Prasasti Sebuah Bahagia

Dalam hidup ini, kita harus sentiasa menyebarkan nilai-nilai positif. Jangan biarkan vibrasi negatif itu menguasai diri kita.

Tak semua yang kita rancangkan itu akan menjadi satu keindahan. Di sebalik setiap kemanisan dalam hidup, tercipta dahulu pelbagai dugaan getir. Hakikatnya, untuk menjadi insan yang matang dan kuat, kita tidaklah perlu mencanangkan setiap keperitan itu. Dijaja setiap detik, nyatakan itulah kepayahan di suatu masa dahulu. Dengan bangga nyatakan inilah hasilnya, dan dirinya telah senang lenang.

Tanpa sedar, ia satu keriakan.

Seringkali kita cuba menyalahkan setiap faktor di sekeliling. Salahkan itu, kerana terjadinya ini. Menyatakan orang lain sentiasa berfikiran buruk pada kita, nyatakan bahawa si polan itu si polan ini sentiasa memandang negatif pada diri kita. Hakikatnya, kitalah puncanya. Mewujudkan negativiti dalam fikiran, hingga akhirnya sentiada prejudis terhadap orang lain.

Jangan fikir kita sentiasa betul. Ada waktunya kita perlu akui kesalahan yang dilakukan. Jangan memandang rendah pada orang lain, kerana tanpa sedar kitalah yang telah merendahkan diri kita. Mengakui kesalahan sendiri bukan bermakna mengaku kalah. Ia satu proses kematangan dan tanpa sedar meningkatkan nilai hormat orang lain pada diri kita.

Anggaplah setiap kesilapan itu satu pembelajaran berterusan. Daripada kesilapan itu, kita akan cuba memahami punca. Mendalami sebab mengapa dan apa. Apa yang penting, kita harus mengambil pengajaran dan tidak lagi mengulangi kesilapan itu.

Hakikatnya, manusia di sekeliling tidak akan memahami sepenuhnya apa yang tersirat dalam hati kita. Ada waktunya, mereka terlalu kejam, menindas dan menipu. Menghancurkan dan mengecewakan kita walaupun tiada apa kesalahan pun yang kita lakukan kepada mereka. Penipuan dan sandiwara berkelas A ini, barangkali sangat indah di awalnya. Namun amat pedih di penghujungnya apabila sandiwara didedahkan mereka sendiri. Mulut manis kadangkala punyai bisa di sebaliknya.

Merekalah parasit yang akan menghancurkan hati manusia. Buangkan saja mereka. Biar Allah yang memberi pembalasan sebaik-baiknya.

Kerana hakikatnya, Allah lebih mengetahui jalan terbaik buat kita. Di sebalik kekecewaan dan kesedihan itu, pasti akan muncul kegembiraan. Tatkala kun fayakun, maka akan datanglah kun fayakun. Sekelip mata berkedip, andai itu hak kita untuk bahagia, maka datanglah gembira itu. Tidak mengira selama mana masanya, ia temaktub di bawah takdir Ilahi. Apa yang perlu; yakin dan percaya pada janji Allah ini. Bahagia pasti akan dating.

Apabila ia datang, maka hargai dan syukurilah. Nikmat bahagia adalah suatu tanda kegembiraan hati. Tatkala muncul insan yang sudi merawat luka itu, maka peganglah sekuat-kuatnya. Bawalah ke jalan yang diredhai. Sama-sama berpimpin tangan ucapkan rasa cinta sesama hati. Suburkan cinta dengan iman. Tanamkan dalam jiwa, sama-sama bersusah payah dalam membina sebuah ikatan yang sah.

Dengan lafaz aku terima nikahnya, maka paganglah amanah yang telah diberikan. Sebuah tanggungjawab yang cukup besar. Suburkanlah dengan sepenuh kasih sayang. Limpahkan dengan senyuman dan kegembiraan.

Dalam hidup ini, kita perlu ada ilmu. Untuk mencari ilmu, kita perlu berusaha. Maka peganglah prinsip Iqra’. Di dalam setiap bacaan mencari ilmu itu, akan mencambahkan kekuatan fikiran. Di zaman edan ini, teknologi ada kalanya didambakan. Buku dan ilmu, disisihkan. Maka menangislah sebuah kebijakan, kerana ia telah ditinggalkan umat manusia.

Disiplin.

Kunci sebuah bahagia dan kejayaan ialah kekuatan hati kita dalam mencapai sesuatu. Tak guna berkeluh kesah, mengenangkan kesihatan yang tak menentu baiknya andai pada masa yang sama langsung tidak berdisiplin untuk menjaga kesihatan. Mahu kurus, tapi setiap malam, makan luar, dan tidurnya lewat. Anak kecil sentiasa meragam, sakit dan demam. Mengeluh,namun pada masa yang sama segala pantang larang lansung tak dipenuhi. Kadangkala apa yang dikeluhkan itu adalah berpunca daripada kelalaian dan kealpaan kita sendiri.

Maka ketuklah pintu hati. Bukalah fikiran. Luaskan minda dan jangan jumudkan pandangan.

Di dunia ini, peluang kebahagian terbentang luas di hadapan kita. Semuanya bergantung pada kita; adakah kita mahu merebut peluang itu? Atau hanya memandang sepi dan terus dengan dunia kesedihan itu.

Maka diucapkan terima kasih buat isteriku tercinta. Sebuah penghargaan kerana menceriakan hidup ini. Mencipta bahagia, dan merawat luka-luka ini. Mencambahkan lagi dengan lahirnya zuriat kita. Pengorbanan yang cukup besar di antara hidup dan mati. Seorang wanita yang sanggup merisikokan nyawa demi suaminya. Insya-Allah. Sama-sama terus memandang ke hadapan dan mencipta sebuah kegembiraan.

Terima kasih buat Hazwani ku. Terima kasih atas Aaira kita.

Alhamdulillah.



Ulasan

Catatan Popular