Menyelusuri perjalanan 4 tahun siri novel Adina
"Adina"
Menjelang 18 Disember 2014 ini, maka genaplah 4 tahun siri novel Adina. Kini setelah hampir 4 tahun berlalu, siri novel ini masih lagi diteruskan dan dihasilkan. Masih lagi diterbitkan di blog dalam tempoh itu. Dalam tempoh 4 tahun itu, sehingga ke tarikh 18 Disember ini, maka telah 34 siri Adina telah berjaya diterbitkan. Dalam tempoh itu juga, siri Adina ini menjadi tunjang utama bagi blog ini. Disebabkan siri Adina ini jugalah, jumlah trafik dan pengunjung blog ini terus meningkat dan mendapat perhatian.
Idea penghasilannya bolehlah dikatakan tercetus secara
spontan tanpa sebarang perancangan yang rapi. Di awalnya, projek siri novel
Adina ini lebih menjurus ke arah projek mini novel yang merangkumi 20 siri
novel yang akan diterbitkan dalam tempoh setahun. Novel ini ditulis dalam
bahasa santai dan tidak begitu menekankan aspek kepuitisan mahupun aspek nilai
estetika yang tinggi. Sekadar bacaan santai yang ditulis dengan cara yang
santai.
Siri Adina hakikatnya tercetus daripada kisah-kisah
penceritaan pengalaman hidup mak yang ternyata sangat menarik untuk
dikongsikan. Kisah sewaktu masih bergelar pelajar sekolah sehinggalah menjadi
seorang isteri. Hakikatnya, setiap kisah itu dipenuhi dengan konflik dan
dugaan. Dari kisah itu jugalah, maka tercetus ilham untuk menghasilkan sebuah
novel.
Adina (Bicara
Satu) dan 18 Disember 2010
Penghasilan siri pertama Adina dimulakan sekitar
pertengahan Disember 2010. Waktu itu saya sedang bercuti semester, dan baru
sahaja menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-21 pada 15 Disember 2010. Pada
keesokan harinya, idea tiba-tiba datang, dan tulisan spontan dibuat. Dalam
tempoh tak sampai 2 jam, maka terhasillah siri pertama Adina yang agak pendek;
hanya sekadar 8 muka surat sahaja.
Menjelang 18 Disember 2010, tulisan siri pertama itu
diterbitkan di blog dan kemudian dikongsikan link itu ke Facebook. Tanpa diduga, perkongsikan siri pertama Adina
ini mendapat sambutan yang hebat. Sebaik sahaja diposkan di blog, seramai
150 pengunjung blog telah melihat dan membaca siri itu dalam tempoh hanya 2
jam. Malah mereka juga turut memberi komen dan respon terhadap siri pertama itu. Sesuatu yang tidak pernah dijangka sewaktu mula-mula menulis siri pertama
ini.
Menerusi maklum balas yang diterima, maka saya dapat simpulkan
bahawa siri pertama Adina yang serba ringkas itu mempunyai potensi untuk
dikembangkan dengan lebih meluas lagi untuk masa akan datang. Dari itulah, maka
saya memutuskan untuk menghasilkan siri novel penuh Adina. Daripada perancangan
asal yang hanya sebanyak 20 siri, perancangan berikut adalah untuk memanjangkan
siri itu menjadi 70 siri dan akan dihasilkan dalam tempoh 4 ke 5 tahun.
Mengapa judulnya
‘Adina’?
Pada asalnya, siri novel ini tidak ditetapkan judulnya.
Hanya idea plot dan cerita sahaja yang berada dalam perancangan namun tidak ada sebarang penetapan judulnya. Namun di akhirnya, diputuskan supaya digunakan nama
adik bongsu saya Nur Adrina Najiha Rosly atau dipanggil Adina sebgai tajuk
judul novel ini. Dari nama Adina itu, maka dijadikannya sebagai satu akronim,
singkatan kepada “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
Mengapa tajuknya berbunyi sedemikian? Hakikatnya tajuk
itu akan membawa pengertian yang bermakna di penghujung jalan cerita novel ini.
Siapa yang dilahirkan? Siapa insan nan ayu itu? Siapa yang melahirkannya?
Pembaca akan faham sebab pemilihan tajuk ini apabila
mereka membaca siri akhir novel ini nanti.
Petikan "Adina (Bicara Dua Puluh)" di blog bertarikh 19 Januari 2013 |
Kisah Abyatina dan
kisah mak
Kisah dan jalan cerita yang difokuskan dalam siri ini
berkisar kepada perjalanan hidup Abyatina sebagai gadis kampung yang membesar
dalam serba sederhana di kampung. Gadis ini punyai cita-cita untuk menyambung
pengajiannya di universiti seperti abangnya Absyar. Namun, disebabkan paras
rupanya yang elok, dan seringkali menarik perhatian, maka pelbagai fitnah dan tohmahan
dilemparkan kepada Abyatina. Banyak pinangan dibuat terhadap Abyatina, namun
kesemuanya ditolak. Namun, di akhirnya Abyatina mengalah dan menerima pinangan
terakhir dari keluarga Rizqullah atas permintaan ayahnya, Ustaz Man. Bermula dari itulah, perjalanan hidup
Abyatina berubah, menjadi seorang isteri dan suri rumah sepenuh masa, melupakan terus cita-citanya selama ini untuk menyambung pengajian.
Itu serba sedikit plot bagi siri novel ini. Barangkali tiada
konflik yang besar cuba ditonjolkan. Namun, novel ini lebih terarah kepada
pengkisahan perjalanan hidup seorang gadis biasa sehingga menjadi seorang
isteri dan seterusnya sebagai seorang ibu. Kisahnya lebih kepada sebuah diari
yang diceritakan dari sudut pandangan orang ketiga.
Bagi setiap siri juga, akan diselitkan nota akhir yang
berbunyi “Adina’ adalah sebuah bicara
kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus.
Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya”
Adakah kisah Adina ini merupakan kisah sebenar hidup mak
saya?
Hakikatnya tidak kerana ada sesetengah pengkisahan dalam
novel ini telah diubah dan ditambah daripada kisah sebenar mak. Saya tidak mengambil
sepenuhnya kisah mak, sebaliknya hanya menjadikan kisah mak sebagai inspirasi
untuk menghasilkan sebuah kisah baru dalam novel.
Nama-nama watak yang
unik.
Abyatina, Rizqullah, Yusman, Mawaddah, Zabarjad, Rafiqin,
Zaafarani, Raiqah, Radhwa dan banyak lagi pasti mencetuskan persoalan mengapa nama-mana
ini unik dan berbeza dari kebiasaan nama yang digunakan kebanyakan orang.
Hakikatnya, nama-nama ini dipilih untuk mencipta keunikan
dalam novel ini; memudahkan pembaca untuk mengingati wataknya serta membolehkan
siri novel Adina menjadi unik kerana nama-nama wataknya. Kesemua nama watak
yang digunakan ini mempunyai maksud dan bukan direka-reka. Kesemua nama ini
dipilih dengan teliti sebelum digunakan dalam novel ini.
Setiap nama yang digunakan mewakili nama sebenar
dalam hidup sebenar saya. Sebagai contoh, nama Abyatina merupakan nama kepada
mak saya Azmah. Begitu Rizqullah, merupakan nama ayah saya Rosly. Bagi watak
Yusman atau Ustaz Man, nama itu diambil dari nama datuk saya, Yunus.
Kebanyakan nama-nama yang digunakan mempunyai huruf
pertama yang sama dengan nama sebenar dalam kalangan ahli keluarga saya.
Sengaja dilakukan sedemikian supaya mudah untuk mengingati dan membentuk
perwatakan bagi setiap watak. Namun, gambaran perwatakan tersebut tidaklah sama
seperti yang sebenar; diubah mengikut kesesuaian plot.
Bilangan musim
Adina
Sehingga ke tarikh entri ini ditulis, siri novel Adina
telah memasuki musim ke-8 pada tahun 2014. Setiap musim dibahagikan berdasarkan
plot dan latar tempat di dalam novel ini. Jarak masa di antara satu musim
kadangkala menjangkau 4 bulan. Situasi ini disebabkan saya hanya menulis setiap
siri novel pada waktu cuti semester sahaja. Tatkala sibuk dengan pengajian di
UPSI, penulisan Adina direhatkan seketika. Maka bagi setiap musim itu,
hakikatnya mewakili setiap cuti semester saya sehinggalah saya tamat pengajian pada
tahun 2014. Untuk tahun 2015, berkemungkinan musim ke-9 dan ke-10 bakal
diterbitkan di blog.
