Deprezid
Hidup sememangnya diimpikan untuk indah dan sempurna. Diselimuti dengan kebahagiaan dan kegembiraan. Setiap insan pasti mahukan kesempurnaan, hidup dalam eterniti bertemankan kedamaian. Istilah bahagia itu terlalu luas, pelbagai tafsiran mungkin dinyatakan setiap daripada kita; tiada yang salah dan tiada yang betul.
Ada waktunya, di mata mereka yang lain, hidup kita dilihat bahagia dan sempurna. Punyai keluarga yang bahagia, isteri yang menawan sentiasa membahagiakan si suami; punyai anak comel yang lincah dengan keletah kanak-kanaknya. Punyai rumah yang serba-serbi lengkap, selesa dan menyelesakan. Punya kenderaan yang hebat; ke sana dan ke sini tanpa masalah. Punyai kerjaya yang sangat stabil; tidak timbul soal kehilangan kerjaya tersebut. Gaji yang cukup; sentiasa berikan kesenangan setiap bulan.
Di mata mereka, hidup kita bahagia. Di mata mereka kita sentiasa gembira.
Kadangkala, hidup kita memang diselimuti dengan segala nikmat kesenangan. Setiap perkara itu adalah nikmat yang barangkali dicemburui oleh mereka yang lain. Namun, di suatu sudut hati kecil ini, barangkali fikiran berperang dengan emosi. Nikmat yang sepatutnya nikmat, sukar untuk dikecapi.
Bukan membawa maksud bahawa keluarga yang terbina ini tidak bahagia; malah sangat membahagiakan. Bukan juga membawa maksud bahawa kehidupan ini porak peranda. Semuanya aman dan tenteram. Namun permainan fikiran yang bercelaru, mencambahkan sisi kemurungan; dipendam dan terpendam.
Bukan juga membawa maksud bahawa si isteri sentiasa mendatangkan duka buat suami. Malah si isteri sentiasa lakukan yang terbaik buat suami; malah si suami juga tidak pernah sedikit pun hilang rasa cinta bahagia terhadap isterinya. Sentiasa segar dengan rasa gelojak kehangatan cinta, tidak pernah terpadam apinya walau badai melanda.
Sukar untuk dinyatakan rasa yang bermain di fikiran. Keserabutan ini ternyata sentiasa menguji diri sendiri. Ada waktunya hati ini dirasakan menyendiri, walaupun hakikatnya sentiasa ditemani isteri dan anak yang sentiasa menceriakan suasana. Ada waktunya dicuba juga untuk lari dari fikiran keserabutan itu; namun bukan mudah untuk berlari dari bayang-bayang sendiri.
Adakah disebabkan cemburu hati-hati mereka yang lain? Memasukkan jarum-jarum halus cuba untuk menghancurkan bahagia hidup ini? Dihamburkan segala macam usaha secara halus; cuba menjatuhkan orang lain atas nama dengki dan iri hati?
Ada waktunya, tidak tahu ke mana harus dituju dengan rasa yang membelenggu dalam hati ini. Tidak tahu di mana harus dimulakan dan di mana perlu dicari penyelesaiaannya.
Barangkali usia semakin meningkat, ada perkara yang dahulunya mengujakan, semakin lama semakin hilang nikmat manis kehidupan. Dugaan hidup hari demi hari; cabaran yang sentiasa menguji hidup ini, tanpa sedar akan mengubah kematangan seseorang.
Setiap daripada kita pasti mengharungi liku kehidupan. Setiap corak hidup yang dilalui, adalah satu proses untuk menjadikan diri kita ke arah yang lain; baik semakin baik atau barangkali juga semakin buruk.
Di kala usia ini, ia bukan lagi soal pertandingan kehidupan; untuk sentiasa menunjuk-nunjuk kehebatan dalam hidup. Sentiasa untuk menjaja kemewahan hidup, dijaja serba-serbi bahagia suami isteri atau barangkali juga dicanang seantero dunia kecomelan anak dan ragamnya. Obsesi untuk sentiasa menunjuk ini hakikatnya mendatangkan jelak di suatu masa. Barangkali mencipta kepalsuan dalam mempamerkan nilai sebenar dalam kehidupan.
Buat apalah nak berbangga dengan harta dan rumah kerana semua itu pinjaman Ilahi? Buat apalah nak dengki andai orang itu punya kereta baru serba-serbi hebat? Buat apalah nak iri hati andai orang itu hidup senang lenang?
Semua itu pinjaman yang dikurniakan Ilahi, bila-bila masa boleh ditarik nikmat tersebut.
Hidup ini harus ditumpukan pada diri sendiri sahaja; jangan dibandingkan dengan orang lain. Apalah guna dibuat perbandingan kerana hakikatnya rentak dan rima perjalanan hidup setiap daripada kita ini ternyata berbeza?
Barangkali ada yang terlalu laju ke hadapan, namun itu tidak semestinya membawa maksud bahawa hidupnya bahagia dan berjaya. Rentak perlahan tidak semestinya ketinggalan. Rentak perlahan membawa maksud ruang dan peluang untuk dinikmati perjalanan itu dengan lebih nikmat.
Pantas tak semestinya indah bukan?
Perjalananku terencana sebegini dan aku tidak pernah sama sekali sesal dengan apa yang telah berlalu. Tak semua yang kita impikan itu menjanjikan bahagia. Ada waktunya Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat kita. Ada waktunya, perkara yang tak pernah terlintas dalam fikiran kita itulah yang terbaik buat kita.
Manusia sering menilai diri kita tanpa melihat sejarah perjalanan hidup seseorang. Bagiku, perjalanan liku yang dilalui ternyata sangat perit, tak terlintas di fikiran mereka yang baru sahaja mengenaliku. Ada sebab kenapa aku lebih banyak berdiam diri tatkala berada di majlis keramaian orang. Ada sebab kenapa aku memilih untuk kurang bercakap banyak perkara terutama dengan orang luar. Lebih baik berdiam diri, kerana itulah senjata untuk menyembunyikan sisi yang tidak perlu diketahui orang lain.
Iya, walau dilanda keserabutan hidup, iti tidak bermakna kita gagal. Kekusutan itu adalah sebahagiaan daripada hidup yang perlu ditempuhi. Walaupun dirasakan sukar untuk dilalui, percayalah Allah pasti menguji kita pada tahap yang mampu kita harungi. Teruskanlah perjalanan hidup ini dengan penuh ketabahan. Syukurilah dengan setiap nikmat yang Allah kurniakan buat kita. Barangkali hati kecil kita tak merasai nikmat tersebut sepenuhnya; namun percayalah nikmat itu sangat besar di mata mereka yang lain.
Angin yang membadai bukan akan berterusan. Pasti akan ada indah pelangi, untuk dinikmati sepanjang hayat. Perjalanan hidup adalah suatu ketidakpastian. Namun Allah sentiasa ada dekat dengan kita.
Alhamdulillah. Di sebalik keserabutan yang melanda; aku sentiasa ada si isteri yang setia berada di sisi baik susah dan senang. Dikurniakan seorang anak, yang sentiasa menceriakan suasana. Masih punyai mak dan ayah yang sentiasa menjadi penyejuk duka dan lara. Keluargaku inilah kekuatanku untuk terus mengharungi kehidupan mendatang.
Moga di suatu masa Allah akan mengurniakan kedamaian dan ketenangan hati. Moga bahagia ini terus kekal, menenangkan sanubari.
Insya-Allah.
Ulasan