Khamis, 26 Mei 2011

Jahanam Si Polis Trafik!

Gambar sekadar hiasan. Polis trafik ini tidak ada kena mengena dengan bicara ini.


Peristiwa ini bila dikenang, maka rasa marah itu akan muncul. Kadang-kadang mulut boleh menyumpah tanpa sedar dek geramnya akan kisah tersebut. Pengalaman yang baru dilalui minggu lepas buatkan saya tertanya-tanya, benarkah berkesan kempen yang dicanangkan kerajaan? Bila nak diceritakan pada orang lain, ada pula yang kata:

“Ish, tak baik burukkan mereka. Keamanan negara ni diorang yang jaga”

Ah, persetankan soal ‘nak jaga nama baik’ mereka. Saya memang sangat geram bercampur rasa nak tampar saja mereka. Kisah ini bermula dengan satu kunjungan bertemu sahabat, dan diakhiri dengan sebuah kegeraman sehingga tanpa henti diluahkan walaupun dah berhari-hari berlalu.

Terfikir juga saya, inilah barah yang merosakkan masyarakat kini. Pelbagai masalah yang terjadi memang datang dengan pelbagai punca. Saya justifikasikan, mungkin darah ‘kotor’ yang mengalir dalam setiap perosak-perosak ini yang menghuru-harakan negara dengan pelbagai kes jenayah, baik rogol, mencuri sampailah kepada kes pecah amanah, maka saya akui, bila Islam mula dipinggirkan itulah yang terjadi.

Inilah kisah yang ingin dikongsikan.

Perjalanan dengan motosikal, ditunggang adik kedua saya dan saya selaku pembonceng. Sekadar persinggahan berjumpa sahabat lama, kemudian ke pasar malam, beli sedikit makanan untuk dikongsikan dengan adik-adik, maka kisah seterusnya saya pulang bersama adik saya. Tak sampai separuh perjalanan pulang, kelihatan dua anggota polis trafik memantau perjalanan kenderaan di jalan raya, dan dapat dilihat juga beberapa penunggang motosikal ditahan.

Tersenyum seketika melihat yang ditahan, tapi tak sedar saya sendiri pun membonceng motosikal. Hah, tak lama kemudian, adik saya juga ditahan. Saya turun, dan terus diminta lesen adik saya. Seorang anggota polis menghampiri adik saya, dan saya menjadi pemerhati dari jauh.

Dilihat kemudian seorang lagi polis memeriksa motosikal adik saya. Entah, saya tak tahu apa yang diperiksanya, memandangkan motosikal tersebut masih baru, hadiah pemberian ayah untuk adik saya. Tak lama kemudian polis tersebut menghampiri adik saya.

Sebelum terkeliru dengan kisah seterusnya, lebih baik saya bahagikan dua orang polis tadi kepada dua nama. Polis A dan polis B. Polis A yang sedang memeriksa lesen adik saya, dan polis B sedang memeriksa motosikal adik saya.

Polis A masih terus melihat lesen P adik saya. Polis B pula kelihatan bercakap dengan adik saya. Dek percakapan tak kedengaran dari tempat saya berada, maka saya menghampiri mereka.

“Minta maaflah. Tapi nampaknya adik dah buat kesalahan,” bicara polis B tersebut.

“Hah, kesalahan apa pulak ni?” soal adik saya kehairanan.

Belum sempat perbualan berkembang, si polis A menyerahkan kembali lesen adik saya. Maka saat itulah si polis B bersuara bercakap kepada polis A.

“Eh, nanti dulu. Dia ada kesalahan ni” kata polis B menghalang polis A menyerahkan kembali lesen adik saya.

“Kesalahan apa?” bisik saya dalam hati.

“Lesen dia ok je. Tak mati lagi. Road tax ke yang tamat?” soal polis A.

“Eh, mustahil kot. Motor baru tu,” polis B membalas.

“Dah tu?”

“Ni ha, sticker P dia tu tak ikut saiz betul. Kecik sangat ni” terang polis B.

Terkejut saya. Tak sangka pula pelekat P yang ditampal adik saya tak ikut spesifikasi yang sebenar. Nampak macam dah ok, rupa-rupanya masih tak sempurna. Maka menggelabah juga adik saya seketika. Maklumlah, tak pernah kena saman lagi sebelum ini.

