Sabtu, 18 Januari 2014

"Adina (Bicara Tiga Puluh)"






“Sebuah perjalanan baru harus dimulakan dengan langkah yang pertama. Keberanian harus ada. Kekuatan perlu bersama.  Tiap-tiap langkah itu akan dipenuhi ujian. Maka bersabarlah dalam hati kerana lumrah hidup perlukan kesusahan. Dari itulah, kematangan terbina. Dalam dunia yang baru, segala yang indah kadangkala perlu dikorbankan. Tak semua mampu harungi pengorbanan itu”

Buku nota ditutup. Abyatina menamatkan bicara tulisannya. Senyuman dikuntumkan, dan sebuah kisah baru kini sedang dicipta. Dunia berbeza bakal dialuinya. Mungkin perubahan akan tercipta.

Maka, harinya bermula. Debaran dirasakan tatkala kaki melangkah. Tercatatlah satu kisah, Abyatina akan bergelar seorang mahasiswa. Setelah begitu lama impian terpendam, hari itu Abyatina dalam gembira. Angan-angan bertukar bahagia.

“Mulakan harimu dengan keazaman kerana pasti banyak dugaan akan menimpa”

Bicara Rizqullah dibisikkan ke telinga Abyatina. Kata-kata semangat cuba diberikan. Rizqullah bukan sekadar menemaninya kerana hari itu juga tercatat satu lagi kisah baru buat Rizqullah.

“Abang pun sama. Moga berjaya di akhirnya nanti. Tiap-tiap dugaan sama-sama kita hadapi”

Abyatina membalas bicara Rizqullah itu. Sama-sama berjalan memasuki dewan pendaftaran, maka kelihatan orang ramai mula memenhui ruang di sekitarnya. Sesi pendaftaran dilihat dilanda kemeriahan dan keterujaan.

“Selamat datang ke Universiti Sains Malaysia”

Bicara aluan diucapkan seorang wakil pelajar yang sedia menanti di pintu utama dewan. Senyuman dikuntumkannya, memberikan kesenangan di hati Abyatina dan Rizqullah. Langkah demi langkah, maka harapan demi harapan muncul dalam fikiran.

“Jadi, bagaimana Yaqzan? Siapa yang akan jaga?” soal ibu Abyatina sebaik mengetahui tawaran belajar Abyatina dan Rizqullah itu. Kisah yang tercipta beberapa minggu sebelumnya.

“Sebab itu kami ke sini, mahu bertanya kalau ada penyelesaiannya,” balas Abyatina.

“Cadangnya nak minta pertolongan dari mak. Hanya sementara...” bicara Rizqullah pula.

“Bukan tak sudi. Tapi ayahmu pun perlukan perhatian. Siapa lagi yang nak jaganya...” balas ibu Abyatina.

Abyatina dan Rizqullah muncul di kampung beberapa minggu sebelumnya. Tujuannya untuk meminta pertolongan dari Mak Cik Ros untuk menjaga anak mereka Yaqzan sewaktu mereka menyambung pengajian di universiti. Namun hati Mak Cik Ros berat untuk menerima, kerana tatkala itulah nasib suaminya Ustaz Man berlegar di fikiran.

“Ayahmu bukan macam dulu. Susahnya perlu ada yang menunggu. Setiap masa perlu ada teman. Nak jaganya perlukan tumpuan,” bicara Mak Cik Ros. “Bukan tak mahu, tapi takut nanti tak terjaga Yaqzan...”

Abyatina dan Rizqullah tunduk tanda faham. Kisah tahun-tahun sebelumnya kembali segar di ingatan. Hampir dua tahun sebelumnya, kisahnya berbeza. Tatkala kesibukan dalam kemeriahan majlis perkahwinan Absyar dan Tasha berlangsung, maka pada detik itu jugalah Ustaz Man tiba-tiba dilanda kesakitan. Angin ahmar menyerang dan dengan pantas itu jugalah, Ustaz Man dihantar ke hospital. Harapan diletakkan, moga Ustaz Man pulih kembali. Namun semuanya hanya ketentuan Ilahi. Tatkala itu, kisah baru telah tercipta.

“Ustaz Man takkan sama seperti dulu lagi...”

Bicara jururawat di hospital dua tahun yang lalu terngiang-ngiang kembali di fikiran Mak Cik Ros. Bermula saat itu, Mak Cik Ros hilang senyumannya. Setiap perjalanan hidupnya kini ditumpukan sepenuhnya buat Ustaz Man. Doktor mengesahkan, Ustaz Man lumpuh separuh badan dan pertuturannya juga mungkin tidak akan sama seperti sebelumnya.

“Kita kena sabarkan hati. Dugaan yang menimpa ni sama-sama kita lalui...” bicara Raiqah anak sulungnya memberi semangat buat Mak Cik Ros yang dalam kesedihan.

Pada petang dua tahun yang lalu itu, suasana di hospital dilanda kesuraman. Mak Cik Ros terus menitiskan air matanya. Raiqah pula terus setia berada di sisinya ibunya. Ahli keluarga lain hanya mampu membisu, tiada lagi sebarang bicara. Segala-galanya pasti akan berbeza selepas itu.

Namun, di saat perkhabaran sedih itu disampaikan kepada seleuruh keluarga, hakikatnya Abyatina dan Rizqullah hilang dari pandangan. Perseteruan yang tercetus di hospital antara Rizqullah dan Zaafarani telah mencipta satu lagi kejutan. Hilangnya Abyatina bersama suami dan anaknya mencetuskan persoalan dalam kalangan keluarganya.

“Mengapa dan ke mana?”

Soalan tercetus di bibir Raiqah tatkala mendapat tahu perkhabaran kehilangan Abyatina dan Rizqullah di hospital itu. Berita yang disampaikan Marwa itu ternyata menghairankan. Namun, tidak ada seorang pun yang tahu arah tuju Rizqullah dan Abyatina itu.

“Biarkan mereka. Mungkin itulah cara terbaik. Dalam kusut mereka, mungkin lebih elok kalau berita ayahmu tak diketahui. Biarkan mereka tenangkan diri dahulu,” bicara Mak Cik Ros menyatakan pendapatnya.

Ibu Abyatina ternyata tidak terguris dengan tindakan anaknya itu. Barangkali faham, maka dia merelakan kepergiaan Abyatina sekali lagi. Namun, dalam kalangan keluarga lain, ternyata ada suara-suara yang kurang senang dengan tindak tanduk Abyatina dan suaminya itu.

“Lepas satu dan satu lagi? Apa hidup mereka ni berkisarkan tentang mereka saja sampai yang lain tak dipedulikan? Memang betul penting diri nampaknya,” bicara Zaafarani meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya.

“Kalau mu nak lepaskan amarah, lebih baik mu balik saja. Jangan kusutkan lagi apa yang ada di sini,” bicara Mak Cik Ros menempelak anak sulung lelakinya itu. Zaafarani terkejut dan kemudian membisu.

“Kita di sini satu keluarga. Walau apa pun yang terjadi, sama-sama kita satukan hati. Kalau ada pedih di hati, baik dilupakan saja. Ada perkara yang lebih besar yang perlu kita hadapi. Ayah perlukan penjagaan kita,”  bicara Raiqah menenangkan keadaan.

Absyar dan Tasha bangun lalu menghampiri Mak Cik Ros.

“Insya-Allah. Kami akan selalu ada di sisi mak. Moga ayah pulih seperti dulu,” bicara Absyar memujuk hati ibunya itu.

Mulai saat itu, masing-masing faham bahawa kisah yang bakal mereka lalui untuk hari-hari mendatang tidak lagi akan sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Mereka mengharapkan moga ketabahan senantiasa menemani mereka. Cabaran baru bakal ditempuhi. Ustaz Man perlukan perhatian semua.

“Kita bina hidup baru...” bicara ibu Abyatina.

Perjalanan itu masih panjang. Bermula saat itu jugalah, tanggungjawab besar dipikul Mak Cik Ros. Ustaz Man kini menjadi keutamaannya. Walau apa pun yang terjadi, tugasnya adalah untuk berada di sisi suaminya.

“Disebabkan itu Abyatina jauh dari kita. Kerana suaminya, itu keutamaannya,” bicara Mak Cik Ros sewaktu sesi perbincangan dengan ahli keluarga lain. Di satu malam, setelah beberapa hari Ustaz Man dimasukkan di hospital, Mak Cik Ros mengatur perjumpaan keluarga. Perbincangan hal keluarga yang berkisar kepada keadaan Ustaz Man dibicarakan dengan mendalam.

“Kita kena sama-sama fikir masa depan ayah. Sama-sama kena ada tanggungjawab nak jaga ayah,” bicara Raiqah.

“Tapi, di mana Abyatina sekarang?” soal Absyar.

“Mungkin Abyatina pergi jauh...” celah Mak Cik Ros.

Sejauh itulah maka Abyatina menghilangkan diri. Bersama suami dan anaknya, tiada siapa yang tahu arah tuju mereka. Malah, Abyatina sendiri tidak tahu destinasi yang bakal dikunjunginya. Persoalan terwujud namun dibiarkan saja saat suaminya itu membawanya pergi jauh meninggalkan hospital itu.

“Ke mana abang nak bawa Ina?” soal Abyatina dalam perjalanan itu.

“Kita menuju ke masa hadapan. Kita melihat cita-cita kita...” balas Rizqullah tersenyum saja, terus memandu tanpa banyak bicara.

Abyatina masih kurang mengerti namun tiada lagi soalan diajukannya. Perjalanan itu berterusan dan Abyatina menanti dalam debaran. Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Rizqullah pula bermain politik dengan Abyatina. Setelah hampir dua jam, maka tibalah mereka di sebuah destinasi.

“Inilah masa depan kita...” bicara Rizqullah sebaik tiba.

Mata Abyatina terpegun melihat pandangan di luarnya. Destinasi yang dituju ternyata sesuatu sangat bermakna. Abyatina hanya mampu tersenyum. Saat itu, mereka berada di Universiti Sains Malaysia. Rizqullah membawa Abyatina dalam kerahsiaan.

“Insya-Allah. Moga-moga termakbul hasratnya,” bicara Abyatina.

“Abang berhajat nak sambung belajar di sini. Abyatina pun kena temankan abang di sini. Sama-sama kita sambung belajar,” kata Rizqullah meluahkan harapannya.

“Tapi... Ina mana layak lagi nak ambil ijazah. Setakat SPM saja...” balas Abyatina.

“Kita ambil STPM sama-sama,” bicara Rizqullah penuh semangat.

Abyatina dan Rizqullah kemudian menghabiskan masa mereka di Pulau Pinang selama seminggu. Dalam tempoh itu, pelbagai tempat mereka kunjungi. Jika dahulu kunjungan mereka hanya berdua, kini angkanya bertambah menjadi tiga. Walaupun di usia kecil, Yaqzan seakan mengerti bahawa ibu dan ayahnya itu perlukan ketenangan. Tidak banyak ragam dan kelihatan ceria sahaja. Itulah Yaqzan, bayi kecil Rizqullah dan Abyatina.

Kisah seterusnya, maka bermulalah perjalanan baru Abyatina dan Rizqullah. Mereka mengatur masa depan. Namun sebelum itu, Abyatina dan Rizqullah kembali semula ke hospital untuk melihat keadaan Ustaz Man. Ketibaan itu disambut dengan senyuman manis Mak Cik Ros. Tiada sebarang kedukaan tergambar di wajahnya. Mungkin disembunyikan dari pandangan anaknya itu.

“Macam mana mak tahu Ina akan pulang semula?” soal Raiqah kepada Mak Cik Ros tatkala Abyatina dan Rizqullah masuk ke bilik wad untuk melihat keadaan Ustaz Man yang masih tidak sedarkan diri. Raiqah dan Mak Cik Ros hanya berada di luar bilik tersebut.

