Selasa, 9 Jun 2015

"Adina (Bicara Empat Puluh Satu)"



Masa pantas berlalu. Tanpa sedar, kita seringkali alpa tenggelam dan timbul dalam kenikmatan dunia. Andai bahagia senantiasa, maka putaran hidup dirasakan sekejap. Andai dugaan menyelubungi kehidupan, maka pasti setiap detik itu menjadi perlahan. Kerana tiap-tiap detik indah pasti akan cepat berlalu, namun akan terus kekal di ingatan. Kerana tiap-tiap kesusahan itu, maka masa yang perlahan itu adalah satu peluang untuk mendapatkan sebuah pembelajaran erti hidup.

Abyatina termenung panjang.

“Kepantasan semakin terasa bila umur semakin meningkat…” luah Abyatina.

Kehidupan Abyatina di tempat baru mencipta sisi dunia yang berbeza buat Abyatina. Di rumah yang lebih besar dan selesa, maka di situlah Abyatina menjalani rutin hariannya. Anak sulungnya Yaqzan, semakin hari semakin meningkat usia. Istafa anak keduanya, semakin membesar dengan pelbagai ragamnya. Kepantasan yang dirasakan mencipta satu sisi lelah buat Abyatina.

“Cukupkah aku menjaga Yaqzan dan Istafa?” Apakah aku betul-betul menjaga suamiku? Terabaikah mereka?”

Monolog Abyatina sendirian. Cetusan di hati kecilnya meluahkan kerisauan. Masa yang berlalu dengan pantas mencetuskan persoalan dalam diri. Mungkin masa yang berlalu pergi itu, Abyatina merasakan barangkali dirinya tidak betul-betul menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

“Kita tak boleh kejar masa yang dah berlalu. Kita tak boleh sesalkan masa yang dah pergi. Apa yang dah berlalu, itu semua dah tertulis. Semuanya berlaku dalam kemampuan kita. Itu yang dapat kita capai”

Pesan ibunya terngiang-ngiang kembali. Bicara Mak Cik Ros terhadap anaknya itu tercetus saat Abyatina meluahkan kerisauannya. Kunjungan seketika ke kampung mencipta perbualan panjang di antara Abyatina dan ibunya. Namun kisah kunjungan itu bukanlah tercipta untuk kali pertama. Hakikatnya, kunjungan Abyatina itu telah menjadi rutin setiap minggu sejak peristiwa yang berlaku beberapa bulan sebelumnya.

“Apa yang berlaku?” soal Mami Radhwa kepada Rizqullah, kisah yang berlaku beberapa bulan yang lalu.

“Ustaz Man…”

“Kenapa dengan Ustaz Man?” soal ibu Rizqullah itu.

Kisah situasi di tengah hari, maka di kala situasi panas di luar rumah baru saja tercetus di antara Cikgu Hamdawi dan Ruwaidi, di saat itulah Abysar dan Rafiqin muncul secara tiba-tiba di rumahnya.

“Khabar dari Absyar, Ustaz Man kurang sihat…” kata Rizqullah.

“Teruk sakitnya?” soal Mami Radhwa terkejut.

Di hari itu, di awal pagi, Ustaz Man secara tiba-tiba dilanda semput. Nafasnya dilihat sukar, mencipta wajah yang pucat di pagi itu. Selepas selesai solat Subuh, Ustaz Man di awalnya hanya berehat-rehat di bilik, namun tanpa diduga batuk menyerang. Batuk yang berterusan akhirnya mencipta semput nafasnya.

Waktu itu, Mak Cik Ros baru sahaja tiba di Pulau Pinang, untuk menziarahi anaknya Raiqah yang baru sahaja selamat melahirkan anak keempatnya. Hanya Zabarjad dan Rafiqin sahaja yang ada di rumah. Lantas apabila situasi tak terduga itu terjadi kepada Ustaz Man, Rafiqin terus menelefon Absyar, meminta pulang dengan segera. Hanya Absyar sahaja yang memiliki kenderaan.

“Kami terus bawa ayah ke hospital dapatkan rawatan segera. Semuanya pantas, kami tak jangka,” terang Absyar.

“Jadi macam mana dengan ayah sekarang?” soal Abyatina ingin tahu. Sebaik mendengat perkhabaran mengenai Ustaz Man, maka bergegas Abyatina keluar dari rumah.

“Ayah dah stabil di hospital. Zabarjad yang temankan ayah sekarang ni,” terang Absyar.

“Mak dah tahu?” soal Abyatina lagi.

Bicara yang tercipta di luar rumah itu sekelip mata menghentikan seketika perseteruan yang baru sahaja tercetus di antara Cikgu Hamdawi dan Ruwaidi. Mereka juga turut mendengar perbualan yang sedang berlaku itu.

“Apa kata kalau kita masuk dulu ke dalam. Udara luar tengah hari ni panas. Sejukkanlah dulu dengan angin di dalam,” kata Rizqullah mempelawa semua yang berada di luar rumahnya itu. “Ina pun, seeloknya masuklah ya. Jangan dilupa, Ina masih berpantang…”

Barangkali disebabkan kejutan yang dinyatakan, maka masing-masing ibarat tidak sedar akan keperluan untuk masuk ke dalam rumah. Perbualan serta-merta tercipta saat Absyar menyatakan perkhabaran mengenai kesihatan Ustaz Man itu. Maka, tak lama selepas itu, kesemua yang ada mula masuk menuju ke ruang tamu rumah. Sebaik semua duduk di sofa, maka bicaranya bersambung.

“Mak dah tahu?” soal Abyatina sekali lagi.

“Kami tak sempat nak sampaikan berita. Kami pun baru saja balik dari hospital, terus jumpa akak dengan abang…” terang Rafiqin.

“Kita kena sampaikan berita ni secepat mungkin…” kata Rizqullah.

“Tapi sesuaikah dengan masanya?” soal Abyatina. “Mak baru saja sampai di Pulau Pinang. “Takut nanti mak pula yang sakit…”

“Tapi seeloknya, biarlah mak tahu. Tak perlulah difikirkan yang bukan-bukan…” kata Rizqullah.

“Sakitnya teruk sangatkah?” soal Cikgu Hamdawi mencelah perbualan yang tercipta.

“Kami pun tak pasti. Sakitnya kali ni tak seperti sakit-sakit sebelumnya. Pertama kali Ustaz Man kena semput, susah nak bernafas,” jawab Absyar. “Mungkin sakitnya makin melarat, makin bertambah…”

“Allah… banyak sungguh ujian Ustaz Man…” luah Cikgu Hamdawi.

Cikgu Hamdawi dan Ustaz Man, mereka tidak banyak bersua. Sepanjang tempoh hingga ke saat itu, hanya beberapa kali sahaja mereka berjumpa. Mereka tidaklah begitu rapat, namun hubungan kekeluargaan yang terjalin itu mengeratkan pertalian yang ada. Jarak yang jauh, mungkin itulah sebab Cikgu Hamdawi dan Ustaz Man jarang bertemu.

Perkhabaran yang disampaikan di rumah Rizqullah itu masih belum dikhabarkan kepada Mak Cik Ros. Di kala itu, Mak Cik Ros baru sahaja tiba di Pulau Pinang, singgah di rumah Raiqah. Anak sulungnya itu kini berada di hospital. Cucu-cucunya kini berada di bawah jagaannya. Kehadiran Mak Cik Ros sedikit sebanyak meringankan beban Arfan yang dilihat agak kelam kabut dalam menguruskan anak-anaknya di rumah serta isterinya di hospital.

“Datang mak nak membantu. Jangan serabutkan diri, uruskan dengan tenang,” pesan Mak Cik Ros kepada menantunya itu.

Keesokan paginya, maka Mak Cik Ros dibawa ke hospital, menjenguk keadaan Raiqah. Anak sulungnya itu terpaksa ditahan di wad untuk beberapa hari disebabkan masalah darah tinggi. Namun, di saat itu juga sehingga ke detik itu, Mak Cik Ros belum melihat cucu barunya itu.

“Di mana cucuku?” soal Mak Cik Ros.

“Kejap lagi mak boleh jumpa…” balas Raiqah.

“Lelaki?”

Raiqah menggelengkan kepalanya.

“Masih juga perempuan…”

Kisah Raiqah, dari empat orang anak, tiga daripadanya perempuan. Anak keduanya sahaja lelaki, dan kehadiran bayi perempuan sekali lagi buat Raiqah mencipta sedikit kerisauan buatnya.

“Kesian pula Hadif. Berseorang lagi nampaknya tanpa kawan…” luah Raiqah.

“Jangan nak disesalkan apa-apa. Semuanya dah tertulis ditakdirkan begitu. Bersyukurlah,” pesan Mak Cik Ros.

Semuanya tampak membahagiakan sehinggalah tiba di petang hari. Satu panggilan telefon dibuat dari Taiping, dan perkhabaran kemudian disampaikan. Arfan yang menjawab panggilan telefon tersebut. Rizqullah yang berbicara.

“Sampaikan khabar pada mak, Ustaz Man masuk hospital…”

Berita mengejut itu dinyatakan dengan cermat oleh Rizqullah kepada Arfan. Pesan Rizqullah, moga berita itu disampaikan dengan tenang kepada Mak Cik Ros. Moga tiada kejutan besar diterima ibu mertua mereka itu.

Apabila disampaikan, Mak Cik Ros dilihat sangat tenang. Tiada kerisauan timbul. Barangkali juga disembunyikan Mak Cik Ros. Namun, sepantas itu juga, ibu Abyatina itu bergegas pulang ke Taiping meninggalkan Raiqah di hospital.

“Sampaikan salam buat ayah…” pesan Raiqah kepada ibunya. Tiada apa yang mampu dilakukannya. Hanya mengirimkan salam buat Ustaz Man.

Setibanya di Taiping, Mak Cik Ros terus dibawa ke hospital. Kisahnya berterusan, dan ibu Abyatina itu terus setia menemani Ustaz Man. Tiada langsung wajah kerisauan dan resah. Ketenangan yang menguasai diri mencetuskan rasa hairan bagi anak-anaknya.

“Mak macam dah faham dengan apa yang berlaku…” luah Absyar.

Mungkin berita jatuh sakit Ustaz Man kali ini seperti telah diduga Mak Cik Ros. Riak wajahnya tampak tenang tanpa melahirkan sedikit pun rasa resah di hati. Situasi itu tidak sama seperti kisah-kisah sebelumnya. Tidak sama seperti kisah Ustaz Man jatuh sakit sebelum ini.

“Kenapa mak tenang saja?” soal Absyar sebaik ibunya itu keluar seketika dari wad tempat Ustaz Man menerima rawatan.

“Semuanya dah tertulis. Allah dah takdirkan. Kalau kita nak bersedih sepanjang masa, tak ada gunanya. Selagi ayahmu masih ada, kita kena kuat. Kita kena sokong. Kita kena bantu. Jangan tunjukkan sedih. Tunjukkan gembira. Baru ayahmu lebih kuat nak hadapi ujiannya…” balas Mak Cik Ros.

Jawapan diberi hanya mencetuskan kebisuan buat Absyar. Barangkali ada betulnya.

“Mu yang patut dirisaukan. Mu yang patut diresahkan…” sambung Mak Cik Ros.

“Syar tak setenang mak…”

“Dalam setahun ni, berapa kali mu balik kampung? Berapa kali mu jenguk ayahmu? Berapa kali mu telefon tanya khabar?” soal Mak Cik Ros. “Soal ayah sakit, mak tahu nak uruskan. Tapi soalmu yang makin jauh, mak tak ada penyelesaiannya. Mu sendiri yang kena jawab. Mu sendiri yang kena betulkan”

“Bukan Syar sengajakan…”

Kisah terasa hati Mak Cik Ros diluahkan saat itu. Selama ini, dirinya hanya berdiam sahaja. Memendam rasa, tidak diluahkan kepada sesiapa. Namun, di kala itu, segalanya bagai dilepaskan kepada Absyar. Segala terasa di hati dinyatakan dengan jujur kepada anaknya itu. Hakikatnya, tiada siapa yang pernah menegur akan sikap Absyar itu.

“Kenapa mu jarang balik? Kenapa mu makin jauh dari kami semua?” soal Mak Cik Ros.

“Syar…. Syar…”

Kelu lidah tiada bicara. Gugup di hati, dirasakan sepenuhnya. Apabila seorang ibu meluahkan rasa yang sebenar, Absyar bagai dipanah petir. Dilanda kejutan yang tidak disangka.

“Apa alasanmu Absyar?” soal Mak Cik Ros. “Sekarang, bukan ayahmu yang mak risaukan. Tapi mu yang mak resahkan…”

Mak Cik Ros berjalan dan berlalu pergi. Perlahan –lahan terus menuju ke surau untuk mendirikan solat.

“Jawapannya mu kena tanya sendiri pada binimu…” bisik Mak Cik Ros di kala perjalanan itu. Absyar terpinga-pinga masih berdiri di tempat yang sama.

Hari-hari seterusnya, Ustaz Man masih terus dirawat di hospital yang sama. Rutin yang sama itu jugalah, maka Mak Cik Ros akan senantiasa menemani suaminya itu. Di waktu yang sama, Abyatina telah selesai tempoh berpantangnya. Raiqah pula baru sahaja memasuki fasa berpantang, dan kisahnya berterusan untuk minggu-minggu berikutnya.

Segalanya tampak tenang walaupun banyak dugaannya. Maka timbul persoalan.

“Siapa yang akan jaga anak-anak kita?” soal Abyatina kepada Rizqullah di suatu malam. “Tak lama lagi, Ina akan kembali berkerja… “

“Ina dah bersedia nak bekerja?” soal Rizqullah.

“Bila kerja dengan kerajaan, sedia atau tak sedia, bila dah sampai tempoh habis cutinya, kenalah bekerja…”

Tugas guru menanti Abyatina. Sesi mengajar akan diteruskan semula. Namun persoalan siapa akan menjaga Yaqzan dan Istafa yang masih kecil itu menguasai perbualan di malam itu.

“Kalau Ina nak minta tolong mak, takut pula nanti menyusahkan. Ayah pun tak sihat, mak pun mestilah kena ada selalu di sisi. Tak seeloknya kalau nak disusahkan mak lagi,” luah Abyatina.

“Mak abang kan ada….” balas Rizqullah.

“Nak susahkan Mami Radhwa?” soal Abyatina. “Tak sampai hati Ina nak susahkan lagi apa yang dah dihadapi mak dengan bapak…” kata Abyatina merujuk kepada kedua-dua mertuanya itu.

Di saat itu, fikiran Abyatina terkenang kembali peristiwa yang berlaku beberapa minggu sebelumnya. Kisah di saat kelam kabut di tengah hari, maka kemunculan Ruwaidi, abang iparnya itu mencipta kejutan. Secara kebetulan Cikgu Hamdawi juga baru saja pulang dari bandar Taiping dan di kala itu juga, Absyar dan Rafiqin secara tiba-tiba datang ke rumah.

Kejutan berita mengenai Ustaz Man yang dimasukkan ke hospital menghentikan kepanasan situasi yang terjadi itu. Cikgu Hamdawi dilihat menahan amarahnya terhadap Ruwaidi seketika. Ruwaidi pula dilihat mengalah, hanya membiarkan dahulu keadaan menjadi reda. Tak lama selepas itu, Cikgu Hamdawi ke hospital bersama-sama Rizqullah. Ruwaidi pula pulang tengah hari itu juga.

“Kalau datang bertujuan, tengah hari panas rambang pun hati tu sanggup. Bila bab duit, semua yang susah sanggup dibuat…” kata Rizqullah mengenang kembali peristiwa itu.

“Tapi…  Ina tak faham. Kenapa Abang Lang dengan bapak boleh bergaduh sampai macam tu?” soal Abyatina. “Ina tahu, semua pasal tanah. Tapi, takkan sampai seteruk tu? Sampai bermusuh dengan bapak sendiri?”

“Harta ni, dia tak kenal siapa. Sekali kita dapat, si anak pun boleh tak mengaku si bapa. Si bapa pun kadang-kadang tak mengaku anak. Godaan dunia terbesar, sampai kiamat perkara yang sama akan berlaku,” kata Rizqullah. “Kalau ikutkan, Abang Lang tu tak ada masalah dengan hal tanah tu. Dari dulu lagi, dia mudah saja bawa berbincang. Kalau ikut fikiran seorangnya tu, dia boleh terima saja perkongsian geran dengan Abang Long tu..”

“Apa masalahnya tu berpunca dengan Kak Yati tu?” soal Abyatina. Bicara isteri Ruwaidi pula disentuhnya.

“Kita tak pasti Ina…” balas Rizqullah. “Hati orang susah kita nak faham. Tapi siapa lagi yang boleh menghasut kalau bukan isterinya sendiri. Sejak Abang Lang kahwin, orangnya dah tak sama. Bukan lagi Abang Lang yang dulu,” terang Rizqullah.

Haryati, isterinya Ruwaidi. Asalnya Johor, menetap di Perak. Mengikut Ruwaidi seorang tentera laut. Orangnya banyak berbicara, suka berbual. Celotehnya menghilangkan kesunyian, ada kalanya gemar berjenaka. Tatkala bertemu dengan ahli keluarga yang lain, maka Haryati sangat mesra dengan semua yang ada.

“Memang menyenangkan semua orang. Tapi di belakang, kita tak tahu…” luah Rizqullah.       

Haryati ramah orangnya, namun di sebalik itu, banyak perkara yang tidak diperlihakan kepada umum. Di sebalik kebaikannya itu, hakikatnya Haryati mengawal setiap inci suaminya itu. Ruwaidi bagaikan dirantai, dikawal setiap masa. Setiap aturan hidup keluarganya pasti perlu mengikut telunjuk Haryati. Ruwaidi hanya menurut sahaja.

“Satu hari Abang Lang jumpa abang. Dia luahkan semua pasal hal keluarga dia. Dia cerita perangai sebenar Kak Yati,” terang Rizqullah kepada Abyatina.

“Dan abang baru ceritakan semuanya pada Ina…” balas Abyatina. “Tak sangka pula macam tu perangai Kak Yati”

“Sebab tu, bila timbul isu tanah rumah ni, abang memang boleh agak siapa dalangnya. Kalau tak kerana Kak Yati, tak timbul isu tuntut tanah ni. Abang Lang orangnya suka mengalah. Tapi yang ini, tak nak mengalah. Kalau tak kena hasut, siapa lagi orangnya?” soal Rizqullah.

Perbualan Rizqullah dan Abyatina tidak berpenghujung. Hanya luahan terhadap apa yang sedang berlaku. Di kala fikiran dilanda runsing mengenang kesihatan Ustaz Man, di waktu itu jugalah mereka dilanda persoalan terhadap apa yang akan terjadi di antara Cikgu Hamdawi dan Ruwaidi.

Kisahnya berlalu hingga di satu hari, apabila Cikgu Hamdawi yang hampir sebulan berada di rumah Rizqullah membuat keputusan di pagi hari.

“Aku kena balik kampung. Kena selesaikan apa yang patut diselesaikan…” kata Cikgu Hamdawi.

Lantas di pagi itu, Cikgu Hamdawi dengan lekas terus sahaja pulang ke Manjung. Menaiki bas bersendirian, maka perjalanan itu dilihat sangat panjang. Mami Radhwa hanya menanti di rumah Rizqullah.

“Mungkin masanya dah tiba…” kata Mami Radhwa.

Cikgu Hamdawi terlebih dahulu telah meminta Ruwaidi dan anak sulungnya Marzuq untuk pulang ke kampung. Panggilan telefon dibuat sehari sebelumnya. Permintaan atas arahan, maka tempat bertemunya adalah di kampung. Soal tanah, maka panggilan itu pasti disahut dengan baik terutamanya buat Ruwaidi.

“Tapi jangan bawa isteri hangpa. Datang seorang saja balik kampung,” pesan Cikgu Hamdawi.

Pertemuan berlangsung di tengah hari. Dalam situasi serba ringkas, maka tiga beranak itu bertemu di ruang tamu rumah. Suasana di rumah pusaka itu ternyata sangat sunyi. Ketiadaan Mami Radhwa yang kini berada di Taiping jelas memberi kesan terhadap kemeriahan rumah itu.

“Bapak ke mana selama ni? Saya mai rumah ni kosong tak ada orang. Sebab tu saya mai Taiping hari tu,” kata Ruwaidi kepada Cikgu Hamdawi.

“Aku dengan mak hang tak ada kat sini pasal hang,” balas Cikgu Hamdawi dalam nada yang tegas.

Ruwaidi hanya terdiam. Ibarat mengerti bahawa semuanya berpunca dari salahnya.

Pertemuan itu adalah semata-mata untuk menyelesaikan pertikaian yang sedang berlaku. Hakikatnya, pertikaian itu hanya dicetuskan oleh Ruwaidi. Marzuq pula, tidak begitu kisah dengan soal tanah yang menjadi isu tersebut. Hanya membiarkan sahaja pertikaian itu tercetus tanpa punyai keinginan untuk menuntut hak yang sama.

“Apa yang baik untuk bapak, saya ikut saja. Bapak yang ada kuasa untuk tanah-tanah ni. Saya sebagai anak, tak akan bantah,” kata Marzuq.

“Saya harap bapak bahagi seadilnya buat kami berdua..” kata pula Ruwaidi.

Pertemuan itu menyaksikan Cikgu Hamdawi membuat kata putus terakhir. Disebabkan pertikaian yang dicetuskan Ruwaidi itu, maka tanah rumah tersebut dibahagi kepada dua. Bagi rumah dan kawasan tanah di sekitarnya, maka hak itu diberikan kepada Ruwaidi. Bagi kawasan selebihnya, tanah yang menganjur sehingga ke kawasan paya, maka hak itu diserahkan kepada Marzuq anak sulungnya itu.

“Dah cukup adil untuk hangpa berdua?” soal Cikgu Hamdawi selepas menyatakan pembahagian tanah itu. “Tapi, geran masih satu juga hangpa kena kongsi. Cuma tanah tu bapak dah bahagikan jadi dua bahagian”

“Kenapa tak ditukar saja diasingkan jadi dua nama?” soal Ruwaidi seakan masih belum berpuas hati.

“Hang nak atau tak nak? Kalau hang nak, hang jangan dok soal apa lagi. Terima saja apa yang aku dah putuskan,” balas Cikgu Hamdawi tegas.

“Kalau saya, semuanya hak bapak nak tentukan. Saya setuju saja,” balas Marzuq ringkas.

Ruwaidi hanya membisu. Penerimaan dalam keterpaksaan. Perbincangan kemudian terhenti di situ sahaja.

Dengan keputusan pembahagian tanah yang baru itu, maka secara rasminya juga rumah pusaka itu diserahkan kepada Ruwaidi. Hak pemilikan rumah itu kini telah berpindah dari Cikgu Hamdawi kepada Ruwaidi. Situasi ini ternyata mencetuskan persoalan sebaik Cikgu Hamdawi pulang ke Taiping. Keputusan yang dibuat itu diperihalkan akan perkhabarannya kepada isterinya Mami Radhwa.

“Habis tu, kita nak tinggal kat mana? Rumah tu satu-satunya harta yang kita ada…” luah Mami Radhwa.

“Umur kita pun tak panjang lagi. Makin lama makin tua. Sampai bila lagi kita nak seronok dengan harta dunia. Kita ni, tunggu masa saja nak pi…” balas Cikgu Hamdawi.

“Tapi kalau sampai serahkan rumah kita, apa lagi yang kita ada? Kita nak duduk tang mana?” soal Mami Radhwa.

“Anak-anak kita ramai. Kita tumpanglah mana-mana rumah depa…” balas Cikgu Hamdawi ringkas.

Berdasarkan persetujuan yang dicapai sewaktu perbincangan bersama Ruwaidi dan Marzuq, Cikgu Hamdawi dan Mami Radhwa akan terus menetap di rumah pusaka itu. Namun hak tanah dan rumah itu telah berpindah milik kepada anaknya Ruwaidi. Cikgu Hamdawi dan Mami Radhwa boleh menetap selama mana yang mungkin kerana hakikatnya rumah itu masih tetap menjadi hak mereka selagi mana mereka masih hidup.

“Mereka hanya akan miliki sepenuhnya bila kita dah tak ada nanti…” jelas Cikgu Hamdawi kepada isterinya. “Buat sementara tu, kita tinggal sajalah di rumah Rizqullah ni. Selesa jugak di sini…”

“Dah tanya Rizqullah?”

Maka, persoalan diajukan. Pertanyaan disuarakan. Hasrat Cikgu Hamdawi untuk menetap seketika di rumah Rizqullah dinyatakan.

“Kalau bapak selesa di sini, Riz lagi seronok. Lagipun, sunyi pula rumahnya kalau tinggal kami empat beranak saja di rumah ni,” kata Rizqullah memberi persetujuan. “Rumah Riz, rumah bapak jugak”

“Eloklah tu. Boleh mak jaga cucu hangpa bila hangpa pi kerja,” cadang Mami Radhwa.

Di saat masing-masing berada di ruang tamu itu, cadangan tersebut diluah Mami Radhwa. Lantas, Abyatina dan Rizqullah berpandangan di antara satu sama lain.

“Kami… maksud kami… bukan kami izinkan mak dengan bapak tinggal di sini sebab nak jaga anak-anak kami…” kata Rizqullah.

“Ya… mak tau. Mak pun tau hangpa berdua memang tengah dok pening pikiaq siapa nak jaga anak-anak hangpa kan?” balas Mami Radhwa. “Abyatina tak lama lagi nak kerja… kenalah pikiaq siapa nak jaga…”

“Ina tak nak susahkan mak. Tugas nak menjaga anak-anak, itu tugas kami. Tanggungjawab kami,” kata Abyatina.

“Susahnya tak ada. Kami pun dok rumah hangpa la ni. Apalah sangat tinggalkan saja anak-anak hangpa tu kat mak,” balas Mami Radhwa.

“Kalau itu yang mak kata…” bicara Rizqullah. “Kami pun tak ada masalah selagi tak menyusakan mak”

“Nak jaga bapak hang lagi susah…” seloroh Mami Radhwa.

“Aku jugak yang kena akhirnya….” kata Cikgu Hamdawi.

Maka, bermulalah kehidupan baru buat Rizqullah dan Abyatina. Rumah mereka itu turut didiami Cikgu Hamdawi dan Mami Radhwa buat seketika. Di sebalik kerisauan Abyatina, Rizqullah tampak sangat gembira. Di sebalik kegusaran anak-anaknya untuk ditinggalkan kepada ibu mertuanya, Rizqullah juga kelihatan lebih tenang.

“Mak lagi suka kalau dia yang jaga anak-anak kita. Percayalah,” pujuk Rizqullah kepada Abyatina.

Beberapa hari selepas itu, satu perkhabaran disampaikan kepada Rizqullah dan Abyatina. Di kala pelbagai masalah menduga setiap keluarganya, Absyar datang seketika ke rumah menyampaikan berita. Tasha isterinya itu telah selamat melahirkan anak sulung mereka di Hospital Taiping. Sepantas itu juga berita tersebut disampaikan kepada Rizqullah dan Abyatina.

“Lelaki ke perempuan?” soal Abyatina.

“Anak lelaki,” balas Absyar.

“Alhamdulillah. Syukurlah,” kata Rizqullah pula. “Banyak betul hero cucu-cucu Ustaz Man kita nampaknya,” sambungnya lagi.

“Mak dah tahu?” soal Abyatina kepada Absyar.

Absyar sekadar membisu sahaja. Wajahnya hanya tunduk.

“Kenapa mak tak tahu? Bukan mak pun ada di hospital sekarang ni? Kenapa tak diberitahu? Tak jauh pun wad ayah dengan wad bersalin tu,” soal Abyatina.

“Banyak benda yang orang lain tak tahu…” kata Absyar. “Ina takkan faham semuanya…”

Namun jauh di sudut hati Abyatina, dia tahu apa yang sedang berlaku. Hakikatnya abangnya itu tersepit di antara dua keadaan. Di saat abangnya itu mahu menjaga hati ibunya, di waktu itu jugalah dia perlu menjaga perasaan isterinya. Situasi telah berlanjutan begitu lama, namun keadaan seolah-olah masih terpendam.

“Abang ada masalah dengan mak?” soal Abyatina.

“Allah saja yang tahu apa yang abang rasa…” kata Absyar. “Apa pun, Kak Tasha kamu ada lagi di hospital. Kalau nak lawat, bolehlah pergi,” sambung Absyar menukar topik bicara.

“Insya-Allah. Kami akan pergi,” balas Abyatina. “Pasal mak, biarlah Ina sampaikan beritanya…”

“Terima kasih Ina…”

Absyar berlalu meninggalkan rumah mereka. Abyatina dan Rizqullah terpinga-pinga dalam kehairanan. Hakikatnya di saat itu, di kala kegembiraan terpancar di wajah Absyar tatkala mennyambut kelahiran anak sulungnya, di waktu itu jugalah wajahnya suram apabila terkenang akan Mak Cik Ros.

“Sama-sama kita doakan moga Absyar dengan mak kambali baik hubungannya,” luah Rizqullah.

Kisah-kisah itu terus muncul di fikiran Abyatina. Perjalanan beberapa bulan yang lalu ternyata penuh dengan kisah suka dukanya. Pelbagai perkara berlaku dalam tempoh sesingkat itu. Tatkala Abyatina selamat melahirkan anak keduanya, maka Abyatina dan Rizqullah berpindah ke rumah baru mereka. Tidak lama selepas itu, kedua-dua mertuanya pula datang ke rumahnya, mendedahkan pula kisah perebutan harta Cikgu Hamdawi oleh anak-anaknya. Di waktu itu jugalah, Ustaz Man dimasukkan sekali lagi ke hospital dan serentak itu juga Raiqah kakaknya selamat melahirkan anak keempatnya. Dalam situasi yang penuh dugaan, hubungan Mak Cik Ros dengan Absyar menjadi dingin, dan dalam situasi itu jugalah, Tasha isterinya Absyar selamat melahirkan anak sulung mereka.

“Apakah yang sedang berlaku? Kenapa begitu banyak dugaannya?” soal Abyatina sendirian.

Namun, barangkali dugaan baru akan tiba. Hakikatnya, hari ini adalah hari pertama Abyatina akan kembali semula ke sekolah. Tugas sebagai seorang guru akan digalas kembali. Setelah beberapa bulan bercuti, maka tibalah waktu Abyatina kembali.

“Selamat tinggal Istafa. Selamat tinggal Yaqzan. Jaga diri, jangan nakal-nakal. Dengar cakap Tok Wan,” pesan Abyatina buat kedua-dua anaknya. Hakikatnya, di awal pagi itu, hati Abyatina sangat keberatan. Sangat sukar untuk meninggalkan rumah.

“Perjalanannya jauh. Tapi, itulah cabarannya,” kata Rizqullah sebelum memulakan perjalanan.

Rizqullah akan menghantar Abyatina ke sekolah. Jaraknya ternyata jauh kerana sekolah Abyatina mengajar masih kekal sama di Manjung. Disebabkan itu, Rizqullah mengambil seminggu tempoh bercuti. Dalam tempoh itu, Rizqullah akan menghantar dan mengambil Abyatina dari sekolah.

“Tapi macam mana untuk minggu-minggu berikutnya?” soal Abyatina kepada suaminya itu.

“Moga Allah beri hidayah buat kita nanti. Moga ada penyelesaiannya. Insya-Allah…”

Maka, perjalanan pagi mereka diteruskan.




*Tamat sudah Bicara Empat Puluh Satu*

Abyatina kini kembali ke sekolah. Apakah akan ada cabaran dan dugaan seterusnya? Akan bersambung di lain bicara.

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya



Terima kasih sekali lagi buat sahabat dari UPSI, saudari Nor Farahin Che Arifin atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.

Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina