Sabtu, 7 Julai 2012

Yazid Rosly jawab soalan: Edisi Dua




Agak lama juga entri berbentuk soalan tidak diposkan di blog. Pelbagai soalan diajukan kepada saya menerusi Facebook mahupun e-mel. Bukanlah seorang yang sangat popular, namun apabila ada yang bertanya dan mengajukan soalan kepada saya, maka rasa terharu itu wujud. Maka ini adalah Edisi Kedua bagi ‘Yazid Rosly jawab soalan.

Terdapat puluhan soalan ditanya, namun dipilih beberapa soalan sahaja. Soalan-soalan ini telah terperam hampir berbulan lamanya dan ada yang telah dijawab, serta ada yang masih tidak berbalas.

Edisi Dua.

Soalan: Apakah pandangan politik Yazid yang sebenar? Apakah menyokong kerajaan ataupun menyokong pembangkang? Baru-baru ini kedengaran cakap-cakap yang Yazid sertai Pemuda UMNO. Benarkah?

Pandangan politik saya sehingga kini masih lagi bersifat neutral, membawa maksud saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Penilaian dan pandangan saya mengenai dunia politik Malaysia adalah berpaksikan kepada nilai berkecuali. Harus diakui, keluarga saya adalah penyokong kuat sebelah parti, namun itu tidaklah mempengaruhi pandangan politik saya pada waktu ini.

Mengenai khabar angin nyatakan bahawa saya telah sertai Pemuda UMNO, cerita tersebut adalah tidak benar. Sehingga kini saya masih tidak menyertai mana-mana organisasi dan parti politik. Tambahan pula, saya masih terikat dengan peraturan AUKU, dan semestinya amat mustahil untuk saya mengaktifkan diri dengan politik.

Saya akan menyokong mana-mana dasar kerajaan yang bagus untuk rakyat, namun pada masa yang sama andai pihak pembangkang memberikan pandangan dan idea yang bernas, maka saya juga akan menyokong mereka.

Mungkin di masa akan datang, saya akan menyatakan sokongan saya terhadap mana-mana parti politik, namun untuk kini, saya masih berkecuali.


Soalan: Benarkah Yazid aktif dengan pelbagai program di bawah UMNO? Dengar cerita Yazid banyak terlibat dengan aktiviti berkaitan UMNO.

Tidak sama sekali. Saya tidak aktif dengan mana-mana program berkaitan politik ataupun program anjuran parti politik. Namun, sebelum menyambung pengajian di UPSI, saya ada mengikuti beberapa program politik. Itupun sewaktu pilihanraya Bukit Gantang tahun 2009. Pada waktu itu saya ada mengikuti beberapa siri ceramah politik pada waktu itu. Baik di kem Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, kedua-keduanya saya ikuti siri jelajah ceramah mereka.

Saya masih ingat pada waktu itu, saya ada menyertai perhimpunan yang menyaksikan Tun Dr Mahthir Mohamad berucap di Simpang. Saya juga tidak ketinggalan mengikuti siri ceramah Datuk Seri Nizar di Ayer Kuning. Malah saya juga berkesempatan bersalam dengan Datuk Seri Nizar pada waktu itu. Saya juga turut menghadiri majlis Tan Seri Muhyiddin Yassin yang pada waktu itu baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Sekiranya disoal tentang keterlibatan saya dalam dunia politik, maka pilhanraya Bukit Gantang itu sajalah yang boleh dikaitkan.

Namun saya akui, selepas menyambung pengajian di UPSI, saya tidak sama sekali menyertai mana-mana program politik kerana keterbatasan masa.

Baik BN mahupun PR, andai program itu bermanfaat, adalah sesuatu yang tidak salah untuk menyertainya.

Soalan: Apakah status sebenar Yazid? Solo atau telah berpunya?

Solo dan tidak berpunya. Sehingga kini, soal sedemikian memang tidak terlintas di fikiran. Ya, mungkin sebelum ini kedengaran perkhabaran tentang soal pertunangan dan sebagainya, namun semua kisah dan khabar berita itu kini hanya tinggal kenangan sahaja. Kisah yang terjadi itu biarlah menjadi rahsia yang sukar untuk dikongsikan.

Pada waktu ini, saya tidak memiliki mana-mana wanita, dan untuk memikirkan soal hati dan perasaan pada waktu ini, sesungguhnya adalah amat jauh sekali. Lebih selesa ‘bercinta’ dengan tulisan dan mata pena pada waktu ini.

Namun, andai terjumpa mana-mana yang terpikat di hati, mungkin kisah berikutnya akan berlainan. Mungkin.

Soalan: Adakah terdapat perkaitan di antara watak Thahirah dalam cerpen “Kiblat Cintaku” dengan Thahirah Kamarulail, individu yang gambarnya disiarkan di dalam cerpen tersebut? Apakah hubungan Yazid dengannya?

Tiada perkaitan sama sekali. Thahirah yang digambarkan dalam cerpen “Kiblat Cintaku” adalah sama sekali berbeza perwatakannya dengan Thahirah Kamarulail. Tiada sebarang perkaitan di antara watak Thahirah dalam cerpen tersebut dengan Thahirah yang sebenar. Semua kisah dalam cerpen tersebut adalah rekaan semata-mata.

Thahirah Kamarulail adalah sahabat lama sewaktu di sekolah dahulu. Kini sekadar berhubung di Facebook sahaja.

Watak Thahirah itu dicipta sebelum disiarkan gambar tersebut. Watak Thahirah bukan berinspirasi daripada gambar tersebut.  Kebetulan apabila siap, saya meminta izin kepada Thahirah untuk disiarkan gambarnya sebagai pembuka bicara cerpen tersebut. Maka, sememangnya tiada perkaitan dengan individu di dalam gambar tersebut.

Soalan: Mengapa siri Adina semakin lambat diposkan di blog?

Keterbatasan waktu adalah sebabnya. Untuk semester empat, saya ternyata tidak mempunyai ruang yang banyak untuk digunakan bagi penghasilan siri Adina. Tambahan pula, faktor kesihatan juga menjadi penghalang besar untuk saya hasilkan siri baru Adina. Malah, hakikatnya penceritaan dalam siri Adina semakin rumit. Maka masa yang banyak diperlukan supaya penceritaan dalam siri baru Adina akan lebih baik dan menarik.

Soalan: Betul ke Yazid tak reti pakai selipar?

Lawak juga soalan ni. Namun memang benar, saya tak reti pakai selipar. Memang dari kecil lagi saya tak pandai kalau berjalan menggunakan selipar. Kaki akan menjadi kekok untuk berjalan sekiranya menggunakan selipar. Maka, untuk ke mana sahaja, saya akan memilih sandal ataupun kasut sarung untuk bergerak. Jika sandal pun, saya akan pastikan sandal tersebut tidak memerlukan saya mengepitnya menggunakan jari kaki saya. Agak memalukan, namun itulah hakikatnya. Memang tak reti pakai selipar.

Soalan: Saya lihat di Facebook, Yazid selalu berkongsi pelbagai perkara yang berfaedah dalam status. Namun pada masa yang sama, kadangkala saya lihat Yazid sering juga berkongsi video-video dari artis-artis luar negara. Mengapa ya?

Mengapa? Soalnya salahkah perkongsian tersebut?

Saya tak pasti, namun bagi saya perkongsian di Facebook bukanlah harus dijumudkan kepada perkongsian berkaitan agama semata-mata, kerana hakikatnya Facebook berfungsi sebagai laman sosial, dan bukannya laman untuk berdakwah semata-mata.

Di Facebook, saya akan berkongsi pendapat dan fikiran saya. Mana yang baik akan dikongsikan. Saya juga akan berkongsi lagu dan video yang digemari dan diminati. Benar, mungkin saya banyak meminati lagu-lagu dari artis luar negara, namun itu tak bermakna saya kurang dalam soal hal keagamaan. Jangan dijumudkan, bila minat pada perkara hiburan, maka seseorang itu telah jauh dari agamanya. Salah tafsiran itu, kerana Facebook bukanlah satu-satunya dunia yang kita ada.


Soalan: Mengapa siri Adina semakin lama semakin perlahan dihasilkan dan diterbitkan di blog?

Entahlah. Sukar nak dijelaskan. Namun, saya akui, proses penghasilan siri Adina semakin lama semakin sukar. Mungkin itulah punca semakin lama semakin lambat penghasilan siri ini. Tidak seperti di awal sirinya yang menyaksikan kerancakan penulisan siri ini, kini saya merasakan proses menulisnya semakin payah dan rumit.

Mungkin kerana konflik dan ceritanya yang semakin kompleks dan semakin berkembang menyebabkan penulisan bagi siri ini semakin perlahan dan sukar. Saya akui, apabila menulis Siri Adina (Bicara Sepuluh), kesukaran itu mula dirasainya. Selepas siri itulah, penghasilan siri-siri berikut dalam siri Adina mula semakin perlahan.

Malah kini, apabila mahu menulis siri Adina, untuk menulis beberapa baris ayat pun cukup sukar dan kadangkala mengambil masa yang agak lama. Mungkin sedang mengalami “writer’s block” atau mungkin proses menulis itu menjadi terlalu rumit.

Saya tak pasti akan ada lagi siri Adina untuk berikutnya, namun selepas siri Adina (Bicara Enam Belas), mungkin saya akan rehatkan siri ini dalam tempoh yang cukup lama, atau dihentikan sahaja siri ini. Mungkin.

Mungkin Siri Adina tidak akan menemui penamatnya.

Soalan: Siapakah pelakon yang paling Yazid minati sekarang?

Tasha Shilla dan Tiz Zaqyah semestinya. Dua pelakon ini punyai karektor yang sangat menarik selain mutu lakonan yang cukup mantap. Saya mula meminati Tiz Zaqyah sejak di awal pembabitannya sewaktu menjadi pelakon tambahan dalam siri Impian Ilyana di TV3 lagi. Apabila Tiz menjadi pelakon utama dalam drama bersiri Nur Kasih, minat terhadap pelakon ini memang tak dapat disangkal lagi.

Bagi Tasha Shilla pula, saya mula meminati lakonannya dalam drama bersiri Gemilang, drama terawal lakonannya. Saya cukup suka melihat penghayatan watak yang dilakonkan Tasha Shilla. Kelihatan mantap walaupun pada waktu itu Tasha baru berada di awal pembabitan dalam dunia lakonan.

Kesemua drama lakonannya akan saya tonton. Saya memang mengikuti setiap perkembangan Tasha. Setiap drama terbaru lakonannya akan saya tonton. Mungkin agak fanatik, namun itu bukanlah suatu kesalahan.

Berkaitan kontroversi di antara Tasha Shilla dan Neelofa, semestinya saya menyokong Tasha Shilla. Yalah, mengapa perlu dipersoalkan kemenangan Tasha dalam Anugerah Bintang Popular tersebut? Neelofa dah kelihatan seperti kemaruk nak menang pula. Bukan nak memperkecilkan Neelofa, namun dari sudut mutu lakonan, saya fikir Tasha jauh lebih baik dari Neelofa. 

Namun sedih, kerana rupanya tak ramai yang mengenali Tasha Shilla. Pelik juga bila difikirkan.

Ya, kedua-dua pelakon memang cantik dan mempesona. Mungkin itu juga salah satu faktor. Tiz dan Tasha, dua pelakon yang menjadi pilihan saya.

Soalan: Antara BN dan PR, mana yang menjadi pilihan Yazid?

Saya menyokong mana-mana yang mendokong dan memperjuangkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat. Bukan BN atau PR, tapi Islam itu yang saya sokong.

Soalan: Yazid peminat fanatik kumpulan Queen ke?

Ya, semestinya kerana Queen adalah sebuah band terbaik yang pernah muncul dalam industri muzik dunia. Itu pandangan saya.

Soalan: Apakah ciri-ciri isteri yang Yazid impikan?

‘Complicated’ soalan tersebut. Namun yang pasti, perkara pertama yang saya mahukan sudah semestinya seorang wanita yang mantap pegangan agamanya.

Orangnya mesti dari kawasan Utara Malaysia (Pulau Pinang, Kedah, Perlis, atau Perak Utara) supaya loghat utara akan terus kekal dan mekar dalam keluarga saya nanti. Kalau boleh, asal usulnya dari kawasan desa dan kampung. Petah berbicara, dan seorang yang berani. Pandai memasak, dan bijak dalam soal pengurusan kewangan. Seorang yang kreatif. Kalau boleh juga, biarlah seorang guru seperti saya (sangat suka guru tadika). Suka pada kanak-kanak.

Seorang yang berdikari dan tajam pemikirannya. Seorang yang rajin membaca, dan paling penting bahan bacaan berilmiah.

Kalau ciri fizikal pula, saya impikan seorang yang berkulit putih mulus (putih melepak). Tak terlalu tinggi, lebih baik rendah sikit dari saya. Suka seorang yang ada lesung pipit, sebab manis kalau tersenyum. Namun ciri-ciri fizikal ini bukanlah keutamaan. Apa yang penting ialah hati yang ikhlas dan bersih.

Ah, indahnya membayangkan ciri-ciri yang diinginkan. Insya-Allah.

Soalan: Kalau dah berkeluarga, berapa orang anak yang Yazid nak?

Empat orang. Dua lelaki, dua perempuan. Tapi semua ni rezeki dari Allah. Jauh lagi nak difikirkan.


Soalan: Apakah tempat yang paling tak disukai untuk dikunjungi?

Hospital, kedai gunting rambut, bank, dan tempat-tempat yang memerlukan urusan kaunter.

Mungkin kerana itu, bila cuti saja, rambut dibiarkan panjang, dan tidak selalu mengeluarkan wang bila berada di rumah. Semua urusan pembayaran bil dan yuran juga dilakukan secara online sahaja.

Soalan: Selain membaca dan menulis, apakah aktiviti yang sering dilakukan bila lapang?

Melukis. Walaupun tak cantik lukisannya, namun melukis dapat beri ketenangan. Ya, saya tak warisi bakat seni lukis yang ada pada ayah. Namun, minat melukis itu masih ada.

Soalan: Berapakah umur yang menjadi sasaran Yazid untuk berkahwin?

Mungkin 30 tahun. Itulah umur sewaktu ayah saya berkahwin dulu. Bukan mahu ikut jejaknya, namun gerak hati saya merasakan mungkin itulah umur paling sesuai untuk saya berkahwin. Persediaan untuk mendirikan rumah tangga bukanlah satu perkara yang mudah. Persediaan yang mantap harus ada.

Soalan: Jodoh, apakah pilihan ibu atau pilihan sendiri yang akan dipilih Yazid?

Kalau boleh biarlah pilihan sendiri. Namun kalau susah dan masih tak jumpa jodohnya, mungkin minta mak tolong carikan. Ada berkatnya juga. Namun macam menyusahkan mak pula. Jauh lagi soal tersebut. Semuanya ketentuan Allah.

Soalan: Berapakah jumlah keseluruhan Siri Adina yang akan Yazid poskan di blog?

Mungkin dalam 60 siri kesemuanya. Saya tak pasti lagi, kerana jalan ceritanya memang sangat panjang. Namun sekarang sedang mengalami kebuntuan dalam proses penulisan bagi siri ini.

Soalan: Jika tidak memilih bidang pendidikan, apakah bidang yang Yazid akan pilih?

Sebenarnya, pada asalnya bidang pendidikan bukan pilihan saya. Minat saya lebih cederung kepada bidang undang-undang. Saya lebih berminat untuk menjadi seorang peguam berbanding guru.  Namun, di akhirnya gerak hati sewaktu mengisi borang UPU telah mengubah pendirian saya. Semuanya atas dorongan dan galakan dari ayah sendiri yang juga seorang guru.

Benar, guru gajinya sikit, tapi banyak berkatnya.








Tiada ulasan :