Rabu, 28 Disember 2016

"Love of my life"





Perjalanan hidup ini kadangkala mencipta kejutan. Di luar perancangan kita, dan ia masih tetap membahagiakan, malah lebih daripada apa yang kita jangkakan. Ya, agak lama tidak dinukilkan sesuatu di blog ini. Sejak sibuk dengan tugas sebagai seorang guru, kesempatan untuk menulis itu semakin terhad.

Ini bukanlah satu tulisan yang barangkali menjengkelkan seseorang. Bukan juga mahu menghentam atau menyindir sesiapa. Bukan juga mahu menghamburkan kemarahan ataupun dendam pada sesiapa. Kerana hakikatnya tidak ada sedikit pun  dendam. Tidak ada secebis pun kemarahan terhadap sesiapa.

Kun fayakun. Apabila ia dikata jadi, maka jadilah ia.

Siapa sangka, di sebalik sebuah kekecewaan yang sangat memedihkan itu, Allah datangkan dengan pengganti yang cukup sempurna. Kadangkala, apa yang kita fikirkan bahagia, kita merancang untuk bahagia dan kita yakin dengan bahagia itu; di sisi Allah ia bukanlah kebahagiaan yang sebenar. Apabila Allah menyatakan bahawa dia bukan calon yang sebenarnya, maka pasti akan ada seribu satu keadaan yang tidak kena. Ya, akhirnya segalanya berkecai, dan iya; ia sangat memedihkan.

Kepedihan tak terkata di kala bulan Ramadan semakin menjelma. Sukar untuk digambarkan rasa pedih itu, namun Allah Maha Mengetahui terhadap sesuatu.

Siapa sangka, tidak beberapa lama selepas itu, Allah menggerakkan dua hati ini untuk kenal mengenal di antara satu sama lain. Entahlah bagaimana ia bermula, namun hakikatnya mungkin itulah yang dinamakan sebuah jodoh yang sempurna.


Hanya dengan permulaan pertanyaan khabar menerusi messenger, maka segalanya bertaut kembali. Hakikatnya aku mengenali dia lebih lama sebelum itu. Setahun yang lalu kami pernah berkomunikasi. Kami pernah berhubung, namun barangkali di saat itu hati ini masih belum digerakkan untuk mengenalinya dengan lebih mendalam.

Ya, maka kami berkenalan dan dia sangat mesra. Dia sangat baik dalam melayan kekosongan ini. Di saat itu, memang terlintas di hati ini untuk mengenalinya dengan lebih mendalam. Degupan rasa suka itu telah lama, sejak di awal perkenalan di laman sosial Facebook. Namun, di saat itu aku tidak punyai keyakinan untuk mengenalinya.

Di kala bulan Ramadan itu kami berkenalan. Dan hubungan itu semakin intim dan mesra. Bermula dengan hanya perbualan di messenger, maka ia semakin menjadi rapat apabila Whatsapp pula menjadi medium perhubungan ini. Aku akui, di setiap usaha itu, akulah yang mengatur setiap langkah. Kata orang, kalau kita benar-benar ikhlas inginkannya, maka kita harus berusaha sepenuh hati.

Entah di saat bila, maka tiba di suatu masa aku meluahkan rasa padanya. Dengan beberapa baris panjang ayat menerusi pesanan di Whatsapp, aku melamarnya untuk dijadikan sebagai isteriku. Ya, harus diakui, semuanya berlaku tanpa dirancang. Secara tiba-tiba Allah menggerakkan hati ini untuk meluahkan rasa sedemikian kepadanya. Ddengan luahan ikhlas itulah, Allhamdulillah, dia menerima dengan sepenuh hati.

Kebahagian mula tercipta.

Dia seorang sangat sempurna untuk diri ini. Inilah gadis idaman yang selama ini dicari. Manis wajahnya, sangat indah senyumannya. Dari sudut tatacara berpakaian, sangat sejuk mata memandang. Sempurna pakaiannya, menutup aurat. Tutur katanya yang sentiasa lemah lembut, sentiasa ceria dalam setiap perbualan. Orangnya yang cukup berdikari, sentiasa bergerak dengan sendiri tanpa mengharap bantuan sesiapa. Ya, dialah wanita yang selama ini ku cari.


Hidup ini kadangkala dipenuhi dengan teka teki. Seringkali mengelirukan kita hingga ada waktunya kita tersalah langkah dan melakukan kesilapan. Namun, kerana kesilapan itulah, kita belajar untuk menjadi lebih baik. Belajar untuk tidak lagi mengulangi kesilapan itu.

Kita bukan insan yang sempurna, kadangkala alpa, terleka seketika. Mungkin ada waktunya kita melanggar batas had diri, hingga mungkin mengguris perasaan orang lain. Barangkali kesilapan yang lalu itu datang dari kesalahan sendiri. Maka, moga apa yang berlaku dahulu menjadi pengajaran untuk membina bahagia untuk masa akan datang.

Masih segar dalam ingatan, saat pertama berbicara dengannya menerusi perbualan telefon di suatu masa. Pertama kali mendengar suaranya, maka hati terus berkata, inilah orangnya. Petah berbicara, sentiasa ada sahaja perkara yang ingin diceritakannya.

Masih segar juga dalam ingatan saat pertama kali bersua di UPSI. Masing-masing membuat perancangan untuk bertemu buat pertama kalinya. Untuk melihat dari mata ke mata. Untuk mengenali dengan lebih mendalam dari hati ke hati. Pertemuan itu tidaklah begitu lama, namun memberi makna. Saat pertama kali bertentang mata, iya jantung ini berdegup kencang. Mungkin itulah degupan cinta diluahkan dari hati ini. Ku suka padanya saat pertama melihat matanya. Bermula detik itulah, hati semakin membunga mencambahkan rasa bahagia hari demi hari.



Entah bila di saatnya, hubungan itu semakin intim dan semakin rapat. Andai ditanya dimanakah permulaannya, maka memang sukar untuk diberikan jawapan. Aku sendiri kadangkala terfikir, bagaimana semua ini terjadi? Di mana sebenar-benarnya permulaan perkenalan kami ini? Hakikatnya masing-masing tidak dapat memberikan jawapan yang sebenar kerana kami memang tidak dapat megimbas kembali dengan tepat bilakah detiknya.

Mungkin semua yang berlaku telah dirancang dengan begitu sempurna dan indah. Hakikatnya, di antara kami tidak pernah terfikir untuk menjalinkan hubungan. Tidak pernah juga merancang ke arah perkahwinan. Malah tidak pernah terfikir sepantas ini kami bergerak. Semuanya tidak pernah terlintas di fikiran namun ia sedang berlaku.

Sesungguhnya kita harus bersyukur dengan apa yang telah ditakdirkan. Di sebalik kekecewaan yang berlaku, Allah datangkan dengan seribu kenikmatan. Benar kata-katanya; Allah hanya memberi dan mengurniakan seseorang dengan calon yang tepat pada waktu yang tepat. Ya, aku dan dia ditakdirkan pada waktu yang tepat dan dengan calon yang tepat.

Di suatu masa, kami bersetuju untuk mengikat hubungan ini dengan lebih utuh lagi. Maka perancangan pertunangan diatur satu demi satu. Hakikatnya, bukan mudah; kerana untuk memilih tarikhnya saja beberapa kali perlu difikirkan. Namun, semuanya dipermudahkan juga di akhirnya. Malah tidak disangka, bahawa keluargku dengan mudah dapat menerimanya sebagai calon isteriku. Tanpa bantahan malah sangat menyenanginya.

Begitu juga dengan keluarganya. Di usia yang masih muda, tatkala diluahkan hasrat perkahwinan itu, keluarganya bersetuju tanpa sebarang masalah. Malah dia sendiri tidak menduga, begitu mudah ibu dan ayahnya bersetuju dengan cadangan itu. Hati mereka terbuka untuk menerima seorang menantu. Malah mereka begitu teruja ke arah jalan perkahwinan ini.



Alhamdulillah. Kini detiknya semakin menghampiri. Titik perubahan akan berlaku. Persiapan semakin rancak diatur. Semuanya harus diselesaikan satu demi satu. Kebahagiaan ini hakikatnya tak pernah terlintas di fikiran ini. Namun itulah kurniaan Ilahi yang tak pernah dijangka.

Terima kasih buatnya kerana sudi mengisi kekosongan hati ini. Merawat luka yang dirasai, memulihkannya dan mencambahkan kembali rasa bahagia ini. Kita sama-sama pernah melalui detik pedih ini. Mungkin kini tibalah masa untuk menikmati bahagia yang sebenar.

Terima kasih atas segalanya. Setiap pengorbanan dan susah payah selama mengenalimu. Sentiasa berada tak kira waktu. Sentiasa setia mendengar setiap luahan dan cerita ini. Sentiasa bersabar dengan setiap kekurangan yang ada ini. Hakikatnya, dialah pelengkap yang menyerikan hidup ini.

Ini adalah sekadar coretan spontan, meluahkan apa yang terlintas di fikiran. Ditujukan khas buatnya kerana hakikatnya aku bukanlah seorang yang pandai berkata-kata. Hanya bicara tulisan yang menjadi medium luahan rasa ini. 



Siapakah dia? Barangkali ada yang telah mengenalinya. Dari masa asalnya? Berapa umurnya? Apakah namanya? Bagaimana rupanya?

Biarkan persoalan itu ditingggalkan tanpa sebarang jawapan kerana hakikatnya ia akan diketahui untuk sedikit masa lagi. Insya-Allah.

Hakikatnya, kita telah mengharungi pelbagai kisah duka sebelum ini. Dalam mencari sebuah kebahagiaan yang sebenar, seharusnya kita perlu merasai erti kepahitan dahulu. Ya, aku melalui beberapa siri kekecewaan. Namun dari kekecewaan itulah aku belajar untuk lebih menghargai insan yang ku sayangi hari ini.

Terima kasih buatmu. Terima kasih kerana sudi menjadi suri di hatiku.

Alhamdulillah.






Rabu, 6 April 2016

Perkongsian pengalaman temuduga SPP DG41 (2015)


Baru beberapa hari ini, maka perkhabaran gembira kedengaran tatkala rakan-rakan telah mendapat panggilan untuk temuduga SPP. Tahniah diucapkan kerana ia merupakan langkah pertama sebelum bergelar sebagai seorang guru. Penantian kalian penuh dengan kesabaran, kerana tempoh dua tahun memang sangat lama.

Setahun lalu, saya juga merasai detik yang sama. Sekitar awal Mac 2015, maka saya mendapat panggilan temuduga SPP. Tarikhnya adalah pada 18 Mac 2015 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, jam 7.30 pagi, iaitu sesi 1.

Berdasarkan pengalaman saya yang lalu, bolehlah disimpulkan bahawa temuduga SPP ini bukanlah sesuatu yang mudah. Memang sangat sukar dan mencabar. Perlu ada persediaan mental terutamanya. Perlu bersedia secukupnya.

Maka apakah persediaan yang perlu dilakukan? Sedikit perkongsian saya nukilkan. Mungkin berguna kerana ia berdasarkan pengalaman sendiri. Mungkin ia sesuai atau mungkin juga tidak.

Panggilan temuduga SPP saya dahulu


Persediaan awal

Perkara pertama sebaik mendapat keputusan panggilan temuduga SPP, adalah dengan menyemak maklumat peribadi yang terpapar. Apakah nama betul dan apakah no ic juga betul. Kalau salah, maka maklumkan pada pihak SPP. Perkara ini penting untuk mengelakkan masalah sewaktu hari temuduga nanti.

Apakah dokumen yang perlu disediakan?

Senarai dokumen yang wajib dibawa akan dilampirkan oleh pihak SPP di dalam portal. Berikut adalah senarainya:

a)      Kad pengenalan
b)      Sijil lahir
c)       Sijil SPM dan STPM (jika ada)
d)      Ijazah
e)      Surat pengiktirafan kelayakan dari JPA (pengiktirafan kursus yang diambil di universiti)
f)       Buku Rancangan Pengajaran Harian (RPH) sewaktu praktikum dulu.

Keenam-enam perkara ini wajib dibawa pada hari temuduga, bawa yang asal dan perlu dibuat salinan serta disahkan. Kegagalan membawanya boleh menyebabkan calon dihalang untuk masuk ke bilik temuduga.

Itu dokumen yang wajib dibawa yang diminta oleh SPP. Kalau ikut senarai lain, banyak lagi yang perlu dibawa. Gambar di bawah ni adalah senarai penuh yang perlu dimasukkan ke dalam fail nanti. (Fail perlu clear folder)




Rasanya gambar tersebut dah cukup untuk menerangkan apa yang perlu dibawa nanti. Oh ya, untuk tambahan, pastikan bawa bahan-bahan bantu mengajar (ABM) sewaktu praktikum dulu. Tak perlu bawa semua. Sebab mungkin anda perlu mengajar nanti sewaktu sesi temuduga.

Pakaian

Bagi lelaki, pastikan berbaju kemeja (pastikan baju kemeja tanpa corak) serta bertali leher. Tanda nama perlu dipakai dan ikut spesifikasi SPP (Boleh rujuk portal SPP). Seeloknya memakai blazer walaupun ia bukan perkara yang diwajibkan. Kasut mesti kasut kulit dan perlu berkilat. (Dulu saya ditegur sebab kasut tak berkilat). Stokin perlu warna hitam sahaja, jangan pakai warna kelabu dan lain-lain.

Begitu juga perempuan. Seeloknya berbaju kurung, dan memakai blazer. Namun, blazer yang dipakai mestilah blazer perempuan. Beza blazer lelaki dan perempuan adalah terletak pada kedudukan butangnya. Blazer lelaki butangnya ada tiga di bahagian kanan dan blazer perempuan butangnya ada dua di bahagian kiri. Perlu juga memakai tanda nama, dan pastikan kasut yang dipakai kasut yang sesuai iaitu kasut sarung.

Rambut bagi lelaki perlu kemas dan pendek. Elakkan berjambang dan bermisai. Kalau boleh biar kosong muka tanpa misai dan janggut. Pastikan rambut tidak berwarna. Bagi perempuan, rambut seeloknya diikat dengan kemas.Kalau bertudung, seeloknya tudung bawal. Jangan pakai tudung yang berlilit dan berfesyen.

Soal pakaian ini sangat penting kerana ia akan menjadi penilaian pertama oleh panel temuduga nanti. Jadi, pastikan pakaian yang dipakai itu kemas dan mengikut etika pemakaian sebagai seorang guru.

Apa yang perlu dibaca?

Soalan ini pasti akan berlegar-legar bagi semua yang akan menghadapi temuduga SPP. Secara keseluruhannya, terdapat banyak juga yang perlu dibaca sebelum melangkah ke bilik temuduga. Pengetahuan am seperti Rukun Negara, sejarah negara, nama-nama Perdana Menteri Malaysia, nama-nama barisan kabinet terkini dan tidak dilupakan juga nama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan negeri. Nama-nama ini perlu diingat dengan betul; dari gelaran sehinggalah nama penuhnya.

Selain itu, fokus utama sewaktu temuduga nanti ialah berkaitan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) seperti lima aspirasi pendidikan negara (Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan, dan Kecekapan). Selain itu, perlu juga memahami enam ciri utama pelajar untuk bersaing di peringkat global iaitu (Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin, Kemahiran Dwibahasa, Etika dan Kerohanian, dan Identiti Nasional).

Selain itu perlu ingat dan faham 11 Anjakan untuk transformasi sistem pendidikan negara yang terdapat dalam PPPM ini. Semua maklumat ini boleh diperoleh dalam laman web KPM. Google saja PPPM, insya-Allah anda akan jumpa.

Selain itu, anda perlu peka dengan isu-isu semasa seperti GST, Kelas Abad ke-21, masalah jerebu, cuaca panas, isu-isu politik terkini serta isu-isu antarabangsa. Maknanya, kena rajin-rajinlah untuk membaca akhbar tempatan untuk tahu isu semasa ini.

Selain itu, cuba ingat kembali dan fahami lesson plan atau RPH praktikum yang pernah anda buat dahulu. Cuba ingat aktiviti yang pernah dilakukan dulu. Berkemungkinan anda akan ditanya oleh penemuduga dan mungkin juga anda diminta untuk melakukan micro teaching sewaktu temuduga nanti. Maknanya anda kena bersiap sedia kemungkinan untuk mengajar di dalam bilik tersebut.

Untuk nota lengkap tersebut, anda boleh minta secara peribadi di Facebook saya, Muhammad Yazid Rosly.


Tentatif semasa hari temuduga

1)      Pendaftaran
Pastikan anda datang sejam sebelum waktu temuduga. Sekiranya waktu temuduga yang tercatat dalam surat panggilan itu ialah 7.30, maka anda perlu berada di tempat temuduga sekitar jam 6.45 hingga 7.00 pagi. Hal ini bagi mengelakkan situasi kelam kabut.

Apabila tiba, terus menuju ke kaunter pendaftaran. Di sana, anda akan mendaftar nama anda untuk kehadiran. Kemudian anda perlu menyerahkan semua dokumen yang dibawa (asal dan salinan) untuk disemak oleh pegawai SPP. Sekiranya lengkap, anda akan dibenarkan untuk temuduga. Jika tidak lengkap, anda diminta untuk melengkapkannya. Seeloknya, susun siap-siap dokumen tersebut, bagi memudahkan pegawai SPP memeriksa dokumen anda.

Sebaik selesai dokumen diperiksa, pegawai SPP tadi akan meminta anda menunggu di luar bilik temuduga. Akan ada enam orang yang akan menunggu di luar bilik ini yang barangkali rakan-rakan anda sendiri.

Setiap bilik temuduga akan dibahagikan kepada kursus dan bidang masing-masing. Kalau TESL macam saya, maka semuanya nanti adalah dari kalangan TESL. Bilik-bilik lain pula akan punyai panel yang berbeza mengikut kursus yang dipohon.

2)      Sesi temuduga

Sesi temuduga akan berlangsung secara berkumpulan. Sebaik keenam-enam nama dipanggil oleh pegawai SPP, maka anda perlulah bergerak menuju ke bilik temuduga. Pastikan anda butang blazer anda. Jangan lupa bawa bersama buku RPH anda serta bahan bantu mengajar jika ada. Beg tangan jangan bawa masuk atau kalau bawa masuk, jangan letak di atas riba anda. Letak di tepi kerusi.

Pastikan juga anda bergerak mengikut urutan nama yang telah disebut oleh pegawai SPP tadi. Sebelum masuk, ketuk pintu dahulu. Apabila diberi keizinan oleh panel temuduga, barulah anda masuk. Orang pertama yang masuk haruslah memberi ucap salam.

Sebaik masuk, terus berdiri di hadapan kerusi mengikut urutan nama atau ikut sahaja arahan dari panel temuduga. Di dalam bilik ini, akan terdapat tiga orang panel temuduga yang terdiri daripada guru cemerlang atau mungkin bekas pengetua. Seorang akan memeriksa RPH anda, seorang lagi akan menyentuh soalan temuduga berkaitan kursus anda dan seorang lagi akan bertanya soalan am.

Jangan duduk. Tunggu arahan duduk dari mereka, barulah anda duduk. Terus berdiri di tempat masing-masing.

Sesi temuduga akan terbahagi kepada tiga slot, iaitu  slot etika pemakaian, slot bidang kursus, dan slot pengetahuan am. Kebiasaan temuduga bagi TESL berlangsung selama 2 ke 4 jam. (Antara temuduga SPP yang paling panjang dan susah sebenarnya berbanding kursus lain).

Slot etika pemakaian

Untuk slot ini, ia akan bertanya secara menyeluruh pengetahuan calon mengenai peraturan dan etika pemakaian sebagai seorang guru. Kena tahu saiz standard tanda nama (berapa ukurannya, jumlah huruf maksimum yang dibenarkan, dan warna apa). Perlu tahu dari mana sumber rujukan bagi peraturan etika pemakaian ini. Jawapannya boleh dirujuk di laman web SPP.

Anda juga akan ditanya tentang perbezaan blazer lelaki dan perempuan, dan bagaimana ciri blazer itu sendiri; iaitu perlu ada poket di dalam. Anda juga akan ditanya kenapa perlu pakai kasut berwarna hitam. Kenapa guru perlu mengikut etika pemakaian. Semua ini akan disoal dalam slot ini. Apa yang penting, tenang dan jawab dengan jujur. Kalau tak tahu, cakap saja tak tahu. Jangan ‘menggoreng’ jawapan anda.

Kalau ikut pengalaman saya dulu, slot ini berlangsung selama hampir 30 minit dan kami perlu berdiri sepanjang slot ini.

Slot bidang kursus pengajian

Anda akan diminta duduk sebaik slot ini dijalankan. Sebelum duduk, pastikan anda buka butang blazer. Kalau tak buka, pasti anda akan ditegur nanti.

Bagi slot ini, ia akan menyentuh soalan-soalan berkaitan bidang kursus anda. Soalan-soalan berkaitan bagaimana Pdp berkesan akan ditanya nanti. Soalan yang akan ditanya lebih berbentuk soalan KBAT yang bermaksud, ia memerlukan anda untuk berfikir dan mengaplikasikannya dalam pengajaran anda.

Sebagai contoh seperti saya dulu, saya ditanya soalan bagaimana untuk mengaplikasikan Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara ke dalam pengajaran Reading di kelas. Bagaimana untuk menjalankan aktiviti di kelas, supaya para pelajar dapat menyelami Rukun Negara kedua itu.

Jangan harap soalan straight to the point seperti, apakah nama Menteri Pendidikan Malaysia, atau soalan seperti apakah maksud KBAT dan I-Think. Soalan sebegitu takkan ditanya nanti. Ia lebih bersifat soalan berfikir daripada soalan menghurai fakta dan angka! So, it’s not easy anyway.

Slot soalan pengetahuan am

Bagi slot ini, ia akan dikendalikan oleh panel kedua temuduga. Dalam slot ini, anda akan ditanya mengenai apa-apa sahaja soalan am sama ada berbentuk umum atau mungkin juga politik. Jika ia bersifat politik, pastikan anda menjawab dengan berhemah. Ingat, anda nak kerja dengan kerajaan, jadi jawapan pun kenalah bersifat berhemah.

Mungkin anda akan ditanya soalan seperti GST, PPSMI, PIBG, atau apa sahaja isu-isu semasa yang sedang berlaku. Untuk slot ini ia agak santai. Apa yang penting, anda harus tenang dan bijak menjawab soalan. Tak perlu tergopoh gapah nak menjawab. Just relax.

Slot penutup

Selepas itu, panel ketiga temuduga akan memberi komen mengenai buku-buku RPH yang diperiksanya. Dengar sahaja komennya dan jangan beri apa-apa ulasan anda. Angguk sahaja dan jangan bangkang. Memang beliau akan mengkritik dan memberi komen yang mungkin kadangkala pedas. Tetapi, biarkan sahaja kerana memang kita banyak kelemahan sewaktu praktikum dahulu.

Ulasan yang diberi lebih bersifat secara umum. Maknanya, beliau akan mengulas buku RPH itu secara keseluruhan tanpa menyebut siapa nama pemilik buku RPH itu.

Selepas itu, maka selesailah sesi temuduga anda. Apabila anda diminta berdiri, barulah berdiri. Kemudian salamlah kesemua panel tersebut dan ucapkan ucapan terima kasih.

Sewaktu temuduga saya dulu, salah seorang panel itu merupakan bekas Pengetua sekolah adik saya. Maka, berbuallah saya seketika dengannya selepas itu.

Tips sewaktu ditemuduga

1)      Dengar arahan yang diberi
Patuh dan dengar setiap arahan yang diberi oleh barisan panel. Jangan lawan atau mempersoalkan mereka. Jika mereka suruh anda melakukan pengajaran mikro di bilik tersebut, patuhi dan turuti sahaja. Jangan cakap tak boleh.

Ada sesetengah rakan saya diminta untuk melakukan pengajaran mikro. Sebab itu kena siap sedia bahan ABM sewaktu temuduga SPP.

2)      Dengar soalan dengan teliti. Jangan gementar atau berangan.
Fikiran kena fokus. Dengar soalan yang diajukan dengan teliti. Soalan yang diberi memang kadangkala agak panjang. Maka, ingat setiap elemen yang ditanya. Fahami soalan yang diberi. Jangan terlalu gementar dan jangan berangan pula. Pastikan fikiran anda di bilik tersebut. Takut nanti salah faham soalan, dijawab salah soalan yang diberi.

3)      Jika tak tahu nak jawab apa, beri peluang kepada rakan-rakan lain
Mungkin akan ada waktu di mana anda tak tahu nak jawab apa. Maka, senyap sahaja dan jangan cuba menjawab. Biarkan rakan-rakan anda menjawabnya dahulu. Kebiasaannya panel temuduga akan memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjawab dulu. Kalau semua senyap, baru dia akan sebut nama.

Selalunya apabila mendengar jawapan dari rakan-rakan anda, mungkin anda akan mendapat sedikit idea untuk jawapan anda nanti. Tapi hati-hati, kalau anda menjadi orang terakhir menjawab, takut pula kesemua idea anda telah dijawab oleh rakan-rakan anda yang lain.

4)      Jangan gopoh dan jangan menguasai perbincangan
Untuk temuduga SPP ini, anda kena tenang. Bukan sejauh mana anda mampu bercakap, atau sejauh mana anda petah berkata-kata, tetapi sejauh mana ketepatan jawapan anda. Panel akan menilai bagaimana cara anda menajawab soalan itu. Kadangkala cakap sedikit sahaja, namun jawapan yang diberi tepat. Itulah yang sebaiknya.

Seperti saya dulu, ditanya soalan fungsi dan peranan PIBG. Rakan-rakan dalam kumpulan saya semua menjawab panjang lebar dan jawapan mereka lebih berfokus kepada cara meningkatkan prestasi akademik sekolah. Sebaik giliran saya untuk menjawab selaku orang terakhir, saya hanya memberi jawapan pendek iaitu fungsi PIBG adalah sebagai satu sumber kewangan sekolah untuk pembangunan akademik dan fizikal sekolah.

Panel tersebut kemudian berkata “Itulah jawapan yang saya nak”

Nampak tak. Tak perlu cakap banyak. Apa yang penting tepat.

5)      Kalau tak tahu, jangan hentam menjawab
Ini adalah perkara paling penting. Apabila ditanya soalan dan anda tidak tahu jawapannya, jangan sama sekali cuba menjawab soalan yang diberi. Jangan cuba nak ‘menggoreng’. Cakap saja tak tahu. Apa yang penting kena jujur. Jangan tunjuk pandai.

6)      Tenang dan jangan tunjukkan wajah gementar anda
Buat biasa sahaja sewaktu di bilik temuduga. Jangan menampakkan diri anda itu gementar. Sebagai bakal guru anda kena yakin walaupun memang di saat itu anda gementar. Panel nak lihat perwatakan anda. Maka tunjukkanlah perwatakan yang yakin dan tenang sesuai dengan ciri seorang guru.

Penutup
Hakikatnya, temuduga DG41 SPP ini bukanlah mudah. Memang ia boleh dikatakan sangat susah dan mencabar. Tekanan yang akan dihadapi memang tak boleh digambarkan. Mungkin akan diingati sampai ke hari tua. Maka, persiapkan diri bukan sahaja dari sudut ilmu, tetapi juga dari sudut mental. Fikiran kena tenang dan bersedia. Jangan terlalu risau. Bersiap sedia untuk menghadapi tekanan nanti.

Namun, harus diingat, sejauh mana pun sukarnya temuduga SPP itu, kelak apabila anda menjadi guru, beban tugasnya lebih hebat dan besar. Oleh itu, bersiap sedia untuk masuk ke alam pendidikan. Ia bukan kerja yang mudah.

Jangan dulu asyik berkobar-kobar tuntut temuduga dan posting, bila dah kerja mula mengeluh sana dan sini. Sejujurnya, nak jadi guru jangan mengeluh. Terima sahaja walaupun ia membebankan.

Salam maju jaya buat rakan-rakan yang bakal menghadapi temuduga SPP nanti. Buat yang terbaik. Moga berjaya dan mendapat posting nanti.

Insya-Allah.


Wajah ceria selepas temuduga SPP yang berlangsung selama hampir 3 jam. Saya di belakang paling kiri.




*Untuk nota lengkap dan sebarang pertanyaan boleh PM Facebook saya.