Bila nota jadi kebencian, bila hati mahu sesuatu, bila diri semakin jauh darinya...
Bahagia bukan, jika kita dianugerahkan seorang teman yang akan setia seumur hidup kita? Bayangkan, setiap saat dia akan menemani kita walau di mana sahaja. Dialah yang akan menjadi teman setia mendengar segala cerita kita, dialah yang akan setia membantu kita jika kita mengharungi masalah. Bayangkan, mungkin kita juga akan senantiasa disebut dibibirnya setiap hari. Ya, Allah indahnya kasih sayang itu.
Saya bicara kerana tiba-tiba hati saya terdetik akan keindahan itu. Betapa saya impikan rasa nikmat yang tak tergambar dengan kata-kata. Kadang-kadang saya cemburu malah seperti terdetik apabila melihat mak dan ayah. Indahnya mak dan ayah, kasih sayang tak pernah lekang, senantiasa bergantung antara satu sama lain. Saya teringin merasai seperti apa yang ayah rasai. Punyai seorang wanita yang sentiasa bersamanya walau susah ataupun senang.
Saya tahu, masa itu masih panjang. Saya tahu, perjalanan merasai nikmat itu masih lagi jauh. Namun tiba-tiba saya terdetik dan teringin untuk merasai dikasihi dan disayangi seumur hidup saya.
Saya menyoal diri saya. Siapakah isteri saya nanti? Bagaimana wajahnya? Berapakah beza umur saya dengannya. Dari manakah dia berasal? Bagaimana tutur katanya? Apakah pekerjaannya? Dan bagaimana dengan masakannya? Saya bertanya pada diri, bagaimana keadaan saya untuk sepuluh tahun akan datang. Apakah pekerjaan saya? Adakah saya memang seorang guru Bahasa Inggeris? Di mana saya tinggal? Berapakah pendapatan saya? Kereta apakah yang saya guna? Berapa ramaikah anak saya? Adakah anak sulung saya perempuan atau lelaki? Semua itu bermain di fikiran...
Semua itu kisah masa depan yang tak diketahui.
Saya teringin untuk merasai belaian seorang wanita. Belaian itu melembutkan jiwa menenangkan hati. Bayangkan pula, belaian itu sesuatu yang dibuat atas hubungan yang halal. Maka bertambah nikmatlah kasih sayang itu. Saya memang tak sabar merasai nikmat itu.
Saya tidak mahu satu bicara ‘peraih simpati’. Saya cuba menjauhkan bicara ‘memperbodohkan diri’. Saya tak mahu nyatakan lagi cerita ‘pencetus kasihan’. Saya juga tak mahu suara ‘menyampah’ dihamburkan pada saya. Ya, saya penulis yang daif....
Insyaallah, satu hari nanti saya tak bersendirian. Sewaktu saya rasa sunyi, dia akan muncul di sisi saya temani saya ubatkan kedukaan. Senyuman menguntum dihadiahkan pada saya. Tangan lembutnya mengenggam tangan saya. Katanya kemudian: “Jangan risau, saya tetap akan bersama kamu walau apa yang akan berlaku”
Indahnya...
Mungkin juga satu hari nanti, di saat saya kebuntuan, terkeliru dan tertanya-tanya sehingga berserabut fikiran, akan muncul dia dengan suara lembutnya penuh keayuan sambil dengan tenang mengeluarkan bicara: “Luahkan, mungkin saya dapat bantu. Seumur hidup, akan senantiasa saya disisimu...”
Nikmatnya.
Satu hari nanti, saya berseorangan di sebuah restoran. Menikmati hidangan tengah hari sewaktu bekerja. Tidak lama selepas itu, dia muncul dan duduk di hadapan saya. Tersenyum sambil bertanya: “Dah makan ke?”
Senyuman itu sudah cukup menghilangkan lapar yang dirasainya. Mendengar saja tutur kata prihatin itu telah melangkapkan ketenangan jiwa sehingga terlupa makanan yang dipesan. Dan alangkah indahnya, berdua bersama, menikmati hidangan, dan dia duduk di hadapan saya sambil dia dengan penuh sopan menikmati hidangan. Nikmat makan dicampur dengan nikmat kasih sayang yang dirasakan... Tak tergambar dengan bicara kata.
Sambil menikmati hidangan, dia dan saya berkongsi kisah. Dicampur gelak ketawa sambil diselang-seli dengan senyuman antara satu sama lain, saya akui, alangkah bahagianya.
Nikmatnya kurniaan Allah...
Mungkin ketika saya baru sahaja selesai mengmbil wuduk, dengan wajah penuh kesegaran bersedia untuk menunaikan solat, seorang wanita muncul di belakang. Dia membentangkan sejadah buat saya sambil berkata: “Boleh saya berjemaah dengan kamu?” Tak terucap dengan kata-kata bila kasih sayang itu boleh dibawa bersama-sama, dan bersama-sama beribadah. Selepas solat, masing-masing membaca al-Quran, jika ada kesalahan, masing-masing akan menegur. Indahnya perkongsian itu...
Tak terucap dengan hanya sebuah lafaz kata...
Kini saya berseorangan. Ketika saya menonton televisyen, saya hanya tersenyum dan ketawa seorang diri. Nak berkongsi keterujaan menonton siri TV, memang tiada siapa. Di kala semuanya up to date dengan segala anime dan drama Korea, saya masih dalam dunia saya. Saya tak mampu mengikut rentak mereka...
Mungkin itu berbeza sepuluh tahun akan datang. Mungkin waktu itu saya ditemani dia. Ketawa, tersenyum dan mungkin sedih bersama-sama. Malah mungkin di saat menonton siri kegemaran, pertelingkahan kecil mungkin berlaku memeriahkan lagi suasana menonton. Seorang sukakan watak ini, dan seorang lagi sukakan watak itu. Maka, masing-masing nak menangkan watak masing-masing. Betelingkah. Namun akhirnya masing-masing tersenyum dan kemudian ketawa pula. Ikatan kasih sayang terjalin dengan penuh keindahan. Saya genggam tangannya tanda menghargai kehadirannya menemani saya menonton siri TV kegemaran saya.
Allah sesunggguhnya berkuasa.
Kini, ketika saya di rumah, saya menemani mak berada di dapur, membantu mana yang patut untuk menyediakan hidangan tengah hari. Mana yang perlu saya hulurkan bantuan, saya bantu. Memotong sayur, menyiang ikan, memotong daging, mencincang daging, menggaul kunyit dan garam pada daging ayam, menggoreng, mencuci pinggan, dan semuanya saya bantu di dapur. Nikmatnya bantu mak, puasnya melihat mak dapat banyak berehat dari sebelum ini.
Mungkin kisah berbeza sepuluh tahun akan datang. Waktu itu saya masih berada di dapur. Namun wanita yang menguruskan dapur itu bertukar watak. Dengan wajah tenang dan penuh senyuman, dia muncul di dapur. Sebelum memulakan tugas, tangannya dicuci dengan penuh teliti. Saya memerhati kelembutan tangannya, kelembutan jari-jemarinya membersihkan tapak tangan sambil melihat titisan-titisan air jatuh dari setiap hujung jari jemarinya. Indahnya melihat seorang wanita yang berkongsi hidup dengan saya, melakukan kerja di dapur.
Dia kemudian menarik tangan saya lantas berkata: “Tangan ni kena cuci. Barulah bersih dan berkat makanan yang nak dimasak”
Mungkin waktu itu saya bergurau, berbual, dan kemudian diiringi dengan gelak ketawa. Mungkin kadang kala kedengaran juga ngomelan dia, bila saya tersilap memasukkan bahan dalam masakan. Kemudian mungkin dihulurkan sesudu kuah yang diambil dari masakan, dihulurkan pada saya untuk saya rasa. Dengan penuh sabar dia menanti jawapan, kemudiannya saya tersenyum dengan menyatakan betapa enaknya masakannya hari ini. Bayangkan menikmati hidangan tengah hari yang dimasak bersama-sama, nikmatnya tidak terhingga.
Betapa cantiknya kisah itu....
Kini saya kadang-kala berseorangan bila sakit menjadi tetamu saya. Semua harus saya hadapi atas dasar berdikari. Bukan mahu meraih simpati lagi. Bukan mahu menagih pertolongan. Biarkan saya, kerana semuanya akhirnya saya yang hadapi. Tidak mahu ceritakan bagaimana sakit itu, cukuplah sekadar nyatakan, sakit itu perit, dan perit itu derita, dan derita itu satu ujian, dan ujian itu kesabaran, dan kesabaran itu satu kekuatan, dan kekuatan itu satu kurniaan. Insan lemah tak layak berbicara soal kegagahan, dan itu bukanlah satu bentuk pintaan simpati.
Mungkin kisah berbeza sepuluh tahun akan datang. Saat saya sakit waktu itu, dia setia bersama saya sepanjang waktu, membantu mana yang boleh, dan menjadi jururawat buat saya. Senyuman diukirnya itu sudah cukup melegakan kesakitan yang dirasai. Kata-kata pemberi semangat di hembuskan ke telinga saya, beri kekuatan moga saya dapat mengharungi cabaran menghadapi kesakitan. Saya tak lagi terlupa menelan pil-pil yang perlu, tidak lagi terlajak dari waktu sebenarnya. Makan dan minum tak perlu lagi diresahkan, dia setia memberikan segala yang perlu agar saya selesa hingga saya pulih dan sembuh. Jika dada saya terlalu sakit, maka dia dengan penuh kelembutan mengurut dada saya. Sejuk tangannya menghilangkan keperitan nafas yang dirasai di dada bila asma menjadi tetamu.
