Isnin, 18 April 2011

Pakai inner, siapa kata tutup aurat?

Trend masa kini, pemakaian inner jadi kemestian buat setiap wanita. Tak salah, tapi terdapat sedikit teguran buat si wanita yang saya teladani dari majlis ilmu sewaktu cuti semester lalu di kampung halaman saya. Teguran seorang ustaz dalam majlis tersebut ada kebenarannya.

Inner selalunya akan dipakai apabila wanita itu berpakaian t-shirt lengan pendek atau mungkin apabila memakai baju yang kainnya jarang. Situasi dah menjadi trend dan lihatlah di mana-mana pun, semua mengikut budaya memakai inner ini. Namun soalnya kini apakah pemakaian inner ini dibolehkan dalam Islam? Apakah inner ini terjamin menutup aurat buat si wanita?

Inner tidak menutup aurat. Itu yang harus diakui. Peranannya sebenarnya sekadar menutup atau menyaluti kulit, bukan menutupi bentuk tubuh dan bentuk lengan. Maka, bila dipakai inner kerana t-shirt yang dipakai itu berlengan pendek, maka sebenarnya aurat itu masih belum ditutup. Inner itu hanya melitupi kulit, maka inner itu mengikut bentuk lengan. Jadi jika bentuk lengan kelihatan, maka aurat tak ditutup.

Trend pemakaian baju berkain jarang, baik baju kurung mahupun kebaya memang telah menjadi ikutan kini. Pemakaian inner di dalam dikatakan telah sempurna untuk menutup kejarangan baju yang dipakai itu. Namun, inner itu mengikut bentuk tubuh. Pakaian yang nipis, kemudian di dalamnya dipakai inner, dan inner itu ketat mengikut bentuk tubuh, maka sia-sia sahaja jika tudung dipakai. Kalau dari jauh boleh nampak baju ketat yang dipakai di dalam, buat apa lagi pakai baju jarang di luar tu? Inilah yang Rasulullah kata, wanita di akhir zaman, berpakaian tapi telanjang.

Tak salah nak pakai inner. Namun tujuan itu dipakai bukanlah untuk menutupi kain yang tak cukup atau kain yang jarang, tapi sebagai keselamatan, dari situasi tak terduga. Manalah tau tanpa sengaja lengan baju kurung terselak, maka sekurang-kurangnya ada inner di dalam. Maka itu baru penggunaan sebenar inner. Mengelakkan dari aurat terdedah tanpa sengaja.

Begitu juga dengan baju yang jarang. Jika mahu juga pakai baju yang jarang, pastikan inner itu longgar. Jangan menampakkan bentuk tubuh. Sesetengah mereka pakai baju kurung jarang, inner di dalam dipakai dan hanya paras pinggang tak menutupi punggung dan terlalu ketat dan sendat. Maka terdedahlah aurat walaupun pakaian tutup litup. Bayangkan, pakai t-shirt ketat kemudian dipakai kain, dipakai tudung, dan kemudian keluar dari rumah. Bukankah nampak tak manis dan tak ayu lagi dengan berpakaian begitu? Itulah yang terjadi bila pakai baju kurung yang jarang kainnya, inner ketat di dalam.

Setiap bentuk tubuh wanita bila didedahkan, maka bayangan rupa wanita itu jika tak berpakaian oleh orang lain terhadap mereka akan lebih jelas. Hakikat harus diketahui, tubuh wanita itu setiap sudut punyai tarikan buat si lelaki, dan tarikan itu harus disembunyikan kerana tarikan itu adalah pencetus zina jika dituruti nafsu syahwat.

Inilah mesej yang diterima sewaktu majlis ilmu tersebut. Moga kaum wanita faham, tujuan sebenar inner itu digunakan.

Wallahualam.

Tiada ulasan :