"Adina (Bicara Dua Puluh Tujuh)"
“Kenapa suamiku bermisai? Barangkali ada kacaknya di
sebalik misai itu? Atau mungkin misai itu penyeri wajah? Padanlah muka, dulunya
tolak mentah-mentah lelaki bermisai, tapi sekarang yang bermisai itulah menjadi
teman hidup”
Abyatina tersengih sendirian, duduk santai di tepi
tangga. Angin petang mengasyikkan Abyatina, hingga temenung panjang. Dibuai
kisah-kisah lama barangkali.
“Kata orang, lagi kita tolak, lagi kita tak mahu, lagi
itulah dia akan dekat hampiri kita,” bicara ibunya muncul dalam kotak fikiran.
Abyatina sekali lagi tersenyum saja. Perbualan yang berlaku sebelum majlis
pernikahan Abyatina itu kembali segar di ingatan. Bertahun lamanya kisah itu.
“Tapi tak salah kalau kita memilih bukan?” soal Abyatina
pada ibunya. “Tiap-tiap orang ada citarasanya...”
Namun di akhirnya, Rizqullah jodohnya. Bermisai dan di
luar dari imaginasi Abyatina.
“Tapi orangnya manis-manis. Kacaknya macam hero filem
Hindustan,” usik ibu Abyatina.
“Macam P. Ramlee pun ada...” usik pula Raiqah, kakak
Abyatina menambah keceriaan.
“Err, P. Ramlee zaman Jalan Ampas ke atau P. Ramlee zaman
Studio Merdeka?” soal Abyatina berseloroh juga.
“Tak kisahlah yang mana pun kerana encik abang misai,
makin dipandang makin berdebar hatiku...” usik Raiqah lagi.
Lamunan lama terhenti seketika. Abyatina kembali di dunia
nyata sedang bersantai di tepi tangga. Santai Abyatina bukanlah suka-suka,
kerana duduk Abyatina sebenarnya menanti Rizqullah pulang dari pekan.
“Lamanya...”
Yaqzan anak kecilnya, sedang nyenyak dalam tidur. Hari
ini, ragamnya kurang, menyenangkan Abyatina untuk seketika. Sejak bergelar ibu,
maka kadangkala kepenatan dirasakan. Dalam usia awal 20-an, dan telah bergelar
sebagai seorang ibu, maka tanggungjawab yang dipikul bukan semudah yang
disangka.
“Macam robot bila jadi ibu. Penatnya berterusan, tak
kenal waktu...” luah Abyatina.
“Itulah namanya pengorbanan...” balas ibu Abyatina.
Bicara ibunya itu masih segar di ingatannya.
Hari-hari Abyatina sebagai seorang ibu barangkali menjadi
satu cabaran buatnya. Walau dalam kepayahan, Abyatina cekal membiasakan diri
dengan tanggungjawab baru yang dipikul. Dalam kesabaran menjalankan tugas,
Rizqullah kelihatan lebih bersahaja, hanya banyak melihat dari membantu. Situasi
itu menguji juga kesabaran Abyatina.
“Sejak menjadi ayah, sejak itu jugalah perangainya
berubah. Macam ada yang berbeza...” bisik Abyatina.
Mujur, rumah mereka terletak tidak jauh dari rumah
mertuanya. Sedikit sebanyak, ibu Rizqullah datang menjenguk Abyatina membantu apa
yang patut. Perihal sikap Rizqullah itu ternyata bukan satu kejutan buat ibu
mertuanya.
“Dulunya, Rizqullah memang begitu. Suka bersendiri, tak
banyak menolong yang lain,” terang ibu Rizqullah. “Jangan ambil hati...
kadang-kadang kena banyak bersabar. Ada waktunya, Rizqullah akan rajin juga”
“Tapi dulunya tak begitu...” luah Abyatina.
“Mungkin ada sebabnya.... Kita tak tahu. Sabarkan hati”
Cuti sekolah bakal menjelma, maka Rizqullah juga bakal
menikmati rehat yang panjang. Namun peristiwa yang berlaku beberapa minggu
sebelumnya jelas mengubah perwatakan Rizqullah. Kemunculan Yaqzan yang
diibaratkan seteru buat Rizqullah mencetuskan suasana kecoh di rumah mereka.
“Bertumbuk lagikah?” soal Raiqah menerusi perbualan
telefon bersama Abyatina beberapa hari sebelumnya.
“Bukan muka yang ditumbuk. Tapi hati yang remuk...” balas
Abyatina.
“Hati yang mana remuk? Yaqzan? Rizqullah?”
Maka peristiwa selepas Asar itu muncul kembali di ingatan
Abyatina. Saat ketenangan petang dinikmati, Yaqzan muncul di halaman rumah
tanpa diundang. Khabarnya punyai tujuan, mahu nyatakan satu kepastian buat
Abyatina.
“Apa lagi yang perlu dicakapkan?” soal Rizqullah dalam
nada yang agak kasar kepada Yaqzan pada petang tersebut.
“Kunjung saya di sini bukan mahu cetuskan air yang keruh.
Datang saya ke sini mahu betulkan mana yang patut dijernihkan...” bicara Yaqzan
tenang.
“Apa yang nak dijernihkan?” soal Abyatina perlahan-lahan
menuruni anak tangga, sebelum turun ke halaman rumah.
“Ada banyak yang perlu dibuka simpulannya,” kata Yaqzan.
“Mungkin banyak kekusutan yang dah terjadi. Mungkin juga saya puncanya...”
Masing-masing membisu sahaja. Rizqullah masih berdiri di
tempat sama namun kelihatan sedikit tenang. Abyatina pula baru sahaja menuruni
anak tangga, dan ibu Rizqullah hanya menjadi pemerhati berdiri di satu sudut di
halaman rumah itu. Maka, satu hembusan angin tiba-tiba menerpa. Barangkali
hembusan yang mampu mencetuskan ketenangan buat semua yang ada.
“Err, tapi sebelum tu, di mana tandasnya?” soal Yaqzan
tiba-tiba.
Maka, situasi tegang bertukar menjadi kelucuan. Rizqullah
ketawa kecil, Abyatina tersenyum menahan kelucuan.
“Malam semalam makan asam pedas. Agaknya cilinya memang
terlebih. Itu pasal perut tak selesa,” terang Yaqzan.
“Hujung sana, itu tandasnya,” balas Rizqullah sambil
menunjukkan jalan ke tandas rumahnya.
Lima belas minit berikutnya, Rizqullah dan Abyatina hanya
menunggu di ruang tamu. Ibu Rizqullah pula telah pulang ke rumah, kelam kabut
dengan panggilan suaminya yang baru pulang dari pekan. Ada sesuatu yang janggal
saat itu, tatkala menanti Yaqzan yang masih terkandas di tandas, Abyatina
seakan berada dalam debaran.
“Kalau Yaqzan sampaikan sesuatu yang kurang enak, apa
yang abang akan buat?” soal Abyatina tiba-tiba.
“Tiap-tiap perkara, akan ada sesuatu yang tak boleh
diduga. Kalau elok kunjungannya, elok jugalah kita menyambutnya...” balas
Rizqullah.
Tak lama kemudian, muncul kembali si Yaqzan tersenyum
lebar. Barangkali kelegaan terpancar di wajahnya. Urusan penting telah
diselesaikannya. Lantas Rizqullah terus menjemput Yaqzan duduk di ruang tamu,
satu situasi yang jarang dilihat. Abyatina serentak itu menuju ke dapur, menyediakan
apa yang patut buat tetamu yang berkunjung.
“Apa tujuannya?” soal Rizqullah sebaik Yaqzan duduk.
“Banyak yang perlu diperbetulkan...” bicara Yaqzan dengan
tenang.
“Apa pula kesalahannya?”
“Semuanya tentang Abyatina...”
Itulah kali pertama, Yaqzan dan Rizqullah dapat berbicara
tanpa perseteruan. Masing-masing tenang, berbicara dalam kematangan. Tiada
amarah tercetus di antara mereka. Bicara mengenai Abyatina menjadi tajuk
perbualan, dan saat itu Abyatina berada di dapur membancuh kopi.
“Mungkin saya terlajak. Terbawa-bawa dengan dunia
khayalan. Lupa hidup ini kena berpijak kenyataan. Mungkin banyak silapnya...”
luah Yaqzan.
