Khamis, 25 Ogos 2011

Epilog Kerana dia memelukku di KOMTAR




Penghasilan Siri Adina (Bicara Dua Belas) telah membawa saya berkunjung semula ke Pulau Pinang. Kunjungan wajib setiap kali bercuti, maka kisah kali ini hanya lebih ditumpukan kepada kunjungan ziarah keluarga saya di sana. Itulah yang mencetuskan ilham buat saya bagi menulis Adina (Bicara Dua Belas).

Pulau Pinang dan saya ternyata terlalu sebati.  Dari dulu sehingga kini, kunjungan ke Pulau Mutiara ini menjadi satu kunjungan wajib setiap kali mempunyai peluang dan kelapangan. Banyak kisah dan perjalanan telah tercatat di sini, dan pengalaman yang dikutip juga ternyata sangat bermakna.

Epilog perjalanan setelah hampir setahun berlalu, kunjungan saya masih sama, iaitu singgah ke KOMTAR. Ibarat satu tradisi, acap kali berkunjung ke Pulau Pinang, maka KOMTAR menjadi destinasi wajib untuk saya kunjungi.  Telah menjadi kebiasaan sehingga mungkin menjadi kemestian.

Pernah dikisahkan satu masa dulu, perjalanan di KOMTAR mencetuskan rasa kejutan tak terduga. Itulah kisah si gadis yang tiba-tiba memeluk saya secara mengejut. Kisah itu ternyata menjadi perjalanan pengalaman yang tak pernah disangka akan memberi impak yang besar dalam hidup saya. Disebabkan kejutan itulah, satu kesyukuran tercipta dalam hati. Itulah kesyukuran apabila seorang gadis menemui jalan benar kembali.

Beberapa hari yang lalu, pada sebelah paginya, seperti biasa rutin berjoging di Taman Tasik masih tetap diteruskan walaupun di bulan Ramadan. Cuaca dingin dengan kabus masih menyelimuti kawasan taman tasik ternyata beri nikmat tak terucap.  Hujan malam sebelumnya telah mendinginkan pagi itu. Hari itu, semangat berbeza dirasai. Itulahs semangat dengan hati penuh teruja untuk berkunjung ke Pulau Pinang.

“Setiap 17 minit, lahir seorang anak luar nikah”

Itulah tajuk Dewan Masyarakat edisi Jun 2011. Ternyata melihat pada tajuknya sahaja, memang agak menakutkan untuk menerima hakikat, masyarakat hari ini telah mengalami kerosakan yang amat parah.

Bukan mudah untuk mendapatkan naskah Dewan Masyarakat sejak kebelakangan ini. Semuanya gara-gara masalah yang menimpa syarikat Dawama, iaitu syarikat yang diberikan kepercayaan oleh DBP untuk mencetak naskah Dewan Masyarakat. Dek pembuangan 400 pekerja Dawama, maka pengedaran naskah Dewan Masyarakat juga telah terencat. Naskah Julai dan Ogos masih belum berada di pasaran Taiping.

Kerana puas mencari naskah itu, maka perjalanan ke Pulau Pinang terpaksa diubah masanya. Sukar benar untuk menemui naskah itu di Taiping dan akhirnya baru saya ketemu naskah tersebut apabila berkunjung ke kedai buku DBP yang terletak di hadapan Hospital Taiping. Namun hanya naskah bulan Jun sahaja yang ada, dan itupun hanya tinggal beberapa naskah sahaja.

Selepas Zohor, perjalanan dimulakan. Naskah Dewan Masyarakat yang baru dibeli itu turut dibawa bersama untuk menjadi teman sepanjang berada di Pulau Pinang.

Memandu berseorangan, fikiran senantiasa menerawang memikirkan pelbagai perkara. Perkaitan tajuk utama majalah yang dibeli itu ternyata amat rapat dengan kisah yang berlegar di fikiran saya ketika itu. Disebabkan dirinya, saya muncul kembali ke Pulau Mutiara. Perjalanan satu jam setengah itu hanya membuatkan fikiran saya memikirkan akan barah kerosakan yang sedang melanda generasi muda hari ini.

Melepasi Jambatan Pulau Pinang, maka destinasi telah ditetapkan. Perjalanan akan menuju pula ke Universiti Sains Malaysia (USM).  Lokasi ini bukanlah asing, kerana kerap kali saya berkunjung ke sini. Seperti yang telah dijanjikan menerusi perbualan pendek di telefon semalam, maka saya akan menuju ke Masjid al-Malik Khalid atau lebih dikenali sebagai Masjid USM. Di sana saya akan bertemu dengannya.

Menanti di perkarangan masjid mengimbau kembali kisah lama beberapa tahun yang lalu. USM bukanlah sesuatu yang asing. Setiap inci kawasan kampus ini telah dihafal dengan baik. Malah, setiap kali berkunjung kembali ke bumi USM, perasaan ‘pulang ke rumah’ memang dapat dirasai.

“Assalamualaikum”

Bicara dia dimulakan dengan satu lafaz salam lantas terus saya jawab. Akhirnya individu yang dinanti telah tiba di perkarangan masjid.

“Abang nak gerak sekarang?” soalnya kemudian.

“Insyaallah”

Saya mengikut dari belakang Suzuki Swift yang dipandunya. Walaupun jalan-jalan di Pulau Pinang telah biasa dilalui, namun untuk perjalanan ke rumahnya saya akui saya tak tahu. Walaupun alamat diberinya, saya akhirnya meminta dirinya muncul juga untuk menjadi pemandu pelancong tak bertauliah buat saya membantu perjalanan saya ke rumahnya.

Siapakah hamba Allah itu?

Itulah individu yang pernah mencipta kisah di KOMTAR. Itulah hamba Allah yang tiba-tiba memberikan kejutan sewaktu kunjungan saya di KOMTAR setahun yang lalu. Itulah gadis yang memeluk saya di KOMTAR. Epilog memulakan penceritaan.

Semuanya bermula dengan satu panggilan ringkas menerusi telefon. Gadis itu beri kejutan menjemput saya berbuka puasa bersama keluarganya.  Katanya, ibu bapanya ternyata sangat ingin menemui saya. Maka saya terus beri persetujuan.

Perjalanan ke rumahnya tidaklah jauh dari kampus USM. Namun, dek kesesakan jalan, maka masa perjalanan menjadi panjang sedikit. Mata tertumpu saat kereta yang dipandu melalui kawasan kondomium mewah. Kagum dibuatnya, apabila mendapat tahu bahawa keluarga gadis ini tinggal di kawasan tersebut.

Kereta yang dipandu terus mengikuti kereta gadis itu melepasi pondok pengawal di pintu masuk kondominium. Itulah pertama kali saya memasuki kawasan kediaman mewah sebegitu.

Rumahnya terletak di tingkat sepuluh, dan mengadap kawasan pantai. Kunjungan saya di rumah itu disambut dengan senyuman mesra ayah dan ibu gadis tersebut. Terharu saya dibuatnya atas layanan baik dari mereka. Tambah mengharukan, saya diberitahu bahawa ibu dan ayah gadis itu telah mengambil cuti semata-mata mahu berjumpa dengan saya. Rasa serba salah pula dibuatnya.

Sejurus sampai, ibunya terus mempelawa saya berehat-rehat di ruang tamu. Satu pelawaan yang bertepatan dengan apa yang saya rasai ketika ini. Benar, saya agak keletihan sebaik tiba di rumahnya. Mungkin keletihan akibat terlebih aktif di pagi hari dek sibuk mencari naskah Dewan Masyarakat.

Menanti azan Asar, maka saya mengambil peluang meninjau-ninjau ruang tamu. Mata yang memandang akhirnya membuat kesimpulan bahawa keluarga gadis ini bukanlah calang-calang orang. Kekayaan menguliti kehidupannya. Barang-barang di ruang tamu itu ternyata bukanlah seperti kebiasaan yang saya lihat di ruang tamu di rumah-rumah lain.

