Rabu, 8 Disember 2010

Akhir cerita, penutup suara, pemanggil perubahan.



Agak pelik bila bicarakan soal akhir pengkisahan. Namun setiap perubahan perlukan satu keberanian. Kisah dulu-dulu, tenteramkan jiwa, beri motivasi agar lakukan reformasi. Perubahan ke arah satu perjalanan, itulah yang bakal dialalui.

Ini bicara akhir tanda lambaian buat si Facebook.

Kedukaan bercampur kekeliruan, persoalan terhadap apakah perlu wujudkan satu perubahan. Kisahnya bukan mudah, kerana jalannya kadang kala mengelirukan. Namun, bila bicara dari dua orang yang paling berpengaruh menguasai fikiran saya dalam hanya satu malam, makanya saya dapat meilhat dengan jelas. Ayah dan mak, beri panduan mungkin juga kata-kata bertaraf nasihat, moga saya jelas melihat jalan yang sebenar.

Jangan lagi berada dalam tekanan penuh kesesatan...

Pesan mak dalam bicara 45 minit telefon. Saya akui agak panjang namun kepanjangan itu penuh dengan pengisian. Umum dah mak ketahui, saya penulis senantiasa dicemuh dan dihambur kata-kata penghinaan, makanya wanita yang juga seorang penulis menasihatkan anaknya yang kini juga turut menjadi penulis supaya lakukan perubahan. Tuntutan reformasi bergema dalam setiap lafaz bicaranya.

Kata mak, identiti keluarga bukan sesuatu yang mudah dipersoalkan. Sekali orang persoalkan, makanya ibarat maruah itu juga telah cuba dicabar dan dicemar. Makanya, bila ada persoalkan saya sebagai penulis, hakikatnya perkara itu juga ditujukan kepada mak dan ayah. “Kami yang bentukkan kamu menjadi seorang penulis, dan kalau mereka persoalkan kamu, maka mereka persoalkan mak dan ayah yang membentuk kamu sebelum ini”

Terkenang kembali saat saya diajar dengan dipaksa menulis semuka karangan untuk setiap hari. Jiwa memberontak persoalkan kewajaran saya untuk menulis tiap-tiap hari.Namun kini saya sedar, paksaan dari mak dan ayah itulah yang telah menjadikan diri saya kini. Jika bukan kerana mak dan ayah, tidak mungkin saya meminati bidang tulisan ini.

Makanya, bila saya nyatakan hentaman-hentaman beberapa manusia pinta saya hentikan bicara berbentuk tulisan, mak berikan solusi terbaik buat saya. Pertama, pekakkan telinga bagi setiap hentaman itu. Kedua, teruskan duniamu dengan segala bicaramu. Ketiga, hargai mereka yang hargai bicaramu. Keempat, kekalkan hatimu dengan keikhlasan bila bicara baru dikeluarkan. Kelima, jadikan hentaman itu satu cabaran untuk maju ke hadapan.

Agak nostalgik bila kenangkan saat-saat awal saya poskan nota saya di Facebook. Masih ingat lagi nota “Sekadar satu catatan saja”, yang saya poskan pada 7 Januari 2010, merupakan nota pertama saya dipaparkan di Facebook. Itu merupakan tulisan pertama saya menggunakan Facebook pada waktu itu kerana sebelum itu, hampir 2 tahun saya menggunakan web Blogger untuk terbitkan bicara saya. Saya akui itu bicara luahan rasa terhadap apa yang saya pendam pada waktu itu. Saya akui juga, bicara itu sekadar bicara kosong perkongsian dengan sahabat yang lain. Saya menulis sepenuh hati dan nyatakan apa yang saya rasa pada waktu itu. Bicara itu adalah berkisar kepada persoalan hati dan perasaan saya pada seseorang.

Saya masih ingat, pada waktu itu saya tak punyai sebarang pengikut. Tidak ada sebarang pembaca nota saya itu. Saya poskan ke Facebook sekadar mahu berkongsi kepada rakan-rakan jika ada yang berminat untuk membaca tulisan saya itu.

Nota berikutnya bertarikh 27 Januari 2010. Tajuknya berbunyi dengan perkataan yang ringkas. “Jodoh”

Apakah bicaranya? Inilah luahan ikhlas saya terhadap rasa hati saya pada seseorang. Tidak perlulah dinyatakan siapakah orang itu, sekadar nyatakan dia cukup menarik perhatian saya. Saya nyatakan seikhlas hati terhadap apa yang saya rasa. Saya nyatakan bahawa jodoh itu sesuatu yang indah namun perlulah mengikut agama. Saya cuba bermain teka-teki siapakah wanita yang saya maksudkan itu. Namun di pennghujung bicara itu, saya masih tidak dedahkan nama wanita itu.

Untuk nota kedua itu, dua individu telah menanda like. Dua orang sahabat lama saya dari SMK Dr. Burhanuddin. Itulah baru saya sedar, nota saya dibaca oleh sahabat-sahabat yang lain. Malah saya juga menerima mesej Facebook memuji tulisan saya dan memuji gaya bahasa yang saya tampilkan yang dikatakan sangat berbeza dan menarik perhatian. Katanya lagi, nota ini harus dibaca oleh mereka yang sedang bercinta, moga sedar apa erti sebenar jodoh itu. Saya terharu...

29 Mac 2010, saya poskan lagi bicara baru. Kali ini bicara nafas baru bukan lagi perkatakan tentang diri saya. Bicara ini adalah bicara dan pendapat saya terhadap isu yang hangat ketika itu dalam dunia hiburan. Pada waktu itu heboh diperkatakan mengenai kenyataan berani Wardina Safiah mengenai kata-katanya bahawa artis tidak layak diangkat menjadi ikon. Maka itulah terhasilnya bicara “Artis Tak Boleh jadi Ikon? Betul Ke?”

Saya mengkritik sebuah rancangan di TV3 dengan judulnya ‘Sensasi’. Saya kritik kerana saya meilhat pandangan wartawan-wartawan dalam rancangan hiburan mengarut itu adalah tak munasabah dan tak dinyatakan dalam bentuk yang berilmiah. Saya memang tak bersetuju dengan kata-kata Mama Rock itu. Dalam tulisan itu, saya selitkan kata-kata Wardina mengenai kenyataannya dan kemudian diperkukuhkan lagi dengan hujah yang dikeluarkan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkenaan isu itu.

Tulisan itu berjaya menarik perhatian ramai. Malah saya juga turut paparkannya di blog saya. Dan tulisan itu menjadi tulisan paling popular di blog saya sehingga kini. Di Facebook pula, tiga orang menanda like nota itu dan beberapa individu memberi komen manakala selebihnya memberi pujian menerusi mesej Facebook. Terima buat kalian semua. Saya akui juga, tulisan inilah yang melonjakkan semangat saya untuk lebih giat menulis bicara di dalam Facebook.

Tarikh 2 Mei 2010, saya berjaya hasilkan satu lagu nota terbaru di Facebook. Nota ini adalah bicara berani pengakuan kesalahan terbesar saya dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini. Maka kerana itu saya keluarkan tajuk, “Kisah kerana novel, maaf dipohon untuk semua...”

Saya akui, saya lakukan banyak penipuan dan sandiwara demi menghasilkan sebuah novel. Pengakuan itu saya harus telan bulat-bulat dan perlu diakui dengan rendah diri. Saya banyak lakukan perkara di luar jangka terhadap rakan-rakan saya. Memanipulasi keadaan semata-mata mahu menghayati perasaan untuk lebih mudah memahami dalam menghasilkan jalan cerita novel. Memang saya mewujudkan sebuah kegilaan yang tak tercapai dek akal mana-mana rakan saya.

Saya huraikan segala sandiwara itu. Beberapa contoh juga saya huraikan, nyatakan apakah bentuk penipuan yang telah saya lakukan itu. Novel-novel seperti Cinta Thahirah, Kumajipakat, Kotak Hati, telah saya hasilkan atas penipuan dan sandiwara terhadap rakan-rakan. Saya akui, ketika saya hasilkan bicara ini, saya teragak-agak, apakah perlu saya poskan bicara ini ke Facebook atau sekadar saya simpankan lagi terus menjadi sebuah kerahsiaan. Namun di pengakhiran penghasilan bicara ini, saya teringat kata-kata mak.

“Jika kamu korbankan kejujuran kamu pada seseorang, percayalah, mereka juga mampu korbankan kejujuran terhadap kamu juga. Ingatlah, setiap penipuan itu harganya ialah sebuah dosa...”

Maka kerana itu saya putuskan, bicara terberat ini harus saya suarakan.

Beberapa individu beri respon nota ini. Ada yang mengkritik dan ada yang mengutuk. Ada yang menyokong saya dan ada juga yang mencemuh. Saya terima kesemuanya kerana saya tahu memang itu semua salah saya sendiri. Terpaksa saya telan kesemuanya. Inilah balasan buat si penipu.

Namun di sebalik kisah dan pengakuan saya itu, saya akui saya layak menerima cemuhan itu.

5 Mei 2010, bicara berikutnya diposkan di Facebook. Kisah yang memberi sedikit rasa emosi buat diri saya, kerana individu yang terlibat dalam bicara ini telah tiada lagi. Inilah kenangan termanis saya dengan arwah sepupu saya. Bicara yang mengisahkan kepada mencari jawapan dan hakikat, kaum mana yang lebih banyak diganggu di internet, apakah lelaki atau perempuan. Inilah nota dengan tajuk “Internet: Lelaki vs Wanita”. Saya dan sepupu saya melakukan sedikit kaji selidik, membuat tinjauan dan melakukan beberapa langkah untuk mencari jawapan. Penyudah kisah, saya mengalami kekalahn teruk bila hujah saya ditelan dengan hujah sepupu saya dan akhirnya terpaksa mengakui kaum hawa lebih banyak diganggu berbanding kamu adam.

Saya tersenyum setiap kali membaca bicara ini. Saya akui, itu adalah momen terbaik saya dan sepupu saya. Namun, momen terbaik itu kini menjadi sangat berharga, kerana tidak lagi dapat diganti mahupun dinikmati lagi. Pemergiannya secara mengejut beri kesan pada saya kini, namun saya akui itu adalah lumrah dunia. Makanya, saya putuskan inilah tulisan terbaik yang pernah saya hasilkan sepnajang saya menulis di Facebook ini. Harus diakui, bicara ini adalah bicara termahal saya di dalam Facebook.

Empat hari berikutnya, jari saya rancak lagi menari di atas papan kekunci. Kali ini bicara baru sempena Hari Ibu telah saya mulakan. Tarikh 9 Mei 2010, saya poskan nota baru sempena hari ibu.
Saya judulkan bicara itu sebagai, “Bicara: Salam Hari Ibu buat mak...”. Inilah nota penghargaan tertinggi buat mak. Saya perihalkan sedikit cerita dan kisah mak, nyatakan betapa besarnya pengorbanan mak. Saya menitiskan air mata sewaktu menulis bicara ini, namun saya rasa sangat berbaloi kerana perkongsian kisah mak telah membuatkan saya rasa lebih bersyukur dikurniakan seorang ibu yang besar pengorbanannya.

Kisah mak, saya perihalkan menarik perhatian ramai. Maka tidak hairanlah sepuluh orang menanda ‘like’ bagi nota ini. Itu belum lagi dikira dengan mereka yang memberi komen untuk bicara ini. Memang harus diakui, ramai yang terharu dan tersentuh hati bila membaca nota tersebut.

Ya, itu tanda saya sangat menyayangi mak. Harus diakui juga ini antara bicara yang popular di Facebook saya.

22 Mei 2010, saya terbitkan satu bicara baru lagi. Kali ini bicara yang cukup pedas saya tampilkan. Bicara ini terlintas bila saya menghadapi satu ‘ribut’ apabila ‘disunting’ oleh beberapa wanita cuba nak buat ‘kertas kerja’ memohon supaya saya menjadi pasangan hati mereka. Ah, bayangkan enam orang mencuba nasib, harus diakui kepeningan dibuatnya saya. Akhirnya saya putuskan sebuah bicara dikeluarkan dengan judul, “10 Sebab Yazid Rosly Tak Akan Bercinta Sekarang”.

Saya keluarkan sepuluh sebab yang terlintas di fikiran saya ketika itu untuk saya teladani dan diberikan hujah-hujah itu kepada wanita-wanita tersebut. Bicara ini saya letakkan berlandaskan pengalaman dan agama itu sendiri. Saya lampirkan fakta-fakta berdasarkan sejarah dan agama, moga hujah yang saya nyatakan dapat diperkukuhkan. Sepuluh hujah itu saya fikirkan dalam tempoh yang cukup lama sebenarnya. Seingat saya, hampir sebulan saya fikirkan hujah-hujah itu sebelum saya tuliskan dalam bicara itu.

Apakah kesan akhirnya?

Selepas diposkan di Facebook, tidak sampai lima minit selepas itu, sahabat lama saya Muhammad Hafiz Jamaluddin memberi komen. Komen membina dengan penyataan: “berhujah dengan alasan yang kukuh serta berfakta. insyaallah,gadis2 diluar sana akan memahaminya..hehe..”

Selepas itu saya menerima begitu banyak komen nota tersebut. Secara keseluruhannya, terdapat 77 komen diberikan dengan 15 orang menanda ‘like’ bagi bicara ini. Malah saya juga menerima beberapa mesej Facebook beri sokongan dan pendapat terhadap bicara tersebut. Saya harus akui, nota ini adalah bicara yang paling popular yang pernah dipaparkan menerusi Facebook saya.

Malah saya juga cukup terkejut apabila saya mendapati hampir 17 orang rakan Facebook saya telah ‘share’kan nota saya ini di Facebook masing-masing. Memang sangat meletup tulisan saya itu.

Malah, beberapa rakan saya mengakui dan bersetuju bahawa nota 10 sebab ini adalah bicara terbaik yang pernah saya hasilkan sehingga kini. Mereka juga bersetuju, nota ini tidak lagi mampu ditandingi oleh nota-nota saya yang lain. Betapa hebatnya nota tersebut pada pandangan sahabat-sahabat saya ini. Saya tak tahu kebenarannya, kerana bagi saya, biarlah saya terus merendahkan diri.

Saya juga harus akui, nota 10 sebab ini telah memberi anjakan paradigma buat saya dalam bidang penulisan. Maksudnya, saya telah berubah secara total dalam bidang penulisan. Inilah tulisan yang telah memberikan satu spirit kepada saya dan memberikan ingatan kepada saya supaya saya terus kekal menghasilkan tulisan-tulisan baru pada masa akan datang. Satu perkara lagi, kesan nota 10 sebab ini, gaya penulisan saya telah berubah selepas itu. Ya, saya akui, gaya bahasa yang saya tampilkan selepas bicara itu adalah mengikut format dan gaya bahasa seperti dalam nota 10 sebab ini. Lebih santai dan bernada selamba.

Kesan nota 10 sebab sangat memberi kesan buat saya sehingga kini.

29 Mei 2010, sebuah lagi bicara baru menyusul di Facebook. Semuanya bermula bila seorang sahabat bertanya kepada saya kisah di sebalik penghasilan novel Cinta Thahirah. Dia ingin benar tahu bagaimana boleh tercetusnya idea penghasilan novel tersebut. Saya tak terlintas di fikiran untuk bicarakan kisah itu. Namun bila ada yang bertanya, maka saya putuskan apa salahnya jika saya kongsikan kisah di sebalik novel Cinta Thahirah. Kisah ini bermula dengan sebuah idea dari arwah sepupu saya.

Ada juga yang menyoal, apakah ini ada kaitan dengan Thahirah Kamarulail, seorang sahabat lama dari SMDB dulu? Ah, saya nafikan saja.

Proses penghasilan novel itu saya ceritakan seringkas yang boleh namun mestilah menurut kronologi yang betul. Harus saya akui, agak sukar juga untuk saya hasilkan bicara ini kerana saya perlu imbas kembali semua kisah permulaan penghasilan novel CT. Bicara novel ini menerangkan bagaimana tercetus idea, diikuti pula dengan pemilihan judul novel sehinggalah kepada kisah meletakkan nama watak utama dan sampingan. Ada pula yang menyatakan bahawa watak Khadijah sebenarnya diambil dari nama adik Thahirah Kamarulail iaitu Khadijah Kamarulail. Sekali lagi saya nafikan, kerana nama itu diambil sempena nama arwah sepupu saya.

Saya juga menceritakan bagaimana saya memilih latar tempat, dan bagaimana kesusahan saya mencari lokasi tersebut. Saya juga turut memerihalkan kisah masalah yang saya hadapi ketika menulis novel ini, apabila saya kehilangan beberapa bab tulisan dek serangan virus di komputer.

Di akhir bicara, saya sudahkan dengan penghargaan buat sepupu saya dan saya kemudian dedahkan sumbangannya terhadap penghasilan logo Cinta Thahirah. Saya juga huraikan bahawa nama sepupu saya turut digunakan dalam novel tersebut.

Kesannya?

Dengan komen hampir 70 komen, saya akui bicara ini turut mendapat sambutan hangat. Malah saya juga menerima respon dari beberapa sahabat yang berminat untuk membaca novel ini. Saya juga dicadangkan supaya menerbitkan novel ini menerusi syarikat penerbitan. Kesan dari penghasilan bicara ini, saya mendapat 32 pembaca baru bagi novel Cinta Thahirah. Betapa berkesannya tulisan bicara ini dalam mempromosikan novel Cinta Thahirah itu.

2 Jun 2010, sebuah bicara baru diposkan. Kali ini bicara terlalu berat kerana melibatkan satu dakwah yang memerlukan fakta-fakta yang berat lagi tepat. Sebuah pengkajian secara ilmiah saya telah lakukan. Ruang masa yang banyak menyebabkan saya merasai satu kelapangan, maka saya putuskan apalah salahnya jika saya ambil sedikit masa saya untuk mengkaji dan meneliti fakta yang akan saya huraikan dalam bicara ini.

Segala-galanya bermula bila peristiwa serangan kapal Marvi Marmara oleh pihak Israel, telah mencetuskan impuls dalam fikiran saya agar saya dapat keluarkan satu bicara sedarkan rakan-rakan tentang pengaruh Yahudi di seluruh dunia. Kerana itu lahirnya sebuah bicara panjang lagi berat dengan diberi nama, “Bicara: Yahudi dan Media Amerika di atas derita Palestin”

Saya huraikan pengaruh Yahudi ke atas media Amerika. Pencarian fakta saya sebelum ini, saya tampilkan dalam bicara ini. Kesemua nama, media yang terlibat bahkan huraian asal usul sesebuah organisasi media di Amerika saya tampilkan dalam bicara ini. Saya juga mengaitkan kesan pengaruh Yahudi ke atas media Amerika terhadap kandungan rancangan televisyen mereka. Saya menyatakan bagaimana bentuk rancangan yang dipaparkan di Amerika yang dengan jelas lagi nyata menunjukkan pengaruh Yahudi.

Tulisan ini adalah tulisan yang paling sukar dan rumit yang pernah saya hasilkan. Bukan mudah kerana saya dikelilingi dengan puluhan fakta yang saya peroleh hasil daripada pembacaan saya menerusi majalah, akhbar dan juga internet. Maklumat yang saya terima juga tidak tersusun dan itu memerlukan saya untuk meneliti kembali dan melakukan penyusunan semula fakta menurut turutan dan kronologi. Saya juga harus pastikan maklumat yang saya peroleh itu tepat dan dan benar, dan itu pula memerlukan saya menghabiskan masa menggunakan internet mencari maklumat yang dikehendaki bagi mengesahkan fakta yang saya peroleh dari pembacaan saya.

Secara keseluruhannya, proses menadapatkan maklumat dan fakta mengambil masa saya hampir dua hari. Untuk mengesahkan saja maklumat yang diperoleh, saya memperuntukkan masa selama sehari. Bagi menyusun pula, saya memerlukan setengah hari dan untuk menulis bicara ini pula berdasarkan fakta yang telah disusun, saya telah memperuntukkan masa selama satu setengah hari. Ya, inilah tulisan paling panjang tempoh penghasilannya dan paling sukar yang pernah saya hasilkan.

Namun, saya tak kisah kerana bagi saya, kesukaran yang saya lalui itu adalah dengan niat untuk berdakwah dan menyedarkan orang lain.

Ingin saya jelaskan dan memperbetulkan fakta, saya bukan membenci Yahudi. Jangan disalahkan Yahudi atas kekejaman yang berlaku di Palestin. Salahkan fahaman Zionis yang merasapi dalam sesetengah kaum Yahudi itu. Maksud saya, pengaruh Yahudi yang saya nyatakan dalam bicara ini adalah pengaruh Yahudi Zionis.

Apakah kesan tulisan bicara paling rumit ini?

22 orang telah menanda ‘like’ bagi bicara ini. 23 orang pula men’share’kan nota saya ini. Malah saya menerima pujian dan sokongan dari beberapa rakan bahawa bicara Palestin ini adalah satu bentuk dakwah dari saya. 14 orang menghantar mesej Facebook memberi pendapat berkenaan nota tersebut. Ramai yang memberikan hujah tambahan tidak kurang juga memberikan komen mengkritik sedikit tulisan saya itu. Ya, saya harus akui, saya perlu nyatakan bahawa Yahudi yang saya maksudkan dalam nota tersebut ialah Yahudi yang diresapi dengan fahaman Zionis.

Sumbangan juga telah dihulurkan sebagai janji saya bahawa setiap individu yang menanda ‘like’, saya akan sumbangkan sejumlah sumbangan ke tabung kemanusiaan Gaza. Saya sangat berpuas hati setelah berjaya menyiapkan bicara paling rumit berkaitan dengan Palestin ini. Saya harus akui, inilah tulisan saya yang terbaik yang pernah saya hasilkan, dan saya juga akui, bicara ini sukar ditandingi saya hingga kini. Itu pendapat saya yang sangat berbeza dengan rakan-rakan saya.

Bicara Palestin itu merupakan bicara akhir saya sebelum kembali menyambung pengajian di UPSI. Pejalanan baru di UPSI selaku pelajar TESL telah membuka lembaran baru dalam penulisan saya. Makanya bicara 21 Julai 2010 bermula. Itulah bicara dengan tajuknya, “Bicara Pertama di UPSI”.

Kisah dan monolog saya terhadap pandangan pertama saya menghadapi pengalaman baru di tempat yang baru dengan suasana yang agak berbeza. Kisah saya bagaimana berjumpa dan berkenalan dengan rakan-rakan yang baru dari pelbagai ceruk tempat di Malaysia. Harus saya akui, bicara ini adalah permulaan dan pengenalan saya buat rakan-rakan baru di UPSI sekadar nyatakan bahawa saya merupakan seorang penulis.

Saya sekadar huraikan sedikit pandangan pertama saya berada di UPSI. Mungkin pandangan itu kini telah berubah setelah hampir satu semester berada di bumi Tanjung Malim.

29 Julai 2010, saya teruskan dengan sebuah lagi bicara baru. Kali ini satu suara nyatakan sebuah pernghargaan terhadap seorang sahabat baru yang pada fikiran saya selayaknya telah menjadi rakan karib saya. Sebagai menghargai sahabat ini, makanya saya wujudkan tajuk, “Bicara: Sahabat dan sebuah perjalanan kisah di bumi UPSI”

Saya menyatakan dan memerihalkan kisah sahabat saya dengan namanya Mohammad Syafiq bin Abdul Majeed. Saya nyatakan peribadinya dan perwatakkannya berdasarkan kaca mata saya. Mungkin berbeza pandangan dengan orang lain, namun apa yang saya nyatakan adalah ikhlas datang dari diri saya.

7 Ogos 2010, setelah saya peram agak lama (malah tulisan ini saya tulis lebih awal dari bicara sahabat Syafiq), makanya saya telah berjaya siapkan satu lagi tulisan baru dan kemudian diposkan ke Facebook. Diberi nama “Ceritera Sahabat, Rakan, dan Kenalan di UPSI”, inilah suara saya memerihalkan beberapa rakan dan kenalan saya yang baru di UPSI. Terdapat 12 individu yang telah saya ceritakan dalam tulisan ini, dan kesemuanya merupakan kenalan yang rapat dengan saya.

Apa yang saya ceritakan dalam bicara itu hanyalah diperihalkan dari sudut pandangan saya sahaja. Makanya, mungkin terdapat segelintir individu dikatakan tidak begitu menyukai bicara itu. Mereka mengkritik saya, nyatakan bahawa saya menulis ikut suka hati saja. Namun harus saya nyatakan, semua ini hanyalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya sahaja.

19 Ogos 2010, sebuah tulisan baru berjaya dihasilkan lagi. Kali ini, tulisan berbentuk sebuah luahan saya tampilkan. Agak berat pada permulaannya untuk saya berkongsi kisah, namun bila dah makin lama menulis bicara ini, saya rasakan perkongsian bicara ini dengan rakan-rakan lain adalah sesuatu yang tidak salah. Kadang kala, perkongsian meringankan bicara hati yang terpendam.

Dengan judul, “Ada Cinta, Tiada Cinta”, inilah suara saya luahkan dan gambarkan bahawa mungkin saya kini telah jatuh hati pada seseorang. Saya pada waktu itu merasakan bahawa saya telah jatuh hati pada seorang kenalan ini. Namun saya tak berani nyatakan bahawa memang benar saya sukainya. Kerana itu, sehingga kini saya tak pernah nyatakan siapakah orang itu. Malah kini saya sedar, saya sebenarnya tak pernah ada perasaan suka itu. Sekadar mungkin satu tipu daya syaitan tarik diri saya supaya hanyut dan khayal dengan kepalsuan perasaan itu.

Namun harus diakui, nota ini merupakan nota yang paling banyak komennya. Sebanyak 112 komen telah diberikan bagi bicara ini. 9 orang pula menanda ‘like’ bagi bicara ini. Hendak dinyatakan mendapat sambutan hangat, mungkin bicara ini tak sehebat bicara 10 sebab. Dan saya juga harus akui, bicara ini seperti telah mencabar bicara 10 sebab saya sebelum ini.

Tarikh 22 Ogos 2010, saya menghadapi satu cabaran yang cukup besar sehingga tak dapat saya tahan dan hadapi. Makanya, tarikh itu saya pilih untuk keluarkan bicara baru di Facebook dengan tajuk paling berani, (kerana saya nyatakan namanya terus), “Muhammad Yazid Rosly dan Nur Syuhadah Omar... Ada apa dengan kami?”

Bagaimana boleh tercetus bicara ini? Semuanya bermula apabila saya menghadapi satu situasi yang merimaskan saya. Inilah situasi yang menyaksikan beberapa individu mengaitkan saya mempunyai hubungan dengan Nur Syuhadah Omar, seorang sahabat saya. Dek sekeping gambar yang berpunca dari kealpaan saya sendiri, bergambar berdua dengan Syu, akhirnya gambar itu mencetuskan buah mulut orang bahawa saya dan Syu telah menjalinkan hubungan istimewa.

Hakikatnya, kami sekadar sahabat baik. Itu sahaja.

Saya akui, saya agak emosional ketika menulis bicara ini. Mungkin kerana itu ada seorang sahabat saya menegur saya nyatakan bahawa saya mungkin telah hanyut dari landasan sebenar sebelum ini. Saya hargai teguran itu dan akhirnya saya cuba lakukan perubahan. Penyudah dan kesan bicara itu, semua akhirnya menutup mulut dan tidak lagi memerihalkan kisah saya dan Syu.

