Kisah Kaisara kembali lagi di TV3
Akhirnya, setelah beberapa bulan sahaja Kisah Kaisara tamat untuk musimnya yang pertama, akhirnya Kisah Kaisara kembali lagi untuk musim yang kedua. Drama ini disambung lagi untuk musimnya yang kedua disebabkan sambutan yang hangat musim pertama lalu. Kisah Kaisara merupakan drama paling popular di TV3 untuk tahun 2007 mengalahkan sitkom-sitkom yang lain seperti Puteri, Dunia Anita, dan Fara. Bagi saya, sudah semestinya saya menantikan Kisah Kaisara untuk musim yang kedua ini. Memang boleh dikatakan agak menarik juga untuk menonton rancangan ini.
Jika dibandingkan dengan musim pertama, montaj pembukaan Kisah Kaisara lebih menarik. Ditambah pula dengan lagu tema baru nyanyian Elliza yang ternyata lebih sesuai berbanding musim pertama dahulu yang menggunakan lagu Jikalau Aku. Lagu nyanyian Ezlyn tersebut ternyata tidak begitu sesuai dengan jalan cerita kisah ini yang memfokuskan kehidupan remaja di sekolah. Namun untuk musim kedua ini, Nyon Osman berjaya memperbetulkan keadaan ini. Dengan montaj pembukaan yang begitu menarik, menjadikan semua pelakon yang terlibat, Sari Yanti, Wan Sharmilla, Elliza dan beberapa pelakon lagi sebagai tukang sorak, ternyata telah memberi ‘tenaga’ untuk pembukaan drama ini. Hal ini sememangnya dapat menarik penonton untuk menonton Kisah Kaisara.
Namun begitu untuk episod pertama Kisah Kaisara, yang bertajuk Kisah Bermula, jalan ceritanya agak kurang menarik dan sedikit membosankan. Hanya permulaan cerita sahaja terdapat daya tarikan iaitu babak Kaisara dan rakan-rakannya mengadakan pementasan drama Hang Tuah di sekolah. Selain daripada babak itu, babak seperti jamuan makan di rumah Kaisara dilihat seperti meleret-leret dan kelihatan seperti tiada tujuan. Tanpa babak itu sendiri pun, drama tersebut tidak akan cacat. Secara keseluruhannya, episod pertama Kisah Kaisara 2 kurang menyengat berbanding episod pertama Kisah Kaisara 1 dahulu yang bertajuk Berbalas-balas. Episod pertama siri itu lebih menyengat kerana telah menampilkan konflik. Dengan jelas episod itu menampilkan konflik yang berlaku antara Kaisara dan rakan-rakannya dengan Yani. Namun untuk episod pertama musim baru ini, kelihatan seperti tiada apa-apa yang cuba ditonjolkan. Cuma sedikit pengenalan watak baru dalam drama ini ditampilkan. Selebihnya hanya kelihatan meleret-leret.
Namun syabas buat team Ace Motion kerana telah berjaya memperbetulkan beberapa kesilapan semasa musim pertama dahulu. Untuk musim kedua ini, tidak ada lagi watak Kaisara berselendang di dalam rumah. Kaisara ditampilkan dengan imej berambut ketika di rumah, membuatkan drama ini menjadi lebih logik berbanding dahulu – mana ada orang berselendang 24 jam di rumah. Selain itu, penukaran pelakon bagi watak emak Aben – sebelum ini dilakonkan oleh Yasmin Haron, bolehlah dikatakan satu keputusan yang bijak. Aliah Lee ternyata lebih sesuai memegang watak tersebut berbanding Yasmin Haron - barulah kelihatan seperti seorang ibu kepada seorang anak yang berusia 17 tahun. Sebelum ini, Yasmin Haron yang memegang watak tersebut ternyata tidak sesuai. Dia bukannya kelihatan seperti ibu kepada Aben, tetapi kelihatan seperti kakak kepada Aben. Syabas kepada Nyon Osman!
Secara keseluruhannya, drama Kisah Kaisara ini telah berjaya diupgradekan menjadi drama yang lebih berkualiti. Saya mengharapkan drama ini akan menjadi lebih menyengat untuk episod-episod akan datang. Dan tak mustahil untuk saya katakan, drama ini pasti sekali lagi akan menjadi siri drama paling popular di Malaysia! Kepada seluruh krew Kisah Kaisara, syabas!
Ulasan