"Adina (Bicara Dua Belas)"
Melabuhkan fikiran dalam jiwa yang tenang, sehingga
segala kecelaruan yang ditemani masalah akan dapat dilunturkan. Hakikatnya,
manusia itu perlu meluaskan pemandangan, kerana saat itu jugalah kekaguman
terhadap keindahan ciptaan Ilahi akan mengurangkan kekusutan yang melanda.
Bukan mudah bila wanita ditimpa musibah.
“Ina tak pernah naik kereta api,” bicara Abyatina saat
menjejakkan kaki di stesen kereta api.
“Jadi, kita mulakan dengan kali pertama,” balas Rizqullah
tersenyum.
Kisah perjalanan menuju ke stesen kereta api adalah satu
pengalaman baru buat si Abyatina. Seumur hidup, ini adalah kisah pertamanya
menuju ke destinasi dengan pengangkutan seperti itu.
“Mengapa?” soalan terpacul di mulut Raiqah saat Abyatina
memberitahu kakaknya itu akan hasrat untuk menaiki kereta api bersama
Rizqullah.
“Ada pilihan lagikah?” balas Abyatina.
Hakikatnya, perjalanan menuju ke Pulau Pinang tidak
punyai pilihan yang banyak. Perancangan asal dengan berkereta tergendala
dek masalah enjin, dan akhirnya kereta
Rizqullah itu tersadai di bengkel. Jika mahu menumpang kereta ahli keluarga
yang lain, hakikatnya tidak ada lagi ruang yang boleh diisi untuk Abyatina dan
Rizqullah.
“Maka, penyudahnya kereta api jadi pilihan,” bicara
Abyatina kepada kakaknya.
“Pelawaan Yaqzan, bagaimana pula?” soal Raiqah.
“Suami Ina ialah Rizqullah. Kenapa pula harus terima
pelawaan Yaqzan?” balas Abyatina.
Tawaran Yaqzan yang mahu menumpangkan Rizqullah dan
Abyatina dikemukakan sehari sebelumnya. Pada awalnya, Rizqullah bersetuju
berkereta bersama Yaqzan, namun Abyatina yang berat hati akhirnya menolak
pelawaan Yaqzan itu.
“Kerana aku tak mahu sang alien merajai penakluk jiwa
hatiku Rizqullah,” bisik Abyatina saat duduk di kerusi menanti ketibaan kereta
api menuju ke Butterworth.
Saat jiwa teruja merasai pengalaman baru, hati Abyatina
berada dalam keresahan. Memikirkan segala macam persoalan dan masalah, maka
sesungguhnya ketabahan hati adalah kunci ketenangan jiwanya. Banyak perkara
bermain di fikiran Abyatina hingga kadangkala dia tenggelam dalam lamunan yang
berpanjangan.
“Ayahmu kena pindah ke Hospital Pulau Pinang,” terang ibu
Abyatina beberapa hari sebelumnya.
Kisah kemalangan mengejut selepas Isyak ternyata masih
segar di ingatan. Saat Ustaz Man ditimpa musibah, seluruh tubuh Abyatina
menjadi sangat lemah. Malam itu, Abyatina tidak dapat melelapkan mata. Hatinya
terlalu resah dalam kesedihan. Tambah meresahkan apabila Rizqullah tidak berada
di sisinya.
Malam itu, Ustaz Man dibawa ke Hospital Taiping.
Kemalangan mengejut yang menimpa memberikan satu kesuraman buat Abyatina
sekeluarga. Kisah Ustaz Man dilanggar treler menjadi bualan utama di seluruh
kampung. Bicara demi bicara bergerak dengan pantas sehingga pada pagi
keesokannya, ramai penduduk kampung berhimpun di perkarangan rumah Ustaz Man
bagi mengetahui perkembangan terkini keadaan suami Mak Cik Ros itu.
“Tenangkan hatimu Abyatina,” bicara Rizqullah
menghentikan lamunan isterinya.
“Moga ayah selamat,” balas Abyatina.
“Insyaallah”
Wisel kedengaran tanda ketibaan gerabak kereta api. Saat
itu hati Abyatina terdetik merasai ketenangan bercampur kegembiraan. Pengalaman
pertama, dan di sisinya ialah Rizqullah. Dalam kemanisan keindahan, hatinya
juga terdetik terkenangkan ayahnya yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang.
“Mulakan hatimu dengan niat untuk menziarahi ayahmu,”
bisik Rizqullah ke telinga Abyatina saat mereka menaiki gerabak.
Abyatina dan Rizqullah memulakan perjalanan. Ziarah Ustaz
Man, maka itulah tujuan utama. Ustaz Man dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang
bagi mendapatkan rawatan lanjut. Maka seluruh keluarga kini masing-masing
menuju ke destinasi yang sama. Mungkin cara menuju ke destinasi itu sahaja yang
berbeza.
“Ustaz Man mungkin lumpuh”
Kata-kata itu dinyatakan oleh doktor yang merawat Ustaz
Man. Bicara pada malam kejadian itu masih berterusan segar di ingatannya.
Berita kurang enak ditelan dalam situasi yang kelam kabut.
“Sabarkan jiwa. Tabahkan hati,” Rizqullah bersuara saat
melihat Abyatina yang duduk di tepi tingkap kereta api berada dalam keadaan
resah dan suram. Kelihatan dengan jelas Abyatina menahan titisan air matanya.
“Ina tak tau nak hadapi semua ni....”
Rizqullah terus merangkul bahu Abyatina. Ditenangkan
isterinya sambil tangannya menggenggam erat tangan Abyatina. Diusapnya pipi
Abyatina menghilangkan air mata yang menitis. Abyatina hilang keceriaan.
Kesuraman melanda, dan hanya pada Rizqullah sahaja tempatnya meluahkan rasa
sedih itu.
Rizqullah terus memeluk Abyatina menenangkan isterinya
itu. Perjalanan panjang penuh cabaran. Soal hati dan jiwa bermain di fikiran.
Akhirnya Abyatina terlelap, menghilangkan seketika duka yang melanda.
Kecelaruan kini sedang melanda. Pelbagai dugaan muncul
satu demi satu. Saat Abyatina baru mengenal kemanisan berkeluarga, maka saat
itu juga pelbagai dugaan mula muncul. Hakikat itu difahami Rizqullah, dan
disebabkan itu, dia sedaya upaya untuk mententeramkan jiwa Abyatina.
“Disebabkan itu saya pilih kereta api. Moga Abyatina
tenang saat melihat pemandangan yang akan dilihatnya sepanjang perjalanan
panjang itu nanti,” terang Rizqullah kepada kakak iparnya Raiqah sehari sebelum
perjalanan bermula.
“Benar, kamu memang dijodohkan untuk memahami Abyatina,”
balas Raiqah.
Perjalanan panjang akhirnya bertemu kisah penyudahnya.
Bila kaki melangkah keluar, maka sampailah Abyatina dan Rizqullah di Butterworth.
Tanpa membiarkan masa dicuri, maka perjalanan seterusnya adalah menuju ke jeti
feri untuk menuju ke Georgetown yang terletak di bahagian pulau. Kenangan
terindah, maka Abyatina melangkah ke dunia pengalaman baru. Feri satu kisah
baru buatnya.
“Jangan menitis air mata saat Ina berjumpa ayah,” bisik
Rizqullah.
Kunjungan penuh debaran melangkah masuk ke kawasan
hospital, satu pengalaman baru penuh kesuraman. Pelbagai fikiran muncul tatkala
mencari-cari tempat yang dituju. Wad yang menempatkan Ustaz Man masih lagi
dalam pencarian buat Abyatina dan Rizqullah.
Namun segalanya bertukar kelegaan apabila senyuman
menguntum diberikan Raiqah saat kaki Abyatina dan Rizqullah memasuki bilik yang
menempatkan Ustaz Man. Kuntuman senyuman itu akhirnya menjelmakan keceriaan di
wajah Abyatina. Seluruh isi keluarga Ustaz Man berada di bilik itu.
“Jangan sedihkan dirimu Abyatina”
Bicara Ustaz Man kedengaran saat Abyatina memasuki bilik
itu. Walaupun lemah terlantar di katil, ayah Abyatina itu masih mampu bersuara
walaupun terketar namun masih gagah dengan senyuman.
“Ayah dah sihat?” soal Abyatina.
Merentasi perjalanan sebuah pertemuan, akhirnya diakhiri
dengan sebuah kelegaan. Saat memahami
perihal sebenar, barulah diketahui Ustaz Man tiada harapan untuk kembali
berdiri. Lumpuh di kaki, walaupun mungkin ada sedikit harapan untuk pulih
kembali, namun peluang yang mungkin dimiliki agak tipis.
Saat itu, Abyatina terkedu. Sebak dirasai, tanpa diduga,
maka titisan mata mengiringi. Sayu dirasakan, kerana senyuman yang tergambar di
wajah ayahnya hanyalah sekadar penutup derita yang sedang dialaminya. Ustaz Man
cekal, Abyatina kesedihan.
“Jika kamu kuatkan hati, maka kita kuatkan semangat ayah,
moga kembali melihatnya untuk berjalan,” bicara Rizqullah menenangkan Abyatina.
“Kerana itu kita semua kena sama-sama tolong ayah,
ikhtiarkan apa yang patut, sesukar mana pun, kita akan lakukan buat ayah,”
bicara Raiqah.
Kata-kaat semangat penyedap hati diluahkan oleh setiap
isi tetamu yang berada di bilik itu. Masing-masing cuba memberikan harapan,
walaupun mungkin impian itu sekadar angan-angan tak kesampaian.
“Jangan berkunjung lagi di sini. Lapangkan dadamu. Pergilah tenangkan hatimu. Pulau Pinang penuh
dengan tempat menarik”
Sebaris ayat susunan Ustaz Man, maknanya mendalam punyai
tujuan. Dia tahu, Abyatina kesuraman, dan dia tahu, perjalanan di bumi Pulau Pinang
merupakan satu kunjungan yang mampu menghilangkan duka itu. Maka Ustaz Man
pemberi cadangan, dan Rizqullah memberi persetujuan. Maka kisah seterusnya,
Abyatina meninggalkan hospital dan memulakan kembara di Pulau Mutiara bersama
Rizqullah.
“Mulakan harimu di sini dengan sebuah pengalaman baru,”
bicara Ustaz Man buat Abyatina.
Destinasi pertama terus dituju. Maka Bukit Bendera
menjadi tempat pilihan. Walaupun ramai di hujung minggu, namun Abyatina
mengharunginya dengan mudah. Ibarat fikiran telah melayang seketika, itulah
yang dirasai Abyatina, saat tangannya dipimpin Rizqullah, berjalan-jalan di
kemuncak Bukit Bendera. Setiap detik, degupan jantung dirasai dalam nada yang
aneh. Itulah degupan merasai nikmat melalui fasa-fasa kenikmatan cinta bersama
Rizqullah. Genggaman tangan Abyatina dan Rizqullah berterusan, seolah-olah
tiada penyudahnya.
Hari-hari dilalui di Pulau Pinang merupakan detik
terindah buat Abyatina. Tanpa disusun sebarang perancangan, itulah detik-detik
yang sangat manis buatnya. Dari sebuah kesuraman, kini bertukar menjadi sebuah
kebahagiaan. Tanpa disedari, itulah
hari-hari Abyatina melalui bulan madunya bersama Rizqullah.
Dari satu tempat ke tempat yang lain. Dari Bukit Bendera
ke Batu Ferengghi. Dari Taman Rama-rama ke Taman Botanikal. Dari Komtar ke Rumah
P. Ramlee. Maka satu demi satu diselusuri Abyatina dan Rizqullah. Saat manis dan ikatan semakin utuh. Kemesraan
semakin terpancar, dan mereka semakin serasi. Abyatina seakan lupa sebentar akan kisah
ayahnya yang ditimpa dugaan. Dia tenggelam dalam kegembiraan. Segala kesuraman berjaya
dileraikan.
“Tahniah buatmu kerana kamu berjaya menghilangkan duka
Abyatina,” bicara ibu Abyatina kepada Rizqullah menerusi perbualan telefon.
Kisahnya berakhir dengan kunjungan ke rumah saudara mara
Rizqullah di Pulau Pinang. Diperkenalkan satu demi satu ahli keluarga ibu
saudaranya. Sesi perkenalan ringkas,
tidaklah lama. Abyatina dan Rizqullah kemudian pulang selepas tiga jam
pertemuan dengan mereka. Ringkas, namun bermakna.
Setibanya di rumah setelah mengharungi perjalanan
panjang, penat menaiki bas, kesabaran menaiki
feri, dan kepenatan di dalam kereta api, maka wajah Abyatina ternyata sangat
keletihan. Rizqullah mengerti, lalu terus memimpin tangan Abyatina berehat di
bilik. Terus terlelap Abyatina, dan Rizqullah tersenyum. Diusap pipi Abayatina tanda
Rizqullah mengerti isterinya itu mengharungi pengalaman baru yang cukup panjang
dan sangat meletihkan.
“Berehatlah. Moga segala dugaan yang penuh suram akan
dapat kamu lupakan,” bisik Rizqullah.
Malam itu Abyatina merasai nyenyak tidur yang tidak
pernah dirasainya sebelum ini. Keletihan memberi nikmat tidur tak terkata. Maka
kesegaran ternyata dirasai Abyatina di pagi keesokannya.
“Ina sihat pagi ini?”
Soalan diajukan Rizqullah saat melihat Abyatina di dapur.
Pucat wajah si Abyatina, dan masih terus duduk di kerusi saat mahu menikmati
sarapan. Belum sempat meluahkan bicara, tiba-tiba Abyatina bangun mengejut,
berlari terus menuju ke bilik air. Batuk yang kuat kemudian kedengaran. Berterusan dan agak menakutkan buat Rizqullah
yang mendengarnya.
“Ya Allah!”
Kejutan dilihat Rizqullah. Bibir Abyatina dipenuhi darah. Batuk tanpa henti masih
berterusan, dan pada masa yang sama juga, darah terus keluar dari mulutnya. Lantai
bilik air mula dipenuhi darah Abyatina. Suasana cemas mula tercetus. Rizqullah
mula keresahan. Tangan si Abyatina terus menekan dadanya tanda kesakitan yang
kuat dirasainya.
“Abang…”
Abyatina tiba-tiba rebah dan terus pengsan. Pagi itu
mencipta kejutan. Sebuah persoalan telah tercipta.
“Ina…..”
*Tamat sudah Bicara Dua Belas*
Menyambung kisah
di lain bicara...
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
*Terima kasih kepada sahabat lama, saudari Thahirah Kamarulail atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan
memang dasar PLAYBOY!!!!
entah2 slh satu koleksi pompuan ko!
dasar tak tau malu ko ni. bangsat!
Mesti salah satu dari senarai kawan yazid yang cantik pandai. Tak perlu malu jika sudah kenal rapat. Bagus Banget!