Hipokrasi bertopengkan agama: Kesan dan iktibar





Zaman sekarang, kepura-puraan menjadi senjata dan permainan bagi sesetengah pihak bagi mencapai matlamatnya. Itulah yang mewujudkan doktrin dalam perjuangan: "Matlamat menghalalkan cara". Tatkala matlamat itu dijadikan ‘kitab’ utama, maka segala yang haram barangkali dihalalkan dan segala yang pada hakikatnya bersih serta halal dikambing hitamkan, dikatakan bahawa halal itu haram. Dunia hari ini dipenuhi kepalsuan, hingga terlalu sukar untuk kebenaran itu tertegak dalam perjuangan. Istilah “Kepimpinan melalui teladan" itu ternyata cukup tepat. Namun andai ‘teladan’ itu ditonjolkan dengan sisi keburukan, apakah wujud kepimpinan yang berkualiti?

Korupsi dan hancur, maka itu yang akan terjadi.

Ada sesetengah pihak, cenderung untuk menggunakan landasan agama sebagai satu platform mengangkat diri dengan mudah untuk menjadi pemimpin rakyat. Dari sudut ‘permukaannya’ (surface), maka adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk menyulami kepimpinan itu dengan nilai-nilai agama. Namun, adalah menjadi satu kesilapan besar tatkala agama itu digunakan hanya sebagai alat dan batu loncatan untuk mencapai matlamat dan kepentingan diri.

Sesungguhnya, kewarakan dan ketawadukan seseorang tidak boleh diukur dari luarannya sahaja. Barangkali ada benarnya, dari pakaian itu tergambar peribadinya. Namun di zaman yang penuh dengan tipu muslihat ini, maka tak mustahil juga wujud situasi: Dari pakaian itu tersembunyi seribu satu kepura-puraannya. Namun, bukanlah ini bermaksud bahawa yang berjubah dan berserban itu hakikatnya berpura-pura, kerana hakikatnya banyak yang berpakaian sedemikian benar-benar berpakaian berdasarkan akhlak dan imannya. Hakikatnya, berpakaian sunnah Rasulullah itu bukanlah sekadar berpakaian semata-mata, namun ia juga perlu hadir dengan satu nilai tanggungjawab yang besar iaitu tanggungjawab untuk mengikuti setiap seruan agama baik di hadapan orang mahupun tersembunyi yakni pada diri sendiri. "With great power comes great responsibility." Kalau dah berpakaian sedemikian, maka tingkah laku harus seperti cara anda bepakaiaan dan bukan sebaliknya.


"Sesungguhnya, kewarakan dan ketawadukan seseorang tidak boleh diukur dari luarannya sahaja. Barangkali ada benarnya, dari pakaian itu tergambar peribadinya. Namun di zaman yang penuh dengan tipu muslihat ini, maka tak mustahil juga wujud situasi"
 

Disebabkan itu, rakyat di bawah harus berhati-hati tatkala mahu memilih pemimpin. Andai silap memilih, maka kesannya akan berpanjangan. Seperti dalam al-Quran dalam surah Al-Ahzab, ayat 66 hingga 68:

“Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah azab sengsara dua kali ganda, dan laknatlah mereka dengan laknat sebesar-besarnya!”

Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa andai tersilap memilih pemimpin, maka terimalah akibatnya kelak. Azab neraka menanti tatkala pemimpin yang sesat itu memimpin rakyat. Hal ini bermaksud, dalam soal memilih pemimpin itu, rakyat perlu memilih dengan teliti supaya tidak tersalah pilih. Andai pemimpin itu membawa ke jalan yang sesat, bukan pemimpin itu sahaja yang perlu menerima balasan, rakyat juga harus dipersalahkan.

Zaman sekarang, keadaan paling berbahaya adalah apabila orang yang tak berkelayakan  diangkat menjadi pemimpin oleh rakyat yang pada hakikatnya pemimpin itu lebih banyak berpura-pura di hadapan rakyat. Pemimpin ini dilihat cukup hebat walhal hanya pandai berbicara sahaja. Inilah titik kerosakan bagi sesebuah negara. Lebih parah, andai kepura-puraan ini disandarkan pada agama. Menyembunyikan diri di sebalik kealiman yang palsu, hingga rakyat tertipu. Itulah hiprokasi yang paling besar, dan andai terdedah tembelangnya, maka seluruh kepercayaan dan nilai hormat itu akan hilang begitu sahaja.


"Zaman sekarang, keadaan paling berbahaya adalah apabila orang yang tak berkelayakan  diangkat menjadi pemimpin oleh rakyat yang pada hakikatnya pemimpin itu lebih banyak berpura-pura di hadapan rakyat. Pemimpin ini dilihat cukup hebat walhal hanya pandai berbicara sahaja."
 


Persoalannya, wujudkah golongan sebegitu? Wujudkah topeng agama yang menyembunyikan tembelang sebenar seseorang? Andai wujud, apakah kesannya? Apakah yang akan berlaku?

Jika dilihat dari konteks umum, hipokrasi bertopengkan agama bolehlah dikatakan sebagai jenayah hipokrasi tertinggi dan paling serius dalam dunia kepura-puraan. Menjadikan agama sebagai ‘permainan’ untuk kepentingan diri, maka itu dilihat amatlah biadab dan tidak beretika. Masih boleh dimaafkan andai pura-pura itu bukan di sebalik agama, namun andai agama itu dijadikan topeng, maka kemaafan itu ternyata sukar diberikan.

Apakah kesannya?



Hakikatnya, andai tembelang itu terdedah pada umum, maka perkara terbesar yang akan berlaku sudah semestinya hilangnya nilai hormat terhadap institusi agama itu sendiri. Kebolehpercayaan umum terhadap golongan agama pasti akan hilang. Ibarat setitik nila, makan punah susu sebelanga, maka andai golongan pura-pura ini terdedah tembelangnya, imej golongan agama akan tercalar. Bayangkan kesan seterusnya tatkala gerakan dakwah itu mula diragui dan dipertikaikan orang, walhal golongan ustaz dan ustazah itu ternyata ikhlas dalam menyampaikan dakwahnya. Dek kesalahan seorang, maka habis semua terpalit kesan negatifnya. Di akhirnya, nilai-nilai Islam mungkin akan merudum sedikit demi sedikit kerana pada perspektif dan pandangan umum, golongan agama kini tidak boleh dipercayai.

Inilah yang berlaku di Eropah, tatkala golongan gereja menyalahgunakan kuasa, sehingga mewujudkan gerakan mengurangkan pengaruh agama dalam kehidupan. Maka itulah yang melahirkan zaman Renaissance, zaman kemajuan Eropah tanpa panduan agama! Zaman yang mewujudkan pemikiran sekular- mengasingkan agama dalam kehidupan bagi mencapai kemajuan. Apakah itu yang bakal terjadi andai golongan hipokrit ini terlalu banyak dalam golongan agama? Kesannya mungkin lebih besar andai keadaan masih berterusan.


"Dek kesalahan seorang, maka habis semua terpalit kesan negatifnya. Di akhirnya, nilai-nilai Islam mungkin akan merudum sedikit demi sedikit kerana pada perspektif dan pandangan umum, golongan agama kini tidak boleh dipercayai."
 

Kata orang, cermin pada diri sendiri maka sedarlah diri. Dalam hal beragama, adalah sebaik-baiknya kita bersederhana. Bukan membawa maksud kurangkan urusan diri dalam menuntut agama, namun bersederhana dalam mengemudi dan menyerapkan nilai agama dalam diri. Bagi melakukan sesuatu perubahan atas dasar agama, seharusnya tempoh masa diperlukan supaya nilai agama tersebut terserap dalam jiwa. Andai perubahan itu mendadak- semalam berseluar pendek dan tiba-tiba minggu hadapan terus berjubah dan berserban ditambah celak menghitam di bulu kening, barangkali perubahan drastik itu hanya bersifat kosmetik semata-mata. Hanya bersifat luaran yang pada hakikatnya masih belum terserap sepenuhnya dalam jiwa dan hati. Bukan mahu menyatakan perubahan ke arah agama itu salah, namun perubahan itu haruslah dilakukan dengan cukup cermat, supaya bersesuaian dan seiring dengan perubahan di dalam hati.

Tulisan ini bukanlah mahu menuding jari, cuba menghentam dan menyalahkan golongan agama. Hakikatnya, masih ramai agamawan yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan dakwah mereka. Namun, dalam keramaian itu, tersembunyi juga individu yang cuba menjadikan agama sebagai topeng, cuba menyembunyikan kejahatan sebenarnya. Inilah barah yang wujud dalam kehidupan hari ini.

Falsafah Machiavelism yang diperkenalkan oleh Nicolo Machiavelli, seorang ahli falsafah Itali, dengan menyatakan bahawa untuk mencapai sesuatu matlamat dan objektif, apa sahaja harus dilakukan walaupun dengan penipuan. Itulah yang mewujudkan doktrin 'matlamat menghalalkan cara' yang cukup berbahaya andai dipegang oleh seseorang pemimpin. Andai pepimpin inilah yang muncul, maka kerosakan besar akan berlaku. 

Sama-sama insafi diri moga tidak tersesat dalam jalan yang salah.

Wallahualam.

p/s: Gangguan seksual adalah satu jenayah yang cukup berat namun ramai yang mungkin telah melakukannya tanpa sedar, mungkin secara tidak sengaja dan sengaja. Insaflah diri, cerminkan hati.




Ulasan

Catatan Popular