Kisah 4 November; mengenang setahun Kluster Rengas
Covid-19, nama yang tidak asing lagi muncul di penghujung tahun 2019. Kisahnya bermula pada 17 November 2019. Bermula di wilayah Wuhan, China. Menular dan merebak ke seluruh dunia dengan pantas. Maka terciptalah satu wabak yang akhirnya menjadi pandemik.
Setiap daripada kita pasti mempunyai kisah tersendiri apabila membicarakan soal Covid-19. Pelbagai versi pasti akan terjelma dengan pelbagai pengkisahan perkongsian pengalaman mengharungi cabaran di era pandemik ini.
Begitu juga denganku. Tarikh keramat 4 November 2020, pasti akan sentiasa terpahat di ingatanku. Sebuah sisi pengalaman yang cukup besar dan getir; mengharungi sebuah kluster yang tercetus di sekolah tempat mengajarku, SABK Maahad Al-Yahyawiah.
Bagaimana ia bermula?
Tiada jawapan yang pasti untuk menjawab persoalan tersebut. Sehingga ke saat ini, tidak dapat dipastikan punca yang menyebabkan tercetusnya Kluster Rengas. Namun yang jelas, kisah tersebut bermula pada 2 November 2020, Isnin.
Pada minggu itu, aku menjadi guru bertugas mingguan bersama Cikgu Rohani. Seperti minggu-minggu sebelumnya, adalah menjadi rutin guru bertugas untuk menghantar pelajar yang tidak sihat ke Klinik Kesihatan Padang Rengas. Maka, minggu itu beberapa pelajar bertemu denganku, menyatakan hasrat untuk pergi ke klinik disebabkan kurang sihat.
Aku menghantar mereka seperti biasa, tanpa memikirkan akibat yang akan aku hadapi beberapa hari selepas itu. Hari Isnin tersebut, aku menghantar 4 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar SPM dan STAM. Sebaik selesai urusan, pelajar-pelajar tersebut memaklumkan bahawa mereka telah menjalani ujian swab Covid-19, disebabkan kesemua mereka mempunyai simptom demam dan sakit tekak.
Jumlah kes harian Covid-19 pada waktu itu adalah sekitar 900 kes ke atas. Angka itu mungkin nampak rendah ketika ini, namun pada waktu itu, angka tersebut dianggap sangat tinggi. Waktu itu, aku langsung tidak terfikir bahawa kesemua pelajar yang aku bawa ke klinik ini hakikatnya positif Covid-19!
Tanpa memakai pelitup muka, aku dengan selamba membawa mereka ke klinik. Walaupun kesemua pelajar yang aku hantar memakai pelitup muka; aku bersikap cuai ketika itu.
Barangkali merasakan demam mereka adalah demam biasa.
Aku masih ingat lagi, pada hari Selasa, 3 November 2021 beberapa orang pelajar perempuan dari kelas 2 Syafie berjumpa denganku; menyatakan hasrat untuk pergi ke klinik. Mereka mengadu bahawa deria rasa mereka telah hilang. Bukan seorang, tapi beberapa orang menyatakan perkara yang sama.
Namun, aku masih menganggap situasi tersebut bukanlah serius, walaupun sedikit kerisauan mula timbul.
Hari berikutnya, pada 4 November 2021; Rabu, maka titik permulaan kisah tragedi tercetus. Di awal pagi tatkala aku sedang sibuk mengajar MUET di kelas STAM, aku mendapat panggilan dari Ustaz Badrul memintaku untuk membawa seorang pelajar pergi ke klinik kesihatan dengan segera. Nadanya agak cemas dan serius. Aku merasakan ada sesuatu yang besar telah berlaku.
Aku diminta untuk membawa pelajar tersebut, seorang pelajar lelaki tingkatan 5 menggunakan kereta Proton Waja milik sekolah. Aku diminta juga untuk lengkap memakai pelitup muka dan tidak menghidupkan penyaman udara kereta sepanjang perjalanan. Aku dibekalkan juga dengan cecair sanitasi tangan untuk perlindungan diriku.
