3 Faktor Perosak Manusia

Semua orang gemar kepada perkara yang baik dan melakukan kebaikan kerana ia membawa kebahagiaan, kesejahteraan, dan keharmonian. Golongan seperti perompak atau penyamun juga tidak suka harta bendanya dicuri dan diganggu, walaupun mereka menggannggu dan menceroboh kehidupan orang lain.

Keburukan berlaku dalam masyarakat disebabkan beberapa faktor seperti tidak menghiraukan larangan Allah. Begitu juga keharmonian boleh digapai apabila kita menuruti petunjuk Allah yang Maha Kuasa. Menghindari lebih baik daripada mencegah. Muhasabahlah kita agar dapat menghindari daripada faktor perosak manusia.

Saidina Umar berkata, “Sekiranya kamu ingin menghindari keburukan, kamu mesti mengetahui kejahatan itu supaya senang kamu menghindarinya.”

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Ada tiga perkara merosakkan, hawa nafsu yang dituruti, kedekut yang ditaati, dan kekaguman pada diri sendiri.”

Pertama, hawa nafsu bukan dibunuh tetapi dididik. Ini kerana nafsu dunia menjadi indah, sebab itu dunia dibangunkan rasa cinta kepada harta, tahta, dan wanita mengindahkan kehidupan selama mana dalam batas yang dibenarkan. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Remaja yang tenggelam dalam hawa nafsunya lemas dalam lilitannya. Cinta tanpa batasan, pergaulan bebas, mahu senang tanpa usaha, berhibur tanpa batasan, dan akhirnya nafsu menjadi Tuhan, berkiblatkan perasaan serta tiada lagi batasan. Pada masa itu, pekak telinganya, buta matanya, dan akhir sekali terkunci hatinya. Allah sudah mengingatkan umatnya dalam firman-Nya yang bermaksud: “Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan? Allah membiarkan mereka sesat dalam keadaan berilmu lalu Allah mengunci mati pendengaran dan hatinya.”

Subjek pembelajaran sepatutnya ditekankan untuk mengendalikan hawa nafsu. Remaja sepatutnya bukan hanya memburu kecerdikan tetapi kebaikan.

Kedua, sifat yang merosak ialah kedekut. Terlalu cintakan harta hingga tidak mengeluarkan zakat. Tidak terpanggil membantu sesama Muslim dalam bidang ekonomi juga dipanggil kedekut. Sama ada menyokong mereka dengan membeli produk atau dengan tidak menjatuhkannya. Keekut bukan terbatas kepada wang sahaja tetapi merangkumi kedekut idea, pemdapat, kedekut nota kuliah, resipi, dan tenaga.

Program kebaikan dan bermanfaat di kampus dan surau serta masjid kadang-kadang tidak mandapat sokongan memberangsangkan dalam kalangan remaja. Tetapi jika konsert dan hiburan, tanpa dijemput sanggup melakukan apa sahaja untuk menikamatinya. Pemuda yang mewarisi negara perlu belajar menjadi pemurah, suka membantu, ringan tangan, dan penyokong setia kebaikan.

Ketiga, sifat membanggakan diri. Ia merosakkan diri, keluarga, dan masyarakat. Orang yang bangga diri biasanya berasa ada kelebihan luar biasa pada dirinya yang tidak mampu ditandingi orang lain. Mereka yang terkena penyakit begini biasanya mudah memperkecilkan orang lain Apabila melakukan kesalahan sukar untuk diri mengakuinya, jarinya mudah menuduh dan menuding orang lain. Fitnah terkutuk sanggup dilakukan demi untuk menjaga nama baik dirinya yang sebenarnya memang jelak.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri…..

Ulasan

Catatan Popular