"Adina (Bicara Tiga Puluh Sembilan)"
“Peraturan pertama dalam berumah tangga ialah sabar.
Andai hati tiada sabar, maka jangan bermimpi kekalnya bahagia. Andai bahagia
itu tiada sabar, maka jangan mengharap ada kekalnya. Kerana tiap-tiap sabar itu
memang perit kadangkala, namun andai bertahan maka nikmatnya sungguh tak
dijangka. Kita hidup sebagai manusia, kerana itu dugaan datang silih berganti.
Dari kesusahan itulah, kita akan mengerti kebesaran Ilahi”
“Kalau hati tak sabar, dah lama tersungkur. Susahnya
bukan senang. Senangnya pun bukan senang,” bisik Abyatina sendirian.
Seperti biasa, buku notanya itu ditutup. Pena diletakkan.
Begitulah rutin harian Abyatina setiap hari. Pasti akan ada catatan dari
nukilan hatinya itu. Sebelum berkahwin sehinggalah bergelar sebagai ibu,
penanya itu terus menjadi teman untuk meluahkan rasa di hatinya.
Hari-hari sebagai wanita yang sedang berpantang
kadangkala sangatlah membosankan. Rutin yang dijalaninya ternyata senantiasa
sama dari hari ke hari. Namun, Abyatina punyai pengalaman. Melahirkan anak
kedua bukanlah segentar yang dihadapi sewaktu melahirkan Yaqzan. Namun,
peritnya masih tetap ada.
“Bila sakit waktu nak lahirkan anak, dalam hati memang
dah tak nak nak beranak lagi. Tapi bila anak semakin besar dari hari ke hari,
rasa sakit bagai dah hilang. Seronok pula yang rasa, sampai terasa nak ada anak
lagi,” luah Abyatina di suatu petang kepada kakaknya Raiqah. Waktu itu,
kakaknya itu berkunjung ke rumah melawat Abyatina dan bayi barunya.
“Biasalah tu. Naluri seorang ibu takkan dapat
dihilangkan. Sakitnya memang tak terkata bila nak bersalin, tapi itulah ujian
Allah untuk bagi nikmat pada kita. Nikmat anak ni tak semua boleh rasa. Hanya
yang betul-betul bersedia saja yang boleh rasai semuanya,” balas Raiqah.
“Tapi Ina risau dengan Yaqzan…”
“Apa yang dirisaukan?” soal Raiqah.
“Takut juga kalau tersisih Yaqzan. Maklumlah sekarang dia
dah ada adik. Nak bagi tumpuan pada Yaqzan seorang saja pun dah tak boleh, tak
sama macam dulu. Takut kalau nanti Yaqzan terabai,” luah Abyatina.
“Yaqzan makin besar. Dah makin pandai. Janganlah
dirisaukan sangat,” balas Raiqah. “Lama-lama dia pun tak perlukan sangat
perhatian kita. Percayalah, sebab akak dah lalui semua ni…”
“Takut juga kalau si Yaqzan tu nanti cemburu dengan
adiknya…” kata Abyatina.
“Biasalah tu. Cemburu adik-beradik ni lama-lama akan
buatkan abangnya tu jadi bertanggungjawab. Dalam beberapa bulan ni mungkin
Yaqzan akan cemburu. Tapi dia akan faham. Biasanya, anak sulung ni cepat matang
sebab dari kecil lagi dia dah belajar untuk bertanggungjawab,” kata Raiqah.
Hakikatnya, Raiqah juga ketika ini sedang sarat mengandung. Hanya menanti masa
juga untuk melahirkan anaknya.
Di saat itu, Yaqzan anak sulung Abyatina sedang leka
menonton televisyen di ruang tamu. Yaqzan ditemani Pak Longnya, Arfan suami
Raiqah. Pak Longnya itu rajin melayan kerenah Yaqzan tatkala menonton
televisyen. Setiap pertanyaan yang diajukan Yaqzan, pasti akan dijawab Arfan.
