Catatan di SMK Dr Burhanuddin (Siri 2)





Hari pertama di SMDB

Pada 15 Julai 2013, maka bermulalah tugas sebagai guru praktikum. Pada hari pertama ini, saya tiba di sekolah seawal 6.50 pagi. Pada waktu ini, ketibaan saya serentak dengan ketibaan dua orang guru perempuan yang menaiki skuter. Mengikut pengamatan mata, barangkali mereka berdua merupakan guru praktikum dari UUM setelah melihat pelekat UUM pada motosikal tersebut. (Mereka ialah Farah dan Kak Yat). Namun saya tak berani untuk menegur mereka.

Suasana di sekitar SMDB masih tetap sama seperti dulu, namun ketiadaan kolam yang kini telah menjadi kawasan letak kereta sedikit sebanyak telah mengubah lanskap SMDB yang saya kenali.

SMDB di awal pagi


Perkara pertama yang dilakukan adalah menunggu sahabat karib Shahril. Pada masa yang sama juga, kami juga akan berjumpa dengan rakan-rakan praktikum yang lain. Jumlah semua guru praktikum dari UPSI di SMDB adalah seramai 6 orang (2 TESL, 2 Seni, 1 Sains, 1 Fizik). Sebelum perhimpunan bermula, kami berkumpul dahulu di hadapan pejabat untuk memudahkan urusan lapor diri nanti.

Isnin di waktu pagi, maka perhimpunan sekolah akan diadakan. Untuk itu, kami berenam tidak dapat melapor diri lagi, dan diakhirnya kami terus menuju ke astaka sekolah untuk menghadiri perhimpunan sekolah pagi itu.

Tatkala duduk sebaris dengan para guru, satu perasaan yang sangat janggal dirasakan. Perasaan seolah-olah tidak percaya menyelubungi diri. Ya, tak sangka pula dapat duduk sebaris dengan para guru. Kalau dulu sewaktu bergelar pelajar, hanya berdiri di tapak perhimpunan.

Tak lama kemudian, Pengetua, Pn Latifah Hanam memberi ucapan. Kemudian, kami diperkenalkan beliau kepada kesemua pelajar yang ada. Satu persatu kami diperkenalkan, bermula dengan nama masing-masing diikuti dengan bidang pengajian kami. Ternyata para pelajar kelihatan teruja, dan apabila nama saya diumumkan Puan Pengetua tepukan gemuruh diberikan. Mungkin teruja tatkala melihat guru praktikal lelaki, sesuatu yang jarang di SMDB.

Astaka sekolah (Balai Seni)


Apabila tamat perhimpunan, maka barulah kami ke pejabat untuk urusan lapor diri. Disebabkan pengetua agak sibuk pada hari tersebut, maka kami bertemu Penolong Kanan 1, Pn Mariam.  Dalam pertemuan itu, sesi perkenalan berlangsung dan masing-masing memperkenalkan diri. Selepas sedikit taklimat ringkas mengenai sekolah, maka kami dibawa Pn. Mariam untuk melawat kawasan sekolah, bermula dari kawasan pejabat, Pusat Sumber Suri, bilik guru hinggalah ke kawasan makmal komputer. Keadaan tidak banyak bezanya seperti 9 tahun yang lalu. Namun, SMDB kini memiliki dewan sekolah yang baru dan kolam yang menghiasi landskap SMDB satu masa dahulu kini telah tiada, dijadikan tapak parkir sekolah.

Dewan SMK Dr Burhanuddin


Sewaktu kunjungan terdapat beberapa guru yang masih mengecam saya. En Chai masih lagi mengenali saya dan katanya, “Siapa tak ingat top student sekolah ni dulu”

Saya hanya membalas, “Itu kisah lama saja...”

Pn. Mariam merupakan guru baru di SMDB (saya rasalah), kerana sewaktu saya belajar di SMDB dahulu, beliau bukan merupakan guru di sekolah tersebut.

Selepas sesi lawatan, maka kami ditentukan sesi sekolah. Shahril sahabat saya mendapat sesi pagi dan saya akan mengajar sesi petang. Harus diakui, saya memang lebih suka untuk mengajar sesi petang kerana banyak melakukan persiapan bagi pelajar tingkatan satu dan dua sewaktu cuti semester yang lalu. Pn Nurul (guru Fizik saya dahulu) selaku guru penyelaras jadual telah menetapkan jadual bagi sesi pagi. Untuk jadual sesi petang, Ustaz Amin akan menyelaraskannya.

Shahril, Ila, Sharifah, dan Hafiza telah ditetapkan untuk sesi pagi. Hasliza dari Pendidikan Seni pula telah ditetapkan untuk sesi petang. Selepas penetapan sesi itu, kami bergerak pula menuju ke bilik Penolong Kanan Koko, En Alias. Ya, siapa tak kenal Cikgu Alias di SMDB. Guru Bahasa Melayu yang cukup bersahaja ketika mengajar, dan seringkali membuatkan pelajarnya bergelak ketawa dengan gurauannya. Walaupun Cikgu Alias tak pernah mengajar saya, saya cukup kenal beliau. Kini, beliau telah menjadi pihak pentadbir sekolah (ketika entri ini ditulis, Cikgu Alias telah berpindah ke SMK Taman Panglima menjadi Guru Penolong Kanan 1 di sana).

Seperti biasa, sesi pertemuan kami ternyata cukup ceria tatkala Cikgu Alias memberi taklimat mengenai perjalanan Koko di sekolah, beliau seringkali bergurau dengan pelbagai gurauan yang mencuit hati. Ternyata, walaupun beliau telah berada di peringkat atasan sekolah, sifat ramah yang lucu beliau masih tetap sama.

Selepas bertemu Cikgu Alias, kami bertemu pula Penolong Kanan HEM, Pn Ros. Dalam pertemuan ini, kami lebih banyak menerima tips dan nasihat yang berguna untuk menjadi guru yang berkesan kepada para pelajar. Menurutnya, pada minggu pertama dan kedua kelas, guru seharusnya tegas supaya para pelajar menghormati guru. Apabila nilai hormat itu telah dibina, barulah guru boleh mnggunakan pendekatan mengikut keselesaan masing-masing.

Bagi saya dan Hasliza, kami juga melakukan sesi pertemuan dengan PK Petang, En. Makri. Pertemuan ringkas selama 15 minit hanyalah sesi berkenalan dan perbincangan mengenai bidang pengajian masing-masing. Di akhirnya, En Makri memutuskan saya untuk mengajar Bahasa Inggeris sepenuhnya di SMDB tanpa tambahan mana-mana subjek yang lain. Hasliza juga begitu, akan mengajar Pendidikan Seni sahaja. Ya, kelegaan dirasakan. Ternyata pihak sekolah cukup mesra dengan guru baru seperti kami.

Pukul 2 petang, saya dibenarkan pulang oleh Cikgu Makri. Jadual kelas hanya akan diperoleh pada keesokannya. Maka, tamatlah hari pertama di SMK Dr Burhanuddin.



(BERSAMBUNG)

Untuk siri akan datang, saya akan berkongsi pengalaman bertemu semula guru-guru lama yang pernah mengajar saya sewaktu di tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Insya-Allah.


Untuk siri sebelumnya, klik di sini:  [Siri 1]





Ulasan

Catatan Popular