Bila Adina akan
tamat?
Mengikut perancangan asal, siri novel ini akan tamat pada
siri yang ke-70. Sehingga ke angka itu, siri ini akan terus dihasilkan dan
diterbitkan di blog. Mengikut perancangan juga, tahun 2015 bakal menjadi tahun
terakhir bagi siri ini. Sebanyak 40 siri novel akan cuba disiapkan bagi tahun
2015.
Sebaik sahaja tamat siri ini, novel ini akan cuba
diterbitkan ke dalam bentuk naskah buku. Namun, sehingga ke waktu itu, novel
ini hanya akan diterbitkan di blog sehingga tamat sepenuhnya nanti.
Wajah-wajah
pembuka bicara siri Adina
Bagi setiap siri baru Adina yang diterbitkan di blog,
sirinya itu akan dibuka dengan perletakan gambar-gambar wajah yang menyerikan
setiap siri itu. Hakikatnya, gambar yang dipaparkan itu tidak mempunyai
sebarang tujuan tertentu, hanya sekadar menjadi penghias bagi setiap siri novel
yang diterbitkan itu.
Kebanyakan gambar tersebut diambil dari koleksi
gambar rakan-rakan terdekat, baik dari UPSI atau mungkin juga rakan-rakan lama
sekolah. Seperkara yang perlu dinyatakan, kesemua gambar yang digunakan telah
mendapat keizinan pemiliknya sebelum disiarkan dan diterbitkan di blog.
Permohonan izin akan dibuat dahulu sebelum persetujuan diberikan oleh
pemiliknya.
Kebanyakan gambar yang dipilih hakikatnya menggambarkan
sedikit sebanyak wajah sebenar yang cuba digambarkan menerusi watak utama dalam
novel ini, iaitu Abyatina. Namun itu tidaklah menggambarkan secara keseluruhan
wajah sebenar Abyatina itu.
Perancangan masa
hadapan
Insya-Allah, tahun 2015 akan menjadi tahun terakhir bagi
penghasilan siri novel Adina. Mengikut perancangan, sebanyak 40 siri lagi akan
cuba dihasilkan dalam tempoh tersebut. Menjelang 18 Disember 2015 nanti, siri
Adina yang terakhir akan cuba diterbitkan di blog. Siri akhir tersebut nanti
akan menjawab secara keseluruhan persoalan-persoalan yang ada di dalam novel
tersebut. Siri itu akan merangkumkan secara keseluruhan novel Adina itu
nanti.
Diharapkan, moga sokongan terus diberikan daripada kalian
semua. Hakikatnya, idea penghasilan novel Adina ini tidak pernah terlintas di
fikiran sebelum ini; hanya tercetus atas sokongan yang diberikan. Terima kasih
atas sokongan tidak berbelah bagi yang diberikan terhadap siri novel ini sejak
tahun 2010. Disebabkan sokongan itulah, maka siri ini menjadi tunjang kepada
blog ini. Tanpa siri ini, barangkali jumlah trafik blog ini tidak setinggi
sekarang.
Moga kisah Abyatina akan terus menjadi inspirasi bagi
pembacanya. Menjadi pengajaran dan barangkali panduan dalam merencanakan setiap
perjalanan kehidupan masa akan datang.
Sekadar itu sahaja perkongsian sedikit sebanyak berkenaan siri novel Adina ini. Ketemu di lain bicara.
Insya-Allah.
“Adina” ialah Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu.
Sebuah novel Muhammad Yazid Rosly tahun 2010.
Ikuti siri-siri Adina sebelum ini di blog: Siri Adina
Terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menjadi penyumbang wajah untuk pembuka bicara siri Adina. Terima kasih juga kerana memberi idea dan cadangan bagi setiap siri Adina ini.
Terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menjadi penyumbang wajah untuk pembuka bicara siri Adina. Terima kasih juga kerana memberi idea dan cadangan bagi setiap siri Adina ini.
Ulasan