Merdeka dengan Facebook?
Acap kali bila munculnya 31 Ogos, maka pelbagai kisah
kononnya menunjukkan semangat kemerdekaan itu ditonjolkan. Benar, negara telah
bebas dari belunggu penjajah. Namun bebaskah kita dari belenggu fikiran
penjajah? Apakah negara pada hari ini punyai identiti tersendiri tanpa
terikut-ikut dengan budaya lain?
Lupakan sahaja soal tema yang terpecah kepada dua,
satunya berbunyi berbaur politik, dengan tema “Janji Ditepati”. Satu lagi
dikatakan alternatif yang dikatakan lebih tepat dengan semangat kebangsaan,
dengan tema “Sebangsa, Senegara, dan Sejiwa”. Hakikatnya, sambutan kemerdekaan
tetap diraikan seluruh rakyat Malaysia walaupun beza pandangan politiknya.
Katanya, “Janji
itu ditepati, dan balasannya, kenalah diberi dengan budi”. Maka, berbondong-bondonglah
yang menghentam pihak itu, nyatakan merdeka telah dipolitikkan, hingga wujud
keangkuhan.
Biarkan saja jika itu tafsirannya. Tiap-tiap pemimpin itu
punyai cara tersendiri dalam melahirkan hasrat visi dan misinya. Lemah pemimpin
itu, lemahlah rakyatnya. Lemah rakyatnya, lemahlah negara. Lemah negara, maka
seronoklah penjajah versi baru, menjarah penjajahan tanpa disedari rakyat.
Hari ini,
teknologi mengubah segalanya. Tak perlu dinafikan, Facebook satu kewajipan,
ibarat bulan dan matahari, tak akan mungkir janjinya, hanya muncul di waktu
siang, hanya muncul di waktu malam. Bagai bulan ikut matahari, mengikut sahaja
arus global tanpa memikirkan kesannya. Itu natijahnya.
Ramai pada hari ini tanpa sedar telah menjadi hamba abdi
kepada Facebook. Ketagihan melampaui batas, hingga setiap jam, pasti akan
dibuka ‘buku’ tersebut. Realitinya, Facebook kini menjadi penjajah baru
masyarakat pada hari ini.
Agak pelik, apabila pelbagai perkongsian peribadi
dikongsikan di Facebook. Status kadangkala menjadi medan luahan rasa hati. Maka
tak hairan, andai wujud status-status yang kadangkala kelihatan ‘menggatai’ dan
tak kurang juga kelihatan ‘miang berbulu’. Buat apa mahu dikongsikan kisah
bergaduh dengan teman lelaki di Facebook? Dapat faedahkah? Boleh selesai
masalahkah?
Perilaku ini hanya merendahkan martabat seseorang. Menjadikan
seseorang itu murah, tak kurang juga mungkin diketawakan oleh mereka yang lain.
Kurang bijak, andai dikatakan Facebook itu adalah hak
peribadi, dan hak itu menandakan bukti bebasnya seseorang itu untuk meletakkan
sebarang perkara di Facebook masing-masing. Hakikatnya, setiap kebebasan yang
kita nikmati pada hari ini terikat dnegan nilai tanggungjawab sosial yang cukup
besar.
Terfikir juga, apakah kewajaran seseorang itu
berkongsikan gambar imbasan ultrasound bayi yang berusia beberapa bulan itu di
Facebook? Tak malukah berkongsi hal sesulit itu? Bukankah itu satu perkara
eksklusif yang hanya perlu ditatap si suami dan si isteri sahaja?
Lucu pula kedengaran apabila dengan bangga si pemilik
Facebook membuat pengumuman bahawa dirinya telah hamil. Dinyatakan juga secara
terperinci bila diketahui, dan bagaimana diketahui. Soalnya, perlukah
dihebahkan seantero dunia?
Ada juga yang gemar menayangkan segala koleksi pakaian
yang mungkin ratusan ringgit harganya. Tak pasti apa tujuannya, mungkin mahu
berkongsi dalam ketakburan. Apakah rasional di sebalik penayangan percuma itu?
Berpasangan ada adabnya. Namun kadangkala ada yang
melebihi batasnya. Jangan sampai seseorang itu dilihat seperti murah harga
dirinya, meletakkan gambar berpasangan berpelukan di Facebook. Rendahnya
martabat andai itu terjadi.
Tak kurang juga menjadikan Facebook sebagai medan
penyebaran dakyah berbaur fitnah, bertunjangkan nilai prejudis terhadap kaum
lain. Maka, lahirlah status-status berbaur perkauman hingga kadangkala boleh
mencetuskan porvokasi antara satu sama lain. Soalnya, benarkah Melayu itu
malas, Cina itu kaki pembelit, dan India itu kaki botol? Buangkan pandangan
jumud sedemikian kerana nilai negatif tersebut wujud dalam semua kaum di dunia
ini, bukan terikat pada bangsa-bangsa tertentu sahaja.
Bebaskah kita dari belenggu penjajah? Mungkin bebas,
namun bebaskah kita dari belenggu pemikiran penjajah? Mungkin masih belum
tercapai. Ingatlah, penghambaan diri terhadap Facebook telah berlaku, dan
proses ini adalah satu bentuk penjajahan separa sedar buat rakyat kita pada
hari ini.
Tak salah andai mahu menggunakan Facebook, namun biarlah
bijak. Jangan jadi si dungu hingga masyarakat dunia mentertawakan kita, melihat
Malaysia ini sebagai sebuah negara ‘melatah’ seringkali bergolak akibat kurang
bijak ‘bersosial’ di laman ‘buku muka’ ini.
Salam kemerdekaan buat semua. Moga terus sejahtera
hendaknya dalam keharmonian perpaduan. Moga penjarahan minda dalam proses
penjajahan yang sedang berlaku ini dapat kita tepis. Moga kemerdekaan yang
dikecapi ini akan terus dapat dipertahankan.
Terima kasih Malaysia.
“Janji Ditepati dalam Sebangsa, Senegara, dan Sejiwa”
Ulasan
Yalah, segala macam nak kongsi kat Facebook. Dah macam dijajah dengan Facebook je.