Sahabatku; selamat pengantin baru!
Hari ini Sabtu, 12 November 2022, aku memenuhi jemputan perkahwinan seorang sahabat lama zaman kanak-kanakku. Majlis perkahwinan yang berlangsung di bandar Taiping ternyata mencetuskan impuls, membangkitkan kembali memori zaman kecilku. Sahabatku ini, akhirnya telah mendirikan rumah tangga. Membina mahligai bahagianya sendiri setelah sekian lama mencari.
Entah kenapa, aku merasakan satu perasaan sayu dan gembira. Di suatu masa, aku pernah bersua dengan sahabat ini di Aeon Taiping. Ketika itu sahabat ini bekerja di sebuah kedai di sana. Menyapaku dengan mesra, masih kekal seperti dulu perwatakannya; mudah tersenyum. Agak lama aku tidak bersua dengannya, dan pertemuan seketika itu ternyata manggamit memori zaman kanak-kanak.
Sahabatku ini telah ku kenal sejak zaman sekolah rendah lagi. Sama-sama belajar di sekolah yang sama. Menaiki bas ke sekolah yang sama, sentiasa menghabiskan masa zaman kanak-kanak dengannya. Aku tidak pasti bila bermulanya persahabatan aku dengannya, namun ternyata kami telah berkawan sejak kecil.
Banyak memori zaman kanak-kanak yang tercipta. Kami meneroka zaman kecil dengan pelbagai perkara terutama ketika berada di sekolah. Sahabatku ini bukanlah sahabat yang karib yang rapat denganku sepanjang masa, namun dia sentiasa ada sebagai seorang kawan.
Aku masih ingat zaman di sekolah rendah, setiap Jumaat kami akan bergerak sama-sama menuju ke masjid; mengayuh basikal dengan rakan-rakan yang lain. Aku dan sahabatku ini, serta Firdaus; sahabat karib aku pada waktu itu. Kami menetap di taman perumahan yang sama, maka banyak masa dihabiskan kami bersama.
Memang aku jarang ke padang perumahan di petang hari bermain dengan rakan-rakanku yang lain; kerana ayahku seorang yang sangat tegas, namun aku banyak menghabiskan masa dengan sahabatku ini di rumahnya, atau mungkin di rumahku, atau mungkin juga di rumah rakan-rakan yang lain. Sama-sama menyiapkan kerja sekolah, menyelesaikan tugasan berkumpulan; berbual dan bergurau senda.
Aku masih ingat di zaman itu; sambil-sambil menyiapkan kerja sekolah di rumah sahabatku ini, itulah pertama kali aku melihat permainan komputer Red Alert 2. Pada waktu itu, abang sahabatku ini yang bermain permainan komputer tersebut. Aku melihat dari jauh; dan itulah permulaan aku berminat dengan dunia permainan komputer.
Masih aku ingat juga di suatu masa, aku menghabiskan masa di rumah Firdaus menonton DVD filem Mission Impossible bersama juga sahabatku ini. Malah, terdapat banyak lagi memori dan kenangan yang tercipta di zaman kanak-kanak kami.
Tidak dilupakan juga di zaman itu, filem Lagi-lagi Senario ditayangkan. Maka berjam-jam jugalah berlangsung perbualan di antara sahabatku dan Firdaus mengenai filem tersebut; dan aku asyik mendengar keterujaan mereka menonton filem tersebut.
Puluhan tahun telah berlalu. Kami kini di alam dewasa. Hubungan akrab persahabatan aku dengan rakan-rakan zaman kanak-kanakku juga telah menjauh. Masing-masing kesibukan dengan dunia kedewasan, memenuhi tuntutan komitmen dan keluarga.
Tatkala mendapat tahu dari Instagram bahawa sahabatku ini akhirnya mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya; akulah antara orang paling gembira dan bersyukur. Akhirnya pencarian sekian lama sahabatku ini menemui cerita yang terindah. Seorang isteri yang didambakannya, kini menjadi sebahagian dari hidupnya.
Tatkala aku dijemput ke majlis perkahwinannya, maka sudah semestinya aku akan menghadirkan diri tanpa sebarang alasan. Sahabat ini cukup istimewa, mana mungkin aku tidak hadir ke majlisnya.
Nurul Azlan, itulah nama sahabatku ini. Tatkala bersua di majlis kendurinya hari ini, hati menjadi sebak. Terkenangkan kisah zaman kanak-kanak yang telah berlalu; merasa sayu dengan kepantasan alam kedewasaan ini.
Lan. walaupun aku tidaklah lagi rapat denganmu seperti zaman kanak-kanak kita dahulu, namun persahabatan itu tetap ada. Walaupun kita barangkali kekok untuk berbual dan berbicara dek terlalu lama tidak bersua bersemuka; namun nilai sahabat itu tetap ada.
Kerana sahabat di zaman kanak-kanak punyai satu nilai yang tiada tandingannya. Datanglah beribu kawan di zaman dewasa; sahabat di zaman kanak-kanak sentiasa ada tempat istimewa dalam jiwa kita semua.
Selamat pengantin baru buat sahabatku ini. Semoga sentiasa dikurniakan bahagia di dunia dan akhirat.
Ketemu lagi di lain masa. Selamat maju jaya di alam dewasa.
Alhamdulillah.
Nota akhir: Baru teringat, tak ambil gambar dengan sahabatku ini sewaktu dalam majlis tadi. Maaf, sebab terlupa.
Ulasan