Ahad, 3 Februari 2013

Tasha dan Fahmi: Sebuah kisah pertemuan jodoh.






Kisah ini adalah perkongsian yang diceritakan oleh seorang sahabat. Kisahnya hanyalah sekadar satu cebisan rasa bahagia yang diceritakan sendiri olehnya. Kisah antara Fahmi Zahid dan Tasha Rozana.

Kisahnya bermula begini; tatkala Fahmi santai meluangkan masa petang melakukan pembacaan, kedengaran deringan telefon yang berbunyi. Ibunya menjawab panggilan tersebut. Tak lama selepas itu, Fahmi dipanggil ibunya. Panggilan telefon buat dirinya, sesuatu yang jarang buat Fahmi. Lantas Fahmi mengambil gagang telefon itu.

“Hello...” Fahmi bersuara.

“Abang Fahmi ke tu?”

“Ya... siapa ni?” Fahmi membalas.

“Assalamualaikum abang. Ni Tasha...” balas suara itu.

“Oh, Tasha....”

Fahmi bagaikan disentak. Kejutan dirasakan. Tidak terlintas di fikirannya Tasha Rozana akan menelefonnya, apatah lagi menelefon rumahnya. Kehairanan melanda, tatkala memikirkan bagaimana Tasha mendapat nombor telefon rumahnya. Mungkin Tasha masih menyimpan nombor telefon itu yang diberikan Fahmi sewaktu mereka bersekolah dahulu. Itulah konklusi yang dibuat Fahmi.

“Abang sihat?” soal Tasha.

“Alhamdulillah. Sihat saja. Tak ada masalah lagi...” balas Fahmi. Senyuman menguntum di wajahnya. Mungkin rasa gembira terbit di hati.

“Minta maaflah telefon tiba-tiba ni...”

“Eh, tak apa...”

Fahmi memang merasa janggal saat berbual dengan Tasha. Hakikatnya, itu adalah kali pertama Fahmi mendengar suara Tasha setelah sekian lama tidak berjumpa. Kali terakhir Fahmi bertemu Tasha adalah lima tahun yang lalu. Tempohnya cukup lama.

“Abang sekarang macam mana? Study lagi kan?” soal Tasha.

“Ya, masih belajar lagi. Tak lama dah pun. Tahun depan habis. Insya-Allah, lepas tu dah kerja,” balas Fahmi.

“Oh, tak lama dah tu...” balas Tasha.

“Tulah... kejap je masa...”

“Umur makin meningkat kan... Semua pun berubah...”

Tatkala itu, perbualan tiba-tiba terhenti. Masing-masing membisu. Lama juga kebisuan itu melanda, namun masing-masing masih lagi setia di ganggang telefon.

“Abang bila nak kahwin?” soalan itu tiba-tiba diajukan Tasha.

“Kahwin?” Fahmi ketawa kecil. “Jauh lagi nak difikirkan. Abang tak fikir lagi pasal tu. Yalah, calon pun tak ada lagi...” balas Fahmi. “Susah nak cari...”

“Alah, kalau tak ada usaha, macam mana nak jumpa kan?..”

“Mungkin belum masanya lagi...”

“Oh gitu....” balas Tasha mungkin tersenyum. Bicaranya terdiam seketika. Beberapa ketika mengambil nafas beberapa kali sebelum menyambung bicaranya. “Abang anggap Tasha ni macam mana?” soal Tasha tiba-tiba.

Fahmi terkejut dengan pertanyaan itu. Dirasakan bagai satu soalan perangkap buat dirinya. Kisah tiga tahun lalu muncul kembali di fikirannya. Sebuah kisah yang terakam sebagai satu titik perubahan dirinya.

"Apa yang pernah abang bagitau Tasha dulu, itulah juga yang abang rasa sampai sekarang. Tak pernah berubah"

Itulah dialog yang paling berat diungkapkan Fahmi. Tatkala menyatakan perkara tersebut, Tasha pula bersuara tak lama selepas itu.

"Sebenarnya, Tasha pun ikhlas sudi terima abang"

Itulah dialog paling indah yang pernah didengar. Hanya Allah yang tahu fikiran pada waktu itu. Fahmi bagaikan tak pecaya dengan kata-kata yang dijelmakan Tasha itu.

Lantas fikiran Fahmi terkenang kembali peristiwa tiga tahun yang lalu. Fahmi terkenangkan kembali saat dirinya meluahkan hasrat hatinya kepada Tasha. Luahan itu ternyata cukup besar, kerana itulah pernyataan yang dinyatakan kepada Tasha menerusi baris-baris ayat menerusi kiriman e-mel menyatakan bahawa Fahmi mahu menjadikan Tasha sebagai isterinya yang sah. Fahmi ketika itu baru berusia 21 tahun, dan Tasha baru sahaja 20 tahun.

Benar, Fahmi meluahkan hasrat murninya itu kepada Tasha. Namun, Tasha menolaknya dengan baik. Kata Tasha, umurnya masih muda, dan masih terlalu awal untuk memikirkan perkara itu. Kata Tasha menerusi balasan e-melnya: “Tasha tak fikir lagi soal itu. Kalau kita ada jodoh, insya-Allah tak ke mana. Lagipun sekarang ni Tasha ada seseorang”

Waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa pedihnya rasa di hati Fahmi. Walaupun Tasha menolak dengan baik, pedihnya masih tetap dirasai. Namun, Fahmi bersyukur, setidak-tidaknya dia telah menyatakan hasrat tersebut kepada Tasha. Setidak-tidaknya Tasha tahu apa yang dirasakannya.

Itu kisah tiga tahun yang lalu. Kini, Tasha muncul kembali, tiba-tiba menelefonnya di rumah.

“Apakah benar yang ku dengar ini? Apakah benar Tasha menyebut; dia menerima aku?” bisikan hati Fahmi muncul tiba-tiba.

“Abang tak pernah lupa Tasha. Tiap-tiap kali solat, abang tak pernah jemu mintak pada Allah, moga-moga satu hari nanti hasrat abang tu tercapai. Abang harap, satu hari nanti Tasha jadi isteri abang...” luah Fahmi kepada Tasha.

Tasha hanya membisu. Hanya bunyi nafasnya kedengaran. Mungkin dilanda kekeluan bicara.

“Tak pernah putus asa, walaupun mungkin nampak dah macam mustahil, tapi abang tak pernah lupa nak berdoa...” kata Fahmi lagi.

Tasha terus mendengar luahan Fahmi. Setia dalam kebisuan.

“Memang abang ikhlas sangat dengan Tasha. Mungkin sebab tu perasaan abang kat Tasha tak pernah berubah... Abang tak dapat nak elak,” kata Fahmi.

“Abang...” Tasha bersuara. “Tu semua benda yang dah berlalu. Sekarang semua dah berubah. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Lupakan semua tu, pandang ke depan. Tak kisahlah apa pun yang berlaku dulu, sekarang ni semuanya dah tertulis...” luah Tasha.

“Abang cuma terfikir... banyak rintangan dulu. Memang sampai satu tahap, abang tak fikir hasrat tu akan tercapai,” luah Fahmi. “Tapi entahlah, bila abang cuba nak lupakan Tasha, waktu itu jugalah tiba-tiba hati abang lagi kuat pada Tasha. Bila abang fikir pasal Tasha, waktu itu pula abang cuba nak lupakan Tasha, sebab abang sedar tak ada jalan untuk abang capai hasrat abang tu...”

“Abang... tak kisahlah apa yang berlaku dulu, abang fikirkan tentang sekarang. Jangan ingat perkara dulu,” balas Tasha.

“Insya-Allah...”

“Oh, ya... nanti boleh Tasha bercakap lagi dengan abang?” bicara Tasha sedikit ceria.

“Insya-Allah, boleh saja...”

“Abang tunggu dalam pukul 9 malam ni ya,” kata Tasha.