“Sebab Abyatina sempurna didikannya. Takkan sama sekali akan mengguris perasaan ibu dan ayahnya,” balas Mak Cik Ros tersenyum.

Tatkala melihat keadaan ayahnya, maka rasa sebak muncul di hatinya. Rasa bersalah wujud secara tiba-tiba. Namun Rizqullah dengan pantas memujuk Abyatina.

“Bukan salah Ina ayah jadi begini. Semuanya dah ditentukan Allah,” bicara Rizqullah.

Maka, kisah berikutnya diatur satu persatu. Ustaz Man terlantar di hospital selama lebih sebulan. Sepanjang tempoh itu, anak-anak Ustaz Man bergilir-gilir menjaganya. Mak Cik Ros terus setia menemani suaminya itu tanpa mengira masa. Abyatina juga turut membantu sama. Sepanjang tempoh itu, tatkala Rizqullah bertembung dengan Zaafarani, hanya kebisuan melanda. Walaupun perseteruan masih wujud, mereka hanya pendamkan saja. Itulah sebaik-baiknya tatkala Ustaz Man masih terlantar di atas katil.

“Ada hikmahnya bila ayahmu sakit. Tiada lagi persengketaan dalam keluarga kita,” bicara Mak Cik Ros di suatu petang berbual bersama Raiqah anak sulungnya menikmati hidangan teh di kantin hospital.

“Tapi penamatnya belum ada. Tak mustahil tercetus semula kalau ada api-api kecil yang muncul,” balas Raiqah. “Tak mustahil Rizqullah dan Zaafarani boleh bergaduh semula”

“Biarkan dulu. Kita fikir apa yang berlaku sekarang. Apa yang nak jadi akan datang, kita lupakan dulu. Tak perlulah disusahkan hati kita dengan perkara-perkara yang tak pasti,” bicara Mak Cik Ros.

“Jadi, apa benar Rizqullah akan sambung belajar?” soal Raiqah menukar taju perbualan.

“Bukan Rizqullah saja. Abyatina pun sama,” balas Mak Cik Ros.

Kisah beberapa hari sebelumnya mengambil tempat. Di awal pagi sewaktu Abyatina dan Rizqullah baru saja tiba di hospital, kelibat Mak Cik Ros dilihat sedang berjalan meninggalkan kawasan hospital. Saat itu, Raiqah mengambil giliran untuk menjaga Ustaz Man, dan Mak Cik Ros pulang sebentar untuk berehat. Lantas Rizqullah menjemput ibu mertuanya itu menaiki keretanya. Mereka menuju ke suatu tempat untuk bersarapan. Pada waktu itulah perbualan tercipta. Kisah harapan untuk mencapai cita-cita.

“Semuanya untuk masa depan kami dan anak-anak,” bicara Rizqullah. “Cadangnya dah lama. Baru sekarang rasanya paling sesuai”

“Kalau mak izinkan, kami akan teruskan niat kami nak sambung belajar,” bicara pula Abyatina.

“Sebaik-baik niatmu, maka eloklah diteruskan saja. Apa pun yang mu rancangkan, pastikan untuk masa senangmu kemudian,” balas Mak Cik Ros. “Insya-Allah, mak restukan”

Maka, Abyatina dan Rizqullah tersenyum dalam kelegaan. Restu telah diberikan.

Kisah berikutnya, Abyatina dan Rizqullah memasuki fasa baru hidup mereka. Aturan perjalanan hidup disusun satu persatu. Selepas restu diberikan, maka Rizqullah dan Abyatina memulakan hidup mereka sebagai pasangan dalam belajar. Cita-cita mereka adalah untuk menyambung pengajian di peringkat universiti. Namun sebelum semua itu tercapai, mereka perlu menyambung pengajian di peringkat STPM dahulu.

“Kalau dulu, mungkin Ina lepaskan peluang nak sambung belajar. Tapi, bila kali kedua muncul peluang yang sama, mustahil Ina lepaskan lagi,” bicara Abyatina.

“Rezeki Allah ada di mana-mana. Kalau dulu banyak halangannya. Tapi sekarang semuanya dipermudahkan,” balas Rizqullah.

“Tapi kenapa abang tiba-tiba nak sambung belajar?” soal Abyatina.

“Hidup kita perlu bermatlamat. Perlu ada perubahan. Perlu ada peningkatan. Yaqzan akan membesar. Dia perlukan hidup yang lebih baik,” balas Rizqullah.

Perbualan itu tercipta di petang hari. Abyatina dan Rizqullah berjalan-jalan di tepi pantai tidak jauh dari rumah mereka. Yaqzan anak kecil mereka ditinggalkan sebentar bersama ibu Rizqullah. Mungkin mereka mahu menghabiskan masa berdua yang telah lama tidak dirasakan.

Keesokannya, Abyatina dan Rizqullah menuju ke pejabat pendidikan daerah. Di situ mereka mendapatkan maklumat mengenai perkara-perkara berkaitan STPM. Dari soal sukatan pelajaran sehinggalah ke perkara-perkara berkaitan pendaftaran peperiksaan, maka satu demi satu persoalan diajukan dan dijawab dengan baik. Apabila segala perkara difahami, barulah satu keputusan dibuat.

“Kita belajar sendiri. Itu lebih jimat berbanding sambung belajar di sekolah persendirian,” kata Rizqullah membuat keputusan.

“Tapi mampukah kita?” soal Abyatina.

“Sama-sama kita belajar, sama-sama kita tolong. Mana yang kurang, sama-sama kita perbaiki. Insya-Allah, kalau ada sabarnya, adalah hasilnya. Kalau ada usahanya, akan ada kesenangannya nanti,” balas Rizqullah penuh yakin.

Bukan mudah untuk belajar dan pada masa yang sama sibuk menguruskan rumah tangganya. Bukan mudah juga belajar sambil meneruskan tugas sebagai guru di sekolah. Namun bagi Abyatina dan Rizqullah, tiap-tiap kesukaran itu didatangkan dengan kesabaran. Walaupun mungkin penat dan sukar, mereka tetap bertekad untuk mencapai cita-cita mereka.

Di pagi hari, Rizqullah akan ke sekolah dan Abyatina akan sibuk menguruskan hal rumah tangganya. Ada kalanya, ibu mertuanya muncul membantu Abyatina. Yaqzan pula hari demi hari semakin membesar. Maka kepantasan waktu tanpa sedar berlalu, Abyatina dan Rizqullah masih terus gigih dalam usaha mereka.

“Siapa pula yang akan jadi cikgu hari ini?” soal Rizqullah di suatu petang. Saat itu, mereka bersiap-siap untuk memulakan pembelajaran.

“Kalau Sejarah, lebih baik Cikgu Rizqullah yang ajarkan. Tak begitu?” usik Abyatina.

“Kalau hari ini kita belajar Bahasa Malaysia bagaimana? Bukan begitu Cikgu Ina?” balas Rizqullah.

“Nak bermain tarik talik ya...”

“Apa kata kita baling duit syiling. Siapa yang kalah, dialah cikgunya...” seloroh Rizqullah.

Lantas syiling diambil dan masing-masing memilih bahagian syiling itu. Rizqullah memilih ekor dan Abyatina memilih kepala. Syiling dilambung dan keputusan dilihat. Lantas bahagian ekor syiling yang kelihatan. Maka, Abyatina menggelengkan kepala.

“Assalamualaikum Cikgu Ina!” usik Rizqullah sambil berdiri tegak persis seorang ketua kelas memberi salam kepada gurunya.

“Apa khabar anak muridku?” balas Abyatina berseloroh. “Hari ini kita belajar Bahasa Malaysia ya...”

Maka, bermulalah sesi pembelajaran mereka. Hakikatnya, memang Abyatina sangat mahir dalam Bahasa Malaysia. Setiap aspek tatabahasa dikuasainya. Maka tidak hairanlah Abyatina cukup mahir dalam subjek itu. Bagi Rizqullah pula, subjek Sejarah menjadi kegemarannya. Walaupun seorang guru Geografi di sekolah, Rizqullah ternyata cukup mahir dalam subjek Sejarah itu. Mungkin mengikut jejak ayahnya, seorang guru Sejarah satu masa dahulu. Lantas, tatkala mengulangkaji mata pelajaran, maka mereka pasti akan saling melengkapi, membantu antara satu sama lain.

“Lagipun, Ina kan pandai menulis...” bicara Rizqullah.

Kisah itu berterusan selama setahun. Dengan tekun, Abyatina dan Rizqullah sama-sama menuntut ilmu secara persendirian. Hanya buku-buku menjadi rujukan. Tidak ada sebarang kelas dihadiri mereka. Tanggungjawab mereka dalam berkeluarga membataskan mereka untuk menghadiri sebarang kelas.

“Mungkin kalau kita belajar sendiri, dapat juga kita bagi tumpuan pada Yaqzan. Kalau kita sibuk ke kelas, mungkin kita terlepas detik-detik penting Yaqzan. Dalam usianya sebegini, kita perlu ada selalu dengannya. Waktu inilah Yaqzan akan membesar dengan cepat,” bicara Rizqullah selepas tamat sesi pembelajaran mereka.

Abyatina tersenyum. Dalam tempoh setahun itu, maka hari demi hari Yaqzan membesar. Detik-detik indah ternyata tidak terlepas dari pandangan mereka. Masih teringat di fikiran Abyatina tatkala pertama kali dapat melihat senyuman dan ketawa yang dijelmakan Yaqzan buat pertama kalinya sewaktu usianya mencecah tiga bulan.

“Waktu itulah yang paling menggembirakan hati. Segala penat boleh hilang,” luah Abyatina.

Tak lama selepas itu, Yaqzan mula pandai untuk menggolekkan badannya. Lantas perlahan-lahan selepas itu, anak kecil Abyatina itu mula mengatur diri untuk meniarap. Detik-detik itu ternyata cukup penting sehinggakan Rizqullah sanggup membeli kamera untuk mengambil gambar anak sulungnya itu. Setiap detik indah yang berlaku pada Yaqzan akan dirakam Rizqullah dengan baik.

“Biar terakam dengan baik, supaya menjadi kenangan manis di hari tua...” bicara Yaqzan.

Apabila telah pandai meniarap, maka perlahan-lahan Yaqzan belajar untuk menyulur. Maka, bermula dari saat itulah, Yaqzan tidak akan dibiarkan di atas katil berseorangan. Hamparan tilam kecil diletakkan di ruang tamu. Di situlah Yaqzan bermain-main sendirian tatkala pandai menyulur. Namun, tempoh itu tidak lama kerana selepas itu Yaqzan mula berjinak-jinak untuk merangkak.

“Hadang pintu rumah. Jangan sampai Yaqzan merangkak ke pintu dan jatuh tangga ke bawah,” pesan ibu Rizqullah kepada Abyatina sebaik mendapat tahu cucunya itu sudah mula pandai merangkak.

Yaqzan ternyata cukup ligat. Walaupun hanya merangkak, serata tempat di dalam rumah telah diterokainya. Kadangkala Abyatina merasai kepenatan untuk melayan keligatan anaknya itu. Namun mujurlah setiap pintu telah dihadang. Keselamatan Yaqzan terjamin.

“Kalau dah pandai berjalan, makin jauhlah pengembaraan si Yaqzan ni...” keluh Abyatina.

“Biarkan. Lagipun Yaqzan bukan ada kawan di sini. Dia seorang saja. Biar dia main sepuasnya,” balas Rizqullah.

Yaqzan ternyata pantas dalam proses perkembangannya. Namun, apabila Yaqzan sudah lama merangkak, proses situ dilihat menjadi sedikit perlahan. Agak lama juga Yaqzan merangkak sebelum dirinya mula mencuba untuk berdiri. Itupun setelah diajar Abyatina. Perjalanan itu tidak sepantas proses Yaqzan belajar untuk bercakap.

“Dan apa kata pertama dari mulut Yaqzan?” soal ibu Rizqullah.