“Adik, sticker P yang dilekat tu tak ikut saiz sebenar. Kalau saiz JPJ, besar lagi. Yang adik lekat sekarang kecik sangat. Tu satu kesalahan,” terang polis A.

“Eh, tak ikut saiz dia ke?” soal adik saya terkejut. (Mungkin juga sengaja buat-buat terkejut kot....)

Adik saya kemudian terus melihat pelekat P tersebut. Diamati untuk beberapa ketika. Bahagian depan motosikal dilihat, dan kemudian diikuti bahagian belakang.

“Kecik ke saiz dia?” soal adik saya kemudian. Polis tersebut sekadar mengangguk.

Saya hanya jadi pemerhati dari jauh.

“Kena saman ni,” kata polis A.

Sekali lagi saya terkejut. Perjalanan petang tersebut akhirnya terhenti seketika untuk menerima sebuah saman. Wajarkah disaman? Itu persoalan berlegar-legar di kepala saya.

“Berapa kena sama ni encik?” soal adik saya ingin tahu.

Polis tersebut kemudian menerangkan secara terperinci kesalahan yang dilakukan. Spesifikasi pelekat P yang sebenar diterangkan. Jumlah saman kemudian dinyatakan. Malah, mungkin sekadar ingin memberitahu, jumlah saman untuk kesalahan-kesalahan lain seperti tak memakai topi keledar, tiada cermin sisi, lampu hadapan rosak turut dinyatakan polis tersebut. Mereka cuba membandingkan jumlah saman bagi kesalahan-kesalahan tersebut dengan kesalahan yang telah dilakukan adik saya.

Konklusinya, agak terkejut juga saya dengan jumlah saman yang dikenakan. Memang agak tinggi, namun, itulah yang telah ditetapkan dalam peraturan jalan raya.

Fikiran saya pada waktu itu, melayanglah duit untuk membayar saman trafik. Namun, jika memang benar kesalahan telah dilakukan, maka akurlah sahaja. Namun belum sempat memikirkan keluhan saya mengenai melayangnya wang dek saman, polis A memberi cadangan bagi meringankan beban membayar saman yang tinggi itu.

“Kalau adik nak bayar saman, memang mahal ni. Takut mak ayah adik marah pula nanti. Macam ni la, saya boleh tolong adik. Bagi ringan sikit masalah adik ni....” bicara polis A tadi. Sedikit tersenyum namun saya tidak mengerti makna senyuman tersebut.

“Macam mana?” soal adik saya. Saya masih terus membisu menjadi pemerhati sahaja.

“Macam ni, adik tak payah bayar saman. Saya tak akan keluarkan saman, tapi adik kena bayar RM50 kat saya,” kata si polis B pula.

Terkejut saya dengan kenyataan polis B tersebut. Si polis A pula tersenyum saja namun masih lagi dengan wajah yang serius. Adik saya pula seribu satu gelabah. Tak tahu nak buat apa. Terus terang, pada waktu itu, tak terlintas di fikiran saya bahawa kedua-dua polis trafik tersebut sebenarnya sedang meminta rasuah dari adik saya.

“Err, tapi saya tak ada duit. Duit saya tak cukup,” balas adik saya sambil mengeluarkan dompetnya melihat jumlah wang yang ada. Diselak dompet tersebut. Dikira jumlah wang yang ada.

Mata si polis B tajam merenung dompet adik saya. Boleh nampak dari jauh dari pandangan saya. Kehairanan sekali sebab mata polis tersebut menjadi tajam apabila adik saya mengeluarkan dompetnya.

“Tu, RM30 yang ada dalam dompet tu, bagi je la semua. Habis cerita. Tak ada saman,” bicara polis B itu kemudian.

Menyirap darah saya. Secara tiba-tiba api kemarahan ditiup. Saya yang membisu sejak tadi menjadi pemerhati sahaja mula hilang kesabaran.

“Celaka punya polis,” bisik saya. Serentak dengan itu juga, adik saya seolah-olah seperti akur, telah mengeluarkan kesemua wang yang ada dalam dompetnya.

Saya terus bersuara. Mengawal rasa marah, saya keluarkan kata-kata tegas buat adik.

“Jangan bayar sesen pun!”

Adik saya terkejut. Polis A dan polis B juga terkejut. Saya yang sebelum ini hanya membisu, tiba-tiba bersuara. Serentak dengan itu juga adik saya menyimpan semula wang ke dalam dompetnya.

“Saman saja adik saya. Biar tinggi mana pun samannya, tak apa, saya tak kisah,” saya dengan tegas berkata lagi.

Memang saya akui agak geram ketika itu. Saat polis B itu meminta wang, telah buatkan saya merasai sedikit api kemarahan. Namun, bila polis tersebut merenung jumlah wang yang ada dalam dompet adik saya dan kemudian meminta kesemua wang tersebut, memang saya akui darah saya menyirap. Sangat kurang ajar. Inilah pemerasan secara halus dari anggota polis trafik yang mungkin baru sahaja berkhidmat (melihat dari susuk tubuh dan wajah, saya yakin kedua-dua polis ini berusia dalam lingkungan awal 20-an). Cara meminta wang tersebut tak ubah seperti samseng meminta wang perlindungan dari orang awam.

“Eh, kalau saman kena bayar banyak. Rugi je encik,” kata polis A pula.

“Saman tinggi mana pun saya tak kisah. Saya akan bayar,” balas saya dengan mengawal nada suara saya. Harus diakui, saat itu memang saya nak melenting. Adik saya ketika itu sekadar membisu.

“Eh, kami bagi peluang, takkan tak nak ambil kot?” kata polis B pula.

Sekali lagi api kemarahan saya bertambah. Tangan saya digenggam dengan kuat. Rasa macam nak tumbuk sahaja kedua-dua polis ini.

“Saya tahu memang encik berdua nak bantu kami dengan kenakan bayaran rendah dari bayar saman yang lebih tinggi. Tapi, saya lebih sanggup minta adik saya ni bayar saman yang tinggi tu dari bayar duit yang sikit tu untuk encik berdua,” kata saya dalam nada yang agak tinggi.

“Sabarlah encik. Jangan marah-marah. Kami minta sikit je. Nak tolong adik encik juga,” kata polis A.

Kedua-dua polis ini masih tak berputus asa. Terus dicuba untuk memujuk saya dan adik saya.

“Tadi kami minta RM50, tapi sekarang ni dah berkurang RM30 je. Lagi sikit dari apa yang kami minta awal-awal tadi,” kata polis B pula.

Lantas saya membalas kembali.

“Kalau ada seribu ringgit sekalipun dalam dompet saya, takkan saya bagi kat encik berdua”

“Bayarlah je abang,” bicara adik saya menghilangkan kebisuannya.

“Tak ada. Yang ni memang tak boleh bagi muka,” kata saya.

“Alah, takkan RM30 ringgit pun kedekut?” soal polis A.

“Saya tak nak subahat dengan benda-benda haram, dengan duit-duit haram. Saya tak nak jadi penyumbang rasuah,” balas saya.

“Alah encik, ni bukan rasuah. Ni kira macam upahlah untuk kami. Upah sebab tak bagi saman kat adik encik,” kata polis A.

“Bagitau saya macam mana rasuah yang encik berdua cakap ni? Apa tak rasuah lagi ke minta duit sebagai ‘upah’ atas penyelewengan tugas encik sendiri?” soal saya.

Mereka terdiam.

“Saya sanggup bayar walau setinggi mana pun saman yang dikenakan. Tapi saya tak akan sama sekali bayar pada encik berdua walau serendah mana pun duit yang diminta. Sebab duit saman yang dibayar nanti akan kembali pada rakyat, tapi kalau saya bagi duit pada encik berdua, duit tu hanya untuk manfaat encik berdua saja,” kata saya lagi.

“Saya tak nak akhirat nanti saya dipersalahkan sebab jadi punca bagi duit haram kat encik. Saya tak nak dipersalahkan sebab jadi penyumbang mengalirnya darah haram dalam tubuh encik berdua yang berpunca dari duit yang haram. Saya tak nak darah daging encik atau kalau ada, anak-anak encik terbina dari sumber yang haram. Saya tak nak saya dipersalahkan,” kata saya lagi. Tanpa sedar, dek kemarahan dan kegeraman, saya menjadi berani hingga boleh pula bersyarah pendek pula kepada kedua-dua polis tersebut.

Penyudahnya, kedua-dua polis tersebut membisu. Langsung tak membalas kata-kata saya tadi. Akhirnya mereka keluarkan saman, dan adik saya mengambilnya. Kami kemudian pulang ke rumah.

“Apa guna pakai lencana anti rasuah kalau perangai macam ni ada,” kata saya sambil memerhati mereka. Itulah yang saya luahkan sebaik saman diberikan kepada adik saya.
Hari itu saya menyaksikan dua orang polis trafik cuba meminta rasuah dari adik saya. Kejadian itu ternyata buat saya menjadi geram. Jika inilah yang diamalkan oleh sesetengah anggota polis, maka hancurlah negara ini.

Dalam mengejar kemajuan, mentaliti penguatkuasa juga haruslah dimantapkan. Integriti yang tinggi perlu disemai supaya gejala rasuah ini dapat dibendung. Itulah sebab saya nyatakan, jika ada sesetengah polis mengamalkan budaya ini, maka sia-sia sahajalah kempen anti rasuah yang dilancarkan oleh PDRM sendiri.

Cerita ini bukanlah kali pertama saya hadapi. Sebelum ini saya banyak mendengar cerita polis trafik yang meminta wang dari pengguna trafik sebagai mengelak dari dikenakan saman. Seorang rakan saya diminta membayar RM15 bagi mengelak disaman dek ketiadaan cermin sisi di bahagian kiri. Seorang rakan saya yang lain diminta membayar RM40 dek nombor plat motosikal yang tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya. Seorang lagi rakan saya diminta membayar RM5 dek kealpaan mengikat tali topi keledar. Bagi mengelakkan polis menyaman mereka, polis-polis ini meminta wang dari rakan-rakan saya ini.

Rasuah bukan sahaja merosakkan sistem penguatkuasaan negara, malah jika dinilai dengan lebih mendalam, mampu merosakkan kesucian sistem masyarakat itu sendiri. Bayangkan, anak-anak kecil diberi makan oleh ayah mereka hasil dari duit haram yang ayah mereka terima. Bukankah itu telah merosakkan darah daging anak-anak ini? Dan bila sumber haram ini telah sebati menjadi darah daging, inilah yang menghasilkan generasi-generasi baru yang rosak. Maka tak hairanlah jika pada masa akan datang, kejahatan mengatasi kebaikan, jenayah mengatasi keamanan. Hakikat yang perlu diakui, rasuah menggelapkan negara.

Kisah yang dikongsikan ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan PDRM khususnya bagi polis trafik negara kita. Saya tahu, lebih ramai anggota polis di luar sana yang masih berhemah dan berdedikasi dalam menjalankan tugas dan amanah. Namun, saya juga mengakui, terdapat juga sebilangan kecil dari anggota polis ini yang tidak mengerti erti bersyukur sehingga berlebih-lebihan mencari wang dari sumber yang haram yakni rasuah. Bilangan yang kecil inilah yang telah merosakkan nama baik PDRM.

“ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(al-Baqarah, 188)

Renungkanlah kembali betapa rasuah ini dilarang di dalam al-Quran. Makanya hindarilah rasuah, itulah yang saya harapkan buat semua penguatkuasa yang bertugas. Bersyukur pada apa yang ada, walau mungkin tak mencukupi, tapi berkatnya pasti ada. Berkat yang dinikmati inilah yang memberikan bahagia kehidupan.

Surat saman itu diserahkan pada ayah. Bila diceritakan kisah yang dialami saya dan adik saya, maka ayah sekadar tersenyum.

“Baguslah. Mahal mana pun saman ni, mahal lagi untuk korbankan integriti kita bersekongkol jadi penyumbang rasuah buat mereka,” kata ayah.

Saman telah dibayar. Walaupun agak tinggi, namun itu lebih baik dari membayar satu penyelewengan bernama rasuah.

Benar, setiap kali saya kenangkan peristiwa dua anggota polis trafik muda itu, memang saya merasa sedikit geram. Seperkara lagi, saya juga merasa sedikit ralat. Dalam situasi yang ‘panas’ itu, saya terlupa untuk mencatat nama dan nombor anggota polis trafik tersebut. Kalaulah saya mencatat nombor mereka, pasti laporan polis akan saya buat.

