Rabu, 31 Ogos 2011

Apabila Suci datang ke rumah...




Kisahnya diceritakan oleh sahabat rapat, sebuah sambungan kisah luahannya seperti yang pernah diceritakan dalam bicara sebelum ini; Luahan sahabat berbicara tentang Suci dalam penceritaan tersirat ....”

Bicara bermula dengan sebuah kejutan, ketika dirinya ke perpustakaan sekolah berjumpa ayahnya yang menunggu. Ayahnya seorang guru, dan dia muncul setelah lima tahun meninggalkan alam persekolahan. Saat itu matanya terpaku.

Suci di sebelah ayahnya, dan ayahnya itu berbual mesra dengan Suci.

“Apakah ayahku megenali Suci?” bicara sahabat ini dalam persoalan.

Lantas perkenalan berlaku, walaupun hakikatnya Suci dan dirinya masing-masing telah mengenali antara satu sama lain.

Kata ayahnya, Suci akan menumpang tinggal di rumah. Ibu dan ayah Suci akan berada di luar negara atas urusan kerja. Makanya selama seminggu Suci akan berada di rumah sahabat ini.

Sahabat ini terkejut. Tak terlintas di fikirannya  gadis bernama Suci itu akan menumpang tinggal beberapa hari di rumahnya.

“Bagaimana boleh berlaku perjanjian tumpang tinggal di rumahnya itu?” saya menyoal sahabat ini.

Katanya, ayahnya dan ayah Suci adalah sahabat. Berkenalan lama walaupun beza sisi pandangan politiknya. Perkara itu ternyata di luar pengetahuan sahabat ini.

Matanya terpegun saat melihat Suci berada di bilik tetamu. Saat itu, dia seakan tak percaya gadis yang menjadi obsesinya itu berkunjung ke rumahnya. Saat mata melihat ketekunan si Suci menyiapkan tugasan kolej di ruamhnya, sambil matanya hanya fokus pada kerja itu, itulah detik terindah yang sukar dipercayainya. Wajah Suci adalah terindah pada pandangan matanya. Kekaguman ditambah pula dengan rasa terpesona, maka kisah seterusnya menghasilkan detik-detik tak terucap bagi sahabat ini.

“Cantiknya tak tergambar...” kata sahabat ini menggambarkan kekaguman.

Benar, matanya sering menjeling melihat Suci sewaktu menyiapkan tugasan kolej di ruang tamu rumahnya. Suci tak menyedari, ketekunan melakukan kerja itu disambut dengan renungan oleh sahabat saya ini. Adik-adik kecil sahabat ini kadang kala menganggu si Suci yang tekun bekerja, mungkin pinta untuk bermanja. Tiada kemarahan terlahir di wajah Suci, tetapi hanya senyuman manis sambil ketawa kecil melayan kerenah adik-adik kecil ini. Kekaguman tercipta lagi buat sahabat ini.

Malam itu, Suci tidur bersama-sama adik-adik perempuan sahabat ini. Amat manja, seolah-olah adik-adiknya itu telah lama mengenali Suci. Perbualan tercetus diikuti dengan gurau senda saat Suci dan adik-adiknya itu hendak tidur di bilik. Gurau senda itu jelas didengari oleh sahabat ini yang tidur di ruang tamu.

“Apakah ada tersirat di sebalik kemesraan antara mereka ini?” soal sahabat ini.

Ibu sahabat ini melayan dengan penuh mesra Suci. Dilayan Suci ibarat seperti anak sendiri. Perbualan mesra seringkali tercetus setiap masa di rumah. Suci mesra orangnya, dan ibu sahabat ini pula ternyata ramah orangnya.

“Apakah serasi mereka ini ada maksudnya?”

Petang itu, Suci keluar berjalan-jalan di halaman rumah menghirup udara segar. Mungkin kepenatan dek sibuk menyiapkan kerja dan tugasan, kini mahu merehatkan minda. Saat itu, sahabat ini curi-curi masuk ke bilik Suci. Sekadar masuk untuk melihat, namun matanya terpaku di meja kerja di bilik itu. Tugasan-tugasan kolej Suci terusun rapi di atas meja. Dibelek-belek tugasan itu namun sahabat ini tak mengerti. Tak faham apa yang dilihat, kerana Suci bidang pengajiannya dalam perbankan. Seorang bakal guru tak akan mengerti apa itu konsep inflasi mahupun dasar kewangan fiskal.

Mata sahabat ini kemudian tertarik pada kamera digital di atas meja. Terus diambil sekadar melihat. Milik si Suci, kamera itu mencetuskan rasa ingin tahu. Maka dihidupkan kamera itu. Satu persatu gambar dalam kamera itu dilihatnya.

Saat itu sahabat ini terkejut seketika. Mungkin tak percaya, atau mungkin juga tak terlintas di fikirannya.

Wajah-wajah sahabat ini mendominasikan dalam simpanan gambar dalam kamera itu. Satu persatu gambarnya terpampang dengan jelas dalam kamera milik Suci itu. Kebanyakan gambar itu diambil dari jauh tanpa disedari sahabat ini sendiri. Terdapat juga video rakaman, yang dirakam Suci sendiri, dan dengan jelas rakaman tesebut ialah rakaman gelagat sahabat ini bermain dengan adik-adiknya.

Sahabat ini terkejut. Tidak menduga, dalam diam Suci mengambil gambarnya. Tidak menduga, dalam diam Suci merakamkan video dirinya. Mengapa dan kenapa? Itulah persoalan yang tercetus. Apakah terdapat istimewa buat sahabat ini pada mata si Suci?

Lantas tercetus persoalan dalam pertanyaan.

“Apakah Suci menyukai aku?” soal sahabat ini.

Hakikatnya, Suci tak pernah luahkan rasa hatinya kepada sesiapa. Apatah lagi luahkan kepada sahabat ini. Kata sahabat ini, Suci telah punyai teman hati, dan diketahuinya menerusi laman Muka Buku. Namun, sejauh mana kebenaran bahawa Suci ini punyai hubungan istimewa dengan si teman hati itu, maka jawapannya masih samar-samar.

Mungkinkah dalam diam Suci mencintai sahabat ini? Mungkinkah memang akan tiba satu masa nanti, sahabat ini dan Suci akan bersatu mengikat janji dan hati?

Sahabat ini bernama Tabah, dan memang punyai obsesi terhadap Suci. Walaupun punyai hubungan dengan seorang gadis lain kini, namun obsesi terhadap gadis bernama Suci masih terus kekal.

Apakah maksud di sebalik koleksi gambar-gambar wajah Tabah yang disimpan Suci dalam kamera digitalnya? Bagaimana pula dengan rakaman video itu? Apakah itu tanda bahawa Suci memang menyukai Tabah dalam diam?

Hakikatnya, keluarga Tabah melayan dengan baik Suci sepanjang Suci berada di rumahnya. Tempoh seminggu itu melahirkan rasa kekaguman yang tercipta apabila melihat kemesraan yang ditonjolkan oleh keluarganya terhadap Suci. Ibarat seperti  sebahagian dari keluarganya, itulah yang dilihat Tabah apabila memerhatikan kemesraan Suci dan keluarganya.

Saat itu juga baru Tabah tahu, keluarganya tidak langsung memandang latar politik keluarga Suci. Walaupun tak sebulu bendera politik, namun itu bukanlah lesen pemutus tali silaturahim. Sahabat ini tahu, mungkin lima sebab yang pernah dinyatakan sebelum ini kepada saya hakikatnya bukanlah satu sebab yang akan memustahilkan impiannya bersama Suci.

Petang itu juga, Suci bermain-main dengan adik-adik Tabah. Sangat mesra dan tak pernah jemu melayan kerenah adik-adiknya, ternyata gelak ketawa yang tercipta dalam gurauan bermain-main itu mencetuskan rasa bahagia di hati Tabah.

Apakah benar Suci akan menjadi sebahagian dari keluarga sahabat ini?

Persoalan demi persoalan akan terus tercipta. Biarlah, kerana tiap kali bicara tentang obsesi sahabat ini terhadap Suci, memang penuh keterujaan akan tercipta.

Saat itu jugalah, Tabah tidak lagi takut untuk menyebut nama Suci di hadapan keluarganya. Jika dulu disorok sahaja perihal Suci ini, namun kini barulah dia tahu keluarganya hakikatnya telah mengenali si Suci.

Buat sahabat ini, jika benar kamu bahagia dengan Suci, maka usahakanlah sesuatu. Barang siapa pun pilihan kamu, baik Suci mahupun gadis yang lain, cuma satu sahaja harapan saya selaku sahabat rapat kamu.

“Moga kamu bahagia senantiasa”

Bersatukah Tabah dan Suci satu hari nanti?


Hanya Allah mengetahui, dan hanya takdir yang mengerti... 


Tiada ulasan :