Ahad, 1 Mac 2015

Mengenang 10 Tahun Itu...





21 Februari 2005, mengenang kisah yang berlaku sepuluh tahun yang lalu. Barangkali pedih, mungkin dipenuhi dengan kisah-kisah penuh cabaran. Semuanya telah dikisahkan dalam sebuah perjalanan kehidupan. Hidup sebagai manusia, maka keperitan itu adalah sebahagian darinya. Walaupun mungkin pedih untuk dihadapi, namun semuanya harus dilepasi.

Sebuah kisah yang tidak pernah dinyatakan kepada sesiapa sahaja. Satu rahsia yang telah dipendam selama bertahun-tahun tempohnya. Inilah sebuah kisah yang menyatakan apa yang sebenarnya telah berlaku dalam tempoh itu.

Kerana dari sebuah kejayaan manis tatkala di bangku sekolah, maka penghijrahan ke suatu pengalaman baru tercipta. Itulah detik paling manis yang pernah dirasakan. Ibu dan ayah tidak tergambar gembiranya. Sangat berbangga dengan kejayaan anaknya, kerana itulah kerjaya pertama bagi anak sulung mereka.

Pengalaman baru bakal dicipta. Bakal berpisah dengan keluarga. Walaupun jaraknya tidaklah sejauh yang disangka, namun itulah kali pertama pengalaman seumpanyanya. Hari dinanti telah tiba, maka bermulalah kehidupan baru di sebuah asrama. Kisahnya dicatat sebagai satu ingatan, itulah pengalaman hidup berdikari buat pertama kalinya.

Segalanya tampak bersemangat dalam keterujaan. Namun di saat itu jugalah, sukar dirasakan kerana itu jugalah kali pertama berpisah dengan keluarga. Hati memang berat, kadangkala seperti sukar untuk membiasakan diri. Namun mujurlah semuanya dapat diharungi sedikit demi sedikit.

Kerana pengalaman itu cukup berharga, maka setiap yang dihadapi itu dijadikan satu keazaman.  Namun apabila hasad dengki itu menyelubungi sesetengah manusia, maka akhirnya penganiayaan berlaku. Kerana cemburukan kejayaan yang dirasakan, maka secara halus diperbuatkan. Sakit dan lemah dijadikan. Maka terciptalah kisah berbeza di suatu masa.

Apabila si halus dikirimkan untuk membinasakan, si mangsa itulah pasti melalui detik yang penuh kesukaran. Sakitnya bukan kepalang, kerana apabila dirasakan, tidak tahu punca dan sebabnya. Apabila seluruh isi kepala bagaikan dihentak dan dipecahkan, maka di saat itu tubuh pasti tidak berdaya. Lemah dan tidak bermaya, terketar dan dilanda sakit yang tak terkata. Semuanya terjadi di saat baru sahaja menikmati sebuah kejayaan.

Tiada siapa yang akan faham apa yang berlaku. Apa yang dilihat hanya sekujur tubuh yang cergas, tiba-tiba menjadi lemah. Bagi sesetengahnya, barangkali sakit itu hanya sebuah sandiwara, mungkin dikatakan cuba menagih simpati. Namun di sudut hati yang sebenar, kepada Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Mungkin kerana sakit itu, maka nikmat hilang sedikit demi sedikit. Pengakhirannya cukup pedih, kerana harus meninggalkan kejayaan itu. Empat bulan tempohnya, maka akhirnya mengalah dan keluar. Menuju ke suatu tempat baru bertemankan ayah yang pasti akan senantiasa melihat dan menjaga. Pedih, apabila harus melepaskan semua nikmat kejayaan itu.

Masih teringat di fikiran, saat itu sakit menyerang tiba-tiba di lewat malam. Ayah terjaga dan ibu juga terus bergegas. Sakitnya semakin menjadi-jadi, teruk dan tiada penawarnya. Maka setelah beberapa tempoh sakit itu, di malam itu kedengaran suara sebak ayah yang tak pernah didengari selama ini.

Katanya: “Tak ada yang boleh kita buat. Kena redha saja ketentuan Allah”

Sebaknya tidak dapat disembunyikan. Sebak itu menunjukkan betapa kecewanya seorang ayah untuk melihat anaknya berjaya di sebuah institusi terbaik, akhirnya terkubur disebabkan kerja halus seorang yang busuk hati. Namun, di sebalik sebak itu. Ayah menjadi semakin kuat dan tabah.

Kerana sakit itu, ayah mula merutinkan dirinya untuk bangun setiap malam, mendirikan tahajud dan amalan-amalan sunat yang lain. Tidak pernah selama ini itu berlaku, namun sakit yang dihadapi itu menukar arah tuju keluarga secara keseluruhannya. Semuanya menjadi berbeza.

Perjalanan tahun berikutnya bukanlah mudah. Berada di tempat yang asing, mujur ayah turut ada. Tidak pernah terlintas di fikiran, akan tiba masanya ayah akan menjadi guru mengajar di hadapan. Suatu perkara yang tak pernah terlintas namun telah berlaku. Di tempat baru itu, semuanya bagi sukar kerana tempat itu bukanlah setanding tempat sebelumnya. Tarafnya berbeza.

Masih teringat di fikiran betapa banyaknya pengorbanan ayah. Banyak menghabiskan masa memastikan anaknya itu sihat. Andai sakit melanda, maka kelam kabut ayah dibuatnya. Disebabkan itu jugalah, maka ayah ditukarkan dari petang ke pagi. Itu juga namanya rezeki, kerana bermula di saat itu jugalah, perjalanan kerjaya ayah semakin cepat dan bertambah.

Di suatu masa, peperiksaan tiba. Satu kemustahilan di kala sakit itu terus melanda. Beberapa bulan sebelumnya, amat jarang untuk menghadirkan diri. Namun mujur barangkali berkat doa ibu dan ayah, maka semuanya dipermudahkan dan untuk beberapa bulan terakhir dapat juga menuntut ilmu setakat yang termampu. Di kala peperiksaan bermula, masih terbayang bagaimana ayah seringkali berlegar-legar di sekitar koridor, senantiasa memantau keadaan anaknya. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kesusahan sehingga ke hari terakhirnya.  Allah Maha Pengasih.

Satu bab telah selamat diharungi.

Rezeki ada di mana-mana. Allah Maha Mengetahui di atas apa yang tidak ketahui. Di kala sakit itu senantiasa terjadi, di kala semuanya bagai kelam sehingga dirasakan tiada lagi masa hadapan yang meyakinkan, Allah kurniakan sisi rezeki yang tak diduga. Keputusan peperiksaan yang diterima sangat cemerlang. Maka kisah berikutnya adalah sisi baru perjalanan hidup. Melanjutkan pangajian di peringkat lebih tinggi.

Namun tiada siapa yang sangka, sakit yang dulu kembali semula di kala itu. Maka sekali lagi terkandas untuk beberapa ketika. Setahun tempohnya, dan detiknya itu sangat memeritkan. Masih ingat di fikiran, di kala itu ayah bersusah payah menguruskan apa yang patut bagi penangguhan itu. Berulang alik ke hospital semata-mata untuk mendapatkan dokumen rasmi kesihatan. Siapa tidak lupa perlu ke klinik itu semata-mata untuk mendapatkan cuti panjang itu. Psikatarik, nama yang tak akan dilupakan.

Setahun berlalu, kesihatan dilihat semakin pulih. Namun di waktu tiba harinya untuk kembali ke sana menyambung pengajian, maka sakit itu menyerang kembali. Ternyata hasad dengkinya itu masih terus ada. Terus menganiaya mereka yang tak berdaya. Baginya, biar anaknya berjaya, jangan anak orang lain. Tak apa, sabarkan hati kerana pasti ada jalan lain yang Allah akan kurniakan.

Pagi sakit itu, ayah dilihat lebih tenang berbanding kisah sakit di alam persekolahan dahulu. Ayah lebih memahami dan tahu apa yang perlu dilakukan. Kata ayah, pintu rezeki ada di mana-mana. Peluang masih ada, dan masa masih panjang. Kata ayah, kita cari ruang yang lain supaya akan bertemu rezeki yang dicari.

Maka, dari situ bermulalah kisah bersendirian sebagai pelajar persendirian. Dari detik itulah, semuanya harus dilakukan sendiri. Di rumah, tanpa sebarang kelas. Di bilik tanpa sebarang tunjuk ajar, maka semuanya hanya bergantung kepada buku-buku yang ada. Pembelajaran berdasarkan buku sepenuhnya, maka tugasnya bukanlah mudah. Namun mujurlah, semuanya dizinkan-Nya. Di sebalik susah itu, Allah kurniakan cahaya yang menerangi kesuraman yang melanda.

Masih teringat di waktu itu, pelbagai tempat ayah menjelajah membawa anaknya ini untuk berubat memulihkan kesihatan. Masih segar di ingatan, ayah membawa sehingga ke Kedah. Wang yang dihabiskan tidaklah terkira, dan semuanya dikorbankan demi kesihatan anaknya. Sehingga di suatu saat, ayah tak membeli baju baru untuk beberapa tahun. Langsung tidak berbaju baru di kala hari raya. Ayah berjimat demi anaknya. Besar pengorbanan ayah.

Ibu orangnya tabah. Setiap kali dilanda kesakitan, pasti ibu akan ada di sisi. Pengorbanan ibu tak terkira, kerana banyak masanya dihabiskan untuk anak sulungnya itu. Malam kadangkala berjaga dan di siang hari sibuk pula menguruskan rumah tangga menjaga adik-adik yang masih kecil. Pernah satu ketika di kala ibu membaca Yaasin, ibu terlena di pertengahan bacaan itu. Tanda betapa ibu kurang rehat, banyak berjaga. Tidak terkata pengorbanannya.

Di satu hari, perkhabaran dinyatakan. Si polan itu telah meninggal secara tiba-tiba. Apabila hasad dengki itu telah hilang, maka kelegaan dirasakan. Dari kerana itulah, tiada lagi sakit yang membinasakan. Kesakitan dirasai bertahun-tahun lamanya sedikit demi sedikit semakin menghilang. Kerisauan tidak lagi melanda dan masa depan dilihat menjadi cerah. Harapan dirasakan penuh dengan sinar yang baru.

Pengorbanan ayah dan ibu tak terhitung jasanya. Menghadapi peperiksaan, sakit itu datang kembali, ibarat seperti menghalang dari mencapai kejayaan. Masih teringat di malam hari sebelum peperiksaan, dada direntap, sakit yang cukup pedih dirasakan. Jantung bagai dihiris, kepala bagi dihentak. Ayah faham, ibu mengerti. Maka kepada Allah mereka berserah. Doa dan harapan dipanjatkan kepada-Nya. Masih segar di ingatan, bacaan-bacaan ayat suci Yaasin yang dibacakan di telinga ketika itu.

Semuanya berkorban.

Alhamdulillah, dugaan dihadapi dengan tenang. Kerana di pagi berikutnya tubuh sihat dan diberikan kekuatan untuk peperiksaan itu. Maka satu demi satu kertas dihadapi. Semuanya bagai dipermudahkan. Semuanya diberikan kelancaran. Maka, setelah selesai kelegaan dirasakan. Fasa seterusnya bakal dilalui.

Kepada Allah dipanjatkan rezeki. Kerana dari peperiksaan itulah, maka akhirnya ketemu sinar yang selama ini dicari. Setelah bertahun lamanya dalam kelam dan kesuraman, maka di saat menerima perkhabaran itu, seluruh kelegaan terpancar di wajah.

Alhamdulillah, kerana itulah hari menyaksikan anaknya ditawarkan untuk menyambung pengajian. Setelah begitu lama dilanda kesakitan, khabar itu ternyata ibarat ubat paling mujarab merawat luka yang berbekas. Impian akan tercapai, dan yang pasti kegembiraan itu sangatlah bermakna buat ibu dan ayah.

Perjalanan di alam universiti menceritakan satu sisi yang cukup bermakna. Mengajar pengalaman, memberi banyak pengajaran. Memahami erti sebenar dunia realiti. Membezakan siapa yang kawan, dan siapa yang lawan. Kadangkala tiada siapa yang memahami, hanya mengherdik mahupun mencemuh. Menyatakan pelbagai tohmahan, walhal mereka tidak akan sama sekali faham.

Kerana hakikatnya kisah-kisah silam itu tidak pernah dikongsikan dengan sesiapa pun. Tidak pernah diceritakan kepada mana-mana rakan. Tidak perlu dikongsikan kerana itu adalah perihal peribadi yang tak seharusnya disebarkan kepada semua.

Memang tatkala di alam universiti, kesihatan itu kadangkala menganggu. Menguji kekuatan di sebalik cabaran sebagai mahasiswa. Bila tubuh pernah dihentam dengan hentaman-hentaman halus yang membinasakan, bekasnya masih ada. Mungkin disebabkan bekas itulah, maka sakit itu masih ada, kadangkala muncul tanpa diduga.

Alhamdulillah, semuanya diharungi dengan tabah. Biarkan tiada siapa yang faham asalkan ibu dan ayah terus ada. Semangat merekalah, maka digagahkan juga menghadapi setiap kemungkinan. Maka di akhirnya, tahun-tahun akhir menjelma dan kesihatan dilihat pulih sepenuhnya. Tiada lagi kisah sakit di dada mahupun pedih di kepala. Semuanya hanya tinggal kenangan.

Tahun itu, maka segalanya ternoktah. Sebaik tamat peperiksaan di petang hari, di hari Rabu masih segar di ingatan. Semuanya sudah berakhir kerana selepas itu tiada lagi hari-hari pengajian di sana. Syukur dilafazkan, dan kelegaan diluahkan. Ibu dan ayah dalam kesenangan hati.

Beberapa bulan berlalu pergi. Tibalah hari yang paling bererti. Sebuah sejarah bakal tercipta, kerana anakmu akan mengenggam segulung ijazah., Maka, di petang itu, kaki melangkah bersama barisan rakan-rakan yang lain. Semuanya dilanda dengan wajah yang ceria. Masing-masing berjalan dalam barisan, menuju masuk ke pintu utama. Dewan keramat tersergam di hadapan. Di situlah bakal tercipta kisah termanis.

Di kala kaki melangkah masuk, tatkala mendengar muzik iringan sewaktu upacara perarakan para graduan, maka sebak melanda di hati ini. Hampir sahaja menitis air mata, namun dapat ditahan dari mengalir. Sungguh, detik ini tidak pernah terlintas di fikiran. Tidak pernah diimpikan saat dilanda kesakitan beberapa tahun sebelumnya. Tiada siapa yang sangka hari itu akan tiba. Apa yang pasti, detik yang dirasakan ini adalah dedikasi sepenuhnya buat ibu dan ayah.

Kata mak, saat perarakan masuk para graduan itu, air matanya tidak dapat ditahan. Rasa sebak tidak dapat dikawal. Sesungguhnya itulah hari yang paling bermakna buatnya. Bagi ayah pula, tiada air mata yang diseka, namun wajah ceria dan gembira menceritakan segalanya. Ayah paling gembira di hari itu, dan itu dapat dilihat sepanjang hari itu. Ayah tidak meluahkan rasa gembiara dari kata-kata. Namun, dari perbuatannya itu, maka semuanya amat jelas untuk difahami.

Saat kaki melangkah menaiki pentas utama, tatkala nama diumumkan, maka perlahan-lahan kaki berjalan menuju ke kisah yang paling diimpikan. Senyuman dikuntumkan, dan tangan dihulurkan, maka diberikan segulung ijazah yang cukup bermakna. Hanya Allah yang mengetahui betapa gembiranya hati di waktu itu. Betapa bersyukurnya dengan apa yang dirasakannya itu.

Semuanya itu tercipta dan telah terjadi. Semuanya adalah perancangan yang telah diaturkan-Nya. Hakikatnya, sebagai hamba-Nya yang sangat lemah, hanya kepada-Nya tempat kita berharap. Alhamdulillah, kerana dari kesuraman yang diharungi itu, Allah kurniakan kisah yang penuh sinar dan pengharapan. Sesungguhnya Allah itu ada dan Dia pasti akan membantu dan memberi sinar buat hamba-Nya.

Dari sebuah kemustahilan yang dilihat tiada harapan, semuanya bertukar dengan kemungkina yang pasti dan penuh dengan sinarnya.

Ini adalah sebuah pengkisahan mengenang kembali peristiwa yang pernah berlaku sepuluh tahun yang lalu. Kisahnya penuh dengan ketabahan dan kesabaran. Tidak ramai yang tahu dan tiada siapa yang akan faham. Nukilan ini hanya bersifat peribadi, disampaikan dalam pengkisahan secara halus, tersirat dan disampaikan dalam lapisan-lapisan yang penuh makna. Hanya yang benar-benar memahami akan tahu setiap baris ayat pengkisahan yang dinyatakan itu.

Apakah kisah seterusnya?

Membina masa hadapan dan mencipta kehidupan yang lebih bermakna. Namun seharusnya perlu diakui sampai bila-bila, terima kasih tak terhingga buat ibu dan ayah di atas setiap pengorbanan dan kesabaran yang dicurahkan. Sesungguhnya jasa yang dicurahkan itu tidak akan terbalas. Hanya kejayaan sahaja yang mampu diberikan buat mereka.

Sekadar itu sebuah kisah. Mengenang 10 tahun sebuah perjalanan panjang.

Alhamdulillah.

(MRSM Taiping, Matrikulasi Perak, STPM, Universiti Pendidikan Sultan Idris)
21 Februari 2005- 18 September 2014