Muhasabah Jumaat: Dakwah semberono?
Dakwah itu perlu berhikmah, dan bukan semberono menghukum
itu dan ini, dan mengeluarkan hujah siapa yang layak ke pintu syurga, dan siapa
yang rebah di pintu neraka.
Isu tudung andai dibicarakan dengan panjang lebar, maka
kadangkala boleh tercetus satu polemik dan pertikaian. Benar, kisah tudung
mampu mencetuskan suasana hangat dalam sebuah perbincangan. Maka, bermulalah
hujah bercampur emosi, cuba mempertahankan dalam nada membela ataupun
mengkritik, baik si bertudung mahupun si ‘berambut bebas’
Baru-baru ini, diutarakan satu isu berkaitan tudung,
kerana kisahnya bermula dalam situasi di kelas, apabila seorang hamba Allah
memberikan teguran ‘direct kick’ kepada seorang lagi hamba Allah yang tidak
bertudung. Saya berada sewaktu situasi itu berlaku.
Walaupun diakui, menutup aurat itu wajib buat setiap umat
Islam, namun memberi teguran dalam nada untuk mengaibkan individu tersebut
adalah sangat tidak wajar. Diperlekehkan soal keislamannya, dan kemudian
dikeluarkan soalan, “Apakah beza antara orang Islam dan bukan Islam jika tak
bertudung?”, malah kemudian dikeluarkan kata-kata sinis seolah-olah individu
tersebut robot tak berperasaan.
Mungkin ada yang kurang mengerti, namun bagi rakan-rakan
rapat, semua memahami dan mengetahui
situasi yang dimaksudkan tersebut.
Ada pula yang berpendapat, aib yang diterima akibat
teguran tak berlapik itu adalah wajar, kerana sememangnya apabila seseorang itu
tidak menutup aurat, maka hakikatnya dirinya telah mendedahkan aib. Namun
persoalannya, apakah mengaibkan seseorang dengan teguran yang semberono itu
akibat tidak menutup aurat akan membawa orang tersebut lebih dekat dengan
suruhan Allah?
TIDAK!
Jika inilah dikatakan dakwah memberikan kesedaran buat
kaum wanita untuk bertudung, maka percayalah, tidak akan ramai wanita yang
tidak bertudung itu akan tergerak untuk bertudung. Malah, mungkin hati mereka
terguris, dan menjadi tawar hati untuk berubah. Manusia itu punyai psikologi
dan perasaan.
Bukan mahu membela golongan yang tak bertudung (seperti
yang dihujahkan oleh seorang hamba Allah ini), namun jika diteliti dalam soal
dakwah Islamiah ini, maka kebijaksanaan itu harus ada untuk menarik golongan
yang tersesat menghampiri jalan-Nya. Dakwah dalam hikmah, maka itu sebaiknya.
Berdasarkan pengalaman, percayalah, jika mahu mengajak
seseorang itu untuk bertudung, dan metodoginya adalah dengan menerangkan
tentang azab api neraka, dan diterangkan pula hukuman yang akan diterima di
akhirat akibat tidak menutup aurat, maka percayalah, usaha dakwah itu akan
gagal. Golongan tidak bertudung itu akan menjadi takut, dan akibatnya, mereka
akan menjauhi usaha dakwah supaya rasa takut itu tidak dirasai. Ketakutan itu
beri kejutan, sehingga menakutkan mereka untuk mendalami dengan lebih dalam
lagi tentang soal hukum agama.
Jika mahu berlari, maka berjalanlah dahulu. Jika mahu
berjalan, maka berdirilah dahulu. Jika mahu berdiri, maka merangkaklah dahulu.
Begitu juga dengan kegiatan dakwah, perlu mengikut ‘level’ tertentu supaya
golongan sasaran itu tidak menerima kejutan yang tidak dapat ditampung oleh
akal mereka.
Saya pernah mempunyai seorang kenalan yang tidak
bertudung. Menurutnya, ramai yang berdakwah kepadanya supaya bertudung, namun
tidak seorang pun yang member teguran yang bijaksana. Mereka lebih gemar
menghentam, dengan bersikap prejudis, dan lebih mahu menghukum dari membimbing.
Malah, ada juga yang mengkafirkan dirinya dek tidak menutup aurat. Kata mereka,
hanya orang kafir sahaja yang tidak mengerti kewajipan menutup aurat.
Kisah berikutnya, dia berjumpa seorang hamba Allah
(lelaki), dan kebetulan dia juga merupakan kenalan saya. Pengalaman luas rakan
saya ini dalam kegiatan dakwah ternyata menyerlahkan kebijaksanaannya dalam
memahami erti dakwah berhikmah ini.
Daripada menjatuhkan hukum kepada kenalan saya yang tak
bertudung ini, sahabat ini sekadar mengeluarkan sebaris ayat. Bukan sindiran,
tapi satu bentuk pujian berhikmah.
Katanya: “Saya teringin nak tengok kamu bertudung. Mesti
lagi manis rupa kamu”
Sebaris ayat ini mencetuskan gerak hati si gadis ini
untuk cuba bertudung.
“Benarkah?” itulah yang terpacul di mulut si gadis
sahabat saya ini.
Permulaan itu telah mencetuskan tarikan buat sahabat saya
ini. Harus diakui, jika dilihat dari latar belakang keluarganya, maka
sememangnya tidak menghairankan andai gadis ini tidak bertudung.
Penyudahnya?
Tanpa disangka, sahabat saya bertemu jodoh dengan lelaki
tersebut. Teguran yang akhirnya memberi satu jaminan keselamatan mengenai
bimbingan ke alam bahagia di akhirat. Sahabat wanita saya ini akhirnya bertemu
pembimbing yang akan membimbingnya ke jalan benar. Jangan terkejut, kerana jika
dulu dia ibarat Avril Lavigne versi Malaysia, kini dia mengalami transformasi
sehingga kadangkala lebih hebat dari seorang ustazah.
Soalnya, pendekatan berhikmah itu haruslah bijaksana.
Tidak guna dinyatakan hikmah caranya, andai mesej dan dakwah itu lebih kepada
penerangan tentang azab di akhirat jika tidak menutup aurat. Rambutnya
digantung, dan buah dadanya menahan azab beban tubuh dan pada waktu yang sama
api marak terus membakar tubuh.
Apakah berkesan andai ini merupakan mukadimah yang
diterangkan buat mereka yang baru mengenal erti menutup aurat?
Benar, itulah yang akan diterima buat si wanita yang
mendedahkan aurat, namun keberkesanannya tidak akan sampai kerana cara itu
lebih kepada pendekatan menakutkan para wanita. Risikonya, ketakutan itu
mungkin akan mendorong kaum hawa untuk menutup aurat, namun mungkin juga
menyebabkan kaum hawa untuk menjauhi suruhan agama, berada dalam ‘comfort zone’
mereka dengan menjauhi dan menafikan hakikat.
Inilah permasalahan yang terjadi dalam usaha dakwah
kepada mereka yang tersesat. Adakalanya, sikap prejudis ini akhirnya
menyebabkan jurang antara mereka yang ‘mantap’ imannya dan ‘longlai’ amalannya
menjadi semakin besar.
Dakwah bukanlah sesuatu yang bersifat menghukum dan
menghentam, atau menakut-nakutkan orang lain. Dakwah itu adalah satu bentuk
didikan dan pemupukan serta semaian tanggungjawab dalam kasih sayang. Malah
jika dilihat kembali perjalanan penyebaran Islam Rasulullah pada awal
kerasulannya, baginda sendiri memulakan dakwahnya dengan taktikal secara
sembunyi dan dan dalam kerahsiaan.
Konklusinya mudah, dalam kegiatan dakwah, prosedur itu
harus ada, dengan langkah demi langkah (follow the steps) perlu diatur.
Kebijaksanaan dalam mentafsir sistem sosial masyarakat dan pemahaman mendalam
latar belakang individu sasaran itu akan membolehkan penyuburan dakwah dalam
kalangan masyarakat akan lebih subur.
Buat mereka yang giat menjalankan usaha dakwah, walau dalam
platform dan metodologi apa pun (baik
dakwah bebas, facebook, Youtube, blog, mahupun kegiatan tabligh), seharusnya
mereka ini diberikan ucapan penghargaan. Merekalah yang akan menyuburkan seri
Islam sampai ke akhir hayat dunia ini.
Terima kasih buat mereka.
Ulasan