Catatan di SMK Dr. Burhanuddin (Siri 3)



Rakan-rakan sepraktikum

Kalau nak dibicarakan perihal rakan-rakan sepraktikum, saya punyai lapan kesemuanya. Lima dari UPSI, dan 3 lagi dari UUM. Kalau dihutungkan jumlah lelaki, hanya 3 sahaja termasuk saya. Selain Shahril, saya juga punya rakan praktikum lain iaitu Firdaus Ahmad.

Pada awal perkenalan, saya agak sukar untuk bertemu Firdaus disebabkan dirinya merupakan guru ‘dua alam’. Isitilah ini digunakan kerana Firdaus mengajar untuk kedua-dua sesi sekolah, baik petang atau kadangkala pagi, mengikut jadual yang ditetapkan kepadanya. Maka, ada waktunya Firdaus akan berada di sesi pagi, dan ada kalanya di sesi petang. Ada waktunya juga, Firdaus akan berada di sesi pagi dan sesi petang.

Pada awalnya, saya merasakan bahawa Firdaus merupakan guru tetap di SMDB. Barangkali disebabkan imejnya yang kemas, dan gaya percakapannya yang teratur, saya membuat kesimpulan awal sebegitu. Namun, setelah seminggu berada di SMDB, barulah saya tahu bahawa Firdaus merupakan guru praktikum dari UUM.

Firdaus orangnya sangat mesra dan ramah. Walaupun baru kenal, Firdaus tak kekok untuk berbual dengan saya. Berasal dari Batu Kurau, membuatkan saya teringat pada buah durian (Batu Kurau terkenal dengan duriannya yang lazat). Firdaus merupakan guru ICT, dan turut mengajar subjek Pendidikan Moral bagi beberapa kelas. Banyak bergurau dan seringkali mencetuskan gelak ketawa tatkala berjumpa, maka tak hairanlah banyak cikgu di SMDB cukup mesra dengannya.

Bagi guru praktikum dari UUM, mereka hanya perlu menghabiskan jumlah masa mengajar selama 12 minggu sahaja. Sewaktu saya melapor diri di minggu pertama di SMDB, guru-guru dari UUM ini telahpun berada di SMDB untuk beberapa minggu.  Perkara ini berbeza dengan guru praktikum dari UPSI yang perlu menghabiskan tempoh mengajarnya selama 16 minggu keseluruhan. Dalam erti kata lain, tatkala guru dari UUM tamat latihan mengajar, guru dari UPSI akan masih terus mengajar untuk beberapa minggu lagi (lebih dari sebulan bezanya).

Sepanjang berada di SMDB, saya banyak menghabiskan masa bersama Firdaus sekiranya Firdaus mengajar sesi petang. Tempat yang dituju semestinya bilik Cikgu Azly di makmal komputer. Selalunya, kami akan menghabiskan masa di makmal komputer untuk menulis ‘lesson plan’ masing-masing. Kadangkala, kalau Cikgu Azly ada, kami berbual dengannya. Selalunya Firdaus yang banyak bicara. Saya sekadar menjadi pendengar. Keadaan bertambah meriah sekiranya Cikgu Shaffrizal turut ada di bilik. Itu belum masuk Cikgu Baha dan Cikgu Sharou. Kalau ada mereka, bertambah meriahlah bilik di makmal komputer itu.

Bersama Firdaus Ahmad di majlis perkahwinan Cikgu Sarah

Firdaus tekun menulis 'lesson plan' di makmal komputer sekolah


Selain daripada Firdaus, saya juga turut berkenalan dengan Kak Yat dan Farah, dua lagi rakan praktikum dari UUM. Namun perkenalan saya dengan mereka agak lewat, tatkala hanya dua minggu sahaja sebelum mereka tamat praktikum di SMDB. Barangkali disebabkan saya sesi petang dan mereka sesi pagi, maka saya hanya berkesempatan untuk berkenalan dalam tempoh yang singkat. Sewaktu kursus Kadet Pertahanan Awam di SMDB, maka barulah saya mengenali mereka.

Farah orangnya agak mesra dan ceria. Mudah tersenyum sederhana tinggi, orangnya dilihat serba tahu terumata dalam hal-hal berkaitan praktikum. Mungkin disebabkan itu, Firdaus seringkali merujuk Farah sekiranya terdapat beberapa persoalan berkaitan dengan praktikum mereka. Perwatakan Farah kelihatan sangat ramah dengan para pelajar. Barangkali mungkin ramai pelajar di bawahnya cukup menyayanginya. Selalu mengusung kamera ke serata tempat, pada pandangan saya kelihatan Farah agak mahir dalam hal-hal fotografi. (Boleh geng dengan Shahril ni..)

Bagi Kak Yat pula, perkara yang paling ketara sudah semestinya celotehnya yang terlalu banyak. Setiap kali bersuai, pasti ada saja celotehnya. Sering menyakat rakan-rakan yang lain, Kak Yat dilihat sangat cepat dan mudah untuk mesra dengan kenalan baru seperti saya. Kalau di kelas, kelihatan Kak Yat agak garang dan tegas. Kalau bab mencubit pelajar tu, memang Kak Yat ada kepakarannya. Mungkin saja, disebabkan saya pernah berada di belakang kelas bersama Firdaus melihat Kak Yat mengajar. Kak Yat memang sangat ramah dan mungkin disebabkan itu juga rakan-rakan yang lain mudah untuk bergaul dengannya.

Bersama rakan-rakan praktikum sewaktu Kejohanan Merentas Desa 2013 SMKDB. Dari kiri (berdiri); Firdaus, Hafiza, Hasliza, Ila, Farah, Yazid (Saya). Duduk dari kiri; Syarifah, Kak Yat, Murni

Rakan sepraktikum saya bagi sesi petang, Hasliza Kamarudin pula berasal dari Sarawak. Mengajar subjek Pendidikan Seni untuk tingkatan satu dan dua, pada pandangan saya Hasliza orangnya cukup berdedikasi. Orangnya memang ramah, mudah saja nak berbual dengan saya yang baru dikenalinya. Sepanjang praktikum saya di SMDB, memang diakui saya rapat dengannya terutama sewaktu kami sama-sama ditempatkan di bilik kaunseling di awal praktikum. Sewaktu praktikum, Hasliza telahpun menjadi tunangan orang. (Sewaktu entri ini ditulis, Hasliza dah bergelar isteri).

Jika dilihat dari sudut urusan kerjanya, Hasliza dilihat sangat tersusun dan teratur. Setiap perkara akan dirancang terlebih dahulu. Malah, bagi Rancangan Pengajaran Harian (RPH), Hasliza senantiasa menulis lebih awal. Dari sudut persediaan mengajar, saya akui Hasliza jauh lebih baik dari saya. Orangnya memang kreatif, ada saja cara baru dalam pengajarannya.

Sepanjang praktikum, saya banyak mendengar perkongsian kisah hidupnya. Ya, Hasliza sangat mudah berkongsi kisahnya. Maka harus diakui, sepanjang berada di sekolah, saya tidaklah terlalu dilanda kebosanan. Seperkara lagi mengenai Hasliza, orangnya memang nampak matang. Maka tak dinafikan bahawa memang beliau cukup bersedia untuk bergelar sebagai isteri. (Untunglah Abang Rahim tu ya..)

Bersama Hasliza di majlis perpisahan kelas 106


Selain Hasliza, saya juga mengenali Ila yang merupakan rakan baik Hasliza. Ila mengajar di sesi pagi. Maka saya agak jarang untuk bertemu dengannya. Orangnya agak gila-gila juga. Suka menyakat rakan-rakannya, malah saya juga seringkali diusiknya. Walaupun baru mengenali saya, Ila tak kekok nak berbual dengan saya. Berasal dari Sarawak, maka ada waktunya saya kurang memahami pertuturannya.

Syarifah dan Hafiza pula saya kurang rapat memandangkan mereka berdua mengajar di sesi pagi. Saya hanya dapat berjumpa beberapa kali mereka dan pada pandangan kaca mata saya, dapatlah disimpulkan bahawa mereka ini agak pendiam. Namun, kalau pandai berbicara ramah juga mereka ni.

Tidak terkecuali, saya juga turut berkesempatan untuk berkenalan dengan Faris, guru ganti bagi subjek Matematik menggantikan Pn Asmiza yang cuti bersalin. Anak saudara kepada En Makri, PK Petang ini berasal dari Kelantan. Faris mula menjadi guru ganti sekitar bulan Oktober. Walaupun tempoh perkenalan dengannya agak singkat, namun kelihatan saya mudah berkawan dengannya. Kini Faris telah bekerja dalam bidang pengurusan ladang di Melaka (kalau tak salah).

Bersama Faris pada hari terakhirnya sebagai guru ganti

Ya, itulah perihal sedikit sebanyak mengenai kenalan-kenalan baru yang dikenali di SMDB. Mereka membawa satu pengalaman baru buat saya. Mencipta kenangan terindah barangkali.




(BERSAMBUNG)
Untuk siri akan datang, saya akan berkongsi pengalaman bertemu semula guru-guru lama yang pernah mengajar saya sewaktu di tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Insya-Allah.


Untuk siri sebelumnya, klik di sini: [Siri 2]

Ulasan

Unknown berkata…
alamak terharu pulak~ yazid pun diam2x tapi kelakar suka gelak~ hahahahhaha...en

Catatan Popular