Muhasabah Jumaat: Apabila penulis jatuh hati...
Bila hati dah tersadung, maka jatuhlah hati itu.
Tak dapat dipastikan soal kewajaran bicara kali ini.
Mungkin lebih bersifat peribadi tatkala soal hati dibicarakan. Nak dikatakan
jatuh hati, mungkin tidak. Nak dikatakan hati tak terpikat, mungkin boleh disangkal.
Payah juga bila dah terpikat pada seseorang, kita tak
dapat berbuat apa-apa. Nak diluahkan
padanya takut tak kesampaian hajat, bila pinangan hati ditolak dengan penuh
sopan. Mungkin juga. Jika ikut hati, mahu saja dijerit satu kampus, nyatakan
diri dah suka padanya.
Ini bukan bicara omongan kosong. Mungkin ada nilai
‘queer’ atau mungkin juga satu bentuk ‘sarcasm’ sebagai pengejek utama kepada
hati. Namun, bila hati telah bersuara, nyatakan ‘kamu dah terpikat padanya’,
maka keserabutan melanda.
Bukanlah suka padanya sebarangan. Suka itu dalam bentuk
keikhlasan. Andai nafsu jadi panduan, maka hanyutlah hati, rosaklah jiwa. Keindahan
perasaan tatkala dibuai rasa suka padanya, maka magisnya mungkin muncul
tiba-tiba separuh kesedaran. Sukar nak nyatakan penangan cinta, kerana
tiap-tiap kecintaan itu disusuli dengan angan-angan serba keindahan.
Dari mana bermula? Bagaimana terjadi kisah hati yang
tiba-tiba terjatuh pada hati yang lain?Siapa orangnya?
Ah, indahnya bila memikirkannya. Serba manis, serba ayu,
serba sopan. Mudah tersenyum, tunduk pandangannya. Berkurung putih, bertudung
biru. Jalannya penuh ketenangan, wajahnya penuh keayuan. Gunturkan jantung
tatkala melihatnya. Debarannya bukan kepalang.
Wajahnya itu serba keindahan. Memandangnya saja cukup
mendebarkan. Ya, dia senantiasa di hadapan, tatkala mata yang memerhati
sentiasa duduknya di belakang. Entah dari mana mulanya, tiba-tiba degupan
terjadi. Hati dah terpikat, namun terus diam memendam perasaan. Untuk diluahkan
bagai satu kemustahilan.
Mungkin ini dinamakan panahan cinta. Namun bukanlah dalam
kegelojohan nafsu, cuba diterkam sehingga terlupa iman di dada. Tatkala rasa
cinta terwujud, seharusnya didekatkan diri dengan Allah diberi petunjuk dan
perlindungan moga tidak hanyut dalam kesesatan. Cinta itu tak salah. Pecinta
itulah yang seringkali merosakkan cinta dengan kemaksiatan.
Jika ditanya siapakah orangnya, maka memang siapa pun
mungkin tak mengenalinya. Orangnya bukanlah seangkatan dalam bidang pengajian.
Sekadar kenal-kenalan di layar skrin kecil, bertanya khabar dan berbual
kesederhanaan. Orangnya cukup manis, sejuk mata pandangan. Dari mana
berkenalan? Dari sesi pengajian, maka itulah permulaan.
Memang perit bila hati dah bersuara. Memanggil-manggil
dia seolah-olah mahu sahaja diluahkan. Namun, itu bukan adabnya. Adabnya ialah
dengan kesabaran. Perasaan itu harus dipendam. Tak perlu dinyatakan padanya
kerana sekali luahan, sekali tersalah cara, maka sekali juga merasa kekecewaan.
Cinta melahirkan keindahan. Cinta juga mampu cetuskan
ketidaktentuan. Cinta ialah fitrah, namun harus dirasai dengan penuh berhemah.
Bukan nafsu yang jadi panduan, iman yang seharusnya menjadi teman. Menikmati
cinta itu bukan satu kesalahan, namun perlu merasai nikmat atas kesyukuran
pada-Nya.
Mungkin ini bicara yang paling peribadi pernah ditulis,
nyatakan satu bicara jauh di lubuk hati. Namun hakikatnya, bicara yang ditulis
ini juga bukanlah dapat menggambarkan dengan tepat rasa tak keruan tak kala
hati terpikat padanya.
Hanya kepada-Nya sahaja jiwa dan hati ini diserahkan.
Sesungguhnya Dialah yang berkuasa ke
atas setiap satu hambanya, dan Dialah yang merencanakan setiap perjalanan
hambanya.
Mungkin ini dinamakan cinta. Namun mungkin ini sebagai
satu tanda ingatan bahawa hati ini perlu senantiasa mengingati-Nya. Moga apa
saja yang berlaku selepas ini adalah berada di bawah panyungan-Nya.
Insya-Allah.
Buat dirinya yang mungkin tidak menyedari bahawa bicara
ini ditujukan padanya, salam persahabatan buatmu.
“Mungkinkah kau bermimpi punyai bidadari, yang bisa
bawakan kau terus ke alam seakan syurga…”
(Hujan- Bahgia)
Mungkin satu angan-angan dalam keindahan tatkala
memerihalkan tentang cinta dan jatuh hati pada dirinya.
Ulasan