Yazid Rosly jawab soalan: Edisi Satu
Setelah melihat pelbagai soalan diajukan menerusi Facebook dan e-mel, bertanyakan pelbagai perkara berkaitan saya dan blog ini, akhirnya tercetus idea untuk saya mewujudkan ruang pertanyaan di blog ini. Memang terlalu banyak soalan ditanya, dan insyaallah, menerusi ruangan ini, saya akan cuba menjawab soalan itu satu persatu.
Edisi Satu.
Soalan: Blog anda ternyata sangat berbeza daripada blog-blog yang lain. Tulisan yang diposkan sangat matang dari segi pengisiannya dan ada tarikan. Apakah rahsianya? Ada formula ke bila nak menulis?
Jawapan:
Pertama sekali, terima kasih sebab sudi menjenguk blog saya yang tak seberapa ini. Saya tak pasti jika blog saya ini berbeza dari blog yang lain. Mana mungkin boleh saya nilaikan tulisan sendiri. Jawapan tersebut terletak pada pembaca itu sendiri.
Sebenarnya, saya telah tetapkan beberapa peraturan sendiri setiap kali menerbitkan entri di blog. Pertama, setiap tulisan yang diposkan ke dalam blog saya itu mestilah asli dan datang dari tulisan dan nukilan saya sendiri. Saya tidak akan sama sekali mengamalkan rutin copy dari artikel atau blog yang lain. Bagi saya, meng'copy' dari blog dan artikel orang lain adalah jenayah etika yang boleh merosakkan nilai penulisan itu. (Tapi tak salah kalau copy, namun perlulah dikreditkan penulisan asal artikel itu).
Kedua, isu yang saya bawa haruslah memberi manfaat kepada pembaca. Saya perlu memastikan isu yang dibawa memberikan maklumat yang berguna atau mungkin juga dapat memberikan pengajaran kepada pembaca. Saya akui, ramai blogger menghasilkan entri bersifat santai dan ringkas dengan pelbagai info ringan dan lebih berbentuk bahan bacaan ringan. Namun bagi blog saya, konsep yang banyak digunakan oleh para blogger itu saya pinggirkan. Saya tidak gemar untuk menerbitkan entri yang hanya berbentuk pengisian kosong, memberikan info-info pelik yang akhirnya tidak langsung membina mentaliti masyarakat. Namun begitu, ini tidak bermakna saya tidak menghormati blogger-blogger lain kerana bagi saya, masing-masing mempunyai cara dan konsep masing-masing dalam mempersembahkan blog mereka.
Ketiga, penggunaan bahasa dalam setiap tulisan saya haruslah mengikut penggunaan bahasa yang betul. Dalam setiap tulisan, saya akan memastikan kosa kata dan struktur ayat itu adalah betul dan tepat. Sebarang penggunaan ayat ringkas dan perkataan yang diringkaskan akan saya elak. (Contoh: yang- yg, tapi- tp, untuk- utk). Saya juga akan memastikan tidak menggunakan sebarang bahasa sms. (Contoh: tak- x, korang- korunk, sekarang- skunk, boring- bowink, cerita- citer, ada apa hal- pe hal, dia- dier). Penggunaan bahasa sms ini hakikatnya adalah barah dalam masyakarat kerana kelihatannya ramai yang gemar menggunakan bahasa ini di Facebook dan blog. Bahasa sms sebenarnya akan merosakkan bahasa ibunda dan pada masa yang sama akan merosakkan kekuatan daya fikir seseorang pembaca itu (dibuktikan berdasarkan kajian).
Bagi saya, siapa lagi yang harus mengangkat taraf Bahasa Melayu itu sendiri melainkan pengguna Bahasa Melayu itu sendiri. Maka, disebabkan mahu menjunjung keindahan dan keunikan Bahasa Melayu, saya akan memastikan penggunaan bahasa di dalam blog menggunakan bahasa yang betul dan standard.
Sebenarnya, tulisan saya banyak dipengaruhi dari bentuk-bentuk tulisan yang saya baca menerusi majalah Dewan Masyarakat. Tulisan-tulisan kolumnis seperti A. Kadir Jasin (bekas Ketua Pengarang New Straits Times) banyak memberi inspirasi setiap kali saya ingin menulis sesuatu. Saya juga gemar membaca ruangan kolumnis di New Straits Times seperti tulisan Zainul Ariffin dan Ahmad A. Taib.
Datuk A Kadir Jasin |
Tulisan Tun Dr. Mahathir juga turut menjadi kegemaran saya. Begitu juga dengan tulisan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Hadi Awang, saya senantiasa mengikuti tulisan mereka. Tidak dilupakan juga, tulisan sasterawan negara Datuk A. Samad Said yang seringkali menjadi contoh bagi saya sebelum memulakan sesuatu penulisan.
Harus diakui, Dewan Masyarkat dan New Straits Times merupakan pengaruh terbesar bagi saya dalam setiap tulisan yang diposkan.
Dewan Masyarakat menjadi bahan bacaan kegemaran saya. |
Soalan: Yazid merupakan pelajar TESL. Tapi kenapa blog Yazid menggunakan Bahasa Melayu? Kenapa tidak ada sebarang tulisan dalam Bahasa Inggeris?
Jawapan:
Saya akui, sebagai bakal pendidik Bahasa Inggeris, seharusnya saya perlu memaparkan entri berbahasa Inggeris. Namun begitu, saya sebenarnya lebih gemar untuk menulis dalam Bahasa Melayu kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda saya. Namun, ini tidak bermakna saya meminggirkan Bahasa Inggeris, kerana bahasa itu juga menjadi bahasa yang penting buat saya.
Hakikatnya, saya masih belajar untuk menulis sebuah tulisan yang menarik menggunakan Bahasa Inggeris. Saya akui, saya masih lagi lemah untuk menulis entri berbahasa Inggeris. Makanya, saya masih belum bersedia untuk menulis entri ke dalam bahasa tersebut. Insyaallah, jika saya merasakan saya telah mempunyai kemampuan yang cukup, saya akan menerbitkan pula tulisan yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Namun, untuk ketika ini, saya masih dalam proses memantapkan dahulu penulisan Bahasa Inggeris saya.
Soalan: Nak tanya, muzik jenis apa yang menjadi kegemaran Yazid dan rancangan televisyen apa yang menjadi kegemaran Yazid?
Jawapan:
Jika ditanya genre muzik yang menjadi kegemaran saya, hakikatnya saya kini meminati muzik dari kumpulan-kumpulan indie. Saya merupakan peminat setia kumpulan Hujan. Sejak awal penubuhannya hingga kini, saya terus mengikuti dan meminati lagu-lagu dari kumpulan Hujan.
Lagu yang menjadi kegemaran saya ketika ini ialah lagu Muda (Hujan) dan lagu Selamat Pagi Sayang (Noh Hujan dan Altimet). Tidak lupa juga lagu Karma (Faizal Tahir). Harus diakui, saya bukan penggemar lagu-lagu dari Indonesia. Sebarang lagu dari negara seberang itu tidak kira apa genre sekalipun, saya tidak akan tertarik.
kumpulan Hujan |
Bagi lagu Bahasa Inggeris, saya merupakan peminat Bruno Mars. Lagunya seperti Just The Way You Are menjadi antara lagu kegemaran saya sehingga kini. Saya juga meminati lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Kelly Clarkson, dan tidak dilupakan juga, penyanyi muda Selena Gomez.
Selena Gomez |
Bagi rancangan televisyen pula, saya menggemari siri-siri drama dari Amerika. Siri seperti Private Practice, Eli Stone, Chuck, Dexter, Kyle XY, dan No Ordinary Family merupakan siri kegemaran saya. Saya juga turut meminati siri sitkom iCarly di Nickeledeon dan menjadi penonton setia sejak mula diterbitkan pada tahun 2007. Jalan cerita yang bersahaja ditambah pula dengan gelagat pelakonnya iaitu Miranda Crosgrove, Jennette McCurdy, serta Nathan Kress telah memikat hati saya.
iCarly di Nickelodeon |
Saya juga sangat meminati siri animasi terutama siri animasi di Nickelodeon. Siri Spongebob Squarepants, siri Fairly Oddparents, dan siri Danny Phantom menjadi kegemaran saya. Saya juga sehingga kini masih setia menonton siri Crayon Shincan di NTV7. Tidak dilupakan juga siri Upin dan Ipin dan Boboiboy turut menjadi kegemaran saya. Walaupun usia telah meningkat, siri animasi ini terus menjadi kegemaran saya.
Bagi siri anime, siri Gintama merupakan kegemaran saya. Inilah satu-satunya siri anime Jepun yang menjadi kegemaran saya.
Bagi drama Melayu, saya merupakan peminat setia Nur Kasih. Saya juga menjadi pengikut setia drama Juvana, drama Gemilang, dan drama Makbul. Namun, pada waktu ini, tidak ada sebarang drama Melayu yang memikat hati saya.
Saya sebenarnya tidak menggemari sebarang rancangan berbentuk hiburan pentas. Maka, setiap kali ada rancangan seperti Raja Lawak, Akademi Fantasi, mahupun Mentor, saya memang tidak akan menontonnya.
*Setakat itu sahaja soalan-soalan yang dapat dijawab. Jika terdapat soalan yang ingin ditanya, bolehlah e-mel kepada saya: yazidrosly_my@yahoo.com atau menerusi Facebook: Muhammad Yazid Rosly.
Ulasan
Poyo gila. Macamlah bagus sangat tulisan ko tu!!!
Menyampah aku tengok.
Syok sendiri. Macamlah ko tu famous sangat!!!
sial yazid rosly ni!!!