Rabu, 23 Mac 2011

Tak tahu apa yang tak tahu....

Pemula bicara salam diberi. Pembuka kata, senyuman dikuntumkan. Hakikat permulaan, kesukaran kemungkinan. Maka lama menyepi, bermula kembali kemunculan. Sebuah kata-kata susunan dalam perluahan. Kesenyapan bicara telah dilunturkan. Maka, saya kembali berhati-hati menyusun langkah.

Saya jarang untuk berkongsi apa-apa kisah lagi dengan pembaca blog saya. Mengapa? Saya sendiri tak tahu untuk berikan sebab, namun yang pasti memang terdapat beberapa sebab yang tak perlulah saya kongsikan. Bicara kesenyapan memang ada kisah di sebaliknya. Entahlah, ketika saya menulis ini pun saya masih teragak-agak sama ada mahu berkongsi kisah atau sekadar membisu sahaja.

Harus diakui saya punyai banyak tindakan yang mungkin mengguris hati orang lain atau mungkin juga mengundang kemenyampahan segelintir pihak. Mungkin kerana beberapa bicara saya, maka ramai yang mula sisihkan diri dari saya. Saya sedar... kini saya seolah-olah dipinggirkan, atau mungkin itu hanya sekadar perasaan saya... Yang mana yang benar, saya tak dapat pastikan.

Semester dua dibuka dengan sebuah lembaran baru dengan satu kejutan terbesar dalam hidup saya. Logiknya, harus diakui amatlah mustahil saya akan muncul untuk semester baru awal tahun ini. Empat hari, terlantar di hospital dan tempoh itu tak jauh dari tarikh saya kembali ke UPSI. Dalam bahasa yang mudah, saya gagahkan diri hadirkan ke UPSI bagi teruskan pengajian. Itu saya simpan kisahnya sejak awal semester ini.

Agak berat juga bila saya diberikan tanggungjawab yang besar bila saya diamanahkan untuk menjadi Timbalan Pengerusi Rakan Surau al-Falah menggantikan tempat abang Saifullah. Rezeki muncul lagi, saya juga dilantik menjadi ahli RPA baru bagi Kolej Za’ba. Itu juga menggantikan tempat abang Saifullah. Saya dipilih kerana hanya saya seorang sahaja wajah baru mewakili Kolej Za’ba yang bergiat aktif di surau al-Falah. Maka tanggungjawab diberikan, saya terima dengan hati terbuka. Namun, berat jadinya bila kesihatan jadi kekangan. Semester depan, kisah baru lagi, dilantik pula jadi Pengerusi RPA KZ.
Harus diakui juga saya selalu lambat hadir ke kelas untuk semester ini. Namun, saya tak pernah nyatakan apa-apa sebab kelewatan saya itu. Saya malas nak beri alasan walaupun mungkin alasan yang saya berikan itu boleh diterima. Jadi apa sebabnya?

Saya bukanlah terbaik bila bicara kesihatan pagi. Ya, memang saya akan berkurung dalam bilik setiap kali pagi itu saya diserang asma. Gagahkan diri tunaikan solat subuh, gagahkan diri membaca Yassin atau mungkin juga al-Quran, dan jika mampu solat hajat ditunaikan sebelum Subuh, dan jika semuanya selesai, ubat ditelan dan saya baring dan lelapkan mata sambil dada menahan sakit yang amat sangat. Saya tak pernah ceritakan kisah ini hatta pada rakan serumah saya sekalipun. Mengapa? Saya tak mahu dianggap meraih simpati dan yang paling penting tak mahu susahkan mereka. Dalam kesenyapan pagi, maka saya cuba lenakan diri, kerana bila lena sakit itu hilang seketika.

Itulah sebab saya selalu lambat muncul ke kelas Dasar dan Falsafah Pendidikan dan begitu juga dengan kelas Kenegaraan hari Khamis pukul 10 pagi. Ada yang marah saya hadir lewat, namun saya bisukan sahaja tak beri sebarang alasan. Tak mahu asma dijadikan alasan walaupun memang itulah hakikatnya.

Bila hujan menjelma, maka saya seribu keadaan dalam ketakutan. Tak tahu dan dilema pula dihadapi. Jika saya pergi ke kelas juga, selalunya malam atau pagi keesokannya, siaplah saya semput kembali. Jika tak pergi, nanti dikira ponteng. Maka itulah sebab saya senantiasa lewat ke kelas bila hujan menjelma.

Serba salah dibuatnya bila saya kelihatan tak berperanan dalam kelas Pengurusan Ko. Saya cuba nak membantu, namun saya tak berani nak hulurkan tangan. Takut tanggungjawab yang diambil bertaburan kemudiannya bila saya terkaku tak larat dek kesakitan. Maka sebab itu saya banyak membisu setiap kali perbincangan dibuat. Ya, saya akui, mungkin kebanyakan ahli dalam kumpulan saya itu pasti melahirkan rasa tak puas hati pada saya dek saya jadi ahli lelap tak berikan peranan. Entahlah, serba salah namun terperangkap dengan kesempitan kesihatan saya. Maafkan saya jika ramai yang tak puas hati dengan saya....

Pagi tadi juga saya agak lewat hadirkan diri ke kelas Dasar dan Falsafah Pendidikan. Setengah jam lewat dan itu jarang berlaku. Ah, siapa yang tahu saya terpaksa keluar awal naik bas pertama ke kampus dan kemudian turun di Taman Bernam seterusnya menuju ke poliklinik di sana dapatkan ubat asma. Selepas itu kembali ke hentian bas, tunggu dan kemudian menaiki bas menuju ke kampus. Itulah kisah pagi tadi. Saya tak mahu ceritakan, namun dalam bicara ini, saya terasa untuk kongsikan sedikit.

Saya agak perit. Sejak sakit teruk sehingga hampir dua minggu cuti sakit, semuanya jadi tak terurus dan tak tersusun. Saya kelam kabut, disulami tekanan sakit bercampur assignment yang berlonggok. Maka itu juga buat saya takut bila lakukan assignment berkumpulan, takut dek saya yang tak buat kerja, satu kumpulan terlewat hantar assignment. Bila difikirkan semula, mungkin sepatutnya saya tangguh dulu pengajian saya.

Saya dah tak begitu rajin untuk menulis dek kesihatan saya. Saya juga dah jarang Facebook dek kerapnya semput saya. Semua itu saya tak begitu ambil berat. Ya, ramai yang mengkritik saya bila saya bersuara sedikit di Facebook, dan saya sekadar pasifkan diri malas nak membalas apa-apa kenyataan.

Kisah blog kerjasama dengan sahabat saya, Dimensi Sanubari juga telah secara tak sengaja menambah beban saya. Kebodohan saya dek mahu wujudkan satu ruang bicara pelajar UPSI akhirnya menjadi perangkap dek isu Ann yang sertai AF. Isu ini muncul bukan dari saya, namun akhirnya saya dijadikan sasaran untuk dipersalahkan. Entahlah, mungkin semua marahkan saya.
Harus diakui, saya telah mula dipinggirkan. Itu yang saya rasa. Kedengaran juga ada yang memboikot saya di Facebook. Tak tahu sejauh mana kebenarannya, dan jika benar saya redha. Saya akui, saya bukan insan sempurna dan mungkin saya banyak guriskan hati orang lain. Ya, memang diakui ramai juga guriskan hati saya, namun biarkan saja. Saya maafkan walaupun kadang-kadang agak pedih. Saya tahu mungkin juga rasa dipinggirkan itu sekadar perasaan saya saja, namun jika memang benar situasi itu terjadi, saya tahu dan saya sedar siapalah saya untuk meminta perhatian mereka.

Saya tak kata saya betul semuanya. Memang benar ada juga salah saya dan saya harus akui. Walaupun mungkin ada yang cakap sukar untuk dilakukan, namun bagi saya jika saya salah, saya harus akuinya. Saya meletakkan diri saya serendah-rendahnya jika memang saya yang lakukan kesilapan.

Konklusi bicara, maaf dipohon andai saya banyak menyusahkan kalian. Bukan sengaja namun bersebab. Saya tak banyak bercakap beri alasan. Lebih banyak sunyikan diri. Saya insan lemah yang tak tahu bila waktunya ajal menjemput saya. Entahlah, jika berterusan keadaan ini, mungkin semester depan saya tiada. Biarlah saya berehat dapatkan kekuatan moga kesihatan saya pulih kembali.

Saya agak berat untuk berkongsi apa yang saya simpan selama ini. Segala pendaman selama ini saya sembunyikan. Namun, entahlah, hari ini hati saya tergerak untuk luahkan rasa dari kaca mata sebuah penulisan. Saya tak mahu raih simpati, sekadar mahu luahkan tanpa mengharap sesiapapun membaca bicara ini. Ah, tak mungkin saya seaktif dulu lagi untuk menulis bicara...

Permisi berserta kemaafan. Jika panjang umur, jumpa semester hadapan.

“Aku hamba yang lemah...”

Wallahualam.
23 Mac 2011, Perpustakaan Bainun UPSI, Tanjung Malim.

3 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

people may not know how u feel and i believe if u're sincere wif ur self and others.. this blog could be the platform 4 u to express ur self. gluck!

bud@k_p$!k0 berkata...

ape2 pon yg terjd..ingt la..masih ada yg mngmbil berat kedaan ko secara senyap..yazid, jg diri sebaik mgkin...ambik la tindakan apa2 pon asalkan terbaik tuk diri ko k..

Tanpa Nama berkata...

Tuan blog terlupa untuk meletakkan tuanku.
Tuanku Bainun.
(tak tahu nk komen apa tumpang rasa susah je la...)