“Oh, boleh. Tak ada masalah”

“Malam ni kita cakap lagi ya...” kata Tasha.

“Tapi... siapa yang nak telefon. Abang ke... atau Tasha?” soal Fahmi.

“Tak pe. Tasha telefon nanti ya. Abang tunggu saja”

“Ok..”

“Oklah ya. Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam...”

Gagang telefon diletakkan. Tiada bicara terjelma. Fahmi hanya mampu tersenyum mungkin tidak percaya. Fahmi merasakan dirinya ibarat di alam mimpi. Merasakan apa yang baru sahaja terjadi itu adalah satu angan-angan di dalam mimpi. Tasha yang dah lama tak ketemu tiba-tiba menelefonnya.

Fahmi keluar dari rumah, berjalan-jalan di sekitar halaman rumah. Petang itu langit cerah, memaparkan keindahan langit yang membiru. Hatinya dilanda satu kejutan yang mewujudkan nilai gembira yang tak terhingga. Segalanya telah terjawab. Kata-kata Tasha terngiang-ngiang kembali di telinganya.

“Sebenarnya, Tasha pun ikhlas sudi terima abang"

Kata itu cukup bermakna dan Fahmi ternyata bagaikan tidak percaya bahawa bicara itu diungkapkan Tasha sendiri. Bicara ringkas itu memberi seribu pengertian, menjawab setiap persoalan yang telah melanda dalam diri Fahmi sejak tiga tahun yang lalu.

“Rupa-rupanya, Tasha dah terima aku tiga tahun yang lalu. Rupa-rupanya penolakannya itu sebenarnya satu penerimaan. Rupa-rupanya Tasha hanya sekadar beri alasan kononnya telah dimiliki seseorang, walhal Tasha dalam diam menerima aku....” bisik Fahmi. “Ya Allah... syukur....”

Kelegaan jelas tergambar di wajah Fahmi. Bahagia mula tercipta. Persoalan mengenai perasaan Tasha terhadapnya tidak lagi wujud di fikirannya. Semua persoalan yang pernah wujud, yang pernah memberi satu tekanan emosi yang cukup besar dalam dirinya telah hilang sekelip mata.

Fahmi mendongak ke langit. Lantas muncullah bayangan-bayangan indah masa depannya. Itulah bayangan hidup dirinya bersama Tasha.

“Alhamdulillah...”

Malam itu, selepas Isyak, Fahmi setia duduk berhampiran telefon. Menanti satu panggilan dari Tasha seperti yang telah dijanjikan Tasha. Tidak dapat digambar perasaan gembira yang wujud dalam diri Fahmi. Permulaan bahagia sedang bermula, dan tak lama kemudian telefon berdering.

“Assalamualaikum abang. Tasha ni...”

“Waalaikumussalam...”

Maka perbualan tercipta. Hubungan akhirnya terbina. Impian Fahmi akhirnya terjelma. Tasha dan Fahmi akan menjadi dua insan berkongsi dunia.

Kisah sahabat bernama Fahmi ini adalah sebuah kisah penantian panjang seorang lelaki yang mengharap hasrat hatinya dibalas oleh seorang wanita. Penantian bertahun-tahun itu ternyata sangat menyeksakan, namun penyeksaan itu mungkin berbaloi kerana Fahmi kini merasai nikmat bahagia. Berkat sabar dan doa, akhirnya Allah memakbulkannya.

Tahniah buat Tasha dan Fahmi.






6 ulasan :

hana banana berkata...

Untungnya Fahmi, lama tunggu pown dapat Tasha yang dinanti-nanti ;)

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Itulah. kalau dah jodoh tak ke mana. :)

Ahmad Zaki Mohd Hashim berkata...

Cikgu Yazid, saya confuse. Gangang ke gagang?? Hehehe. Ke aku yang salah???

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Eh, ada tulis silap ke? haha. tak perasan pulak. Ejaan betulnya gagang,

Ahmad berkata...

apakah ini kisahn nyata?

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Kisahnya nyata. Hanya namanya saja ditukar.