Muhasabah Jumaat: Nota dari Berkat untuk Bisikan Rahsia




Seringkali apabila bicara tentang sebuah persahabatan, pelbagai keterujaan akan terjelma. Benar, seorang sahabat yang baik pasti akan melahirkan banyak momen yang menarik dan indah. Kisahnya bagai tak sudah, seringkali diulang-ulang seolah-olah tiada penghujungnya.

Mungkin pandangan umum, bila persahabatan itu terjalin, maka perlunya ialah jantina yang sama. Soalnya, wajibkah itu menjadi ciri sebuah persahabatan.

Persahabatan itu adalah bersifat universal, diikat dengan sikap saling percaya antara satu sama lain. Andai jantina itu menjadi ukurannya, maka nilai universal itu pasti akan hilang. Hakikatnya, bukan satu kesalahan andai si lelaki itu bersahabat dengan si wanita. Persahabatan dua jantina yang berbeza, bukan satu yang pelik pada hakikatnya.

Kisahnya dari seorang sahabat, menceritakan pengalamannya.

Katanya, bila berkawan dengan si wanita, maka pandangan prejudis seringkali muncul. Kata si Remi, seringkali bila dia berkawan dengan sahabat wanita, maka pandangan  menyatakan bahawa Remi dah naik gatai, nak bercinta dengan si wanita itu. Kata mereka lagi, kalau pokok tak bergoyang, masakan boleh khabar angin itu tercipta. Khabar angin nyatakan dia dan si wanita itu sedang dilamun perasaan.

Palsu khabar angin itu.

Mereka memang ternyata berkawan. Sejak awal sehingga kini, mereka terus berkawan. Benar, mungkin langkahnya tersilap apabila tersalah cara ikutkan gerak hati bergambar berdua sehingga mencetuskan pelbagai andaian orang lain. Bila si lelaki bergambar dengan si wanita berdiri bersebelahan hingga tanpa sedar bahunya bertemu bahu si wanita itu, maka angin kencang berbaur gossip ala artis pasti akan bertiup. Bodohnya tindakan, bila gambar tersebar di pengetahuan umum, maka akan semakin kuatlah khabar angin menyatakan mereka dilamun cinta.

Kisahnya, si wanita itu dengan namanya Syahida. Mula kenal di awal mereka dalam pengajian. Bila telah berkenalan, maka hubungan persahabatan mula dibina. Dari kaca mata Remi, dia benar ikhlas. Bukan mahu menggatal untuk memikat si Syahida. Sekadar mahu rapat dan berkawan. Maka, semakin hari semakin banyak perkongsian di antara mereka. Sehingga sampai satu tahap, sedikit demi sedikit rahsia mereka dikongsikan antara satu sama lain.

Benar, pada waktu itu Syahida masih solo. Tidak dimiliki ataupun memiliki sesiapa. Maka, mungkin tanpa sedar Remi boleh jatuh hati pada Syahida, dan situasi itu hampir berlaku dalam persahabatan mereka. Namun, Remi cepat sedar, dan mengawal diri mengekalkan persahabatan di antara mereka. Buktinya, tiba pada satu hari, Remi mendengar keterujaan Syahida menceritakan kisah seorang lelaki yang dilihat telah menambat hatinya. Remi tersenyum sahaja kerana dia tahu, inilah waktu Syahida bakal jatuh cinta dengan si lelaki itu.

Maka, Remi menghormati sepenuhnya pilihan Syahida itu. Tiada sebarang bantahan ataupun penolakan yang cuba disuarakan Remi. Baginya tugas seorang kawan adalah menyokong kawannya. Maka kerana itu dia menyokong hubungan Syahida dan lelaki itu.

Namun, bila Syahida menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut, Remi menjadi gugup sedikit. Dia menjadi takut menghampiri Syahida. Dia takut jika dia terus berkawan dengan Syahida, si teman lelakinya pula akan tercetus amarah. Maka Remi mula menjauhi Syahida dan di akhirnya persahabatan mereka tidak lagi serapat dulu.

Mereka semakin berjauhan.

Muncullah kisah Si Berkat dan Si Bisikan. Si Berkat hanyalah lelaki biasa, dan Si Bisikan seorang wanita awal 20-an. Berkat memang dari dulu hingga kini tidak pernah menjalinkan hubungan istimewa dengan mana-mana wanita. Semuanya sahabat buatnya tak kira lelaki mahupun perempuan.

Mereka berkenalan hanya disebabkan teguran-teguran menerusi mesej di skrin komputer. Mulanya sekadar sesi suai kenal, namun entah di mana kisahnya, maka lama-lama mereka menjadi sahabat.

Seorang sahabatnya yang lain mula mempersoalkan hubungannya dengan Si Bisikan. Katanya, Si Berkat telah hanyut dilamun perasaan dengan Si Bisikan. Katanya, Si Berkat telah angau dengan Si Bisikan. Soalnya, sejauh manakah benar dakwaan sahabatnya itu?

Hakikatnya, Si Berkat memang ikhlas untuk berkawan dengan Bisikan. Tidak pernah terlintas di fikirannya tentang soal hati dan perasaan. Baginya, Bisikan seorang yang unik, dan seorang wanita yang harus menjadi sahabatnya. Baginya, Bisikan punyai magis yang menarik untuk dijadikan sahabatnya. Mungkin itulah alasan, mengapa dia nekad mahu berkawan dengan Bisikan.

Secara logik fikiran, dalam tempoh beberapa minggu, Berkat dan Bisikan mula bersahabat. Bagi sebuah persahabatan , itu adalah sesuatu yang cukup pantas, apatah lagi persahabatan itu adalah di antara  lelaki dan wanita. Namun, ukuran sebuah persahabatan bukan terletak pada masanya, namun terletak pada sejauh mana ikhlasnya persahabatan itu dijalinkan.

Mungkin ramai yang memandang serong. Usaha Berkat untuk berkawan dengan Bisikan Hati mungkin diandaikan sebagai usaha untuk menjalinkan hubungan istimewa.  Namun, Berkat membiarkan pandangan itu, kerana baginya siapa lagi yang lebih mengetahui ikhlas hatinya melainkan dirinya dan Yang Maha Kuasa. Dia tahu batasan yang harus dipatuhi, supaya tidak pula sampai ke tahap ‘crush’ pada Bisikan. Mungkin kerana itu jugalah, Berkat tidak pernah menyoal hatta sekali pun tentang status sebenar Bisikan, sama ada masih solo ataupun telah dimiliki. Baginya, itu bukan soal yang harus diberi perhatian dalam mencipta sebuah persahabatan.

Hakikatnya, dari awal lagi Berkat dapat menghidu, bahawa sudah pasti mungkin si Bisikan telah berpunya. Pengamatannya memang tajam sejak di awal perkenalan persahabatan di antaranya dan Bisikan. Dia tahu, dalam soal peribadi, Berkat harus menghormati privasi Bisikan. Dia tidak akan sama sekali cuba menyibuk bertanya pada Bisikan tentang soal peribadinya, namun hanya akan mendengar andai Bisikan membuka cerita kisahnya.

Itu prinsip Berkat dalam persahabatan dengan wanita. Jangan menyibuk, namun bersedia mendengar andai si wanita itu mahu berkongsi kisahnya.

Maka dari situ tercetus ilham dari Berkat mencipta bait-bait puisi sebagai tanda ingatan permulaan persahabatannya dengan Bisikan. Dia mencipta baris puisi penuh tersirat buat Bisikan. Tanda meluahkan rasa betapa dia mengaharapkan Bisikan akan menjadi sahabatnya sampai bila-bila.

Kata Berkat, dia berharap Bisikan akan terus menjadi sahabatnya, berkongsi kisah dan pengalaman. Dia mahu sehingga puluhan tahun berikutnya, persahabatannya akan terus terjalin. Mungkin pada waktu itu, masing-masing berkongsi kisah pengalaman hidup, menceritakan ragam anak-anak masing-masing, dan mungkin perkongsian kisah keluarga masing-masing. Mungkin indah, bila dua sahabat bertemu di hari tua, bergelak ketawa mengenangkan kisah dan pengalaman masing-masing.

Mungkin pada hakikatnya agak sukar untuk mencipta persahabatan di antara wanita dan lelaki. Namun, andai ikhlas itu wujud, mungkin persahabatan itu akan berkekalan. Tidak kira apa pun pandangan orang lain, andai masing-masing memahami peranannya dalam persahabatan, maka itu bukanlah satu masalah.

Ada yang berkata, bersahabat di antara lelaki dan wanita, maka risikonya ialah jatuh hati. Namun, andai wujud batasan, maka situasi itu pasti tidak akan wujud.

Sesungguhnya, pena ini berkata sesuatu dalam nada ‘bisikan’ kepadanya. Pena ini menyatakan bahawa dia mahukan persahabatan dengan sahabat itu akan terus berkekalan. Walaupun mungkin berlainan jantina, namun itu bukan halangan dalam persahabatan. Insya-Allah, andai sahabat itu memahami kisah yang dikongsikan dalam bicara ini, maka pena ini berharap agar kita akan terus bersahabat sampai bila-bila.

Moga kita terus dapat berkongsi pelbagai kisah dan pengalaman. Ya, itulah yang akan dilakukan oleh seorang sahabat dalam persahabatannya.

Andai punyai masalah dan kekusutan, maka pena ini bersedia mendengarnya. Mungkin sedikit sebanyak bantuan dapat dihulurkan bagi setiap permasalahan yang dikongsikan itu. Itu juga tugas seorang sahabat buat sahabatnya.

Pena mahu menutup dengan menyatakan kepada Bisikan Rahsia, anda adalah sahabat yang baik yang pernah muncul dalam perjalanan hidup ini. Mungkin agak ‘exaggerate’, namun tak salah untuk melahirkan penghargaan ini kepadanya.

Dari Mata Pena bernama Berkat dan ditujukan kepada Bisikan Rahsia punyai Cahaya.

Ah, mesej berselirat memeningkan pembaca untuk memahami bicara ini.

Moga persahabatan yang terjalin akan terus kekal, dan tidak akan hanyut dah hilang seperti kisah di antara Remi dan Syahida. Ruginya andai persahabatan berakhir dengan cara begitu.

Ini ialah sebuah nota khas dari seorang sahabat kepada sahabatnya.

Wassalam.





Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam.. sy sgt berminat dgn artikel anda..ada kena-mengena dgn diri saya ni... sy seorg permpuan dan mempunyai teman rapat lelaki.. kami byk berkongsi minat yg sama dan dah jd mcm adik beradik..sy tau yg dia dah ada hati pd seseorang, menyebabkan awal2 sy mengalah dan tidak mahu menyimpan perasaan kpd dia, kerana sy memilih persahabatan..tetapi kdg2 sy juga ad menyimpan sedikit harapan kpdnye..dari pihak dia, dia dgn sy hanya sbg sahabat, tak lebih & tak kurang..sy keliru dgn hati & perasaan sy sendiri same ada sy benar2 ikhlas bersahabat dgn dia..
Soal hati dan perasaan ni kadangkala sangat rumit. Seperti yang dinyatakan dalam entri di atas, bila wanita dan lelaki bersahabat, risikonya ialah boleh jatuh hati. Saya memang mengalami situasi saudari juga. Ya, bila tepuk sebelah tangan, kadangkala satu penyeksaan. Namun, soal hati tak boleh dipaksa. Mungkin nanti akan timbul persoalan tentang keikhlasan dalam persahabatan, namun percayalah, bila masa semakin berlalu, mungkin rasa suka padanya akan sedikit demi sedikit akan luntur. Teruskan saja berkawan dengannya, insya-Allah moga Allah akan memberi jalan yang terbaik buat kita.
Tanpa Nama berkata…
Insya-Allah...dia seorg yg peramah dan ramai juga kawan perempuan dia.. berbanding sy yg tak berkawan sgt dgn laki, dan sy ada dia je sbg kwn lelaki,sy sedih bile sy terpike yg 1 hr nnti kami takkan dpt bersame mcm slalunye,masing2 akn ad hidup masing2...sy tak faham dgn perasaan sy yg seolah-olah sentiasa mahukan perhatian drpd dia, sy sedar dia byk mberi layanan yg baik pd sy, tp sy rasa sedih gak bila dia bg perhatian pd org lain..skrg ni sy cume dpt teguhkan hati sy utk terus bersahabat dgn dia, & tunaikan hak dia sbg shbt slagi dia masih bersama dgn sy..
Memang itulah risikonya bila berkawan dengan lain jantina. Kadangkala ketentuan Allah tak diduga kita. Kadangkala, buka kita meminta semuanya terjadi sedemikian, namun perkara sebegitu tetap terjadi. Tak mengapa, teruskan bersahabat dengannya. Mungkin perancangan Allah untuk kita jauh lebih baik dari apa yang kita fikirkan. Kuatkan hati hadapi ujian dari-Nya.

Catatan Popular