Sebaik tiba di klinik, seorang doktor bertemu denganku dan menerangkan situasi yang sebenar. Aku kemudian diminta untuk membawa pelajar tersebut kembali ke sekolah, namun perlu ditempatkan pelajar tersebut ke bilik isolasi serta merta.
Iya, doktor juga mengesahkan bahawa pasukan dan petugas kesihatan akan datang ke sekolah. Mereka akan datang untuk membuat saringan ujian Covid-19. Ujian swab akan dilakukan.
Rupa-rupanya, pelajar yang aku hantar ke klinik kesihatan pada hari Isnin tersebut telah disahkan positif. Malah, terdapat ramai pelajar yang bergejala dilaporkan pada minggu tersebut.
Sebaik tiba di sekolah kembali, beberapa pegawai kesihatan telah hadir ke sekolah. Mereka terus mengadakan taklimat kepada Tuan Pengetua, Ustaz Muhamad. Aku melihat sendiri situasi tersebut di pejabatnya. Wajah Ustaz Muhamad memang dalam keadaan yang berbeza. Terlihat wajah tertekan beliau.
Polis dan pasukan RELA mula mengerumuni pintu masuk sekolah. Hadangan mula dibuat. Pintu pagar ditutup dan tiada pergerakan keluar masuk dibenarkan selepas itu.
Tidak lama selepas itu, bunyi siren ambulans kedengaran. Sebuah ambulans memasuki kawasan sekolah dan terus memecut dan berhenti di hadapan bilik isolasi. Pasukan petugas kesihatan ini terus masuk ke bilik tersebut; bagi melihat dan memantau keadaan beberapa pelajar yang berada di dalam.
Pagi itu, Ustaz Badrul mengesahkan kepadaku bahawa seorang pelajar yang aku bawa ke klinik pada hari Isnin disahkan positif. Pihak KKM telah menelefon Pengetua di awal pagi memberi khabar duka ini kepada beliau.
Maka bermulalah episod Kluster Rengas.
Debaran ujian swab Covid-19
Situasi sudah pasti menjadi panik baik dalam kalangan pelajar mahupun guru. Semuanya terpinga-pinga saat PdPC masih berlangsung, di sebalik kekalutan yang sedang berlaku di perkarangan sekolah. Selaku guru bertugas, amanah yang diberi kepadaku secara tiba-tiba dirasakan seperti satu beban yang sedang menghempapku.
Mengapa aku yang menjadi guru bertugas di minggu yang penuh dengan kejutan ini? Tanpa disangka-sangka aku terlibat dalam kancah kekalutan ini, menjadi kontak yang rapat dengan pelajar positif Covid-19. Akulah guru yang membawa mereka semua ke klinik menggunakan keretaku sendiri, dan kereta yang sama itu jugalah yang aku gunakan untuk membawa anak dan isteriku ke Aeon Taiping pada hari yang sama!
Aku menjadi tak keruan. Di saat itu, para guru yang mengajar tingkatan 5 diarahkan untuk berkumpul di dewan sekolah. Begitu juga dengan semua pelajar tingkatan lima dan kontak rapat pelajar yang positif. Mereka juga diarahkan untuk berada di dewan. Aku juga diminta ke dewan kerana aku secara automatik dianggap sebagai kontak rapat. Kami akan menjalani ujian swab Covid-19 di sana nanti. Maka debaran mulai terasa. Pada waktu itu, wujud satu stigma bahawa ujian swab ini agak menyakitkan. Itulah yang banyak dikongsikan di media sosial.
Namun suka atau tidak, kami harus harungi juga.
Kami berkumpul pada jam 10 pagi. Masing-masing tidak tahu arah dan tertanya-tanya apa yang bakal dihadapi untuk jam-jam berikutnya. Maka masing-masing menanti dengan penuh sabar, berkumpul di dewan dan masing-masing telah memakai pelitup muka.
Beberapa jam menanti, akhirnya Ustaz Muhamad tiba di dewan. Dengan ucapan serba ringkas, beliau akhirnya telah mengesahkan secara rasmi bahawa seorang pelajar perempuan tingkatan 5 telah disahkan positif Covid-19. Maka dengan itu, semua yang berada di dewan tersebut dianggap sebagai kontak rapat dan akan menjalani ujian swab selepas ini. Ustaz Muhamad kemudian menyerahkan sesi taklimat kepada seorang doktor. Beliau kemudian menerangkan proses yang akan kami lalui selepas ini.
Pertama, kami semua akan menjalani ujian swab yang akan dikendalikan oleh dua pasukan kesihatan yang akan tiba nanti. Nama akan dipanggil mengikut senarai yang telah diberi.
Kedua, selepas ujian swab, kami akan diberikan gelang nama, dan akan menjalani tempoh kuarantin selama 2 minggu.
Ketiga, kami akan terus dihantar ke pusat kuarantin yang akan dimaklumkan kelak.
Maka atmosfera dewan ketika itu mula berubah terutama dalam kalangan guru. Secara rasminya, para guru tidak lagi dibenarkan pulang ke rumah; sebaliknya akan dihantar ke pusat kuarantin. Wajah para guru mula dilanda kejutan dan kesugulan. Cikgu Hidayah, Cikgu Izzati, Cikgu Hashimah dan ramai lagi; kesemua mereka mula beremosi.
Sejurus selepas itu, sebaik pasukan kesihatan telah bersedia, maka satu demi satu nama dipanggil untuk ujian swab. Seorang demi seorang, pelajar demi pelajar dan pada masa yang sama nama-nama guru mula dipanggil selepas itu.
Di saat itu, jantungku ternyata berdegup dengan penuh kencang. Sudah pasti risau, kerana hidungku bakal dirodok untuk pengambilan sampel. Namun, tiada jalan keluar. Aku harus hadapinya.
Seorang-demi seorang nama dipanggil dan namaku berada di penghujung senarai.
Sebaik nama dipanggil, aku terus menuju ke tempat yang diarahkan. Duduk di kerusi, dan petugas kesihatan dengan tenang memberi penerangan ringkas terhadap apa yang akan aku hadapi. Jururawat tersebut memintaku bertenang, dan tidak batuk atau bergerak secara mengejut sewaktu sampel hidung diambil. Sedikit pergerakan kepala mungkin akan mendatangkan kecederaan dan kesakitan.
Hidungku dirodok dengan alat kecil tidak ubah seperti lidi halus, dimasukkan ke dalam hidung perlahan-lahan, sebelum diputarkan beberapa kali untuk pengambilan sampel dalam hidung. Kemudian sampel tekak diambil dan proses tersebut berlangsung beberapa minit sahaja.
Seterusnya aku diminta untuk menuju ke meja seterusnya, dan kemudian dipakaikan gelang kuarantin. Tertera namaku serta nombor kad pengenalan; serta tempoh masa kuarantin. Tertera tarikh 4 November 2021 dan 17 November 2021.
Itulah tempoh kuarantin yang bakal kami jalani selama dua minggu.
Di penghujung sesi sekitar jam 1 tengah hari; perkhabaran telah disampaikan menyatakan bahawa kami akan dihantar ke pusat kuarantin di Sungkai! Iya, memang sangat jauh dari Padang Rengas.
SABK Maahad Al-Yahyawiah |
Perjalanan ke pusat kuarantin
Aku terus bergegas untuk solat Zuhur selepas itu, kerana aku dimaklumkan bahawa bas akan tiba tidak lama lagi untuk membawa kami semua menuju ke pusat kuarantin. Di saat itu, aku melalui perkarangan sekolah dan para pelajar melambai-lambai padaku. Aku hanya mampu tersenyum sambil menunjukkan gelang kuarantin yang telah dipakaikan ke tanganku. Masih jelas di ingatanku wajah sugul dan sedih para pelajar tatkala melihatku.
Beberapa jam sebelum itu, aku telah memaklumkan perkara yang telah terjadi ini kepada isteri dan mak. Saat aku menelefon mak di rumah, suara sebak kedengaran. Mak ternyata terkejut namun pada masa yang sama risau akan keadaanku serta anak dan isteriku. Isteriku pula kelihatan agak tenang walaupun hakikatnya gelora melanda membadai emosinya. Namun di sebalik kejutan berita ini, isteriku terus mengemas pakaian dan keperluan untukku untuk tempoh kuarantin wajib di pusat kuarantin. Dimasukkan semua ke dalam satu beg pakaian dan diminta adikku Izwan Rosly menghantarnya ke pintu pagar sekolah.
Sebaik selesai solat Zuhur, aku terus bergegas menuju ke perkarangan sekolah. Beg komputer riba serta pengecas telefon dibawaku. Sebaik tiba di perkarangan sekolah, kelihatan para guru dan pelajar telah berkumpul. Masing-masing dalam keresahan dan kerisauan. Masing-masing tidak pasti akan nasib yang bakal mereka hadapi untuk jam-jam seterusnya.
Tepat jam 4.30 petang, tiga buah bas telah tiba di luar pagar sekolah. Para guru yang akan dihantar ke pusat kuarantin berkumpul. Ustaz Asta membacakan doa, memohon supaya kami diberikan ketabahan menghadapi dugaan besar ini.(Ustaz Asta menjadi batch kedua dihantar pusat kuarantin di Kinta dua hari selepas kami) Hatiku sebak. Beberapa guru mula menitiskan air mata. Masing-masing rasa sayu menghadapi ujian mengejut ini. Selesai doa dibaca, kami bergerak menuju ke bas. Satu demi satu nama disemak mengikut senarai. Walaupun kaki ini berat melangkah, namun ia adalah keterpaksaan yang harus direlakan.
Pemandu bas lengkap berpakaian PPE. Kerusi-kerusi bas pula dibalut sepenuhnya dengan plastik. Situasi yang dilihat ternyata sangat menekan. Ada waktunya, aku merasakan seperti penjenayah yang besar walaupun hakikatnya kami ialah mangsa Covid-19!
Sebaik semua pelajar dan guru menaiki bas, maka kami mula bertolak tepat jam 4.47 petang. Dari kejauhan menerusi tingkap, para guru yang masih berada di perkarangan sekolah melambai-lambai kami. Hanya Allah yang tahu betapa sayunya kami semua di atas bas. Perjalanan 3 buah bas ini akan diiringi oleh beberapa buah kereta polis. Sepanjang perjalanan siren dibunyikan. Perjalanan kami menjadi pantas menuju ke destinasi. Siren yang berbunyi ternyata menarik perhatian setiap orang yang berada di tepi jalan. 3 buah bas ini diibaratkan sebagai ambulans gergasi yang membawa pesakit hampir 50 orang!
Perjalanan di lebuh raya juga sangat pantas. Setiap kenderaan dipintas. Semua kenderaan perlu memberi laluan. Bas pula bergerak dengan laju. Maka tidak hairanlah, tidak sampai 2 jam, kami tiba di Sungkai.
Akhirnya kami tiba di pusat kuarantin. Institut Latihan Statistik Malaysia atau ILSM, itulah tempat untuk kami berkuarantin.
Wajah sugul di sebalik pelitup muka |
Tempoh kuarantin
Sebaik tiba, kami menerima taklimat ringkas daripada pegawai yang bertugas. Kemudian sesi saringan kesihatan dilakukan. Seorang demi seorang melalui proses ini. Suhu badan dan bacaan nadi diambil. Bagi guru atau pelajar yang mempunyai sejarah penyakit berisiko, mereka diasingkan. Setiap maklumat direkodkan dengan teliti. Sebaik tiba giliranku, bacaan nadiku sangat tinggi mencapai angka 168. Doktor agak terkejut; malah aku juga begitu. Barangkali terlalu penat dan terkejut dengan apa yang berlaku dalam tempoh sehari ini, maka bacaan nadiku menjadi sangat tinggi. Mungkin juga lapar, kerana hidangan makanan terakhir yang aku jamah adalah pada jam 8 pagi sewaktu bersarapan.
ILSM Sungkai |
Doktor menyuruhku untuk bertenang dan berehat seketika; meneguk sedikit air bagi mengurangkan tekanan. Selepas 15 minit bacaan diambil sekali lagi, namun tetap sama. Masih tinggi. Akhirnya doktor menyuruhku berehat dahulu di bilik, dan bacaan nadi akan diambil sekali lagi pada pagi esoknya.
Aku menuju ke bilik tatkala azan Maghrib berkumandang. Setiap pelajar dan guru ditempatkan di bilik masing-masing. Sepanjang tempoh kuarantin, kami tidak dibenarkan untuk keluar atau berkunjung ke bilik-bilik yang lain. Kami harus terus berada selama 2 minggu; berkurung di dalam bilik.
Bilik kuarantin yang disediakan di ILSM ini sangat selesa. Ibarat hotel, dilengkapi dengan penyaman udara, TV LCD, pemanas air, cerek, meja belajar serta lampu belajar. Turut dilengkapi dengan almari dan meja solek; bilik yang aku diami ini juga mempunyai balkoni. Pendek kata, serba serbi selesa untuk menginap di bilik ini.
Sepanjang berapa di pusat kuarantin ini, makanan yang disediakan juga sangat memuaskan. Tak pernah tak sedap; walaupun ada waktunya agak pedas, namun setiap penghuni tidak pernah rasa lapar. Makanan akan diberi tiga kali sehari; iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Kuantiti makanan yang diberi juga sangat banyak; di kebanyakan waktu aku tidak mampu habiskan semuanya.
Setiap pagi dalam jam 10 pagi, petugas kesihatan yang terdiri daripada doktor dan pembantu perubatan akan menuju dari pintu bilik ke pintu bilik; membuat pemeriksaan kesihatan harian buat setiap penghuni pusat kuarantin. Bacaan suhu badan akan diambil, dan sekiranya terdapat masalah kesihatan haruslah dimaklumkan kepada doktor tersebut.
Rutin ini akan berterusan sehingga ke hari terakhir tempoh kuarantin.
Pengalaman kuarantin
Untuk berada di sebuah bilik yang sama dalam tempoh 2 minggu bukanlah semudah yang disangka. Ia diibaratkan terpenjara buat sementara terkurung bersendirian tanpa teman untuk berbual. Tambah menyeksakan adalah debaran menanti keputusan ujian swab yang dijalankan. Pada waktu itu, untuk mendapat keputusan ujian swab, tempoh masa menunggu adalah selama 48 jam. Maka dalam tempoh tersebut, hati pasti tidak tenteram mengenangkan keputusan yang akan keluar nanti.
Aku juga agak tertekan tatkala mengenangkan tahap risiko yang telah aku hadapi tatkala membawa pelajar-pelajar ke klinik kesihatan. Tanpa memakai pelitup muka, membawa mereka tanpa SOP yang sepatutnya; maka aku adalah antara individu yang agak tinggi terdedah dengan Covid-19.
Maka dalam tempoh 2 hari, hatiku resah dan gelisah. Namun pada 6 November 2021 (Jumaat) sekitar jam 6 petang, petugas perubatan mengesahkan bahawa keputusan ujian swab aku adalah negatif. Makluman ini disampaikan menerusi panggilan telefon.
Namun kelegaan ini hakikatnya tidak berpanjangan. Dalam tempoh berkuarantin, risiko untuk positif Covid-19 tetap ada. Ada sesetengah kes, simptom-simptom itu hanya akan kelihatan pada hari ketujuh dan ke atas dalam tempoh kuarantin. Itulah yang terjadi pada diriku. Mengalami seram sejuk badan selepas hari ke-7, dan dilanda cirit-birit pada waktu itu. Syukurlah, seram sejuk dan cirit birit itu bukanlah simptom Covid-19 kerana apabila hari ke-12, keputusan ujian darahku juga menunjukkan aku negatif dari virus ini.
Berada dalam bilik terkurung bersendirian selama 2 minggu bukanlah sesuatu yang mudah bagiku. Mental harus kuat di saat diselubungi kerisauan kebarangkalian untuk positif dengan virus ini. Mujurlah bilik yang aku diami mempunya televisyen; setidak-tidaknya ada juga peneman menghilangkan bosan, walaupun siarannya tidaklah jelas sangat. Aku juga banyak menghabiskan masa dengan membaca. Isteriku sempat menyelitkan beberapa buah buku untuk menjadi bacaanku sepanjang berada di pusat kuarantn.
Zaman teknologi serba canggih ini juga, telefon pintar menjadi penyelamat untuk menghilangkan kesunyian. Dalam tempoh kuarantin tersebut, panggilan video menjadi kewajipan untukku berhubung dengan anak dan isteri di rumah. Setiap kali menikmati hidangan makanan, maka pasti aku akan membuat panggilan video dengan isteriku.
Emosi dan mental juga diduga saat berkuarantin. Berdasarkan pengalaman perubadiku, minggu pertama kuarantin, aku masih dapat melalui tempoh kuarantin tanpa sebarang masalah. Namun apabila masuk minggu kedua; jiwaku mula merasakan sedikit tertekan. Perasaan terkurung dan ingin bebas mula menguasai diri. Bilik yang luas terasa sangat sempit. Malah, dalam mimpi sewaktu tidur, aku bermimpikan diriku bebas berjalan dan berlari di luar, menikmati kebebasan.
Lantas terlintas di fikiranku; mungkin inilah yang dirasai oleh banduan-banduan di penjara. Namun bezanya, aku hanya terkurung selama 2 minggu. Banduan terpenjara bertahun-tahun lamanya.
Penutup
Pada 17 November 2021, maka berakhirlah kisah kuarantin kami di Sungkai. Batch pertama kuarantin ini akhirnya dibenarkan pulang ke rumah masing-masing (Ada 3 batch kuarantin sebenarnya). Dalam tempoh 2 minggu itu, terdapat beberapa pelajar di pusat kuarantin yang positif dan dihantar ke hospital. Ustaz Rushdi rakan sekerjaku juga disahkan positif, dan dihantar ke hospital selepas 2 hari berkuarantin di Sungkai.
Sesungguhnya aku sangat beryukur, walaupun aku sangat berisiko untuk dijangkiti virus Covid-19, Allah masih melindungiku. Dari sisi pandanganku, kisah Covid ini barangkali tidaklah segetir pengalaman mereka yang lain. Aku hanya terperangkap selama 2 minggu berkuarantin sedangkan ada dalam kalangan rakan-rakanku kehilangan insan-insan tersayang disebabkan virus ini.
Sesungguhnya pengalaman Covid-19 mengajar aku untuk lebih banyak menghabiskan masa dan memberi perhatian kepada keluargaku. Dalam kesibukan kerja, jangan lupa anak dan isteri.
Aku juga belajar tentang satu perkara; iaitu doa. Di sebalik musibah yang dilalui, doa adalah senjata utama kita. Sewaktu berkuarantin, aku banyak meminta dari orang-orang alim doa mereka, doa dari mak dan ayah; dan doa-doa dari kenalan dan keluarga. Aku sedar, doa-doa mereka inilah yang melindungi aku dari terkena virus ini.
Kepulanganku kembali ke pangkuan keluarga adalah suatu pengalaman yang cukup manis. Menaiki bas untuk pulang; suasana dan situasi dalam bas juga tidak sama seperti sewaktu kami dihantar ke pusat kuarantin. Tiada lagi pemandu berpakaian lengkap PPE dan kerusi-kerusi di dalam bas juga tidak lagi dibalut dengan plastik. Tiada juga siren polis kedengaran; hanya diiringi dengan kenderaan JPAM. Gelak ketawa juga kedengaran dalam kalangan guru berbual-bual kegembiraan dapat pulang ke pangkuan keluarga. Suasana yang sangat ceria ketika itu.
Sepanjang perjalanan tersebut, banyak perkara yang bermain di fikiran. Namun satu perkara yang aku sedar, sesungguhnya Kluster Rengas yang tercetus di sekolahku adalah satu ingatan Allah buatku. Jangan alpa dengan nikmat kesenangan. Hakikatnya, Allah pemilik segala kebahagiaan.
Setahun telah berlalu. Kisah Kluster Rengas masih segar di ingatan. Buat mereka yang terlibat dalam kisah ini, ucapkan kesyukuran; kuntumkan senyuman. Kita telah berjaya mengharungi detik getir itu.
Ini adalah versi kisahku dalam Kluster Rengas. Hakikatnya, kluster yang tercetus ini menyebabkan ratusan individu dalam kalangan pelajar, guru dan orang awam positif virus ini.
Alhamdulillah. Semuanya kini telah menjadi memori; mengajar seribu erti kehidupan.
#setahunklusterengas
Wajah ceria dapat pulang ke pangkuan keluarga |
Ulasan