Sakit itu kifarah
Setiap manusia pasti merasai dan melalui detik dan rasa sakit. Sebagai manusia yang lemah, kita sememangnya akan merasai sakit tatkala tubuh tidak lagi dapat menampung beban dan dugaan. Fizikal manusia punyai batasan; begitu juga dengan akal dan fikiran. Akan tiba masanya; apabila had telah melebihi; maka pasti kesakitan akan dirasai.
Sakit itu adalah penghapus dosa. Sakit itu ialah kifarah.
Hakikatnya, sebagai manusia yang senantiasa dilimpahi dengan nikmat hidup; ada waktunya kita akan terleka dan teralpa. Dalam kenikmati rasa bahagia, ada waktunya kita terlanjur dalam mencipta dosa. Hati manusia itu berbolak-balik; berubah dan terubah dengan pelbagai godaan dan hasutan. Apabila syaitan dan iblis membisikkan getus hati dosa; tanpa sedar ada waktunya manusia akhirnya tertewas dengan kata-kata si laknatullah itu.
Iman manusia ada naik turunnya. Ada waktunya, dek kealpaan dengan godaan dunia, manusia mungkin tersesat terjerumus ke lembah kemaksiatan. Apabila hati tanpa sedar tercemar dengan riak dan takbur, maka permainan syaitan seringkali menumpaskan manusia; mencampakkan iman sejauh-jauhnya. Tatkala dosa itu dirasakan nikmat; berhati-hatilah wahai manusia. Kalian terperangkap dengan belenggu syaitan.
Hakikatnya, apabila terjerumus ke lembah maksiat; bukan mudah seseorang itu keluar dari belenggu dosa. Maksiat dan dosa; apabila dirasakan nikmat mula menyerap dalam hati, kisah seterusnya adalah sebuah ketagihan. Maka sebab itu juga, si pendosa akan terus berseronok dengan dosa, kerana di fikiran mereka dosa itu adalah suatu keseronokan dan melazatkan.
Apabila gendang dipalu syaitan; manusia menari-menari menikmati setiap gelekan pinggul di hadapan mereka, lampias nafsu membuak-membuak, iman ditolak ke tepi buat seketika; lantas si manusia menikmati lazatnya maksiat.
Akhirnya kesesatan terus menyesatkan. Keimanan dinipiskan; mencipta ahli dosa bakal penguni neraka.
Hidup di dunia; kita seringkali dihidangkan dengan segala tipu daya syaitan. Dunia dilihat serba indah dengan segala kemaksiatan, namun itu hanyalah helah syaitan untuk merosakkan manusia. Apabila dosa dianggap kenikmatan, maka pahala pula dianggap kekolotan. Arak zina menjadi tema dalam sebuah pesta maksiat. Syaitan keseronokan, manusia kesesatan.
Namun kuasa iman dan takwa; andai masih ada di dalam hati manusia, pasti akan dijentik di suatu masa untuk mencari jalan taubat. Sejahat-jahat manusia; andai ditiupkan pintu keinsafan oleh Allah, maka percayalah itu sebaik-baik manusia.
Namun taubat bukan semudah pengertiannya. Taubat bukanlah semurah yang digambarkan. Untuk mencari jalan taubat, hati itu perlu bersih. Kekotoran hati akan mendatangkan kegelapan hidup. Untuk mendapat cahaya hidup, bersihkanlah hati.
Ada waktunya, tatkala manusia itu sedar dari kesilapan, mereka menuju ke jalan taubat. Tatkala taubat itu dilafatkan, diperakukan dengan perbuatan; ada waktunya Allah menguji dengan kesusahan. Hidup ini adalah medan ujian kesabaran. Allah sentiasa menguji manusia untuk menguatkan hati mereka.
Tatkala hati telah bertaubat, ada waktunya Allah menguji dengan keperitan kesakitan. Sakit itu melemahkan, hingga ada waktunya bisa di badan tak tertahan menanggung azab. Terbaring sakit, berterusan lemah tak terdaya. Keperitan itu tak tergambar; hingga ada waktunya hampir sampai ke penghujung menemui putus asa.
Maka di saat kesakitan itulah, iman diuji, hati dibersihkan. Sakit itu menguatkan diri, menjadikan manusia lebih tabah menghadapi rintangan hidup mendatang. Kesakitan itu adalah kiriman Allah kepada manusia; menyampaikan maksud bahawa Dia sangat menyayangi kita.
Maka tabahkan hati wahai manusia. Di saat kesakitan itu; pasti akan tiba masanya datang kesembuhan. Di saat ada hati merasa iri dengan kita; percayalah kuasa Allah lebih hebat mengatasi segala yang ada di alam ini. Bergantung haraplah pada Allah, sentiasa berdoa kepada-Nya. Ujian itu ternyata perit, namun percayalah ia tidak akan berterusan selama-lamanya.
Kita manusia adalah pendosa, teralpa dan kadangkala terleka. Tabahkan hati menempuhi dugaan kesakitan. Memang perit merasa pedih bisa yang mencengkam segenap tubuh ini. Tatkala dada terasa sempit dan pedih; di saat kepala tertusuk dengan ketidakstabilan, di saat kaki tidak mampu bangun dan melangkah; di saat tubuh kaku terbaring tidak mampu bergerak; maka tabahkan hati pejamkan mata.
Barangkali ini ujian Allah di atas dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Mungkin inilah kifarah buat kita; menyucikan hati untuk menjadikan kita sebagai manusia yang lebih sempurna di masa akan datang.
Ucapkanlah Alhamdulillah atas segala nikmat ujian. Selagi nyawa masih di badan, pintu taubat sentiasa terbuka.
Nota akhir: Sakit itu satu kerahsiaan; membelunggu hampir 16 tahun lamanya. Maka, teruskan dengan senyuman, kerana dari senyuman manis itu akan tersembunyi seribu kerahsiaan kesakitan badan.
Ulasan