Isnin, 30 Julai 2012

"Adina (Bicara Lapan Belas)"






“Rezeki adalah hak mutlak Allah. Walau semustahil mana pun di fikiran manusia, andai Allah izinkan, maka akan muncul juga rezeki itu tanpa disangka-sangka. Setiap dugaan itu adalah pelajaran terbaik untuk mengenal erti rasa syukur. Andai senang itu telah terjelma, maka jangan lupa kepada-Nya, kerana kuasa bahagia itu adalah milik mutlak dari-Nya. Rezeki itu tambah indah, bila apa yang diharapkan akhirnya termakbul”

Buku nota Abyatina ditutup. Pena diletakkan.

Abyatina turun ke halaman. Pagi itu Abytina berkunjung ke rumah ibu mertuanya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Memang selalu menjadi rutin harian Abyatina untuk berkunjung ke sana bagi menghilangkan kebosanan dek keseorangan di rumah. Apabila Rizqullah di sekolah, maka ibu mertuanya menjadi temannya.

“Masak apa tengah hari ni?” soal Abyatina sebaik masuk ke dapur rumah mertuanya.

“Mak tak tau nak masa apa pagi. Hang ada cadangan tak?”

“Pajeri  nenas mak memang memikat hati,” balas Abyatina tersenyum.

“Hah, kalau macam tu, hang pi beli nenas kat kedai depan tu. Pi naik basikal tu.”

Perjalanan ke kedai tidaklah terlalu jauh. Namun apabila berbasikal, letihnya tidak begitu dirasai. Seperti biasa, saat tiba di kedai runcit itu, maka usikan demi usikan senantiasa dirasai Abyatina. Masing-masing suka bergurau dan bermesra dengan Abyatina. Dilayan dengan baik, dan tidak pernah dibenci apatah lagi difitnah. Penduduk kampung di sini jauh lebih baik dari penduduk kampung halamannya sendiri.

“Hang nak beli apa? Hari ni pak cik bagi diskaun apa-apa ja barang yang hang beli,” ujar Pak Usop.

“Amboi Pak Usop ni, peril ya. Yalah, dah lama Ina tak datang ke kedai ni…” tersenyum Abyatina.

“Laki hang sihat ka? Lama tak jumpa dia…”

“Sihat-sihat saja…” balas Abyatina. “Pak Usop, tolong bagi nenas ya. Bagi tiga biji”

Proses pembelian berjalan dan Abyatina pulang. Tersenyum sahaja Abyatina apabila mengenangkan situasi di kedai itu. Andai di kampung halamannya, situasinya cukup berbeza. Penduduk kampung senantiasa bersikap prejudis dan jarang bermesra dengan Abyatina terutamanya kaum wanita. Ada sahaja tuduhan dan pandangan negatif dilemparkan buat Abyatina.

“Kecantikan dan keayuan kadangkala boleh membinasakan kita,” kata Ustaz Man setiap kali Abyatina mengadu akan pandangan negatif orang kampung terhadapnya. Abyatina seringkali berhadapan dengan situasi itu sebelum berkahwin dengan Rizqullah.

Perjalanan yang sepatutnya menuju ke rumah mertuanya bertukar haluan. Abyatina tergerak hati untuk singgah sebentar ke destinasi yang lain. Mungkin perjalanan berbasikal itu menyeronokkan hingga Abyatina mahu menghabiskan sedikit masa menikmatinya. Nenas yang dibelinya tadi menjadi teman perjalanannya.

“Wahai cik nenas, kita bersiar-siar sebentar ya,” bisik Abyatina bermonolog dalam seloroh. “Baik Cik Ina. Memang cik nenas teringin nak jalan-jalan.... kata cik nenas...” Abyatina berseloroh lagi.

Sekolah tempat Rizqullah mengajar menjadi destinasi Abyatina. Tidak diketahui tujuannya, Abyatina hanya menuju ke sana mengikut gerak hatinya sahaja. Fikiran spontan, dan akhirnya destinasi dipilih di luar sedar. Mungkin juga Abyatina mahu melihat Rizqullah di sekolah itu. Mungkin juga sekadar mahu menghirup udara segara.

Tiba di destinasi, Abyatina berjalan-jalan meninjau persekitaran sekolah. Kebanyakan guru di sekolah tersebut mengenali Abyatina. Maka, tidak hairanlah jika berselisih dengan Abyatina, sapaan diberikan dan salam dihulurkan. Ramai yang telah mengetahui Abyatina isteri Cikgu Rizqullah.

“Di mana Rizqullah?” soal Abyatina kepada Cikgu Ani, kenalan Rizqullah yang agak rapat dengan Abyatina. Seringkali juga Cikgu Ani berkunjung ke rumahnya.

“Ada di kelas hujung sana. Tengah mengajar tu,” balas Cikgu Ani tersenyum manis.

Maka, destinasi berikutnya adalah menuju ke kelas tersebut.  Dari jauh Abyatina dapat melihat Rizqullah sedang mengajar di kelas. Suara Rizqullah dapat didengar dengan jelas, dan lontaran suara itu ternyata berbeza dengan gaya percakapannya di rumah. Abyatina kemudian duduk di kerusi batu tidak jauh dari kelas itu, dan terus melihat suaminya itu.

“Kat rumah lain suaranya. Kat sekolah jadi lantang pula. Pelik jadinya…” bisik Abyatina kehairanan. Itulah kali pertama Abyatina melihat suaminya itu mengajar di kelas.

Kelibat Abyatina di luar kelas tidak disedari Rizqullah pada awalnya. Hanya selepas seorang pelajarnya bertanya kepadanya mengenai kelibat wanita di luar kelas itu, barulah Rizqullah menyedarinya.

