Rabu, 15 Februari 2012

Dari Kaca Mata: Yazid Rosly dan lagu-lagunya











(Entri ini ditulis pada Mei 2011)

Semalam saya meneroka kembali telefon bimbit Sony Ericsson yang dihadiahkan ayah tahun lepas (2010) sejurus mengetahui saya ditawarkan kursus TESL di UPSI. Agak lama yang tidak meneliti telefon tersebut . Selalunya, saya hanya menyentuh telefon tersebut apabila hendak menelefon atau berSMS sahaja. Selain daripada fungsi tersebut, saya hanya abaikan.

Maka, saya mendengar kembali lagu-lagu yang terdapat dalam telefon saya. Agak lama saya tak mendengar lagu, dan bila terdengar kembali beberapa lagu, tercetus pula untuk saya kongsikan keajaiban lagu yang saya pasti semua juga merasainya.

Kata orang, lagu itu akan menggamit memori.

Tahun 1999
"Lagu Strangers Like Me (Phil Collins)" mengingatkan saya akan filem animasi Tarzan. Pada waktu itu, filem tersebut dialih suara kepada Bahasa Melayu. Lagu tersebut dinyanyikan semula oleh Zainal Abidin dengan judul Terasing Buatku. Lagu "You’ll Be In My Heart (Phil Collins)" juga dari filem Tarzan mengingatkan saya sewaktu saya baru pulang dari kelas tuisyen di Institut Ooi. Waktu itu, saya baru pulang dan terus menonton The Making of Tarzan di TV3. Lagu tersebut terus melekat di kepala saya.

"Lagu Pictures of You (Boyzone)" meningatkan saya akan filem Mr Bean: The Ultimate Disaster. Saya berkesempatan menonton filem tahun 1997 itu di kampung bersama saudara-mara lain.




Tahun 2003
Tahun tersebut merupakan era awal penularan lagu-lagu Indonesia. Maka, pada waktu itu saya tertarik dengan lagu "Buat Aku Tersenyum (Sheila On 7)" yang membuatkan saya teringat akan diri saya pada waktu itu yang merasai kemanisan dan keindahan dibuai alam percintaan dengan seorang rakan sekolah. Lagu "Pria Kesepian (Sheila On 7)", juga mengingatkan saya akan saat saya bercinta dengan si dia itu. Bila terdengar lagu, pasti akan teringat saat saya dengan dirinya itu. 




"Lagu I’m Alive (Celine Dior)" akan membuatkan saya teringat saat saya sedang menunggu basa untuk ke sekolah semasa di tingkatan dua dulu. Waktu itu sementara menunggu bas pukul 11 pagi, saya menonton video muzik di NTV7. Setiap hari pada waktu yang sama, lagu tersebut pasti ke udara di kaca televisyen


Tahun 2004
Tahun ini dianggap sebagai tahun emas buat saya kerana tahun tersebut saya menggapai banyak kejayaan. Tahun ini juga merupakan tahun paling gembira. Kejayaan sebagai pelajar cemerlang sekolah, di samping prestasi akademik berada di tahap terbaik. Pada waktu ini juga, pengurusan waktu saya adalah sangat bersistematik. Setiap kerja diatur dan berjalan dengan baik.

Lagu "Berhenti Berharap (Sheila On 7)" membuatkan saya teringat demam drama bersiri Sephia yang ditayangkan di TV3. Pada waktu itu, lagu tersebut menjadi siulan ramai orang. Malah rakan saya waktu itu, Sollehuddin pernah menyanyikan bait-baik lagu tersebut sewaktu kelas Bahasa Melayu Puan Baisyah. Lagu ini juga membuatkan saya teringat akan kelas tambahan Cik Norbie, guru Geografi saya. Pada waktu itu, saya antara pelajar terbaik di daerah Larut Matang dan Selama bagi matapelajaran Geografi.



Lagu "Mencari (Giegel dan Waheeda)" pula mengingatkan saya terhadap perjalanan saya menuju ke tuisyen Matematik di Institut Ooi. Pada petang itu, hujan turun dengan lebat, dan ayah menghantar saya dengan kereta. Radio dibuka dan di satu persimpangan, lagu tersebut ke udara di radio Era. Lagu ini menjadi satu penanda buat saya akan sistem pengurusan masa yang telah saya bentuk pada waktu itu. Sehingga kini, jika saya dapati pengurusan waktu saya bercelaru, lagu tersebut akan saya dengar supaya saya akan mudah ingat kembali cara untuk menguruskan waktu dengan sistematik. Lagu ini adalah lagu paling menyengat buat saya sehingga kini kerana membuatkan saya teringat akan kegemilangan saya pada waktu itu.



Lagu "This Love (Maroon 5)", walaupun punyai unsur kurang baik, lagu ini membuatkan saya teringat akan sahabat akrab saya pada waktu itu iaitu Firdaus Mokhtar. Lagu ini menjadi siulannya pada waktu itu, malah saya juga selalu mendengar lagu tersebut di radio Era pada waktu itu. Lagu ini membuatkan saya teringat kesungguhan saya melakukan kerja rumah dan ulangkaji tanpa henti mengikut sitem pengurusan masa yang cukup sistematuik pada waktu itu.


Tahun 2006
Tahun ini menyaksikan satu trauma terbesar dalam hidup saya. Trauma ini sangat kuat sehingga memberikan kesan sehingga ke hari ini. Pada waktu emosi dan motivasi berada dalam tahap terendah, saya menjadi senantiasa bersendirian. Pada waktu ini, radio menjadi teman saya dalam kebanyakan waktu. Pada tahun ini juga, negara dilanda dengan lambakan lagu-lagu dari Indonesia. Namun, saya terselamat dari fenomena ini kerana pada tahun ini juga, saya mula beralih mendengar radio X-fresh FM, radio yang hanya menyiarkan lagu-lagu dari Malaysia. Tahun ini juga menyaksikan bermulanya era awal muzik indie.

Lagu "Dua Dunia (Too Phat ft Siti Nurhaliza)" membuatkan saya terkenang kembali saat saya mengatur semula langkah untuk memulihkan keadaan untuk menjadi pelajar kembali. Pada waktu itu, saya cuba menyusun kembali jadual pengurusan masa saya, menyusun juga strategi pembelajaran saya yang semua telah musnah akan tragedi tahun 2005. Pada mulanya agak sukar, namun berkat kesabaran saya berjaya mendapatkan rentak kembali walaupun tidak sepenuhnya.


Lagu "Puteri Santubong (M.I.X)" mengingatkan saya pada pertengahan 2006, iaitu waktu saya dilanda dengan masalah yang menggugat pengajian sewaktu saya di tingkatan 5. Lagu ini seringkali saya dengar setiap petang menerusi carta 30 X-fresh. Maka, lagu ini menjadi penanda aras akan kebangkitan saya yang berterusan dirudum malang. Lagu inilah yang memperkenalkan Noh, iaitu salah satu ahli kumpulan M.I.X yang kini menjadi vokalis kumpulan Hujan.


Lagu "How Me Seksi (Too Phat ft Inul Darastita)" mengingatkan saya akan kestabilan pengurusan masa pada waktu itu. Pada ketika itu, kekusutan dan celaru dek masalah yang bertimpa-timpa dilihat semakin berkurangan. Pada waktu itu jugalah, lagu ini seringkali dimainkan di X-fresh FM. Lagu ini agak menggoda, namun iramanya mengingatkan saya akan ketenangan yang saya rasakan dengan kejayaan menstabilkan kekusutan yang melanda hampir setahun itu.


Tahun 2007
Tahun ini merupakan tahun pasca pendidikan menengah saya. Pada waktu ini saya berusia 18 tahun menunggu keputusan SPM. Pada waktu ini, televisyen selalu menjadi pengisi masa lapang saya. Siri malang kembali menghantui apabila terpaksa menangguhkan pengajian matrikulasi selama setahun.

Lagu "Ku Mahu (Siti Nurhaliza)" mengimbau kembali terhadap drama berisiri Spa Q. Lagu ini mebuatkan saya teringat akan saat santai saya selama setahun memulihkan kembali trauma yang melanda sekali lagi.


Lagu "Ingatlah Allah (New Sakha)", lagu tema sinetron Indonesia, Mutiara Hati lakonan Inneke Koesherawati yang ditayangkan di TV9 pada waktu itu memberikan satu ingatan kuat akan satu-satunya sinetron Indonesia yang pernah saya minati pada waktu itu.


Lagu "Jikalau Aku (Ezlyn)", membuatkan saya terkenangkan kembali siri Kisah Kaisara musim pertama yang ditayangkan di TV3 setiap hari Selasa. Wajah comel pelakon baru Sari Yanti yang memegang watak gadis bertudung bernama Kaisara itu telah membuatkan saya terkenangkan kembali kenangan saya sewaktu bersekolah dahulu.



Lagu "Menjelma (Kaer)", merupakan lagu kegemaran saya di penghujung tahun 2007. Lagu ini merupakan lagu yang menaikkan semangat saya pada waktu itu untuk kembali menyambung pengajian saya yang tertangguh. Lagu ini juga merupakan lagu yang menyemarakkan saya pada waktu itu menghasilkan novel Kumajipakat.



Tahun 2008
Tahun ini memberikan sisi cubaan kebangkitan saya dan kejatuhan sekali lagi bagi saya. Tahun ini adalah catatan malang seterusnya bagi saya pada waktu itu. Trauma lebih dahsyat berlaku. Tahun itu juga saya berjaya menyiapkan novel Kumajipakat saya. Tahun ini juga saya telah beralih stesen radio dari X-fresh FM kepada Hot FM.

Lagu "Bila Aku Sudah Tiada (Hujan)" mengingatkan saya akan pencarian seorang kenalan lama saya yang berpindah secara mengejut. Saat itu saya mencari-cari dirinya di pelbagai tempat. Lagu ini berkumandang sewaktu saya memandu kereta mencari rumahnya yang baru.


Lagu "Akulah Pejuang (Amy Search)" merupakan lagu penaik semangat saya untuk bangkit dari beberapa siri malang dan kejatuhan tahun-tahun sebelum itu. Pada waktu itu motivasi saya berada di tahap terendah sehingga mengalami putus asa yang terbesar. Pemikiran saya pada waktu itu ternyata tiada lagi harapan. Fikiran saya pada waktu hanyalah kegelapan masa depan. Saya tiada lagi semangat untuk berjuang kembali mencari kejayaan. Lirik lagu ini ternyata membakar semangat saya setinggi-tingginya. Dek lagu inilah saya tersentap, dan kembali bangun walaupun sangat sukar, gagahkan diri bangunkan kembali pengurusan masa, seterusnya berjuang belajar mendapatkan keputusan terbaik dalam pelajaran. Lagu ini memberikan kesan terbesar buat saya. Disebabkan lagu inilah, saya berjaya kembali membangunkan segala kemusnahan yang berlaku. Saya susunkan semula setiap perancangan masa depan saya dan harus diakui, saya berjaya mendapatkan rentak kembali seterusnya mengikut kembali landasan sepatutnya.


Lagu "Mila Bila Cinta (Mila)" punyai magis penceria sewaktu saya dilanda kesuraman yang cukup hebat. Lagu ini agak santai, mengingatkan saya pada seorang sahabat lama yang senantiasa menjadi inspirasi saya. Lagu ini adalah antara lagu awal yang saya muat turun dari internet. Lagu ini mengingatkan terhadap kejayaan saya menyiapkan novel Kumajipakat saya.


Lagu "Dua Hati Menjadi Satu (Gita Gutawa ft Dafi)" membuatkan saya terkenang akan saat-saat awal yang menghasilkan novel Cinta Thahirah. Lagu ini adalah antara lagu yang sering saya dengar sewaktu merangka jalan cerita bagi novel Cinta Thahirah. Lagu ini juga buatkan saya teringat akan aiskrim Cornetto, kerana lagu ini menjadi lagu tema iklan aiskrim tersebut.


Lagu "Hilang (Meet Uncle Hussein)" membuatkan saya teringat kembali babak Zahid dalam novel Cinta Thahirah yang terlantar di hospital. Lagu ini saya gunakan untuk mendapatkan ‘feel’ bagi menulis babak tersebut.


Lagu "Dugaannya (Hujan)", membuatkan saya terkenang kembali saat saya menulis babak Zahid memandu dengan  laju di bandar Taiping kerana terlewat untuk berjumpa sahabatnya di taman tasik Taiping. Kerancakan lagu ini memudahkan saya menulis dengan tepat situasi kelam kabut yang diharungi Zahid.


Lagu "Fikirlah (Aizat)", mengingatkan saya akan novel Cinta Thahirah yang saya tulis. Lagu ini merupakan antara lagu tema yang saya angkat dan dijadikan inspirasi sewaktu menulis novel tersebut. Malah, terdapat satu babak khas dalam novel tersebut yang diinspirasikan dari lagu tersebut. Itulah babak Sheera berbual dengan Zahid di kampung.



Lagu tema siri animasi Digimon dengan judul "Butterfly (Wada Kouji)" pula menjadi lagu rasmi saya bagi penggera telefon bimbit saya. Maka setiap kali mendengar lagu ini, saya pasti akan terkenangkan saat bangun dari tidur pada waktu tersebut.


Lagu "A,E,I,O,U (Ahli Fiqir ft Elliza)" membawa saya terkenang saya kegilaan saya pada waktu itu terhadap siri Kisah Kaisara (Musim Kedua). Walaupun drama itu disasarkan kepada remaja perempuan, namun latar cerita yang bertemakan alam persekolahan itu menyebabkan saya setia menonton drama ini setiap minggu. Saya pasti akan terkenangkan watak seperti Kaisara (Sari Yanti), Dania (Elliza), Amy (Wan Sharmilla), Aben (Farid Irwan), dan watak antagonis Hana (Faralyana Idris). Saya akui, Kisah Kaisara musim kedua adalah musim terbaik daripada empat siri yang telah disiarkan di televisyen.


Pemilihan stesen radio Hot FM sebagai radio pilihan saya tahun ini menyebabkan genre-genre lagu pilihan saya juga mula berubah.

Lagu "Kau Yang Punya (Malique ft Najwa Muhyiddin)", "Mantera Beradu (Malique ft M. Nasir)", "Hot and Cold (Katy Perry)", "I’m Yours (Jason Mraz)", "Lucky (Jason Mraz ft Colbie Cailat)" membuatkan saya terkenang kembali kunjungan saya ke Kedah pada hujung tahun tersebut atas urusan perubatan. Kesemua lagu ini saya dengar menerusi radio Hot FM yang saya buka sepanjang perjalanan dari Taiping ke Kedah.

Lagu "Mantera Beradu (Malique ft M. Nasir)" membuatkan saya terkenangkan saat perjalanan merentasi sawah padi di Pendang, Kedah. Pada waktu itu radio Hot FM senantiasa dibuka sepanjang perjalanan, dan kebetulan lagu tersebut pertama kali saya dengar sewaktu melalui kawasan sawah padi di Pendang.

Begitu juga lagu "Lucky (Jason Mraz & Colbie Cailat)", membuatkan saya teringat kembali persinggahan sebentar saya di Tesco Sungai Petani.  Pada waktu itu, ayah singgah di Sungai Petani untuk makan malam dan Solat Maghrib. Perjalanan pulang ke Taiping, saya mengambil alih tugas memandu.


Lagu "I’m Yours (Jason Mraz)" dan "Hot and Cold (Katy Perry)" mengingatkan akan sawah padi terbentang luas sewaktu saya memandu di lebuhraya PLUS di Kedah. Saya masih ingat lagi Menara Alor Setar dapat dilihat dengan jelas dari lebuhraya tersebut.




Tahun 2009
Tahun ini merupakan tahun kesenyapan dan pemencilan saya. Pada waktu ini saya telah berjaya menstabilkan diri, namun masih diganggu dengan trauma-trauma sebelum ini. Tahun ini juga menyaksikan sisi baru kehidupan saya apabila berjaya menyusun kembali pembelajaran saya serta pengurusan masa saya. Walaupun tidak mencapai seratus peratus kejayaan, namun pencapaian tahun ini bolehlah saya anggap sebagai sederhana dan memberi harapan baru buat saya.

Lagu "Usah (Suki ft Daly Ahli Fiqir)" meningatkan saya terhadap pilihanraya kecil Bukit Gantang yang menyaksikan kejayaan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menang dengan majoriti besar. Lagu ini pertama kali saya dengar sewaktu perjalan pulang ke rumah dari kampung saya di Changkat Ibol. Ayah mengundi di Changkat Ibol dan mak di Taman Kaya.  Pada waktu itu, jalanraya sesak teruk dek hari pengundian, dan dek kebosanan, saya menghidupkan radio, dan kebetulan lagu ini berkumandang. Maka setiap kali dengar lagu ini, saya pasti akan terkenangkan PRK Bukit Gantang tahun 2009.



Lagu "Selamat Hari Ibu (Hujan)" adalah antara lagu tema yang saya gunakan bagi novel Cinta Thahirah. Setiap lagi mendengar lagu ini, saya akan terkenangkan saat manis Zahid dan ibunya di rumahnya di Kampung Jambu. Lagu ini juga merupakan lagu yang saya angkat sebagai lagu tema bagi Hari Ibu tahun tersebut. Lagu itu saya tujukan kepada mak selepas selesai menulis bicara berkaitan mak pada Hari Ibu tahun itu.



Lagu "Empayarmu (Hujan)" membuatkan saya terkenang kembali persembahan Hujan dalam konsert ulangtahun 8TV yang saya tonton rakamannya menerusi rancangan MHI. Persembahan Hujan sangat mengkagumkan dan bertenaga. Lagu ini merupakan antara lagu kegemaran saya pada tahun 2009.


Lagu "Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan Jameela)", mengingatkan saya akan saat saya sedang menulis babak pertangahan novel Cinta Thahirah. Lagu ini pada asalnya bukanlah lagu yang saya pilih untuk dijadikan lagu tema Cinta Thahirah. Namun, secara tak sengaja, saya mendengar lagu ini berulang kali sewaktu sedang menulis novel tersebut, dan akhirnya lagu ini melekat di kepala. Benar, lagu ini agak seksi bila didengar.


Lagu "Kotak Hati (Hujan)" merupakan lagu paling terkesan bagi saya dalam tahun 2009. Inilah lagu yang saya pilih diangkat menjadi lagu tema utama bagi novel Cinta Thahirah. Keseluruhan perjalanan jalan cerita dan kisah di dalam Cinta Thahirah adalah berinspirasikan dari lagu ini. Lagu yang berentak perlahan ini ternyata membantu saya bagi mendapatkan ‘feel’ setiap kali ingin menulis novel CT. Setiap baris lirik dalam lagu ini digunakan bagi membentuk jalan cerita novel CT. Setiap kali mendengar lagu ini, saya pasti akan teringat watak Khadijah yang termenung di jendela, mengenangkan kembali Zahid, suaminya. Lagu ini juga mengingatkan saya akan babak Zahid yang seringkali termenung di mejanya sambil melihat potret lukisan Khadijah, sewaktu mencari jawapan kata hatinya. Lagu ini juga menyebabkan saya teringat babak melamar Zahid terhadap Khadijah di masjid. Inilah lagu yang menjadi tunjang bagi penghasilan novel Cinta Thahirah.


Lagu "Dan Sebenarnya (Yuna)" mempunyai magisnya yang tersendiri. Lagu ini muncul di awal tahun 2009 sewaktu Cinta Thahirah sedang rancak dihasilkan. Keunikan susunan lagu ini sangat unik dan sangat santai apabila mendengar. Liriknya sangat mudah difahami ditambah pula dengan vokal Yuna yang jelas melontarkan setiap patah kata, membuatkan lagu ini dengan mudah terngiang-ngiang dalam kepala. Apabila mendengar lagu ini, pasti saya akan teringat saat saya menulis di babak pertengahan, iaitu babak Zahid dan Khadijah di Batu Ferenggi menghadiri majlis perkahwinan Mak Su Zahid. Lagu ini diangkat menjadi lagu tema kedua selepas lagu Kotak Hati (Hujan).



Lagu "Jiwa Kelajuan (Hujan)" mengingatkan saya pada perjalanan saya menuju ke Ipoh untuk mengambil adik saya di sekolah asrama penuhnya yang pulang untuk bercuti sewaktu cuti sekolah hujung tahun. Ketika itu saya menggunakan jalan lama menuju ke Ipoh dari Taiping. Saya mendengar lagu ini menerusi MP3 telefon saya sambil memandu, dan kebetulan lagu ini seringkali diamainkan sepanjang perjalanan menuju ke Ipoh.


Lagu "Secret of My Life (lagu tema penutup Detective Conan)", mengingatkan saya akan kenangan bersama adik-adik saya sewaktu cuti sekolah tahun 2009. Pada waktu itu, TV3 menyiarkan siri anime Jepun, Detective Conan setiap pagi Isnin hingga Khamis pada pukul 10.30. Adik-adik saya pasti akan menontonnya, dan saya tumpang sekali berkongsi masa bersama mereka. Siri ini memang menjadi kegemaran mereka, dan saya juga akhirnya turut setia menjadi peminat siri ini.


Lagu "The Show (Lenka)" punyai kisah yang cukup menarik. Lagu ini pertama kali saya dengar menerusi telefon bimbit saya yang baru dibeli pada pertengahan tahun 2009. Lagu itu saya mabil dari telefon adik saya, dan sebaik mendengar lagu ini, saya terus jatuh hati. Maka, saya jadikan lagu ini sebagai ringtone telefon bimbit saya. Sehingga kini, ringtone telefon bimbit saya masih kekal dengan lagu ini, walaupun telah beberapa kali menukar telefon. Setiap kali mendengar hanya terlintas dua perkara di kepala saya, pertama: terkenang kembali telefon bimbit Sony Ericsson W200i saya, dan kedua: teringat mak yang selalu menelefon saya pada waktu malam.


Lagu "Nur Kasih (Yassin)" merupakan antara lagu yang menyengat buat saya dalam tahun 2009. Lagu ini muncul di pertengahan tahun 2009 merupakan lagu tema bagi siri Nur Kasih di TV3. Drama yang ditayangkan setiap Jumaat pukul 9.00 malam ini menjadi drama paling saya minati pada waktu itu, dan sehingga kini tiada drama TV yang mampu menandingi drama tersebut. Lagu ini mengingatkan saya akan watak Nur, Adam, dan Aidil, serta kenakalan Sara. Lagu ini mengingatkan saya akan perjalanan Adam dan Nur serta pengorbanan Aidil. Lagu ini mengingatkan saya akan wajah Ustaz Hassan yang begitu risaukan Adam yang jauh hanyut. Lagu dan jalan cerita bagi siri ini seiring dan saling melengkapi. Maka, tiap kali mendengar lagu ini, saya pasti akan teringat kembali jalan cerita drama Nur Kasih. Kebetulan sewaktu drama ini ditayangkan, saya baru sahaja selesai mengahsilkan novel Cinta Thahirah. Maka, sebagai mengingati akan magis pada lagu ini, saya telah masukkan lagu ini ke dalam trek bonus CD lagu-lagu tema Cinta Thahirah. CD bonus ini dihasilkan khas untuk mengabadikan kenangan drama Nur Kasih ini dan hanya diberikan kepada seorang sahabat lama saya.


Lagu "Your Mother (Yusof Islam)" merupakan lagu yang akan mengingatkan saya pada mak. Lagu ini seringkali menjadi nyanyian mak buat Aisyah dan Adrina. Lagu ini juga menjadi siulan adik saya Ikhmal. Malah saya juga selalu mendengar lagu ini apabila lapang. Lagu ini mudah dan senang diingati, membuatkan saya terkenangkan perngorbanan mak dari dulu hingga kini. Lagu ini kebetulan seiring dengan jalan cerita bagi novel CT, dalam babak ibu Zahid di hospital. Maka saya lagu ini dipilih sebagai lagu tema bagi babak tersebut.


Lagu "Candy Line (lagu penutup Gintama)" mengingatkan saya akan kegilaan saya terhadap siri anime Gintama. Pada waktu itu, siri ini ditayangkan setiap hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad di TV2, pukul 7.30 pagi. Waktu tayangannya yang unik, iaitu di awal pagi menyebabkan saya tertarik untuk menonton siri ini. Adik-adik saya juga gemarkan siri ini, sehingga sanggup mandi awal pagi semata-mata mahu menonton siri ini. Siri ini unik, dan penuh dengan unsur humor yang bersahaja.


Begitu lagu "Yoruzuya Blues (Gintama)", "Yo King (pembuka Gintama)", dan "Yuki No Tsubasa (Reballoon)", "Mr Raindrop (penutup Gintama)" pasti membuatkan saya teringat kembali siri anime Gintama. Buat pertama kalinya saya jatuh hati pada lagu-lagu Jepun. Lagu-lagu ini juga membuatkan saya teringat kembali pada seorang sahabat lama, kerana pada waktu lagu-lagu ini rancak saya dengar, perhubungan yang terputus dengan sahabat lama ini akhirnya terjalin semula di Facebook. Maka, setiap kali mendengar lagu-lagu Jepun ini, maka saya pasti akan teringat kembali wajah sahabat lama ini.


Tahun 2010
Tahun 2010 dianggap sebagai tahun “Sinar Harapan Baru” kerana tahun ini memberikan beberapa kejayaan yang membuatkan saya melatakkan harapan moga tahun tersebut manjadi titik perubahan bagi saya keluar dari belenggu trauma yang saya hadapi.

Lagu "Superhero (Faizal Tahir)" mengigatkan akan emosi amarah saya pada waktu itu apabila dibadai dengan satu pukulan kuat bagi emosi saya. Kisah tersebut membuatkan saya menanamkan dalam diri saya bahawa sesiapa pun selepas ini tidak akan boleh menghalang saya lagi. Sasaran utama saya adalah untuk mencapai cita-cita, iaitu belajar sehingga ke peringkat PhD. Saya akui, dek melayan perkara jangka pendek, mencari kononnya kebahagiaan, saya terlupa matlamat utama saya. Maka lagu ini dijadikan sebagai pemecah fikiran saya yang terkongkong dengan dirinya.


Lagu "Obsesi (Hujan)" membuatkan saya terkenangkan pada ruang lingkup waktu di awal tahun 2010. Pada waktu itu, saya mempunyai banyak masa terluang. Dalam keadaan saya dipukul dengan satu dugaan, maka bagi melupakan dugaan tersebut, saya telah meluangkan masa untuk menghasilkan filem berkaitan keluarga saya. Dengan hanya menggunakan kamera video Canon, saya mula merakamkan gelagat keluarga saya dari bulan Februari hinggalah bulan April. Kemudian proses suntingan dilakukan. Salah satu babak yang terdapat dalam filem tersebut telah menggunakan lagu tersebut. Babak tersebut ialah babak yang menceritakan mengenai gelagat Adrina, adik bongsu saya.


Lagu "Mula (Meet Uncle Hussein)" membuatkan saya teringat kembali akan filem Lu Fikirlah Sendiri The Movie, filem lakonan Nabil dan Mila. Lagu ini merupakan lagu tema filem tersebut dan merupakan lagu terakhir Meet Uncle Hussein menggunakan vokalis Lan. Lagu ini punyai kisahnya sendiri, kerana saat ini perasaan saya dibuai bahagia. Pertama kali merasakan diri seperti jatuh cinta. Kisah awal tahun 2010 yang sehingga kini masih saya ingat hingga kini. Wajahnya masih pasti akan saya ingat apabila mendengar lagu ini.



Lagu "Ku Percaya Ada Cinta (Siti Nurhaliza)" mengimbas kembali saat saya melayari internet mencari maklumat berkaitan sahabat lama saya. Maklumat-maklumat yang diperoleh sangat banyak berkaitan keluarga, dari kisah adik-beradiknya sehinggalah kepada kisah ibu dan bapanya. Barulah saya tahu, keluarga sahabat ini bukan calang-calang. Maka, secara automatik nilai hormat wujud pada sahabat ini, dan saya sangat kagum pada keluarganya. Keluarganya ternyata sangat aktif di internet.


Lagu "Kau Harus Ada (Hujan)" merupakan antara lagu kegemaran pada tahun tersebut. Lagu ini mengingatkan pada dirinya yang berada jauh dari saya. Kebetulan lirik lagu ini kena pada situasi saya pada waktu itu. Saya dapat merasakan dirinya yang jauh dari tempat asalnya (Taiping), dan saya di Taiping merasai rindu itu. Maka itulah yang membuatkan saya merasakan dia harus ada di sisi saya. Ya, dia harus ada di sisi saya kerana dia memang mampu membahagiakan saya jika dia bersama saya.


Lagu "Amarah (Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti)" merupakan lagu yang muncul sewaktu saya berada dalam situasi hangat, dipenuhi dengan perasaan marah pada waktu itu. Saya merasa amarah pada seorang sahabat saya, dan saya juga merasa amarah pada diri sendiri. Lagu ini seolah-olah memahami apa yang saya rasa ketika itu. Peristiwa yang berlaku itu telah menyedarkan saya agara jangan bertindak hanya mengikut hati dan nafsu, sebaliknya berlandaskan iman dan taqwa. Kerana satu kesilapan besar itu, hubungan persabahatan dengan sahabat saya itu akhirnya terus terputus dan tiada lagi kemesraan terjalin. Lagu ini membuatkan saya sedar, segala kenangan yang selama ini masih tersimpan dek sahabat ini, haruslah satu demi satu dan dilupakan. Tiada lagi kenangan yang perlu disimpan dalam kotak fikiran saya.


Lagu "Waka waka Return to Africa (Shakira)" membuatkan saya terkenangkan akan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Lagu ini membuatkan saya teringat kembali akan telefon bimbit saya yang baru, dihadiahkan ayah sebaik mengetahui saya ditawarkan TESL di UPSI. Telefon itu dibeli dua minggu sebelum saya mendaftar di UPSI. Kebetulan lagu ini merupakan lagu pertama yang saya masukkan ke dalam telefon saya, dan akhirnya lagu ini menjadi lagu nostalgia yang manis. Lagu ini juga membuatkan saya terkenangkan kembali kunjungan rakan lama saya dari Ipoh, Ahmah Islam, sahabat lama dari MRSM Taiping. Lagu ini pasti menbuatkan saya teringat kembali saat saya Islam dan sahabat-sahabat lain menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia yang membabitkan pasukan Argentina, dengan kesudahannya Argentina menang. Saat itu, kami bersama-sama menikmati hidangan yong tau fu di Bomba (kawasan penjaja yang terletak bersebelahan Balai Bomba Taiping). Lagu ini juga membuatkan saya terkenang kembali saat saya pertama kali menjejakkan kaki di UPSI bergelar sebagai pelajar dan bakal guru. Lagu ini membuatkan saya teringat kembali kenangan minggu orientasi universiti.


Lagu "Dambaran Cinta (Jaclyn Victor)", membuatkan saya teringat kembali akan TESL Night UPSI yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun tersebut. Lagu ini saya dengar berulang kali dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kolej. Akhirnya lagu ini melekat di kepala sebagai lagu perjalanan pulang dari TESL Night. Saya tiba di kolej dalam pukul 1.00 pagi dalam keadaan yang mengantuk dan masih belum menunaikan solat Isyak. Lagu ini sangat bermakna, kerana pada waktu itu, saya baru sahaja sembuh dari demam selsema, dan pada waktu itu juga banyak assignment yang perlu disiapkan. Assignment yang paling saya ingat ialah assignment Linguistic for ESL yang saya peruntukkan masa hampir dua minggu untuk menyiapkannya. Terbayang wajah Hasimah Ja’far, pensyarah yang paling tegas semester itu.



Lagu "Kekanda Adinda (Atillia dan Monoloque)" membuatkan saya teringat akan cuti studi yang semakin hampir pada waktu itu. Cuti studi selama tiga minggu (berkembar dengan cuti Hari Raya Haji) itu adalah cuti paling santai. Saya tak banyak studi, tapi lebih banyak berjalan ke sana dan ke sini. Lagu ini seringkali dimainkan Maghfur, rakan sebilik saya sewaktu cuti studi semakin hampir. Malah lagu ini seringkali menjadi siulan sahabat saya ini pada waktu itu.



Lagu "Kalau Berpacaran (Ana Rafali, Sohaimi Mior Hassan feat Altimet)" merupakan lagu paling menyengat dalam tahun 2010. Lagu ini membuatkan saya teringat kembali akan kesibukan saya menyiapkan assignment-assignment saya. Sewaktu saya menyiapkan assignment Linguistic for ESL, lagu ini seringkali diulang-ulang dengar sepanjang saya mengadap netbook saya. Maka kesannya, lagu ini akan membuatkan saya terkenang kembali assignment Linguistic for ESL saya. Lagu ini juga membuatkan saya teringat kembali kunjungan saya ke Ipoh melawat Afiq Naim yang terlantar di hospital. Saya pergi bersama Syafiq yang memandu kereta, Ter, Maghfur, dan Romie. Turut serta dalam kunjungan itu ialah Hisham, Sheera, Ayong, Faiz, Pa’ah, dan Arsyad.  Selepas kunjungan melawat Afiq, kami berhenti seketika berhampiran Sekolah Teknik Ipoh. Kami menikmati cendol.... pada waktu itu Syafiq terlihat beberapa pasangan kekasih asyik berdating. Maka dicadangkannya untuk memainkan lagu tersebut. Lantas saya terus mainkan lagu tersebut dari telefon saya menggunakan speaker telefon tersebut.


Lagu "Senyum (Malique feat Najwa)" merupakan lagu yang paling saya suka bagi tahun 2010. Lagu ini merupakan lagu yang mewakili kenangan manis saya berada di UPSI pada tahun 2010. Lagu ini membuatkan saya terkenang saat saya menaiki bas UPSI menuju ke kampus untuk kuliah. Lagu ini juga membuatkan saya terkenangkan saat saya bersama Maghfur dan Syafiq makan malam di hadapan kampus. Kami semua menaiki bas selepas solat Maghrib. Lagu ini juga membuatkan saya teringat kembali akan persahabatan saya dengan Lisa dan Adina yang mula akrab pada waktu itu. Di penghujung semester itu, saya pernah mengajak Lisa dan Adina untuk bersarapan di hadapan kampus. Keesokan paginya, saya pulang ke Taiping, menikmati cuti semester.

Lagu ini juga sangat bermakna kerana lagu ini membuatkan saya teringat kembali masa-masa yang saya habiskan bersama Shahril pada waktu itu. Di penghujung semester itulah, saya dan Shahril mula akrab. Shahril rajin membawa saya ke pelbagai tempat di Tanjung Malim dengan motosikalnya. Lagu ini ibarat tonik memberikan keceriaan dan kenangan manis saya semasa di semester satu. Apabila memainkan lagu ini, maka saya akan dapat mengingati setiap pengalaman dan saat yang saya harungi sepanjang dalam semester satu. Kenangan menjadi Rakan Surau, kenangan pergi ke kuliah di PC ataupun di Taman Bernam mahupun di kampus. Kenangan saya bersahabat dengan Syafiq, Arsyad, Syu, Adina, Lisa, Shahril, dan lain-lain. Kenangan saya sibuk dengan assignment, dan kenangan saya melakukan presentation. Pendek kata, lagu ini sangat bermakna buat saya. Sesuai dengan tajuk lagu ini, saya pasti akan tersenyum sebaik mendengar lagu ini.

Lagu "Yeah (Kelly Clarkson)" membuatkan saya terkenang kembali situasi saya terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya PLUS menuju ke Ipoh dari Taiping. Pada waktu itu saya sedang memandu menuju ke Ipoh untuk mengambil adik saya yang pulang untuk bercuti sekolah. Sebaik melepasi Jambatan Sultan Azlan Shah, kesesakan berlaku. Kereta terpaksa bergerak merangkak-rangkak sehinggalah melepasi terowong Menora. Bayangkan perjalanan yang sepatutnya hanya 45 minit menjadi perjalanan selama 2 jam. Dek mahu menghilangkan tekanan dan kebosanan, maka saya hidupkan MP3 telefon saya. Maka saat ini lagu tersebut saya dengar, dan terus menjadi ingatan saya terhadap kesesakan tersebut. Pada waktu itu saya masih ingat, Shahril menelefon saya bertanya mengenai jadual kuliah yang telah disusun. Kami berbincang mengenai hasrat untuk mengikuti kelas Angkatan Saterawan Muda (ASASMU) bagi semester depan. Pada waktu ini, saya sedang cuti studi.


Tahun 2011
Tahun ini menyaksikan pelbagai dugaan muncul tanpa diduga. Masalah kesihatan muncul semula, seolah-olah menggambarkan bahawa tahun ini merupakan tahun kembalinya kisah malang yang pernah dihadapi sebelum ini. Tahun ini menyaksikan saya sangat akrab dengan Shahril.

Lagu "Kotarayaku (Altimet feat Noh Hujan)" mengingatkan saya akan saat peperiksaan akhir semester kedua saya. Lagu ini saya dengar sewaktu hampir di penghujung peperiksaan. Lagu ini juga membuatkan saya terkenangkan siri Adina (Bicara Sembilan), kerana lagu ini saya gunakan untuk dijadikan semangat untuk saya menulis siri Adina yang kesembilan itu. Lagu ini membuatkan saya terkenang saat pemanduan dua jam dari Tanjung Malim pulang ke Taiping untuk cuti semester empat bulan.



Lagu "Selamat Pagi Sayang (Dj Fuzz dan Noh Hujan)", membuatkan saya terkenang kembali saat Abyatina sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya. Lagu ini terus membuatkan saya teringat kembali saat Abyatina bersama-sama  kaka dan abangnya berkunjung ke kedai bunga untuk memilih bunga yang akan digunakan bagi majlis perkahwinannya. Melihat pada lirik lagu ini, ditambah pula dengan iramanya, maka saya merasakan lagu ini sesuai dan tepat untuk dipilih sebagai lagu tema bagi siri Adina.



Lagu "Muda (Hujan)", membuatkan saya terkenang kembali zaman kanak-kanak saya. Lirik lagu ini yang cukup ringkas dan santai serta mudah difahami, membuatkan saya dengan mudah mengenangkan kembali zaman kanak-kanak saya. Lirik lagunya yang menceritakan keindahan zaman kanak-kanak ternyata menarik perhatian saya. Kebetulan, lagu ini kerap saya dengar sewaktu menulis siri Adina (Bicara Lapan). Apabila mendengarnya sewaktu sedang rancak menulis, saya terus terbayangkan kembali kisah-kisah awal Abyatina dalam siri Adina, iaitu sewaktu dirinya baru mendapat keputusan SPM. Kisahnya yang digilai oleh penduduk kampung adalah antara momen yang akan saya ingat sebaik mendengar lagu ini. Maka, saya putuskan untuk memilih lagu ini sebagai lagu tema kedua bagi siri Adina.


Lagu "Bertemu Cinta (Mila)", pasti akan menyegarkan kembali ingatan akan kenangan saya terhadap obsesi menonton filem Nur Kasih The Movie di pawagam. Lagu ini merupakan lagu tema bagi filem tersebut, dan seringkali dimainkan sewaktu promosi di televisyen. Obesi itu lah yang menyebabkan saya beberapa kali berkunjung ke pawagam bagi menonton filem ini. Ironinya, selepas tiga bulan tayangan, filem ini telah ditayangkan di TV3 pada Hari Raya pertama. Namun, kepuasan menonton di televisyen ternyata tidak dapat ditandingi dengan kepuasan menonton di pawagam. Menonton di pawagam ternyata lebih menyentuh perasaan berbanding di televisyen. Mungkin sistem audion di pawagam lebih berkualiti berbanding di televisyen.



Sejak tahun 2006, saya telah mewujudkan satu senarai lagu-lagu pilihan saya. Menerusi lagu-lagu tersebut, saya wujudkan satu carta muzik yang disusun mengikut kegemaran saya dan akan dikemaskini setiap minggu. Setiap tahun, satu lagu akan dipilih untuk menjadi lagu paling digemari tahun tersebut.

Pada tahun 2006, lagu "Puteri Santubong (MIX feat Moleq)" diangkap sebagai lagu paling saya gemari. Walaupun lagu ini sekadar lagu campuran hip hop dengan lagu rakyat, namun irama lagunya memang menarik perhatian saya.


Pada tahun 2007, lagu "Menjelma (Kaer)" dipilih sebagai lagu paling saya gemari. Lagu ini agak unik kerana mempunyai ciri-ciri etnik walaupun lagu ini dikategorikan sebagai lagu pop. Iramanya yang agak santai, ditambah pula dengan lirik yang mudah difahami telah menerik selera telinga saya pada waktu itu.


Pada tahun 2008, lagu "A, E, I, O, U (Ahli Fiqir feat Elliza)" telah dipilih sebagai lagu paling digemari tahun itu. Lagu tema Kisah Kaisara ini agak unik kerana liriknya sarat dengan mesej dan pada masa yang sama membuatkan saya tergambar kembali kenangan sewaktu di alam persekolahan. Lontaran suara yang jelas ditambah pula dengan melodi yang agak ‘catchy’ membuatkan saya menggemari lagu ini pada tahun 2008.

Pada tahun 2009, lagu "Kotak Hati (Hujan)" telah diangkat sebagai lagu terbaik pilihan saya  pada tahun itu.  Salah satu faktor yang menyebabkan saya menggemari lagu ini adalah disebabkan lagu ini telah saya pilih untuk diangkat sebagai lagu tema bagi novel tulisan saya iaitu Cinta Thahirah. Lirik lagu ini cukup ringkas dan mudah difahami, namun sarat dengan mesej. Irama lagu ini yang perlahan ternyata mampu meresapkan perasaan emosi dalam jiwa. Walaupun vokal Noh Hujan bukanlah sehebat penyanyi lain, lagu ini masih mempunyai kekuatan disebabkan susunan lagu dan liriknya berjaya menyentuh rasa hati saya. Mungkin bagi yang lain, lagu ini sekadar biasa-biasa sahaja namun bagi saya, lagu ini punyai magisnya tersendiri.


Pada tahun 2010, lagu "Senyum (Malique feat Najwa)" telah saya pilih untuk menjadi lagu kegemaran saya pada tahun tersebut. Lagu ini memang mengingatkan saya terhadap kenangan manis di UPSI. Lagu rap ini mempunya lirik yang cukup santai namun punyai mesej yang tersendiri. Saya memang meminati vokal Malique sejak dalam kumpulan Too Phat lagi, dan sehingga kini, setiap kali lagu baru dihasilkan Malique, maka pasti saya akan tertarik. Lagu senyum dengan irama lagu yang menceriakan ditambah pula dengan lirik yang unik, maka telah dipilih sebagai lagu paling digemari pada tahun 2010.

Pada tahun 2011, lagu "Selamat Pagi Sayang (Noh Hujan)" telah saya pilih sebagai lagu paling digemari bagi tahun tersebut. Faktor utama saya memilih lagu ini adalah kerana lagu ini merupakan lagu yang dipilih untuk menjadi lagu tema siri Adina.


Kebanyakan lagu yang diipilih pada sejak tahun 2006 diambil dan dipilih berdasarkan lagu-lagu yang saya dengar di stesen radio. Pada tahun 2006, kebanyakan lagu dipilih berdasarkan lagu-lagu di radio Era. Pada tahun 2007 pula, stesen X fm (dulunya Xfresh FM) menjadi sumber lagu untuk dipilih. Menjelang tahun 2009, stesen Hot FM menjadi pilihan utama saya bagi memilih lagu-lagu kegemaran saya.

Disebabkan itu, saya tidak tertarik dengan lagu-lagu Inonesia kerana sewaktu fenomena Indonesia tercetus sekitar tahun 2006 hingga 2008, saya memilih stesen radio Xfm yang hanya memutarkan lagu-lagu tempatan sahaja. Mungkin itu jugalah sebab saya menggemari lagu-lagu dari band independent seperti Hujan, Meet Uncle Hussein, dan Bunkface.

Maka, sekadar itu sahaja bicara panjang perkongsian kisah irama dan lagu. Lagu-lagu tersebut merupakan lagu kegemaran saya, dan menjadi  ‘penjaga memori’ buat saya. Benar, irama dan lagu itu pasti akan mencetuskan kembali kenangan-kenangan lama yang pernah dilalui. Baik manis ataupun pahit, semuanya akan terus tersimpan di ingatan apabila irama dan lagu turut mengiringinya.

Wallahualam.


*Nota: Entri ini telah diperam agak lama, hampir setahun disimpan. Proses menulis entri ini juga mengambil masa hampir tiga tahun, bermula dari 2008.








3 ulasan :

Nora_Aniza berkata...

berat sangat entry ni sampai diperam bertahun2..hehe

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Peram lama, sampai tak sedar masih ada dalam folder. Sebab tu bertahun-tahun terperam...

cahayamata904 berkata...

ur long term memory sgt bagus.... boleh igt semua kisah disebalik lagu tue... kagum...
btw, byk nyer trauma... hu3