Muhasabah Jumaat: Ragam Ramadan vs Teruja Syawal
"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada
malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu
Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu,
para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk
setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".
(al-Qadr, 1-10)
Agak lama tidak dibicarakan sesuatu di blog ini. Ruangan
perkongsian idea dan pendapat telah lama tidak diposkan di blog ini.
Hakikatnya, bukanlah penulis tidak mempunyai masa untuk menulis, namun dalam
tempoh dua bulan ini, penulis telah menumpukan sepenuhnya untuk menulis
beberapa siri Adina dan beberapa cerpen yang telah dan akan diposkan di blog.
Cuti semester kali ini dihabiskan dengan mengasah imaginasi menghasilkan
tulisan berbentuk cereka.
Ramadan telah berada di penghujungnya, dan seperti
kebiasaan, di waktu penghujung ini persiapan menyambut Hari Lebaran kian rancak
dijalankan. Persoalan yang timbul kini, apakah persiapan itu telah mengatasi
ibadah di bulan Ramadan? Sama-sama fikirkan.
Hanya di bulan Ramadan, ibadah terawih itu dilaksanakan.
Hanya di bulan Ramadan, tadarus al-Quran rancak dijalankan. Hanya di bulan
Ramadan, banyak amalan sunat disuburkan. Sememangnya diakui, di awal Ramadan
kerancakan begitu mempesonakan tatkala melihat masjid dan surau penuh dengan
jemaah. Namun di penghujungnya, masjid lesu, semakin berkurang bilangan
jemaahnya. Walhal, di hujung Ramadan itulah adalah sebaik-baik waktu untuk
merebut ganjaran kerana di dalamnya terkandung Lailatul Qadar.
Apa dikisahkan sesetengah mereka? Shopping ke hulu ke hilir,
berpesta sakan membeli kononnya nak jadikan Syawal nanti sebagai Syawal yang
paling ‘grand’. Soalnya, ‘grand’ sangatkah Syawal itu andai Ramadan
disia-siakan. Amat malang, namun inilah yang terjadi.
Itu belum menyentuh soal budaya dan tatacara sesetengah
masyarat yang kelihatannya berpuasa dalam kesia-siaan. Hairan juga apabila
melihat sesetengah dengan selamba pergi ke bazar Ramadan berseluar pendek
dedahkan aurat. Ke sana dan ke sini dalam kesungguhan mencari juadah, dan pada
masa yang sama dosa mengalir berterusan dek aurat tak dijaga. Baguslah, kerana
di akhirnya hanya nikmat makan sahaja yang dirasakan ketika berbuka. Nikmat
lain semuanya telah hilang.
Ada pula yang lebih dahsyat. Buat muka tembok, masih lagi
berkepit bagai dua biji pinang dilekatkan dengan gam gajah. Dah serupa kembar
siam lain jantina, lain rupa, seorang tinggi, dan seorang ketot. Sakan
berpegangan tangan ibarat bulan Ramadan tiada makna buat mereka.
Tak kurang juga buat sesetengah kaum wanita yang dengan
selamba masih lagi berlenggok-lenggok ketika berjalan dengan jeans ketat dan
bajunya yang sendat. Tudung dipakai, namun masih terdedah aurat. Beri saham
dosa kering buat si hamba lain yang berpuasa hingga mencemarkan keindahan dan
kesucian bulan Ramadan. Soal puasa ibarat menahan lapar sahaja, dan hawa nafsu
itu dilihat masih menguasai diri.
Di satu sudut pula, kisah berbuka puasa sesetengah mereka
kadangkala mencetuskan persoalan. Ada pula segelintirnya dilihat bermegah-megah
dengan juadah berbuka puasa. Hidangan serba mahal dinikmati, dan tidak cukup
dengan itu diambil gambar dan disebarkan seantero dunia menerusi Facebook dan
Twitter. Tak kisahlah, juadah yang kononnya sederhana seperti KFC, McDonald,
Secret Recipe, mahupun hidangan-hidangan di restoran mewah, hakikatnya budaya
membanggakan hidangan juadah berbuka ini jauh menyimpang dari didikan Ramadan
yang menekankan kesederhanaan. Mungkin bila kekayaan menguliti diri, maka nilai
murni dalam Islam juga dipinggirkan.
Nilai-nilai indah dalam bulan Ramadan seolah-olah
dipinggirkan. Sesetengah masyarakat hari merasakan bahawa Syawal itu adalah
suatu bulan yang lebih penting. Maka, segala persiapan rapi perlu dilakukan.
Hakikatnya, Ramadan itulah kemuncaknya, dan pengakhiran ialah Syawal. Maka seharusnya
Ramadan itu diangkat dan diraikan dengan penuh teruja oleh masyarakat. Sedih,
bila dilihat ramai yang alpa untuk beribadah, namun leka dalam melakukan
persiapan hari lebaran.
Syawal yang menjelma seharusnya menjadi satu titik
kesedaran di atas perubahan yang telah dilakukan di bulan Ramadan. Seharusnya
apa sahaja yang baik di bulan Ramadan, perlu dikekalkan momentumnya di bulan
Syawal. Jangan tinggalkan amalan di bulan Ramadan semata-mata mahu menurut hawa
nafsu di bulan Syawal.
Jangan jadikan Syawal sebagai bulan melepaskan nafsu yang
terkurung selama sebulan. Jangan jadikan Syawal sebagai pesta mendedahkan
aurat, berfesyen sakan hingga lupa syariat. Pastikan amalan pembaziran dicegah,
dan seharusnya nilai rendah diri ada di dalam hati tatkala menyambut Syawal.
Bukannya budaya bermegah dek kemampuan memiliki pinggan mangkuk mahal ataupun
bangga dek memiliki kereta serba baru.
Tangan yang dihulur saat bermaaf-maafan juga seharusnya
dijaga. Janganlah semberono sahaja bersalaman tanpa mengira lelaki dan
perempuan. Jadikan syariat sebagai panduan. Jangan pula ambil kesempatan untuk
bersalam dengan gadis idaman,cuba merasai kehalusan dan kelembutan tangannya
itu. Ingat, itu semua ‘Haram’.
Kelihatan pada hari ini, sesetengah masyarakat tidak
menjadikan Ramadan sebagai sebuah madrasah buat mereka mendidik jiwa mendekati
Allah. Ramadan kini dilihat seperti sebuah ‘forbidden city’ atau kota larangan,
melarang manusia dari melakukan maksiat buat seketika. Bila keluar dari kota
larangan itu di bulan Syawal, maka segalanya dilepaskan semula, dan dosa serta
maksiat kembali subur. Awas, jangan jadi insan nan kufur, lupa pada nikmat
pemberian-Nya.
Akhir bicara, salam Syawal buat semua. Moga Ramadan yang
berlalu akan mendidik kita menjadi insan yang lebih dekat dengan-Nya. Raikan Lebaran dengan
kesederhanaan, dan pastikan tiap-tiap kekusutan yang melanda dileraikan dengan
kemaafan.
Wassalam.
Ulasan