“Kenapa kucing tu tak ada telinga?”
“Sebab kucing tu pekak kot…”
“Tapi dia boleh cakap…”
“Kalau nak cakap kita guna mulut. Kalau nak mendengar
kita guna telinga…”
“Tapi kucing mana boleh cakap…”
“Kucing ni bijak”
“Kucing pun pergi sekolah ke Pak Long?”
“Kucing pun pergi sekolah. Yaqzan tak nak pergi sekolah?”
soal Arfan.
“Jan tak nak….”
“Kenapa tak nak?”
“Nanti mak sorang-sorang..”
Perbualan terus tercipta di ruang tamu. Rizqullah yang
turut berada di situ hanya tersenyum memerhatikan gelagat Arfan melayan setiap
pertanyaan Yaqzan. Di sudut fikiran Rizqullah, ternyata anaknya itu sangat
petah berbicara. Kelihatan bijak pada pandangannya.
“Dah ada nama untuk anak yang baru lahir tu?” soal Arfan
kepada Rizqullah menghentikan seketika lamunan yang dilalui.
“Setakat ni, tak pasti lagi nak letak nama apa…”
Hakikatnya, Rizqullah ternyata langsung tidak bersedia
untuk memberikan sebarang nama untuk bayi barunya itu. Situasi ini sangat
berbeza saat Rizqullah menyambut kelahiran Yaqzan, beberapa tahun yang lalu.
“Tak elok kalau lama-lama sangat. Nama ni satu doa.
Kenalah difikirkan betul-betul namanya,” kata Arfan. Rizqullah hanya tersenyum
sahaja membisu tanpa sebarang bicara.
Perihal nama bayi itu jugalah yang menjadi tajuk utama
perbualan Abyatina dan kakaknya di bilik. Abyatina yang berada di bilik
sepanjang tempoh berpantang ternyata agak kusut juga memikirkan nama yang
sesuai untuk anak keduanya itu.
“Kami macam tak bersedia. Kalau Yaqzan dulu, namanya
memang dah ada di kepala Abang Riz sebelum Yaqzan lahir lagi. Cuma waktu tu Ina
saja yang tak tahu. Tapi untuk kali ni, suami Ina macam tak bersedia. Katanya,
dia langsung tak fikirkan lagi nama yang sesuai untuk bayi baru ni,” terang
Abyatina.
“Dah kenapa boleh jadi macam tu?” soal Raiqah.
“Entahlah…” balas Abyatina ringkas. “Mungkin sebab
terlalu banyak masalah yang terpaksa kami hadapi. Waktu Ina lahirkan Yaqzan,
semuanya tenang saja. Tapi berbeza dengan anak kedua Ina ni…”
“Umur bila dah meningkat, itulah resam dalam kehidupan.
Kita tak boleh lari dari masalah. Kita kena selesaikan juga walaupun susah,”
kata Raiqah. “Tapi jangan sampai masalah menguasai kita. Kita yang kena kuasai
masalah”
Pelbagai perkara telah dihadapi Abyatina. Dari saat
Abyatina bergelar sebagai seorang isteri, maka masalah dan dugaan tidak pernah
berhenti mengujinya. Barangkali Abyatina penat, namun semuanya dihadapi dengan
tenang.
Kisah perkahwinan pertama Rizqullah itulah yang memberi
dugaan terbesar bagi Abyatina. Tidak pernah diketahuinya sebelum ini, maka
apabila kisah terbuka, kejutan terbesar melanda Abyatina. Bertahun lamanya
Abyatina diselubungi persoalan, kerana kisah perkahwinan pertama Rizqullah itu
bukannya datang dari suaminya itu sendiri, tetapi dari orang lain. Hanya
apabila Abyatina mengandungkan anak keduanya itu, barulah Rizqullah membuka
mulut menceritakan kisah silamnya. Walaupun sebuah kisah perkahwinan yang
gagal, namun sedikit sebanyak situasi yang terjadi itu memberi kesan buat
Abyatina. Dia tertekan dan barangkali terasa di hati. Situasi bertambah
terkesan apabila Abyatina juga pada masa yang sama memulakan kerjayanya sebagai
seorang guru.
Tiada masa kelapangan untuk menenangkan fikiran.
“Saya memang tak tentu arah dibuatnya. Semuanya bagai tak
kena. Masa ibarat bergerak terlalu pantas. Terus terang saya cakap, untuk
kelahiran anak kedua saya ni, memang tak banyak persediaan yang dibuat,” luah
Rizqullah masih terus berbual dengan Arfan di ruang tamu.
“Tak perlu dirisaukan. Apa yang penting, Abyatina dah selamat
lahirkan anak hang. Semua tu rahmat dari Allah,” balas Arfan. “Pasal nama anak
tu, cubalah tanya pada Ustaz Man. Tak pun tanya sendiri pada ayah hang. Mungkin
mereka ada nama yang sesuai…”
Fikiran Rizqullah melayang pula terhadap kisah bapa
mertuanya itu. Ustaz Man semakin hari semakin merosot tahap kesihatannya. Tidak
lagi cergas seperti dulu, maka hari-hari yang dilalui oleh Mak Cik Ros ibu
mertua Rizqullah tidaklah sama seperti kebiasaannya.
Di awalnya, tatkala Abyatina selamat melahirkan anak
keduanya itu, maka isterinya itu diizinkan untuk terus berada di kampung supaya
mendapat penjagaan sempurna dari ibu mertuanya itu. Perkara yang sama itu
jugalah yang berlaku sewaktu Abyatina melahirkan Yaqzan beberapa tahun
sebelumnya.
Namun, hanya beberapa hari sahaja Abyatina berada di
kampung, Rizqullah berubah fikiran. Tatkala melihat keadaan Ustaz Man yang
semakin uzur, di waktu itu jugalah Mak Cik Ros dilanda kesibukan. Rizqullah
melihat dengan matanya sendiri tatkala ibu mertuanya itu duduk di pangkin di
bawah rumah melepaskan lelah kepenatan akibat rutin hariannya menjaga Ustaz Man
dan Abyatina. Di kala itu, Mak Cik Ros terlelap seketika barangkali terlalu
letih.
“Kadang-kadang, kita sebagai anak tak sedar, dalam diam kita
lukakan hati ibu kita. Menyusahkan mereka walaupun pada zahirnya mungkin tak
ada apa-apa baginya,” luah Rizqullah kepada Abyatina di suatu malam, tatkala
Abyatina baru sahaja selesai menyusukan anak keduanya itu.
“Ina tahu… tapi mak sajalah tempat Ina nak bergantung.
Ina tak tahu pantang larang waktu berpantang. Kalau ada mak, senang sikit,”
kata Abyatina.
“Kalau kita tak berdikari, macam mana kita nak tahu?”
balas Rizqullah. “Mungkin ada eloknya kalau kita kurangkan beban mak. Esok atau
lusa, kita pindah terus ke rumah baru kita tu. Tak jauh pun dari kampung ni
kan..”
Abyatina hanya menurut sahaja kehendak suaminya itu.
Hakikatnya, ada benarnya bicara Rizqullah itu. Tidak tergamak pula untuk
Abyatina menyusahkan lagi ibunya yang turut sibuk menjaga Ustaz Man yang sedang
uzur.
Tidak sampai seminggu, maka Abyatina dan Rizqullah secara
rasmi berpindah ke rumah baru mereka. Barang-barang dari rumah lama mereka di
Manjung dibawa sedikit demi sedikit. Abyatina mula menetap di rumah baru itu
empat hari selepas selamat melahirkan anak keduanya. Mungkin inilah permulaan
hidup di dunia baru buat Abyatina dan suaminya.
Perpindahan serba ringkas itu dibantu oleh Zabarjad dan
Rafiqin, selain kenalan-kenalan Rizqullah di Manjung. Mujurlah barang-barang
dari rumah lamanya tidak begitu banyak. Maka, proses perpindahan itu
berlangsung dengan mudah dan pantas. Apabila selesai sahaja proses berpindah
itu, barulah Abyatina dibawa masuk ke rumah.
Itu kisah beberapa minggu yang lalu.
Fikiran Rizqullah terus melayang mengenangkan kisah
perpindahan ke rumah barunya. Tidak dirancang namun diatur secara mengejut,
maka semuanya dirasakan bagai terlalu pantas. Itulah yang difikirkan di saat
Rizqullah sedang memandu menuju ke kampung untuk bertemu kedua mertuanya.
Tujuan utama adalah untuk mengambil batu tunku untuk Abyatina dan pada masa
yang sama untuk meilhat dan menziarahi Ustaz Man yang sedang uzur.
“Dah ada nama untuk anakmu?” soal Ustaz Man kepada
Rizqullah.
Itulah perkara pertama yang diajukan Ustaz Man sebaik
Rizqullah tiba di kampung. Kunjungan petang itu menyaksikan kesihatan Ustaz Man
kelihatan lebih baik berbanding sebelumnya. Mampu berbual dengan menantunya itu
tanpa sebarang masalah.
“Masih memikirkan, tapi tak ada lagi yang berkenan di
hati,” jawab Rizqullah ringkas.
“Pilih yang sedap sebutannya, elok maknanya. Biar jadi
doa setiap kali dipanggil,” pesan Ustaz Man.
“Ayah ada cadangan nak diberikan namanya?” soal Rizqullah
spontan. Hakikatnya, memang itulah yang dihajati Rizqullah. Mahu Ustaz Man
sendiri yang menamakan anak keduanya itu.
“Tak ditanya dahulu pada bapamu?” soal Ustaz Man.
“Mana yang dulu, saya namakan saja. Saya tanya ayah dulu,
elok juga kalau ayah yang cadangkan namanya,” balas Rizqullah.
“Istafa elok juga namanya” Cadang Ustaz Man. “Maksudnya
pun baik-baik”
Cadangan diberikan. Kini terpulang kepada Rizqullah untuk
menentukan nama anak keduanya itu. Namun, nama yang dicadangkan itu ternyata
menarik hatinya. Barangkali nama itulah yang bakal digunakan untuk anak
keduanya itu.
“Jadi, apa namanya?” soal Mami Radhwa kepada anaknya Rizqullah. Perbualan malam tercipta
tatkala masing-masing menjamu hidangan makan malam.
Mami Radhwa berkunjung ke rumah baru anaknya itu. Dia
singgah untuk beberapa hari melihat dan melawat menantunya Abyatina. Beberapa
hari sebelumnya, ibu Rizqullah itu berkunjung ke rumah anak-anaknya yang lain.
Barangkali ingin menghabiskan masa menziarahi dan melihat anak-anaknya yang
kebanyakan menetap di Taiping.
“Di mana bapak?” soal Rizqullah tidak menjawab pertanyaan
yang diaju ibunya.
“Bapak hang biasalah. Tak nak tinggal rumah lama-lama.
Takut sangat rumah tu jadi apa-apa. Dok kisah dengan pokok rambutan dengan
mempelam dia ja. Sehari ja dia mai Taiping. Dok rumah Kak Marwa hang. Esok tu
dia balik. Tinggal mak kat sini…” balas Mami Radhwa.
“Biasalah bapak tu…” kata Rizqullah.
“Ni mak dok tanya tadi… hang dah ada nama nak bubuh kat
anak hang tu?” soal ibu Rizqullah.
“Mak ada cadangan namanya?” soal Rizqullah.
“Hang piqiaqlah sendiri. Usahalah sendiri…” balas ibunya.
Rizqullah tersenyum sahaja. Seperti biasa, jawapan itu
memang dijangka dari ibunya.
“Muhammad Istafa bin Rizqullah,” Rizqullah menuturkan
nama tersebut. “Namanya sedap. Cadangnya itulah…”
“Bagus namanya. Elok betul kalau guna nama tu,” balas ibu
Rizqullah. Ternyata cadangan itu diterima dengan baik.
Maka kisah pencarian nama untuk anak keduanya menemui
jalan penyelesaian. Perkhabaran itu disampaikan kepada Abyatina. Senyuman
menguntum di wajah isterinya. Ternyata Abyatina cukup senang dan suka dengan
nama yang diberikan itu.
“Kalau baik untuk abang, baik jugalah untuk Ina. Kalau
itu yang abang cadangkan, Ina pun ikutkan saja,” kata Abyatina sebaik mendengar
cadangan nama tu.
“Dah agak… “ kata Rizqullah. “Jawapan formal dari Siti
Abyatina kita ni. Menurut saja ya…” usik Rizqullah.
“Syurga itu datangnya dari berkat suami…” balas Abyatina
tersenyum. “Betul tak Istafa?” soal Abyatina sambil mencuit anak keduanya itu
yang sedang nyenyak tidur. Maka itulah kali pertama Abyatina memanggil anak
keduanya itu dengan nama tersebut.
Hari-hari berikutnya, Abyatina mengharungi tempoh
pantangnya dengan kesabaran. Banyak perkara terpaksa dilakukan dengan sendiri
tanpa bantuan dari sesiapa. Jika dulu semuanya dibantu ibunya, namun untuk kali
Abyatina terpaksa membiasakan diri melakukan dengan bersendirian. Walaupun
kadangkala Abyatina sangat mengharapkan bantuan dari ibunya, namun dia faham
bahawa ibunya itu juga punyai tanggungjawab untuk menjaga ayahnya.
Rizqullah menjaga sebaiknya makan dan minum Abyatina.
Makanan orang berpantang, maka kadangkala Rizqullah sendiri tidak begitu
memahami. Ada waktunya, Rizqullah memasak makanan yang tidak sesuai untuk
Abyatina yang sedang berpantang. Namun, Rizqullah bukan calang-calang si tukang
masak, kerana masakannya ternyata cukup menyelerakan.
“Jangan pandang abang tak ada mata. Kemahiran memasak ni
mungkin lagi hebat dari Ina tau…” seloroh Rizqullah di suatu malam, saat
menghidangkan makanan malam untuk isterinya itu. Ikan merah masak pedas, dengan
sayur kubis goreng kunyit ternyata menangkap selera Abyatina. Ringkas tapi
menyelerakan.
“Lepas ni abang sajalah yang masak ya…” gurau Abyatina.
“Kalau abang yang masak, Ina nak buat apa?” soal
Rizqullah.
“Jadi permaisuri di hati abang…” Abyatina membalas dengan
gurauan.
Hidangan makan malam dilihat sangat mendamaikan. Abyatina
dan Rizqullah ternyata dalam gembira. Yaqzan pula seperti biasa terus leka
menonton televisyen walaupun telah beberapa kali diajak untuk makan bersama. Sejak
kelahiran adiknya itu, Yaqzan dilihat lebih suka menyendiri. Barangkali faham
atau mungkin juga memberontak dalam rajukan.
Situasi ini disedari Rizqullah dan Abyatina.
“Risau pula Ina dengan Yaqzan. Takut nanti dia menjauh
dari kita…” luah Abyatina.
“Tak perlu dirisaukan. Mungkin Yaqzan sedang nak biasakan
diri. Sekarang dia dah jadi abang kan…”
Perbualan di kala makan malam itu tidak berpanjangan
apabila kedengaran salam diberi dari luar rumah. Bunyi kenderaan kedengaran
lantas Rizqullah bingkas bangun untuk melihat ke luar rumah.
“Siapa pula yang datang malam-malam ni?” soal Rizqullah.
Pintu rumah dibuka. Rizqullah keluar. Terus berjalan
menuju ke pagar untuk melihat kelibat individu yang berada di luar pagar
rumahnya itu.
“Bapak?... Mak?...”
Cikgu Hamdawi dan Mami Radhwa berdiri di luar pagar
rumahnya. Rizqullah dilanda kejutan dalam kehairanan. Persoalan timbul di
fikiran. Kemunculan tiba-tiba mencetuskan rasa kepelikan di kala malam itu.
“Hang tak nak jemput kami masuk ka?” soal Mami Radhwa.
Maka tergesa-gesa Rizqullah membuka pintu pagar rumahnya,
menjemput kedua-dua ibu bapanya. Kehadiran di waktu malam itu ternyata di luar
daripada kebiasaan. Tambah luar biasa kerana bapanya itu amat sukar sekali
untuk keluar pada waktu malam apatah lagi untuk berkunjung ke rumah
anak-anaknya.
“Mak tau hang heran…” kata Mami Radhwa.
“Apa ceritanya?” soal Rizqullah ringkas. Ruang tamu
menjadi tempat perbualan mereka. Abyatina dan anaknya pula masih berada di
dapur, tidak sedar akan kehadiran kedua-dua mertuanya itu.
“Boleh bapak tumpang sehari dua di rumah hang ni?” soal
Cikgu Hamdawi kepada anaknya.
“Tapi apa ceritanya?” soal Rizqullah ingin tahu kisah
sebenar. Persoalan masih tak terjawab.
Abyatina menyedari akan kehadiran tetamu di ruang tamu
rumahnya. Maka terus sahaja Abyatina bingkas bangun meninggalkan ruang dapur
dan terus menjenguk tetamu yang datang
itu.
“Tak apalah abang. Bagilah mak dengan bapak berehat. Jauh
mereka berjalan. Mesti dah letih,” Abyatina mencelah perbualan Rizqullah.
Maka malam itu, perbualan terhenti begitu sahaja. Mami
Radhwa dan Cikgu Hamdawi dibawa menuju ke bilik tetamu. Malam itu Rizqullah
hairan. Abyatina juga diselebungi persoalan.
“Apa yang jadi?” soal Rizqullah. “Ada masalahkah?”
Keesokannya, tatkala sarapan dihidangkan, kelibat Cikgu
Hamdawi tidak kelihatan. Hanya Mami Radhwa sahaja yang masih ada menemani
Abyatina yang sedang berehat seketika. Abyatina baru sahaja selesai menyusukan
anaknya. Mami Radhwa meriba cucu barunya itu. Selawat dan salam dialunkan Mami
Radhwa buat cucunya itu, sementara Abyatina pula bangun untuk mengejutkan
Yaqzan yang masih tidur di pagi hari.
“Bapak hang kata nak pi masjid sembayang Subuh kat sana.
Dia keluar awal,” terang Mami Radhwa kepada Rizqullah sewaktu mereka
bersarapan.
“Subuh pun dah lama habis. Sampai sekarang tak balik
lagi… ke mana pula bapak pergi?” soal Rizqullah.
“Tak apalah. Mungkin bapak rimas terperap di rumah ni…”
sambung Abyatina. “Di sini tak sama macam di kampung”
Kisah sarapan tidak menceritakan sebarang perbualan yang
banyak kerana hakikatnya masing-masing hanya memberi tumpuan pada hidangan yang
ada. Pagi itu, sarapan disediakan Abyatina, walaupun di kala berpantang namun
Abyatina tetap berdegil untuk menyediakannya. Kata Abyatina, air tangan seorang
isteri tiada taranya. Jaminan ikatan bahagia.
“Tapi, jangan sampai mudaratkan diri pula. Ingat sama Ina
tu berpantang…” bicara Rizqullah.
“Orang berpantang pun, kalau tak buat apa-apa boleh
datangkan keserabutan. Apa salahnya Ina memasak kalau Ina sihat saja,” balas
Abyatina.
Selesai bersarapan, kisah di hujung minggu, maka
Rizqullah bersantai seketika di ruang tamu. Namun kebiasaannya, setiap kali
hujung minggu, maka pasti Rizqullah akan ke pasar. Kunjungan Mami Radhwa ke
rumahnya, menghentikan seketika rutin mingguan itu. Rizqullah mahu menghabiskan
masa dengan ibunya itu.
“Ada apa yang Riz perlu tahu yang mak cuba sembunyikan?”
soal Rizqullah tiba-tiba saat ibunya itu baru sahaja selesai bersarapan.
“Hang dah tau apa yang mak tak tau?”
“Apa yang saya tak tahu mungkin mak dah tahu…” balas
Rizqullah. “Sebab Riz tahu mak tahu apa yang Riz tak tahu…”
“Jadi hang tak tau lagi?” soal Mami Radhwa.
“Apa yang Riz perlu tau?”
“Ya Allah! Apa nak jadi dengan kita ni. Tahu tak menahu.
Tak menahu tapi tahu… Beritahu sajalah dari tadi…”
“Apa yang tahunya?” soal Rizqullah.
Dua beranak apabila bermain kata, maka berpanjangan
lagilah perbualan. Perkataan tahu menjadi ulangan dari satu dialog ke dialog
yang lain.
“Kenapa dengan tahu saja dari tadi ni?” soal Abyatina
tiba-tiba mencelah, muncul dari dapur sebaik mendengar perbualan ibu mertuanya
dengan Rizqullah.
“Hang nak tau jugak?” soal Mami Radhwa.
Perlahan-lahan Abyatina duduk di sofa. Fikirannya kini
tertumpu kepada ibu mertuanya itu. Barangkali ada sesuatu yang ingin
disampaikan Mami Radhwa.
“Abang Lang hang punya cerita…” ibu Rizqullah memulakan
bicara. “Pak hang terasa dengan dia”
“Pasal tanah?” soal Rizqullah. Sepertinya Rizqullah telah
tahu punca permasalahan yang sedang melanda. Abangnya Ruwaidi bukan pertama kali mencetuskan
permasalahan dengan bapanya itu. Tatkala soal tanah mengambil tempat, maka
pasti akan terjadi kisah perseteruan.
“Mak pun tak tau nak buat apa. Soal tanah tu dah
dibincang satu kelaurga sebelum ni. Semua dah setuju. Tapi… masih ada jugak
yang tak puas hati…” luah ibu Rizqullah.
“Apa yang tak puas hatinya?”
“Tapak rumah…”
Kisahnya, pembahagian harta dan tanah telahpun
dimuktamadkan beberapa tahun sebelumnya. Beberapa bulan selepas Rizqullah
berkahwin dengan Abyatina, maka satu pertemuan dilakukan sesama adik-beradik
Rizqullah. Cikgu Hamdawi yang mengaturnya dan hanya anak-anaknya sahaja yang
dijemput. Kesemua menantunya tidak mengetahui akan pertemuan tersebut.
Cikgu Hamdawi telah memutuskan untuk membahagikan tanah
yang dimiliknya kepada kesemua enam anak-anaknya. Masing-masing mendapat
bahagiannya, dibahagikan seadil yang mungkin buat semua. Tanah yang diwarisi
beberapa generasi itu ternyata cukup luas, merangkumi kawasan ladang getah dan
kelapa sawit sehinggalah tanah-tanah di sekitar rumahnya. Andai dijumlahkan,
maka hitungannya tidak terkira. Itulah sahaja warisan yang bakal ditinggalkan
Cikgu Hamdawi buat anak-anaknya.
Memang benar, Cikgu Hamdawi mahu merahsiakan soal
pembahagian harta ini daripada pengetahuan menantu-menantunya. Selagi masih
belum dimuktamadkan dengan bukti hitam putih, maka seeloknya perkara tersebut
tidak diketahui dahulu. Cikgu Hamdawi takut andai ada bicara-bicara
ketidakpuasan datang dari menantu-menantunya nanti.
“Depa tak ada hak nak masuk campur. Pasal tu bapak hang
tak bagitau kat depa. Tu tanah dia… ikut dialah nak bahagi macam mana. Pak hang
tak suka kalau orang luar yang masuk campur,” terang Mami Radhwa kepada
Rizqullah.
Di saat perbualan itu berlangsung, barulah Abyatina tahu
akan kisah pembahagian tanah itu. Hakikatnya, memang Rizqullah tidak pernah
langsung membuka mulut untuk perkara itu. Rizqullah ternyata terus menyimpan
rahsia untuk tahun-tahun selepas itu.
Bagi Abyatina, soal pembahagian tanah itu bukanlah
perkara yang perlu dicampurinya. Abyatina tidak ambil kisah akan perkara
tersebut kerana semuanya adalah urusan hal keluarga suaminya itu. Namun kisah
sebaliknya tidak sama buat Ruwaidi, abang kedua Rizqullah. Perkhabaran
menyatakan bahawa Ruwaidi melahirkan rasa tidak puas hati apabila tidak
diberikan hak tanah rumah di kampung.
“Bukan tapak tu dapat pada Abang Long?” soal Rizqullah.
“Tapak tu diberikan secara bersama untuk Abang Long
dengan Abang Lang hang. Depa pegang geran tanah tu sekali,” jawab ibu Rizqullah.
“Kenapa pula diberi pada dua orang? Kenapa tak seorang
saja yang dapat?”
“Tu hang kena tanya pak hang…”
Tanah tapak rumah di Manjung itu bukanlah tapak
kebiasaan. Tapaknya itu cukup luas, bukan sahaja merangkumi tapak rumah itu
sendiri, malah menjangkau ke kawasan paya jauh di belakang rumah. Rumah lama
Rizqullah juga turut termasuk dalam geran tanah tersebut.
“Mungkin sebab besaq, tu yang dibagi dua. Satu geran
pakai dua nama. Pandai-pandailah depan dua nak bahagikan tanah tu,” kata Mami
Radhwa.
“Jadi, apa yang tak dipuas hatinya? Kenapa pula Abang
Lang tak setuju?” soal Rizqullah.
“Biasalah…” balas Mami Rizqullah. “Bila ada yang dok
cucuk, itu yang jadi tamak haloba…”
“Kak Yati?”
Nama disebut dari Rizqullah. Namun bukanlah satu kejutan
yang melanda. Isteri abangnya itu ternyata di luar kebiasaan. Orangnya dari
Johor, dilihat sangat berbeza dengan ipar-iparnya yang lain.
“Kata dia, bapak bagi tanah sikit kat Abang Lang. Tanah
tapak rumah dikatanya kecil, yang lain dapat seluas-luas kawasan tanah di
hujung bukit, tapi Abang Lang dapat tanah sekangkang kera…” kata ibu Rizqullah.
“Apa kemengarutan yang dicakapnya?” soal Rizqullah.
“Tanahnya memanglah tak besar. Tapi nilainya berkali ganda dari tanah-tanah
yang kami lain dapat”
“Itulah sebab sampai pak hang dengan abang hang berbalah
mulut. Sudahnya, mak mai sini dengan pak hang…” jelas Mami Radhwa.
Tiba-tiba telefon rumah berdering. Itulah pertama kalinya
telefon itu berdering sejak Abyatina dan Rizqullah berpindah ke rumah itu. Kehairanan
tercetus kerana tidak ramai yang mengetahui nombor telefon rumah mereka.
“Siapa yang telefon?” soal Abyatina.
Panggilan misteri menghentikan seketika perbualan yang
sedang berlangsung. Perlahan-lahan Rizqullah bangun menghampiri telefon. Panggilan
akan dijawabnya.
*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Sembilan*
Siapakah yang menelefon Rizqullah? Apakah yang akan
berlaku? Akan bersambung di lain bicara.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan