Jumaat, 15 Mei 2015

"Adina (Bicara Empat Puluh)"





“Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam…”

“Ini rumahnya Encik Rizqullah?”

“Ya, saya yang bercakap. Ada apa-apa perkara yang perlu saya tahu?”

“Saya dari balai polis Taiping…”

Kejutan melanda Rizqullah saat itu. Apakah pula kisahnya sehingga polis menelefon ke rumahnya. Tambah menghairankan, bagaimana nombornya itu boleh diperoleh walhal tiada siapa yang tahu akan nombornya itu?

“Ada apa-apa masalah yang perlu saya tahu?” soal Rizqullah.

“Bapa encik namanya Hamdawi bukan?”

“Ya, memang itu bapa saya…”

“Bapa encik sekarang ada di sini. Boleh encik datang sekarang ambilnya?”

Maka terciptalah kisah kejutan dalam kelam kabut. Agak pelik tatkala perkhabaran bapanya itu berada di balai polis. Apakah yang berlaku? Mungkinkah Cikgu Hamdawi melakukan sesuatu yang salah? Apakah bapanya ditahan?

Pebagai persoalan bermain di fikiran. Sepantas itu juga Rizqullah menuju ke balai polis Taiping. Walau apa pun, persoalan hanya akan terjawab sebaik Rizqullah tiba di sana. Namun untuk detik itu, permainan persoalan itu terus berlegar di fikirannya.

“Pasal tanahkah?” monolog Rizqullah sendirian. “Bapak mengamukkah?”

Hakikatnya, Cikgu Hamdawi orangnya memang mudah melenting, cepat marah. Sifat garangnya itu memang diketahui kebanyakan ahli keluarganya, malah itulah yang membentuk peribadi Rizqullah sedikit sebanyak. Mungkin disebabkan itu jugalah, Rizqullah dilihat tidak begitu rapat dan mesra dengan bapanya itu.

“Apa pulak yang bapak hang buat kali ni…” keluh Mami Radhwa di rumah. Keluhan itu didengari Abyatina.

“Sama-sama kita sabarkan hati. Mungkin ada kisah di sebalik semua yang terjadi. Kita tunggu dan lihat,” kata Abyatina cuba menenangkan ibu mertuanya itu.

Mereka terus menanti di rumah dan Rizqullah masih bergegas menuju ke destinasi. Pagi itu, kesibukan yang tak pernah dirancang tercetus. Kisahnya berlegar kepada Cikgu Hamdawi.

Setibanya di balai, maka Rizqullah terus bergegas ke kaunter pertanyaan. Namun belum sempat pertanyaan diajukan, Rizqullah disapa. Namanya dipanggil.

“Rizqullah!”

Lantas Rizqullah menoleh ke arah suara itu. Kelibat bapanya dilihat duduk di satu sudut di balai itu.

“Awat hang lambat sangat? Aku tunggu lama dah ni…” kata Cikgu Hamdawi.

Rizqullah masih lagi terpinga-pinga dalam kehairanan. Tidak faham apa yang terjadi. Tidak tahu sebab bapanya itu berada di balai polis.

“Kenapa bapak ada kat sini?” soal Rizqullah. “Bapak ada buat salah?”

Seorang pegawai polis kemudian muncul. Salam dihulurkan buat Rizqullah. Sapaan diberikan.

“Encik ini anaknya Cikgu Hamdawi?” soal pegawai itu.

“Ya… saya anaknya. Bapak saya ada buat salah?”

“Minta maaflah kalau saya tak maklumkan di telefon tadi...” kata pegawai polis itu. “Bapak encik tak buat apa-apa kesalahan. Cuma saya panggil encik ke mari sebab kata bapak encik, dia tak tahu nak balik ke rumah…”

“Tak tahu? Bagaimana pula tak tahu?” soal Rizqullah hairan.

“Mujurlah ada orang awam hantar bapak encik ke sini,” terangnya lagi.

Kisahnya, Cikgu Hamdawi keluar ke pekan Taiping sebaik sahaja selesai berjemaah Subuh di masjid. Dengan menaiki bas, maka dituju terus menuju ke restoran mamak di pekan, barangkali mahu menjamah sarapan. Khabarnya, tujuan utama Cikgu Hamdawi keluar adalah untuk bertemu peguam hartanah di pekan. Mahu berbincang soal pembahagian tanah dengan lebih terperinci, maka itulah yang dinyatakan Cikgu Hamdawi kepada Rizqullah.

Namun sebaik tiba di stesen bas, Cikgu Hamdawi tiba-tiba hilang arah. Fikirannya tiba-tiba dilanda lupa tatkala tidak dapat mengingati kembali alamat pejabat peguam yang dicari. Cikgu Hmadawi bersarapan dahulu mengharapkan supaya ingatannya kembali segar, namun semuanya tampak samar dan sukar. Lantas, bapa Rizqullah itu dilihat mundar-mandir kembali di stesen bas tidak tahu arah tujuan. Seorang lelaki cuba membantu dengan menawarkan diri untuk menghantar Cikgu Hamdawi pulang ke rumah Rizqullah. Namun itu juga sukar, kerana dirinya tidak tahu alamat yang tepat.

“Aku tak ingat apa. Masa mai pi rumah hang, mak hang yang tunjuk jalan. Aku memang tak ingat…” terang Cikgu Hamdawi kepada Rizqullah.

“Kalau bapak tak ingat, kenapa bapak keluar? Kenapa tak tunggu saja saya?” soal Rizqullah.

“Nak tunggu hang lambat sangat. Aku nak cepat…” balas Cikgu Hamdawi.

Getus kecil di hati Rizqullah merasakan sesuatu yang tidak kena pada bapanya itu. Hakikatnya, Cikgu Hamdawi orangnya sangat tajam ingatannya. Setiap kali mengatur urusan, maka pasti dirancang dan sangat tersusun. Semuanya diatur dengan baik dan menepati masa. Namun pagi itu, Cikgu Hamdawi tidak seperti kebiasannya.

Cikgu Hamdawi dibawa pulang. Tiada bicara panjang berlaku untuk mengetahui punca sebenar masalah yang melanda bapa Rizqullah itu. Pada hemat Rizqullah, barangkali bapanya itu keletihan atau mungkin juga tertekan. Itu sahajalah punca yang mungkin menyebabkan kisah di pagi itu terjadi.

Bicaranya itu tidak dipanjangkan. Sebaik tiba di rumah, perkhabaran yang berlaku di balai polis itu tidak diceritakan kepada Mami Radhwa. Walaupun ibu Rizqullah ibarat mendesak supaya menceritakan kisah yang sebenar terhadap apa yang berlaku, namun Rizqullah hanya mengukir senyuman sahaja.

“Semuanya baik-baik saja. Tak perlulah dirisaukan sangat…” kata Rizqullah ringkas.

Petang itu, Rizqullah pulang ke kampung Abyatina. Tujuannya seperti biasa menziarahi bapa mertuanya namun pada masa yang sama menjemput ibu mertuanya juga. Seperti yang telah dijanjikan, maka petang itu Mak Cik Ros akan ke rumah baru Rizqullah. Janji diberikan untuk melihat dan menjaga Abyatina yang masih berpantang untuk beberapa ketika.

“Siapa yang jaga ayah malam ni?” soal Rizqullah ingin tahu.

“Mu jangan risau. Zabarjad ada… Rafiqin ada… Pak Long mu pun ada juga malam ni di rumah. Tahulah deme nak menjaga Ustaz Man,” terang Mak Cik Ros.

Kisah pantang Abyatina bermula di kampung, saat selamat melahirkan anak keduanya yang kemudian diberi nama Istafa. Beberapa selepas berada di kampung, maka Abyatina berpindah ke rumah baru, selepas dipujuk Rizqullah. Tatkala berada di rumah baru, maka semuanya harus dilakukan sendiri. Namun, hati seorang ibu mudah tercetus dengan risau yang mendalam. Maka sebab itu jugalah Mak Cik Ros akan sekali sekala datang ke rumah mereka, menjenguk dan menjaga Abyatina buat seketika. Sehari dua, maka ibu Abyatina itu akan bermalam di rumah baru mereka.

Hakikatnya, Mak Cik Ros sangat mahir, punyai pengalaman dalam menguruskan ibu yang sedang berpantang. Kisah dulu-dulu, anak sulungnya Raiqah, maka itu juga dijaganya sepanjang tempoh berpantang. Tiga kali Raiqah berpantang, maka ketiga-tiga itu jugalah Mak Cik Ros menjaganya walaupun terpaksa menuju jauh ke Pulau Pinang.

Setiap kali detik perkhabaran kedatangan ibunya, Abyatina sudah pasti merasai rasa gembira di hati. Rasa lega pasti dinikmati, apabila semua kerja untuk berpantang pasti akan dibantu ibunya. Dari soal bertunku, memakai barut, mengurut, ubat-ubatan dan jamu, penjagaan diri hinggalah kepada soal menjaga bayi, semuanya pasti akan dibantu atas nasihat ibunya. Semuanya dipermudahkan.

Barangkali itulah yang mendatangkan gembiira di hatinya.

Namun, untuk pertama kalinya, kunjungan ke rumah Rizqullah itu pasti mencipta suasana berbeza apabila ibu dan bapa Rizqullah juga turut berada di rumahnya. Besan bertemu besan, jarang sekali untuk berlaku. Sepanjang tempoh perkahwinan Abyatina dan Rizqullah, maka inilah kali pertama ibu Abyatina  akan bermalam bersama besannya itu.

“Tapi sayangnya, tak dapat Ustaz Man turut sama…” luah Mak Cik Ros sebaik tiba di rumah Rizqullah. Ketibaan itu disambut Mami Radhwa.

“Tak apalah. Biar Ustaz Man berehat. Nanti kami yang pi melawat dia,” balas Mami Radhwa. Salam dihulurkan, pelukan tercipta. Dua besan yang jarang ketemu, akhirnya dapat bersua.

Malam itu, barangkali itulah saat paling bahagia buat Abyatina. Tidak pernah dilihatnya akan kemeriahan sebegitu tatkala ibunya berbual rancak dengan ibu mertuanya. Sekali-sekala, Cikgu Hamdawi akan menyampuk, berseloroh menyakat isterinya. Memang tidak pernah terjadi selama ini, namun itulah yang sedang disaksikannya. Yaqzan anak sulungnya, dilihat begitu aktif sekali. Berlari-lari di dalam rumah selepas makan malam, barangkali turut merasa suasana meriah di rumah itu. Namun, kemeriahan itu pasti masih belum sempurna.

“Kalau ayah ada, mesti lagi kecohnya…” luah Abyatina. “Kalaulah…”

Malam itu, Abyatina ditemani ibunya. Rizqullah tidur di bilik lain bersama anaknya Yaqzan. Di kala itulah maka perbualan tercipta. Mak Cik Ros mengurut-ngurut anaknya itu. Sudah lama Abyatina tidak merasai belaian seorang ibu. Walaupun telah meningkat dewasa, rasa ingin dibelai itu pasti akan terus ada.

“Bila Kak Raiqah nak bersalin?” soal Abyatina memulakan perbualan saat ibunya itu terus mengurut badannya yang lenguh.

“Khabaranya bulan depan. Dia lewat sikit dari Ina…” balas ibu Abyatina ringkas.

“Makin bertambah cucu mak…”

“Jangan dilupa juga, anak sulung Abang Absyar mu pun dah menanti masa saja,” kata Mak Cik Ros.

“Mak ada melawat Kak Tasha?” soal Abyatina menduga ibunya. Hakikatnya, kisah Tasha isteri Absyar sehingga ke detik itu masih mencipta sisi terasa di hati Mak Cik Ros.

Kisah beberapa bulan yang lalu, berita kehamilan Tasha diketahui sewaktu majlis konvokesyen Abyatina dan Rizqullah di USM satu masa dahulu. Tasha pengsan sewaktu di majlis itu, dan terus dibawa ke hospital. Saat itulah, barulah diketahui bahawa isteri Absyar itu hamil. Namun, belum sempat Mak Cik Ros bertandang ke hospital untuk melawatnya, Tasha terlebih dahulu telah pulang ke kampung. Semua yang melihat situasi itu yakin bahawa Tasha hakikatnya mahu mengelak dari ibu mertuanya itu. Seolah-olah perseteruan telah tercipta.

“Tapi apa puncanya?” soal Abyatina.

“Hati manusia susah nak difahami. Kadang-kadang, lagi kita cuba nak faham, lagi jauh kita tersasar. Lagi sukar nak selaminya,” balas Mak Cik Ros. Tenang sahaja tanpa barang sedikit pun wujud rasa amarah.

“Ina cuma takut, kalau satu hari nanti Abang Syar makin jauh dengan kita…” luah Abyatina.

“Kalau takdirnya begitu, kita kena terima. Apa yang penting, biarlah Absyar bahagia. Tanggungjawab seorang suami, adalah untuk menjaga seorang isteri”

“Tapi, seorang suami perlu membimbing isteri. Bukan dikawal isteri…”

“Kita tak tahu apa yang berlaku. Kita tak boleh menuduh…” balas ibu Abyatina. Fikirannya masih lagi positif.

Malam itu, perbualan berlanjutan sangat panjang sementara menanti lena yang tak kunjung tiba. Telah lama Abyatina dan Mak Cik Ros tidak berbual-bual sedemikian lama. Kali terakhir perbualan sebegitu berlaku adalah sewaktu Abyatina dalam tempoh pantang ketika melahirkan Yaqzan anak sulungnya.

Mungkin sesuatu yang harus dihargai detik seperti itu. Fikiran Abyatina berlegar-legar sedemikian. Barangkali emosi dirasakan Abyatina.

“Mak, kenapa ayah masih tak sembuh?” soal Abyatina tiba-tiba.

Soalan spontan terkeluar dari Abyatina. Perihal Ustaz Man pula mengambil tempat. Ternyata Abyatina hanyut dalam emosi kenangan lalu. Terkenangkan ayahnya yang sihat sewaktu dulu-dulu.

“Tiap-tiap sakit ada hikmahnya. Tiap-tiap perkara yang terjadi pasti Allah Maha Mengetahui. Mungkin Allah sayangkan ayahmu. Mungkin sebab itu dia terus diuji,” balas Mak Cik Ros. “Kita juga diuji. Ujian sabar, ujian kita untuk lagi dekat dengan Allah…”

“Kalaulah ayah sihat….”

“Jangan sekadar kalau…” kata Mak Cik Ros. “Setiap kalau tapi tak diiringi usaha, semuanya hanya angan-angan. Doakanlah sebanyaknya. Moga Allah kurniakan sihat untuk ayahmu…”

Abyatina terlelap tidak lama selepas itu. Perbualan terhenti dan Mak Cik Ros masih terus segar, sukar untuk memejamkan matanya. Hakikatnya, kisah seorang ibu bukanlah satu perjalanan yang mudah dan menyenangkan. Perjalanan itu penuh ceritanya, menduga setiap detik kesabaran.

Bagi Mak Cik Ros, pelbagai kisah menduga dirinya. Pelbagai masalah sedang menyelubungi setiap perjalanan hidupnya kini. Hakikatnya, masa rehat tidak banyak dimiliki Mak Cik Ros. Setiap detik waktu, maka keseluruhannya digunakan buat suami dan anak-anaknya. Perihal kesihatan Ustaz Man, kisah Abyatina berpantang, penantian Raiqah untuk anak keempatnya, kisah Tasha yang bakal melahirkan anak sulungnya semuanya bermain di fikiran ibu Abyatina itu. Malah, ditambah pula dengan kisah sikap dingin menantunya Tasha terhadap dirinya sedikit sebanyak seringkali mengundang rasa resah di hati.

Seorang ibu, punyai banyak kisahnya.

Pagi esoknya, Abyatina bangun agak lewat. Perbualan panjang malam sebelumnya ternyata satu kepuasan buatnya namun pada masa yang sama mendatangkan sedikit rasa keletihan di pagi itu. Ibu Abyatina telah bangun seawal empat pagi. Sarapan disediakan ibunya bersama-sama Mami Radhwa ibu mertuanya.  Satu lagi situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di kala itu, banyak perbualan tercipta di antara Mami Radhwa dan Mak Cik Ros. Hakikatnya, bukan selalu mereka bersua. Apabila bertemu, pasti banyak biacra yang dikongsikan.

“Bercucu lagilah kita ya…” kata Mami Radhwa.

“Cucu saya tak sebanyak cucu mami…” balas Mak Cik Ros.

“Banyak sikit semua tu tak ada beza. Kita ni yang dah makin tua…” kata Mami Radhwa. “Dengar cerita nak menyambut dua lagi cucu?”

“Ya… sikit masa lagi. Anak sulung dengan menantu tunggu masa saja nak bersalin. Tahun ni tiga cucu dapat,” balas Mak Cik Ros.

“Semua tu rezeki….” kata Mami Radhwa. “Apa khabar Ustaz Man?” soalnya mengubah tajuk perbualan.

“Khabarnya macam tulah. Nak dikata sihat pun tak sihat. Nak dikata sakit pun tak sakit. Usia makin lanjut, nikmat cergas pun makin lama makin hilang…” luah Mak Cik Ros. “Taklah sama dengan Cikgu Hamdawi. Umur dah masuk tujuh puluh, tapi sihat sampai sekarang”

“Cikgu Hamdawi memang dok sihat. Tapi dok kalut memanjang. Pencen dah lama, tapi cara macam bekerja. Tak lekat dok rumah,” kata Mami Radhwa.

Mak Cik Ros hanya tersenyum. Di hatinya, rasa untung pasti dimiliki besannya itu. Suami Mami Radhwa masih lagi sihat tidak sama seperti suaminya. Kadangkala, rasa cemburu menyelubungi. Namun di saat itu jugalah, hanya kepada Allah dia berserah.

Hidangan pagi dilihat lebih meriah. Pelbagai hidangan kuih disediakan, dan semuanya dibuat Mami Radhwa dan Mak Cik Ros. Binka ubi kayu dan kuih gelang disediakan Mami Radhwa. Nasi lemak pula datang dari air tangan Mak Cik Ros. Hakikatnya, kedua-dua besan ini punyai kemahiran memasak yang tersendiri. Mami Radhwa ternyata bukan asing dalam menghasilkan kuih-muih, kerana itulah kepakarannya. Sewaktu anak-anaknya masih kecil, Mami Radhwa menjual kuih-muih bagi menampung perbelanjaan harian. Bagi Mak Cik Ros, memasak adalah sebahagian dari hidupnya. Di kampung, di kala kenduri-kendara diadakan, maka kepada Mak Cik Roslah sumber dirujuki. Kemahiran memasak Mak Cik Ros senantiasa menjadi rujukan orang-orang kampung.

“Dan siapa nak makan semua banyak-banyak ni?” soal Abyatina sebaik melihat hidangan yang tersedia di meja makan.

“Orang berpantang, kenalah dilayan bak permaisuri. Baru lekas-lekas pulih dan sihat,” kata ibunya.

“Kalau Ina bak permaisuri, maknanya saya ni bak raja. Betuk tak?” Rizqullah mencelah sebaik tiba di meja hidangan.

“Kalau hang tu, dari dulu lagi orang dok layan macam raja. Jarang nak buat kerja…” balas Mami Radhwa ibu Rizqullah. “Betul tak Abyatina?”

“Orang lelaki semua sama. Bila jadi suami, impi nak jadi raja. Tapi si isteri dibiarkan tak berpemaisuri…” balas Abyatina. Kata-kata sekadar usikan dalam gurauan.

“Siapalah raja di hati Abyatina…” usik Rizqullah. “Kerana rajanya bukan raja. Dibiarkan sunyi dalam ketandusan panas gurun…”

Bicara dalam tersirat. Abyatina mengerti dengan usikan itu. Lantas terus dicubit manja lengan Rizqullah.

“Gatal!”

Rizqullah sekadar tersenyum. Kisah si isteri berpantang, maka itu juga menjadikan Rizqullah turut sama dalam tempoh berpantang. Buat mereka yang faham, itulah kisahnya.

Mengharungi masa depan, maka ketidakpastian itu seringkali bermain di fikiran. Mengenang kisah-kisah lalu, maka kerisauan barangkali tercetus di hati. Namun untuk detik itu, Abyatina tenang dalam bahagia. Kisah gembira tercipta seketika.

Mak Cik Ros berulang-alik beberapa kali dari kampung ke rumah Abyatina sepanjang tempoh berpantang itu. Bagi Mami Radhwa dan Cikgu Hamdawi, mereka terus berada di rumah itu sepanjang tempoh tersebut. Tiada siapa yang tahu, namun keberadaan kedua mertua Abyatina itu sedikit sebanyak mengurangkan rasa sunyi di rumah di kala Rizqullah berada di sekolah.

“Tapi… apa sebabnya?” monolog Abyatina sendirian. “Kenapa mak dan bapak mertua aku masih terus tinggal di sini? Apa yang berlaku di kampung sebenarnya?”

Pasti sesuatu terjadi di kampung yang tidak dikongsikan mereka. Lintasan fikiran menimbulkan persoalan. Abyatina sekadar mencetuskan soalnya, namun tidak berani diajukan untuk mendapatkan jawapannya.

Kisah minggu-minggu berikutnya, maka Abyatina berada di penghujung pantangnya. Kehidupan bakal kembali seperti kebiasaan. Anaknya Istafa dilihat lebih mudah dijaga berbanding anak sulungnya Yaqzan. Tidak banyak merengek, senantiasa menyenangkan. Barangkali situasi yang berlaku itu seakan mengerti terhadap pelbagai keserabutan yang melanda Abyatina.

Namun tatkala semakin hampir di penghujung tempoh pantang itu, maka persoalan utama terus bermain di fikiran Abyatina. Kisah kerjayanya sebagai guru mula mengambil tempat. Tanggungjawab dan tugas yang ditinggalkan sepanjang tempoh cuti bersalin bakal digalas kembali. Lantas mencetuskan persoalan dalam diri Abyatina. Barangkali diselubungi kerisauan juga.

“Siapa yang nak jaga Istafa?” soal Abyatina di suatu hari.

“Sama-sama kita cari jalannya. Kerja tetap kerja. Tanggungjawab jangan dilupa. Walaupun banyak cabarannya, soal kerja jangan dibiarkan,” balas Rizqullah.

“Istafa masih kecil. Rasa tak sampai hati nak tinggalkan…” luah Abyatina.

“Memang Istafa masih kecil, tapi dia nanti semakin membesar. Memang mula-mula susah. Tapi insya-Allah, semuanya nanti akan jadi mudah. Ina kena kuatkan semangat, kuatkan hati”

Persoalan tersebut dibiarkan berlegar dahulu. Abyatina tidak lagi mahu memikirkannya kerana di hari itu, menjelang tengah hari, Abyatina mendapat perkhabaran bahawa kakaknya Raiqah telah selamat melahirkan anak keempatnya. Bayi perempuan, selamat dilahirkan di Pulau Pinang. Perkhabaran itu disampaikan Arfan abang ipar Abyatina menerusi satu panggilan telefon. Bicaranya ringkas, namun kisahnya satu kegembiraan.

“Sampaikan khabar buat semua. Raiqah dan selamat bersalin. Perempuan juga…”

Jika diikutkan hati, mahu sahaja Abyatina menuju ke Pulau Pinang untuk melihat sendiri kakaknya itu. Namun dalam keadaan yang masih berbaki pantang, niatnya itu terhalang. Tidak mungkin Rizqullah mengizinkannya.

“Itu satu hal…” monolog Abyatina. “Kalau nak pergi, siapa pula nak temankan kedua-dua mertua aku? Nyonya depan rumah aku?”

Barangkali tidak mungkin. Ya, mana mungkin bukan?

Namun, tempoh lama Mami Radhwa dan Cikgu Hamdawi berada di rumahnya itu sedikit sebanyak mencetuskan tanda tanya. Kelihatan kedua-duanya seperti tidak mahu pulang lagi ke kampung halaman. Ingin juga ditanya, namun takut pula menguris hati mereka.

“Disalah tafsir, silap-silap mertua aku fikir nak menghalaunya pula…” monolog Abyatina.

Maka tercetus kembali ingatan terhadap kisah yang diceritakan Mami Radhwa suatu masa dahulu. Kisah konflik Cikgu Hamdawi dan anak lelaki keduanya, Ruwaidi. Kisah tanah dan tapak rumah, barangkali pasti punyai perkaitan.

Mungkin persoalan tersebut akan terjawab juga satu hari nanti.

“Biarkan masa yang menjawabnya….”

Lamunan berterusan.

“Nanti bila Ina habis pantang, kita ziarah Kak Raiqah. Tak lama dah pun kan…” bicara Rizqullah menghentikan lamunan panjang Abyatina.  Tanpa sedar, hari di hujung minggu, maka Rizqullah dilihat lebih lapang berbanding kebiasaannya.

Janji diberikan. Hanya menanti.

Seperti hari-hari kebiasaan di hujung minggu, Rizqullah akan ke pasar membeli segala keperluan barang basah di dapur. Kebiasaannya juga, ibu Abyatina akan berkunjung ke rumahnya. Namun, untuk kali ini kunjungan tidak terjadi kerana ibunya itu kini berada di Pulau Pinang melawat Raiqah yang baru sahaja selamat melahirkan anaknya.

Di hujung minggu juga, Cikgu Hamdawi pasti akan hilang di awal pagi. Setiap hujung minggu, maka bapa mertua Abyatina itu akan ke taman tasik beriadah di sana. Menghabiskan masa untuk beberapa ketika sebelum bersarapan di pekan. Itulah rutin mingguan berulang-ulang, tetap sama seperti kebiasaannya.

Namun, kebiasaan yang tercipta itu bagai berubah seketika kerana menjelang tengah hari, rumah Abyatina itu dikunjungi tetamu. Barangkali itulah tetamu pertama yang diterima untuk rumah baru mereka.

“Assalamualaikum!”

Salam diberi. Rizqullah terus menjenguk keluar. Kejutan diterima.

“Abang Lang?” soal Rizqullah. “Apa pula dibuatnya sampai datang ke sini?”

Rizqullah keluar dan menyambut kehadiran abangnya itu. Ruwaidi ternyata sangat jarang untuk menziarahinya. Malah, tidak pernah hatta sekali pun abangnya itu pernah datang untuk menjenguknya sejak Rizqullah dan Abyatina berkahwin.

“Cantik rumah hang,” bicara Ruwaidi. Dua beradik sudah lama tidak ketemu. Perbualan tercipta bagai sesuatu yang luar biasa.

“Rumah teres saja…” balas Rizqullah. “Masuklah. Takkan nak berdiri di luar saja. Mak ada kat dalam…”

Ruwaidi dengan cermat berjalan masuk ke dalam rumah. Gaya jalannya penuh tersusun. Barangkali sudah terbiasa. Bakal pesara tentera, Ruwaidi hadir bersendirian ke rumah Rizqullah itu. Isteri dan anak-anaknya tidak kelihatan.

Namun belum sempat Ruwaidi masuk ke rumah, sebuah teksi pula berhenti di hadapan. Kelibat Cikgu Hamdawi kelihatan. Ruwaidi dilanda kejutan.

“Kalau hang mai sini nak cakap pasal hal tanah, baik hang balik!” kata Cikgu Hamdawi dalam nada yang agak tinggi sebaik turun dari teksi tersebut. Hampir saja dijerkah si Ruwaidi. “Hang jangan ingat aku tak tau tujuan hang mai sini!”

Itulah kata-kata yang terluah sebaik Cikgu Hamdawi menyedari kehadiran Ruwaidi di rumah Rizqullah itu. Amarah yang barangkali dipendam selama ini.

Situasi itu ternyata merisaukan Rizqullah. Satu tindakan harus diatur bagi mengelakkan situasi bertukar menjadi pergaduhan yang lebih besar.

Namun, belum sempat Rizqullah bertindak apa-apa, sebuah kenderaan lain berhenti pula di hadapan rumahnya. Secara tiba-tiba, situasi panas di tengah hari menunjukkan kemeriahannya. Panas semakin hangat. Kelihatan Absyar turun dari kenderaan tersebut. Rafiqin turut sama dengannya.

Cikgu Hamdawi dan Ruwaidi terhenti seketika perseteruan.

“Ustaz Man… Ustaz Man!” kata Absyar.

“Kenapa dengan Ustaz Man?” soal Rizqullah hairan.

Situasi tengah hari itu ternyata sesuatu di luar daripada kebiasaan. Mencipta satu detik yang barangkali tidak dapat dilupakan. Masing-masing terpinga-pinga di tengah hari itu.



*Tamat sudah Bicara Empat Puluh*

Ada apa dengan Ustaz Man? Bagaimana Cikgu Hamdawi dan Ruwaidi? Apakah Rizqullah? Akan menyambung di lain bicara.

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya






Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
 

Khamis, 7 Mei 2015

Menyangkal dakwaan misi ke bulan adalah palsu



Pasca Perang Dunia Kedua menyaksikan banyak perubahan dari sudut politik dan ekonomi dunia. Disebabkan perang yang tercetus itu, maka blok kuasa dunia terbahagi kepada dua iaitu blok Barat yang diketuai Amerika Syarikat dan blok Timur yang diketuai Kesatuan Soviet. Kesan perang menyaksikan Amerika dan Soviet saling mencurigai di antara satu sama lain dan akhirnya mencetuskan Perang Dingin bermula tahun 1947 hingga 1991. Pertembungan dua blok ini mencetuskan pelbagai persiapan hebat dari sudut ketenteraan dan pertahanan, dan masing-masing melengkapkan kemampuan mereka untuk menghadapi sebarang kemungkinan perang nuklear. Namun hakikatnya, sepanjang Perang Dingin tercetus, tidak ada satu pun perang secara langsung melibatkan di antara dua blok ini.

Persaingan secara dingin ini melibatkan pelbagai aspek, dari sudut ekonomi hinggalah kepada sudut penguasaan politik dunia. Semuanya adalah bertujuan untuk meletakkan masing-masing sebagai kuasa terunggul dunia.

Kisah perlumbaan angkasa lepas yang berlaku sekitar tahun 1950-an hinggalah penghujung 1970-an merupakan salah satu bukti menyatakan bahawa persaingan dua kuasa besar dunia ini memang benar-benar berlaku. Hakikatnya, Perang Dingin itulah yang mencetuskan perlumbaan tersebut seterusnya merevolusikan dunia sains dan teknologi sehingga akhirnya manusia dapat menjejakkan kaki ke bulan. Kisah Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat dalam perlumbaan angkasa lepas telah mencipta satu sisi sejarah yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Ego dan kekuasaan

Hakikatnya, sejarah perlumbaan ke angkasa lepas bukanlah didorong oleh keinginan sains untuk memahami alam sejagat ini. Tiada faktor saintifik yang mencetuskan hasrat untuk ke angkasa lepas, sebaliknya hanya disebabkan keegoan dan nilai superioriti yang dimiliki Amerika dan Soviet.

Pada 4 Oktober 1957, Soviet melancarkan satelit buatan pertama yang dinamakan Sputnik 1. Satelit kecil berbentuk sfera berdiameter 58 cm dan mempunyai 4 antena ini mencetuskan kejutan bagi Amerika. Satelit ini berkeupayaan mengelilingi orbit bumi dalam tempoh 96.2 minit sepusingan dengan kelajuan 29 000 km/jam dan menghantar isyarat radio yang boleh dikesan di mana-mana kawasan di bumi.

Keratan akhbar The New York Times mengenai kejayaan Soviet melancarkan satelit Sputnik 1 ke angkasa


Situasi ini mencetuskan kerisauan bagi Amerika. Sputnik mencetuskan perang baru di antara Soviet dan Amerika. Kerisauan Amerika semakin jelas kerana satelit Sputnik ini hakikatnya berada di ruang angkasa dan akan melintasi kawasan ruang udara Amerika sewaktu satelit mengorbit bumi. Segala kemungkinan boleh berlaku sehingga ada yang beranggapan bahawa satelit ini adalah permulaan kepada era perang nuklear yang mungkin akan berlaku di antara Amerika dan Soviet.

Maka dengan itu Amerika bertindak balas.

Satelit kecil Sputnik 1 ini telah mencetuskan kerisauan bagi Amerika


“Reaching for the moon”

Sputnik telah menyebabkan Amerika tersedar bahawa penguasaan terhadap angkasa lepas sangat penting bagi memastikan penguasaan dominan mereka terhadap dunia. Memenangi perlumbaan angkasa lepas menjadi keutamaan bagi Amerika supaya maruah mereka dapat dijaga. Untuk itu, maka pada 25 Mei 1961, Presiden John F. Kennedy mengumumkan di Konges Amerika mengenai cita-cita dan hasratnya untuk menghantar rakyat Amerika ke bulan sebelum penghujung dekad 60-an. Di kala itu, cita-cita tersebut dilihat sangat besar dan berkemungkinan mustahil. Namun, selepas pengumuman Kennedy itu, pembangunan pantas mula dilakukan Amerika untuk mencapai hasrat itu. 

Kennedy ketika memberi ucapan mengenai hasratnya untuk menhantar manusia ke bulan di Kongres Amerika


Projek Mercury, Gemini (beberapa misi selepasnya) dan kemudian diikuti Apollo dilancarkan adalah untuk mencapai hasrat Presiden Kennedy pada waktu itu. Misi ke bulan yang kemudian dikenali sebagai Projek Apollo akhirnya mencetuskan revolusi dalam industri angkasa lepas apabila pelbagai persediaan dibuat dari sudut persiapan roket sehinggalah kepada persiapan manusia itu sendiri. Banyak teknologi sains direvolusikan dalam misi Apollo ini.

Pada 20 Julai 1969, menerusi misi Apollo 11, maka angkasawan Neil Armstrong mencipta sejarah apabila menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan. Hasrat Kennedy yang diimpikannya akhirnya menjadi realiti walaupun beliau tidak sempat melihat sendiri kejayaan itu.

Neil Armstrong


Sepanjang enam misi Apollo (dari Apollo 11 hingga 17), 12 angkasawan Amerika berjaya menjejakkan kaki mereka ke bulan. Namun, untuk kesemua misi itu, hampir 400 ribu tenaga kerja diperlukan dari pelbagai bidang untuk merealisasikan misi itu. Di sebalik kesemua ini, beberapa tahun berikutnya timbul persoalan yang diajukan oleh pihak tertentu terhadap misi pendaratan di bulan itu.

Apakah Amerika benar-benar mendarat di bulan?


Teori konspirasi pendaratan Amerika ke bulan

Dari sudut sejarah, teori konspirasi ini mula timbul pada tahun 1976 iaitu dua tahun selepas misi Apollo ke bulan tamat. Menerusi buku We Never Went to the Moon: America’s Thirty Billion Dollar Swindle diterbitkan oleh Bill Kaysing. Beliau merupakan penulis teknikal yang diupah oleh Rocketdyne, syarikat yang membina enjin F-1 yang digunakan pada roket Saturn V.  Hakikatnya, walaupun diupah menjadi penulis teknikal, Kaysing langsung tidak mempunyai pengetahuan mengenai roket ataupun mengenai penulisan teknikal. Beliau berkhidmat sebagai ketua unit teknikal penerbitan sehingga tahun 1963.

Bill Kaysing merupakan antara individu terawal yang menyatakan bahawa misi ke bulan adalah palsu


Menerusi buku tersebut, Kaysing mendakwa bahawa Amerika tidak pernah sama sekali mendarat di bulan, sebaliknya kesemua misi Apollo itu hanya lakonan dan palsu. Menurut buku itu, peluang untuk misi manusia ke bulan sangat tipis iaitu hanya 0.0017%, dan untuk itu adalah lebih mudah bagi Amerika untuk memalsukan pendaratan mereka di bulan berbanding melakukan misi sebenar untuk mendarat di bulan.

Selepas penerbitan buku ini, maka pelbagai teori konspirasi mula diusulkan dari pelbagai pihak mahupun organisasi.  Salah satu organisasi itu ialah Flat Earth Society, yang mendakwa bahawa kesemua pendaratan ke bulan bagi misi-misi Apollo itu dipalsukan NASA, dan dipentaskan oleh Hollywood dengan bantuan dana dari Walt Disney dan diarahkan oleh Stanley Kubrick.

Walt Disney

Stanley Kubrick

Malah, sehingga ke era tahun 2000, teori ini terus diperkatakan walaupun setiap dakwaan dan teori itu akhirnya berjaya disangkal oleh NASA dan dibuktikan dengan penerangan secara saintifik.


Dakwaan penipuan oleh para konspirasi

1)      Foto dan filem
Kebanyakan dakwaan konspirasi yang dinyatakan tertumpu kepada gambar-gambar dan filem-filem yang diambil NASA sewaktu misi manusia ke bulan. Kepelikan pada gambar yang diambil itu mencetuskan pelbagai andaian dan dakwaan menyatakan bahawa kesemua gambar yang diambil itu adalah palsu dan diambil dari studio. Berikut adalah dakwaan mereka dan jawapan balas yang diberi oleh pakar untuk menyangkal dakwaan tersebut.

i)                    Kualiti foto adalah sangat tinggi
Dakwaan menyatakan bahawa gambar yang diambil di bulan sangat berkualiti tinggi dan tidak mungkin mampu diambil oleh angkasawan yang pergi ke sana. Menurut mereka, gambar tersebut hanya boleh diambil oleh mereka yang pakar dan di dalam suasana studio yang mempunyai pencahayaan yang sesuai.

Namun, NASA menjawab pertuduhan ini dengan menyatakan bahawa gambar-gambar yang dipaparkan kepada umum adalah gambar terbaik daripada gambar-gambar lain yang kebanyakannya tidak berada dalam kualiti yang terbaik. NASA  juga menyatakan bahawa, angkasawan Apollo menggunakan camera resolusi tinggi Hasselbad 500 EL dengan optic  Carl Zeiss dan 70 mm filem majalah format sederhana.

Kualiti gambar yang sangat tinggi menimbulkan banyak persoalan

Hasselblad: 500 EL Electronic, kamera 'Lunar Surface'


ii)                  Tiada bintang kelihatan dalam kesemua foto yang diambil di bulan
Ketiadaan bintang mencetuskan perdebatan mengenai ketulenan gambar dan filem yang diambil di bulan.  Ketiadaan lapisan atmosfera menurut mereka membolehkan bintang dapat dilihat dengan jelas berbanding di bumi. Namun, kesemua gambar yang diambil di bulan memaparkan kegelapan tanpa sebarang bintang kelihatan.

Namun, menurut angkasawan dalam misi Apollo 11, mereka tidak dapat melihat sebarang bintang ketika berada di permukaan bulan. Menerusi pandangan mata kasar mereka, mereka hanya melihat kegelapan apabila mendongak ke atas.

Menurut NASA, kesemua misi Apollo dilakukan pada waktu siang di bulan. Untuk itu, kesemua pelarasan kamera telah ditetapkan untuk waktu siang dan ini menyebabkan tiada imej bintang akan dapat diambil. Menurut NASA lagi, ketiadaan atmosfera di bulan menyebabkan cahaya matahari lebih tinggi kadar sinarannya dan ini menyebabkan permukaan bulan memantulkan cahaya matahari lebih tinggi berbanding di bumi. Situasi ini tidak memungkinkan imej bintang kelihatan dari permukaan bulan kerana sinaran matahari dan pantulan cahaya matahari dari permukaan bulan menenggelamkan cahaya bintang yang ada.

Imej ini menunjukkan hanya bumi sahaja yang kelihatan, tidak terdapat sebarang imej bintang



iii)                Sudut dan kedudukan bayang-bayang dalam foto tidak konsisten

Foto-foto yang diambil di bulan dilihat mempunyai sudut dan kedudukan bayang-bayang yang tidak konsisten seterusnya mencetuskan dakwaan bahawa keadaan itu terjadi disebabkan penggunaan lampu buatan yang terdapat dalam studio. Banyak foto menunjukkan bahawa bayang-bayang tidak selari, mencadangkan bahawa terdapat beberapa buah lampu digunakan.

Namun menurut NASA, kewujudan bayang-bayang dan pencahayaan yang tidak selari itu adalah disebabkan oleh beberapa sumber cahaya yang terdapat di bulan; iaitu, cahaya dari matahari, pantulan cahaya dari bumi, pantulan cahaya dari permukaan bulan, dan pantulan cahaya dari Modul Lunar dan pantulan cahaya dari angkasawan. Cahaya-cahaya ini juga berserakan disebabkan oleh debu bulan yang menyebabkan bayang-bayang dan imej pada gambar menjadi tidak selari. Disebabkan itu, terdapat keadaan dalam gambar yang memperlihatkan garis bayang yang berbeza di antara satu objek dengan objek yang lain. Harus diingat, bulan tiada lapisan atmosfera  dan ini membolehkan sinaran cahaya matahari memancar terus ke permukaan bulan tanpa sebarang halangan.

Gambar menunjukkan dakwaan bahawa bayang-bayang yang tidak selari di bulan


iv)                Imej latar belakang dilihat sama dalam kebanyakan foto yang diambil angkawasan dan dilihat lebih dekat

Situasi ini menimbulkan teori bahawa latar belakang tersebut merupakan sebuah lukisan yang digunakan di studio.

Namun hakikatnya, latar belakang tersebut bukanlah sama, sebaliknya seakan-akan sama. Di bulan, kesemua imej latar belakang dilihat seperti dekat dan jelas disebabkan oleh ketiadaan atmosfera dan litupan awan yang menghalang penglihatan. Situasi ini menyebabkan bukit dan gunung yang berbatu jauhnya kelihatan sangat dekat dan kecil. Tambahan pula, di bulan tidak terdapat banyak objek seperti pokok yang membolehkan perbandingan dilakukan untuk saiz gunung dan bukit di bulan. 

Imej menunjukkan latar belakang yang sama di lokasi bulan yang berbeza


v)                  Siapa yang mengambil gambar Neil Armstrong sewaktu beliau menapak kali pertama di bulan?

Persoalan ini timbul dan mendatang pertanyaan dalam kalangan ramai pihak. Jika gambar Neil Armstrong diambil, itu menunjukkan bahawa terdapat angkasawan lain yang turun dahulu sebelum Armstrong.

NASA menyatakan bahawa gambar tersebut diambil dari Modul Lunar. Tatkala Armstrong berada di tangga, beliau telah mendaratkan dahulu Modularized Equipment Stowage Assembly (Modular peralatan pemasangan simpanan) dari Modul Lunar sebelum beliau sendiri turun dan memijak ke permukaan bulan.

Imej Neil Armstrong menuruni tangga untuk berpijak di bulan buat kali pertama


2)      Persekitaran di bulan

i)                    Radiasi

Hakikatnya, persekitaran di bulan sudah semestinya tidak sama dengan persekitaran di bumi. Mengikut dakwaan ahli konspirasi, mereka menyatakan bahawa tiada angkasawan yang dapat bertahan dalam perjalanan ke bulan disebabkan oleh pendedahan  terhadap radiasi seperti jalur radiasi Van Allen, dan radiasi ambien galaktik. Malah, pada tahun 1962, satu ujian nuklear altitud tinggi pernah dijalankan dan menemui kegagalan akibat jalur radiasi ini.

Jalur radiasi Van Allen mempunyai dua bahagian, iaitu bahagian luar dan bahagian dalam. Bahagian luar jalur ini mempunyai elektron tenaga rendah yang kurang bahaya (partikel Beta). Bahagian dalam adalah kawasan yang paling merbahaya mempunyai proton bertenaga.

NASA menyatakan bahawa, perjalanan kapal angkasa Apollo hanya melalui kawasan jalur dalam radiasi Van Allen selama beberapa minit, dan satu jam tiga puluh minit melalui kawasan jalur luar radiasi Van Allen. Tambahan pula, para angkasawan terlindung dari radiasi oleh binaan aluminium badan kapal angkasa. Menurut NASA lagi, trajektori atau sudut perjalanan dari bumi ke bulan melalui jalur radiasi Van Allen ini telah dipilih untuk terdedah paling minimum dengan radiasi.  Malah menurut Dr. James Van Allen, individu yang menemui jalur radiasi Van Allen, perjalanan ke bulan merentasi jalur radiasi tersebut tidaklah begitu bahaya seperti yang digambarkan pihak lain.

Jalur radiasi Van Allen

ii)                  Permukaan bulan pada waktu siang yang sangat panas akan menyebabkan filem kamera cair dan rosak

Menurut pakar teori konspirasi, mereka menyatakan bahawa ketiadaan atmosfera di bulan menyebabkan sinaran terik matahari seterusnya menyebabkan kadar haba yang tinggi di bulan. Situasi ini tidak memungkinkan untuk sebarang lapisan filem dapat bertahan dan tidak membolehkan sebarang imej dapat diambil di permukaan bulan.

Namun hakikatnya, ketiadaan atmosfera di bulan itu akan menyebabkan tiada sebarang haba yang terkumpul di sana. Di kawasan vakum seperti bulan, hanya radiasi yang akan menjadi agen pemindah haba. Maka untuk itu, lapisan optik kamera dan filem dilapisi dengan saduran dan cat untuk mengawal suhu filem dalam kamera. Saduran ini adalah sama yang meyelaputi Modul Lunar, yang dilapisi dengan saduran emas bagi menghalang haba yang dipidahkan menerusi radiasi.

Menurut NASA, kesemua misi mendarat ke bulan dilakukan pada waktu matahari terbit di bulan bagi mengurangkan kesan haba di permukaan bulan. Berdasarkan pengalaman angkasawan di bulan, dalam tempoh lama berada di bulan, mereka mendapati bahawa peningkatan muatan penyejuk dalam sut angkasa mereka ketika suhu matahari semakin meningkat di permukaan bulan. Namun kesannya ditangani dengan mudah dengan sistem penyejuk yang ada pada sut angkasa tersebut.

Tempoh sehari di bulan adalah bersamaan dengan 29 hari di bumi. Hal ini bermaksud, siang di bulan adalah bersamaan dengan 15 hari di bumi dan para angkasawan dapat menghabiskan misi secara maksimum di bulan tanpa risau akan kepanasan yang akan dihadapi di bulan.

Kesemua misi di bulan dilakukan pada waktu siang bulan

iii)                Filem dalam kamera akan menjadi kabut disebabkan radiasi

Menurut NASA, kesemua filem yang digunakan pada kamera disimpan dalam bekas logam yang menghalang kabut pada lapisan filem akibat dari radiasi. Malah, kesemua misi bukan manusia ke bulan seperti Lunar Orbiter dan Luna 3 yang turut membawa filem kamera tidak menjadi kabut sewaktu berada di bulan.

iv)                Krew Apollo 16 tidak akan dapat bertahan dari ribut solar matahari sewaktu dalam perjalanan ke bulan
Dakwaan ini disangkal NASA kerana sewaktu misi Apollo 16, tiada ribut solar berlaku sepanjang perjalanan ke bulan. Namun menurut rekod, pada  Ogos 1972, terdapat satu ribut solar berlaku iaitu selepas misi Apollo 16 selesai, dan sebelum misi Apollo 17 bermula.

v)                  Bendera Amerika yang dipacak di bulan kelihatan berkibar di sebalik ketiadaan angin di bulan.

 Situasi ini mencadangkan bahawa bendera tersebut dipacak di bumi dan kibaran tersebut tercetus disebabkan angin di bumi.  Kibaran bendera ini juga dikatakan mungkin disebabkan oleh angin kipas dalaman yang digunakan untuk menyejukkan angkasawan, kerana sut penyejuk sebenar bagi angkasawan untuk ke bulan adalah sangat berat untuk dipakai di bumi.

Namun hakikatnya, bendera tersebut telah diikat pada tiang berbentuk L (secara terbalik), supaya kain bendera tidak jatuh dan berdiri tegak. Sewaktu perjalanan menuju ke bulan, bendera tersebut dilipat dan disimpan dalam bekas khas dan apabila tiba di bulan, angkasawan membuka lipatan bendera ini. Situasi ini menyebabkan bendera tersebut berada dalam keadaan kedut dan untuk untuk meratakan kedutan ini amatlah sukar di bulan. Dalam situasi vakum, maka keadaan kedutan pada bendera ini akan pegun dan tidak akan berubah.

Imej yang diambil menampakkan seolah-olah bendera tersebut berkibar. Namun apabila perbandingan dua imej yang berbeza dibuat, ternyata tiada perubahan pergerakan pada bendera tersebut. Menerusi video pula, bendera tersebut hanya kelihatan bergerak sedikit tatkala angkasawan membawanya untuk dipacakkan di bulan. Tanpa geseran udara, pergerakan ini menyebabkan penjuru bendera bergerak bebas, tidak ubah seperti pergerakan pendulum.

Imej 1

Imej 2

Gabungan imej 1 dan imej 2 menunjukkan bahawa bendera tersebut tidak bergerak sedikit pun



vi)                Tapak kaki yang ada di permukaan bulan dilihat mustahil untuk kekal disebabkan ketiadaan kelembapan di bulan

Menurut pakat teori konspirasi, kewujudan tapak kaki angkasawan di bulan adalah mustahil untuk terjadi. Keadaan bulan yang bersifat vakum dan tidak mempunyai sebarang udara dan air tidak memungkinkan untuk bekas tapak kaki kekal lama di bulan. Menurut mereka, untuk sesuatu objek membentuk bekas di sesuatu permukaan berpasir dan berdebu, kelembapan harus ada untuk mengekalkan bentuk tapak yang terhasil. Di bulan, keadaan berbeza kerana tiada udara dan kelembapan.

Namun menurut NASA, debu-debu di bulan tidak pernah terdedah dengan cuaca seperti di bumi.  Keadaan ini menyebabkan pasir di bulan mempunyai bucu yang lebih tajam dan membolehkan debu-debu bulan ini mudah untuk melekap di antara satu sama lain. Keadaan ini membolehkan bentuk tapak kaki dapat kekal dalam keadaan vakum di bulan.

Tapak but Neil Neil Armstrong di bulan


vii)              Dakwaan pendaratan di bulan hakikatnya dilakukan di studio bunyi atau di kawasan gurun terpencil. Kesemua pergerakan yang dirakamkan adalah hasil daripada pergerakan yang telah diperlahankan (slow motion) menerusi suntingan video

Dalam satu siri mini HBO berjudul From the Earth to the Moon, pihak produksi telah menggunakan studio bunyi untuk melakonkan semula pendaratan angkasawan ke bulan. Ketika angkasawan mendendang pasir dan debu, kelihatan debu tersebut membentuk awan buat seketika sebelum jatuh semula ke permukaan. Babak ini dibuat dengan suntingan filem yang telah diperlahankan (slow motion).

Situasi ini berbeza dengan rakaman sebenar misi di bulan. Debu yang ditendang terhasil dari but angkawasan dan Kenderaan Bergerak Lunar  dilihat naik lebih tinggi dan tidak membentuk kepulan awan atau parabolik ketika naik. Debu-debu ini juga jatuh lebih cepat disebabkan keadaan vakum di bulan.

Angkasawan dalam misi Apollo 15, David Scott pernah melakukan eksperimen di bulan. Beliau telah menjatuhkan bulu helang dan penukul besi pada masa yang sama. Didapati kedua-dua objek tersebut bergerak pada kelajuan yang sama dan jatuh ke permukaan pada waktu yang sama. Hal ini membuktikan bahawa Scott berada dalam keadaan vakum.

video


Bukti pihak ketiga menyokong ketulenan pendaratan ke bulan

i)                    Imej dan tapak pendaratan

Pakar teori konspirasi mendakwa bahawa balai cerap dan teleskop Angkasa Hubble seharusnya dapat mengambil gambar tapak-tapak pendaratan misi Apollo di bulan.  Situasi ini mencadangkan bahawa kesemua balai cerap utama dunia diselebungi dengan penipuan apabila gagal atau enggan mengambil sebarang gambar di permukaan bulan untuk mengesan tapak pendaratan dalam kesemua misi Apollo.

Namun, kemampuan teleskop Hubble amat terhad untuk mencerap permukaan bulan kerana hanya mampu mengambil gambar imej yang bersaiz paling minimum sebesar 55 ke 69 meter sahaja yang tidak memungkinkan untuk memperlihatkan sebarang imej kawasan pendaratan di bulan.

Namun pada April 2001, satu artikel yang diterbitkan Leonard David telah memaparkan imej dari misi Clementine yang menunjukkan tompokan hitam di kawasan yang didakwa NASA merupakan kawasan pendaratan misi Apollo 15. Bukti ini dikesan oleh Misha Kreslavsky dari Jabatan Sains Geologikal di Universiti Brown, dan Yuri Shkuratov dari Balai Cerap Astronomikal Kharkiv di Ukraine.

Pada 14 September  2007, Agensi Penerokaan Angkasa Jepun telah melancarkan pengorbit SELENE Moon dari Pusat Angkasa Tanegashima. SELENE mengorbit bulan pada altitude 100 km. Pada Mei 2008, menerusi kamera permukaan, pengorbit ini mengesan  imej ‘halo’ (lingkaran) dari ekzos Modul Lunar Apollo 15. Imej ini kemudian dijana semula kepada bentuk tiga dimensi dan sepadan dengan rupa bentuk permukaan bulan yang menjadi tapak pendaratan Modul Lunar Apollo 15.

Pada 8 September 2008, Pertubuhan Kajian Angkasa India melancarkan misi prob bulan tanpa manusia dari Pusat Angkasa Satish Dhawan. Setahun kemudian pada Pada 1 September 2009, misi ke bulan Chandrayaan-1 itu mengambil imej tapak mendarat Apollo 15 dan bekas jejak kenderaan bulan (lunar rover).  Imej tersebut diambil menggunakan kamera hiperspektral yang dimuatkan dalam prob tersebut.

Terbaru, prob lunar China yang kedua, Chang’e 2 dilancarkan pada tahun 2010 dan mempunyai keupayaan resolusi gambar imej bersaiz 1.3 meter. Prob ini berjaya mengesan tapak-tapak pendaratan misi Apollo di bulan.

ii)                  Batu bulan

Secara kesulurahannya, kesemua misi Apollo telah berjaya membawa 380 kg batu-batu bulan pulang ke bumi. Analisis-analisis yang dibuat oleh saintis-saintis seluruh dunia menyetujui bahawa batu-batu yang didakwa dari bulan itu adalah asli.  Sampel-sampel yang diambil dari misi Apollo ini sangat berbeza dengan batuan di bumi atau batuan dari meteorit. Batuan ini mempunyai ciri yang berbeza, kurang mempunyai unsur-unsur perubahan oleh air.

Selain itu batuan tersebut menunjukkan kesan-kesan impak geseran tanpa udara, dan mempunyai trait atau ciri-ciri geografi yang unik, yang tidak terdapat di bumi. Malah, usia kebanyakan batuan yang dibawa pulang itu menjangkau 200 juta tahun, iaitu lebih tua dari batuan tertua di bumi. Seperkara lagi, ciri-ciri batuan yang diambil dari misi Apollo mempunyai persamaan ciri dengan sampel-sampel yang diambil oleh Soviet Union dalam misi bulan mereka.

Pakar teori konspirasi mendakwa bahawa Pengarah Marshal Pusat Angkasa Werner von Braun pernah melakukan kunjungan ke Antartika, dan menurut mereka kujungan itu adalah untuk mengumpul batu-batu meteorit dari bulan untuk dijadikan bukti palsu bahawa batuan itu diambil secara terus dari bulan. Namun menurut NASA, misi-misi ke Antartika dibuat adalah bertujuan untuk meniru keadaan persekitaran di planet lain sebagai latihan mereka.

Tambahan pula, menurut rekod, hanya sebanyak 30 kg batuan meteorit bulan telah berjaya dikumpul yang datangnya dari seluruh dunia, baik dari agensi mahupun koleksi peribadi. Batuan ini hanya dikenal pasti sebagai batuan meteorit dari bulan pada tahun 1982, iaitu setelah 10 tahun misi Apollo berakhir. Jumlah sampel batuan bulan yang dibawa pulang oleh NASA yang berjumlah 380 kg tidak mungkin dapat dikumpul dan dicari di bumi dengan jumlah sebanyak itu. Hujah ini mengukuhkan bukti bahawa NASA memang mendarat di bulan.

Namun pakar teori konspirasi Bill Kaysing mempersoalkan mengapa tiada batuan-batuan berharga dalam batuan di bulan dan sebab mengapa kemungkinan ini tidak pernah dipertimbangkan dari pakar. Namun menurut pakai geologi, kemungkinan untuk mencari sebarang batuan berharga di bulan tidak menjadi keutamaan memandangkan ketiadaan air di bulan yang tidak memungkinkan terbentuknya sebarang batuan berharga di sana. Di bumi, logam seperti emas terbentuk hasil daripada pemendapan air dan batuan. Keadaan ini tidak berlaku di bulan.

Genesis, batu yang diambil dari misi Apollo ke bulan


Kesimpulan

Untuk menyatakan bahawa misi ke bulan oleh NASA pada tahun 60-an itu adalah satu kepalsuan bukanlah semudah yang didakwa. Di sebalik pelbagai teori yang dikemukakan oleh pakar-pakar yang terlibat, hakikatnya banyak bukti dan hujah balas telah diberikan. Setiap dakwaan yang dinyatakan telah dijawab dengan baik oleh pihak yang berkenaan seterusnya menghilangkan sedikit sebanyak kegusaran dan keyakinan orang ramai terhadap ketulenan pendaratan manusia ke bulan.

Hakikatnya, di sebalik kesemua misi Apollo itu, selama hampir 10 tahun diperlukan untuk persediaan bagi mencapai misi pendaratan manusia ke bulan. Seramai hampir 400 ribu tenaga kerja diguna dari pelbagai bidang; kejuruteraan, teknikal sehinggalah kepada pakar geologi. Kesemuanya berganding bahu untuk menjayakan misi tersebut. Untuk meyatakan bahawa misi tersebut adalah palsu adalah satu penghinaan terhadap susah payah dan jerit perih yang telah mereka korbankan bagi menjayakan misi-misi Apollo ke bulan.

Seperkara lagi, andai benar kerajaan Amerika memalsukan pendaratan itu, sejauh manakah kemampuan mereka untuk menutup mulut hampir setengah juta tenaga kerja yang terlibat? Malah dalam persediaan untuk misi itu, ramai juga yang terkorban seperti tragedi pada 27 Januari 1967 apabila tiga angkasawan iaitu Edward H. White, Virgil I “Gus” Grissom, dan Roger B Chaffee terkorban dalam kebakaran sewaktu sesi latihan terakhir dalam modul lunar. Jika tragedi ini tidak berlaku, mereka inilah yang bakal menjadi angkasawan pertama mendarat di bulan.

Edward H. White, Virgil I “Gus” Grissom, dan Roger B Chaffee

Modul lunar yang terbakar sewaktu sesi ujian terakhir

Memang benar Soviet Union di awalnya jauh ke hadapan dari sudut pencapaian penerokaan ke angkasa lepas namun harus juga diingat kesemua pencapaian itu berjaya dipintas Amerika tidak berapa lama kemudian. Persepsi menyatakan bahawa teknologi Soviet jauh ke hadapan berbanding Amerika. Namun sepanjang sejarah perlumbaan angkasa lepas, Soviet tidak pernah berjaya menghantar seorang manusia pun ke bulan. Mereka berusaha ke arah itu, namun menemui kegagalan.

Carta perlumbaan angkasa lepas di antara Amerika dan Soviet

Pencapaian untuk menghantar manusia ke bulan adalah sesuatu yang cukup besar dalam merubah kehidupan manusia sejagat. Misi ke bulan membolehkan kita memahami dengan lebih jelas asal usul kejadian bumi ini. Malah sepanjang tempoh misi ke bulan itu, pelbagai teknologi terhasil dan digunakan kini dalam kehidupan seharian. Misi ke bulan telah merevolusikan gaya hidup kita pada masa kini. Antara teknologi yang lahir dari misi Apollo ini adalah seperti mesin pengimbas CAT, mikrocip computer, makanan sejuk beku dan kering, joystick, TV satelit, pengesan asap, pakaian renang, dan penapis air.

Oleh itu, apabila setiap kali mendongak langit di kala malam dan terlihat bulan yang mengambang, maka percayalah bahawa manusia telah berjaya menjejakkan kaki mereka ke sana. Kita pernah ke sana walaupun hakikatnya dilihat seperti sangat mustahil.



Sumber: Space.com, The Telegraph UK, nasa.gov,  Apollo Lunar Surface Journal (NASA)




Dari Kaca Mata: yazidrosly_my@yahoo.com