Ahad, 28 Oktober 2012

"Adina (Bicara Sembilan Belas)"






“Agak-agak apa nama yang nak diberi ya?”

“Amboi, jauhnya imaginasi. Belum apa-apa dah fikir namanya...” balas Abyatina.

“Tak salah bukan kalau difikirkan awal-awal,” bicara Rizqullah.

Perbualan petang dimulakan dengan sesi bual kosong. Petang itu Rizqullah tiba-tiba menimbulkan persoalan mengenai cadangan nama bagi bakal anak mereka. Hakikatnya, persoalan itu hanya diajukan sekadar untuk mengusik Abyatina sahaja.

“Baru dua bulan, entah lelaki entah perempuan. Manalah boleh letak nama lagi...” kata Abyatina.

“Eh, kita bagi cadangan nama laki dan perempuan. Bila  ada senarai nama, baru senang nanti...”

“Lambat lagi... Tujuh bulan lagi tau...” balas Abyatina.

“Tujuh bulan hanya tujuh kali purnama. Bunyinya macam lama, tapi rasanya sekejap saja...”

Rizqullah dan Abyatina melapangkan minda. Minum petang di tepi jendela, merasai tiupan angin petang yang dingin setelah hujan renyai-renyai turun beberapa ketika sebelumnya. Pisang goreng dari Abyatina menjadi sajian di petang itu. Mungkin melegakan sedikit kerisauan yang melanda buat Abyatina.

Absyar masih lagi terlantar di hospital. Perkhabaran berita pada petang dua hari sebelumnya memberikan impak yang cukup besar. Akibat satu perselisihan faham, dek emosi yang tak terkawal, tanpa diduga abang Abyatina itu ditikam di perut. Mujur tikaman itu tidak mengenai sebarang organ penting, namun parahnya masih tetap ada.

Kisahnya bermula di sebuah warung. Absyar bersantai bersama rakan-rakannya. Menikmati teh tarik sambil berborak kosong, maka tak lama kemudian muncul beberapa pemuda lain singgah di warung itu. Apabila dilihat Absyar di warung itu, maka bermulalah sesi perli memerli. Kumpulan pemuda itu kelihatan cuba mencari api.

“Kalau adiknya tu kaki penggoda, tak hairan si abang pun sama. Kalau dah keturunan selalu nak rosakkan orang lain, pusing kot mana pun mesti jadi perosak,” bicara seorang pemuda tersebut.

“Entah macam mana pulak dia boleh kahwin dengan Rizqullah tu. Pelik, orang luar jugak yang dipilih. Jangan-jangan dah buat noda kat kampung ni....” bicara pemuda lain.

“Aku dengar, dulu Abyatina tu dah kena rogol. Tu yang kelam kabut nak pi kahwin cepat-cepat tu...”

“Orang lawa, kalau hati kotor buat apa. Entah rogol ke entah yang lain. Jangan-jangan dia dok syok berzina kat ladang getah tu...”

“Dah banyak orang dok kata. Dah jadi meluat pulak...”

“Aku kalau boleh, tak nak dah si Abyatina tu ada kat kampung lagi...”

“Tu adiknya. Abangnya entah-entah pun sama jugak. Yalah, sampai sekarang tak kahwin lagi....”

“Mu ni, tak baik cakap macam tu. Keluarga Ustaz Man yang mu dok kata tu. Keluarga baik-baik...”

“Bapak memang alim. Tapi anak-anak macam setan!”

Lantas, tanpa sedar Absyar yang duduk tidak jauh segera bangun. Terus dihampiri kumpulan pemuda itu.

“Kurang ajar mu!” kata Absyar.

Sepantas kilat penumbuk diberikan terhadap salah seorang pemuda tersebut. Lantas secepat itu jugalah pergaduhan tercetus. Huru hara berlaku di warung itu. Tendang, sepak dan terajang menjadi permainan petang itu. Suasana menjadi semakin kecoh apabila lebih ramai pemuda masuk campur. Ada yang mahu mententeramkan keadaan, ada juga yang mengeruhkan suasana. Kerusi mula dibaling, cawan dan gelas menjadi objek melepaskan kemarahan.

Tuan warung cuba mengawal keadaan. Namun, bangku kecil di warung itu dibaling ke arahnya. Penyudahnya, Pak Hassan sekadar memerhati sahaja pergaduhan itu, sekadar melihat kemusnahan warungnya di petang itu.

Secara tiba-tiba, tanpa diduga oleh sesiapa, seorang pemuda meluru masuk ke dapur. Pemuda bernama Hamdan itulah yang menjadi pencetus pergaduhan tersebut. Dialah yang memulakan sesi perbualan mencerca Abyatina dan keluarganya. Sebaik keluar sahaja dari dapur, Hamdan berlari pantas menghampiri Absyar. Sepantas itu jugalah satu tikaman dihunuskan ke perut Absyar. Pisau dapur menjadi senjata pergaduhan petang itu.

Pergaduhan sekelip mata terhenti tiba-tiba. Tikaman tersebut mengejutkan semua orang. Absyar rebah di atas tanah memegang perutnya yang tersembur darah.

“Moga abangmu selamat dari bencana...” bisik Rizqullah pada Abyatina sewaktu menikmati hidangan petang. Lamunan Abyatina terhadap abangnya Absyar terhenti.

“Sebab Ina, abang tertikam...”

“Ketentuan Allah, Ina.... Jangan dipersoalkan”

Sejak peristiwa tersebut, Abyatina sangat jarang pulang ke kampung. Abyatina tidak mahu kehadirannya di kampung mencetuskan suasana kurang senang penduduk kampung di sana. Bukan mudah buat Abyatina, namun digagahkan dirinya juga.

Perseteruan di antara Rizqullah dan Zaafarani, abang Abyatina juga mengeruhkan lagi keadaan. Rizqullah mula merasakan berat hati untuk pulang ke kampung Abyatina. Ada sahaja alasan diberikan sekiranya Abyatina menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampung. Bagi Rizqullah, kampung Abyatina adalah suatu tempat yang perlu dielakkan.

Hari demi hari, Abyatina mula merasakan kesunyian. Semakin waktu berlalu, maka semakin banyak kerisauan dirasai. Saat Abyatina mula melalui fasa-fasa untuk menjadi seorang bakal ibu, saat itu jugalah dugaan semakin bertambah.

Rizqullah mula bersikap dingin setiap kali Abyatina menyuarakan hasratnya untuk pulang ke kampung. Rizqullah tidak memberi sebarang jawapan, membiarkan sahaja Abyatina berseorangan dalam persoalan. Abyatina sangat hairan dengan perubahan sikap Rizqullah itu. Namun Abyatina hanya mampu membisu tidak mempersoalkan Rizqullah.

“Tak apa.... Mungkin suamimu ada sebabnya...” bicara ibu Abyatina menerusi perbualan telefon. Abyatina meluahkan rasa pada suatu pagi dengan menghubungi ibunya di kampung.

“Tapi kenapa abang Riz tak nak langsung balik kampung? Kalau dulu mudah saja...” luah Abyatina.

“Entahlah Ina... Tak tau sebabnya. Tapi mu kena ingat, walau apa pun, tempat isteri itu sentiasa pada suaminya. Walau apa pun keadaan, isteri perlu patuh pada suaminya...”

Satu pagi, Raiqah kakak Abyatina berkunjung ke rumah. Raiqah muncul bersama suaminya. Rizqullah pada waktu itu berada di sekolah, dan Abyatina pula sedang sibuk mengemas rumah. Kunjungan kakak Abyatina itu merupakan satu kejutan, dan ternyata beri kegembiraan buat Abyatina.

“Dah dekat dua bulan tak balik kampung, rindu pula nak berjumpa,” kata Raiqah saat kaki melangkah masuk ke rumah Abyatina.

“Bukan tak nak balik....” luah Abyatina sedikit sugul.

“Akak tau... Tapi kita orang perempuan kena sabar. Tempat kita memang untuk suami. Kalau suami tak bagi, kita kena ikut,” balas Raiqah.

“Ina tak faham...Kenapa tiba-tiba abang Riz berubah? Apa sebabnya?” soal Abyatina. “Kalau dulu tak ada masalah nak balik”

“Mungkinkah sebab abangmu Zaafarani?”

“Kenapa dengannya?”

“Kita tak tau apa yang berlaku sebenarnya. Mungkin perseteruan mereka lebih dahsyat? Sampai berat hati suamimu nak pulang ke kampung...”

“Dan Ina di tengah ni jadi mangsanya? Itu tak adil namanya...”

“Mesti ada perkara yang terjadi sebelum ni yang kita tak tau. Mesti ada....”

“Kalau ikut logik, abang Zaf pun jarang balik kampung. Jadi, takkan sebab tu abang Riz berat hati nak pulang?”

“Mungkin juga sebab Pak Long?”

“Pak Long dengan abang Riz pun ada masalah juga ke?”

“Ina seorang saja yang tak tau... Kat kampung banyak yang dah tau”

Mungkin ada hikmah di sebalik perkara yang terjadi itu. Ketidakhadiran Abyatina di kampungnya itu dilihat memberi rahmat buatnya. Sejak peristiwa serangan ke atas abangnya Absyar itu, sakit Abyatina bagai hilang seketika.  Tempoh dua bulan tidak pulang ke kampung itu, Abyatina dilihat sihat dan ceria.

“Mungkin ada rahmat. Ina mengandung, Allah beri kemudahan. Tiap-tiap perancangan Allah, lebih baik dari perencanaan manusia,” bicara Raiqah.

“Alhamdulillah. Dah masuk empat bulan, semuanya tak ada masalah. Lagi mudah pula jadinya. Senang sangat sekarang ni. Tak pernah sakit lagi” balas Abyatina tersenyum puas.

“Kalau Ina tak dapat balik kampung, tak apa. Mungkin ada sebabnya. Tak apa, kami boleh melawat Ina selalu kat sini,” pujuk Raiqah. “Pun boleh kan?”

“Tapi tak sama dengan balik kampung....”

“Taat suami bawa ke syurga Ina...” bicara Raiqah.

“Oh ya, apa cerita dengan abang Lang sekarang?” soal Abyatina menukar topik perbualan.

“Absyar?”

Kisah utama yang mencetuskan kisah kelam kabut dua bulan yang lalu menjadi tumpuan kembali. Berita gembira mengenai kehamilannya yang dikhabarkan secara tidak sengaja oleh Abyatina pada petang hari tersebut diakhiri dengan berita mengejut. Seluruh keluarga mula kelam kabut bergegas ke hospital untuk mengetahui keadaan Absyar yang ditikam. Kecederaan Absyar agak ternyata agak serius namun tidaklah parah.

Absyar terlantar di hospital selama hampir sebulan. Dalam tempoh itu, Abyatina sempat melawatnya untuk beberapa kunjungan. Namun, saat Absyar dibenarkan pulang, Abyatina tidak punyai kesempatan lagi. Itulah waktu Rizqullah menjadi berat hati untuk pulang ke kampung.

“Kamu kenal Tasha?” soal Raiqah menghentikan lamunan Abyatina mengenai abangnya.

“Tasha yang rumahnya kat tepi masjid tu ke?”

“Hah, yalah tu”

“Kenapa dengan dia? Dia bakal jadi keluarga baru kita ke?” soal Abyatina.

“Eh, kamu dah terlebih tahu?”

“Lebih awal dari sesiapa pun. Ina tau pun sebab mak Tasha tu pernah datang ke rumah. Masa tu mungkin tengah merisik abang Lang kot...”

“Owh... dan tau tak apa perkembangan sekarang?”

“Dah nak kahwin ke?”

“Eh, taklah sepantas tu. Tapi kira-kiranya insya-Allah, tak lama lagi bertunanglah dengan abang Lang mu tu,” balas Raiqah.

“Wah, menjadi juga akhirnya!”

Perbualan terhenti setakat itu. Tak lama kemudian Raiqah berangkat pulang. Sepanjang tempoh tersebut, suami Raiqah tidak banyak bercakap. Hanya memerhati dan mendengar sahaja perbualan di antara Abyatina dan Raiqah. Memang itulah sifatnya, seorang pendiam.

Malam itu, selepas selesai mendirikan solat Maghrib berjemaah, Rizqullah menghampiri Abyatina. Hakikatnya, sudah lama mereka tidak berjemaah, dan semestinya sudah lama Rizqullah tidak menghampirinya sebegitu apatah lagi untuk berbisik. Lantas tak lama kemudian, dibisikkan sesuatu ke telinga Abyatina.

“Ina, tolong abang. Tolong ajar mana yang kurang lagi...” bisik Rizqullah. Tangannya memegang naskah al-Quran.

“Insya-Allah. Sama-sama kita mulakan dengan Bismillah...”

Maka, perlahan-lahan naskah al-Quran dibuka. Rizqullah duduk bersila di hadapan Abyatina. Tak lama kemudian, bermulalah sesi tadarus buat mereka berdua. Memang benar, Rizqullah agak kekok dari sudut pembacaan, seringkali tersangkut dan seringkali tersalah baca. Namun, kehadiran Abyatina di hadapannya memberikan ketenangan. Sememangnya Abyatina tidak mempunyai masalah dalam pembacaan al-Quran. Maka setiap kali tersalah sebutan dari Rizqullah, Abyatina senantiasa bersedia memperbetulkannya. Dalam soal ini, Rizqullah benar-benar belajar dari Abyatina. Bimbingan diberikan mengukuhkan lagi hubungan antara mereka.

“Abang bukan jahil. Cuma jarang dibaca hingga hilang kelancarannya,” bicara Rizqullah di pertengahan bacaan, meluahkan sedikit rasa hatinya.

“Tak lancar tak apa. Lama-lama biasa, semuanya tak ada masalah,” balas Abyatina tersenyum.

Sesi itu berterusan hinggalah masuk waktu Isyak, dan mereka kemudian berjemaah bersama. Selesai sahaja solat, maka Abyatina terus menarik tangan Rizqullah. Mereka memandang antara satu sama lain. Masing-masing terkelu seketika.

Hakikatnya, ibu Abyatina ternyata rindukan Abyatina. Walaupun tak pernah diluahkan ibunya, namun Abyatina tahu. Maka, pada malam itu Abyatina meluahkan rasa hatinya yang telah terpendam agak lama. Malam itu bicara bertentang mata berlaku di antara Rizqullah dan Abyatina. Setelah sekian lama Rizqullah bersikap dingin setiap kali dibicarakan perihal pulang ke kampung, malam itu Abyatina mahu mendapatkan penjelasan.

“Abang, Ina dah empat bulan mengandung. Makin lama, makin dekat masanya...” bicara Abyatina menarik tangan suaminya untuk duduk atas katil.

“Abang tau...”

“Ina sunyi sangat abang... Ina takut... Ina risau... Ina nak ada teman... Ina... Ina, nak orang yang boleh sembang dengan Ina....”

“Dengan mak kan boleh?” balas Rizqullah. “Kalau Ina sunyi, duduk saja rumah mak. Bukannya jauh pun dari rumah kita...”

“Iya... tapi.... Ina....Ina....”

“Abang faham. Ina rindukan mak Ina di kampung bukan?”

Abyatina hanya tunduk. Tidak memberikan sebarang jawapan, namun difahami Rizqullah.

“Bukan Ina nak lawan cakap abang. Ina tahu, abang tak suka Ina balik. Tapi, Ina tak dapat tahan lagi abang. Ina memang nak sangat balik ke kampung...”

“Bukan abang tak nak....”

“Kenapa abang berat nak balik?” soal Abyatina. “Ada sesuatu ke?”

Rizqullah membisu cukup lama. Dirasakan amat berat untuk menjawab pertanyaan Abyatina itu. Rizqullah cuba bangun, mungkin mahu mengelak untuk menjawab persoalan yang diajukan Abyatina itu. Namun genggaman erat tangan Abyatina menyebabkan Rizqullah tidak sampai hati. Lantas dengan tenang Rizqullah bersuara.

“Berat abang nak cakap. Tapi.... tiap-tiap yang berlaku itu, ada sebabnya. Bukan abang tak suka, tapi abang tak sanggup nak balik ke sana...”

“Sebab abang Zaf ke? Pak Long?”

Rizqullah tidak menjawab pertanyaan tersebut. Sekali lagi membisu seperti menyimpan satu rahsia yang cukup besar. Sikap dingin muncul lagi. Namun, dingin itu dilembutkan tatkala Abyatina mengusap-ngusap dada Rizqullah. Tenang dirasai Rizqullah.

“Tak apalah. Kalau Ina nak balik kampung, abang izinkan. Berehatlah di sana. Abang tak halang lagi...” bicara Rizqullah.

Tersenyum Abyatina. Senyuman manis tidak dapat dibendung lagi. Serta merta terus dipeluk erat Rizqullah. Itulah saja tanda penghargaan atas bicara yang diluahkan suaminya itu.

Malam itu mereka bahagia. Malam itu mereka di alam kayangan. Kasih dan sayang disuburkan semula. Mungkin satu detik terindah setelah dua bulan gundah gulana.

“Apabila si isteri menyentuh hati si suami, maka ucapkanlah kata-kata baik buatnya. Sesungguhnya setiap sentuhan itu adalah ibadah, dan sesungguhnya setiap kasih sayang itu adalah pengikat bahagia. Maka, bicaralah dari hati ke hati, moga segala yang kusut dapat dileraikan”

Pagi itu bicara diluahkan lagi di atas kertas. Hari demi hari, helaian demi helaian semakin dipenuhi tulisan-tulisan luahan hati Abyatina. Setiap helaian itu menceritakan kisahnya, ibarat satu diari yang menceritakan detik-detik indah dan dukanya. Abyatina setia menulis setiap kali punyai kelapangan.

“Ina, selamat gembira untuk hari ini,” kata Rizqullah saat mahu memulakan perjalanan untuk menghantar pulang Abyatina ke kampung pada pagi keesokannya.

Belum sempat perjalanan dimulakan, sebuah kereta tiba-tiba muncul di halaman. Abyatina dan Rizqullah terkejut di pintu rumah. Tetamu tak dirancang muncul secara tiba-tiba. Masing-masing kehairanan.

“Siapa tu?” soal Rizqullah.

“Barangkali kenalan abang?”

“Eh, tak. Tengok pun tak pernah...”

Seorang wanita keluar dari kereta tersebut. Kecil molek orangnya, berjalan penuh sopan sambil membetulkan sedikit tudungnya. Lantas menghampiri tangga rumah.

“Assalamualaikum. Tumpang tanya, ni rumah Abyatina ke?” soal wanita itu.

“Waalaikumussalam. Ya, ini rumah kami,” balas Abyatina. “Kenapa ya?”

“Saya Tasha...” bicara wanita itu memperkenalkan diri.

“Tasha?” soal Abyatina spontan. “Apakah ini bakal teman hidup abang Lang?” monolog pula Abyatina sendirian.

Senyuman Tasha memberikan pelbagai persoalan. Namun, tetamu yang muncul itu terus dipelawa untuk naik ke rumah.

“Lawanya... boleh jadi nombor dua ni...” seloroh Rizqullah kepada Abyatina. Serta merta Abyatina mencuit pinggang Rizqullah.

Senyuman yang terus terukit di wajah Tasha memberikan pelbagai persoalan buat Abyatina.

“Mengapa dia muncul di sini? Mengapa tiba-tiba? Apa tujuannya? Bagaimana dia boleh kenal aku?” monolog Abyatina kehairanan.





*Tamat sudah Bicara Sembilan Belas*

Mengapa Tasha muncul secara tiba-tiba? Ikuti kisahnya di lain bicara.




**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 




*Terima kasih kepada saudari Mastura atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini. Untuk mengetahui lanjut mengenai beliau, layari blognya: masturarama2.blogspot
  
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina













Rabu, 24 Oktober 2012

Bicara Zahid buat Tasha...




Mungkin dalam perjalanan ke suatu destinasi, kita seringkali memikirkan tentang sesuatu, sama ada sedar atau mungkin dalam kawalan pemikiran kitra. Apabila kita menunggu, maka bila tiada kerjanya, seringkali kisah-kisah silam menjelma. Mungkin banyak perkara yang menyinggah, namun tak semuanya indah-indah belaka. Soal jodoh seringkali menyinggah dalam lubuk sanubari tatkala sehingga ke hari ini masih belum ada yang sudi. Untuk mencari, bunyinya seperti mudah. Namun bila dicari, semakin banyak usahanya, maka semakin mustahil dirasakannya. Mungkinkah ini dugaan yang sengaja diuji oleh-Nya?

Apabila usia semakin meningkat, banyak yang semakin berubah. Hukum masa menyatakan semakin masa itu meninggalkan kita, tak semua perkara akan kekal selamanya. Coretan ini bukanlah satu keluhan, kerana bicara ini lebih berbentuk seperti satu perluahan dalam bentuk muhasabah diri. Seringkali kita terlupa akan hakikat bahawa bukan kita yang menentukan setiap perjalanan hidup, kerana setiap perencanaan itu adalah di bawah kekuasann-Nya. Benar, kita punyai kuasa merancang, namun kuasa penentu itu terletak mutlak di bawah-Nya.

Kisah Tasha adalah perencanaan di luar dugaan. Siapa sangka, gadis cilik yang masih lagi keanak-anakan di akhirnya menjadi satu kisah yang cukup penting 10 tahun kemudian. Tidak pernah terlintas di fikiran hatta sekali pun, Tasha bakal mencipta satu jeritan hati, yang seringkali muncul tatkala hati semakin lama semakin menginginkan seorang peneman hidup. Mungkinkah Tasha itu sekadar impian? Apakah Tasha tidak akan pernah menjadi satu kisah hidup penuh keindahan?

Benar, mungkin cinta tak semuanya akan melalui detik keindahan. Adakalanya cinta itu manifestasi sebuah kepedihan, lebih lama dipendam, lebih lama pedihnya. Tak mungkin hati itu dapat bertahan lama andai rasa pedih itu terus menjelma.

Tasha mungkin kelihatan menjadi sebuah kisah yang telah berlalu pergi. Namun tak mustahil juga kisah yang berlalu pergi itu akan kembali menjadi satu angan-angan bertukar realiti. Tatkala hati itu telah berputus asa, mungkin ada benarnya, sinar itu mungkin muncul di pertengahan perjalanan. Kuasa Ilahi siapa yang tahu, kerana kuasa-Nya itu hakikatnya mengatasi segalanya.

Impiannya adalah mahu menjadikan Tasha sebagai teman hidupnya. Benar, suka dan cintanya itu berlandaskan kepada sebuah keikhlasan. Jangan dinafikan akan hakikat itu, cinta itu tak mampu ditandingi oleh mana-mana kemunculan wanita lain. Bukan mudah untuk mencari pengganti Tasha. Bukan tak pernah dicuba mencari wanita lain, namun tiap kali dicuba, maka tiap kali itulah kekecewaan dan kegagalan itu melanda. Mungkinkah itu tandanya Tasha itulah jodoh yang sebenar-benarnya? Jika benar, di manakah lorong ke arahnya? Logikkah justifikasi itu? Mampukah impian itu tercapai? Memang indah andai impian itu dapat direalisasikan.

Tasha itu punyai ciri tiada tolok bandingnya. Ciri-cirinya penarik setiap sudut. Wajahnya, tutur katanya, gaya pemakaian, semuanya penarik pada pandangan mata. Mungkin agak exaggerate tatkala membicarakan tentang keindahan Tasha, namun tak salah, kerana setiap tarikan itu adalah satu nilai abstrak, yang berbeza-beza pada sudut pandangan yang lain. Mungkin Tasha itu indah di matanya, namun tidak bagi yang lain.

Insya-Allah, andai ada jodohnya, mungkin akan tiba masanya dia akan bahagia. Andai Tasha itulah bakal isterinya, maka seharusnya hati itu tenang dan sabar menghadapi setiap dugaan dan cabaran. Tak kisahlah apa pun pengakhirannya, apa yang penting adalah kebahagiaan.

Benar, seringkali dia berdoa:

“Ya Allah, Kau kurniakanlah jodoh yang terbaik, jodoh yang akan membahagiakan aku. Yang akan membahagiakan seumur hidupku. Aku sesungguhnya mengharapkan agar Tasha menjadi sebahagian hidupku. Maka berikanlah aku lorong, supaya aku dapat mencapai impian itu. Sekiranya bukan Tasha jodohku, ku mohon agar dikurniakan akan seorang yang sebaik Tasha ciri-cirinya, atau kurniakanlah ciri-ciri yang lebih baik darinya.

Sesungguhnya, semua perkara itu adalah di bawah kekuasaan-Mu, aku hanya mampu berdoa dan berusaha. Selebihnya, aku berserah pada-Mu”

Moga Tasha bakal menajadi impian bertukar menjadi realiti. Moga Tasha menjadi sebahagian hidupku. Moga Tasha bakal menjadi teman hidupku. Moga ‘Thahirah’ menjadi isteriku.

Insya-Allah. Amin, Ya rabbal alamin.

Bicara khas buat Tasha, moga impian bertukar satu kebahagiaan. Moga ‘Thahirah’ satu ketenangan.



 

Jumaat, 19 Oktober 2012

Muhasabah Jumaat: Zina satu budaya moden yang biasa?









Semakin maju ke hadapan negara, maka semakin mundur jati diri dan akhlak rakyatnya. Mungkin itulah yang diluahkan oleh segelintir masyarakat yang masih peka tentang kejatuhan nilai dalam kalangan generasi hari ini.

Sewaktu cuti semester yang lalu, penulis berhadapan dengan satu situasi yang cukup menjengkelkan sewaktu sedang membeli barang di 7 Eleven. Jam menghampiri 11 malam, dan kelihatan sepasang kekasih sedang bermanja-manjaan, usik mengusik antara satu lain, bergurau senda sewaktu membeli barang. Gelagat mereka agak menjengkelkan sehingga rasa meluat wujud. Dilihat pada usia si gadis itu, mungkin dirinya masih lagi bergelar pelajar sekolah. Si lelaki pula mungkin berumur dalam ingkungan awal 20-an.

Tidak lama selepas itu, mereka ke kaunter untuk membuat pembayaran. Pada waktu itulah penulis sedikit terkejut, apabila si gadis itu dengan selamba mengambil sekotak kondom di kaunter tersebut untuk dibeli bersama barang-barang yang lain. Si lelaki hanya tersenyum, sambil tangannya merangkul pinggang si gadis itu.

Sebaik pembayaran dibuat, mereka terus meluru keluar sambil tangan berpegangan antara satu sama lain. Situasi yang dilihat terus mencetuskan tafsiran yang kurang enak. Mungkin penzinaan bakal berlaku. Itu yang terlintas.

Namun, penulis menenangkan diri dengan berfikir positif, menyatakan bahawa mungkin mereka pasangan baru berkahwin.

Sesungguhnya zina itu dilarang sama sekali. Zina itu bakal mencetuskan pelbagai kerosakan malah dikeji perbuatannya. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran, surah al-Israk, ayat 32:


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji (fahisyah) dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Israk, ayat 32)

Hakikatnya, zina adalah antara salah satu dosa besar. Malah, beberapa tafsiran menyatakan bahawa zina dan membunuh itu mempunyai perkaitan, bagai isi dan kuku. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas kerana ayat selepas ayat 32, surah al-Israk itu menyentuh pula soal hukum membunuh.

"Dan janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan."
(Al-Israk: 33)

Secara logiknya, zina dan membunuh itu berkait. Andai zina tercetus, kemungkinan hamil luar nikah terjadi. Tak mustahil pengguguran bayi berlaku, dan sekiranya bayi dilahirkan, tak mustahil juga bayi itu dibuang atau dibunuh. Semuanya berlaku bagi menutup aib dan malu.

Azab akibat membunuh amatlah dahsyat, sehingga dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, surah al-Nisa, ayat 93:

“Dan siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”
(Surah al-Nisa, ayat 93)

Sesungguhnya azab yang digambarkan itu menunjukkan betapa beratnya larangan membunuh ini bagi setiap Muslim.

Berbalik kepada isu zina, sesungguhnya perkara itu mudah terjadi apabila adab dan hokum itu tidak dijaga. Soal pandangan mata, soal pergaulan antara wanita dan lelaki, soal menjaga aurat seharusnya menjadi keutamaan bagi setiap Muslim. Sekiranya perkara ini tidak dijaga, maka cetusan-cetusan hati menghampiri zina itu akan mudah terjadi.

Bagi kaum lelaki, menjaga pandangan mata dari perkara-perkara yang haram seharusnya dititik beratkan. Perkara ini dinyatakan dalam surah an-Nur, ayat 30:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
(Surah an-Nur, ayat 30)

Dalam ayat ini, dinyatakan dahulu bahawa lelaki itu perlu menjaga pandangan matanya sebelum memelihara kemaluannya. Perkara ini menjelaskan bahawa pandangan mata itu lebih sukar dijaga berbanding kemaluan, dan daripada mata itulah, baru tercetus perasaan untuk berzina. Maka, jaga mata, jagalah hati.

Bagi kaum hawa, peranan mereka juga perlu dimainkan. Mereka juga seharusnya menjaga pandangan mata mereka, serta memelihara kemaluan dari perkara maksiat. Peranan mereka lebih besar, kerana mereka juga perlu menjaga tubuh mereka dari diperlihatkan aurat serta perhiasan terhadap golongan yang tidak sepatut melihatnya.

Perkara ini dijelaskan dalam ayat berikutnya dalam surah an-Nur, ayat 31:

"Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada perempuan-perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka (daripada memandang lelaki yang ajnabi) dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutup kain tudung (khumur) ke dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba abdi yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti aurat perempuan. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu mencapai falah, yakni mendapat keuntungan, kemenangan atau kebahgiaan yang hakiki."
(Surah an-Nur, ayat 31)

Dalam ayat ini, dinyatakan dengan jelas perkara yang perlu dilakukan oleh kaum hawa. Malah pemakaian tudung juga turut dijelaskan, dengan menyatakan bahawa tudung itu seharusnya menutupi bahagian dada. Namun, jika dilihat pada keadaan masa kini, banyak yang bertudung, namun masih lagi mendedahkan bentuk dada mereka.

Hakikatnya, dalam soal menjaga hati dari zina, sekiranya setiap Muslim itu mengikut seruan yang dinyatakan dalam surah an-Nur itu, maka sudah pasti kes-kes zina akan berkurangan. Namun, harus diakui, dunia hari ini penuh dengan cabaran. Dosa itu dilihat begitu indah, manakala amal soleh itu dilihat sebagai pelik.

Maka, dalam soal mencegah generasi hari ini dari berzina, sesungguhnya semaian agama itulah yang perlu difokuskan. Bak kata orang mencegah itu lebih baik dari merawat.

Namun, sekiranya ada yang telah terlanjur, sesungguhnya pintu taubat itu senantiasa terbuka. Allah itu Maha Pengampun.

Bertaubatlah selagi punya kesempatan.

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
(Surah al-Furqan, ayat 70)

Wallahualam.