Sabtu, 9 Februari 2013

"Adina (Bicara Dua Puluh Tiga)"




“Bila sayang kamu dari aku? Bila muncul si kecil dengan bicara tangisan, kamu ungkapkan senyuman. Katamu: Inilah kurniaan terindah buatku. Maka dari aku, sayang itu kamu terima”

Abyatina membaca nota kecil yang diselitkan dalam buku notanya. Buku itu diletakkan di sisi katil. Abyatina berehat panjang di atas katil, tersenyum panjang selepas melihat nota tersebut. Satu bicara tulisan yang menenangkan jiwanya.

“Kita tak tahu apa yang akan terjadi lagi di masa akan datang. Satu demi satu cubaan, terlalu banyak dugaan...” luah ustaz Man di ruang tamu. Mak Cik Ros isterinya duduk di sebelahnya.

“Moga Abyatina diberi kekuatan...” luah ibu Abyatina.

Suasana di rumah sunyi sepi. Petang itu udara di rumah ternyata sangat berbeza. Sebuah catatan tercipta hari itu. Ustaz Man dan ibu Abyatina hanya mampu duduk sambil mengenangkan setiap perjalanan yang telah berlaku.

“Assalamualaikum,” salam diberikan di luar rumah.

Tak lama kemudian, Raiqah muncul di muka pintu. Suaminya, Bazli muncul tak lama kemudian bersama dua anak mereka. Masih kecil, umur si Nurul anak sulung mereka baru berusia 6 tahun, dan Hafiz anak kedua baru menjengah 4 tahun. Dua cucu ustaz Man itu terus berlari menghampirinya. Mak Cik Ros tersenyum menyambut cucu-cucunya.

“Selamatkah Abyatina?” soal Raiqah sebaik menyalam tangan ustaz Man dan Mak Cik Ros.

“Ada di dalam. Perlukan rehat yang panjang...” balas Mak Cik Ros.

“Dan, di mana Rizqullah?” soal Raiqah.

Tiada jawapan diberikan. Masing-masing hanya membisu.

Kisah petang itu banyak dilanda kebisuan. Namun kisah paginya berbeza keadaan. Itulah pagi yang menghadirkan Rizqullah di kampung. Kemunculan itu bukan satu kejutan. Walaupun hakikatnya Rizqullah mungkir janji tidak muncul di kampung pada hari yang sepatutnya, kehadiran Rizqullah masih tetap disambut mesra. Namun, muncul Rizqullah bermula dari panggilan yang dibuat Zabarjad.

“Abang Cik, mak cakap, masa kak Cik dah tiba. Mak panggil abang Cik balik kampung sekarang,” terang Zabarjad menerusi perbualan telefon.

Panggilan telefon itulah menghadirkan Rizqullah di kampung.

“Mengapa munculmu di kampung selepas ada yang menelefonmu? Mengapa mu tak muncul seperti yang dijanjikan pada Abyatina?” soal ustaz Man sebaik Rizqullah tiba di kampung.

“Muncul saya di sini tak sepatutnya muncul dengan berat hati. Saya tak mampu ke sini sewaktu fikiran masih lagi tertanya-tanya dengan pelbagai persoalan...” luah Rizqullah.

“Apa yang mengganggu fikiranmu Rizqullah?” soal ustaz Man.

“Apakah kisah sebenar Abyatina?” soal Rizqullah kembali.

“Mengapa begitu pertanyaanmu?” balas ustaz Man kehairanan.

Lantas kisah pertemuan Rizqullah dan Yaqzan terjelma. Peristiwa petang saat Rizqullah bertolak dari kampung  mahu pulang ke rumah muncul di fikiran. Disambut mesra Yaqzan di pertengahan jalan di tengah sawah, dan di akhirnya perbualan di antara mereka tercetus.

“Apa benar kamu sayangkan Abyatina?” soal Yaqzan.

“Soalan pelik apa yang ditanya ni? Soal sayang itu satu perkara yang jangan disangkal. Sebagai suaminya, sayang itu adalah satu kewajipan dan tanggungjawab buatnya,” balas Rizqullah.

“Jadi, kamu faham benar dan tahu dengan tiap perkara yang berlaku pada Abyatina?” soal Yaqzan.

“Jangan bermain dengan kata-kata, kalau setiap tutur itu hanya mahu menyakitkan hati yang lain,” balas Rizqullah.

“Memang nampaknya, kamu kurang mengerti...” kata Yaqzan dengan senyuman sinis.

“Kias kata-kata, ibarat satu permainan sembunyi tapi masih kelihatan. Apa sebenarnya yang kamu nak sampaikan?”

“Ada sesuatu pada Abyatina yang kamu tak tahu. Ada kisah yang tersembunyi, mungkin masih dalam rahsia...” balas Yaqzan.

“Jangan berdusta dengan kata-kata...” kata Rizqullah sedikit geram.

“Yakin benarkah Abyatina yang berbadan dua itu, dan anak yang dikandungkan itu anakmu?” soal Yaqzan tanpa berselindung lagi.

“Sungguh, memang benar, kamu adalah pendusta!” balas Rizqullah marah. “Tunjukkan saksimu kalau benar dakwaanmu!”

Yaqzan hanya tersenyum.

“Atau memang kamu tak mahu tahu kisah yang berlaku sewaktu kamu tinggalkan Abyatina di kampung? Kamu tak tahu apa di sebalik Abyatina?” soal Yaqzan.

“Apa kisahnya? Apa yang kamu tahu?” balas Rizqullah masih menahan marah.

Di akhirnya, kepulangan Rizqullah ke rumah diselubungi pelbagai persoalan. Fikiran rungsing mula melanda, dan kisah yang diceritakan Yaqzan itu telah menimbulkan tanda tanya dalam kotak hatinya.

“Apa benar itu yang terjadi pada Abyatina?” soal Rizqullah sendirian sewaktu memandu pulang ke rumah. Kisah yang diceritakan Yaqzan telah merungsingkannya.

Mungkin rungsing itulah menyebabkan Rizqullah berat hati untuk pulang ke kampung semula. Abyatina ternanti-nanti di kampung, namun Rizqullah terus terperap di rumah. Ternyata pertemuan dua nama berseteru di antara Rizqullah dan Yaqzan beri kesan besar kepada Rizqullah. Ada rahsia yang berlaku di antara mereka.

“Antara fitnah dan hakikat, dua perkara ini dibezakan dengan kehadiran saksi...” terang ustaz Man kepada Rizqullah sebaik menantunya itu duduk di kerusi. “Mu lebih pecayakan kisah orang luar berbanding kata-kata keluargmu sendiri?” soal ustaz Man.

“Bukan ragu pada keluarga, tapi bila timbul cerita, banyak persoalan yang muncul di fikiran...” balas Rizqullah. “Saya dah keliru...” luah Rizqullah.

“Tanya pada imanmu. Soal pada kata hatimu. Jangan mendengar jawapan dari kata-kata yang hanya bertunjangkan hasad dengki dan fitnah semata-mata,” balas ustaz Man.

“Apa sebenarnya perkara yang merungsinkanmu...” soal ibu Abyatina mencelah.

Rizqullah hanya membisu. Lidahnya kelu. Berat mahu berbicara.

“Bagaimana Abyatina?” soal Rizqullah menukar topik bicara. “Sudah tibakah masanya?”

Ibu Abyatina membisu seketika.

“Sama-sama kita sabar, moga masanya akan tiba. Abyatina sedang menunggu masanya...” balas ibu Abyatina.

Beberapa jam sebelum itu, situasi kelam kabut di pagi Jumaat ternyata mencetuskan situasi panik di rumah. Saat Mak Cik Ros melihat linangan air di lantai yang turun dari kaki Abyatina, maka tahulah dirinya bahawa masa anaknya itu telah hampir tiba. Mungkin kerana itulah, Mak Cik Ros menjadi agak kelam kabut pagi itu.

Perkara pertama yang dilakukan ibu Abyatina adalah dengan meminta Zabarjad menelefon Rizqullah untuk pulang ke kampung dengan segera. Usaha itu ternyata bukan senang buat Zabarjad, kerana beberapa percubaan mendail hanya diiringi dengan kegagalan. Rizqullah mungkin tiada di rumah.

Tak lama kemudian, ustaz Man dimaklumkan mengenai keadaan yang sedang berlaku pada Abyatina. Lantas, makluman itu memulakan langkah ustaz Man untuk melakukan persiapan. Ustaz Man menuju ke masjid meminta bantuan orang kampung di sana.

Namun, saat itu jugalah ibu Abyatina terkejut. Abyatina tiba-tiba rebah dan pengsan. Mulutnya berdarah, dan darah itu terus mengalir keluar tanpa henti. Suasana lebih panik terjadi. Lantas ustaz Man yang baru beberapa langkah bergerak untuk turun ke tangga dipanggil.

“Abyatina pengsan!” bicara ibu Abyatina.

Pegangan tongkat terlepas dari tangan ustaz Man. Kejutan diterima. Ustaz Man rebah di atas lantai. Kakinya tidak cukup kuat untuk berdiri. Sepantas itu Mak Cik Ros mendapatkan ustaz Man. Dibantu suaminya itu untuk bangun semula. Perlahan-lahan, ustaz Man bangun sebelum tongkat dihulurkan kepadanya.

“Apakah sakitnya dulu muncul kembali?” soal ustaz Man masih terkejut.

Pagi itu, hanya Zabarjad sahaja yang berada di rumah. Maka, dengan kudrat yang ada, Abyatina diangkat dan diletakkan di atas katil. Keadaan pengsan Abyatina beterusan, namun darah yang keluar tanpa henti dari mulut Abyatina mula kelihatan semakin berkurangan. Lantas ustaz Man duduk di sisi katil. Naskah yang mengandungi surah Yassin dipegangnya. Tak lama kemudian, bacaan Yassin dimulakannya. Moga ada berkatnya, berikan kekuatan pada Abyatina untuk pulih kembali.

“Apa yang perlu kita buat? Masa Abyatina semakin dekat, dan Abyatina kini tak sedarkan diri...” soal Mak Cik Ros dalam resah.

“Tiap-tiap yang berlaku ada hikmahnya. Insya-Allah, pasti akan ada jalannya. Sama-sama kita usaha, moga Abyatina sedar, dan moga semuanya selamat di hujungnya...” balas ustaz Man tenang.

Tak lama selepas itu, kedengaran salam diberikan di halaman rumah. Lantas ibu Abyatina bergegas keluar menuju ke beranda rumah. Kejutan diterima lagi.

“Ustaz...”

Kelibat ustaz Khumaini sahabat lama ustaz Man muncul di halaman rumah. Ibu Abyatina ternyata terkejut kerana sahabat kepada suaminya itu telah lama tidak muncul di rumahnya. Gara-gara perseteruan yang terjadi, maka hubungan persahabatan di antara ustaz Man dan ustaz Khumaini menjadi retak. Kali terakhir ustaz Khumaini muncul adalah sewaktu majlis perkahwinan Abyatina beberapa tahun yang lalu.

“Khabarnya si Abyatina dah nak bersalin. Benarkah?” soal ustaz Khumaini yang masih lagi berada di halaman rumah.

“Masuklah dulu..” balas ibu Abyatina.

Mendengar tetamu yang hadir, maka perlahan-lahan ustaz Man bangun. Dengan penuh berhati-hati, dibantu tongkat yang dipegangnya, maka langkah diatur untuk keluar dari bilik. Abyatina dibiarkan berehat di atas katil.

“Dari mana taunya berita si Abyatina?” soal ibu Abyatina hairan sebaik ustaz Khumaini naik ke rumah.

“Zabarjad yang datang ke rumah tadi, beri khabar...” balas ustaz Khumaini.

“Duduk dulu ya. Nak ke dapur buatkan air...”

“Tak perlu disusahkan dengan airnya. Bukan aku yang patut jadi tumpuan. Si Abyatina yang perlu diberi perhatian...” balas ustaz Khumaini.

Langkah ibu Abyatina untuk ke dapur terhenti. Pada waktu itu jugalah, ustaz Man keluar dari bilik. Lantas matanya terlihat kelibat ustaz Khumaini, sahabat lamanya di ruang tamu. Kejutan diterimanya. Ustaz Man tidak menduga kehadiran sahabatnya itu.

“Khumaini... sudah lama tak bertemu...” bicara ustaz Man memberi senyuman.

Lantas, ustaz Khumaini bangun dan menghampiri ustaz Man. Dipimpin ustaz Man berjalan menuju ke ruang tamu. Sebaik masing-masing duduk maka perbualan bersambung kembali.

“Maafkan aku Man...” luah ustaz Khumaini. “Amarah aku panjangnya sampai hampir terputus persahabatan kita,” katanya lagi.

“Alhamdulillah kalau marahmu itu dah padam. Tapi, dari dulu lagi, mu tak ada salah dengan aku pun. Aku faham, semua yang berlaku itu adalah satu ujian...” balas ustaz Man.

“Hanya kerana Yaqzan, maka aku lupa jasa baikmu...”

“Tapi mu tegakkan keadilan buat anakmu Yaqzan. Itu semulia-mulia tindakan dari seorang ayah. Pembela kebahagiaan anaknya...” balas ustaz Man.

“Niatnya betul, tapi langkahnya salah...” kata ustaz Khumaini. “Maafkan aku Man...”

“Lupakan saja kisah dulu...” balas ustaz Man tenang.

Suasana senyap seketika. Masing-masing membisu.

“Oh ya, terlupa pula dengan niat utamanya. Ini air selusuh buat si Abyatina...” terang ustaz Khumaini menyerahkan botol berisi air kepada ustaz Man. “Moga dipermudahkan urusannya nanti. Insya-Allah”

“Allahu Rabbi... Lupa pula nak buat air selusuh buat Abyatina...” bicara ustaz Man sedikit menggelengkan kepala. “Mujur mu buatkan”

“Sebaiknya Rizqullah yang buatkan. Tapi sampai sekarang, munculnya masih belum lagi...” celah ibu Abyatina.

“Jadi bila dijangka masanya?” soal ustaz Khumaini.

“Wallahualam. Tak tahu lagi. Masih menunggu jururawat desa datang. Mungkin hari ini, atau mungkin belum lagi,” balas ibu Abyatina.

Zabarjad muncul di ruang tamu. Baru sahaja pulang dari klinik desa selepas memanggil jururawat di sana. Keletihan jelas terpancar di wajahnya. Namun salam dihulurkan buat ustaz Khumaini, tetamu yang hadir di rumah itu.

“Kejap lagi, akan sampai...” jelas Zabarjad kepada Mak Cik Ros.

Abyatina sedar  dari pengsan tidak lama selepas itu sebelum sampainya jururawat ke rumah itu. Keletihan dan kelesuan terpancar di wajah Abyatina. Dalam kekeliruan, Abyatina hanya membisu. Tiada bicara soalan diajukan Abyatina bagi merungkai perkara yang menimpa dirinya.

“Abyatina, siap sedia dirimu. Mungkin hari ini adalah harinya...” bicara ibu Abyatina saat Abyatina sedar dari pengsan.

“Untuk apa?” soal Abyatina hairan.

“Detikmu menjadi seorang ibu akan tiba tak lama lagi...” balas ibu Abyatina tersenyum.

Ustaz Khumaini pulang tak lama kemudian dan pada waktu itu jugalah Rizqullah tiba di kampung.  Maka itulah permulaan sebelum tercetusnya perbualan serius di antara ustaz Man dan Rizqullah.

“Apa kamu tak yakin itu nanti anakmu?” soal ustaz Man.

“Bukan yakin soalnya. Tapi keliru...” luah Rizqullah.

“Abyatina dugaan banyak. Dari dulu sampai sekarang, satu demi satu cubaan datang. Tiap-tiap kesusahan Abyatina terpaksa harungi. Jangan tambahkan lagi kekusatan Abyatina,” kata ustaz Man.

“Tapi, kepastian apakah yang perlu saya cari, supaya yakin itu wujud dalam diri?”

“Kalau dulu saya pernah bagi jaminan Abyatina sebaik-baik wanita, mengapa tidak kini untuk kali yang kedua,” balas ustaz Man. “Sebaik-baik wanita, tidak sama sekali akan memungkiri janji terhadap suaminya...”

Rizqullah tertunduk. Bicara ustaz Man ada benarannya. Lantas fikirannya kembali terhadap persoalan yang timbul.

“Apakah Yaqzan menabur fitnah?” bisik Rizqullah dalam hatinya.

Kisah pertemuan di antara Rizqullah dan Yaqzan menghasilkan cerita versi yang tak pernah kedengaran. Satu persatu kisah diceritakan Yaqzan, dan semuanya berkaitan dengan Abyatina. Walaupun pada awalnya Rizqullah berat hati untuk mendengar bicara Yaqzan, namun tatkala nama Abyatina disebut, maka digagahkan diri untuk didengarnya juga.

“Mu selalu hantar Abyatina ke kampung, tapi mu tahu apa yang terjadi pada Abyatina bila dia di sini?” soal Yaqzan.

“Itu bukan perkara yang menjadi persoalan. Abyatina isteriku, dan tiap-tiap perkara yang berlaku padanya adalah tanggungjawabku. Kenapa harus kamu sibukkan?” balas Rizqullah.

“Aku sibukkan kalau perkara itu dalam pengetahuan Abyatina, tapi mu tak tahu langsung apa yang berlaku padanya...” bicara Yaqzan.

“Apa yang terjadi pada Abyatina?”

Kisah bermula takala Rizqullah meninggalkan Abyatina di kampung. Waktu itu Rizqullah terpaksa ke Pulau Pinang untuk berkursus. Kisah itu terjadi sembilan bulan yang lalu. Waktu itu senja hampir menjelma, dan Abyatina berjalan berseorangan di kawasan ladang getah, baru sahaja pulang dari rumah sahabat lamanya. Ternyata kesunyian melanda saat Abyatina mengatur langkah untuk pulang ke rumah. Memang jelas di wajah Abyatina, kerisauan melandanya. Ketakutan terjelma, kerana di kawasan ladang getah itu jugalah, Abyatina hampir kehilangan kehormatannya. Kisah hampir diperkosa masih segar di ingatan, kisah yang terjadi sebelum Abyatina berkahwin dengan Rizqullah.

“Dan aku juga lalu di kawasan yang sama di ladang getah itu. Pada waktu itulah Abyatina berlari ketakutan...” terang Yaqzan kepada Rizqullah.

Kisah senja itu, Abyatina dikepung sekumpulan lelaki. Ada yang dikenali dan ada yang asing buatnya. Sepantas itu jugalah, Abyatina ditangkap lalu diseret ke dalam semak.  Peristiwa yang pernah terjadi satu masa dulu berlaku sekali lagi. Abyatina cuba diratah oleh lelaki-lelaki itu. Jeritan Abyatina kedengaran namun tak lama. Mulutnya ditutup dengan kemas oleh salah seorang lelaki tersebut.

Kisah berikutnya, Abyatina berlari ketakutan. Dalam situasi yang cukup panik, Abyatina tidak sedar Yaqzan yang berselisih dengannya. Abyatina berlari sepantas yang mungkin. Tatkala itu lelaki-lelaki durjana itu keluar dari semak dan bertembung dengan Yaqzan. Lantas mereka mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan.

“Kalau tersebar kisah yang berlaku pada Abyatina pada petang ini, mu akan bercerai nyawa dari badan,” ugut seorang lelaki sambil mengacukan pisau ke leher Yaqzan. Ternyata kejutan dalam ketakutan dialami Yaqzan. Hanya mampu membisu dalam kegentaran.

“Kecantikannya penuh nikmat. Ibarat daging segar, tiada cacat celanya...” bicara seorang lelaki lagi dalam senyuman.

“Ah, merasai tubuhnya sahaja bagaikan syurga dan bidadari...” kata lelaki yang lain pula.

Maka, Yaqzan dilanda kejutan. Barulah faham, Abyatina telah dilanda malang pada petang itu. Peristiwa di semak itu menjadi rahsia Yaqzan dalam tempoh yang cukup lama. Tidak diceritakan kepada sesiapapun. Namun, segalanya berubah tatkala kisah itu diceritakan pada Rizqullah.

“Dan tak lama selepas itu, Abyatina hamil. Apakah itu satu kebetulan, atau memang berpunca dari kejadian petang itu?” soal Yaqzan.

Rizqullah membisu. Terdiam dalam kejutan , cuba menerima kisah yang disampaikan Yaqzan. Rizqullah ternyata masih belum dapat menerima kebenaran kisah itu.

“Dan kamu yakin itu semua memang terjadi petang itu?” soal Rizqullah. “Kamu yakin Abyatina menjadi mangsa petang itu?”

“Yakin saya terletak pada logik akalnya. Peritiwa petang itu memang terjadi...” balas Yaqzan.

Rizqullah pulang selepas itu diselubungi persoalan yang besar di fikirannya. Perkhabaran Yaqzan sangat sukar untuk diterimanya. Berhari-hari Rizqullah hanya termenung panjang, memikirkan persoalan yang bermain itu. Mungkin itulah sebab Rizqullah tidak kunjung tiba di kampung seperti yang telah dijanjikannya kepada Abyatina.

“Jadi kamu percaya cerita si Yaqzan itu?” soal ustaz Man menghentikan lamunan Rizqullah.

“Saya tak tau apa yang perlu saya lakukan...”

Hakikatnya Rizqullah sedar, sembilan bulan yang lalu, Abyatina berkelakuan agak pelik selepas pulang dari kampung. Abyatina lebih banyak membisu dan bersendirian, tidak seceria sebelumnya.

“Apakah muram Abyatina ada kaitan dengan apa yang Yaqzan ceritakan?” bisik hati Rizqullah. “Apakah benar Abyatina diperkosa?” bisiknya lagi.

“Walau apa pun yang kamu dengar dari Yaqzan, semuanya hanya dusta belaka. Kalau benar kata-kata Yaqzan, maka seharusnya dia punyai saksi untuk buktikannya...” bicara ustaz Man.

Rizqullah membisu. Ada benarnya bicara ustaz Man. Namun hakikatnya, persoalan yang timbul itu cukup besar hingga sukar ditepis sebaiknya. Rizqullah dengan tenang bangun , lantas masuk ke bilik. Abyatina dicarinya. Saat masuk ke bilik, kelihatan Abyatina lemah, sedang berbaring di atas katil. Namun, kuntuman senyuman masih tetap diberikan Abyatina saat melihat Rizqullah muncul di hadapannya.

Lantas Rizqullah terus memberikan helaian kertas kepada Abyatina. Helaian itu terkandung baris-baris ayat nukilan Rizqullah. Mungkin terdapat sesuatu yang cuba diluahkan Rizqullah buat Abyatina.

"Sujudku dan sujudmu hanyalah kepada yang Maha Esa. Cintaku dan cintamu hanyalah teragung buat Maha Pencipta"

Abyatina tersenyum saat membaca baris ayat itu.

“Abang, apa sahaja yang berlaku adalah hikmah supaya Ina terus setia pada abang. Apa saja yang dah terjadi, bukanlah kesilapan Ina, tapi satu suratan yang tak dapat dielakkan lagi...” bicara Abyatina.

“Ina, moga selamat semuanya. Insya-Allah...” luah Rizqullah.

Rizqullah tidak sampai hati untuk mencari kisah sebenar yang berlaku. Cerita yang disampaikan Yaqzan itu hanya disimpan, tidak dinyatakan kepada Abyatina. Memang benar, andai diceritakan pada Abyatina, kisah sebenar mungkin akan diketahui, namun untuk detik itu, Rizqullah merasakan masanya kurang sesuai.

Rehat Abyatina berpanjangan. Setelah dimaklumkan dengan jelas keadaan yang telah berlaku pada Abyatina, maka Rizqullah memutuskan untuk membawa Abyatina ke hospital pada petangnya, selepas selesai solat Jumaat. Perancangan itu diatur oleh ibu Abyatina sendiri. Maka, sehingga tiba masanya, Abyatina terus berehat sepenuhnya.

Waktu rehat itu dihabiskan sebaiknya buat Abyatina dengan menukilkan sesuatu dalam buku notanya. Buku yang terangkum pelbagai luahan hati, menyimpan pelbagai kenangan pahit dan manis. Lantas pena diambil, dan luahan pendek di atas kertas berlaku.

"Cinta yang ikhlas adalah apabila seseorang itu sanggup mengorbankan cintanya demi kebahagiaan orang yang disayangi itu. Pengorbanan itu mungkin pedih, namun mungkin berbaloi. Sesungguhnya bahagia itu adalah hak mutlak dari-Nya. Manusia hanya mampu merancang, hakikatnya perancangan dari-Nya yang akan menentukan perjalanan seterusnya"

Pena diletakkan. Waktu tengah hari telah pun tiba, dan solat Jumaat bakal menjelma. Tanpa diduga, Abyatina tiba-tiba merasai kesakitan di perutnya. Sakit itu bertambah-tambah ibarat tiada penghujungnya. Lantas ibu Abyatina bergegas memanggil Zabarjad. Ibu Abyatina tahu masanya telah tiba.

“Jad, panggilkan bidan di klinik sekarang!” arah Mak Cik Ros kepada Zabarjad.

Kesakitan yang dialami Abyatina tidak dapat digambarkan. Itulah pertama kalinya Abyatina merasai detik sebegitu, sebagai bakal ibu. Saat itu, Rizqullah tiada di rumah. Bersama-sama ustaz Man mereka kini di masjid bagi menunaikan fardhu Jumaat. Mujur Zabarjad masih belum ke masjid, dapat juga bergegas sebentar memanggil bidan kampung.

“Jangan dikhabarkan pada abang Cik kamu. Jangan biarkan dia resah dalam solat Jumaat,” pesan Mak Cik Ros sebelum Zabarjad pergi ke masjid.

Maka tercatatlah detik penting buat Abyatina tengah hari itu. Setelah melalui detik-detik yang mencemaskan, merasai kesakitan yang tak tergambar, maka sewaktu khutbah Jumaat masih lagi kedengaran di masjid, Abyatina merasai satu pengalaman yang tak dapat dilupakannya. Detik itulah yang mengubah dirinya menjadi seorang wanita bergelar ibu.

“Alhamdulillah....” luah ibu Abyatina melahirkan rasa syukur.

Senyuman tergambar di wajah Abyatina. Walaupun keletihan, Abyatina merasai satu nikmat tak tergambar. Saat mendengar tangisan bayi, maka setiap perit dan kepayahan yang terpaksa dilaluinya ketika itu bagai hilang serta merta. Abyatina seperti berada dalam alam khayalan, tidak percaya bahawa dirinya telah selamat melahirkan anaknya. Abyatina seakan-akan tidak percaya, bahawa dirinya kini bergelar seorang ibu.

Rizqullah ternyata sangat terkejut sebaik pulang dari masjid. Apabila dikhabarkan bahawa Abyatina telah selamat melahirkan anak, maka serta merta Rizqullah terduduk. Kejutan itu bukan kepalang, satu berita yang tak disangka, terkejut dalam gembira. Segala persoalan yang sebelum ini bermain di fikirannya hilang begitu sahaja. Lantas Rizqullah bergegas masuk ke bilik. Rizqullah disambut dengan senyuman manis dari Abyatina.

“Hadiah untuk abang...” bicara Abyatina sambil memangku bayi kecil yang nyenyak tidur itu.

“Allahuakhbar....” Rizqullah sebak. Gembira tidak dapat dibendungnya lagi.

“Alhamdulillah....” lafaz syukur diucapkan Abyatina.

Lantas, Abyatina menghulurkan bayi itu kepada Rizqullah. Disambut Rizqullah dengan penuh kesyukuran. Kini bayi itu berada di pangkuan Rizqullah. Lantas dengan tenang, Rizqullah menuju ke penjuru bilik. Maka tak lama kemudian, telinga kanan bayi itu diazankan Rizqullah. Suasana sayu dalam kesyukuran dirasai ketika itu. Abyatina menitiskan air mata.

Sejurus selesai azan di telinga kanan, lafaz iqamah dibisikkan pula ke telinga kiri bayi itu. Setiap baris ayat dilafazkan Rizqullah dengan penuh sempurna. Saat ini, tidak dapat dibayangkan perasaan yang menyelubungi hatinya. Gembira yang dirasakan seperti berada di awangan, terbang bebas dan penuh ketenangan.

“Tengok tu, mukanya tak tumpah macam si ayahnya...” bicara ustaz Man yang tiba-tiba masuk ke bilik itu.

“Yalah. Hidungnya tu memang sama. Mancung macam ayahnya...” bicara Rizqullah.

Pada masa yang sama, Raiqah yang baru sahaja sampai turut masuk ke bilik. Lantas diambil bayi itu dari pegangan Rizqullah. Senyuman gembira tergambar di wajah Raiqah, kakak Abyatina.

“Ya Allah... comelnya... Muka macam ayahnya. Hidung ikut ayah, mata ikut mak. Sepet saja...” bicara Raiqah sebaik melihat bayi itu.

Maka Rizqullah di akhirnya menemui jawapan terhadap persoalan yang telah tercetus begitu lama. Tahulah Rizqullah bahawa bayi itu ternyata anaknya. Setiap tuduhan dari Yaqzan itu ternyata tidak benar.

“Apa sebenarnya yang terjadi pada Abyatina petang itu?” bisik Rizqullah dalam hatinya. Kehairanan dan persoalan lain tercetus.

“Jadi,  apa namanya?” soal Raiqah menghentikan lamunan panjang Rziqullah.

“Nama?” soal Rizqullah hairan. Mungkin lamunan panjangnya menyebabkan fikirannya melayang.

“Atau memang tak bernama bayi comel ni?” soal Raiqah dalam gurauan.

“Abyatina ada cadangan?” soal Rizqullah kepada Abyatina.

Abyatina hanya tersenyum.

“Terserah pada abang...” balas Abyatina.

“Tapi.... bayi ni lelaki ke perempuan?” soal Rizqullah tiba-tiba.

Soalan itu ternyata mencetuskan kelucuan seisi keluarga. Tidak disangka Rizqullah masih belum tahu jantina bayi itu.

“Lah.... kenapa tak ditanya awal-awal dulu?...” bicara ibu Abyatina sedikit ketawa.

“Abang ni....” Abyatina ketawa kecil.

Rizqullah hanya tersengih menahan kelucuan yang diciptanya.

“Namanya itu perlulah diletakkan ‘bin Rizqullah’...” bicara ustaz Man.

Lantas Rizqullah menghampiri tingkap. Sawah padi yang terbentang luas sejauh mata memandang memberikan kesegaran buat Rizqullah. Mungkin sedang memikirkan sesuatu, Rizqullah agak lama melihat pemandangan di luar jendela itu. Tak lama kemudian kemudian Rziqullah bersuara.

“Namakan saja Yaqzan....” bicara Rizqullah. “Yaqzan bin Rizqullah.... Muhammad Yaqzan bin Rizqullah...” bicara Rizqullah.

Semua yang ada di bilik terkejut. Cadangan nama yang diberi Rizqullah itu di luar dugaan.

“Yaqzan si alien?” soal Abyatina spontan. “Tapi kenapa namanya?”

Rizqullah hanya tersenyum. Tiada siapa yang tahu sebab Rizqullah mencadangkan nama itu. Masing-masing tertanya-tanya pada petang itu.

“Nak Rafiq pukul kompang ke?” soal Rafiqin yang tiba-tiba muncul di bilik itu. Tangannya memegang kompang.

“Kompang lagi?” soal Raiqah ketawa kecil.




*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Tiga*


Abyatina kini seorang ibu. Apakah bahagia akan tercipta?



**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 



 *Terima kasih kepada saudari Thahirah Kamarulail atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.







Siri Adina ke-23 ini didedikasikan khas kepada Thahirah Kamarulail. 

Siri ini juga adalah sebagai mengenang dan menghargai pengorbanan mak, Azmah binti Yunus yang gigih menjadi seorang ibu selama hampir 24 tahun.




 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina






Ahad, 3 Februari 2013

Tasha dan Fahmi: Sebuah kisah pertemuan jodoh.






Kisah ini adalah perkongsian yang diceritakan oleh seorang sahabat. Kisahnya hanyalah sekadar satu cebisan rasa bahagia yang diceritakan sendiri olehnya. Kisah antara Fahmi Zahid dan Tasha Rozana.

Kisahnya bermula begini; tatkala Fahmi santai meluangkan masa petang melakukan pembacaan, kedengaran deringan telefon yang berbunyi. Ibunya menjawab panggilan tersebut. Tak lama selepas itu, Fahmi dipanggil ibunya. Panggilan telefon buat dirinya, sesuatu yang jarang buat Fahmi. Lantas Fahmi mengambil gagang telefon itu.

“Hello...” Fahmi bersuara.

“Abang Fahmi ke tu?”

“Ya... siapa ni?” Fahmi membalas.

“Assalamualaikum abang. Ni Tasha...” balas suara itu.

“Oh, Tasha....”

Fahmi bagaikan disentak. Kejutan dirasakan. Tidak terlintas di fikirannya Tasha Rozana akan menelefonnya, apatah lagi menelefon rumahnya. Kehairanan melanda, tatkala memikirkan bagaimana Tasha mendapat nombor telefon rumahnya. Mungkin Tasha masih menyimpan nombor telefon itu yang diberikan Fahmi sewaktu mereka bersekolah dahulu. Itulah konklusi yang dibuat Fahmi.

“Abang sihat?” soal Tasha.

“Alhamdulillah. Sihat saja. Tak ada masalah lagi...” balas Fahmi. Senyuman menguntum di wajahnya. Mungkin rasa gembira terbit di hati.

“Minta maaflah telefon tiba-tiba ni...”

“Eh, tak apa...”

Fahmi memang merasa janggal saat berbual dengan Tasha. Hakikatnya, itu adalah kali pertama Fahmi mendengar suara Tasha setelah sekian lama tidak berjumpa. Kali terakhir Fahmi bertemu Tasha adalah lima tahun yang lalu. Tempohnya cukup lama.

“Abang sekarang macam mana? Study lagi kan?” soal Tasha.

“Ya, masih belajar lagi. Tak lama dah pun. Tahun depan habis. Insya-Allah, lepas tu dah kerja,” balas Fahmi.

“Oh, tak lama dah tu...” balas Tasha.

“Tulah... kejap je masa...”

“Umur makin meningkat kan... Semua pun berubah...”

Tatkala itu, perbualan tiba-tiba terhenti. Masing-masing membisu. Lama juga kebisuan itu melanda, namun masing-masing masih lagi setia di ganggang telefon.

“Abang bila nak kahwin?” soalan itu tiba-tiba diajukan Tasha.

“Kahwin?” Fahmi ketawa kecil. “Jauh lagi nak difikirkan. Abang tak fikir lagi pasal tu. Yalah, calon pun tak ada lagi...” balas Fahmi. “Susah nak cari...”

“Alah, kalau tak ada usaha, macam mana nak jumpa kan?..”

“Mungkin belum masanya lagi...”

“Oh gitu....” balas Tasha mungkin tersenyum. Bicaranya terdiam seketika. Beberapa ketika mengambil nafas beberapa kali sebelum menyambung bicaranya. “Abang anggap Tasha ni macam mana?” soal Tasha tiba-tiba.

Fahmi terkejut dengan pertanyaan itu. Dirasakan bagai satu soalan perangkap buat dirinya. Kisah tiga tahun lalu muncul kembali di fikirannya. Sebuah kisah yang terakam sebagai satu titik perubahan dirinya.

"Apa yang pernah abang bagitau Tasha dulu, itulah juga yang abang rasa sampai sekarang. Tak pernah berubah"

Itulah dialog yang paling berat diungkapkan Fahmi. Tatkala menyatakan perkara tersebut, Tasha pula bersuara tak lama selepas itu.

"Sebenarnya, Tasha pun ikhlas sudi terima abang"

Itulah dialog paling indah yang pernah didengar. Hanya Allah yang tahu fikiran pada waktu itu. Fahmi bagaikan tak pecaya dengan kata-kata yang dijelmakan Tasha itu.

Lantas fikiran Fahmi terkenang kembali peristiwa tiga tahun yang lalu. Fahmi terkenangkan kembali saat dirinya meluahkan hasrat hatinya kepada Tasha. Luahan itu ternyata cukup besar, kerana itulah pernyataan yang dinyatakan kepada Tasha menerusi baris-baris ayat menerusi kiriman e-mel menyatakan bahawa Fahmi mahu menjadikan Tasha sebagai isterinya yang sah. Fahmi ketika itu baru berusia 21 tahun, dan Tasha baru sahaja 20 tahun.

Benar, Fahmi meluahkan hasrat murninya itu kepada Tasha. Namun, Tasha menolaknya dengan baik. Kata Tasha, umurnya masih muda, dan masih terlalu awal untuk memikirkan perkara itu. Kata Tasha menerusi balasan e-melnya: “Tasha tak fikir lagi soal itu. Kalau kita ada jodoh, insya-Allah tak ke mana. Lagipun sekarang ni Tasha ada seseorang”

Waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa pedihnya rasa di hati Fahmi. Walaupun Tasha menolak dengan baik, pedihnya masih tetap dirasai. Namun, Fahmi bersyukur, setidak-tidaknya dia telah menyatakan hasrat tersebut kepada Tasha. Setidak-tidaknya Tasha tahu apa yang dirasakannya.

Itu kisah tiga tahun yang lalu. Kini, Tasha muncul kembali, tiba-tiba menelefonnya di rumah.

“Apakah benar yang ku dengar ini? Apakah benar Tasha menyebut; dia menerima aku?” bisikan hati Fahmi muncul tiba-tiba.

“Abang tak pernah lupa Tasha. Tiap-tiap kali solat, abang tak pernah jemu mintak pada Allah, moga-moga satu hari nanti hasrat abang tu tercapai. Abang harap, satu hari nanti Tasha jadi isteri abang...” luah Fahmi kepada Tasha.

Tasha hanya membisu. Hanya bunyi nafasnya kedengaran. Mungkin dilanda kekeluan bicara.

“Tak pernah putus asa, walaupun mungkin nampak dah macam mustahil, tapi abang tak pernah lupa nak berdoa...” kata Fahmi lagi.

Tasha terus mendengar luahan Fahmi. Setia dalam kebisuan.

“Memang abang ikhlas sangat dengan Tasha. Mungkin sebab tu perasaan abang kat Tasha tak pernah berubah... Abang tak dapat nak elak,” kata Fahmi.

“Abang...” Tasha bersuara. “Tu semua benda yang dah berlalu. Sekarang semua dah berubah. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Lupakan semua tu, pandang ke depan. Tak kisahlah apa pun yang berlaku dulu, sekarang ni semuanya dah tertulis...” luah Tasha.

“Abang cuma terfikir... banyak rintangan dulu. Memang sampai satu tahap, abang tak fikir hasrat tu akan tercapai,” luah Fahmi. “Tapi entahlah, bila abang cuba nak lupakan Tasha, waktu itu jugalah tiba-tiba hati abang lagi kuat pada Tasha. Bila abang fikir pasal Tasha, waktu itu pula abang cuba nak lupakan Tasha, sebab abang sedar tak ada jalan untuk abang capai hasrat abang tu...”

“Abang... tak kisahlah apa yang berlaku dulu, abang fikirkan tentang sekarang. Jangan ingat perkara dulu,” balas Tasha.

“Insya-Allah...”

“Oh, ya... nanti boleh Tasha bercakap lagi dengan abang?” bicara Tasha sedikit ceria.

“Insya-Allah, boleh saja...”

“Abang tunggu dalam pukul 9 malam ni ya,” kata Tasha.

“Oh, boleh. Tak ada masalah”

“Malam ni kita cakap lagi ya...” kata Tasha.

“Tapi... siapa yang nak telefon. Abang ke... atau Tasha?” soal Fahmi.

“Tak pe. Tasha telefon nanti ya. Abang tunggu saja”

“Ok..”

“Oklah ya. Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam...”

Gagang telefon diletakkan. Tiada bicara terjelma. Fahmi hanya mampu tersenyum mungkin tidak percaya. Fahmi merasakan dirinya ibarat di alam mimpi. Merasakan apa yang baru sahaja terjadi itu adalah satu angan-angan di dalam mimpi. Tasha yang dah lama tak ketemu tiba-tiba menelefonnya.

Fahmi keluar dari rumah, berjalan-jalan di sekitar halaman rumah. Petang itu langit cerah, memaparkan keindahan langit yang membiru. Hatinya dilanda satu kejutan yang mewujudkan nilai gembira yang tak terhingga. Segalanya telah terjawab. Kata-kata Tasha terngiang-ngiang kembali di telinganya.

“Sebenarnya, Tasha pun ikhlas sudi terima abang"

Kata itu cukup bermakna dan Fahmi ternyata bagaikan tidak percaya bahawa bicara itu diungkapkan Tasha sendiri. Bicara ringkas itu memberi seribu pengertian, menjawab setiap persoalan yang telah melanda dalam diri Fahmi sejak tiga tahun yang lalu.

“Rupa-rupanya, Tasha dah terima aku tiga tahun yang lalu. Rupa-rupanya penolakannya itu sebenarnya satu penerimaan. Rupa-rupanya Tasha hanya sekadar beri alasan kononnya telah dimiliki seseorang, walhal Tasha dalam diam menerima aku....” bisik Fahmi. “Ya Allah... syukur....”

Kelegaan jelas tergambar di wajah Fahmi. Bahagia mula tercipta. Persoalan mengenai perasaan Tasha terhadapnya tidak lagi wujud di fikirannya. Semua persoalan yang pernah wujud, yang pernah memberi satu tekanan emosi yang cukup besar dalam dirinya telah hilang sekelip mata.

Fahmi mendongak ke langit. Lantas muncullah bayangan-bayangan indah masa depannya. Itulah bayangan hidup dirinya bersama Tasha.

“Alhamdulillah...”

Malam itu, selepas Isyak, Fahmi setia duduk berhampiran telefon. Menanti satu panggilan dari Tasha seperti yang telah dijanjikan Tasha. Tidak dapat digambar perasaan gembira yang wujud dalam diri Fahmi. Permulaan bahagia sedang bermula, dan tak lama kemudian telefon berdering.

“Assalamualaikum abang. Tasha ni...”

“Waalaikumussalam...”

Maka perbualan tercipta. Hubungan akhirnya terbina. Impian Fahmi akhirnya terjelma. Tasha dan Fahmi akan menjadi dua insan berkongsi dunia.

Kisah sahabat bernama Fahmi ini adalah sebuah kisah penantian panjang seorang lelaki yang mengharap hasrat hatinya dibalas oleh seorang wanita. Penantian bertahun-tahun itu ternyata sangat menyeksakan, namun penyeksaan itu mungkin berbaloi kerana Fahmi kini merasai nikmat bahagia. Berkat sabar dan doa, akhirnya Allah memakbulkannya.

Tahniah buat Tasha dan Fahmi.






Sabtu, 2 Februari 2013

"Adina (Bicara Dua Puluh Dua)"




“Buktikan fitnahmu itu!”

Hadirin dalam majlis terkejut. Tasha muncul tiba-tiba. Gadis yang bakal ditunangkan dengan Absyar itu keluar dari bilik sebaik mendengar kekecohan yang terjadi di luar. Lengkap berpakaian kurung putih, Tasha menghamburkan kata-kata tersebut kepada Yaqzan yang berdiri di muka pintu.

“Di mana saksimu untuk buktikan dakwaanmu?” soal Tasha. “Di mana kewarasanmu andai kamu tahu hukum Islam yang sebenar? Jangan jadi si buta yang bertongkat, tapi tongkatnya diangkat ke langit, sombong dan bongkak hingga tak sedar langkah yang diatur itu dalam kegelapan”

“Dalam soal sebegini, seharusnya perlu ada bukti yang sahih. Sehingga tiada bukti, maka dakwaan itu semata-mata satu tuduhan,” kata ustaz Man tiba-tiba. Hadirin tertumpu padanya. Walaupun terkejut dan mungkin sedikit menahan marah, ustaz Man dengan tenang memberi kenyataannya. “Mu ada buktinya?”

“Apa guna gelaran ustaz yang dipegang, andai mu sendiri tak dapat bezakan antara fitnah dan kenyataan?” soal Tasha terhadap Yaqzan dengan tegas.

Yaqzan hanya membisu di muka pintu. Tiada respon diberikan Yaqzan. Zaafarani yang berada di sebelah Yaqzan terus menarik tangannya. Dibawanya Yaqzan keluar dari keramaian itu. Situasi mengejut itu serta merta cuba dihentikan Zaafarani.

“Abyatina.... dulu sampailah sekarang, satu demi satu fitnah ditaburkan. Apalah nasibnya...” luah ustaz Man. Kata-katanya ibarat satu keluhan yang panjang.

Saat itu juga, Abyatina berlari keluar. Abyatina meninggalkan majlis. Hatinya bagaikan dihiris. Rasa malu bercampur pilu tidak dapat dibendung lagi. Abyatina berlari keluar tanpa menghiraukan hadirin yang lain. Raiqah cuba mengejar Abyatina, namun dihalang ustaz Man.

“Biarkan si Abyatina. Berikan dia peluang untuk tenangkan diri...” kata ustaz Man.  Raiqah menghentikan langkahnya. Ada benar bicara ayahnya itu. Maka, Raiqah kembali duduk, hanya memerhati Abyatina yang semakin jauh dari penglihatannya.

Situasi pada awalnya ternyata mengejutkan hadirin. Namun keadaan tidak menjadi semakin buruk tatkala masing-masing masih lagi berada dalam keadaan tenang. Walaupun perkhabaran yang disampaikan Yaqzan itu ternyata satu tuduhan besar, tidak ada seorang pun yang memberikan reaksi yang mengejutkan. Masing-masing hanya membisu. Hanya Tasha yang bersuara, dan sekali sekala ustaz Man mengutarakan pendapatnya.

“Rasanya, mungkin kita boleh mulakan apa yang patut dimulakan terlebih dahulu...” kata ustaz Man tersenyum sebaik keadaan di ruang tamu itu menjadi tenang. Hadirin tertumpu kembali pada ustaz Man.

“Ya... Baiklah...” jawab cikgu Razali sedikit teragak-agak.

“Apa yang terjadi sebentar tadi adalah satu lintasan, dugaan bagi niat dan tujuan baik kami semua yang hadir ke sini...” kata ustaz Man menguntumkan sedikit senyuman, cuba mendapatkan ketenangan dari hadirin.

“Ya, ada benarnya...”

Abyatina terus berlari tanpa menghiraukan sesiapa pun yang berselisih dengannya. Majlis pertunangan abangnya, Absyar tidak lagi menjadi keutamaannya. Fikiran Abyatina kini melayang jauh. Kepedihan dirasai Abyatina. Tiada tempat mengadu buatnya. Bayangan Rizqullah muncul, namun hakikatnya suaminya itu tiada di sisinya.

“Jahanam kau Yaqzan....” luah Abyatina sendirian. Rasa geram muncul di fikirannya.

Di akhirnya, Abyatina seperti biasa menuju ke kawasan sawah. Pohon rendang berhampiran tali air tempat kebiasaan Abyatina mendapatkan ketenangan diri menjadi tempat persinggahannya. Abyatina duduk di situ untuk tempoh yang agak lama. Hanya di tempat itulah Abyatina merasai ketenteram di hati. Di tempat itulah pelbagai memori manis dan indah terakam.

“Kalau kita ada anak nanti, abang nak dia jadi semanis Ina. Senantiasa berikan ketenangan hilangkan kekusutan...”

“Manis? Abang nak anak perempuan ke?”

“Kenapa, kalau lelaki tak boleh manis ke?”

“Lebih enak kalau manis tu disandarkan pada perempuan...”

“Jadi kalau lelaki nak letak apa?”

“Masam kot...”

“Hah? Masam? Kenapa pulak ya? Tak adil ni....”

“Iyalah....  Lelaki dan perempuan ibarat masam-masam dan manis”

“Maksudnya?”

“Kerana masam itulah yang akan menjaga manisnya. Kalau masam itu terlebih, maka hilanglah manisnya. Kalau masam itu kurang, maka rencah rasanya pun akan hilang serinya. Macam lelaki dan perempuan. Kalau si lelaki menjaga dengan baik si perempuan, maka akan terjagalah dengan baik manis si perempuan itu”

“Oh begitu...”

“Lagipun, orang tak sebut pun manis-manis masam. Sebab manis itu perlu sedikit, sebab kekuatannya lemah. Masam itu kekuatannya banyak, sebab itu digandakan menjadi masam-masam...”

“Kenapa Ina sedalam itu fikirnya?”

“Jadi... kalau nak manis, kenalah kita juga maniskan diri....”

“Jadi, kalau nak masam, kena masamkan diri? Begitu?”

“Abang ni, suka sangat belitkan kata...”

“Insya-Allah Ina. Kalau ada rezeki satu hari nanti, kita akan jadi ibu dan ayah juga. Insya-Allah...”

Bicara senda gurau muncul kembali di fikiran Abyatina. Perbualan bersama Rizqullah itu terjadi setahun yang lalu. Saat itu, Abyatina bersendirian di bawah pohon rendang, mengenangkan suaminya yang masih tak kunjung tiba di kampung walaupun telah berjanji untuk mengambilnya pulang pada petang itu. Tiba-tiba Rizqullah muncul tanpa diduga.  Segalanya berubah di wajah Abyatina. Gembira muncul secara tiba-tiba.

Kini, Abyatina bersendirian sekali lagi di pohon rendang itu. Mungkin mengharap agar Rizqullah muncul, namun harapannya mungkin tidak akan menjadi kenyataan. Abyatina hanya mampu melayan rasa sedihnya bersendirian. Dilontarkan pandangannya sejauh mata memandang. Melihat sawah padi yang menguning, burung-burung berterbangan, dan sekali sekali merasai angin yang bertiup, maka segalanya cuba dinikmati dengan harapan perkara yang berlaku dalam majlis pertunangan Tasha itu dapat dilupakannya.

“Mengapa si alien Yaqzan itu tiba-tiba bersikap seperti Dark Vadder yang jahat?” soal Abyatina sendirian. “Dari mana tuduhan itu datang? Dari planet manakah sumbernya?” monolog Abyatina.

Sementara itu, Zaafarani terus menarik Yaqzan. Saat itu fikiran Zaafarani terus berada dalam kehairanan. Tindakan Yaqzan yang ternyata cuba memalukan Abyatina sekeluarga sangat membingungkannya.

“Mu hilang akalkah?” soal Zaafarani.

“Waras aku masih ada...” balas Yaqzan.

“Jadi, kenapa mu tuduh sebegitu?”

“Sebab aku mahu tegakkan apa yang sepatutnya menjadi kebenaran. Jangan biarkan Abyatina hidup dalam kepura-puraan...”

“Mu jangan sampai sabar aku hilang di hujungnya... sebab tuduhanmu itu.... mu gambarkan Abyatina seorang yang rendah maruahnya!”

“Biarkan kebenaran menceritakannya...”

Yaqzan meninggalkan Zaafarani. Bicara terhenti begitu sahaja.

“Setan apakah yang merasukmu Yaqzan?” soal Zaafarani.

Di rumah, Rizqullah menghabiskan masa dengan bacaan buku. Memang menjadi kebiasaannya, dan kebiasaan itu akan muncul saat dirinya bersendirian. Solat Zuhur yang baru sahaja masuk waktunya telah merehatkan sebentar sesi pembacaan Rizqullah. Lantas, Rizqullah terus mengambil wudhuk, bersiap-siap untuk solat. Tatkala itu, pintu rumah diketuk, lantas Rizqullah segera menuju ke hadapan. Pintu rumah dibukanya.

“Abyatina?” soal Rizqullah terkejut sebaik membuka pintu. Abyatina muncul tanpa diduga.

Tiada bicara diungkapkan Abyatina. Lantas sepantas itu, Abyatina terus memeluk Rizqullah. Tangisan kemudian kedengaran. Abyatina melepaskan rasa sedihnya yang terpendam. Rizqullah terkedu. Hairan bercampur terkejut, Rizqullah membiarkan sahaja Abyatina memeluknya. Pelbagai persoalan muncul di fikirannya.

“Ina.... kenapa ni?” soal Rizqullah sambil mengesat air mata isterinya itu. Sedikit sebak dirasakan Rizqullah saat melihat isterinya itu terus menangis teresak-esak.

“Maafkan Ina kalau Ina ada salah dan silap...” luah Abyatina tersesak-esak.

“Apa yang perlu dimaafkan kalau tiada salahnya? Kenapa Ina?” soal Rizqullah yang masih kehairanan.

Abyatina hanya membisu, terus memeluk Rizqullah. Agak lama pelukan itu dan Rizqullah hanya mampu mengusap-usap belakang Abyatina cuba menenangkan isterinya itu.

Tiada siapa menduga, Abyatina tiba-tiba mengambil keputusan untuk pulang ke rumah tengah hari itu. Tiada seorang pun yang tahu kepulangan Abyatina. Abyatina pulang secara senyap-senyap menaiki teksi menyelusuri perjalanan selama satu jam. Tindakan itu di luar pemikiran Rizqullah, dan ternyata suami Abyatina itu tidak memahaminya.

“Kenapa Ina buat begini? Bukankah tak elok saat-saat begini? Abyatina kan mengandung...” luah Rizqullah.

Benar. Abyatina kini semakin sarat mengandung. Hanya beberapa bulan sahaja, maka mungkin Abyatina bakal bergelar seorang ibu. Disebabkan itu, Rizqullah sedikit risau. Perjalanan jauh dalam tempoh sehari adalah sesuatu yang perlu dielakkan Abyatina. Namun, itulah yang dilakukan Abyatina sebaliknya. Dalam masa sehari, Abyatina pergi dan pulang dari kampung ke rumahnya.

Di kampung, masing-masing dilanda kerisauan. Abyatina yang tiba-tiba menghilang tanpa sebarang perkhabaran telah mengurangkan sedikit keceriaan keluarga ustaz Man selepas majlis pertunangan Absyar. Rata-rata dilanda kekalutan. Tercari-cari kelibat Abyatina.

“Di mana si Abyatina?” soal Mak Cik Ros.

“Ke mana Abyatina pergi selepas dia keluar tadi?” soal ustaz Man.

“Ke bendang kalau tak salah...” balas Raiqah.

“Jadi, ada tak di sana si Abyatina tu?” soal Mak Cik Ros.

Saat itu, telefon rumah berdering. Maka tahulah seisi keluarga bahawa Abyatina telah selamat sampai di rumahnya. Rizqullah menelefon memberikan perkhabaran tersebut.

“Kenapa si Abyatina tiba-tiba sedemikian?” soal ibu Abyatina kehairanan.

“Biarkan. Tempat si isteri sampai bila-bila di sisi suaminya...” balas ustaz Man dengan tenang. “Biarkan Abyatina di sisi Rizqullah. Itu sebaik-baiknya”

“Tapi, Abyatina tu mengandung. Bahaya dibuat begitu... jalan jauh-jauh,” luah ibu Abyatina.

“Semua tu hanya Allah yang tentukan...”

“Jadi... sekarang ni siapa yang nak menghantar kereta abang Riz tu?” soalan diajukan secara tiba-tiba dari Zabarjad, mencelah perbualan Mak Cik Ros dan ustaz Man.

Lantas masing-masing melihat ke luar jendela. Kereta putih milik Rizqullah itu masih diletakkan dengan baik di bawah pohon rambutan. Itulah kereta yang dipandu Zabarjad membawa Abyatina pulang ke kampung. Rizqullah yang menyuruh Zabarjad untuk memandu kereta tersebut.

“Bagaimana ya.....”  bicara Raiqah.

“Alah, campakkan saja ke bendang tu. Menyusahkan orang saja...” balas Zaafarani.

“Hentikan bencimu Zaf. Atau hatimu nanti makin membusuk...” kata ibu Abyatina.

“Apa kata.... kita kecohkan sekali lagi dengan kompang!” Rafiqin tiba-tiba mencelah muncul secara tiba-tiba di ruang tamu.

Serentak dengan itu, bergemalah kompang yang dipalu Rafiqin. Suasana betukar menjadi kecoh. Masing-masing terkejut dengan tindakan Rafiqin itu.  Maka tak lama selepas itu Mak Cik Ros muncul bersama batang penyapu. Rafiqin terkejut lantas berlari keluar dari rumahnya. Mak Cik Ros mengejarnya di halaman. Kekecohan terjadi dan masing-masing ketawa.

“Rafiqin nampaknya bikin kelucuan hari ini. Setia dengan kompangnya...” bicara Zaafarani sedikit tersenyum.

Meja kecil di bilik sekali lagi menjadi tempat Abaytina menenangkan diri. Saat itu, buku nota miliknya dibuka. Luahan bicara bakal tercipta. Mungkin luahan mententeramkan hati setelah melalui satu detik pedih di pagi hari.

"Cinta tak semestinya dimiliki, kerana kadangkala hanya dapat dinikmati tanpa penyatuan. Cinta itu kadangkala pengorbanan, mungkin pedih namun ada bahagianya. Cinta tak semestinya berbalas, kerana rasa cinta itu bukan dipaksa, namun muncul atas kehendak-Nya. Namun cinta itu sangat indah, andai cintanya berbalas dengan cinta, kerana bila cinta dan cinta bertemu, maka mungkin penyatuan hati berlaku. Indahnya andai itu terjadi"

Pena diletakkan Abyatina. Baris-baris ayat diluahkan di atas nota. Maka sedikit senyuman dikuntumkan Abyatina. Kelegaan dirasai.

“Rizqullah dan Abyatina, cinta dan cinta bertemu, maka akan selalu bahagia...” bisik Abyatina sendirian dalam senyuman.

Hakikatnya, kisah Yaqzan melemparkan tuduhan besar sewaktu majlis pertunangan Absyar langsung tidak diketahui Rizqullah. Abyatina hanya membisu, merahsiakan perkara yang berlaku.

Zabarjad muncul petang itu juga tatkala senja semakin menghampiri. Muncul dengan kereta Rizqullah, maka tujuannya sekadar menghantar kembali kereta milik suami Abyatina itu. Namun dek senja yang menjengah tiba, maka Zabarjad dijemput untuk bermalam di rumah Abyatina.

“Tolong diamkan diri. Jangan sama sekali ceritakan apa yang terjadi pagi tadi pada suami akak,” kata Abyatina kepada Zabarjad saat adiknya itu naik ke rumah.

Cetusan ilham terwujud saat Zabarjad bermalam di rumah. Cadangan terlintas di fikiran Rizqullah sewaktu sesi makan malam berlangsung. Memikirkan nasib Abyatina yang akan berseorangan setiap kali Rizqullah ke sekolah, maka satu pertanyaan diajukan kepada Zabarjad.

“Boleh tak kalau Zabarjad temankan kak Ina kamu ni di sini?” soal Rizqullah.

“Temankan kak Cik?”

“Temankan kak Ina bila abang ke sekolah. Sekurang-kurangnya, risau abang dapat dihilangkan bila ada yang temankan akak kamu...” balas Rizqullah.

Zabarjad hanya membisu. Mungkin memikirkan cadangan Rizqullah itu.

“Abang, Ina bukan budak kecil lagi. Tak apa, Ina boleh jaga diri...” kata Abyatina mencelah.

“Tapi si budak kecil dalam perut tu Ina boleh jaga ke kalau jadi apa-apa?” soal Rizqullah tersenyum.

Abyatina pula membisu.

“Insya-Allah. Kalau itu hajat abang, Jad boleh cuba jaga akak... Itu pun kalau abang rasa Jad berkemampuan....” balas Zabarjad.

“Soal mampu jangan ditimbulkan. Tapi soal sabar tu yang perlu difikirkan. Nak jaga si Abyatina ni ibarat menjaga sang puteri di istana kayangan. Banyak ragamnya...” seloroh Rizqullah mengusik Abyatina.

“Yalah tu...” balas Abyatina memuncungkan bibirnya.

Zabarjad anak kelima ustaz Man. Umurnya masih muda, namun pelbagai dugaan telah ditempuhinya. Persekolahannya terkadas di tingkatan tiga disebabkan penyakit misteri. Khabar dari orang kampung menyatakan bahawa Zabarjad mungkin disihir orang. Mungkin cemburu dengan kebahagiaan keluarga ustaz Man, maka Zabarjad dijadikan mangsa keadaan. Waktu itu, setiap pagi Zabarjad dilanda penyakit ganjil, panas seluruh badan sehingga tak mampu untuk bangun. Maka setiap pagi itu jugalah, Zabarjad tidak dapat pergi ke sekolah.

Keganjilan timbul, tatkala waktu tengah hari tiba, maka penyakit panas yang dihadapi Zabarajad hilang begitu sahaja. Pelbagai usaha dilakukan bagi menyembuhkan penyakit tersebut, namun kesemuanya menemui jalan buntu. Keadaan ini berterusan hingga berbulan-bulan lamanya, dan di akhirnya jalan akhir terpaksa dipilih. Zabarjad memutuskan untuk berhenti sekolah. Maka, sebaik saja Zabarjad tidak lagi bersekolah, penyakit ganjil itu sedikit demi sedikit hilang.

“Apalah nasib si Zabarjad. Malangnya sampai gelap masa depannya...” keluh ibu Abyatina saat Zabarjad berhenti dari persekolahannya.

“Rezeki Allah satu perkara yang ghaib. Tak apa, mungkin ada hikmah di sebalik semua yang terjadi,” balas ustaz Man.

Waktu itu, Abyatina baru sahaja tamat persekolahan di tingkatan lima, sedang menanti keputusan SPM pertamanya.

“Jad, tak susahkan mu ke?” soal Abyatina menghentikan lamunan panjangnya terhadap kisah silam Zabarjad.

“Susahkan apa?” soal Zabarjad kembali.

“Jaga kak di sini. Tak ganggu kerjamu di kampung ke?”

“Alah, kerja kampung saja. Tak jejas apa pun. Jad boleh minta orang lain tolong buat kerja-kerja tu. Tak ada masalah. Pentingnya sekarang, akak ni. Dah kritikal sekarang ni. Tak lama dah masanya...” balas Zabarjad.

“Risaumu melebihi risau akak...”

Maka, bermulalah hari-hari panjang bagi Abyatina, menanti tarikh yang tidak diketahui waktunya. Zabarjad terus setia berada di rumah Abyatina, menjaga sedaya yang mungkin terutama saat Rizqullah tiada di rumah. Sekali sekala, Zabarjad akan pulang ke kampung. Namun, Abyatina tidak turut serta. Mungkin disebabkan keadaan dirinya yang sarat mengandung, atau mungkin disebabkan rasa berat hati untuk pulang ke kampungnya lagi. Hanya Abyatina yang tahu sebab sebenarnya.

Di satu malam, saat selesai sahaja solat Isyak, Rizqullah menerima kejutan. Abyatina tiba-tiba pengsan di bilik air dengan mulutnya dipenuhi darah. Darah itu bercampur dengan kaca-kaca halus yang dapat dilihat dengan jelas di atas lantai bilik air. Maka malam itu situasi kelam kabut muncul semula.

“Ya Allah! Apakah sakit Ina muncul semula? Apakah sihir itu tercipta semula?” luah Rizqullah dalam keadaan cemas.

Malam itu Rizqullah membawa Abyatina ke klinik. Zabarjad turut menemani Rizqullah. Rasa cemas memang dirasai Rizqullah, namun kehadiran Zabarjad memberikan sedikit kelegaan.

“Insya-Allah, kuasa Allah, moga semuanya selamat...” kata Zabarjad cuba menenangkan Rizqullah.

Malam itu Abyatina pengsan disebabkan tekanan darah tinggi. Namun, darah bercampur kaca yang keluar dari mulut Abyatina itu tidak dapat dipastikan puncanya. Di akhirnya, Abyatina dinasihat untuk banyak berehat. Kelegaan sedikit dirasai Rizqullah.

“Kita pulang ke kampung esok. Sudah tiba masanya Ina bersedia di sana. Moga Ina selamat melahirkan anak kita nanti,” kata Rizqullah kepada Abyatina saat mendukungnya masuk ke rumah.

“Tapi.... tempat isteri di sisi suaminya...” balas Abyatina lemah.

“Demi Allah, syurga adalah jaminan untukmu Abyatina. Di sisi suami tak bererti perlu dekat dengan suaminya. Di sisi suami adalah dengan kepatuhan pada setiap tutur kata suaminya,” kata Rizqullah. Abyatina tenang dalam dakapan Rizqullah.

Walaupun berat hati, Abyatina pulang juga ke kampung. Dua bulan telah berlalu, peristiwa yang berlaku sewaktu majlis pertunangan Absyar masih segar di ingatan Abyatina. Setibanya di kampung, ibu Abyatina menyambut Abyatina dengan penuh gembira. Hanya ustaz Man dan Mak Cik Ros sahaja di rumah. Rafiqin berada di sekolah.

“Apa khabar menantuku Rizqullah,” sapa ustaz Man menyambut Rizqullah di halaman. Kebetulan ustaz Man sedang bersantai berehat di bawah rumah, duduk di pangkin sambil menikmati hidangan teh serta kuih lapis buatan Mak Cik Ros. “Kuih ada lagi ni. Makanlah sekali,” pelawa ustaz Man.

“Oh tak apa. Kunjung kami secara mengejut, tak dimaklumkan dulu...” balas Rizqullah.

“Kenapa pula nak dimaklumkan? Rumah ni pun rumahmu juga. Nak datang tak perlu dijemput. Nak kunjung tak perlu diminta izin,” balas ustaz Man tersenyum. Ternyata kini ustaz Man lebih ceria berbanding sebelumnya. Perkara ini disedari Rizqullah saat melihat ustaz Man yang senantiasa menguntumkan senyuman setiap kali berbicara.

“Ayahmu semakin pulih. Jalannya pun dah makin jauh,” terang ibu Abyatina kepada Abyatina. Perbualan berlangsung di dapur. “Ke masjid pun dah boleh”

“Dah boleh jalan macam biasa?”

“Tongkatnya perlu ada. Taklah sepantas dulu jalannya, tapi dah boleh bergerak sendiri tanpa bantuan orang lain,” balas ibu Abyatina tersenyum.

“Syukur...”

“Mu sihat?” soal ibu Abyatina menukar topik perbualan. Abyatina memang kelihatan sangat lesu. Fizikalnya yang sarat mengandung ternyata merubah sedikit perwatakan Abyatina. Kelihatan Abyatina tidak begitu ceria seperti kebiasaannya.

“Alhamdulillah... ada sihatnya..” balas Abyatina sambil mengusap-usap perutnya yang semakin membesar.

“Mohon dijaga Ina sehingga tiba masanya...” kata Rizqullah yang tiba-tiba muncul di muka pintu dapur.

“Abyatina tinggal di sini?” soal ibu Abyatina sedikit terkejut.

“Ina lebih selamat di sini. Tak mungkin Ina boleh tinggal di sana dengan keadaannya yang semakin sarat,” terang Rizqullah.

“Insya-Allah. Semuanya akan selamat di sini...” balas ibu Abyatina.

Kisah pengsan  Abyatina diceritakan kepada ustaz Man. Maka fahamlah ustaz Man bahawa keadaan Abyatina sangat kritikal. Kebarangkalian sakit lamanya sebelum mengandung dahulu mungkin telah muncul semula. Itulah pertama kali sejak Abyatina mengandung, kisah pengsan berlaku semula. Kisah darah bercampur kaca, telah lama tidak kedengaran dan kini muncul semula. Semuanya menggusarkan hati Rizqullah.

“Insya-Allah. Tenangkan diri. Sama-sama kita pulihkan Abyatina...” kata ustaz Man memberi semangat buat Rizqullah.

Petangnya, Rizqullah pulang. Abyatina ditinggalkan di kampung. Perjalanan pulang itu sangat berbeza buat Rizqullah, kerana fikirannya senantiasa berada dalam kerisauan. Keadaan Abyatina ternyata menggusarkannya.

Namun separuh perjalanan, saat keretanya menyelusuri kawasan sawah di kampung, sebuah motosikal tiba-tiba memotong dan berhenti di hadapan keretanya. Rizqullah terkejut. Yaqzan tiba-tiba menahannya petang itu.

“Assalamualaikum,” salam diberikan Yaqzan. Rizqullah keluar dari keretanya.

“Waalaikumussalam..” balas Rizqullah.

“Boleh kita berbicara?’” soal Yaqzan

“Mengenai apa bicaranya?” soal Rizqullah kembali.

“Kisah Abyatina... kisah sebenar... kisah kandungannya....” balas Yaqzan tersenyum.

“Ada apa dengan Abyatina?” soal Rizqullah kehairanan.

Yaqzan hanya tersenyum. Bicaranya bersama Rizqullah akan tercipta. Dua nama berseteru, tiba-tiba berjumpa. Perbualan panjang berlaku dan Rizqullah dilanda kejutan kedua.

Seminggu berlalu, Rizqullah tidak kunjung tiba di kampung. Sejak menghantar Abyatina ke kampung, Rizqullah langsung tidak muncul kembali. Kehairanan melanda dan itulah yang dialami Abyatina. Mengikut janji, Rizqullah akan datang semula pada pagi Khamis. Namun sehari telah berlalu, wajah Rizqullah masih tidak kelihatan.

“Apakah yang berlaku?” bisik Abyatina di pagi hari.

Pagi itu, Abyatina hanya menghabiskan masanya di bilik. Bahan bacaan menjadi temannya. Buku-buku pemberian Rizqullah dibawanya bersama, menjadi teman saat diri dilanda kesepian. Namun pagi itu, kesemua buku tersebut tidak menjadi perhatiannya. Buku nota yang menjadi luahan rasa hatinya menjadi tarikan. Lantas tarian pena berlaku tak lama selepas itu.

“Mungkinkah kesepian itu adalah satu ujian supaya kita dekat dengan-Nya? Mungkinkah sepi itu satu dugaan, menguji diri sejauh manakah cinta kita kepada-Nya? Mungkinkah sunyi ini satu nikmat, supaya dihargai saat diri dilanda kebahagiaan? Moga setiap sepi yang bertemu adalah sepi dalam kesyukuran”

“Insya-Allah,” bisik Abyatina sambil meletakkan penanya.

Abyatina bangun. Hasratnya mahu ke dapur untuk bersarapan. Namun niatnya terhenti saat merasakan sesuatu yang janggal berlaku pada dirinya. Secara tiba-tiba Abyatina melihat linangan air membasahi lantai. Serentak itu Abyatina merasakan lelehan air di kakinya. Abyatina kurang mengerti. Abyatina tidak tahu situasi yang terjadi padanya. Lantas dipanggil ibunya di dapur. Sepantas itu juga ibu Abyatina muncul.

Melihat keadaan Abyatina, Mak Cik Ros faham masanya telah tiba. Lantas dipanggil Zabarjad di dapur.

“Jad, telefon abang Cik sekarang. Cakap padanya, masa Abyatina telah tiba,” arah Mak Cik Ros.

“Apa yang jadi kat Ina ni?” soal Abyatina hairan.

“Tenangkan dirimu. Bersiap sedia sahaja sekarang ni,” balas ibu Abyatina.

Tak lama selepas itu, kekalutan mula melanda rumah itu. Ibu Abyatina kelihatan sibuk, dan masing-masing melakukan tugas seperti yang telah diarahkan Mak Cik Ros.

“Apakah hari ini adalah harinya buatku?” soal Abyatina sendirian sambil menyentuh perutnya.

Pagi Jumaat menjadi di luar kebiasaan. Hidangan sarapan tidak lagi dipedulikan keluarga ustaz Man. Detiknya semakin hampir.

Namun, saat itu Abyatina tiba-tiba rebah ke lantai. Mulutnya tiba-tiba berdarah, dan darah itu terus tersembur keluar tanpa henti. Kejutan melanda sekali lagi, menghentikan kekalutan yang sedang berlaku di rumah itu.

“Ya Allah... Abyatina!”




*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Dua*


Apakah yang berlaku pada Abyatina?



**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 


Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina