Ahad, 31 Julai 2011

Yazid Rosly jawab soalan: Edisi Satu






Setelah melihat pelbagai soalan diajukan menerusi Facebook dan e-mel, bertanyakan pelbagai perkara berkaitan saya dan blog ini, akhirnya tercetus idea untuk saya mewujudkan ruang pertanyaan di blog ini. Memang terlalu banyak soalan ditanya, dan insyaallah, menerusi ruangan ini, saya akan cuba menjawab soalan itu satu persatu.

Edisi Satu.


Soalan: Blog anda ternyata sangat berbeza daripada blog-blog yang lain. Tulisan yang diposkan sangat matang dari segi pengisiannya dan ada tarikan. Apakah rahsianya? Ada formula ke bila nak menulis?


Jawapan:
Pertama sekali, terima kasih sebab sudi menjenguk blog saya yang tak seberapa ini. Saya tak pasti jika blog saya ini berbeza dari blog yang lain. Mana mungkin boleh saya nilaikan tulisan sendiri. Jawapan tersebut terletak pada pembaca itu sendiri.

Sebenarnya, saya telah tetapkan beberapa peraturan sendiri setiap kali menerbitkan entri di blog. Pertama, setiap tulisan yang diposkan ke dalam blog saya itu mestilah asli dan datang dari tulisan dan nukilan saya sendiri. Saya tidak akan sama sekali mengamalkan rutin copy dari artikel atau blog yang lain. Bagi saya, meng'copy' dari blog dan artikel orang lain adalah jenayah etika yang boleh merosakkan nilai penulisan itu. (Tapi tak salah kalau copy, namun perlulah dikreditkan penulisan asal artikel itu).

Kedua, isu yang saya bawa haruslah memberi manfaat kepada pembaca. Saya perlu memastikan isu yang dibawa memberikan maklumat yang berguna atau mungkin juga dapat memberikan pengajaran kepada pembaca. Saya akui, ramai blogger menghasilkan entri bersifat santai dan ringkas dengan pelbagai info ringan dan lebih berbentuk bahan bacaan ringan. Namun bagi blog saya, konsep yang banyak digunakan oleh para blogger itu saya pinggirkan. Saya tidak gemar untuk menerbitkan entri yang hanya berbentuk pengisian kosong, memberikan info-info pelik yang akhirnya tidak langsung membina mentaliti masyarakat. Namun begitu, ini tidak bermakna saya tidak menghormati blogger-blogger lain  kerana bagi saya, masing-masing mempunyai cara dan konsep masing-masing dalam mempersembahkan blog mereka.

Ketiga, penggunaan bahasa dalam setiap tulisan saya haruslah mengikut penggunaan bahasa yang betul. Dalam setiap tulisan, saya akan memastikan kosa kata dan struktur ayat itu adalah betul dan tepat. Sebarang penggunaan ayat ringkas dan perkataan yang diringkaskan akan saya elak. (Contoh: yang- yg, tapi- tp, untuk- utk). Saya juga akan memastikan tidak menggunakan sebarang bahasa sms. (Contoh: tak- x, korang- korunk, sekarang- skunk, boring- bowink, cerita- citer, ada apa hal- pe hal, dia- dier). Penggunaan bahasa sms ini hakikatnya adalah barah dalam masyakarat kerana kelihatannya ramai yang gemar menggunakan bahasa ini di Facebook dan blog. Bahasa sms sebenarnya akan merosakkan bahasa ibunda dan pada masa yang sama akan merosakkan kekuatan daya fikir seseorang pembaca itu (dibuktikan berdasarkan kajian).

Bagi saya, siapa lagi yang harus mengangkat taraf Bahasa Melayu itu sendiri melainkan pengguna Bahasa Melayu itu sendiri. Maka, disebabkan mahu menjunjung keindahan dan keunikan Bahasa Melayu, saya akan memastikan penggunaan bahasa di dalam blog menggunakan bahasa yang betul dan standard.

Sebenarnya, tulisan saya banyak dipengaruhi dari bentuk-bentuk tulisan yang saya baca menerusi majalah Dewan Masyarakat. Tulisan-tulisan kolumnis seperti A. Kadir Jasin (bekas Ketua Pengarang New Straits Times) banyak memberi inspirasi setiap kali saya ingin menulis sesuatu. Saya juga gemar membaca ruangan kolumnis di New Straits Times seperti tulisan Zainul Ariffin dan Ahmad A. Taib.

Datuk A Kadir Jasin


Tulisan Tun Dr. Mahathir juga turut menjadi kegemaran saya. Begitu juga dengan tulisan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Hadi Awang, saya senantiasa mengikuti tulisan mereka. Tidak dilupakan juga, tulisan sasterawan negara Datuk A. Samad Said yang seringkali menjadi contoh bagi saya sebelum memulakan sesuatu penulisan.

Harus diakui, Dewan Masyarkat dan New Straits Times merupakan pengaruh terbesar bagi saya dalam setiap tulisan yang diposkan.

Dewan Masyarakat menjadi bahan bacaan kegemaran saya.


Soalan: Yazid merupakan pelajar TESL. Tapi kenapa blog Yazid menggunakan Bahasa Melayu? Kenapa tidak ada sebarang tulisan dalam Bahasa Inggeris?


Jawapan:
Saya akui, sebagai bakal pendidik Bahasa Inggeris, seharusnya saya perlu memaparkan entri berbahasa Inggeris. Namun begitu, saya sebenarnya lebih gemar untuk menulis dalam Bahasa Melayu kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda saya. Namun, ini tidak bermakna saya meminggirkan Bahasa Inggeris, kerana bahasa itu juga menjadi bahasa yang penting buat saya.

Hakikatnya, saya masih belajar untuk menulis sebuah tulisan yang menarik menggunakan Bahasa Inggeris. Saya akui, saya masih lagi lemah untuk menulis entri berbahasa Inggeris. Makanya, saya masih belum bersedia untuk menulis entri ke dalam bahasa tersebut. Insyaallah, jika saya merasakan saya telah mempunyai kemampuan yang cukup, saya akan menerbitkan pula tulisan yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Namun, untuk ketika ini, saya masih dalam proses memantapkan dahulu penulisan Bahasa Inggeris saya.

Soalan: Nak tanya, muzik jenis apa yang menjadi kegemaran Yazid dan rancangan televisyen apa yang menjadi kegemaran Yazid?


Jawapan:
Jika ditanya genre muzik yang menjadi kegemaran saya, hakikatnya saya kini meminati muzik dari kumpulan-kumpulan indie. Saya merupakan peminat setia kumpulan Hujan. Sejak awal penubuhannya hingga kini, saya terus mengikuti dan meminati lagu-lagu dari kumpulan Hujan.

Lagu yang menjadi kegemaran saya ketika ini ialah lagu Muda (Hujan) dan lagu Selamat Pagi Sayang (Noh Hujan dan Altimet). Tidak lupa juga lagu Karma (Faizal Tahir). Harus  diakui, saya bukan penggemar lagu-lagu dari Indonesia. Sebarang lagu dari negara seberang itu tidak kira apa genre sekalipun, saya tidak akan tertarik.

kumpulan Hujan

Bagi lagu Bahasa Inggeris, saya merupakan peminat Bruno Mars. Lagunya seperti Just The Way You Are menjadi antara lagu kegemaran saya sehingga kini. Saya juga meminati lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Kelly Clarkson, dan tidak dilupakan juga, penyanyi muda Selena Gomez.

Selena Gomez


Bagi rancangan televisyen pula, saya menggemari siri-siri drama dari Amerika. Siri seperti Private Practice, Eli Stone, Chuck, Dexter, Kyle XY, dan No Ordinary Family merupakan siri kegemaran saya. Saya juga turut meminati siri sitkom iCarly di Nickeledeon dan menjadi penonton setia sejak mula diterbitkan pada tahun 2007. Jalan cerita yang bersahaja ditambah pula dengan gelagat pelakonnya iaitu Miranda Crosgrove, Jennette McCurdy, serta Nathan Kress telah memikat hati saya.

iCarly di Nickelodeon


Saya juga sangat meminati siri animasi terutama siri animasi di Nickelodeon. Siri Spongebob Squarepants, siri Fairly Oddparents, dan siri Danny Phantom menjadi kegemaran saya. Saya juga sehingga kini masih setia menonton siri Crayon Shincan di NTV7. Tidak dilupakan juga siri Upin dan Ipin dan Boboiboy turut menjadi kegemaran saya. Walaupun usia telah meningkat, siri animasi ini terus menjadi kegemaran saya.



Bagi siri anime, siri Gintama merupakan kegemaran saya. Inilah satu-satunya siri anime Jepun yang menjadi kegemaran saya.

Bagi drama Melayu, saya merupakan peminat setia Nur Kasih. Saya juga menjadi pengikut setia drama Juvana, drama Gemilang, dan drama Makbul. Namun, pada waktu ini, tidak ada sebarang drama Melayu yang memikat hati saya.

Saya sebenarnya tidak menggemari sebarang rancangan berbentuk hiburan pentas. Maka, setiap kali ada rancangan seperti Raja Lawak, Akademi Fantasi, mahupun Mentor, saya memang tidak akan menontonnya.



*Setakat itu sahaja soalan-soalan yang dapat dijawab. Jika terdapat soalan yang ingin ditanya, bolehlah e-mel kepada saya: yazidrosly_my@yahoo.com atau menerusi Facebook: Muhammad Yazid Rosly.


Sabtu, 30 Julai 2011

Muhasabah Jumaat: Ghairah kejar kekayaan, kaya ilmu bagaimana?







Mesej Facebook telah saya terima beberapa minggu yang lalu, menyatakan luahan kerisauan terhadap satu budaya yang mungkin menjadi kegilaan masyarakat hari ini. Keghairahan untuk menjadi cepat kaya telah menjadi ikut-ikutan oleh kebanyakan orang. Hamba Allah ini meminta saya mengeluarkan pandangan terhadap isu ini menerusi blog saya. Harus diakui, mesej ini telah lama saya terima, dan baru kini saya berkesempatan untuk mengupas isu ini.

Maka apa yang akan saya sentuh mengenai isu ini adalah berdasarkan pendangan peribadi, dan dikupas dalam lingkungan ilmu dan pengetahuan yang saya ada. Mungkin boleh disangkal kerana masing-masing mungkin mempunyai hujah yang boleh dipegang.

Memang benar wang itu jaminan kesenangan hidup. Namun adakah wang itu jaminan kekalnya bahagia hidup?

Menyelusuri kisah masa kini, harus diakui dunia sedang berada di ambang materialistik. Negara walaupun mungkin mengejar status negara maju, hakikatnya ada pengorbanan yang perlu dibayar oleh rakyatnya. Kehidupan yang dipenuhi dengan penggunaan wang.

Maka mungkin itulah sebab yang mendesak dan mendorong sesetengah masyarakat cuba mendekati dan mencari  jalan untuk meningkatkan pendapatan yang diperoleh. Jalan yang dipilih dipastikan mudah dan tidak memerlukan mereka untuk mengerah keringat yang banyak. Goyang kaki, sambil bersantai berehat di rumah, dan pada waktu itu jugalah wang masuk bertambah-tambah.

Itulah pilihan mereka. Jalan yang dipilih adalah jalan untuk CEPAT KAYA.

Ibarat mee segera, tunggu dua minit, maka terhidanglah hidangan separuh zat. Maka sama jugalah dengan kekayaan jangka pendek ini. Dapat keuntungan dalam tempoh yang singkat, namun kesannya dilihat tidaklah memberikan manfaat yang banyak seperti zat yang tidak mencukupi dalam mee segera itu.

Persoalan untuk menjadi kaya itu seringkali berlegar-legar dalam pemikiran setiap masyarakat. Benar, siapa yang tak nak kaya. Namun, langkah ke arah mencapai kekayaan itu haruslah diteliti dengan sebaiknya, kerana jika salah menilai langkah, maka kesan jangka panjangnya akan dirasai.

Hakikatnya, Facebook kini  menjadi medan sesetengah pelayarnya untuk digunakan sebagai tempat untuk mempromosikan segala macam skim-skim pelaburan yang bercambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Malah, pelayar Facebook juga kini kelihatan cukup ghairah bagi menyebarkan bisnes ‘sambilan’ mereka dengan meng’tag’kan segala macam produk mereka di wall rakan-rakan mereka. Ada juga yang dengan berlebih-lebihan menyebarkan mesej mengajak rakan-rakan menjadi rakan kongsi perniagaan sambilan mereka.

Duit, mencetuskan fenomena dan cerita yang tak berkesudahan....

Tak salah untuk mempromosikan segala macam skim pelaburan yang mungkin mampu menjana pendapatan sambilan seterusnya mungkin meningkatkan taraf hidup sehingga bergelar orang kaya baru. Tak salah juga untuk berkongsi segala macam bisnes dan melakukan promosi bagi melariskan barangan masing-masing. Tak dilarang juga untuk berkongsi segala macam bentuk-bentuk perkongsian perniagaan di ruangan mesej Facebook. Namun, semua itu harus ada batasnya dan perlu BERPADA-PADA.

Dalam keterujaan berkongsi link skim pelaburan, pelayar-pelayar ini harus berhati-hati. Jangan dengan semberono berkongsi link untuk  dipromosikan ke dalam group-group di Facebook. Kaji dahulu dengan melakukan semakan latar belakang skim tersebut, dan cari dahulu maklumat-maklumat yang lengkap berkaitan dengan skim pelaburan itu. Tak dilupakan juga, semak dahulu skim ini supaya skim ini benar-benar mengikut syarak. Pastikan skim itu tidak mempunyai unsur riba’ dan judi. Dalam kata yang mudah, semak dahulu skim pelaburan yang ingin dikongsikan supaya tidak mempunyai unsur-unsur yang haram di  dalam Islam.

Ingatlah, jika dikongsikan link-link skim pelaburan yang mempunyai unsur yang haram, maka saham dosa secara automatik akan masuk ke dalam akaun amalan individu itu, setiap kali ada pelayar-pelayar Facebook memasuki link yang dipromosikannya. Maka, seharusnya individu yang ingin berkongsi link skim pelaburan haruslah meneliti dan mengkaji dahulu sebelum dikongsikan di Facebook.

Begitu juga dengan pelayar yang sakan melakukan promosi bagi jualan produk mereka. Pastikan produk yang dijual itu memberikan manfaat kepada pengguna dan seharusnya juga mereka perlu meneliti produk itu supaya tiada unsur haram yang mungkin tersembunyi tanpa sedar. Jika produk dijual itu datangnya dari syarikat yang menjalankan perniagaan yang mempunyai unsur haram (judi, riba’, dan penipuan), maka seharusnya individu itu menghentikan segala bentuk promosi di Facebook.

Tak salah jika mahu menambahkan pendapatan. Tak salah untuk menjadi kaya. Hakikatnya mencari rezeki itu satu ibadah dan tuntutan agama. Namun, setiap usaha dalam mencari kekayaan itu haruslah dalam kadar yang sederhana dan bukannya berlebih-lebihan.

Dalam konteks sebagai seorang pelajar, maka seharusnya fokus utama adalah disandarkan pada usaha untuk menuntut ilmu. Bukan menjadi satu kesalahan untuk pelajar itu terlibat dan bergiat dalam segala bentuk skim pelaburan ataupun perniagaan online. Namun, kerjaya ‘sampingan’ ini haruslah berada di kedudukan yang kedua.

Tuntutan ilmu haruslah menjadi prioriti, dan mengatasi segala apa jua bentuk dan usaha dalam mencari kekayaan. Ilmu mampu membimbing kesesatan kepada sinar harapan, tetapi kekayaan kadang kala boleh menjadikan si miskin lupa diri apabila menjadi si kaya. Ilmu membentuk peribadi yang bestari, manakala kekayaan mungkin membentuk peribadi bongkak dan angkuh. Ilmu akan kekal selamanya di jiwa sekiranya terus diamalkan, namun kekayaan tidak semestinya akan kekal andai kata sikap boros menjadi nilai utama buat si kaya.

Sedarlah, jangan sampai dek sibuknya dengan segala macam bisnes dan pelaburan yang disertai, masa untuk beribadah terganggu. Jangan sampai sibuknya dengan urusan mengejar harta, dan kemudian keletihan dirasai sehingga letih itu dijadikan alasan untuk meninggalkan solat. Jangan disebabkan sibuk mencari pelanggan baru, sehingga segala bentuk majlis ilmu di masjid dan surau dilupai.

Jangan jadi hamba harta, tetapi berusahalah untuk menjadi hamba ilmu.

Maka, konklusi di hujung bicara sekadar mahu mengingatkan andai ada yang terlupa. Mencari kekayaan itu tak salah, namun cara dan usaha mencari itu haruslah tidak berlebih-lebihan. Jangan ghairah bagai nak gila berbisnes sakan di Facebook berkongsi segala macam bentuk skim pelaburan sehingga membawa kepada kelaraan hingga menjadi hamba abdi bernama wang.

Bukan mahu menghukum atau bersikap prejudis terhadap si pelayar Facebook yang ghairah berkongsi link bisnes sambilan ataupun link skim pelaburan. Sekadar memberi peringatan agar tidak berlebih-lebihan dalam keghairahan menambah pendapatan.

“Link-link berkaitan ilmu dan agama bila dikongsikan di Facebook diberikan amaran supaya dihentikan perkongsian itu, tapi bila link-link menuju kekayaan yang cepat, tak pula nak dilarang...”

Dunia kalau di hujung zaman, ilmu dipandang hina. Harta dipandang mulia. Fikirlah sendiri andai diri berpengetahuan....

Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.”
 (Ibrahim : ayat 7)

Maka prinsipnya mudah, bersyukur atas rezeki yang dikurniakan. Sederhana panduan kehidupan.

Wallahualam.


*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dari sudut politik dan agama.

**Disebabkan beberapa masalah teknikal yang dihadapi, "Muhasabah Jumaat" kali ini terpaksa diterbitkan lewat sehari daripada kebiasaan.

Wang untuk hidup, bukan hidup untuk wang....


Khamis, 28 Julai 2011

Pagi Khamis: Dia peluk, dia cium, kita tegur, dia ugut balik.....






Pagi Khamis kali ini menjadi hari Khamis terakhir saya bersarapan sebelum Ramadhan menjelma. Menikmati hidangan nasi lemak di sebuah restoran di Kamunting, maka netbook saya dibuka sebentar sekadar menghabiskan masa yang terluang. Kebetulan, sepasang kekasih (mungkin, jika dilihat pada 'perlakuan' mereka kelihatan seperti pasangan kekasih) duduk di sebelah meja saya.

Fikiran saya terlintas kembali terhadap peristiwa yang berlaku beberapa minggu sebelum itu. Kisah saya bersantai seketika selepas berjoging di petang hari di Taman Tasik Taiping segar kembali di ingatan. Kisahnya hampir sama, apabila saya berehat seketika di kerusi batu, dan di sebelah kerusi batu itu, sepasang kekasih kelihatan hangat bermadu asmara. Jika pasangan itu bukan Islam, saya buat tak peduli. Tapi bila si perempuan bertudung litup, manakala si lelaki kurus kering dengan kulit sawa matang saya lihat di sebelah, maka mata saya menjadi tertarik.

"Dah macam filem Hollywood gayannya," bisik saya.

Mula-mula saya melihat mereka berpegangan tangan. Tak mengapalah, masih boleh dimaafkan...

Tak lama selepas itu, tangan si lelaki mula merayap-rayap ke tubuh si wanita. Mula-mula pegang pehanya, tak lama selepas itu makin merayap sampai ke bahagian atas. Perlahan-lahan kemudian, tangannya menghampiri bahagian dada pula. Lepas tu, faham-faham sajalah apa yang diperlakukan si lelaki pada si wanita itu.

Pencabulan di depan mata saya, dengan si lelaki seronok sakan memegangnya, dan si wanita pula kelihatan keseronokan dalam senyuman.

Maka, darah saya mula menyirap. Namun, saya sekadar diam memerhatikan lagi gelagat mereka.

Tak lama kemudian, si lelaki menggenggam tangan si perempuan. Perlahan-lahan diciumnya tangan si perempuan itu beberapa kali. Tersenyum dan tersengih, dan gayanya tak ubah macam 'sengih beruk diberikan pisang'. Kisah seterusnya, si lelaki itu merangkul si perempuan. Dipeluk pula si perempuan itu.

Tak cukup dengan itu, babak seterusnya ditonton lagi. Dicium pula pipi si perempuan itu.

Nah, saya bingkas bangun.

"Minta maaf. Boleh tak kamu berdua berkelakuan sopan sikit?" saya bersuara.

Pasangan 'kera' ini terkejut 'beruk'. Muka seakan menahan marah, terutama si lelaki itu. Lantas tak lama kemudian si lelaki itu bersuara.

"Apa hal nak sibuk-sibuk hal orang ni?" soalnya kasar.

"Sibuk? Buat maksiat depan orang ramai, takkan saya tak tegur kot?" soal saya agak marah.

"Lantak kami lah nak buat apa. Ko buat hal ko. Aku nak buat apa lantaklah. Bukan kacau ko pun!"

"Perlakuan kamu kurang sopan, dan itu tanggungjawab saya nak tegur kamu," saya membalas.

"Jangan sampai aku panggil geng aku. Aku banyak contact. Sekali aku panggil geng-geng aku, mati diorang kerjakan ko!" ugut si lelaki itu.

Masyaallah. Berani sungguh beri ugutan sebegitu. Saya tak pasti geng apakah yang dimaksudkannya, namun melihat dari gaya percakapan yang kurang ajar itu, saya pasti dia ini mungkin bergaul dengan kumpulan samseng.

"Hah, panggil geng-geng kamu tu kat Padang Masyar nanti. Suruh geng kamu tu jawab depan Allah dengan maksiat yang kamu lakukan ni. Saya pasti, geng kamu tu boleh tolong kamu masa tu" saya membalas dengan kata-kata sarcastic.

Saya terus tinggalkan tempat tersebut dengan rasa hati yang sedikit marah. Kecewa dibuatnya, bercampur sedih. Menegur maksiat, namun dibalas dengan herdikan diikuti sebuah ugutan. Fikiran terus melayang sewaktu memandu pulang ke rumah.

Sedih dibuatnya. Mengapa?

Pasangan yang saya tegur itu merupakan remaja sekolah. Melihat dari susuk tubuh mereka sahaja, saya memang tahu mereka berdua ini mungkin dalam lingkungan 14 atau 15 tahun. Namun perlakuan sumbang seperti itu telah dilakukan pada usia mudanya, dan dengan berani pula dilakukan di khalayak umum.

Tambah menyedihkan, budi bahasa si lelaki itu sangatlah kurang ajar. Bercakap dengan saya yang lebih jauh tua darinya dalam nada yang sangat kasar, si lelaki ini ternyata langsung tidak mempunyai nilai hormat pada orang yang lebih berusia seperti saya.

Inilah barah sosial yang sedang melanda dalam masyarakat. Perlakuan sumbang mula bermaharajalela. Maksiat semakin banyak, dan bila ditegur, orang yang menegur itu diherdik kembali. Zaman semakin parah, kerana nilai agama semakin terhakis.

Saya tahu, punca semua ini terjadi dek nilai agama yang cetek dalam jiwa anak-anak muda kini. Perkara ini berlaku apabila tugas untuk menyemai agama dalam diri anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada ustaz dan ustazah di sekolah. Hatta mendidik anak-anak membaca al-Quran pun, sesetengah ibu bapa menyerahkan tugas itu kepada golongan agama bulat-bulat.

Tak salah, tugas menyemai nilai agama itu diserahkan kepada yang lebih berilmu, namun pada masa yang sama, ibu bapa perlulah menjadi penyokong buat anak-anak. Jangan sampai, anak-anak hanya membaca al-Quran di pusat mengaji sahaja, dan bersolat hanya di surau dan masjid. Bila di rumah, anak-anak tak tergerak untuk melaksanakan tanggungjawab tuntutan agama dek mak dan ayahnya lara mengadap Akademi Fantasia dan Raja Lawak, sampaikan al-Quran langsung tak pernah dibaca, dan solat tak pernah dilaksanakan.

Agama tidak subur di rumah....

Siapa yang harus dipersalahkan?

Memang benar, sesetengah masalah mungkin berpunca dari salah remaja itu sendiri kerana sesetengah ibu bapa telah sebaik mungkin mencurahkan tenaga mendidik anak-anak mereka. Namun dalam satu sudut, jika dikaji lebih mendalam, maka akhirnya semua masalah yang melanda remaja itu akhirnya berpunca dari ibu bapa itu kembali.

Benarlah, tugas ibu bapa bukanlah mudah. Ramai yang berkata, perkahwinan itu sungguh indah. Namun, sedarlah, tanggungjawab selepas perkahwinan itu bukanlah semudah yang disangka terutama apabila lahir anak kemudian. Jika salah langkah, mungkin keturunan dengan segala macam masalah akan dilahirkan. Maka, jika mahu berkahwin, perkemaskan dahulu agama di jiwa, mantapkan sekukuhnya di dalam hati, dan jika benar-benar utuh, barulah teruskan niat itu.

"Alah, setakat pegang tangan je. Kami tak buat apa-apa..."

Fikir sendirilah jika diri itu cetek agama. Benda yang haram pun boleh jadi yang halal.


* "Pagi Khamis" adalah ruangan luahan pendek yang akan dipaparkan setiap pagi Khamis.



Selasa, 26 Julai 2011

Sembang-sembang Selasa: Menyelusuri perjalanan Yazid Rosly berdasarkan gambar...


Perjalanan seseorang pastinya punyai kisah tersendiri. Setiap orang punyai pengalaman yang pasti tidak sama. Semuanya telah ditentukan Maha Berkuasa.

Kali ini, Sembang-sembang Selasa saya gunakan untuk berkongsi sedikit coretan perjalanan kisah berdasarkan gambar-gambar di dalam album. Hakikatnya, jika mahu dikongsikan kesemua gambar tersebut, maka mungkin berjam-jam masa terpaksa dihabiskan untuk memuat naik gambar-gambar tersebut. Gambar yang dipaparkan ini hanya secebis sahaja daripada ratusan gambar yang saya simpan. Lagipun tak semua gambar dapat saya kongsikan kerana sesetengah gambar adalah terlalu peribadi untuk dikongsikan.

Sekadar berkongsi menyelusuri perjalanan perubahan wajah saya, dan bagaimana saya berubah dan membesar sehingga menjadi seperti yang kalian lihat hari ini. Gambar-gambar ini menceritakan pengalaman dan kenangan. 


Tahun 1990 (1 tahun)

Gambar ini adalah gambar terawal saya. Pada waktu ini, saya baru berusia 7 bulan. Mengikut kata mak, waktu ini saya baru sahaja nak belajar meniarap dan menyulur.

Inilah Hari Raya Puasa yang pertama saya sambut sebagai insan bernama manusia. Waktu ini, ayah baru sahaja pulang dari masjid selepas solat sunat hari raya dan kemudian terus mendukung saya.


Saya yang baru berusia beberapa bulan didukung mak, menghadiri majlis perkahwinan sepupu mak.

Bersama Tok Rahmah bersantai di bawah rumah menikmati angin petang

Saya baru belajar untuk berjalan. Setelah berjaya berdiri, mak dan ayah menggalakkan saya untuk duduk dalam kereta ini bagi melatih saya untuk berjalan.



Tahun 1991 (2 tahun)

Badan dah makin tembam, dan pada waktu ini, ayah bersantai di petang hari di kampung mak di Changkat Ibol, selepas penat memandu dari rumah kami pada waktu itu yang berada di Pantai Remis. 

Saya dan ayah menaiki feri menuju ke Pulau Pangkor. Dah boleh berdiri, tapi tak pandai berjalan lagi.

Arwah Pak Lang sedang menggunting rambut saya. Ayah membantu dengan memegang kemas saya. Mak kata, muka saya pucat ketakutan ketika digunting rambut.

Kucing gemuk di halaman rumah kampung mak saya. Sewaktu kecil, saya memang menyukai kucing.

Berposing di hadapan tangga utama rumah kampung mak. Kata mak, saya baru pandai berdiri. Maka sebab itu tangan sentiasa memegang pinggang sebab masih tak stabil lagi.


Tahun 1992 (3 tahun)

Wajah ceria mendapat basikal baru. Wajah ceria juga disebabkan baru berpindah ke rumah baru di Taiping. Waktu ini juga, adik saya Muhammad Izhar dilahirkan.

Tahun 1995 (6 tahun)

Hari sukan Tabika Kemas di Sekolah Kebangsaan Bukit Gantang. Saya memakai topi Petronas berwarna hitam di belakang rakan India yang tinggi itu.

Aksi mengumpul bola sambil berlari sewaktu hari sukan. Sekadar mendapat tempat ketiga.

Sambutan hari jadi di Tabika Kemas Taman Sungai Mas. Saya nombor dua dari kiri. Waktu ini mak berada di hospital kerana telah selamat melahirkan adik kedua saya, Muhammad Izwan Rosly.

Tahun 1997 (8 tahun)

Gambar kelas sewaktu di tahun 2, SK Pengkalan Aur, Taiping. Kelas ini ialah kelas 2.3 dan guru kelasnya ialah Cikgu Zaki (kini usahawan berjaya). Saya berada di barisan hadapan nombor pertama dari kanan.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 1997. Barisan hadapan dari kiri: Izzati, Nur Uyun, Atikah
Barisan kedua dari kiri: Izhar (adik saya), Yazid (saya), arwah Fikri, Haris
Mereka ini ialah sepupu saya.

Tahun 1998 (9 tahun)
Kunjungan ke rumah saudara di Taman Lela. Saya berada di tengah, manakala adik saya Izhar duduk di sebelah ayah saya. Izwan pula duduk di atas riba mak.

Tahun 2000 (11 tahun)

Rombongan sekolah ke Pulau Langkawi. Gambar ini adalah ketika kunjungan ke rumah Mahsuri. (Pada waktu ini, kawasan rumah Mahsuri baru sahaja dalam proses naik taraf) Saya berada di barisan hadapan, nombor dua dari kanan.

Tahun 2001 (12 tahun)

Gambar diambil oleh seorang rakan sewaktu latihan sukan tahun 2001. Sebab itu saya berkaki ayam.

Semasa di tahun enam, saya merupakan Timbalan Ketua Pengawas. Saya telah dipilih untuk mengetuai perbarisan bagi kontinjen pengawas pada hari sukan tahun 2001. Gambar ini dirakam pada hari raptai. Sekadar memegang kayu bendera kerana bendera yang dicari hanya akan dapat digunakan pada hari sukan sebenar.

Perbarisan sebenar pada hari sukan tahun 2001. Saya memegang bendera mengetuai perbarisan bagi pengawas

Jamuan akhir tahun pengawas tahun 2001. Sampai sekarang saya hairan, kenapa saya pejam mata dalam gambar ini. Mungkin mengantuk kot...

Hujung tahun 2001, saya sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan anak Tok Long Bai. Gambar ini diambil selepas kami selesai menikmati juadah. Saya sedang mendukung Ikhmal yang baru berusia 1 tahun, dan yang berdiri di kiri itu ialah Izwan, manakala di kanan itu ialah Izhar.

Tahun 2002 (13 tahun)

Memasuki alam awal remaja. Pada waktu ini, ayah menyambung pengajiannya di USM. Gambar ini dirakamkan di hadapan rumah sewa ayah di Pulau Pinang. Rumah sewa ayah terletak di Sungai Dua dan sangat dekat dengan kampus induk USM.

Bergambar bersama adik ketiga saya, Muhammad Ikhmal. Ikhmal baru berusia dua tahun. Kulitnya memang putih melepak macam kacang soya...


Tiga beradik di kawasan rehat Gurun arah utara. Pada waktu ini kami dalam perjalanan ke Pokok Sena, Kedah melawat rakan ayah saya. Dari kiri: Izhar, saya, dan Izwan

Di kawasan rehat Gurun arah utara. Dari kiri: Izhar, saya, dan Izwan.

Bergambar di Perlis ketika kunjungan ke rumah rakan ayah saya, Pak Cik Rashid.

Di kawasan sawah padi di Perlis pada waktu pagi.

Bergambar di atas jambatan

Gambar ini diambil sewaktu saya sekeluarga melawat Zoo Taiping. Pada waktu ini, Zoo Taiping masih belum mengalami proses pengubahsuaian besar-besaran. Dari kiri: saya, Izhar, dan mak.


Tahun 2003 (14 tahun)

Gambar diambil semasa waktu rehat. Airul Azlan rakan rapat saya mengambil gambar ini. Dirakamkan di tepi kolam SMK Dr. Burhanuddin. (kolam ini dah tiada sekarang)


Gambar kelas 201 (RK). Kelas Rancangan Khas ini merupakan kelas khas di bawah seliaan PPD Larut Matang dan Selama serta JPN. Hanya yang ditawarkan sahaja boleh masuk kelas ini. Barisan hadapan dari kiri: Azairi, Haziq, Fakhrul, Yazid (saya), Airul Azlan, Pn Rohani (Guru kelas), Ramizah, Iylia Nabilah, Fakira, Faiza, Nurul Amira

Khusyuk belajar di bilik studi di rumah. Saya di kiri, dan Izhar di kanan.

Tahun 2004 (15 tahun)

Gambar kelas 301 (RK). Tahun 2004 merupakan tahun gemilang saya. Barisan hadapan dari kiri: Hakimi, Taufiq, Faisal, Nurul Nadia, Pn Baishah (Guru Kelas), Sollehuddin, Firdaus, Yazid (saya), Fakhrul, Hafiz.

Gambar di hujung tahun 2004. Adrina baru berusia empat bulan. Kecil lagi adik bongsu saya ni. Gambar ini dirakam selepas mengambil keputusan PMR 2004. Kiranya, waktu ni, satu famili bergembira meraikan kejayaan saya.

Saya dan adik-adik. Adrina (Ann) dipegang saya, Aisyah, dipegang Izhar, dan Izwan pula sedang mengusik Ikhmal di belakang.

Bergambar di Taman Tasik Taiping bersama Aisyah yang baru berusia 2 tahun.

Dari kiri: Izwan, Aisyah, dan Ikhmal.

Tahun 2005 (16 tahun)

Berpiknik di kaki Bukit Larut. Bersama ahli homeroom Fantastic 4 MRSM Taiping. Pn. Salmiah merupakan guru bagi homeroom kami. Saya berada di tengah diapit Zamzuri di kiri dan Al-Hafiz di kanan. Pn Salmiah duduk di hadapan Zamzuri.

Wajah-wajah penat selepas mengharungi  Treasure Hunt sewaktu minggu aktiviti Semester 1. Saya bergambar bersama rakan-rakan lelaki sekelas saya. Di barisan hadapan dari kiri: Raja, Zaher, Yazid (saya), Izzat, Zamzuri.
Di barisan belakang dari kiri: Zikri, Al-Hafiz, Farid, Firdaus.

Bergambar bersama Zamzuri melakukan persiapan bagi pameran sains. Gambar ini dirakamkan pada waktu malam di kelas 406.

Bersama Raja Nazrul, sahabat baik saya di MRSM Taiping sewaktu kelas persediaan. Orangnya rajin. Kini berada di Australia.

Bersama Raja Nazrul di luar kelas. Kelas 406 terletak bersebelahan dengan air terjun.

Berpakaian uniform MRSM Taiping bergambar bersama adik-adik. Di hadapan saya ialah Adrina (Ann), di kiri ialah Ikhmal, dan di kanan ialah Aisyah. Wajah awal saya sewaktu mula jatuh sakit. Muka mula berubah menjadi tembam dan berat badan mula naik.

Bergambar bersama Aisyah dan Ikhmal di ruang tamu sewaktu berada dalam cuti sakit yang panjang. Pada waktu ini saya sedang sakit teruk. Berat badan saya bertambah mendadak, dan muka saya sangat tembam. Rambut terpaksa dipendekkan kerana sakit yang dihadapi.

Tahun 2008 (19 tahun)

Bersama adik saya, Ikhmal sewaktu bergelar pelajar USM tahun 2008.


Tahun 2009 (20 tahun)


Gambar diambil adik saya untuk profile picture Facebook pada tahun 2009


Tahun 2010 (21 tahun)

Bersama rakan-rakan lama dari MRSM Taiping sebelum memulakan ekspedisi mendaki Bukit Larut. Dari kiri: Ahmad Islam, Mashafiz, Yazid (saya), Syafiq.

Saya dan Firdaus sewaktu malam bersama pemimpin di padang UPSI. Inilah bermulanya kisah perjalanan sebagai guru.

Bergambar bersama rakan-rakan lama sewaktu jamuan Hari Raya di rumah Faiz Samad.


Tahun 2011 (22 tahun)

Mengikuti program Baktisiswa UPSI di Felda Kemendor, Jasin, Melaka. Saya sedang berjalan dengan surat khabar di tangan.

Bersama keluarga angkat saya iaitu En. Ansari yang berdiri di sebelah saya.

Mengambil kenangan di stesen keretapi Tanjung Malim. Inilah wajah yang baru selesai menghadapi kertas terakhir bagi peperiksaan akhir semester 2. Kelegaan dalam senyuman...

Seisi keluarga bergambar di Kolej Za'ba Upsi. Dari kiri: ayah, Aisyah, mak, Adrina, Ikhmal, saya.


Sekadar itu sahaja perkongsian gambar dan kisah perjalanannya. Hakikatnya, apabila melihat kembali gambar-gambar ini, baru saya sedar, kehidupan di dunia ini memang telah terisi dengan pelbagai pengalaman dan cabaran. Menerusi pengalaman itulah, kematangan dan kewarasan akan terbina.

Sekadar itu sahaja perkongsian dalam Sembang-sembang Selasa.

Wassalam.