“Siapa kat luar tu cikgu? Dari tadi dok usyar cikgu. Lawa pulak tu,” bicara seorang pelajar menghentikan seketika sesi pembelajaran dalam kelas.

Lantas mata tertumpu ke luar kelas. Terkejut Rizqullah apabila melihat kelibat Abyatina di luar kelas.

“Huh, Abyatina?”

Semua pelajar tertumpu pada Rizqullah yang berjalan menuju ke luar kelas. Rizqullah lantas menghampiri Abyatina yang duduk di kerusi batu di luar. Pelbagai persoalan mula bermain di fikiran para pelajar.

“Siapa tu?”

“Adik cikgu ke?”

“Ke isteri cikgu?”

“Huh, lawanya. Putih melepak. Macam bidadari…”

“Semua boleh terpegun tengok dia…”

“Lawa…. Cantik…. Ayu….”

“Itu isteri cikgulah. Masa kenduri kahwin cikgu dulu, aku ada pergi. Perempuan kat luar tulah isteri cikgu,” bicara seorang pelajar perempuan tiba-tiba.

“Owh, macam tu. Memang untunglah cikgu….”

Sesi pembelajaran akhirnya bertukar menjadi sesi bergosip sesama mereka.

“Mengapa?” soal Rizqullah sebaik duduk di kerusi batu.

“Apanya?”

“Kenapa datang ke sini?” soal Rizqullah.

“Hati tergerak, dan tiba-tiba teringin nak tengok sendiri macam mana abang mengajar di sekolah. Itu boleh muncul ke sini,” balas Abyatina.

“Sorang?”

“Naik basikal saja….”

Rizqullah menamatkan kelasnya lebih awal dari biasa. Abyatina dibawa ke bilik Rizqullah tidak jauh dari kelas tersebut. Sejak dari awal tahun lagi, Rizqullah ditempatkan di bilik tersebut dan bukannya di bilik guru. Kapasiti tidak mencukupi untuk Rizqullah ditempatkan di bilik guru.

“Kenapa naik basikal sampai ke sini? Bukankah itu bahaya namanya?” soal Rizqullah sebaik masuk ke biliknya.

“Jalan kampung, keretanya pun tak banyak,  maka bahayanya pun kurang,” balas Abyatina.

“Bukan soal tu. Ina kan dah mengandung. Bukankah bahaya buat Ina dan kandungan tu?”

Abyatina terdiam. Ada benar kata-kata suaminya itu. Maka kisah seterusnya, Abyatina diminta untuk terus berada di bilik tersebut sehingga tamat sesi persekolahan. Abyatina akan pulang ke rumah bersama Rizqullah. Basikal ditinggalkan, dan kereta dinaikinya.

“Kari lagi? Bukan semalam pun kari jugak ke?” soal Rizqullah saat menikmati hidangan tengah hari di rumah ibunya.

“Hang tanya bini hang…” balas ibu Rizqullah tersenyum.

Abyatina sekadar tersenyum sahaja. Maka fikirannya terus teringat akan nenas yang dibelinya pagi tadi. Semuanya masih lagi tersimpan elok dalam raga basikal yang ditinggalkannya di sekolah. Disebabkan Abyatina pulang lewat bersama Rizqullah, maka ibu mertuanya terpaksa mengubah menu hidangan tengah hari itu.

“Tunggu punya tunggu, nenas tak muncul-muncul. Tu yang tukar lauk hari ni…” bicara ibu Rizqullah.

“Tulah, ada orang tu gatai nak pi sekolah…” seloroh Rizqullah.

“Tulah, siapa yang paksa balik sekali dengan dia tadi?” balas Abyatina pula tersenyum.

Malam itu Abyatina dilanda sakit sekali lagi. Selesai sahaja solat Isyak, maka nafas Abyatian tiba-tiba menjadi sesak. Seperti biasa, batuk kemudiannya muncul, dan berterusan untuk tempoh yang lama. Seperti sebelumnya juga, batuk itu bercampur darah. Seperti biasa juga, darah itu bercampur kaca-kaca halus. Serangan muncul lagi buat Abyatina pada malam itu. Di akhirnya, Abyatina pengsan dek keletihan dan azab pedih yang dirasainya. Resah Rizqullah pada malam itu.

“Dugaanmu muncul lagi....” keluh Rizqullah. “Ya Allah....”

Pagi itu Abyatina tersedar.  Pengsannya cukup lama, hingga dirinya tak menyedari akan situasi yang berlaku pada malam sebelumnya. Sedar sahaja Abyatina, dia kini berada di kampung halamannya. Kehairanan juga di permulaannya.

“Ina pengsan malam semalam. Agak teruk juga, jadi terus bawa Ina balik ke kampung. Minta ayah ubatkan mana yang boleh,” terang Rizqullah sebaik menyedari Abyatina telah sedar dari lenanya.

“Teruk sangatkah?” soal Abyatina yang masih lemah.

“Hanya Allah saja yang tahu betapa sakitnya Ina semalam. Sebab itu malam tu juga abang bawa Ina balik ke kampung. Malam tu juga ayah ubatkan Ina,” balas Rizqullah.

Abyatina terharu. Betapa Rizqullah sanggup melakukan apa saja deminya.  Memandu di tengah malam bukanlah sesuatu yang mudah buat Rizqullah. Abyatina sedar akan hakikat itu.

Di ruang tamu rumah, perbualan kedengaran. Kelihatan tetamu sedang berkunjung, dan Abyatina dapat mendengar dengan jelas perbualan tersebut dari biliknya. Ibu Abyatina sedang berbual dengan seseorang. Ustaz Man juga turut berada di ruang tamu.

“Ustaz Man ada berapa orang anak? Dah bercucu ke?”

“Enam semuanya. Empat lelaki dua perempuan. Cucu baru ada tiga...” balas Ustaz Man.

“Oh, gitu. Saya tak tau sangat. Tau sikit-sikit je pasal keluarga ustaz. Yang saya kenal pun Raiqah dengan Abyatina tu saja. Lain-lain tu tak berapa kenal. Tau nama jelah”

“Raiqah anak yang sulung. Dah kahwin, ada dua orang anak. Laki seorang, perempuan seorang. Zaafarani, anak yang kedua. Polis. Pun dah kahwin, ada seorang anak lelaki. Absyar yang ketiga, cikgu sekolah, membujang lagi. Abyatina yang kahwin tahun lepas, anak keempat. Zabarjad anak kelima kerja posmen, dan yang bongsu namanya Rafiqin,” terang Mak Cik Ros.

“Oh, gitu rupanya. Maknanya, Abyatina sajalah yang dah kahwin tapi tak ada anak lagi....”

“Insya-Allah. Adalah rezekinya nanti,” balas Ustaz Man pula.

Tersenyum Abyatina yang berada di dalam bilik. Hakikatnya tidak ada sesiapa pun yang tahu akan perihalnya yang telah mengandung ketika ini. Hanya Rizqullah sahaja yang mengetahuinya.

“Nak rahsiakan?” soal Rizqullah pada pagi Subuh hari sebelumnya, hari Abyatina menyatakan berita gembira tersebut kepada Rizqullah.

“Lagi banyak rahsia, lagi banyak nikmatnya,” balas Abyatina.

Maka, Abyatina dan Rizqullah terus berahsia.

“Tasha sekarang kerja di mana?” soal Ustaz Man. Perbualan di ruang tamu masih lagi berlangsung dan Abyatina terus mendengarnya.

“Sekarang kerja di Taiping. Kerja di firma peguam”

“Tunggu nak kahwin sajalah...” bicara Mak Cik Ros.

“Insya-Allah. Kalau sudi si Absyar tu, semuanya akan berjalan”

Perbualan itu berterusan dan ternyata menangkap minat Abyatina yang mendengarnya. Barulah Abyatina tahu bahawa tetamu yang muncul di ruang tamu itu ialah ibu kepada Tasha.

“Maknanya si Tasha tu akan dijodohkan dengan abangku?” bisik Abyatina berseorangan. “Apakah itu kunjungan merisik? Ah, mana mungkin. Adatnya, si lelaki yang akan merisik si wanita...”

Persoalan terus bermain di fikiran Abyatina. Buku notanya dibuka semula, dan nukilannya dicatatkan di dalamnya.

"Apabila mahu memilih jodoh, maka janganlah sekadar memilih berdasarkan tafsiran pandangan mata sahaja. Tanyalah juga pada kata hati dan iman. Dari situ akan terpancar kecantikan sebenar pilihan jodoh itu"

“Maka, pilihanku dulu tiada salahnya,” bisik Abyatina tersenyum.

Fikiran Abyatina terlintas kembali akan perbualan dengan kakaknya sewaktu bersantai berkelah di Teluk Batik. Perihal Rizqullah yang tidak bertegur sapa dengan Zaafarani mendatangkan persoalan buat kakak Abyatina itu.

“Apa yang tak kena?” soal Raiqah.

“Perseteruan fasa baru...”

Maka Abayatina menceritakan kisah yang berlaku sebelumnya. Kisah kemunculan Zaafarani, abangnya itu di rumahnya diterangkan. Kisah api kemarahan Zaafarani dikongsikan dengan Raiqah. Pertikaman lidah yang berlaku di antara Rizqullah dan Zaafarani dinyatakan dengan terperinci.

“Tak menghairankan andai abangmu itu menyerang Rizqullah...” bicara Raiqah.

“Mengapa pula?”

“Jangan dilupa, abang Zaf pembangkang utama perkahwinanmu. Dari mula hingga di akhirnya, tak pernah bersetuju. Maka, tak hairan jika dia menyerang suamimu,” terang Raiqah.

“Tapi kenapa abang Zaf terlalu kuat membangkang? Sedangkan dah setahun masa berlalu...”

“Sebabnya, dari awal lagi semuanya bagai tak kena buat Zaafarani”

“Tak kena?”

“Ada rahsia yang mungkin kamu tak tahu. Sebelum ayah dan mak mencari calon suamimu, abang Zaf kamu dah usahakan dulu...”

“Bila pula masanya?”

“Yaqzan, takkan kamu tak sedar kemunculannya yang tiba-tiba?” soal Raiqah.

“Maksudnya, abang Zaf aturkan supaya Yaqzan jadi calon suami Ina?”

“Hajatnya memang besar. Sebab Yaqzan itu sahabat baik abangmu. Ibarat mereka dah ada perjanjian, moga kamu menjadi isteri Yaqzan. Itu perancangan abangmu”

Terkejut Abyatina. Persoalan yang telah lama wujud dalam fikiran Abyatina akhirnya terjawab. Kemunculan Yaqzan secara tiba-tiba sewaktu Abyatina baru sahaja menerima keputusan SPM  dahulu telah dapat difahami sepenuhnya. Kemunculan Yaqzan di halaman rumah itu telah diatur sendiri oleh abangnya. Malah, persahabatan rapat di antara Yaqzan dan abangnya itu telah beri kejutan buat Abyatina.

“Mungkin kerana hajatnya tak sampai, maka dipersalahkan Rizqullah. Tanpa sedar, Rizqullah dah dijadikan kambing hitam dalam api kemarahannya,” bicara Raiqah.

“Mungkin...” bisik Abyatina.

Lamunan terhenti tatkala Mak Cik Ros masuk ke biliknya. Tetamu yang muncul telah pulang. Mak Cik Ros bertanya khabar Abyatina, melihat keadaan anaknya itu.

“Alhamdulillah. Kurang sikit sakitnya...” terang Abyatina.

“Minum air ubatnya. Ayah buat malam semalam,” bicara ibu Abyatina sambil menghulurkan botol air kepada Abyatina.

“Rehatlah dulu. Dapatkan semula tenaganya...” kata Rizqullah yang baru masuk ke bilik tersebut.

Malam sebelumnya, Rizqullah telah menceritakan perihal Abyatina secara terperinci kepada Ustaz Man. Kisah beras dan pasir yang bertaburan di atas katil pada hari perkahwinan Abyatina dan Rizqullah juga turut diceritakan kepada Ustaz Man. Bagi Rizqullah, tiada lagi kerahsiaan mengenai keadaan sebenar Abyatina. Semuanya harus diterangkan kepada Ustaz Man demi memulihkan kembali kesihatan Abyatina.

“Kenapa tak diberitahu sejak awal lagi?” soal Ustaz Man.

“Kami tak rasa itu sesuatu yang perlu diberitahu. Sekadar beras yang bertaburan, bukanlah sesuatu yang besar rasanya....” luah Rizqullah.

“Betul, memang tak besar. Tapi kesannya cukup mendalam di kemudiannya. Mungkin beras-beras yang ditabur itu datangnya dari si iri hati yang nak menghancurkan rumah tanggamu,” balas Ustaz Man.

“Tak terlintas di fikiran saya....”

“Ilmu sihir kadangkala muncul tanpa kita duga. Macam beras tu, boleh dijadikan tapak untuk dihembuskan gangguan halus buat Abyatina,” terang Ustaz Man.

“Tapi, kenapa Abyatina sahaja? Kenapa bukan saya?” soal Rizqullah. Ustaz Man hanya membisu sahaja. Tiada jawapan dapat diberikan.

Menjelang petang, Abyatina semakin pulih keadaannya. Setelah hampir seharian berehat di bilik, maka Abyatina keluar mengambil angin petang. Abyatina turun dari rumah. Rizqullah dan ahli keluarga lain tersenyum sebaik melihat Abyatina keluar. Mereka sedang bersantai di pangkin bawah rumah, manikmati hidangan teh dan kuih. Ustaz Man juga turut dibawa turun ke rumah. Rizqullah, Zabarjad, dan Rafiqin yang membantu Ustaz Man untuk turun ke bawah rumah.

“Dah sihat?” soal Rizqullah tersenyum. Abyatina sekadar mengangguk.

“Penangan sihir bukannya mudah untuk pulih semula,” bicara Ustaz sambil meneguk teh.

“Apalah nasibmu Abyatina. Satu demi satu dugaan. Dari dulu, sampailah sekarang,” keluh ibu Abyatina.

“Dunia tak pernah memberikan kesenangan sepanjang masa kepada manusia. Kesenangan itu hanya akan kekal andai manusia itu bijak menyesuaikan diri dan tidak selamanya berada di takuk yang lama. Dugaan itu bukti sayang Allah,” bicara Ustaz Man.

“Mungkin sebab santau tu, maka sampai sekarang Abyatina tak dapat mengandung. Mungkin sihir tu menghalang Abyatina,” ibu Abyatina membuat andaian.

“Mungkin juga. Kadangkala ilmu sihir mampu menghilangkan kemanisan dalam hubungan suami isteri,” jelas Ustaz Man. “Sehingga sampai satu tahap, boleh menyebabkan penceraian...”

“Kamu begitu ke Rizqullah?” soal ibu Abyatina tiba-tiba.

“Tak... rasanya semuanya baik-baik saja antara saya dengan Abyatina,” balas Rizqullah sedikit tersipu-sipu.

“Mungkin juga sihir itu menghalang Abyatina untuk dapatkan anak. Lebih setahun berkahwin, dan sampai sekarang masih belum ada apa-apa,” bicara ibu Abyatina. “Mesti ada yang tak kena...”

“Soal anak bukan terletak pada si penyihir. Semuanya atas kuasa Allah,” kata Ustaz Man.

“Yalah, tapi kalau setahun dah berkahwin, tapi anaknya tiada, pasti sunyinya boleh dirasa,” balas Mak Cik Ros.

“Tak mengapa, satu hari nanti kalau Allah bagi izin, maka semuanya akan ada rezekinya...”

Suasana menjadi sepi seketika. Hanya kedengaran desiran angin petang sahaja.

“Maknanya, santau tu dah mandulkan akak?” soal Zabarjad tiba-tiba.

Abyatina terkejut dengan soalan dari Zabarjad itu. Soalan tersebut ibarat satu perkara yang sensitif dan satu tamparan buat Abyatina.

“Eh, mana ada. Akak dah mengandung dah tau....” balas Abyatina secara spontan.

Maka, kesemua yang ada terkejut. Rizqullah hanya tersenyum. Abyatina terlepas cakap. Maka rahsia kini tinggal kenangan. Petang itu, telah diketahui semuanya bahawa Abyatina telah mengandung.

“Nampaknya rahsia kali ni hanya dapat bertahan sehari sahaja...” balas Rizqullah berseloroh. “Nampaknya itu satu pengakuan yang bona fide. Sangat mengkagumkan,” usik Rizqullah lagi.

Abyatina tergamam. Tidak disangka tersasul mulutnya menyatakan rahsia. Hanya mampu tersenyum diusik Rizqullah.

“Bona fide jauh dari lubuk hatiku,” bicara Abyatina berseloroh.

“Bila pula mu mengandung?” soal ibu Abyatina terkejut.

Tiba-tiba sebuah motosikal memasuki halaman rumah. Kelihatan agak kelam kabut si penunggangnya. Halim yang bekerja di bengkel motosikal di hujung kampung muncul di halaman rumah. Mukanya agak pucat.

“Ustaz, Absyar kena serang kat hujung kampung. Dia kena tikam!” jerit Halim dalam keadaan panik.

“Ya Allah!” Mak Cik Ros terkejut.

Nikmat angin petang yang bertiup buat seisi keluarga kini telah hilang. Anginnya masih terus bertiup, namun kenikmatannya telah hilang buat kesemuanya.




*Tamat sudah Bicara Lapan Belas*

Apakah nasib Absyar? Di lain bicara, maka bertemu.

Nota: “Bona fide” membawa maksud: sebenar, asli, ikhlas, dan jujur.
(Kamus Dewan Edisi Keempat)




**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 





 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina

Ahad, 22 Julai 2012

"Adina (Bicara Tujuh Belas)"





“Lumpuh ayah boleh diubatkan dengan izin Allah”

“Sama-sama usahakan, moga ayah dapat berjalan semula,” bicara Raiqah.

“Ada yang cakap, kalau kita selalu amalkan tanam badan dalam pasir pantai, nanti kaki boleh sembuh dari lumpuh,” bicara Abyatina.

“Nanti kita usahakan,” ibu Abyatina tiba-tiba muncul di ruang tamu. “Usaha dan tawakal, sama-sama berdoa, moga Allah beri izin”

Rizqullah muncul semula di ruang tamu. Ceria sahaja wajahnya sambil memandang tepat wajah Abyatina.  Rizqullah keluar sebentar bersama Zabarjad, pergi ke kedai membeli sedikit barangan dapur.

“Boleh saja kalau nak bawak ayah ke Teluk Batik. Pasir pantai sana mungkin sesuai, dan anginnya juga sangat menenangkan. Boleh juga berkelah satu keluarga,” bicara Rizqullah.

“Sambil menyelam, minum air,” kata Abyatina.

“Nak lemas kalau buat macam tu?” soal Rizqullah berseloroh. Abyatina sekadar tersenyum.

Rizqullah kemudian menemani Abyatina pergi ke klinik desa. Seperti yang dijanjikan, pagi itu Abyatina ke klinik atas urusan yang tidak diketahui Rizqullah. Klinik tersebut tidaklah jauh dari rumah, namun bila berteman lain suasananya.

“Rasanya pertama kali kan kita jalan pagi-pagi macam ni….”

“Yalah, sebab selalunya waktu pagi-pagi macam ni Ina berdengkur lagi kan,” usik Rizqullah.

“Ish, mana ada. Tak pernah tau…”

“Jadi, mengapa dan kenapa?” soal Rizqullah.

“Apa dan kenapa?”

“Ke klinik. Kenapa?”

“Private and confidential…” balas Abyatina tersenyum sahaja.

“Hah? Dengan suami sendiri pun?”

Abyatina sekadar tersenyum, dan mereka tiba di klinik desa. Kelihatan ramai juga yang menunggu, sesuatu yang jarang berlaku sekiranya Abyatina berkunjung ke klinik.

“Katanya ada pemeriksaan kesihatan percuma,” terang Tasha yang turut berada di klinik.

“Oh, patutlah berbondong-bondong datang ke sini pagi ni,” balas Abyatina. Senyuman terukir di wajahnya.

“Siapa tu?” soal Rizqullah.

“Itulah Tasha,” balas Abyatina.

“Tasha?”

“Itulah bakal adik ipar kita…” Abyatina mengukir senyuman.

“Hah, untuk siapa?”

“Lawa tak?” soal Abyatina langsung tidak menjawab pertanyaan Rizqullah.

“Lawa…. Lawanya mengalahkan Ina. Matanya boleh menggunturkan jiwa. Berdegup saatku memandangnya” Rizqullah berseloroh.

“Amboi, nanti ada juga yang yang kena cucuk jarum doktor kot…”

Abyatina tak lama kemudian masuk ke bilik doktor, dan Rizqullah menanti di luar. Kejanggalan dirasai kerana saat itu, hanya Rizqullah sahaja lelaki yang berada di klinik tersebut. Segan dirasakannya, namun ditebalkan sahaja mukanya. Tidak lama kemudian, barulah Rizqullah tahu, pagi itu adalah hari pemeriksaan percuma buat kaum wanita sahaja.

“Aduhai….” keluh Rizqullah.

Kepulangan Abyatina dari klinik ditemani Rizqullah ternyata mengundang seribu satu persoalan. Rizqullah sangat hairan kerana Abyatina berubah menjadi seorang yang berahsia. Langsung tidak menyatakan tujuannya ke klinik desa tersebut. Malah, persoalan makin bertambah apabila Abyatina menyatakan bahawa dia telah ke klinik tersebut beberapa kali.

“Sakitkah Abyatina? Ya, memang sakit, tapi ada sakit lainkah?” bisik Rizqullah sendirian berjalan di sisi Abyatina pulang ke rumah.

Kisah Yaqzan mengambil tempat saat mereka tiba di rumah. Raiqah membuka bicara terkejut dengan kunjungan secara tiba-tiba Yaqzan pada pagi itu. Namun, belum sempat Yaqzan naik ke rumah, Zabarajad muncul tiba-tiba. Zabarjad dalam nada marah meminta Yaqzan meninggalkan halaman rumah mereka.

“Kenapa Yaqzan muncul?” Abyatina kehairanan.

“Kenapa Yaqzan itu menjadi alien?” soal Rizqullah berseloroh.

“Abang Riz, panjang kisahnya. Ibarat filem Star Wars yang bersambung-sambung sirinya,” balas Zabarjad berseloroh.

“Dan apa kaitan dengan Star Wars?” soal Rizqullah bertambah hairan.

“Yaqzan tu ibarat Darth Vader, dan Rizqullah ni ibarat Luke Skywalker,” ibu Abyatina tiba-tiba mencelah.

“Hah?” Abyatina terkejut. Masing-masing berpandangan. Rizqullah tersenyum, Zabarjad ketawa kecil. Situasi di dapur bertukar kelucuan. Mak Cik Ros rupa-rupanya pengikut setia filem Star Wars. Sungguh tak disangka mereka.

“Eh, dulu pun pernah melalui zaman muda mudi juga…” balas ibu Abyatina tersenyum.

Sekeluarga ketawa. Lucu dirasakan.

Cadangan untuk membawa Ustaz Man ke Teluk Batik ditimbulkan semula oleh Rizqullah pada tengah harinya. Maka kisah seterusnya adalah perancangan seorang demi seorang oleh setiap ahli keluarga. Ustaz Man tidak mengetahui perbincangan tersebut, kerana sesi perbincangan itu berlangsung di dapur.

“Mungkin hari esok sama-sama kita bawa ayah ke pantai,” bicara Raiqah, kakak sulung Abyatina.

“Kalau boleh biarlah semua pergi, sama-sama temankan ayahmu,” pinta ibu Abyatina.

“Maknanya kenalah telefon abang Zaf,” kata Abyatina.

Rizqullah berubah sedikit wajahnya. Air mukanya menjadi berbeza. Namun hanya diam dan membisu sahaja.

Malam itu, Abyatina ke meja tulis. Membuka kembali buku notanya. Sudah lama tidak dinukilkan sesuatu di atasnya. Maka, dalam senyuman, pena diambil, dan bicara diperdengarkan di atas helaian muka surat itu.

“Sejauh mana dugaan Allah, andai hati senantiasa mengingati-Nya, maka kusut itu tak akan menjengah. Sesungguhnya, saat kesusahan itu, doa dan tawakal adalah ubat paling mujarab, dan pemanisnya ialah sokongan dari insan yang disayangi. Bila seorang suami ada di sisi isterinya, sepahit mana pun rintangan itu, manisnya masih akan terjelma”

Pena diletakkan. Mata Abyatina terpejam. Lena di meja tersebut. Rizqullah tersenyum saat masuk ke dalam bilik. Lantas diangkat Abyatina, lalu diletakkan di atas katil. Mungkin Abyatina sangat keletihan. Dahi Abyatina dikucup Rizqullah.

“Selamat malam Abyatinaku,” bisik Rizqullah.

Dalam konflik dan pelbagai persoalan yang terwujud, Abyatina tenang mengharunginya. Memang sukar, namun itulah resam dunia. Rizqullah ternyata faham akan keadaan tersebut, terus menyokong Abyatina walaupun terlalu banyak ujiannya.

“Mungkinkah Yaqzan yang menyihir Abyatina?” soal Raiqah kepada Rizqullah pada petang itu. Perbualan tercipta di beranda rumah.

“Pada fikiran saya memanglah itu yang terlintas. Tapi, tuduh tanpa bukti, tak ubah seperti mencipta fitnah secara melulu,” balas Rizqullah. “Buruknya padah…”

“Yalah, tapi bila diikutkan logik, semuanya tak mustahil. Dari dulu lagi si Yaqzan tu memang sukakan Abyatina, dan sampai sekarang masih lagi kekal perasaan suka tu. Jadi tak mustahil bukan?”

“Logik kalau tak disokong bukti ibarat pokok, bunganya banyak, buahnya tak pernah muncul,” balas Rizqullah.

“Banyak bukti tanpa sedar kita boleh tengok. Kenapa Yaqzan boleh muncul tiba-tiba jadi jurukamera pada majlis kahwin mu dulu, sedangkan tak seorang pun jemputnya? Kenapa sebelum majlis kahwin tu, Yaqzan cetuskan gempar bila biarkan Abyatina peluknya? Dan kenapa tiba-tiba Yaqzan mengamuk datang ke rumah marahkan mu, sambil tangan membawa parang? Kebetulan? Memang tak dirancang? Di luar kawalannya?” soal Raiqah.

Rizqullah terdiam. Terus duduk di anak tangga batu di beranda rumah. Berfikir panjang.

“Mungkinkah beras dan pasir yang bertaburan di atas katil sewaktu majlis perkahwinan itu ada makna tersiratnya?” luah Rizqullah. “Apakah itu tandanya satu bentuk sihir?”

Fikiran Rizqullah mengimbas kembali malam hari perkahwinan itu. Abyatina dan Rizqullah berada dalam kehairanan apabila mendapati terdapat beras dan pasir ditabur di atas katil mereka. Namun, kisah itu tidak pernah dikongsikan dengan sesiapa. Menjadi rahsia buat mereka berdua.

“Beras dan pasir? Di mana, dan bagaimana?” soal Raiqah kehairanan.

“Panjang ceritanya….”

Keesokan harinya, seluruh ahli keluarga sibuk kembali. Kali ini melakukan persiapan untuk ke Teluk Batik. Ustaz Man akan dibawa ke sana, merasai pasir pantai di sana, mencuba cara tradisional bagi mengubati lumpuh Ustaz Man. Pada masa yang sama, seisi keluarga juga akan menikmati sesi perkelahan.

“Sudah lama detik sebegini tak dirasai,” luah Abyatina, orang paling gembira pagi itu. Teruja tidak lagi dapat dilindung.

Keluarga Zaafarani muncul pagi itu. Raiqah yang menelefon Zaafarani. Situasi itu tidak disenangi Rizqullah. Sebolehnya, Rizqullah mahu cuba mengelak dari bertembung dengan Zaafarani setelah konflik yang telah melanda.

“Anggap apa yang terjadi sebelum ini tak pernah terjadi,” bicara Abyatina memujuk Rizqullah.

“Menafikan apa yang terjadi tak semudah disangka bila hati dah terguris,” balas Rizqullah.

Maka, bermulalah perjalanan dari kampung ke Teluk Batik. Tiga buah kereta bergerak, dan perjalanannya hampir satu jam setengah.

Abyatina dan Rizqullah banyak menghabiskan masa bersama berjalan-jalan di tepi pantai. Mereka mencari privasi sendiri, mungkin mahu nikmati hari indah bersama. Ustaz Man pula menikmati dingin pasir pantai sebaik ditanam separuh badan. Zaafarani yang banyak membantu Ustaz Man, dibantu juga Zabarjad dan Absyar. Proses menanam itu dipenuhi dengan gelak ketawa.

“Jangan ada tungau merayap sudah…” seloroh Ustaz Man tersenyum.

Zaafarani dan Rizqullah langsung tidak bertegur sapa. Rizqullah lebih banyak mengelakkan dirinya dari Zaafarani dan perkara ini disedari Abyatina. Maka, mungkin itulah sebabnya Abyatina mengajak Rizqullah berjalan-jalan di tepi pantai.  Saat yang lain menikmati perkelahan, Abyatina dan Rizqullah hilang jauh dari pandangan.

“Biarkanlah. Orang baru kahwin, manisnya masih banyak lagi,” bicara ibu Abyatina.

“Dah setahun kahwinnya. Manisnya macam tak pernah hilang,” kata Raiqah.

“Biarkan saja. Sementara masih berdua lagi. Nanti kalau dah bertiga, tak ada peluang dah,” bicara Ustaz Man berbaring di dalam pasir pantai. Mak Cik Ros setia duduk di sisi Ustaz Man.

“Bertiga?” soal Mak Cik Ros hairan.

Ustaz Man sekadar tersenyum. Fikirannya terus teringat kembali akan perbualannya dengan Abyatina malam sebelumnya. Abyatina bangun seawal tiga pagi mengejutkan Ustaz Man yang bertahajud.

“Apakah ada kesan santau buat orang yang mengandung?” soal Abyatina.  “Apakah akan terjejas kandungannya?”

Soalan tersebut mengejutkan Ustaz Man. Tak terlintas di fikirannya.

“Bukan santau itu yang berkuasa menentukan baik dan buruknya nasib kandungan itu. Hanya Allah yang punyai hak untuk menentukan buruk baiknya kandungan tersebut. Setiap rezeki itu bukan ditentukan manusia, kerana semuanya datang mutlak dari Allah,” balas Ustaz Man.

“Insya-Allah,” tersenyum Abyatina.

“Kenapa Ina tanya begitu?”

“Sekadar bertanya saja…”

Walaupun mendatangkan kehairanan, Ustaz Man sekadar tersenyum tanpa bertanya selanjutnya pada malam itu.

“Mengandungkah Abyatina?” bisik Ustaz Man bersendirian.

Tengah hari itu, masing-masing menikmati hidangan. Dengan hembusan angin di tepi pantai, beralaskan tikar mengkuang, seisi keluarga bersama-sama merasai hidangan yang disediakan. Dengan kerjasama mantap dari Abyatina, Raiqah, dan Mak Cik Ros, dan turut dibantu Rafiqin dan Absyar, maka hidangan yang disediakan itu kelihatan sangat menyelerakan. Bertungkus lumus mereka memasak sebelum bertolak ke Teluk Batik.

Ustaz Man diangkat keluar setelah beberapa waktu dibiarkan ditanam di bawah pasir. Tersenyum sahaja Ustaz Man sebaik diangkat keluar. Zaafarani dan Zabarjad yang mengangkatnya.

“Sejuk benar pasirnya,” kata Ustaz Man.

“Insya-Allah ayah. Moga ada berkatnya. Moga boleh menghilangkan lumpuh tu,” luah Zaafarani.

Ustaz Man kemudian menyertai sesi makan tengah hari itu. Tenang wajah kelihatan padanya. Mungkin bahagia dan gembira.

Malam itu Abyatina termenung panjang di jendela. Setelah dua hari di kampung, kini Abyatina kembali ke rumahnya. Banyak perkara yang bermain di fikirannya, mungkin mengenangkan nasib siri dugaan demi dugaan yang dihadapinya.

“Ina takut kalau santau yang ada ni akan jadikan Ina sebagai isteri yang tak menjalankan tugasnya buat abang,” luah Abyatina.

“Insya-Allah.  Jangan risau. Bukan soal tanggungjawab yang perlu difikirkan, tapi kesihatan Ina yang lebih penting. Sihat Abyatina, sihatlah juga Rizqullah. Sihatkan diri, itu tanggungjawab Ina kini,” bicara Rizqullah.

Abyatina bangun di pertengahan malam. Tahajud yang diniatkan sebelum tidur akhirnya termakbul. Sebaik selesai berwuduk, maka Rizqullah juga terjaga dari tidurnya. Melihat Abyatina bangun untuk solat, maka Rizqullah juga turut mengatur langkah yang sama. Mereka bertahajud malam itu sehinggalah Subuh menjelma. Sayu dan tenang, bercampur dalam rasa kesyukuran.

“Moga Allah berkati Ina, sihat dan bertemu bahagia,” bisik Rizqullah sebaik selesai solat Subuh, mengusap kepala Abayatina saat salam dihulurkan isterinya itu.

“Abang, Ina nak minta maaf banyak-banyak. Mohon maaf yang tak terhingga”

“Mengapa pula? Salah apakah?”

“Mungkin berdosa buat Ina sebab rahsiakan begitu lama”

“Rahsia apakah? Besar sangatkah?”

“Minta maaf banyak-banyak abang….”  Abyatina sekali mencium tangan Rizqullah. Semakin hairan Rizqullah.

“Apakah silapmu Ina?” soal Rizqullah hairan.

“Ibarat elipsis, mesejnya masih boleh difahami walaupun perkataan itu dipadamkan,” bicara Abyatina.

“Elipsis?” Rizqullah semakin kurang jelas.

“Sekali lagi Ina mohon maaf banyak-banyak…”

“Ina, jangan terlalu serba salah. Walau apa pun silapnya, pintu maaf sentiasa akan ada. Tapi, apakah elipsisnya, apakah salahnya?” soal Rizqullah saat menggenggam erat tangan Abyatina.  

“Ini elipsisnya,” terang Abyatina saat tanggannya menarik tangan Rizqullah dan diletakkan di perutnya.

“Apakah?.....” Rizqullah terkelu.

“Mohon maaf kerana elipsis ini, maka abang tanpa sedar dalam perjalanan menjadi seorang ayah,” terang Abyatina.

“Apakah elipsis itu ialah hamil?” soal Rizqullah.

“Kadangkala deria sentuhan itu lebih berkuasa dari kata-kata. Maka dari situ ellipsis tercipta. Tak perlu dibicarakan, namun tetap dapat difahami,” kata Abyatina tersenyum sambil tangannya terus menggenggam tangan Rizqullah yang masih lagi berada di atas perutnya.

“Ya, sentuhan deria rasa punyai makna yang lebih besar. Syukur buatmu ya Allah….” Rizqullah terus memeluk Abyatina. Berita paling menggembirakan sejak perkahwinan mereka. Satu rahmat yang tak terkata.

“Maaf kerana berahsia,” bicara Abyatina.

“Perlukah maaf andai rahsia itu satu berita gembira?” soal Rizqullah tersenyum. “Ina, kamu memang licik, sembunyikan sehingga sesiapa pun tak tahu. Namun itulah nilai yang paling mahal yang ada dalam dirimu. Indah dan mungkin juga comel”

Kisah ulang alik ke klinik desa oleh Abyatina telah difahami Rizqullah. Rahsia dibuka pada pagi Subuh itu.

“Apa khabar ayah,” bicara Abyatina mengusik Rizqullah.

“Hai, ibu…”

Rizqullah terus mendukung Abyatina. Mungkin terlalu gembira. Dibawa Abyatina sehingga ke dapur. Rizqullah pada pagi itu menyiapkan sarapan khas. Abyatina sekadar berehat. Sekadar memerhati Rizqullah yang tekun memasak di dapur.

“Moga ada berkatnya buatmu Rizqullah,” bisik Abyatina sendirian. Tersenyum sahaja.






*Tamat sudah Bicara Tujuh Belas*

Apakah romantis Abyatina dan Rizqullah akan berterusan? Bertemu di lain bicara.


Nota: ‘Elipsis’ membawa maksud pengguguran sebahagian kata dalam suatu ungkapan, tetapi dapat difahami dalam konteks berkenaan. Misalan bagi soalan Sudah makan?, dijawab Sudah sahaja.
(Kamus Dewan Edisi Keempat)


**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 



 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina








Ahad, 15 Julai 2012

"Adina (Bicara Enam Belas)"




Mungkin ada benarnya jika cinta yang dikecapi punyai banyak halangan. Namun halangan itulah nikmatnya.

Bagi Abyatina, dari awal hinggalah saat itu, pelbagai rintangan muncul berterusan, tanpa henti, tanpa belas kasihan. Mungkin kepenatan, namun semuanya perlukan kekuatan dan ketabahan.

“Saat ini, mungkin susah itu banyak. Tapi saat depan, mungkin kita mampu nikmati kehidupan,” bicara Rizqullah sewaktu makan malam. Malam itu Abyatina seperti mengeluh panjang meluahkan tekanan kepada suaminya.

“Abang, kenapa orang baik macam kita selalu ditimpa musibah? Kenapa yang jahat dan busuk hatinya, bahagianya macam tak sudah? Senang lenang tanpa masalah?” soal Abyatina.

“Sayang Allah bukan terletak pada senangnya kehidupan, tapi sejauh mana kita rasai ketabahan atas dugaan dari-Nya,” balas Rizqullah.

Malam itu Abyatina dan Rizqullah menghabiskan masa di beranda kecil rumah. Berbual panjang ibarat tiada penghujungnya. Penyudahnya, malam itu malam yang sangat lewat buat mereka berdua untuk melelapkan mata.

Hari esoknya, Abyatina sibuk mengemas rumah. Rizqullah pula awal pagi telah ke pekan. