Rabu, 27 Januari 2010

Jodoh

Kini saya berumur 21 tahun. Masa berlalu dengan pantas sekali. Semakin meningkat usia juga, maka semakin meningkatlah tahap kematangan. Begitu jugalah yang berlaku dalam diri saya ketika ini. Apabila saya memasuki 21 tahun, banyak perkara baru yang selama ini saya rasakan masih terlalu awal untuk dibicarakan kini dilihat sudah sampai pada waktu yang sesuai untuk diperkatakan. Saya maksudkan di sini ialah bicara mengenai soal jodoh yang mula menerjah dalam kotak fikiran saya sejak kebelakangan ini.

Jika ditanya adakah masih terlalu awal untuk berbicara mengenai soal jodoh ini, maka sebenarnya bukanlah sesuatu yang terlalu awal lagi. Malah ada beberapa rakan saya kini telah mula merancang soal jodoh masing-masing malah ada yang telahpun menemui jodoh yang dicari. Ada yang kini mula merancang, menjelang usia 23 tahun, mereka akan mendirikan rumah tangga. Huh, saya rasa macam tak percaya kerana kini saya berada dalam usia yang memang sesuai untuk memperkatakan soal jodoh. Jadi terlintas pula di fikiran saya, adakah saya juga telah mula memikirkan akan soal ini.

Ramai yang bercakap, untuk mencari jodoh itu, maka berpasanganlah dahulu yakni bermulalah dahulu dengan satu hubungan yang dinamakan hubungan cinta. Namun, saya terfikir, adakah itu satu kewajipan yang memang perlu dilakukan oleh semua orang? Saya fikir tidak kerana bukan semua yang berkahwin itu akan melalui proses hubungan cinta dahulu. Ada sesetengah mereka hanya mula bercinta apabila telah diikat sebagai pasangan suami isteri yang sah. Jadi timbul satu soalan dalam diri saya, adakah saya tidak perlu untuk bercinta?

Sebenaranya mengikut pengetahuan yang saya tahu, kebanyakan ulama menghalang umat Islam untuk bercinta dengan orang lain. Cinta yang saya maksudkan di sini ialah hubungan cinta antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Terdapat beberapa alasan yang diberikan untuk menyokong hujah tersebut. Hujah yang paling kuat yang mengukuhkan larangan tersebut adalah bertujuan untuk menghalang daripada terbukanya pintu-pintu zina. Saya akui dengan hujah ini kerana apabila seseorang mula menjalinkan hubungan cinta dengan seseorang, pelbagai perkara yang haram mula dilakukan. Bolehlah dinyatakan beberapa perkara ‘normal’ yang biasa dilakukan bagi pasangan bercinta seperti berbalas sms, berbual melalui telefon, keluar bersama-sama atau lebih tepat berdating, menonton wayang, makan bersama dan banyak lagi perkara yang diharamkan dilakukan oleh pasangan bercinta.

Bersms dengan bukan mahram adalah sesuatu yang tidak digalakkan dalam Islam kerana perkara itu boleh membuka pintu zina. Malah perkara ini juga pasti akan membazirkan masa dan wang sebenarnya. Begitu juga dengan berbual menerusi telefon, itu juga adalah haram kerana suara itu adalah aurat bagi wanita dan suara wanita itu mampu mencetuskan rasa sehingga terdorong ke arah penzinaan. Namun, bersms dibolehkan jika terdapat perkara yang penting untuk dimaklumkan begitu juga dengan bercakap melalui telefon hanya dibolehkan jika terdapat perkara yang penting sahaja untuk diberitahu. Perkara lain seperti berdating tidak perlulah dihuraikan lagi kerana perkara itu memang terang-terangan adalah haram.

Jadi saya simpulkan bahawa tidak perlulah untuk saya bercinta. Cukup sekadar tertarik pada seseorang itu dan kemudian terus menyimpan niat untuk menjadikan dia sebagai isteri yang sah satu hari nanti. Namun ada yang berkata, bercinta ni membolehkan kita mengenali hati budi dengan lebih dalam supaya pilihan kita itu tak salah. Hehe, betul ke macam tu? Saya rasa tak, kerana Saidatina Khadijah pun tak pernah bercinta dengan Rasulullah sebelum berkahwin namun boleh juga mengenali dengan lebih mendalam mengenai Rasulullah. Islam ada caranya, cuma kita yang tak pedulikannya. Budaya yang dibawa Barat itulah yang lebih menarik perhatian kita. Maklumlah, Islam nak kena moden, jadi hidup kena moden jugak macam barat... Yalah betullah tu, nak moden punya pasal sampai banyak gadis membunting tak berbapa. Biasalah, hidup nak moden....

Saya bukanlah golongan ustaz yang tahu serba-serbi bab hukum dan hakam. Tapi saya adalah insan biasa yang cuba mengikut kehendak Islam yang sebenar. Bukankah itu merupakan kewajipan untuk setiap umat Islam? Patuh pada segala yang dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis.. Namun tak ramai yang benar-benar mahu mengikut landasan Islam yang sebenar. Begitu juga dalam bab pergaulan, saya juga bukanlah sempurna untuk menyatakan bahawa saya tak pernah buat apa yang dilarang dalam Islam. Kadang-kadang kita boleh alpa seketika dek terpesona dengan keseronokan dunia. Namun apa yang penting, kesedaran harus ada supaya tidak lagi mengulangi kesilapan tersebut.

Berbalik kepada soal jodoh tadi, saya memang akui kini memang saya telah menetapkan satu sasaran untuk ke arah itu. Orangnya pun telah ada maka sasarannya pun telah ditetapkan. Namun cukuplah untuk saya bicarakan bahawa perjalanannya masih terlalu panjang. Saya baru mengatur langkah pertama sedangkan banyak lagi langkah perlu dilakukan. Soal sama ada mampu saya capai hasrat itu bukanlah mampu untuk saya jawab. Semua itu di luar kemampuan saya untuk mengetahuinya. Cukuplah untuk saya lakukan setakat di dalam kemampuan saya iaitu melakukan usaha setakat yang saya mampu, dan pada masa yang sama tidak akan putus-putus berdoa supaya hasrat murni saya itu akan tercapai. Soal sama ada termakbul atau tidak, itu hanya Allah sahaja yang tahu.

Ada yang bertanya pada saya, siapakah gerangan orang itu? Dah lama kenal atau baru sahaja berkenalan? Saya tak akan jawab soalan itu kerana bagi saya cukuplah sekadar hanya saya sahaja yang tahu akan perkara ini. Ada juga yang bertanya, adakah saya telah memperkatakan perkara itu pada gerangan orang tersebut? Saya tak menjawab juga namun saya tahu yang memang saya dah nyatakan. Jadi mungkin nanti ada orang bertanya, apa yang dia kata? Saya juga tak akan jawab pertanyaan itu. Malah saya sendiri tak pernah terfikir nak mintak orang itu menjawab pertanyaan saya. Bagi saya saya cuba mahu beritahu bukan mahu untuk ingin tahu. Maksudnya saya bukan mahu ingin tahu jawapan dari dia terhadap apa yang telah saya beritahu, saya cuma hanya mahu beritahu niat saya itu saja.

Mungkin nanti akan ada yang bertanya, kenapa perlu beritahu dia? Bukan masih terlalu awal? Mudah sahaja jawapannya. Saya tak mahu menjadi manusia yang berada dalam topeng sepanjang masa. Apa sahaja yang saya rasa, maka itulah akan saya cuba nyatakan pada dia tambah-tambah jika hal itu memang berkait dengan dia. Jadi, istimewakah hamba Allah ini? Ya, seorang wanita mungkin boleh jadi cukup istimewa buat saya, namun yang pasti saya tidak pula mahu mengangkat dirinya sehingga memujanya sepanjang masa. Cukup sekadar saya nyatakan bahawa saya hanya berniat untuk menjadikan dirinya sebagai isteri yang sah. Jadi salahkah niat saya itu? Memang tak salah kerana Islam tak pernah melarang. Carilah dalam mana-mana kitab pun, tak ada yang menyatakan bahawa niat untuk jadikan seseorang itu sebagai seorang isteri adalah salah. Kalau salah pun mungkin kerana wanita itu isteri orang, hehe.. memanglah tak boleh kalau ada niat pada orang macam tu.

Ada yang cuba mengorek rahsia yang memang saya tak akan ceritakan ini. Mereka ingin tahu, siapakah wanita ini. Saya cuma nyatakan, wanita ini bukan teman istimewa saya malah tak pernah untuk ke arah itu yakni untuk hubungan istimewa tersebut. Saya kawan dia? Mungkin juga atau mungkin dia sekadar kenalan biasa saya? Mungkin juga. Jadi siapa namanya? Jawapan saya mudah sahaja, yang pasti namanya pasti ada kalimah ‘binti’. Di mana dia berada? Di mana-mana sahaja bumi Allah, mungkin itulah tempat dia berada. Berapa usianya? Yang pasti umurnya tak jauh dari saya dan tak banyak bezanya. Muda atau lebih tua? Mungkin soalan ini saya pilih ‘atau’? hehe..

Saya hanya boleh simpulkan bahawa dia juga pelajar seperti saya. Mungkin tak sama tempat belajar, namun tujuan masih sama iaitu menuntut ilmu. Memang saya dah kenal lama, itu saya tak nafikan. Memang saya tahu tempoh saya kenal dia bukan tempoh yang singkat tapi satu tempoh yang lama. Cukuplah sekadar saya katakan tempohnya itu sejak adik perempuan saya baru belajar untuk meniarap sampailah adik saya dah mampu berlari untuk ke sekolah sekarang. Jadi bukankah lama tempoh itu? Lama atau tak, sehingga kini saya masih dapat berhubungan dengan dia. Alhamdulillah semua itu izin Allah juga.

Apabila bicara mengenai jodoh, banyak cerita, banyak kisah. Saya tak tahu bagaimana pula kisah saya kerana saya kini sedang berada dalam kisah itu. Saya kini sedang menyusun langkah namun tak tahu sama ada langkah itu betul atau tidak. Saya juga tak tahu sama ada sasaran saya tepat atau tidak. Saya juga tak tahu sama ada semua ini akan tercapai atau tidak. Semua itu hanya dalam pengetahuan Allah yang tak mungkin saya dapat ketahuinya.

Langkah yang saya lakukan kini terlalu kecil. Saya sedar saya manusia lemah namun saya tahu atas kelamahan itulah membuatkan saya lebih mengingati Allah supaya saya sentiasa bermohon dan berdoa kepada-Nya meminta pertolongan. Apakah usaha yang saya lakukan itu? Saya hanya mampu untuk terus berhubungan dengan dia. Walaupun sedikit usaha itu, namun saya harap usaha saya itu berbaloi.

Kemudian banyak pula soalan yang menerjah pada saya bila saya bicarakan soal jodoh ini. Dah ada perancangan nak berkahwin ke? Wah, soalan tu memang kasar bunyinya kerana saya tahu memang saya tak ada kemampuan lagi. Tapi semua orang tak akan nafikan yang memang mereka akan ada perancangan untuk itu bukan? Macam rakan saya semasa di tingkatan 5 dulu, katanya pada waktu itu, dia sekarang mahu belajar bersungguh-sungguh supaya nanti akan dapat masa depan yang cerah dan yang paling dia mahukan adalah supaya dia dapat berkahwin tanpa sebarang masalah. Bukan apa, masa tu dia dah ada calon pun. Niat itu tak salah, langkah yang dibuat itu betul. Sasaran dah ada, langkah pun dah disusun. Jadi apa salahnya kata-kata rakan saya itu. Malah sekarang dia dah pun bagitau saya yang dia dah hampir ke peringkat terakhir proses jodoh itu. Saya tanya dia, bila saya nak dapat kad jemputan? Dia cakap, mungkin tahun depan.... Fuh, memang bersungguh bila dia cakap macam tu dan memang bersungguh hasrat yang dia nyatakan semasa di tingkatan 5 dulu. Betul kata orang, kalau kita berusaha, insyaallah pasti akan berjaya. Malah jodoh dia pun dah ada. Jadi bila pula jodoh saya?