“Tak semua mimpi yang indah perlukan realiti yang sama.
Kadang-kadang yang indah di mimpi perlu kekal di alam fantasi. Barangkali kalau
di alam realiti, segalanya berbeza, mungkin beri kepedihan di hati,” bicara
Rizqullah.
“Saya terlalu taksub, lupa Abyatina dah bersuami. Lupa,
Abyatina dah menjadi isteri...” kata Yaqzan. “Maaf, mungkin banyak salah
saya...”
“Ya, mungkin banyak kucar kacirnya. Tapi itulah resam
bila berumah tangga. Dugaan satu cara ujian mengukur kekuatan suami dan isteri.
Ada sabarnya, maka kekallah damainya”
“Tapi tiap-tiap sabar ada batasnya...”
Kisah permulaan dinukilkan Yaqzan. Kisah dulu-dulu
menyingkap kembali asal usul perjalanan hidupnya. Soal hatinya dinyatakan
dengan jujur. Memang benar Yaqzan menaruh harap pada Abyatina, namun hatinya
itu tidak dibalas Abyatina. Barangkali kecewa, namun Yaqzan tak pernah berputus
asa. Berterusan berusaha walaupun Abyatina telah berkeluarga.
“Maaf,” luah Yaqzan. “Bila obsesi mengatasi semua, segala
yang baik kelihatan buruk. Segala yang jahat kelihatan indah”
Yaqzan memang sengaja mencari peluang untuk mengeruhkan
hubungan di antara Abyatina dan Rizqullah. Kisah Abyatina yang hampir diperkosa
buat kali kedua di ladang getah beberapa tahun sebelumnya sengaja diperbesarkan
Yaqzan. Hakikatnya, Yaqzan tidak melihat langsung kejadian itu. Hanya
terserempak Abyatina yang sedang berlari dalam keadaan cemas selepas hampir
menjadi mangsa nafsu buas beberapa lelaki.
Tak lama selepas kejadian itu, Yaqzan bertemu Rizqullah.
Pada pertemuan itulah, hasutan dibisikkan Yaqzan, dengan harapan moga Rizqullah
meragui Abyatina dan hubungan Abyatina bersama Rizqullah menjadi renggang.
Langkah diatur lagi tatkala Yaqzan muncul pula secara tiba-tiba di majlis
pertunangan Absyar, abang Abyatina. Dalam majlis itu, Yaqzan menimbulkan
kekecohan apabila menyatakan bahawa kandungan Abyatina itu bukan datang dari
Rizqullah.
“Maafkan saya....”
Sekali lagi maaf dipinta. Maka petang itu, segala
persoalan terjawab sepenuhnya. Tiap-tiap dugaan kini menuju pengakhirannya. Setiap
kesusahan mungkin akan menemui sinar ketenangan.
“Kita semua ada silapnya...” tutur Rizqullah ringkas.
Maka pada waktu itu Abyatina muncul di ruang tamu membawa
dulang berisi kopi. Dihidangkan kopi buat Yaqzan. Tatkala itu jugalah
permohonan maaf dibicarakan Yazan buat Abyatina pula.
“Insya-Allah, kalau insaf dah ada, tiap-tiap manusia
perlu diberi peluang yang kedua,” balas Abyatina buat Yaqzan selepas permohanan
maaf itu.
Sejak petang itu, segalanya berubah. Abyatina dan
Rizqullah kini lebih tenang menikmati hidup. Sejak itu jugalah, tiada lagi
khabar berita. Ustaz Yaqzan menyepi begitu saja.
“Dan ke mana pula suami bermisaiku ini? Menanti bagai
melukut di tepi gantang, munculnya tak juga...” bisik Abyatina kembali semula
di alam nyata setelah agak lama mengelamun kisah yang berlaku beberapa minggu
yang lalu itu. Kisah Yaqzan memohon maaf, masih segar di ingatan.
Tatkala jam tepat pukul 6, barulah kedengaran kenderaan
yang dipandu Rizqullah. Bersahaja tatkala keluar dari kereta, wajah Rizqullah
menguntumkan senyuman. Lantas kelihatan bungkusan plastik dibawa bersama.
Abyatina sekadar melihat.
“Hadiah buat si comel Yaqzan...” bicara Rizqullah
menghulurkan bungkusan yang dibawanya kepada Abyatina.
“Kasut lagi?” soal Abyatina sebaik melihat isi kandungan
plastik yang diberikan kepadanya itu.
“Buat koleksi untuk si kecil Yaqzan...”
“Yaqzan jalan pun belum pandai. Macam mana nak dipakai
kasut ni...”
“Tak salah kalau membeli, nanti dipakai juga nanti”
“Bila nak dipakainya tu?...”
“Yaqzan akan membesar juga nanti...”
Itu bukan kali pertama Rizqullah membeli kasut buat
anaknya. Setiap kali suami Abyatina itu pergi ke pekan, maka tiap kali itulah
Rizqullah akan membeli sepasang kasut untuk si kecil Yaqzan. Ibarat hobi pula
buatnya.
“Apa nak lawan Emelda Marcos ke? Koleksi kasut nak
disusun keliling rumah?” perli Abyatina
“Cemburu ke tak dapat kasut?” usik Rizqullah. Abyatina
hanya tersenyum.
Majlis perkahwinan Absyar dan Tasha bakal menjelma tidak
lama lagi. Namun, setiap perancangan dan aturan yang dibuat di kampung langsung
tidak diketahui Abyatina. Hakikatnya, Abyatina telah lama tidak pulang ke
kampung. Sejak kembali ke rumah selepas berpantang di kampung halamannya,
Abyatina tidak lagi berkunjung ke kampungnya itu.
“Apa masalah si Abyatina tu?” soal ibu Abyatina di suatu
malam bersama Ustaz Man. Makan malam dinikmati mereka berdua bersama-sama
Zabarjad dan Rafiqin.
“Abyatina sebagai isteri, tanggungjawabnya patuh pada
suaminya,” balas Ustaz Man. Hidangan dijamahnya sedikit demi sedikit, penuh
cermat.
“Tapi bukankah nampak menyeksa Abyatina? Langsung tak
bersua dengan kita di sini?” kata ibu Abyatina.
“Kita tak tau apa yang berlaku. Mungkin Abyatina gembira
di sana. Mungkin Abyatina sibuk di sana. Si kecil Yaqzan sedang membesar.
Tanggungjawabnya bukan kecil,” balas Ustaz Man.
“Mungkin Abang Riz tak bagi Kak Ina balik ke sini...”
celah Zabarjad.
“Jangan buruk sangka, kelak rosak hati..” balas Ustaz Man
tegas.
“Mungkin ada betulnya...” luah ibu Abyatina. “Mungkin ada
yang tak kena pada Rizqullah...”
Ibu Abyatina seakan merasakan perubahan yang sedang
berlaku pada Rizqullah. Walaupun Abyatina tidak pernah meluahkan apa-apa
perkara kepada ibunya, jauh di sudut hati, Mak Cik Ros tahu ada sesuatu yang
tidak kena sedang melanda Rizqullah.
Kisah persiapan majlis perkahwinan Absyar dan Tasha mula
mengambil tempat. Seisi keluarga Ustaz Man mula memikirkan soal persiapan
majlis. Beberapa minggu kebelakangan ini, kesemua ahli keluarga Ustaz Man akan
berkumpul di kampung bagi mengadakan perbincangan. Zaafarani, abang Abyatina
pulang setiap minggu dari Pulau Pinang bersama keluarganya. Begitu juga Raiqah,
kakak Abyatina. Dari Pulau Pinang, maka setiap minggu dia, suami dan
anak-anaknya akan pulang ke kampung.
“Tapi, di mana Abyatina dan suaminya?” soal Zaafarani
sebelum perbincangan dimulakan di ruang tamu.
“Kak Cik mungkin tak muncul juga...” balas Zabarjad.
“Sekali lagi?” soal Zaafarani.
“Biarlah. Abyatina dah berkeluarga. Sebaik-baik
tempatnya, Rizqullah perlu di sisinya...” bicara pula Ustaz Man.
“Dari dulu sampai sekarang, perangainya tetap sama. Seksa
Abyatina tak sudah...” kata Zaafarani.
“Mu jangan mulakan perbincangan kita dengan perseteruan.
Tiap-tiap perkara Abyatina, jangan kita campur tangan. Biarlah Rizqullah dan
Abyatina hidup dengan caranya sendiri. Jangan sampai muncul porak peranda, dan
mu menjadi salah satu sebabnya...” balas Ustaz Man. Barangkali geram dengan
sikap Zaafarani yang masih buruk sangka terhadap Rizqullah.
“Jadi, dari mana nak dicari lembunya?” soal Mak Cik Ros
mengubah tajuk bicara perbualan. Kembali kepada tujuan asal perbincangan.
Perancangan majlis kenduri Absyar mengambil tempat pula.
Maka, perbincangan diteruskan disertai semua ahli
keluarga Ustaz Man kecuali Abyatina. Hakikatnya, di saat itu Abyatina dalam
perjalanan menuju ke bandar Taiping. Tiada siapa yang tahu, namun permulaan
cuti sekolah itu dimulakan dengan kunjungan Abyatina dan Rizqullah ke rumah baru
Marwa, kakak ipar Abyatina.
Jauh di sudut hati, sepanjang perjalanan itu, Abyatina
hanya mampu memendam rasa. Hanya mampu menyimpan rindu terhadap kampung
halaman, wajah ibu dan ayahnya senantiasa terbayang dalam kotak fikirannya.
“Taat seorang isteri perlukan banyak pengorbanannya...”
bicara ibunya terngiang kembali di telinga Abyatina.
Hakikatnya, perjalanan menuju ke rumah kakak iparnya itu
adalah jalan yang sama menuju ke kampung halamannya. Perjalanan itu akan
merentasi kawasan kampungnya sebelum tiba di rumah Marwa yang terletak di pusat
bandar Taiping.
“Moga tiap yang sabar ada kekuatan untuk menghadapi
dugaan....” bisik hati Abyatina mungkin sedikit kecewa. Abyatina hanya mampu
memerhati kawasan sekitar kampungnya saat kereta yang dipandu Rizqullah
merentasi kawasan itu.
Sepanjang perjalanan si kecil Yaqzan lena sahaja di
pangkuan Abyatina. Sepanjang perjalanan itu juga, masing-masing hanya membisu.
Tiada perbualan tercipta sehingga mereka tiba ke destinasi.
“Soalnya sekarang, walau apa pun alasan, bila satu
keluarga nak berbincang, sepatutnya semua kena ada. Baru namanya perbincangan
keluarga,” luah Zaafarani saat perbincangan keluarga mengenai majlis
perkahwinan Absyar baru sahaja bermula.
“Tak ada paksaan sebenarnya. Kalau nak datang pun tak apa.
Tak datang pun tak apa. Mu jangan simbah minyak dalam api yang menyala,” balas
Ustaz Man memberi penegasan.
“Sampai bila? Sampai Abyatina mati kering sebab kecewa?”
soal Zaafarani.
“Mu jangan buruk sangka. Mu tak tau apa yang Abyatina
lalui. Jangan buat andaian Abyatina kecewa. Kita tak tahu...” balas Ustaz Man.
“Kalau berbulan-bulan tak pernah berkunjung ke kampung,
mesti ada yang tak kena...” bicara Zaafarani. Masih lagi tidak berpuas hati
dengan ketiadaan Abyatina dan suaminya di kampung.
Hanya Ustaz Man dan Zaafarani sahaja yang berbicara. Ahli
keluarga yang lain, Mak Cik Ros, Raiqah, Absyar, Zabarjad, Rafiqin hanya mampu
membisu sahaja. Begitu juga suami Raiqah dan isteri Zaafarani. Hanya mampu
melihat.
“Kalau Abyatina tak ada di sini, kenapa perlu berbalah?
Tujuan utamanya untuk bincang majlis Absyar. Kenapa pula perlu meleret sampai
ke kisah Abyatina?” Raiqah tiba-tiba mencelah. Mungkin geram dengan sikap
Zaafarani yang masih mempersoalkan ketiadaan Abyatina.
“Berapa banyak meja yang diperlukan?” soal Zabarjad tiba-tiba
mencelah, menukar tajuk perbualan yang sedang berlaku. Maka, perbincangan
sebenar bermula selepas itu.
Abyatina dan Rizqullah di saat itu baru saja tiba di
rumah Marwa, kakak iparnya. Ketibaan mereka disambut dengan penuh mesra oleh
Marwa seisi keluarga. Sedikit jamuan diadakan, dan itulah pertama kali Abyatina
mengenali rapat kakak iparnya itu. Selama ini, Marwa hanya sesekali bertemu
Abyatina.
“Moga lebih banyak lagi dapat kita bualkan nanti,” bicara
Marwa saat Abyatina berangkat pulang bersama Rizqullah. Salam dihulurkan, bayi
kecil Yaqzan diciumnya. Abyatina berlalu pergi.
Tidak banyak bicara tercetus sepanjang perjalanan pulang
itu. Sesekali bayi kecil Yaqzan merengek menangis, barangkali kurang selesa
dengan panas tengah hari yang dirasakan saat itu.
“Kita singgah kampung ya,” kata Rizqullah tiba-tiba.
Abyatina sekadar tersenyum. Sedikit gembira dirasakan.
Ketibaan Rizqullah dan Abyatina disambut dengan
kerancakan perbincangan Ustaz Man sekeluarga. Tiada siapa yang menyedari
ketibaan mereka. Masing-masing dalam kesibukan memberi cadangan dan mencatat
perkara-perkara yang dibincangkan.
“Assalamualaikum,” Rizqullah memberi salam. Maka
perbincangan yang rancak terhenti serta-merta.Rizqullah dan Abyatina berada di
muka pintu.
“Abyatina? Rizqullah?” soal ibu Abyatina terkejut.
“Bilanya sampai?”
Serentak dengan itu juga, Zaafarani bingkas bangun. Terus
menerpa menghampiri Rizqullah yang berdiri di muka pintu. Wajah amarah terpancar
di wajah Zaafarani.
“Apa perlu mu di sini?” soal Zaafarani kepada Rizqullah.
“Apa perlu mu muncul lagi?”
Rizqullah ternyata terkejut dengan soalan secara
tiba-tiba dari abang iparnya itu. Maka Rizqullah hanya membisu. Mungkin juga
terkedu.
“Sudahlah Abyatina lama tak pulang ke sini, khabar berita
pun tak pernah disampaikan... Mu memang kejam... suami yang tak ada hati
perut,” kata Zaafarani. Amarah tak dibendung lagi.
Sekali lagi Rizqullah hanya membisu. Abyatina pula hanya
mampu berdiri di sebelah Rizqullah, tidak pula mahu membalas tujahan marah
Zaafarani itu.
“Aku dah lama bersabar dengan sikapmu. Pentingkan diri,
tak pernah fikir pasal perasaan Abyatina. Memang betul, mu tak layak jadi suami
Abyatina. Sebab mu, Abyatina terseksa!”
“Apa mu hilang akal Zaafarani?” Ustaz Man bangun
perlahan-lahan, bertongkat berjalan menghampiri Zaafarani yang betul-betul
berdiri di hadapan Rizqullah. “Apa mu dah lupa ketentuan Allah?” soal Ustaz
Man. “Apa perlu mu persoalkan lagi Rizqullah dan Abyatina? Apa mu mahu mereka
tak bahagia?”
Bicara Ustaz Man ternyata benar-benar mengejutkan semua
yang ada. Tidak pernah Ustaz Man berbicara dalam nada sedemikian kepada
Zaafarani.
“Bukan Rizqullah yang kejam pada Abyatina. Mu yang kejam
Zaafarani...” bicara Ustaz Man sebelum berjalan meninggalkan hadiri. Ustaz Man
masuk ke biliknya.
Mak Cik Ros kemudian berdiri. Berjalan menghampiri
Zaafarani dan Rizqullah.
“Dalam soal ni, jangan biarkan nafsu menguasai diri.
Fikirkan akal, jangan sekadar ikutkan hati semata-mata...” bicara ibu Abyatina buat
Zaafarani dan Rizqullah.
Abyatina berjalan masuk ke ruang tamu sambil mendukung
Yaqzan, sementara Rizqullah dan Zaafarani masih lagi berdiri bertentang di
antara satu sama lain di muka pintu.
Sebaik Abyatina duduk di sebelah kakaknya Raiqah,
Rizqullah mula menuturkan bicaranya.
“Saya dah lama bersabar dengan tiap-tiap kerenah yang
memang menyakitkan hati saya. Macam-macam tuduhan dilemparkan. Macam-macam rasa
tak puas hati dituduhnya saya...”
Semua yang berada di ruang tamu itu senyap sahaja,
mendengar bicara yang dinyatakan Rizqullah itu. Barangkali juga mahu mendengar
luahan Rizqullah yang tidak pernah dikongsikan kepada sesiapa.
“Saya tak kisah kalau ada mana-mana di sini yang tak puas
hati dengan saya, tak suka saya.... mungkin benci saya. Tapi, kalau benci itu
atas sebab yang tak munasabah, saya bukan manusia yang tak ada perasaan, boleh
ditendang ke tepi dan ke tengah,” kata Rizqullah.
Abyatina tunduk tanda faham. Barangkali mungkin itulah
sebab Rizqullah mula berubah sejak kebelakangan ini. Mungkin Rizqullah memendam
rasa di hati. Tidak diluahkan kepada sesiapa.
“Saya tak faham, apa salah saya? Apa kejam yang saya
buat? Semua kata kejam, tapi apa buktinya kejam?” soal Rizqullah dalam nada
yang tegas.
Rizqullah kemudian membisu seketika. Pandangannya
dilontarkan pada setiap hadirin di rumah. Semua ahli keluarga Ustaz Man dilihat
satu persatu. Pandangan itu kemudian terhenti tatkala melihat Abyatina yang
duduk di sebelah kakaknya Raiqah. Lama juga Rizqullah melihat wajah Abyatina
itu.
“Kalau tak kerana anak saya Yaqzan, kalau tak kerana ayah
dan mak, mungkin saya dan Abyatina akan berpisah...”
Rizqullah keluar dari rumah itu. Terus menuju ke
keretanya. Tak lama kemudian, Rizqullah meninggalkan perkarangan rumah. Sekali
lagi Abyatina ditinggalkan. Zaafarani ternyata terkejut dengan bicara dan
tindakan yang dibuat Rizqullah itu.
“Ya Allah... terguris benarkah Rizqullah?” soal ibu
Abyatina sebaik Rizqullah menghabiskan bicaranya dan meninggalkan perkarangan
rumah.
Saat itu juga Abyatina hilang dari pandangan. Seisi
keluarga terkejut. Hakikatnya Rizqullah pulang bersendirian, dan kehilangan
Abyatina secara tiba-tiba itu nyata beri kejutan buat semua yang ada. Yaqzan
anak kecil Abyatina juga tidak lagi kelihatan. Abyatina membawa Yaqzan
bersama-samanya.
“Kalau tak kerana Yaqzan, Abyatina dan Rizqullah
bercerai?” soal Raiqah kehairanan.
“Apa yang sebenarnya sedang berlaku antara Rizqullah dan
Abyatina?” soal ibu Abyatina.
“Mereka ada masalahkah?” soal Raiqah.
Petang itu, perbincangan keluarga mengenai majlis
perkahwinan Absyar terhenti begitu sahaja. Kejutan yang dilakukan Rizqullah dan
kehilangan Abyatina bersama bayi kecilnya Yaqzan mencetuskan suasana kelam
kabut sekali lagi di rumah itu.
“Ya Allah. Satu demi satu dugaan Abyatina...” bisik Mak
Cik Ros sebelum masuk ke bilik untuk menyatakan perkhabaran mengejut itu kepada
suaminya Ustaz Man.
Kisahnya mungkin tak berkesudahan. Abyatina dan Rizqullah
mencipta satu lagi kisah petang itu. Fasa baru kini bermula.
*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Tujuh*
Ke mana menghilangnya Abyatina? Ke mana pula Rizqullah
pergi?”
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
*Terima kasih kepada sahabat sekampus, saudari Nor Farahin Che Arifin atas
memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan