Muhasabah Jumaat: Apakah komen Yazid Rosly mengenai Bersih 2.0?
Soalan ini diajukan kepada saya semalam menerusi e-mel, pinta saya mengeluarkan pandangan mengenai perhimpunan Bersih yang berlangsung pada 9 Julai lalu. Hakikatnya, ingin saya nyatakan bahawa saya bukan penyokong mana-mana pihak, dan sehingga kini masih bersikap berkecuali dan neutral, mengambil pendirian tidak menyokong mana-mana parti. Walaupun hakikatnya keluarga saya merupakan penyokong sederhana sebuah parti (tidak perlu dinyatakan parti tersebut), saya bukanlah mengikut rentak mereka, dan tidak juga bersikap menentang sokongan mereka. Maka, pandangan saya ini didasarkan pada pandangan seorang yang berada di tengah, memerhati tanpa menyokong pada mana-mana pihak.
Ingin saya nyatakan, perhimpunan Bersih 2.0 memberi impak besar dalam sejarah perjalanan tanah air. Pelbagai persepsi dilemparkan, dan pelbagai drama berlaku hari demi hari sebelum tarikh 9 Julai.
Hakikatnya, jika dilihat pada satu sudut, Bersih 2.0 perlu dibenar diadakan atas dasar Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi. Hakikatnya, apabila demokrasi itu dinyatakan, maka kebebasan untuk bersuara juga perlulah seiring. Maka, dengan mengadakan perhimpunan aman, maka ruang untuk bersuara dapat diberikan kepada rakyat. Malah, jika dilihat di negara-negara lain, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, perhimpunan awam adalah sesuatu kebiasaan bagi mereka untuk meluahkan suara mereka. Apabila suara rakyat didengar, maka kerajaan akan lebih berhati-hati dalam mengatur langkah mereka, seterusnya akan mengikut kehendak yang diinginkan rakyat. Mungkin inilah menyebabkan negara-negara berkenaan dapat maju ke hadapan.
Apa yang saya lihat sebaik Bersih 2.0 dilancarkan, media-media arus perdana saban hari mula dilihat seolah-olah melancarkan 'kempen' dan 'peringatan' kepada rakyat agar tidak menyertai perhimpunan yang dilabelkan sebagai perhimpunan haram.
Iklan-iklan yang menyeru rakyat supaya tidak menyertai perhimpunan ini mula ditayangkan di televisyen, baik RTM mahupun di stesen-stesen swasta. Beberapa pelakon tempatan diambil untuk berlakon dalam iklan yang menyeru rakyat supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih. Pelbagai hujah dinyatakan, sehingga menampakkan seolah-olah perhimpunan tersebut sangat tidak wajar.
Ini tidak wajar dan tidak adil.
Bagi saya, tidak ada masalah bagi perhimpunan diadakan baik di jalanan mahupun di stadium. Selagi mana perhimpunan itu merupakan perhimpunan secara aman, maka tidak ada sebarang sebab untuk berlakunya keganasan. Namun, di satu sudut yang lain, jenayah mungkin juga akan mudah berlaku dengan kehadiran begitu ramai orang dalam perhimpunan, tidak mustahil pelbagai perkara tidak diingini boleh terjadi.
Pihak penganjur Bersih wajar diberikan peluang, manakala kerajaan wajar memberikan ruang buat mereka.
Namun, perlu juga diakui, perhimpunan yang diadakan memberikan kesan negatif terhadap persepsi masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan politik negara. Maka, mungkin disebabkan itu jugalah, kerajaan tidak bersetuju dengan perhimpunan ini, dan tugas ini diserahkan kepada PDRM untuk melakukan langkah dan tindakan bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini berlaku pada 9 Julai.
Memang harus diakui, tugas PDRM adalah sangat rumit dan berat. Di sebalik tugas mahu memastikan keamanan di Kuala Lumpur terjamin, mereka juga tersepit dengan persepsi masyarakat yang menyatakan bahawa PDRM merupakan pak turut kerajaan BN.
Bagi pihak Bersih, mereka menyatakan bahawa perhimpunan yang berlangsung sebenarnya akan aman jika tidak diancam dengan provokasi polis yang menggunakan meriam air dan gas pemedih mata, menembak ke arah peserta perhimpunan. Malah, pihak Bersih juga menyatakan bahawa jika permit diberikan, tiada sebarang kekecohan akan berlaku pada 9 Julai.
Bagi pihak kerajaan, mereka merasakan perhimpunan ini adalah satu cubaan mencalarkan imej Malaysia di mata dunia. Kerajaan merasakan bahawa perhimpunan ini sekadar polemik yang diambil kesempatan oleh pihak pembangkang. Malah, kerajaan merasakan bahawa peristiwa 9 Julai ini akan memberikan kesan negatif terhadap ekonomi negara.
Melihat pada kisah 9 Julai, PDRM dilihat seperti bertindak terlalu ganas dan tidak berperikemanusian. Malah dikhabarkan polis bertindak ganas dengan menendang peserta perhimpunan, dan turut juga dikhabarkan menembak gas pemedih mata ke arah sebuah hospital di Kuala Lumpur (dibuktikan dengan beberapa video yang dirakamkan orang ramai).
Maka, kesannya, imej PDRM dilihat akan tercalar, dan kepercayaan orang ramai juga akan merudum. Disebabkan itu, bagi saya tugas polis amatlah sukar dan rumit dek dilema yang dihadapi iaitu dilema menjaga keamanan negara, dan dilema menjaga dan menjadi polis yang mesra rakyat.
Bagi pihak Bersih, polis bertindak keterlaluan dan bagi pihak polis pula, Bersih merupakan ancaman keselamatan negara. Bersih merasakan mereka dikekang dan dihalang untuk mengadakan perhimpunan, manakala polis merasakan perhimpunan yang akan berlangsung mampu mencetuskan situasi tidak menentu dalam negara.
Hakikat ini wajar diakui, bahawa ketakutan akan perhimpunan awam ini mula menjelma sejak peristiwa 16 Mei 1969, apabila rusuhan kaum telah berlaku. Walaupun beberapa pihak bersetuju bahawa rusuhan tersebut lebih kepada pertelingkahan politik, dan bukan pertelingkahan kaum seperti yang disebut dalam lipatan sejarah, hakikatnya rusuhan itu berlaku bermula daripada perhimpunan awam. Maka, disebabkan pengalaman yang dirasakan itulah, PDRM merasakan adalah amat tidak wajar perhimpunan awam di jalanan diadakan. Mungkin itulah sebab mengapa permit tidak diberikan kepada penganjur Bersih oleh pihak polis.
Tuntutan yang dinyatakan oleh Bersih 2.0 ternyata menarik perhatian rakyat. Lapan tuntutan terhadap perubahan sistem pilihanraya selain menuntut juga kesaksamaan dalam media perdana dilihat oleh kebanyakan pemerhati politik antarabangsa sebagai satu tarikan besar. Bersih 2.0 dilihat sebagai wadah perjuangan menuntut keadilan dan kesaksamaan yang selama ini dikatakan tidak wujud di Malaysia.
Menurut Dr Bridget Welsh, profesor dari Singapore Management University dalam temubual di Channel News Asia, faktor utama yang menyebabkan jumlah peserta perhimpunan begitu ramai hingga mencecah ribuan orang itu adalah disebabkan tuntutan Bersih itu sendiri yang dilihat sebagai satu tuntutan yang memperjuangkan hak rakyat.
Harus diakui, media massa seperti RTM dan Media Prima ternyata menyiarkan berita berat sebelah. Media arus perdana senantiasa akan berat sebelah kepada kerajaan dan pihak pembangkang pula dinafikan suaranya, malah tidak diberikan sebarang ruang untuk bersuara. Segala laporan akan memuji setiap langkah kerajaan dan pada masa yang sama, akan menyiarkan segala kelemahan dari pembangkang.
Hakikatnya, Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional mempunyai kelemahan dan kelebihan masing-masing. Bezanya, Barisan Nasional mempunyai ruang yang luas untuk menunjukkan kelebihan mereka dan menutup segala kelemahan mereka, manakala di pihak Pakatan Rakyat pula, mereka tidak mempunyai ruang untuk menunjukkan kelebihan mereka, tetapi segala kelemahan mereka didedahkan sebesar-besanrnya dalam media arus perdana.
Harus diakui, Bersih 2.0 akan memberikan kesan terhadap persepsi masyarakat antarabangsa. Mereka akan melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak stabil, tetapi pada masa yang sama akan turut melihat peristiwa 9 Julai ini sebagai proses kematangan politik dalam kalangan rakyat Malaysia. 9 Julai akan membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga berani dalam menyuarakan pendapatnya.
Apa yang dapat dilihat kini, tumpuan media perdana terhadap Bersih itu sama sekali telah jauh tersasar dari tujuan utamanya. Lapan tuntutan dari Bersih tidak ditumpukan oleh media perdana, tetapi kedegilan peserta perhimpunan itulah yang menjadi tumpuan laporan setiap akhbar dan televisyen tempatan. Mungkin nampak ketidakadilan dalam penyiaran laporan berita di stesen televisyen tempatan, namun dunia hari ini bukan sekadar televisyen dan akhbar. Rujukan utama generasi hari ini lebih banyak tertumpu pada internet. Ironinya, stesen televisyen luar negara seperti Channel News Asia, dan Al-Jazeera dipuji kerana menyiarkan laporan yang adil dan tidak berat sebelah mengenai Bersih 2.0 kontras dengan apa yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan.
Mungkin Bersih 2.0 menyerupai Bersih 1.0 dan Reformasi 1998, kerana kesemua perhimpunan ini menunjukkan betapa ramainya generasi muda yang mahukan perubahan. Kesan yang berlaku kemudian ialah anjakan terhadap corak sokongan rakyat terhadap kerajaan dan pembangkang. Mungkin itu yang mewujudkan sokongan melonjak rakyat terhadap Pakatan Rakyat dek isu seperti video seks Chua Soi Lek, Hindraf, Bersih 1.0, kes rasuah Tan Sri Mohd Isa (bekas Menteri Besar Negeri Sembilan) yang kesemua tidak selesai dan tergantung. Isu-isu ini dilihat telah mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Kisah yang sama seolah-olah berulang lagi. Isu kes liwat Datuk Seri Anwar yang dilihat sebagai satu pengulangan kes untuk menganiaya pemimpin pembangkang itu dikatakan tidak langsung mengukuhkan sokongan terhadap kerajaan, tetapi mengundang kemenyampahan peyokong-penyokong setia pembangkang. Isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar juga dilihat dilayan dengan tidak adil oleh media perdana, apabila kesemua media terus menghukum Anwar walaupun dinafikan pembabitannya oleh ketua pembangkang tersebut. Hakikatnya, layanan ini sangat berbeza dengan kes Datuk Chua Soi Lek yang terang-terang mengaku terlibat dalam video seksnya, namun dijunjung sebagai hero yang dikatakan teraniaya.
Namun, Barisan Nasional punyai kelebihan. Pengenalan slogan Satu Malaysia nyata memberikan lonjakan sokongan terhadap kerajaan. Slogan ini telah berjaya mendapatkan kembali sokongan yang telah hilang sewaktu pilihanraya 2008. Tarikannya, adalah kesatuan yang padu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.
Pengenalan dasar-dasar baru oleh Najib seperti NKRA, dan dasar-dasar yang mesra rakyat kelihatan menyakinkan kembali sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional. Harus diakui, pembaharuan demi pembaharuan yang dilakukan telah memperbaiki kembali imej BN yang tercalar sebelum ini.
Bersih 2.0 akan menjadi tanda tanya terhadap kemungkinan kesannya terhadap pilihanraya akan datang. Jika dilihat pada senario terkini ini, tidak mustahil tsunami politik yang lebih besar akan melanda. Persoalan tercetus, apakah terdapat pendaman rakyat yang kini dilihat mula menyokong BN namun mungkin akan beralih arah menyokong PR pada pilihanraya akan datang? Apakah letupan akan berlaku?
Kisah peralihan kuasa kerajaan negeri Perak yang dilihat sebagai satu rampasan kuasa oleh PR, manakala BN menganggap PR pula sebagai degil apabila tidak patuh pada titah sultan. Masing-masing mengeluarkan hujah yang menyakinkan sehingga kelihatan kedua-dua belah pihak berada di pihak yang benar. Isu yang berlaku di Perak ini agak menarik, kerana hakikatnya semua tidak tahu suara rakyat Perak yang sebenarnya kerana sewaktu krisis tersebut berlaku, rakyat Perak tidak berpeluang untuk bersuara. Apakah mereka menerima peralihan tersebut, atau tidak bersetuju dengan apa yang berlaku?
Maka kesudahannya, Bersih 2.0 akan menambahkan lagi persoalan terhadap corak keputusan pilihanraya akan datang. Persoalan siapa yang akan menang, dan siapa yang akan berkuasa pasti menjadi persoalan terbesar dalam kalangan pemimpin BN dan PR.
Semuanya kemudian akan kembali kepada rakyat, kerana merekalah yang akan menentukan perjalanan politik pada masa akan datang.
Saya sekadar pemerhati, membuat penilaian atas dasar neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti. Segala pandangan saya adalah pandangan peribadi, dan mungkin pandangan saya ini boleh disangkal dan tidak diterima. Sekadar menjawab pertanyaan dari e-mel yang dikirimkan, maka inilah jawapan panjang yang saya berikan.
Wallahualam
*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dari sudut politik dan agama.
Ulasan