Tak mengapa, mungkin Allah bagi peluang untuk mereka berubah. Itulah kata-kata menyedapkan hati yang saya lemparkan. Moga mereka akan berubah.

Adik saya kemudian menceritakan kisah yang hampir sama. Namun kejadian ini berlaku di Ipoh. Ditahan atas kesalahan tidak meletakkan pelekat P di belakang yang tanpa sedar telah tercabut dari motosikal adik saya. Polis trafik yang menahannya sekadar memberi amaran kepada adik saya supaya menggantikan dengan pelekat yang baru. Tiada saman diberi, tiada wang yang diminta.

Inilah polis contoh yang sepatutnya diikuti. Punyai nilai timbang rasa namun pada masa yang sama masih lagi tegas dan tidak pula cuba mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain dengan menyalahgunakan kuasa yang diberi.

Ya, saya masih ingat lagi saat saya tiba di rumah.

“Celaka punya polis trafik!” itulah yang saya luahkan sebaik tiba di rumah.

Maka saya jadikan luahan itu sebagai tajuk. Namun saya ubahsuai, moga nampak sedikit bersopan.

“Jahanam Si Polis Trafik!”

p/s: kagum dengan kesabaran anggota polis trafik melayan kerenah pengguna jalan raya yang kadang kala melenting bila disaman. Jika dihitung jumlah marah dan cercaan terhadap mereka, pasti banyak pahala ‘free’ diperoleh mereka.

8 ulasan :

Ahmad Zaki bin Mohd Hashim berkata...

Aku respect tindakan kau Yazid......Diorg igt diorg jadi law enforcer diorg bley wat sker2 diorg jer.....konon anti rasuah la...pe jadah la.......pastu ble anak2 wat masalah......asyik sakit2.....bley lak tnye APE LA SALAH AKU......agak NGONG disitu......

hyemynameisrasyid berkata...

pergh.,aku jumpa polis cmtu siap la.,
bapak aku polis jugak, dia pesan kalau ada yg buat camtu, ambil nombo badan polis tu dan laporkan je.,biar padan muka diorg.,sikap segelintir polis menyebabkn nama baik polis dipandang sinis.,jasa baik polis mmg xkn dipandang.,mana xnya.,segelintir polis sndri yg memalukan nama POLIS.,aku pon xtau kt mana salahnya.,lepas ni kalau nk training polis kena lah train agama jugak.,bg penekanan agama supaya kukuh. Bila iman kukuh InsyaAllah.,semua ni akan berkurangan.,Aku tringin nk berada dlm situasi cmtu.,supaya aku boleh ceramah polis tu smpai dia menangis. Aku geram sebab bapak aku pon polis.,bila jadi benda-benda cmni.,tempias la.,sebab yg malu nama POLIS..

hana banana berkata...

a nice sharing abg yazid=)
hana xpernah kena tahan polis trafik=p
but then, kalau hana yang dlm situasi abg yazid, konfem mengamuk jugak!-baca pown bengang-

che|hazrie berkata...

hang maki ja polis uhh..usah bagi muka..!

Mastura Rara berkata...

haram punya polis. ew.
Good job you ! :)

kumbang malam berkata...

Syabas, sahabat.. Tahniah atas tindakan yang tepat tersebut... Hari tu di Melaka, kes yang sama juga... Hamba Allah ni hanya ounya RM15, tapi polis tu pun sauk je + saman lagi... Allahuakbar... Dunia oh dunia... =)
Moga hamba2 Allah yang terlibat tu sedar dan bermuhasabah serta bertaubat akan segala kesalahannya...
Sama-sama lah kita berdoa untuk keadilan dan keamanan negara kita ini...=)

Sipitol berkata...

Kalo aku jafi polis tu bila ko dh nak sgt kena saman kompom aku xckp byk punya terus saman lekat kat muko ko tu ha..aku mmg mengharapkan polis yg saman aku tu buat camtu tp rezeki tak der. Drp byr saman penuh baik bayar skit jer buat syarat.rekod buruk pun xder..pegi mamposs la

Tanpa Nama berkata...

panas hati jg baca crite ni. Anyway mmg syg x dapt repot diorg sbb makan duit rasuah ni