Macam yang saya katakan tadi, saya dah ada calonnya. Memang saya tak nafikan. Saya tahu memang dialah orang yang mampu memenuhi ciri-ciri calon yang saya mahukan. Namun yang penting keikhlasan hati saya apabila memperkatakan perkara ini adalah datang dengan keizinan Allah. Niat saya untuk menjadikan dia isteri saya bukan datang tiba-tiba. Saya pernah katakan dahulu niat ini muncul perlahan-lahan tanpa disedari. Tiba-tiba saya baru tersedar dan akhirnya itulah hasil yang saya nampak. Itu yang berlaku pada saya. Saya tak mencari niat itu, tapi niat itu muncul dalam diri saya sendiri. Niat itu bukan datang dari luar masuk ke dalam hati saya, tapi muncul dari hati bergerak ke luar dari diri saya. Saya tak kata yang mungkin saya akan berkahwin dalam masa terdekat ini, namun saya hanya berkata saya pasti akan berkahwin satu hari nanti. Proses itu mudah, tapi perlaksanaan itu bukan sesuatu yang senang.

Kalau orang itu membaca catatan ini, saya cuma ingin nyatakan bahawa saya hanya sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran saya. Apa yang penting catatan saya ini tidak menyatakan siapa individu sebenar yang saya maksudkan ini. Pernyataan umum yang hanya boleh diketahui oleh orang itu sahaja, jadi tak perlulah risau. Namun saya tahu, mungkin catatan ini tak begitu selesa apabila disebarkan secara umum. Tapi apalah yang perlu saya risau sebab saya tak perincikan pun apa yang saya katakan tadi. Saya hanya ingin nyatakan bahawa apa yang saya tuliskan ini sekadar mahu berkongsi sahaja. Realiti kehidupan manusia memang semuanya akan berubah. Begitu juga soal pemikiran dan soal tahap kematangan. Saya akui apa yang saya tulis hanya mahu menggambarkan bahawa saya telah mula memasuki tahap kematangan itu bukan lagi macam dulu.

Soal rasa dan hati, tak boleh dipaksa. Sata tahu, jika dia membaca catatan ini, saya hanya mahu memberitahu ini sekadar rasa hati saya. Rasa hati dia adakah ingin saya tahu? Tak perlu kerana saya tak terfikir untuk tahu kerana soal ini tak boleh dipaksa. Kita tak boleh memaksa seseorang untuk menyatakan rasa hati dia. Biarlah rasa hati itu diperkatakan menerusi keikhlasan orang itu sendiri. Biarlah dia nyatakan bila dia rasa mahu nyatakan. Itu prinsip saya.

Apa yang saya nyatakan seolah–olah saya mahu menjalinkan hubungan cinta dengan dia pulak... Ish, tak ada sebenarnya. Saya dah cakap tadi, saya tak akan bercinta seperti yang banyak orang lakukan kini. Apa saya nyatakan tadi adalah untuk menyatakan bahawa saya ingin menjadikan dia isteri saya yang sah kelak. Haha.. Yazid, Yazid... besar betul cita-cita tu. Tapi kenapa perlu ketawa, bukan salah pun ada niat itu.

Dulu ada saya cakap, saya cukup risau jika hasrat dan niat saya itu tak tercapai nanti. Saya takut kecewa kerana mamang pedih bila kecewa. Namun kini saya sedar, walau apa yang berlaku pun, yang penting kini saya perlu berusaha dan berdoa. Soal lain itu saya hanya berserah pada Allah. Hah, baru boleh hati saya rasa tenang. Sama ada tercapai atau tidak niat saya itu, sama ada dia akan jadi isteri saya nanti, semua itu hanya di bawah penguasaan Allah. Betul bukan?

Fuh, banyak pulak yang saya tulis. Tak sedar dah beratus perkataan yang saya coretkan. Catatan ini tak ada penutup kerana mungkin saya akan sambung lagi. Yalah ini bukan esei untuk BM. Ini cuma catatan je. Jadi tak ada penutup tak ada pendahuluan. Hanya mahu ekspresikan diri saya sahaja. Jadi akan adakah yang membaca catatan saya ini? Saya tak peduli kerana saya tak terfikir pun soal tu. Yalah saya ni bukan orang terkenal pun. Orang biasa je. Jadi itulah sahaja kisah bicara mengenai jodoh... Jodoh.... hmmm.... memang tak habis kalau nak tulis lagi...

-hidup untuk beribadah-

Selasa, 12 Januari 2010

Sinopsis Kotak Hati

Kotak Hati merupakan novel sekuel kepada novel Cinta Thahirah dan novel Kumajipakat. Untuk siri ketiga ini, kelainan jalan cerita cuba dipersembahkan. Jika sebelum ini watak utama dalam novel Cinta Thahirah ialah Zahid dan Khadijah, manakala untuk novel Kumajipakat ialah Fariz dan Hasnida, kini bagi novel Kotak Hati, Murni pula memainkan peranan utama dalam perjalanan cerita. Murni sebelum ini hanya menjadi watak sampingan untuk dua novel sekuel sebelum ini, namun kini diangkat sebagai watak utama dalam cerita. Ceritanya juga kembali semula ke bandar Green CT di Sundergreen seperti latar tempat dalam novel Kumajipakat. Namun untuk novel ini, watak Murni masih dikekalkan manakala watak-watak dalam Cinta Thahirah seperti Sheera, Yasmin, Ibu, dan Erma tidak lagi ditampilkan. Watak Khadijah pula hanya ditampilkan sebagai watak sampingan sahaja. Watak-watak dalam Kumajipakat yang hanya ditampilkan sedikit dalam Cinta Thahirah seperti Fariz, Ayu, dan Hasnida ditampilkan semula dengan lebih kerap dalam novel Kotak Hati.

Setelah hampir setahun berada di Taiping, akhirnya Murni berjaya mendapatkan perkerjaan di bandar Green CT di Sundergreen (nama tempat hanya rekaan). Kedatangannya semula ke Green CT membuka lembaran baru dalam hidupnya. Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapinya sebaik tiba di bandar itu. Walaupun pernah berkunjung ke bandar itu (seperti yang diceritakan dalam novel Kumajipakat), kemunculan semula dirinya ini ternyata agak berbeza. Dia kini bukan lagi sekadar melawat bandar itu, tetapi akan menetap di bandar itu. Tugas sebagai seorang guru bukanlah tugas yang mudah. Namun kerjaya guru yang cukup lumayan di bandar itu berbanding di Taiping menyebabkan Murni tertarik untuk bekerja di bandar Green CT. Namun cabaran yang dihadapinya, terutama dalam usaha untuk membiasakan dirinya dengan iklim yang cukup berbeza di bandar itu menyebabkan Murni sedikit sukar untuk membiasakan diri pada permulaannya.

Murni menetap di sebuah kondominium yang terletak di pusat bandar Green CT. Di kediaman baru itulah dia tanpa menduga akan bertemu semula dengan Hasnida yang menjadi jirannya. Pertemuannya dengan Hasnida amat mengejutkan setelah Hasnida menghilangkan diri sejak majlis perkahwinan Fariz dan Hasnida yang tidak menjadi akibat Hasnida yang menghilangkan diri tiba-tiba. Rahsia di sebalik kisah yang berlaku semasa majlis perkahwinan itu dibongkar dan diberitahu sendiri oleh Hasnida kepada Murni.

Fahmi sementara itu merupakan seorang peguam yang tinggal di sebelah rumah Murni. Dia tinggal bersama Adam yang turut merupakan seorang peguam. Hubungan Fahmi dan Murni pada permulaannya adalah dingin kerana masing-masing tidak mahu mengalah dan mahu menununjukkan ego masing-masing. Namun perlahan-lahan hubungan mereka berubah sehingga masing-masing menyukai antara satu sama lain. Namun perasaan mereka tidak diketahui masing-masing kerana tidak pernah diluahkan.

Akhirnya hubungan mereka diikat dengan tali perkahwinan namun sebelum itu terjadi, pelbagai halangan berlaku. Murni dan Fahmi akhirnya tinggal serumah dan rumah Murni dipilih sebagai rumah mereka. Adam terus menetap di rumah lama Fahmi, manakala Fazilah (teman serumah Murni) berpindah ke rumah Hasnida.

