Tudung dan artis: Memahami erti sebenar menutup aurat
Kini, seringkali kedengaran perubahan demi
perubahan yang ditonjolkan oleh golongan artis. Banyak dari kalangan artis
wanita kini telah mempunyai kesedaran akan tanggungjawab untuk memenuhi
tuntutan agama. Maka, pemakaian tudung dalam kalangan artis telah kelihatan
seperti menjadi satu trend sehingga kejanggalan dalam pemakaian tudung oleh
kaum wanita seolah-olah telah hilang pada hari ini. Namun, hakikatnya walaupun
perkembangan ini menandakan bahawa nilai Islam itu semakin berjaya diserap
dalam golongan artis, masih terdapat kepincangan yang harus diteliti. Soal
tatacara dalam pemakaian tudung kelihatan masih banyak yang perlu diperbaiki
kerana hakikatnya, tudung yang dipakai oleh kebanyakan mereka masih belum
memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki syarak.
Menutup
aurat harus difahami dengan sepenuhnya. Mengikut syarak, menutup aurat dalam
kalangan wanita bermaksud menutupi keseluruhan tubuh dan bentuk tubuh kecuali
tapak tangan dan muka dari pandangan lelaki mahram. Jika dilihat pada pengertian ini, maka amat
jelaslah bahawa menutup aurat itu bukan sekadar hanya dengan menutupi rambut
menggunakan tudung kepala, namun bahagian anggota tubuh yang lain juga perlu
ditutup. Maka, jika dilihat kepada trend pemakaian tudung dalam kalangan artis
wanita di negara ini, amat jelaslah bahawa kebanyakan dari mereka masih belum
sempurna dalam memenuhi tuntutan menutup aurat yang diwajibkan dalam Islam.
Banyak dalam kalangan artis wanita yang bertudung masih
lagi mendedahkan bahagian tubuh yang sepatutnya ditutup dari pandangan umum.
Bahagian seperti lengan dan tengkuk seringkali didedahkan atas nama untuk
berfesyen. Hakikatnya bahagian tersebut wajib ditutup, dan jika didedahkan,
maka aurat mereka masih belum sempurna ditutup. Sesetengah dari mereka juga
masih lagi mengenakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh
mereka. Malah, trend pemakaian baju yang jarang terutama bagi pakaian
tradisional dalam kalangan artis yang bertudung ternyata memberi pengaruh yang
negatif kepada masyarakat. Alasan yang diberikan mudah, iaitu mahu
mempelbagaikan variasi fesyen bagi wanita yang bertudung. Namun, walaupun wujud
variasi fesyen tersebut, hakikatnya variasi itu hanya merosakkan tujuan menutup
aurat itu sendiri.
Masalah yang timbul ini berpunca daripada pemahaman yang
cetek tentang ilmu agama dalam kalangan artis itu sendiri. Kebanyakan artis
ternyata mempunyai niat yang murni untuk berubah, namun niat itu tidak diikuti
dengan usaha untuk memantapkan ilmu di dada. Maka akan wujudlah kekeliruan dan
salah tanggapan tentang konsep menutup aurat yang sebenar. Hal ini jugalah yang
mewujudkan percampuran fesyen barat yang diserapkan ke dalam fesyen muslimah
yang pada hakikatnya tidak semua fesyen barat yang diserap itu memenuhi syarak.
Masalah ini wujud juga disebabkan oleh kreativiti pereka fesyen itu tidak
diselusuri dengan penguasaan ilmu agama yang mantap terutama dalam soal
tatacara menutup aurat mengikut hukum
syarak yang sebenar. Maka inilah yang mewujudkan fesyen muslimah berlandaskan
buah fikiran sendiri tanpa dipandukan dengan panduan agama yang jelas.
Kesannya, fesyen muslimah itu ternyata menyimpang jauh dari tujuan asal iaitu
menutup aurat dengan sempurna.
Masyarakat hakikatnya seringkali menjadikan golongan
artis sebagai idola mereka. Maka, seharusnya golongan artis wajar memberikan
contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat. Setiap fesyen dan gaya pakaian
yang ditonjolkan mereka pasti akan menarik perhatian ramai. Oleh itu, golongan
artis wajar berhati-hati untuk berfesyen turutamanya artis wanita, supaya
fesyen yang dipopularkan oleh mereka tidak bertentangan dengan tatacara menutup
aurat yang sebenar. Selain itu, pereka fesyen juga perlu memahami sepenuhnya terhadap tatacara
menutup aurat mengikut syarak yang sebenar. Pemahaman ini amat penting supaya
segala bentuk fesyen baru yang diperkenalkan itu tidak lari dari konsep menutup
aurat yang sebenar.
Perkembangan pemakaian tudung dalam kalangan artis wanita
pada masa ini seharusnya menunjukkan bahawa kesedaran dalam memenuhi tuntutan agama
itu semakin meningkat. Hal ini juga membuktikan bahawa elemen dan gaya hidup
Islam semakin mudah diterima masyarakat. Oleh itu, seharusnya golongan artis
wanita wajar memberikan tauladan yang baik kepada masyarakat dengan memberikan
imej yang sempurna selaku muslimah yang menutup aurat. Tidak salah untuk
berfesyen, namun fesyen itu haruslah bertepatan dan mengikut garis panduan yang
telah ditetapkan oleh syarak. Hakikatnya, menutup aurat itu mudah, namun
ketelitian dalam menutupnya dengan sempurna haruslah diambil perhatian.
Ulasan