“Sudah semestinya perkataan ‘mak’,” balas Abyatina tersenyum.

Pada usia tujuh bulan, Yaqzan mula menunjukkan perkembangan untuk bercakap. Perkataan pertama yang dituturkan itu memberi semangat buat Abyatina mengajar anaknya itu untuk bercakap. Usaha gigih Abyatina ternyata berbaloi kerana dalam tempoh beberapa bulan sahaja, Yaqzan sudah pandai menuturkan beberapa perkataan ringkas untuk berkomunikasi dengannya.

“Hebat cikgu BM kita ni ya...” usik Rizqullah.

Sehinggalah di satu petang setelah masa berlalu dengan pantas, hampir dua tahun lamanya, Abyatina menerima surat dari posmen. Dua pucuk surat diterimanya. Satu surat untuknya dan satu surat untuk suaminya. Lantas dibuka surat miliknya. Sepantas itu dibaca isi kandungannya. Tak lama kemudian Abyatina melonjak kegembiraan. Sebuah cita-cita akhirnya tercapai.

“Syukurlah. Termakbul juga akhirnya,” luah Rizqullah melahirkan kegembiraan yang dirasai isterinya itu.

Lantas, Rizqullah membuka pula surat untuknya. Setelah dibaca isi kandungan surat itu, kegembiraan tercipta sekali lagi. Abyatina dan Rizqullah melalui detik paling gembira pada hari itu. Kisah masa hadapan kini semakin menghampiri. Pada hari itu, surat tawaran untuk menyambung pengajian diterima mereka. Setelah bersusah payah selama lebih setahun, kini usaha mereka berbaloi.

“Syukurlah, akhirnya tercapai juga cita-cita kita,” luah Abyatina.

Lantas fikiran mereka terkenang saat masing-masing mengambil peperiksaan awam STPM. Setelah berbulan lamanya berhempas pulas, akhirnya Abyatina dan Rizqullah menemui detik kemuncaknya. Peperiksaan bakal dihadapi mereka. Dalam debaran itu, mereka memulakan hari pertama peperiksaan mereka dengan tenang.

Selepas solat Subuh, maka Abyatina menyiapkan sarapan. Rizqullah pula pada waktu itu menyiapkan anaknya Yaqzan. Tak lama kemudian, mereka bersarapan dan selepas itu Yaqzan dihantar ke rumah ibu Rizqullah yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Sebaik Yaqzan dihantar, maka Abyatina dan Rizqullah bertolak menuju ke pusat peperiksaan.

“Doakan kami mak,” bicara Abyatina tatkala menyalam tangan ibu mertuanya.

“Insya-Allah. Buat yang terbaik. Jangan lupa baca doa sebelum jawab soalan,” pesan ibu Rizqullah kepada Abyatina dan Rizqullah.

Setibanya di pusat peperiksaan, maka Abyatina memegang tangan suaminya. Lantas tangan Rizqullah itu dicium.

“Ina mohon restu abang,” bicara Abyatina.

Lantas Rizqullah tersenyum. Tangan Abyatina pula dicium Rizqullah selepas itu.

“Abang restukan. Abang pun macam tu juga. Moga sama-sama dipermudahkan urusan hari ini,” bicara Rizqullah.

Maka, bermulalah perjalanan mereka menghadapi peperiksaan. Dua minggu tempohnya sebelum semuanya selesai. Itulah kisah beberapa bulan sebelum Abyatina dan Rizqullah menerima surat tawaran tersebut.

“Jadi mana universitinya?” soal ibu Rizqullah selepas perkhabaran gembira itu disampaikan Rizqullah dan Abyatina.

“Universiti Sains Malaysia,” balas Rizqullah ringkas.

“Dua-dua tempat yang sama?” soal ibu Rizqullah.

“Ya. Tempat yang sama,” balas Abyatina pula.

“Baguslah kalau macam tu. Senang kerjanya nanti,” bicara ibu Rizqullah.

“Tapi, macam mana dengan anak hang Yaqzan tu? Siapa yang nak jaga nanti bila hangpa ada di sana?” soal Cikgu Hamdawi yang tiba-tiba muncul di ruang tamu.

“Itulah yang sedang difikirkan...” balas Rizqullah.

Maka, di akhirnya Abyatina dan Rizqullah pulang ke kampung bertemu Mak Cik Ros. Sudah menjadi rutin buat mereka untuk pulang ke kampung setiap minggu, melawat Ustaz Man. Namun, kunjungan kali ini datangnya dengan hajat. Mengharap pertolongan dari ibunya, maka Abyatina cuba bertanya.

“Harap mak dapat tolong Ina...” pinta Abyatina.

“Bila mu nak daftar di sana?” soal ibu Abyatina.

“Dua minggu lagi,” balas Abyatina.

“Kalau sehari dua nak jaga Yaqzan ni, tak ada masalah. Tapi, kalau berbulan lamanya, takut tak terjaga nanti,” bicara Mak Cik Ros.

“Saya faham mak. Cuma setakat ni, kami tak tahu nak minta tolong sesiapa,” kata Rizqullah.

“Lagipun, kami berpisah dengan Yaqzan tak lama. Bila dah ada rumah yang sesuai nanti, kami akan berpindah. Tinggal sekali di sana,” terang Abyatina.

“Mak mertuamu bagaimana? Tak diminta pertolongannya?” soal ibu Abyatina.

“Belum ditanya lagi,” balas Abyatina ringkas.

“Tanya dulu. Kalau tak boleh, baru mak jaga Yaqzan ni,” kata ibu Abyatina.

Penyudahnya, ibu mertua Abyatina bersetuju untuk menjaga Yaqzan selama beberapa bulan saat Abyatina dan Rizqullah menyambung pengajian mereka di universiti. Kelegaan dirasakan. Mak Cik Ros tidak diberikan beban, dapat memberi tumpuan pada Ustaz Man yang memerlukan perhatian sepenuhnya.

“Kenapa tak dicari rumah siap-siap di sana? Bolehlah tinggal sekali,” kata ibu Rizqullah.

“Nak dicari pun, masanya dah suntuk. Untuk semester awal ni, mungkin masing-masing tinggal dulu di kolej kediaman di USM,” balas Rizqullah.

“Sanggup berpisah sekejap?” soal ibu Rizqullah.

“Setiap kesenangan perlu ada pengorbanan,” balas Abyatina.

“Tapi, kenapa tak minta pertolongan abang hang Zaafarani tu? Bukan dia menetap di Pulau Pinang?” soal ibu Rizqullah kepada Abyatina.

Rizqullah dan Abyatina hanya berpandangan antara satu sama lain. Jawapan tidak diberi. Hanya kebisuan yang dibalas. Perihal Zaafarani andai dibicarakan, maka rasa tidak senang mungkin dirasakan. Hakikatnya, memang Zaafarani menetap di Pulau Pinang. Namun, untuk diminta pertolongan padanya, Rizqullah ternyata sangat berat hati. Maka, disebabkan itu, saat mereka akan menyambung pengajian di USM, perkhabaran itu tidak dinyatakan pada Zaafarani.

“Kecil hatinya nanti,” bicara Mak Cik Ros.

“Untuk sementara waktu saja. Nanti bila sesuai masanya, kami akan beritahu abang Zaf,” balas Abyatina.

“Dalam keadaan sekarang, mungkin itu sebaiknya,” jelas Rizqullah pula.

Masa berlalu dengan pantas. Maka tibalah saat Abyatina dan Rizqullah menghadirkan diri untuk mendaftar sebagai pelajar baru Universiti Sains Malaysia. Dalam keramaian itu, ternyata perasaan Abyatina bercampur baur. Dalam keterujaan itu, keresahan juga dirasakannya. Itulah kali pertama Abyatina akan berpisah dengan keluarganya. Itulah juga kali pertama Abyatina akan berpisah dengan suaminya.

“Kenapa pula kita akan berpisah? Abang pun mendaftar juga hari ini,” bicara Rizqullah cuba menenangkan hati Abyatina. “Tak perlu disusahkan hati. Abyatina bukan berseorangan di USM”

“Tapi, malam ni abang tak ada dengan Ina,” bicara Abyatina meluahkan keresahan hatinya.

“Tak apa, tempohnya bukan lama. Bila kita dapat rumah, kita tinggal sekali semula,” balas Rizqullah.

Untuk semester pertama, Rizqullah dan Abyatina masing-masing akan menetap di kolej kediaman yang telah ditetapkan buat mereka. Rizqullah akan hidup membujang semula, begitu juga Abyatina. Di saat sesi pendaftaran berlangsung, Abyatina yang pada mulanya berjalan bersama-sama Rizqullah tiba-tiba menghentikan langkahnya.

“Kenapa pula?” soal Rizqullah.

“Ina ada cadangan,” kata Abyatina.

“Cadangan?”

“Ya...” balas Abyatina. “Kalau Ina akan terpisah seketika dengan abang, hidup membujang kembali di kolej... Apa kata kalau kita nikmati betul-betul kehidupan bujang tu?”

“Maksudnya?”

“Ya, semua yang ada kat sini tak tahu pun yang abang suami Ina, dan Ina pun tak siapa yang tahu isteri abang....”

“Jadi?”

“Mungkin kita rahsiakan dulu status kita?”

“Kenapa pula?” Rizqullah terkejut dalam kehairanan.

“Abang tak teringin nak membujang?” soal Abyatina sedikit sinis.

Maka, langkah mereka diteruskan. Abyatina lebih laju ke hadapan meninggalkan suaminya. Rizqullah hanya berjalan perlahan di belakang melihat isterinya itu meninggalkannya. Masih dalam kehairanan, Rizqullah hanya meneruskan langkah dalam sedikit senyuman.

“Politik apa pula yang dimainkan si Abyatina ni?” bisik Rizqullah.

Universiti Sains Malaysia, maka cita-cita Abyatina dan Rizqullah kini tercipta. Dunia baru akan ditempuhi mereka. Catatan perjalanan yang pasti ada bezanya. Kisahnya akan dilalui mereka.



*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh*

Abyatina dan Rizqullah kini di alam universiti. Apakah akan ada dugaannya?

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.



Siri Adina ke-30 ini adalah siri khas bagi meraikan ulangtahun siri Adina ke-4. Terima kasih atas sokongan diberi untuk siri ini. (2010-2014- Adina)

Ditujukan khas kepada pembaca setia Nor Farhana.


Sumber wajah: Thahirah Kamarulail




Jumaat, 10 Januari 2014

Pagi Khamis: Tips untuk berpraktikum di sekolah





Agak lama juga slot entri Pagi Khamis ini tidak diposkan di blog ini. Kali ini, saya berkesempatan untuk menulis sedikit bingkisan untuk mengisi slot ini. Di kala sedang bercuti selepas empat bulan berpraktikum di SMK Dr Burhanuddin, Taiping, maka tercetus di fikiran untuk menulis sedikit entri berkaitan pengalaman berpraktikum di sana. Dalam slot ini, saya sekadar berkongsi mengenai tips ketika berpraktikum di sekolah. Namun tips ini berdasarkan pengalaman peribadi saya sepanjang bergelar guru praktikum di sekolah. Barangkali ada yang sesuai dan mungkin juga ada yang tak sesuai untuk yang lain.

1.       Pastikan segala dokumen yang berkaitan dengan praktikum telah lengkap dan tersedia sebelum hari pertama praktikum.
Perkara ini penting kerana kadangkala terdapat sesetengah sekolah agak cerewet terhadap kedatangan para guru pelatih. Maka untuk mengelakkan masalah yang mungkin akan timbul, pastikan dokumen pengenalan diri, surat-surat berkaitan telah disusun baik di dalam fail. Ada juga sesetengah sekolah tak kisah pasal perkara ini, namun sebagai langkah persediaan, lebih baik semua dokumen itu ada.

2. Maklumkan kepada pihak sekolah mengenai kehadiran anda nanti untuk berpraktikum.
Seeloknya, pastikan anda memaklumkan pihak sekolah supaya pihak sekolah bersedia menerima anda. Walaupun sekolah telah meluluskan permohonan anda untuk berpraktikum, anda seharusnya memaklumkan juga kehadiran anda nanti sebagai pengesahan kepada permohonan praktikum anda itu. Telefon pihak pejabat dan seeloknya maklumkan beberapa hari sebelum anda melapor diri di sekolah. Setidaknya pihak sekolah akan lebih bersedia dan mereka boleh terus mengatur dan menguruskan jadual kelas anda nanti sebelum hari pertama anda nanti. Kalau sewaktu lapor diri baru nak maklumkan kehadiran anda, maka kelam kabutlah hari pertama nanti.

3. Pastikan anda kemas pada hari pertama melapor diri di sekolah
Pakaian haruslah kemas dan lengkap seperti seorang guru. Pastikan rambut anda pendek dan disikat dengan rapi (bagi lelaki), dan pastikan tudung (hanya tudung bawal sahaja dibenarkan di sekolah) dipakai dengan kemas (bagi perempuan). Pakai tali leher dan pastikan anda punyai tanda nama. Kasut juga haruslah kemas dan berkilat. Jangan lupa pakai tali pinggang. Baju yang dipakai pula jangan berkedut, Pastikan anda menggosok dulu sebelum pakai. Ingat, pandangan pertama amat penting untuk menentukan peribadi anda. Kalau buruk pandangan pertama, maka buruklah tafsiran pihak sekolah. Maka, pastikan diri anda terbaik pada hari pertama melapor diri di sekolah.

4. Jumpa semua pihak atasan sekolah pada hari pertama
Kata orang, bila bertandang ke tempat orang perlulah berjumpa dahulu tuannya. Begitu juga dengan perihal praktikum di sekolah. Pada hari pertama, seharusnya anda bertemu kesemua pihak pengurusan sekolah merangkumi Pengetua, Penolong Kanan 1, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Kokurikulum, dan Penolong Kanan Petang. Hari pertama seharusnya diisi dengan perjumpaan-perjumpaan ini sebagai sesi suai kenal dan sesi mendapatkan maklumat terperinci sekolah. Jangan lupa juga untuk bertemu guru pembimbung anda untuk mengetahui suasana kelas yang bakal diajar dan perwatakan setiap pelajar di kelas. Jangan lupa untuk bertanya bab yang telah diajar guru yang akan anda ambil alih nanti. Apa yang penting, jangan sombong. Senantiasa tersenyum dan rendah diri sewaktu berjumpa mereka.

5. Terima apa saja tugas yang diberikan oleh pihak sekolah tanpa sebarang bantahan
Sebagai guru praktikum, jangan sama sekali menolak sebarang tugas yang diberikan pihak sekolah. Jangan beri alasan dan jangan menolak. Kata orang, masa inilah nak cari pengalaman. Apa yang penting, terimalah tugas yang diberikan itu dengan hati yang terbuka walaupun mungkin agak sukar. Namun sekiranya tugas yang diminta itu di luar bidang tugas sebagai guru atau melanggar peraturan praktikum pihak universiti, anda perlu memaklumkan kepada pihak sekolah. Mungkin ada yang cakap guru praktikum ini dibuli, namun apalah sangat kerana tempoh praktikum hanya sekadar 4 bulan.

6. Fahami spesifikasi kurikulum mata pelajaran yang diajar.
Perkara ini sebenarnya adalah asas bagi seorang guru. Sebelum mula berpraktikum, seeloknya bacalah setiap spesifikasi kurikulum bagi setiap tingkatan. Setidak-tidaknya fahami kandungannya supaya anda tak kekok apabila memulakan latihan mengajar nanti. Ingat, spesifikasi kurikulum adalah asas kepada setiap pengajaran anda di kelas. Kalau gagal anda memahaminya, maka sukarlah anda untuk mengajar di sekolah. Dokumen spesifikasi ini boleh dimuat turun dari laman web KPM dan menjadi panduan anda untuk mengajar di kelas dengan lebih mudah.

7. Pastikan ‘lesson plan’ senantiasa siap sebelum anda memulakan pengajaran di kelas
Buku RPH merupakan nyawa anda. Makanya, anda harus utamakan RPH mengatasi segala-galanya. Untuk itu, pastikan RPH anda siap sebelum anda memulakan pengajaran. Andai kelas dimulakan dan pada masa yang sama RPH masih belum disiapkan, maka itu bolehlah disifatkan sebagai ‘suicidal behaviour’ (perlakuan membunuh diri).  Tanpa RPH, perjalanan kelas akan menjadi tak terurus dan kemungkinan besar anda hanya membuang masa di kelas kerana tiada penetapan objektif dibuat disebabkan ketiadaan RPH. Jadikan hari hujung minggu anda untuk menyiapkan RPH mingguan anda, dan pastikan anda benar-benar bersedia sebelum ke kelas.

8. Senantiasa merujuk guru pembimbing anda
Sebagai orang baru dalam dunia pendidikan, seharusnya pelbagai pertanyaan perlu diajukan kepada guru pembimbing. Sekiranya anda punyai masalah, teruslah merujuk kepada guru pembimbing anda. Jangan rasa malu, kerana anda masih lagi dalam proses pembelajaran. Seperkara lagi, pastikan guru pembimbing anda menyemak RPH anda untuk memastikan supaya perancangan anda itu betul dan mengikut kehendak spesifikasi kurikulum. Jangan jauhkan diri anda dari guru pembimbing, kerana anda pasti melakukan kesalahan tanpa sedar ketika mengajar. Merekalah yang akan menegur kita kalau melakukan kesilapan. Maka, pastikan hubungan dengan guru pembimbing berada dalam keadaan yang baik.

9. Hantar buku RPH kepada pihak pentadbir setiap minggu
Pihak sekolah perlu tahu apa yang anda lakukan di kelas setiap minggu. Jika guru biasa pun perlu menghantar buku rekod pengajaran mereka kepada pihak pentadbir setiap minggu, anda apatah lagi. Maka, pastikan anda menghantar buku RPH kepada pihak berkenaan untuk semakan. Andai terdapat teguran berkenaan RPH anda, terima dengan positif dan cuba perbaiki diri anda. Jangan peram buku RPH anda berminggu-minggu tidak disemak, kerana itu akan memberi persepsi negatif pihak sekolah terhadap anda.

10. Aktifkan diri dalam setiap aktiviti di sekolah
Sebagai guru pelatih, anda membawa nama universiti. Maka, seharusnya anda perlu melakukan sumbangan buat pihak sekolah bagi mengharumkan nama universiti. Tak kira acara apa pun yang diadakan di sekolah, pastikan anda telibat secara aktif. Setiap tugas yang diberi walaupun mungkin kadangkala membebankan haruslah dilakukan dengan sebaiknya. Ingatlah, anda adalah cerminan universiti. Baik buruk anda menentukan tanggapan sekolah terhadap universiti.

11. Pastikan tegas di kelas di awal praktikum (2 ke 3 minggu pertama)
Kelas pertama yang anda masuk, ketegasan perlulah anda. Perkenalkan diri dan nyatakan peraturan yang anda inginkan semasa anda mengajar di kelas kepada pelajar. Jangan beri peluang untuk pelajar memijak kepala anda. Pastikan anda berterusan untuk tegas dalam beberapa minggu. Perkara ini penting untuk membina nilai hormat dalam kalangan pelajar terhadap anda.

12. Senantiasa bersedia dengan aktiviti yang menarik untuk kelas ganti (relief)
Sebagai guru pelatih, memang lumrah untuk mendapat banyak kelas relief. Makanya, pastikan anda bersedia dengan beberapa aktiviti di kelas supaya para pelajar tak membuat bising di kelas. Pastikan aktiviti tersebut menarik dan menyeronokkan.

13. Jangan ‘bias’ pada mana-mana pelajar
Layan setiap pelajar di kelas secara sama rata. Jangan lebihkan mana-mana pelajar. Walaupun mungkin anda punyai pelajar ‘favourite’ di kelas, jangan tonjolkannya sewaktu anda mengajar. Perkara ini penting supaya tidak akan ada pelajar yang terasa tersisih sewaktu di kelas.

14. Pastikan anda ke kantin setiap kali waktu rehat
Untuk mudah bergaul dengan para guru di sekolah, waktu rehat di kantin adalah waktu yang paling sesuai. Buangkan sifat malu walaupun anda orang baru. Biasakan diri untuk pergi ke kantin setiap kali waktu rehat. Berbuallah dengan guru-guru supaya dapat manjalinkan hubungan baik dan mesra dengan mereka. Hubungan sosial paling mudah terjalin sewaktu di kantin.

15. Senantiasa peka dengan perkembangan sekolah
Pastikan anda senantiasa mengikuti perkembangan terkini sekolah. Rujuk papan kenyataan untuk mendapatkan maklumat. Sekiranya terdapat mensyuarat, anda wajib hadir. Ketidakhadiran anda boleh mencetuskan pandangan negatif terhadap anda.

16. Pastikan anda senantiasa manis dengan senyuman
Walau di mana anda berada, pastikan anda selalu tersenyum. Senyuman ini mampu mencetuskan kemesraan dengan para guru, mampu juga membuatkan para pelajar rasa selesa untuk belajar di kelas.

17. Ingat, anda adalah seorang guru bukannya pensyarah bertaraf professor
Pastikan metodologi pengajaran anda menarik dan menyeronokkan. Jangan jadi seperti seorang pensyarah yang hanya memberi penerangan di depan tanpa sebarang respon dari pelajar. Jangan terlalu serius di kelas. Pastikan pada waktu tertentu anda bergurau senda dengan pelajar. Apabila mengajar di depan, pastikan anda menggunakan intonasi suara yang jelas dan menggunakan bahasa yang ringkas. Ingat, pelajar lebih suka guru memberi penerangan yang ringkas namun mudah difahami. Kalau penerangan panjang lebar, fokus pelajar mudah hilang.

18. Jaga tingkah laku di luar sekolah
Ingat, anda bukan sekadar guru di sekolah. Anda akan menjadi guru sepanjang masa. Oleh itu, pastikan tingkah laku anda di luar sekolah juga bersesuaian dengan imej anda sebagai seorang guru. Jangan nanti, ada pelajar ternampak anda merempit di tengah malam di jalan raya. Andai itu terjadi, nilai hormat pelajar terhadap anda akan hilang.

19. Hadkan perkongsian maklumat peribadi anda kepada pelajar
Jangan terlalu terbuka dengan para pelajar. Hadkan perkongsian mengenai diri anda. Tak salah untuk memberi Facebook dan Twitter anda, namun tegaskan kepada pelajar bahawa para pelajar perlu menghormati anda sebagai guru ketika bersosial di laman sosial. Sebaiknya, beri nama Facebook anda selepas beberapa bulan berpraktikum. Pastikan nilai hormat pelajar itu wujud dahulu, barulah anda boleh berkongsi maklumat Facebook anda.

20. Pastikan anda tahu bahawa anda seorang guru
Jangan bermain cinta dengan para pelajar. Sekiranya perkara ini diketahui pihak sekolah, anda boleh dikenakan tindakan. Ingat, anda harus meletakkan batasan dengan para pelajar. Pelajar tetap pelajar dan guru tetap seorang guru. Anda harus tahu kedudukan anda yang sebenar. Elakkan diri dari ditimpa masalah.


Ingatlah, pengalaman sebagai guru praktikum amatlah menyeronokkan. Namun ingat juga pelbagai cabaran pasti akan ditempuhi nanti. Apa yang penting, pastikan diri bersiap sedia supaya tidak ditimpa masalah nanti.

Setakat ini sahaja perkongsian kali ini. Sekadar bingkisan berdasarkan pengalaman. Selamat berpraktikum buat semua. Insya-Allah, moga anda dipermudahkan.