Tenang rasanya...
Kini, saya dalam perjalanan ke Pulau Pinang. Bersendirian, dan pastinya kebosanan dalam kesunyian. Memang itu dirasai, namun saya dah biasa kerana lima tahun saya harungi perkara yang sama, hingga mempunyai masalah dalam kemahiran bersosial. Pasti saat itu saya rasakan, alangkah bagusnya jika ada seseorang berada di sebelah saya. Daripada senyap, lebih baik mendengar seseorang bersuara hilangkan kebosanan memandu. Saya akui, ingin benar seseorang yang sangat memahami saya menjadi teman sepanjang perjalanan.
Mungkin kisah berbeza sepuluh tahun akan datang. Waktu itu, dia berada di sebelah saya. Menjadi jurupandu buat saya dalam perjalanan. Menegur saya jika kelajuan melebihi hadnya. Mungkin kedengaran ngomelan dia, menyatakan bahawa saya tak cermat memandu. Mendengar juga kata-kata, mungkin bicara, bercerita kisah-kisah kanak-kanaknya memenuhi setiap saat dalam perjalanan. Saya terhibur bercampur ketawa, mungkin lucu mendengar kisahnya. Saya kongsi kisah saya, dan dia pula keatawa. Kami berbual sepanjang perjalanan, hingga mungkin anak-anak di belakang telahpun terlelap. Indahnya saat itu, bila kita punyai semua orang yang kita sayangi, dan orang yang disayangi itu pula senantiasa berada di sisi kita.
Terkesima dengan keindahan itu...
Bicara ini sekadar contengan kosong tanpa tujuan, dan tidak punyai hatta satu motif pun. Terlintas di fikiran, maka saya coretkan, langsung tak fikir apakah kesannya. Saya memang merapu dalam bicara ini. Ah, biarkan, kadang-kadang fikiran perlu dibebaskan dari kongkongan skrip cerita yang ingin disampaikan.
Tidak ada lagi kisah-kisah yang terlalu mendalam buat saya untuk disampaikan pada kalian. Saya mahu membisu kerana ramai yang menyatakan pada saya, bicara itu tak ubah tulisan murahan nak raih simpati. Tulisan yang ditulis oleh orang gila yang nak raih publisti murahan. Kononnya saya dedahkan segalanya tentang saya dalam tulisan tersebut.
Ingin saya nyatakan, saya hanya kongsikan dua peratus sahaja kisah saya. 98% lagi kisah saya simpan dan sorok untuk saya. 98% itu hanya diketahui oleh keluarga saya saja. Jadi jika tak mengetahui diri saya sebenar, jangan katakan bahawa saya gilakan publisiti. Kisah saya tak didedahkan semuanya dan hanya sedikit saja yang saya kongsikan. Banyak lagi sebenarnya kisah yang saya masih simpan. Apa yang saya bicarakan sebelum ini, hanyalah kisah yang terlalu sikit saya luahkan. Saya kongsi perkara yang saya rasa boleh kongsi dengan semua.
Benar kata arwah sepupu saya, :”Kamu akan lebih banyak dibenci orang dari disayangi...”
Merenung dari balkoni, saya termenung seketika. Merenung jauh perjalanan sepuluh tahun akan datang. Masa depan yang tak diketahui ceritanya. Apakah yang bakal berlaku? Apakah saya sempat merasai nikmat bahagia itu? Adakah kesihatan saya kini mampu bertahan untuk saya rasai nikmat itu? Walau kadang kala saya merasakan masa saya makin hampir, saya harus yakin Allah pasti akan memberi saya ruang untuk merasai kasih sayang dari seorang wanita.
Saya tertanya-tanya siapakah wanita itu? Dari mana akan saya ketemunya? Bagaimana wajahnya? Saya tak mampu menjawab persoalan itu kerana saya tak tahu bicara masa depan. Saya hanya mampu tersenyum dan mengharap agar bicara cerita yang bermain di fikiran itu akan menjadi satu kisah yang akan saya lalui sepuluh tahun akan datang. Moga Allah izinkan saya untuk merasai nikmat berkasih sayang itu.
Saya tak memiliki mana-mana wanita kini. Itu faktanya dan saya nafikan buat mereka yang nyatakan saya telah dimiliki seseorang. Hanya diri saya saja yang tahu apa yang saya miliki kini kerana kasih sayang itu satu kerahsiaan yang tak mampu dikongsikan dengan mudah dengan mereka yang lain.
Wallahualam, moga Allah bersama saya...
p/s: saya kini hanya tagkan buat pembaca setia nota saya. Tidak lagi puluhan orang akan saya tagkan. Reformasi harus dilakukan demi suatu perubahan baru...
2.20 am, Selasa, 30 November 2010, Kolej Za’ba.
Ulasan