Tidak menghairankan melihat kemewahan rumah itu. Bapanya seorang peguam di sebuah firma, dan ibunya pula seorang arkitek. Gadis itu hanya mempunyai seorang adik, dan pendapatan bulanan keluarganya jauh melebihi dari apa yang diperlukan. Limpahan kemewahan menguliti hidupnya. Terasa kecil diri ini bila melihat kesenangan hidup keluarganya. Jauh benar dengan keluarga saya yang hidup bersederhana.

Angin yang bertiup telah menarik kaki saya untuk melangkah ke balkoni rumah itu. Mata kagum melihat dengan pemandangan dari balkoni itu. Hamparan lautan jelas dilihat, dan dari balkoni ini jugalah, dapat dilihat dengan jelas kawasan Seberang Perai yang terletak di tanah besar.

Maka, saya putuskan untuk berehat sahaja di balkoni itu. Duduk di kerusi rotan sambul menikmati hembusan angin yang menyegarkan. Peluang yang jarang dirasai jika berada di sebuah kondominium mewah di tingkat sepuluh. Ah, mungkin sekali sahaja peluang ini.

“Boleh saya duduk?”

Saya disapa. Gadis itu berdiri di balkoni. Muncul secara mengejut. Entah kenapa, saat dia muncul itu, fikiran saya terus terkenangkan kembali peristiwa kejutan saya terima sewaktu berkunjung ke KOMTAR apabila dipeluk oleh gadis yang sama setahun yang lalu. Apakah gadis ini memang suka memberi kejutan pada saya?

“Silakan,” saya membalas diikuti dengan diam seribu bahasa. Tak tahu apa yang ingin dibualkan dengan gadis itu. Saat itu, adiknya sedang menonton televisyen bersama ayahnya di ruang tamu yang tak jauh dari balkoni tempat saya berada, sementara ibunya pula berada di dapur. Gadis itu kemudian duduk di kerusi rotan di sebelah saya.

“Terima kasih banyak-banyak abang....” bicara gadis itu memulakan bicara.

“Terima kasih?” saya menyoal kehairanan tanda tak faham.

“Sebab abanglah semuanya dah berbeza sekarang. Kerana abang, saya dah berubah”

Tak tahu apa yang ingin saya bicarakan. Ucapan terima kasih yang diungkapkan itu hakikatnya bukanlah layak untuk diberikan kepada saya. Hakikatnya bukan saya yang menyebabkan dirinya berubah.

“Kamu yang merubah diri kamu. Kerana hati kamu nak berubah, maka kamu berubah. Bukan saya penyebabnya,” balas saya.

“Tapi, kalau tak kerana abang yang tegur saya hari tu, mungkin sampai sekarang saya masih hanyut macam dulu,” katanya pula.

“Hidayah adalah hak mutlak Allah. Dari-Nya, maka hidayah tu diberikan. Bukan saya penyebabnya, tapi Allah yang beri izin. Kamu berubah bukan disebabkan saya, tapi disebabkan izin Allah”

Gadis itu sekadar membisu. Sekadar mendengar sahaja bicara saya.

“Walau apa pun, terima kasih sebab tegur saya. Kalaulah abang tak tegur, saya tak tahu kesudahan selepas itu”

Terlintas di fikiran kemudian. Sejak dari dulu lagi saya ingin benar mengetahui jawapan kepada persoalan ini. Saya tertanya-tanya, sebab dan alasan mengapa saya dipilih untuk dipeluk gadis itu sewaktu peristiwa di KOMTAR setahun yang lalu, sedangkan terdapat ramai lagi lelaki yang berjalan ketika itu di KOMTAR.

“Kenapa?” saya menyoalnya.

“Sebab bila saya lihat muka abang waktu tu, saya tau, abang bukan orang yang akan cepat melenting. Saya rasa lebih selamat kalau peluk abang berbanding yang lain. Kalau peluk yang lain, mungkin makan penampar lepas tu,” jawabnya.

Tersenyum saya. Rupa-rupanya itulah alasannya. Saat mahu melakukan perkara maksiat, saat itu jugalah fikirannya masih memikirkan kewarasan. Masih berfikir jalan mana yang lebih selamat sebelum dilakukan pelukan itu. Walaupun perkara haram dilakukannya, dia masih memikirkan keselamatannya. Benar, dia tak merasai tamparan tangan saya yang memang marah ketika itu, namun dia menerima satu teguran panjang dari saya selepas itu.

“Saya minta maaf. Saya jahil waktu tu. Semuanya hanya nak berseronok. Tak pernah fikirkan soal masa depan,” bicara gadis itu.

“Tak apa...”

Bicara berterusan berlanjutan tanpa saya sedar. Perbualan itu ternyata panjang, dari hati ke hati. Banyak yang diluahkan gadis itu kepada saya. Itulah pertama kalinya saya mendengar segala luahannya secara langsung, kerana sebelum ini semua perbincangan dan luahan itu dinyatakan menerusi Facebook sahaja.

“Saya dulu bukan ikhlas. Bab agama semua diketepikan. Mungkin Islam saya hanya pada nama sahaja,” katanya. “Dulu, tudung yang saya pakai macam main-main saja. Sekadar ikut kawan-kawan, nak nampak lawa. Tak pernah terfikir pakai tudung untuk penuhi tuntutan agama”

Katanya lagi, dia sebenarnya bukanlah sepanjang masa bertudung. Ada kalanya, dia membiarkan sahaja rambutnya terdedah sewaktu keluar dari rumah. Malah, katanya lagi, rambutnya dulu diwarnakan, dan diubah warnanya mengikut kehendak hatinya. Katanya lagi, tudung yang dipakainya pada waktu itu ibarat aksesori, seperti topi yang akan dipakai pada waktu-waktu tertentu sahaja.

“Saya jahil abang....”

Lantas saya bertanya perihal ibu bapanya. Apakah ibu bapanya tidak mempedulikannya saat dia hanyut satu masa dulu? Soalan itu diajukan padanya.

“Mak dengan ayah bukan tak ambil peduli. Banyak kali juga nasihat saya, tapi saya buat tak kisah. Degil tak dengar cakap. Lagipun diorang jarang ada kat rumah. Memanjang sibuk. Pagi pergi kerja, petang baru balik. Kadang-kadang waktu malam baru diorang balik. Tak ada masa nak tengok saya ni. Kat rumah tak ada siapa. Adik ada kat sekolah, saya sorang-sorang kat rumah. Boring, tulah keluar dengan kawan-kawan,” bicara gadis itu.

“Sebab tu kamu terjebak dengan budak-budak hantu tu?” soal saya.

“Sebab saya seronok bila bergaul dengan diorang. Enjoy je. Tak rasa tension langsung,” bicara gadis itu. “Tapi, tu dulu. Bila lama-lama, seronok tu dah hilang”

“Tiap-tiap yang seronok atas dasar nafsu, tak akan kekal selamanya,” bicara saya.

“Abang tau, bila abang tegur saya waktu tu, hati saya tiba-tiba terdetik. Macam tersedar dari mimpi. Tak tau apa sebabnya, tapi bila abang yang tak pernah kenal saya dengan berani tegur saya, terfikir dalam hati yang saya ni mungkin dah jauh hanyut,” terangnya dengan tenang. “Bila abang tegur saya, terus terfikir pasal mak dengan ayah. Saya tau, memang diorang akan kecewa”

Peristiwa di KOMTAR itu ternyata memberi impak yang cukup besar buat gadis itu. Secara kebetulan, saya terlibat dalam kisahnya itu. Tanpa disangka juga, dia terus berubah selepas teguran yang diberikan.

Mengapa dengan mudah dirinya boleh berubah selepas kejadian itu?

Semua itu adalah kehendak Allah. Tiap-tiap kejadian adalah hak Allah untuk menerencanakannya. Dialah yang berhak mengurniakan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Gadis itu kemudian terus menceritakan kisahnya apabila  pulang pada hari tersebut. Katanya, dia menangis sebaik masuk ke biliknya. Bukan kerana terasa dengan teguran yang saya berikan, tetapi perasaan menyesal tiba-tiba dirasainya. Katanya, dia seolah-olah tersedar dari mimpi yang panjang.

Lebih seminggu dia mengurungkan diri dalam biliknya. Sepanjang tempoh itu, gadis itu kemurungan. Katanya, dia benar-benar keliru dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Tak tahu apa yang perlu dilakukannya. Hatinya senantiasa resah. Cuba mencari sesuatu, namun tak tahu apa yang ingin dicari.

Seminggu berlalu, dia kemudian tergerak hati untuk membuka Facebook. Menerusi kertas yang tercatat nama saya yang saya berikan sebelum meninggalkan gadis itu, maka dia terus mencari nama saya. Akhirnya dia menghantar permintaan berkawan di Facebook, dan sehari kemudian, dia menghantar satu mesej ke inbox Facebook saya. Dia bertanya soal cara untuk mendapatkan kententeraman dalam jiwa.

Maka dari situ baru saya tahu gadis ini tak pernah bersolat.  Lantas saya terus membalas mesej tersebut.

“Kembalilah kamu dekatkan diri pada Allah. Solatlah lima waktu...”

Gadis itu kemudian perlahan-lahan cuba mendirikan solat. Katanya, pada pemulaan untuk solat kembali ternyata agak sukar, namun digagahkan juga. Kesukaran itu timbul dek dirinya yang telah lama tidak mendirikan solat.

Perhubungan terus terjalin antara saya dan gadis itu. Namun, kami hanya berhubung melalui Facebook sahaja. Pelbagai soalan diajukan gadis ini, dan saya sekadar menjawab dalam kemampuan ilmu yang ada. Niat saya sekadar mahu membimbingnya supaya kembali ke jalan yang benar.

Kata gadis itu, hari demi hari dia mula merasai ketenangan. Perlahan-lahan juga, dia menjadikan saya sebagai tempat rujukan utamanya. Memang tidak menghairankan kerana dia memang kerap menghantar mesej ke Facebook saya. Boleh dikatakan setiap hari, pasti akan ada soalan yang diajukan olehnya. Setiap soalan itu hanya mempunyai satu tema, iaitu persoalan berkaitan untuk merubah diri menjadi lebih baik. Namun, saya menasihatinya supaya sebaiknya perkara-perkara berkaitan dengan hal agama dirujuk kepada pakar yang lebih berpengetahuan. Takut juga nanti saya beri nasihat yang tak selari dengan tuntutan agama.

Perubahan demi perubahan berlaku. Lama kelamaan perubahan itu disedari ibu dan ayahnya. Benar, ibu bapa mana yang tak gembira apabila melihat anaknya tidak lagi liar keluar pada waktu malam? Ibu bapa mana yang tak gembira bila lihat anaknya tak tinggalkan solat? Ibu bapa mana yang tak gembira jika lihat anaknya telah menutup aurat sepanjang masa dan dengan sempurna?

Memang ibu dan ayahnya sangat gembira. Malah, disebabkan perubahan yang berlaku pada gadis itulah, ahli keluarganya mula kembali rapat. Ibu bapanya tersedar bahawa mereka telah alpa seketika dalam memberi perhatian kepada anak-anak mereka. Maka hasilnya, masing-masing banyak meluangkan masa bersama.

Maka dari situ ibu bapanya mula mengenali saya. Gadis itu bercerita perihal saya yang dikatakan telah berjaya merubah dirinya kepada ibu dan ayahnya. Bermula dari saat itulah, hubungan yang lebih akrab mula terjalin antara saya dan keluarganya.

Perbualan antara saya dan gadis itu terhenti sebaik azan Asar berkumandang. Lantas saya menuju ke bilik tetamu yang disediakan untuk saya. Solat Asar akan didirikan.

Selepas Asar,  ayah gadis itu mengajak saya bersiar-siar di sekitar Pulau Pinang. Turut ikut serta ialah adik gadis itu, sementara ibunya dan gadis itu berada di dapur sibuk melakukan persiapan untuk juadah berbuka.

Banyak yang dibualkan sepanjang perjalanan itu. Bicara dari hati ke hati berlaku. Luahan seorang ayah saya dengar sepanjang perjalanan itu. Namun, adalah sesuatu yang tidak sesuai untuk saya kongsikan dalam bicara ini kerana banyak perkara yang diperkatakan adalah terlalu peribadi untuk dikongsikan. Ternyata ayahnya ini seorang yang sangat ramah dan petah berkata-kata. Perjalanan itu sebenarnya menuju ke KOMTAR.

“Bila saya lihat KOMTAR, saya akan teringat anak saya. Sebab di sinilah titik permulaan anak saya berubah,” kata ayahnya sebaik tiba di KOMTAR.

Hidangan berbuka puasa ternyata menyelerakan. Nasi beriani respi turun-temurun ibunya menjadi menu utama untuk berbuka. Hidangan kuih muih juga turut disediakan. Saya menjadi kagum apabila mendapat tahu bahawa kesemua hidangan yang disediakan itu dibuat sendiri oleh ibunya. Segan pula dibuatnya.

Malam itu saya mengikut mereka sekeluarga berjemaah terawih di Masjid USM. Menaiki Porche Cayene yang dipandu ayahnya merupakan pengalaman baru buat saya. Terasa bagai menjadi orang kaya seketika saat menaiki kereta milik ayahnya itu.
Sewaktu mahu melelapkan mata di bilik tetamu pada malamnya, fikiran saya terus menerawang. Saya akui, peristiwa yang berlaku di KOMTAR ternyata memberi impak yang cukup besar buat saya. Saya tak menjangka, disebabkan hati saya tergerak untuk menegur gadis itu, akhirnya hubungan persaudaraan terjalin antara saya dan keluarga tersebut. Bayangkan jika teguran pada hari kejadian itu tak dibuat dan saya membiarkan sahaja gadis itu. Mustahil saya dapat berada di rumah keluarga ini.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dalam memberikan hidayah kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya. Saat hidayah itu sampai, tiada siapa lagi yang mampu menghalang-Nya. Hidayah adalah sesuatu yang cukup indah bila dilihat, kerana kadangkala boleh mencetuskan rasa keinsafan dan rasa keharuan. Hati boleh rasa kagum bila melihat seseorang yang dulunya hanyut kembali ke jalan-Nya.

Saya akui, hidayah yang diperoleh gadis itu adalah tanda kekuasaan Allah dan bukti bahawa Allah itu Maha Penyayang. Peristiwa yang terjadi itu banyak mengajar saya supaya senantiasa mengingati Allah tidak kira di mana berada dan bila masanya. Selagi nyawa masih ada, maka selagi itu tanggungjawab utama hanyalah kepada Allah.

Perubahan yang berlaku terhadap gadis itu ternyata memberi rahmat buat ahli keluarga yang lain. Disebabkan hidayah yang diperoleh si gadis itu, ahli keluarga lain turut merasai tempiasnya. Benar, apabila Allah memberi nur hidayah kepadanya, orang di sekelilingnya juga turut mendapat rahmat-Nya.

Kisah di Pulau Pinang ditamatkan dengan sebuah perpisahan di pagi hari keesokannya. Pagi itu sebelum pulang, saya bersahur di sebuah restoran bersama ahli keluarga gadis itu, dan kemudian bersolat Subuh di Masjid Negeri. Kepulangan saya sebaik matahari memancarkan sinarnya ternyata menjadi satu situasi yang agak emosional.

Perbualan panjang sekali lagi berlangsung di ruang tamu. Kali ini ibu dan ayahnya berbicara dengan saya. Mereka mengucapkan ucapan penghargaan tak terhingga kepada saya kerana dikatakan telah berjaya mengubah anak gadisnya yang hanyut.  Wallahualam, saya tak pernah merasakan begitu kerana sehingga kini, saya masih beranggapan bahawa perubahan yang berlaku pada gadis itu bukanlah disebabkan saya tetapi berlaku atas kententuan Allah.

“Terima kasih tak terhingga atas jasa kamu yang cukup besar,” bicara ayahnya. Serentak dengan itu, saya dipeluknya dengan cukup erat dan cukup lama pelukan itu. Itulah pelukan yang sangat bermakna buat saya. Rasa sedikit sebak apabila melihat kegembiraan ayahnya itu terhadap perubahan anak gadisnya.

Itulah pelukan yang saya terima sekali lagi di bumi Pulau Mutiara. Pelukan yang saya terima bukan lagi sebuah kejutan, namun satu keinsafan yang dapat saya rasai. Pelukan itu bukan lagi atas dasar kejahilan seorang gadis, namun satu pelukan yang datang dari seorang ayah yang melahirkan kesyukuran. Pelukan yang diterima adalah sesuatu cukup berbeza dengan pelukan yang pernah saya terima ketika di KOMTAR setahun yang lalu.

Sebelum saya berangkat, gadis itu berkata sesuatu pada saya. Ibarat seperti satu luahan atau mungkin juga sekadar bicara dinyatakan pada saya.

“Kalau saya ditakdirkan nanti jatuh hati dengan oarang macam abang, saya sangat-sangat bersyukur. Abang adalah orang yang cukup sempurna,” kata gadis itu.

Tergamam saya. Apakah maksudnya? Saya tak mengerti. Apakah dia telah jatuh hati pada saya? Itu juga tak dapat saya pastikan. Apa yang pasti, hubungan saya dan gadis itu akrab. Namun untuk dinyatakan mengenai soal hati, itu jauh sekali dari fikiran saya.

Itulah kisah perjalanan di Pulau Pinang. Kisah kunjungan yang cukup bermakna buat saya di bulan Ramadan, dan pasti akan terus terpahat di ingatan saya menjadi antara kenangan termanis buat saya. Tema utama selepas kunjungan itu, saya hanya merasai satu sahaja; iaitu menghayati kebesaran Ilahi mengurniakan satu hidayah buat seorang gadis. Mendengar kisah perjalanan perubahan gadis itu ternyata melahirkan rasa insaf buat saya, moga saya tak alpa dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Mengapa dikongsikan epilog KOMTAR itu? Sekadar mahu berkongsi sebuah pengalaman baru yang sangat bermakna buat saya. Kisahnya masih melibatkan orang yang sama, namun punyai tema yang berbeza. Maka, apa yang diharapkan, moga kisah ini dapat diteladani.

Ramai yang bertanya gerangan nama gadis itu. Namun, saya perlu merahsiakan namanya atas permintaan gadis itu sendiri. Namun, yang pasti, gadis ini merupakan pelajar yang bakal menduduki STPM tahun ini, dan katanya, dia ingin benar menyambung cita-citanya menjadi seorang guru di UPSI.

Andai hasratnya tercapai, moga saya dan dia dapat ketemu lagi pada masa akan datang. Insyaallah.

Bicara ditamatkan dengan sebuah konklusi. Inilah konklusi yang menyatakan bahawa kisah yang diceritakan ini telah diletakkan tajuknya. “Epilog Kerana dia memelukku di KOMTAR”, maka itulah tajuk diberi.

Wallahualam.


Taman Tasik Taiping, 9.30 pagi.

*Bicara ini merupakan sambungan kisah selepas setahun berlalu seperti yang pernah dikongsikan dalam tulisan "Kerana dia memelukku di KOMTAR" Sila rujuk andai tidak memahami  kisah dalam bicara ini

Klik untuk membaca bicara "Kerana dia memelukku di KOMTAR"


2 ulasan :

blog_cantik.sihat. berkata...

kahkahkahkah...kena peluk..eeeee kena cabul kehormatan...haha... apapun alhamdulillah...

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Huhuhu, pencabulan tak terduga.
Tapi, alhamdulillah, sebab peristiwa tu, dia dah berubah.