Hari Isnin, 30 Ogos 2010, menyaksikan saya menghasilkan bicara paling beremosional. Dengan tajuk yang pasti menarik perhatian, “Hari ini saya menangis sepuasnya... Adakah malu untuk akuinya?”, saya harus terima hakikat, saya telah membuat pengakuan berani menerusi Facebook.

Semuanya berpunca dari rasa terlalu tertekan, dan akhirnya tekanan itu diluahkan kepada mak menerusi perbualan telefon. Bicara ini satu bentuk pengakuan saya telah menangis pada hari tersebut. Tulisan ini merupakan tulisan kedua paling banyak komen dengan angka 95 orang memberi komen. Kesan bicara ini, ramai rakan saya memberi sokongan padu dari belakang membantu saya hadapi dan meleraikan tekanan yang saya lalui ketika itu.

Ucapan saya ketika itu: “Terima kasih banyak-banyak...”

Kisah tangisan saya akhirnya mencipta satu angin perubahan terbesar dalam hidup saya. Makanya inilah bermulanya satu lembaran baru yang dicipta oleh mak saya. Dek tangisan sedih yang saya nyatakan berkenaan pasangan hati, akhirnya telah mencetuskan tindakan luar jangka mak dan ayah apabila mereka telah memutuskan untuk mencari satu calon yang sesuai untuk dihadiahkan kepada saya.

Saya akui, saya tergamam. Namun saya terima cadangan mak itu. Maka di situlah bermulanya perkenalan antara saya dan Nur Farhana Abdul Aziz. Di situ jugalah bermulanya pandangan berbeza rakan-rakan saya, apabila kesemuanya kemudian senantiasa mengusik saya dengan menyatakan nama Hana setiap kali berjumpa saya. Hmmm, kesan besar dalam hidup saya.

Itulah tajuk saya berikan bagi bicara ini, “Nak teman? mak boleh carikan...”. Bertarikh 1 September 2010, dengan 8 orang menanda ‘like’, dengan 56 komen diberikan, saya akui nota ini menarik perhatian ramai.

Pada 3 Oktober 2010, sewaktu minggu pertama selepas cuti hari raya, saya tercetus untuk berkongsi kisah sebuah bicara dari mak yang memberi pesanan berguna kepada saya. Inilah bicara “Pesan dari mak, kerana mak saya berubah”

Saya perihalkan setiap pesanan mak kepada saya. Saya nyatakan setiap kata-kata mak yang ditujukan kepada saya. Sekadar satu perkongsian buat muhasabah diri saya, makanya saya harus akui bicara ini turut menarik perhatian ramai untuk membacanya.

Harus saya akui, dalam tempoh antara bulan September hingga Oktober, saya mula jarang untuk menulis bicara. Bukan kerana malas, namun tidak punyai ruang waktu yang mencukupi dek dilonggokkan dengan segala macam assingment yang diberikan kepada saya. Kesibukan saya juga selaku ahli exco rakan surau turut menyebabkan saya mengahadapi batasan masa. Itulah sebabnya, dalam tempoh tersebut, tiada bicara baru mahupun idea baru saya suarakan menerusi Facebook.

Namun saya akhirnya diberi kesempatan waktu apabila bermulanya cuti study yang lalu. Itulah yang menyebabkan pada 3 November 2010, saya menghasilkan sebuah bicara baru. Dek teringatkan tiga sahabat saya (wanita semuanya), makanya sebagai satu tanda penghargaan sebuah persahabatan, saya telah memutuskan untuk menulis “Bicara Tiga Sahabat Bertaraf Serikandi.... Terima kasih buat kalian”

Saya perihalkan mengenai Shahrul Adina, Lisa Asmeralda, dan juga Hamidah Ainun yang telah menjadi sahabat setia buat saya. Mereka sebenarnya mula rapat dengan saya selepas cuti hari raya dulu. Makanya sebagai satu penghargaan atas sokongan dan bantuan mereka terutamanya ketika saya menghadapi krisis dan masalah yang besar satu ketika dulu, saya putuskan untuk menulis bicara ini. Ini sajalah yang mampu saya lakukan sebagai membalas jasa mereka.

Penulisan saya kelihatan mula longgar selepas itu. Saya sudah mula jarang menulis bicara yang panjang lagi. Makanya pada 8 November 2010, saya telah menerbitkan sebuah perkongsian yang sangat berbeza. Perkongsian sebuah kisah lama dari ayah saya yang menjadi penulis pada waktu dulu. Kisahnya bermula dengan sekeping gambar, dan akhirnya menyebabkan saya berkongsi sajak tulisan ayah buat rakan-rakan yang lain. Inilah buat pertama kali dalam bicara saya di Facebook, saya menerbitkan sebuah puisi dan tulisan itu datangnya dari ayah. Agak menarik untuk diperkatakan mengenai puisi, “Sayang kamu dari aku...”, kerana puisi ini adalah sebuah penghargaan ayah buat mak sewaktu saya dilahirkan dulu.

17 orang menanda ‘like’ dan itu buktinya puisi itu sangat menangkap perhatian rakan-rakan saya.

Kunjungan saya ke Pulau Pinang, sewaktu cuti study telah menghasilkan 4 bicara panjang yang tak terlintas di fikiran saya bahawa saya akan hasilkan tulisan tersebut. Bermula pada 11 November 2010 sehingga 13 November 2010, saya telah hasilkan 4 bicara. Semuanya bermula bila kunjungan saya ke Pulau Pinang telah mewujudkan dan mencetuskan kenangan lampau dalam kotak fikiran saya. Maka tidak hairanlah, saya agak emosional ketika itu.

Bermula dengan bicara, “Kamu berkawan dengan penulis yang gila” kemudian diikuti pula dengan bicara “Monolog Si Malang” disusuli pula dengan nota “Kisah kerana cincin”, saya harus akui, bicara-bicara tersebut adalah pendedahan yang banyak mengejutkan rakan-rakan saya. Saya berkongsi sedekit kisah yang tak pernah saya ceritakan sebelum ini. Namun, saya tidaklah pula mahu meraih simpati, sekadar satu perkongsian melapangkan fikiran saya ketika itu.

Pada 13 November 2010, sewaktu saya berjalan-jalan di Batu Ferengghi, saya tercetus idea untuk menghasilkan sebuah puisi. Entah bagaimana boleh bermula, namun saya akui di saat itu, saya secara tiba-tiba teringatkan seorang sahabat saya ini. Dan itulah sebabnya saya menghasilkan puisi, “Pesanan dari Si Batu Ferenggi”. Puisi ini saya tujukan pada seseorang dan saya tahu orang itu telahpun memahami bicara puisi itu. Saya tahu, dia tahu bahawa dialah orangnya yang menjadi subjek dalam puisi itu. Sekadar sebuah penghargaan buatnya atas keikhlasan bersahabat dengan saya, makanya puisi tersebut saya dedikasikan buatnya.

15 November 2010, sewaktu selesai mengadakan perjumpaan dengan seorang wanita dan adiknya di McDonald, saya terpanggil untuk menulis sebuah bicara baru pada petang tarikh tersebut. Itulah yang mewujudkan sebuah pengkisahan dengan tajuknya, “Kerana dia memelukku di KOMTAR”. Kisah sebuah pengajaran dikongsikan dalam Facebook dengan niat supaya rakan-rakan membaca dan menginsafi diri bahawa terdapat segelintir manusia di luar sana masih hanyut. Namun semua harus akui, kita harus punyai satu tanggungjawab supaya dapat membawa mereka yang hanyut ini balik ke pangkal jalan.

Kisah seorang gadis memeluk saya, saya kongsikan pula bagaimana perubahannya, dan kemudian saya perihalkan bagaimana caranya dia berubah. Niat saya cuma satu, saya sekadar mahu berkongsi, bukan punyai niat terselindungi untuk riak. Saya harus akui, kisah ini menarik perhatian ramai rakan saya untuk membacanya. Maka tidak hairanlah bila saya dipuji kerana melakukan tindakan berdakwah pada gadis tersebut. Alhamdulillah, dia telah berubah. Syukurlah, kejadian pelukan itu mengubah dirinya.

Namun, bicara yang pasti paling menarik perhatian sepanjang saya menulis di Facebook, pastinya bicara kisah Hana dan saya. “Yazid vs Hana” saya terbitkan pada 20 November 2010, menyaksikan sebuah perkongsian pengalaman saya berhadapan dan berbual dengan Hana buat pertama kalinya. Sekadar petikan dialog yang saya perihalkan dalam bicara itu, makanya harus diakui saya agak kekok dan tak pandai untuk bercakap. Namun, mujurlah Hana bijak mengawal situasi hingga saya rasa cukup selesa ketika berbual dengannya.

Malah, saya telah selitkan dalam bicara itu, bahawa saya akan tulis sambungan kisah tersebut. Itulah yang akan saya bicarakan dalam nota, “Yazid vs Hana 2” yang akan saya kongsikan dalam blog saya tidak lama lagi.

Pada 1 Disember 2010, sewaktu saya kelapangan menunggu kertas terakhir peperiksaan semester satu (yang berlangsung pada 3 Disember), saya tiba-tiba merasakan satu kekurangan dalam diri saya sewaktu berdiri di balkoni selepas selesai solat Subuh. Fikiran saya tiba-tiba memikirkan keindahan bila punyai teman seumur hidup satu hari nanti. Itulah yang menyebabkan saya menulis, “Bila nota jadi kebencian, bila hati mahu sesuatu, bila diri semakin jauh darinya...”.

Harus diakui, tajuk nota ini sebenarnya tiada kaitan dengan bicara yang saya sampaikan dalam tulisan tersebut. Inilah permulaan gaya penulisan saya yang baru dengan menampilkan tajuk yang tidak berkaitan dengan isinya. Mengapa saya lakukan demikian? Saya sekadar mahu wujudkan sebuah kelainan dan keunikan.

Saya kongsikan rasa hati saya jika saya telah punyai teman. Saya kongsikan perasaan yang wujud bila ditemani seorang wanita yang saya nikahi satu hari nanti. Semuanya dikonklusikan dengan penyataan, “Indahnya jika saya berteman”

2 Disember 2010, di saat saya menghadapi kemurungan kembali (hingga memaksa saya menelan kembali pil Prozac), saya telah membicarakan sebuah penulisan yang sangat mengejutkan ramai orang. Penulisan paling keras, malah paling pedas, bahkan harus diakui bahawa tulisan ini merupakan tulisan yang ditemani dengan luahan perasaan penuh kemarahan, maka saya terbitkan di Facebook sebagai satu medium buat saya lepaskan tekanan. Inilah bicara, “Percubaan mengarut, akhirnya kamu yang memperbodohkan dirimu...”

Mendengar kembali suara misteri yang dah lama tak kedengaran di telinga saya, makanya saya tuliskan satu bicara yang sangat menusuk hati setiap rakan saya. Bukan niat saya memarahi mereka, itu sebenarnya luahan rasa hati saya yang sangat memarahi suara misteri yang muncul kembali di telinga saya. Makanya, terdapat beberapa rakan saya menegur (ada yang gunakan mesej Facebook, ada juga gunakan sms) atas tulisan yang saya tampilkan itu. Kata mereka, saya telah lari dari konsep kebiasaan saya menulis. Ada yang nyatakan pada saya, identiti saya selaku penulis yang berhemah telah dikorbankan bila terhasilnya bicara ini. Ada juga yang nyatakan pada saya, bicara ini akan memakan diri saya kembali malah mungkin akan mewujudkan persengketaan terbesar selepas ini.

Harus saya akui, teguran itu mungkin ada kebenarannya. Namun semua harus fahami, bila seorang bekas pesakit kemurungan menghadapi satu bentuk tekanan, kadang kala kewarasan di akal telah hilang. Mohon maaf jika ada yang tersinggung dangan bicara itu.

Makanya itulah konklusi terhadap keseluruhan bicara-bicara saya di Facebook. Sepanjang hampir setahun menjadi penulis setia di laman web sosial ini, saya telah menimba banyak pengalaman. Banyak teguran diberikan kepada saya. Maka dengan teguran dan kritikan itu, saya perbaiki diri saya dan saya mantapkan lagi penulisan saya. Dek teguran dan kritikan itu jugalah, saya telah banyak lakukan perubahan.

Harus saya akui, saya banyak dicemuh dengan setiap tulisan saya. Harus diakui, cemuhan-cemuhan kebencian itu kadang kala mengguris hati saya. Banyak kali juga saya diugut dan diminta untuk berhenti menjadi penulis. Ada juga yang mengutuk saya nyatakan bahawa saya hanya pencipta dosa buat pembaca yang membaca tulisan saya.

Sepanjang saya menulis di Facebook, saya telah berjaya mengesan pembaca setia setiap nota yang saya terbitkan. Malah, ada yang ternanti-nanti bicara baru saya dan itu membuktikan bahawa tulisan saya punyai peminatnya. Syukurlah jika itu yang berlaku. Saya sekadar hamba Allah yang sangat lemah, diberikan sedikit kekuatan, mencuba diri menjadi seorang penulis berkongsi kisah dan pengalaman.

Segala yang saya tampilkan dalam tulisan saya adalah datang dari keikhlasan hati. Tidak pernah terlintas saya untuk membanggakan diri apatah lagi untuk menjadi seorang yang riak. Saya menulis dengan penuh kerendahan hati, dan saya menulis dengan niat kerana Allah.

Sebelum menyudahkan bicara yang paling panjang ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa saya ingin bersara di Facebook ini. Semuanya bermula dengan kritikan-kritikan pedas dan tohmahan-tohmahan berbisa dilemparkan kepada saya sebelum ini. Akhirnya saya luahkan pada mak dan ayah. Makanya sebuah perbincangan dilakukan dan akhirnya ayah putuskan supaya saya hentikan bicara di Facebook. Mengapa? Bukan semua di Facebook berjiwa penulis. Makanya kadang kala mereka tak sukai akan tulisan yang dikongsikan.

Ayah syorkan saya guna Blogger kembali. Ya, benar, Blogger adalah tempat bagi mereka yang bergelar seorang penulis. Di situlah tempat paling sesuai berkongsi idea dan kisah kerana di situlah ramai penulis berhimpun dan berkongsi idea. Kata ayah: “Hanya penulis yang akan memahami penulis yang lain...”

Maka kerana itulah saya telah putuskan bahawa saya harus bersara dari menjadi penulis di Facebook. Perpindahan akan berlaku, dan tempat baru yang dituju ialah Blogger. Makanya, selepas ini setiap bicara baru akan saya kongsikan di dalam blog saya dan bukan lagi di Facebook. Namun, saya akan masih lagi menggunakan Facebook sebagai medium untuk mempromosikan bicara baru saya. Mungkin selepas ini, saya ambil sedikit petikan tulisan saya dan diposkan di Facebook, dan jika ada yang berminat untuk membaca keseluruhan tulisan itu, saya letakkan link untuk mereka klikkan disambung terus ke blog saya.

Mohon maaf andai kata sepanjang saya berbicara menggunakan Facebook ini, ada yang terguris hati. Saya insan lemah kadang kala tidak sedar kesalahan yang dilakukan. Mohon maaf dipinta, jika semua bicara saya sebelum ini telah merimaskan hidup kalian semua. Saya sekadar mahu berkongsi kisah saya dan pengalaman saya. Kisah emosi menguasai diri, bila permohonan maaf ini disuarakan dalam bicara akhir di Facebook.

Mohon permisi buat penghabisan kalinya, dan yang pastinya kita tidak akan ketemu lagi di sini. Berjumpalah kalian semua di web blog saya, moga pelbagai kisah lagi dapat saya kongsikan dengan kalian semua.

Terima kasih kerana sudi menjadi pembaca nota-nota saya di Facebook. Terima kasih kerana memberi komen dalam bicara saya. Terima kasih kerana sudi menanda ‘like’ dan ‘share’kan bicara-bicara saya itu. Saya hargai sokongan kalian dan akan saya kenangkan sampai akhir hayat saya.

Selepas ini bertemu saya di alamat baru. Kunjungilah rumah baru buat bicara saya. Perpisahan harus dimulakan moga rindu yang berkekalan dapat diubati dengan sebuah perjumpaan di tempat yang baru.

Kunjungi saya di www.yazidrosly-mydablog.blogspot.com

Ya, itulah rumah baru saya.

Akhir bicara, selamat dan sejahteralah buat kalian semua, moga perpisahan kita akan mendapat berkat dan rahmat dari-Nya.

“Saya dengan rasminya bersara dari Facebook....”

Wallahualam.

6,7, 8 Disember 2010, 1.00am, Taiping, Perak.

Tiada ulasan :