Pada satu hari, Khadijah muncul dan melawat Murni di Green CT. Kemunculan Khadijah di bandar itu bersama anak kecilnya hanyalah semata-mata mahu melihat keadaan rakannya itu selepas mendirikan rumah tangga. Semasa perjumpaan itu, Murni menunjukkan kotak cincin berbentuk hati yang di dalamnya terdapat sebentuk cincin yang dihadiahkan Fahmi, suaminya. Cincin itu ternyata cantik dan membuatkan Khadijah terpesona apabila melihatnya.

Setelah beberapa jam Khadijah meninggalkan Murni, keadaan menjadi panik apabila Murni mendapati bahawa kotak cincin yang mengandungi cincin pemberian Fahmi itu telah hilang. Maka bermulalah pencarian Murni dan Fahmi untuk mencari cincin tersebut. Pelbagai situasi berlaku dan halangan terjadi yang ada kalanya melucukan. Adakah Murni dan Fahmi akan menemui semula cincin tersebut? Ikuti kisah selanjutnya dalam novel Kotak Hati.

p/s: novel ini baru 15% dalam pembikinan. Insyaallah, pertengahan tahun 2010 novel ini akan siap sepenuhnya.

Yazid Rosly, Taiping, Perak.

Khamis, 7 Januari 2010

Sekadar satu catatan sahaja


Jarang saya cuba memperkatakan mengenai diri saya sendiri. Namun untuk kali ini, terasa pula untuk dibentukkan dalam bentuk tulisan.

Kadang-kadang saya terfikir, apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Apa yang akan terjadi pada masa depan. Saya tertanya-tanya, apakah yang saya harapkan akan berlaku dan terjadi pada masa depan? Sesungguhnya tiada sesiapa yang tahu apa yang akan berlaku. Itu jugalah kadang kala membuatkan diri menjadi takut. Risau jika apa yang diharapkan tidak kesampaian, takut jika segala yang diimpikan tidak jadi kenyataan. Kerana pengalaman pernah merasai kekecewaan satu masa dulu, maka itu jugalah yang membuatkan diri menjadi takut, mungkin sekali lagi akan merasa kecewa itu.

Memang pedih rasa kecewa dan sebab itulah saya tak mahu lagi sekali lagi menjadi kecewa. Tapi, apa yang termampu yang saya dapat lakukan? Kerana semua yang akan berlaku pada masa akan datang tidak diketahui sesiapa. Hanya Allah penentu dan mengetahui segala perkara yang tidak kita ketahui.

Saya juga insan biasa. Hati dan perasaan memang ada. Semua yang diberikan itu datang dari Allah. Perasaan suka pada seseorang memang akan wujud dalam diri. Tapi kadang-kadang, diri menjadi risau, mungkin apa yang dirasai itu tidak akan mampu dicapai.

Bila mempunyai satu niat yang ikhlas, mahu melakukan satu perkara yang mendatangkan baiknya, perkara itu bukanlah datang dengan paksaan. Rasa itu muncul sedikit demi sedikit dalam jangka waktu yang cukup lama. Kita tak dapat rasakan kehadiran niat hati itu secara tiba-tiba, kerana niat itu terbina perlahan-lahan di dalam hati. Itulah kuasa Allah yang menciptakan dan mewujudkan satu perasaan kepada seseorang.

Perasaan yang didorong rasa nafsu dan perasaan atas keikhlasan hati adalah dua perkara yang berbeza. Jika nafsu, saya yakin itu hanya sekadar rasa sementara dan jika kerana ikhlas hati, maka mungkin rasa itu adalah kekal.

Saya tak tahu bagaimana untuk katakan. Saya tahu mungkin apa yang saya rasa sukar untuk dipersembahkan. Tapi pada waktu ini, hanya Allah yang diharapkan. Kepada Allah dipohon pertolongan supaya segala harapan itu akhirnya nanti akan dapat menjadi kenyataan.

Saya baru berusia 21 tahun. Mungkin terlalu awal memikirkan perkara itu. Namun saya sedar, rasa itu telah terbina sejak 7 tahun lalu. Perlahan-lahan tanpa disedari, sedikit demi sedikit tanpa saya tahu, akhirnya hasilnya itulah yang saya lihat kini. Saya takut, jika diluahkan, mungkin nanti apa yang diharapkan mengecewakan saya. Saya takut bila diketahuinya, saya hanya bermain dengan diri sendiri. Tapi saya tahu, seperti kata mak, bila seseorang itu dah menyukai seseorang, sukar untuk diri sendiri melepaskan perasaan itu tambahan pula jika rasa itu telah mempengaruhi sebahagian dari perjalanan kehidupan. Bayangkan jika rasa itu telah menjadi daripada sebahagian daripada hidup. Bayangkan jika satu hari, rasa itu terpaksa dilepaskan. Apa yang akan terjadi terhadap perjalanan hidup selepas itu. Pasti akan merasai satu kekosongan...

Kalaulah mudah untuk saya luahkan dan kalaulah semua itu berjalan dengan mudah tanpa sebarang halangan. Hakikatnya sukar untuk tidak berhadapan dengan halangan. Saya tahu, halangan memang akan ada. Saya tahu, sepanjang masa pasti akan ada dugaan. Tapi kalaulah semua itu menjadi lebih mudah. Kalaulah apa yang dirasai di sebelah pihak yang lain itu diketahui saya. Kalaulah apa yang saya rasai sebenar diketahui sepenuhnya oleh sebelah pihak yang lain.

Saya berharap agar pihak yang satu lagi mungkin memberikan jawapan yang mampu memberikan senyuman kepada saya. Tapi saya tahu, jika terlalu berharap, dan apa yang diharap tidak kesampaian, memang pedih akan dirasai. Memang diakui kecewa pasti akan muncul. Saya takut. Saya tertanya-tanya. Ternyata mahu sahaja saya menyebut terus terang kepada pihak satu lagi supaya diketahui apa yang sebenarnya ingin saya beritahu.

Niat ini muncul dengan izin Allah. Niat ini juga datang kerana Allah. Semua yang hadir itu adalah datang dari keikhlasan hati. Saya tak pernah melihat pada tarikan wajahnya, sama ada cantik ataupun tidak. Saya tak pernah melihat pada fizikal dirinya. Saya tak peduli akan perkara itu. Apa yang saya lihat hanyalah apa yang ada pada peribadinya. Hanya perkara itu sahaja yang saya lihat.

Saya tahu, bagi sesiapa yang membaca apa yang saya tulis ini, mungkin tidak dapat difahami terhadap apa yang saya perkatakan ini kerana saya tak pernah ceritakan perkara itu kepada sesiapapun. Namun jika orang yang saya perkatakan itu membaca catatan ini, dia akan tahu dan akan faham. Namun saya tahu juga, sukar sebenarnya perkara ini untuk diperkatakan kepada pihak itu.

Cuma apa yang saya rasa kini, saya sangat berharap agar hajat dan impian saya itu akan jadi kenyataan. Memang saya sangat-sangat berharap. Saya tidak tahu apa dirasai di pihak yang satu lagi kerana saya tidak berkuasa untuk mengetahuinya. Hanya Allah yang mengetahui apa yang dirasai pihak satu lagi. Saya memang mahu gembira, saya memang mahu bahagia. Tapi saya risau saya tak berjaya untuk gembira, dan gagal untuk bahagia. Saya sangat takut. Cukup takut...

Hanya ini sajalah yang dapat saya lakukan: Berdoa, meminta dan berharap, kerana Allah itu Maha Berkuasa. Saya berharap agar Allah membantu saya supaya apa yang saya harapkan itu menjadi satu kenyataan satu hari nanti. Itu sahajalah yang termampu untuk saya lakukan. Itu sajalah yang boleh menenangkan hati saya kini.

Saya akan terus cuba mengikutinya selagi saya mampu. Saya akan terus cuba berhubung dengan dia selagi saya terdaya. Selagi saya mampu mengesan dia, saya akan terus mencuba. Itulah sedikit usaha selepas saya berdoa kepada Allah. Moga-moga impian yang saya harapkan akan jadi kenyataan selepas doa dan usaha yang saya lakukan.

“Ya Allah, aku memohan pertolongan-Mu, ya Allah. Sesungguhnya, Engkaulah Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Mendengar, dan Maha Mengasihani. Bantulah hamba-Mu agar apa yang diharapkan akan dapat dicapai nanti. Aku sangat mengharap pertolongan-Mu ya Allah...”