Ada apa dengan Zahra dan Low Yat?
Zahra dan Plaza Low
Yat
Dalam tempoh seminggu ini, rencah dalam media-media
sosial dilihat agak rancak dengan segala macam cerita. Apa yang pasti, budaya ‘viral’
terhadap sesuatu isu itu telah menjadi kebiasaan bagi setiap pengguna
laman-laman sosial. Barangkali itu satu trend atau mungkin sekadar perubahan
sosial masyarakat pada hari ini.
Itu yang berlaku. Maka terkait dua perkara yang menjadi
viral di media sosial ketika ini. Satu, heboh diperkatakan nama Zahra atau
digelarkan sebagai #sayaZahra. Memberi ucapan keluhan mewakili golongan muda di
hadapan Timbalan Perdana Menteri. Yang kedua ialah isu insiden pergaduhan di
Plaza Low Yat di Kuala Lumpur, dikatakan membabitkan orang Melayu dan orang
Cina.
Ada apa dengan
Zahra?
Siapa Zahra? Apakah hebatnya Zahra itu? Kenapa tiba-tiba
namanya popular?
Barangkali itulah yang muncul di fikiran mengutarakan
persoalan ketika ini. Rata-rata pengguna Facebook dan Twitter dengan rakus
membuat perkongsian mengenai video ucapan keluhan (kononnya) di hadapan Tan Sri
Muhyiddin Yassin dalam satu majlis. Dalam ucapannya dinyatakan luahan dirinya
selaku golongan muda menyatakan setiap kesusahannya mengharungi tekanan kos
sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur. Dinyatakan berkenaan isu pemilikan
kereta, isu pembelian rumah, isu PTPTN sehinggalah kepada kenyataan kahwin
lelaki kaya, maka Zahra dilihat berani untuk menyuarakan masalah yang dihadapi
di hadapan pemimpin nombor dua negara itu.
Soal yang timbul, apakah luahannya itu benar-benar
mewakili suara golongan muda?
Rata-rata apabila perkara ini diajukan kepada golongan
yang telah berpengalaman, mereka hanya memandang sinis sahaja. Bagi mereka,
setiap permasalahan yang diluahkan Zahra itu hanya lebih bersifat ‘spoiled brat’
semata-mata. Usianya yang baru 23 tahun dilihat sangat cetek dalam menyatakan
setiap jerit perih kehidupan sebenar. Baru dua tahun bekerjaya, itu hakikatnya
masih belum cukup untuk berkongsi pengalaman kesusahan hidup. Bagi golongan
yang lebih berusia ini, mereka melihat Zahra ibarat meluahkan kesusahan hidup
yang dicarinya sendiri, dan bukan kesusahan hidup yang mencarinya.
Tidak perlulah penulis menyatakan hujah balas terhadap
luahan Zahra itu, kerana rata-rata boleh saja mencarinya di laman-laman sosial.
Namun persoalan pokok yang dapat disimpulkan adalah; suara Zahra hakikatnya
bukanlah mewakili suara sebenar generasi muda di Malaysia.
Benar, memang hidup ketika ini dalam kesukaran. Tekanan
kos sara hidup memang tidak dapat dielakkan. Namun golonga muda harus faham makna ‘keperluan’
dan ‘keinginan’. Andai hidup berdasarkan ‘keinginan’, maka memanglah sukar
untuk ‘survive’ di ibu kota. Namun anda hidup berlandaskan ‘keperluan’ maka
setidak-tidaknya tekanan sara hidup itu akan berkurang.
Rata-rata generasi mudah hari ini mempunyai mentaliti
bahawa apabila tamat saja pengajian dan memiliki ijazah, maka secara automatik
hidup senang. Maka bolehlah dicari pekerjaan yang hebat-hebat dengan gaji yang
tinggi-tinggi. Bolehlah nanti bergaya sakan dengan kereta baru yang barangkali
mahal-mahal belaka. Bolehlah juga untuk bergaya dengan pakaian-pakaian berjenama
dan membeli segala macam gajet hebat. Apabila dah berkerja, bolehlah mencari
rumah yang selesa dan membelinya. Itulah yang mereka fikirkan.
Hakikatnya, realiti hari ini, segulung ijazah itu bukan
jaminan hidup mewah. Ijazah itu adalah tanda aras taraf pendidikan seseorang
namun bukan tanda aras kekayaan individu itu. Jangan mengharap sesuatu yang
besar kerana realiti zaman ini bukan itu yang berlaku. Kata orang berpijaklah
di bumi yang nyata.
Apa yang boleh dilihat, ucapan luahan Zahra hanya lebih
berfokus kepada kelemahan pengurusan kewangannya. Andai diurus dengan baik,
maka tidak timbul masalah yang dinyatakannya itu.
Mungkin Zahra mahu menyuarakan masalah yang dihadapi
golongan muda ketika ini dengan ikhlas. Namun kesilapan yang dibuat Zahra
adalah apabila dia memberi contoh yang tidak kena dan boleh dipersoalkan oleh
orang lain. Umurnya masih muda, dan barangkali pengalaman hidupnya itu masih
belum banyak. Mungkin disebabkan itu, luahan yang disandar kepada pengalaman
ceteknya itu mencipta ucapan yang pada dasarnya memperlihatkan kelemahan
dirinya sendiri.
Dan ironinya video tersebut menjadi viral dan banyak dikongsikan
oleh golongan muda terutamanya. Apakah golongan mudah ini mempunyai pemikiran
yang sama seperti Zahra? Mengharap bulan jatuh ke riba? Walaupun dikatakan ramai yang bersetuju dan menyokong
kenyataan Zahra itu, apakah itu menunjukkan bahawa Zahra berada di pihak yang
benar?
Ucapan Zahra yang menjadi viral di media sosial |
Plaza Low Yat dan
kekecohan
Perkara kedua yang menjadi viral di media sosial minggu
ini sudah pastinya berkait dengan insiden yang berlaku di Plaza Low Yat.
Pergaduhan tercetus yang membabitkan tujuh individu itu mencetuskan provokasi hebat
dalam kalangan masyarakat sehingga menyentuh soal perkauman.
Sehingga di saat tulisan ini ditulis, kisah sebenar yang
berlaku di Low Yat itu masih belum dapat dipastikan. Terdapat beberapa versi
kedengaran dan disebarkan di laman sosial. Namun versi popular menyatakan
bahawa insiden kekecohan yang terjadi di Plaza Low Yat adalah berpunca daripada
rasa tidak puas hati pelanggan apabila ditipu penjual telefon.
Namun dalam menuntut keadilan, apakah tindakan ganas
perlu dibalas kembali keganasan? Apakah kesamsengan perlu dibalas kesamsengan
juga?
Inilah yang terjadi di Plaza Low Yat. Hanya disebabkan
telefon, maka berlaku pergaduhan yang mencetuskan suasana yang cukup kecoh di
sana. Bahkan kedai telefon tersebut dipecahkan. Penjual tersebut dicederakan.
Walaupun penjual tersebut sangat kurang ajar dan
mencederakan pembeli tersebut, tindakan balas yang perlu dilakukan perlulah
bijak. Apabila emosi lebih menguasai, maka itulah menyebabkan berlaku
situasi panas di Low Yat.
Tambah menghangatkan situasi adalah apabila insiden yang
terjadi itu disebarkan di media-media sosial. Insiden tersebut diviralkan dan
disebarkan kepada umum tanpa mengambil kira sejauh mana kesahihan cerita yang
disampaikan itu. Rata-rata cerita yang disampaikan itu pula berbaur perkauman,
menghina kaum Cina dan mencetuskan rasa kebencian kepada kaum Cina. Soalnya,
apakah perlu isu perkauman itu dimasukkan ke dalam rencah yang sedang berlaku
itu?
Isu yang berlaku di Plaza Low Yat semalam memang
seharusnya mendapat perhatian. Memang Low Yat terkenal dengan kelicikan
sesetengah peniaganya yang menipu pelanggan. Tapi tak semua. Namun, tak
perlulah sampai mengheret hal-hal perkauman, menghina dan mencerca kaum Cina.
Macam-macam dikata pada kaum Cina walhal bukan semua orang Cina sedemikian.
Janganlah menyimbah minyak ke dalam api lagi. Soal yang harus difokus ialah hak
pengguna bukannya soal hak perkauman!
Namun rata-rata masih ramai yang terkeliru dengan hal
ini. Tidak dapat membezakan isu itu. Masih menganggap ia sebagai satu isu
perjuangan bangsa. Hakikatnya, andai mereka ini mahu meneruskan perjuangan
mereka itu, menyatakan penentangan terbuka kepada kaum dan bangsa lain, apakah
akan wujud keharmonian kaum selepas ini?
Ingatlah, peristiwa 13 Mei bermula dengan provokasi
sebegini juga. Bermula dengan rasa prejudis terhadap bangsa lain selepas
Pilihanraya Umum ke-3 (PRU 3). Maka tak mustahil andai perkara ini tak dijaga,
peristiwa 13 Mei itu akan berulang kembali.
Amat merisaukan apabila rata-rata golongan muda Melayu
merasionalkan tindakan ganas di Plaza Low Yat itu. Apakah keganasan ini dinamakan
perjuangan bangsa? Apakah ini yang diajar dalam Islam?
Insiden di Low Yat bukan hanya tentang telefon atau
kecurian. Ia terkait kesenjangan sosial dan ekonomi. Lantas memerlukan rekayasa
sosial semula.
Video pergaduhan di Plaza Low Yat yang menjadi viral di media sosial |
Kisah Zahra dan peristiwa Low Yat yang menjadi viral ini
menunjukkan bahawa betapa hebatnya kuasa media sosial pada hari ini. Namun,
viral itu bukan bermaksud kebenaran. Kadang-kadang
apa yang viral di media sosial tak semestinya benar dan tepat. Populariti tak
mencerminkan realiti sebenar yang terjadi. Kerana viral, benda yang tak betul
jadi betul. Benda yang salah tak nampak salahnya. Sebab itu, sebagai pengguna
sosial yang bijak, maka seharusnya kita berhemah sebelum berkongsi apa-apa
perkara viral di media sosial. Jangan jadi pemungut saham penyebar fitnah dan
pandangan yang salah.
Sebagai warga yang bertanggungjawab, maka kebijakan itu
harus ada. Bijaklah dalam berkongsi sebarang perkara viral di media sosial. Kerana
kuasa di hujung jari kini lebih hebat dari kuasa di hujung mata pena.
Wallahuaklam.
Ulasan