cuba tolong kalau saya mampu”

Ramai yang bertanya, kenapa tak bagi nombor telefon saja? Ah, itu terlalu peribadi untuk diserahkan kepada orang yang baru saya kenal.

Nilai Islam telah hilang dalam diri remaja ini. Itulah yang saya simpulkan selepas selesai saja perjumpaan dengannya. Pemanduan saya menuju ke Ayer Itam agak terganggu. Sedih kerana terpaksa menerima hakikat, orang Islam hari ini telah banyak yang rosak.

Kisah berterusan. Seminggu selepas itu, saya menerima friend request dari seorang perempuan. Ya, itulah remaja yang memeluk saya. Saya terus approvekan permintaan itu. Namun saya biarkan saja selepas itu.

Sehari kemudian, inbox mesej saya menerima mesej baru. Mesej dari remaja itu. Dia meminta pertolongan saya bagaimana nak dapatkan ketenangan jiwa, kerana saat itu katanya dia sangat-sangat tertekan dan tak tenteram hatinya.

Saya bertanya: “Adakah kamu solat lima waktu?”

“Tidak” itu jawapan diberi. Katanya dia dah lama tak solat sejak di tingkatan 2 lagi. Jika solat pun, dia hanya akan lakukan bila dia tergerak untuk lakukan.

Saya terkejut. Tak sangka, melihat pada wanita ini yang pada pandangan saya cukup manis dan sesuai untuk jadi menantu bagi setiap ibu, rupa-rupanya dia telah lalai dari melaksanakan tanggungjawab agama.

Saya membalas kembali: “Kembalilah kamu dekatkan diri pada Allah. Solatlah lima waktu...”

Dalam tempoh beberapa bulan hingga sekarang, dia banyak menghantar mesej pada saya menggunakan Facebook. Banyak soalan ditanya pinta bantuan dan tunjuk ajar. Pernah dia bertanya pada saya, bagaimana nak mantapkan balik bacaan al-Quran yang telah ditinggalkannya sejak di tahun 6 lagi?

Saya nyatakan padanya, biar merangkak-rangka membaca al-Quran, janji niat kita ikhlas nak membaca. Lama-lama akan lancar dengan izin Allah. Tapi sebaik-baiknya, pintalah bantuan pada mereka yang pakar. Insyaallah, mereka pasti akan bantu kamu. Niat yang baik, akan dipermudahkan urusannya.

Banyak lagi yang ditanya pada saya dari soal peribadi, ibadah, soal aurat malah soal pelajaran, sehingga saya dikatakannya jadi rujukan utama bagi setiap masalahnya. Saya sekadar membantu. Dan yang paling penting adalah menjadi wajib bagi setiap orang Islam, membantu mereka yang ingin dekatkan diri kembali kepada pada Islam. Saya pegang pada prinsip itu, makanya saya cuba membantu sekadar yang termampu dan sekadar ilmu yang saya ada.

Saya kagum, selepas perjumpaan itu, dia ceritakan pada saya yang dia telah tinggalkan teman lelakinya. Memang diakui saya yang menasihatinya berbuat demikian demi masa depan dan agamanya, namun untuk mengharapkan dia membuat satu tindakan drastik memutuskan hubungan adalah jauh dari ekspektasi saya. Dia sanggup dan itu bukti betapa benarnya dia mahu berubah.

Saya bertanya padanya kenapa dia mahu berubah. Katanya, selama ini dia tidak tahu caranya untuk berubah sebab tidak ada sesiapa pun yang menolongnya. Kerana itu dia masih hanyut tanpa tujuan dan arah yang jitu.

Katanya lagi, teguran berani saya telah buka pintu hatinya untuk berubah kerana katanya sebelum ini, tidak pernah ada sesiapa yang cuba tegurnya hatta ibu dan ayahnya. Maka bila saya menegur dan menasihatinya, dia seolah-olah disentap dan diketuk untuk membuat angin perubahan.

Saya bersyukur jika itu ditakdirkan bahawa pelukan dari remaja itu memberi angin perubahan baru dalam hidupnya, maka saya berharap agar remaja itu mendapat hidayah yang jelas dari Allah.

Kini angin perubahan telah berlaku dalam dirinya. Dia kini dah tak tinggalkan solat. Dia kini juga tak lupa untuk membaca al-Quran. Dia juga kini tak lagi berpeleseran dengan rakan-rakannya. Malah rakan-rakan ‘hantunya’ itu telah ditinggalkan. Dia banyak habiskan masa di rumah, mantapkan pelajaran dan pada masa yang sama banyak menghabiskan masa dengan ibunya di dapur. Alhamdulillah, dia menjadi anak yang solehah.

Baru-baru ini, dia kirimkan saya beberapa keping gambarnya. Dihantar menggunakan mesej Facebook. Terkejut saya, banyak perubahan yang berlaku padanya. Pakaiannya tidak lagi seperti dulu. Tidak sendat di sana dan sini. Semuanya ditutup dengan rapi. Bahagian yang dulunya terdedah, kini ditutup dengan baik. Alhamdulillah, syukurlah panduan yang saya berikan ditambah pula dengan rujukannya terhadap ustazah di sekolahnya, remaja ini telah berubah. Menutup aurat sepenuhnya dan bukan lagi hanya bertudung, tapi auratnya terdedah.

Dia kirimkan semata-mata mahu nyatakan, dia kini telah berubah. Baguslah, dan syukurlah. Saya tersenyum, kerana mengetahui seorang hamba Allah telah mendekatkan diri pada-Nya.

Saya tidak mahu ceritakan secara terperinci perihal gadis yang kini berusia 18 tahun. Pelajar tingkatan 6 rendah di sebuah sekolah di Pulau Pinang, saya kenali hanya disebabkan insiden dipeluknya, maka sekadar perkongsian saya nyatakan dalam bentuk yang umum. Saya juga tidak mahu dedahkan segala luahan hatinya menerusi mesej Facebook, kerana bagi saya cukuplah sekadar dikongsikan perkara-perkara tertentu sahaja yang mampu beri kesedaran pada orang lain.

Saya sedar, dia banyak sejarah hitamnya.

Ada yang bertanya, berapa kalikah saya berjumpa dengannya? Hanya sekali sahaja pertemuan, iaitu pada hari saya memberi nasihat panjang itu. Selepas itu saya hanya berhubung dengannya menerusi Facebook.

Alhamdulillah, petang tadi, saya dapat ketemu dirinya. Dia hadir bersama adik lelakinya yang berusia 15 tahun. Bijak, dia tahu halal dan haram. Membawa mahramnya untuk temaninya bertemu saya yang bukan mahramnya. Saya juga kagum, pakaiannya nyata berubah. Dia berbaju kurung biru dengan tudung menutup dengan baik bahagian dadanya. Ternyata, dia kini tahu apa erti ‘aurat’ yang sebenar.

Kami berkunjung ke McDonalds. Menikmati hidangan burger sambil berbual panjang mengenai kisah perubahannya. Dia sangat gembira dan ternyata sangat berbeza. Dia bukan lagi gadis liar yang sanggup lakukan apa saja. Dia tahu maruah dirinya. Adiknya pula senantiasa jadi penambah cerita buktikan bahawa kakaknya itu memang telah berubah.

Maka dengan perjumpaan dengan gadis ini bersama adik lelakinya, selesailah sudah semua urusan dan perjanjian saya dengan Pulau Pinang, Pulau Mutiara. Segala yang telah dirancangkan berjalan dengan lancar, dan segala pertemuan telah dilakukan.

Mengapa saya berkongsi di sebalik kisah remaja yang memeluk saya itu?

Saya harap moga timbul sedikit keinsafan, moga timbul rasa kesedaran dalam diri kita moga kita berubah, dan moga kita juga dapat membantu orang yang ingin berubah. Allah pemberi hidayah, dan kita juga haruslah membantu mereka mendapat hidayah itu.

Saya tak berniat dengan tulisan ini, saya nyatakan bahawa saya telah membuat satu jasa kepada masyarakat. Saya tak berniat nak tunjukkan bahawa saya hebat, mampu ubah si gadis yang kesesatan. Saya tak pernah ada niat riak apatah lagi untuk berbangga diri. Saya ikhlas nak berkongsi kisah yang saya lalui.

Bukan kerana RIAK... tidak sama sekali.

Lagipun, bukan saya yang ubah dirinya. Dia yang mengubah dirinya. Lagipun bukan saya seorang sahaja yang bantu dia untuk berubah, malah ramai lagi bantunya untuk berubah. Saya sekadar membantu dalam kemampuan dan ilmu yang saya ada sahaja. Selebihnya, Allah yang beri hidayah padanya.

Dia berubah dengan pantas dan itu izin Allah. Ya, kerana satu pelukan terhadap saya, dia kini telah berubah mendekati-Nya.

Inilah kisah, kerana dia memelukku di KOMTAR.... dia berubah.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.

Mohon permisi, tanda penamat bicara.
Moga bertemu di lain suara.

Wallahualam.

p/s: Bicara ini ditulis sewaktu berada di McD selepas remaja itu pulang ke rumahnya. Saya masih melekat di Pulau Pinang...

Isnin, 15 November 2010, 6.14pm.

2 ulasan :

Alya berkata...

salam sahabat...
sungguh bijak keputusan yang anda buat untuk tidak meninggalkan remaja itu terus hanyut dalam kealpaan yang menekan ramai remaja masa kini...ya, anda tidak riak menulis tentangnya bahkan pasti ada yang terpanggil untuk bertindak seperti anda andai perkara yang seumpamanya berlaku...teringat saya tentang sebuah drama berjudul 'cinta sempurna' yang ditayangkan di astro prima suatu masa dahulu...anda mengingatkan saya tentang ustaz nazir( watak utama drama itu yang dimainkan oleh asyraf muslim)...semoga usaha dakwah kita semua mendapat bantuan Nya...niat murni saudara itu saya doakan supaya berkekalan selagi masih bernafas...amin

Muhammad Yazid Rosly berkata...

insyaallah. moga dapat berdakwah setakat yang termampu. ilmu yang ada sikit ni dapatalah dikongsikan dengan yang lain. terima kasih atas komen anda.