Rabu, 9 Mei 2012

Komen Bersih 3.0, status hubungan penulis, dan macam-macam cerita.



Bersih 3.0 dan komennya

Perihal Bersih 3.0 sememangnya masih hangat dibicarakan walaupun telah seminggu lebih berlalu. Isu ini seringkali mencetuskan polemik tidak kira sama ada di media elektronik mahupun cetak. Di televisyen, isunya sememangnya akan menghentam perhimpunan ini; tidak menghairankan kerana kesemua stesen televisyen adalah pro-kerajaan. Bagi media cetak, atmosferanya tetap sama. Semua negatif, ibarat positif langsung tiada.

Penulis bukanlah pro-kerajaan mahupun pro-pembangkang. Komennya lebih berkisar pada titik neutral. Memerhati pada sudut atas, meninjau mana yang benar, dan mana yang tidak munasabah.

Hakikatnya, Bersih 3.0 punyai matlamat. Kelihatannya objektifnya ibarat satu kebangkitan rakyat. Di satu sudut yang lain, Bersih dianggap selaku pengkianatan negara. Mengharu-birukan keamanan disebabkan mengikut telunjuk pemimpin tertentu.

3A, Anwar, Ambiga, dan A. Samad Said, menjadi tohmahan. Ambiga dilihat pro-Yahudi, Anwar dikatakan pemimpin tergila-gilakan kuasa tertinggi negara (The Prime Minister), dan A. Samad Said dinilai sebagai si tua nyanyuk meracau-racau untuk dapatkan perhatian.

Soalnya, benarkah?

Ibarat kata-kata popular yang sering diutarakan, “Andai sasterawan telah bersuara menyatakan bantahan kepada kerajaan, pasti ada sesuatu yang tidak kena pada negara itu”

Teliti, dan fahami. Mungkin bersebab sehingga Bersih 3.0 itu boleh wujud.

Bukan mahu ‘bias’ pada mana-mana pihak. Seharusnya dalam soal Bersih 3.0, rakyat pelu menilai isu ini dalam konteks yang luas, bukannya disempitkan dengan nilai individualistik yang cukup tinggi.

Komen seperti, “Menyusahkan aku saja, nak pergi shopping tak boleh” atau “Itulah, siapa suruh pergi sana, kan dah susah sesak nafas.”, mungkin kelihatan nampak munasabah. Namun komen ini hakikatnya didasarkan pada nilai individualistik yang cukup tinggi.

Soalnya, apakah ini nilai rakyat Malaysia?

Namun, itu tidak bermaksud bahawa semuanya positif bagi Bersih 3.0. Sudut lain andai dilihat pastilah tentang soal keamanan. Soal integriti polis, dan disiplin peserta perhimpunan mungkin boleh dilihat sebagai dua isu yang merangkumi secara keseluruhan tentang soal keamanan. Amankah perhimpunan itu? Adakah keserabutan itu terjadi dek tindakan polis atau peserta itu sendiri?

Difahamkan, rata-rata peserta bersetuju bahawa kedua-dua pihak harus dipersalahakan. Masing-masing punca pencetus kekacauan sewaktu perhimpunan tersebut. Soal kebenaran? Mungkin sukar untuk dipastikan.

Biarlah berlalu isu Bersih 3.0 ini tanda ingatan bahawa rakyat dulu dan kini ada bezanya. Isunya mudah, sekiranya kerajaan bijak mengatur strategi selepas ini, pasti kewujudan siri Bersih berikutnya tidak akan muncul lagi. Andai kerajaan bijak , maka aturkan langkah perubahan moga terpikat kembali rakyat yang telah bersuara dalam Bersih 3.0. Semuanya bermula dengan keberanian untuk berubah.


 Soalan: Apakah status anda?

Jawapan diberi untuk soalan tersebut sangatlah ringkas. Sememangnya penulis masih bujang. Jika ditanya apakah solo atau berpunya? Berpunya pastilah tidak, solo itu mungkin. Tak terfikir untuk mencari, tapi andai berjumpa yang tertarik di hati, insya-Allah diaturkan diri menyusun untuk berkenalan. Namun, matlamat itu sangatlah jauh kerana bukan ber’couple’ yang dicari, tapi calon isteri yang diperhati. Dalam soal ini, penulis tak memikirkan secara serius tentang soal pasangan ini. Bukan masanya lagi.


Only in Malaysia

Agak pelik bila memerihalkan budaya jengkel rakyat Malaysia. Salah satu yang cukup menjengkelkan (menurut pandangan penulis) ialah budaya memanggil pelayan di restoran. Ibarat macam beruk di zoo, memanggil  pelayan dengan hanya mendecitkan mulut. Sekali dengar seperti bunyi tikus kelaparan atau anak ayam yang tak cukup bulan baru keluar dari telurnya. Kononnya ‘macho’ bukti betapa hebatnya diri tatkala memanggil dengan gaya sedemikian, namun tak sedar perbuatan itu adalah bukti kesongsangan budaya murni yang selama ini diamalkan rakyat Malaysia.

Amat menjengkelkan tatkala ada yang memanggil pelayan restoran dengan cara sedemikian. Perbuatan tersebut ibarat tidak menghormati pelayan tersebut. Etika dan adab perlulah ada tak kira di mana pun berada. Susah sangatkah untuk setidak-tidak mengangkat tangan supaya pelayan tersebut datang. Susah sangatkah untuk bersuara memanggil pelayan tersebut?

Kita harus mengubah budaya tidak sihat ini. Janganlah diceduk kesemua budaya luar sehingga nilai murni yang selama ini diamalkan akan hilang ditelan zaman.

Kalau ada yang memanggil pelayan dengan mendecitkan bibir, maka seeloknya diambil pengepit baju lalu dikepit pada bibirnya. Berdecitlah sepuas-puasnya selepas itu. 

"Only in Malaysia"

Budi bahasa junjungan bangsa.


Dangkalnya fikiran andai membaca itu bukan amalan

Dalam soal mentaliti, semuanya bergantung kepada sejauh mana ‘matangnya’ pemikiran seseorang. Hakikatnya, pemikiran akan diukur berdasarkan sejauh mana ilmu yang dimilikinya.

Dalam soal ini, kelihatan ramai sekali yang mula berlagak seolah-olah seperti profesor yang tahu serba-serbi tentang pelbagai perkara. Dangkalnya pemikiran apabila seringkali sesuatu isu yang dibincangkan itu adalah berlandaskan sumber rujukan yang terhad dan mungkin boleh dipersoalkan kesahihannya.

Inilah yang terjadi ketika ini di Facebook. Butang ‘share’ dimanfaatkan untuk berkongsi segala macam ilmu yang kadangkala mungkin tidak benar dan songsang. Hakikatnya andai mahu berkongsi, sebaik-baiknya selidikilah dahulu sumber tersebut. Buatlah dahulu kajian sebelum berkongsi.

Lucu apabila sesetengah mereka lantang bersuara menegakkan sesuatu perkara hanya berlandaskan pada bacaan di blog mahupun makalah yang belum tentu dihuraikan berlandaskan fakta yang sah. Bagi mereka ini, apa yang dibaca itulah yang akan dipegang mereka. Dangkalnya pegangan begini.

Seorang bijaksana, seharusnya bukan berpegang pada satu sumber. Hakikatnya dia akan merujuk dan menyelidik pelbagai sumber dari pelbagai pihak. Barulah boleh dibuat konklusi sendiri, dan tidak terikat atau dijumudkan dengan pemikiran sebelah pihak sahaja.

Semua terjadi andai si polan itu malas membaca. Maka itulah yang mewujudkan kedangkalan pemikirannya. Hakikatnya, hanya menerusi kerajinan membaca itulah, maka pemikiran dan mentaliti seseorang itu akan terbuka dan berkembang dengan luas.

Memberikan hujah hanya bersasarkan blog dan google amatlah dangkal. Mempercayai tanpa menyelidiki dan mengkaji sendiri, membuat kesimpulan yang mendalam, maka itu adalah satu budaya bangsa yang pemalas. Sekiranya mahu menghujahkan sesuatu, maka sebaiknya lakukanlah sebanyak-banyak pembacaan di pelbagai sudut. Jangan hanya dangkalkan fikiran dengan pembacaan sebelah pihak. Baru wujud kematangan dalam pemikiran.

Jangan jadi si bodoh yang berlagak pandai. Melalak sakan kononnya lantang, namun isinya dangkal. Akhirnya diri sendiri yang diketawakan.




Tiada ulasan :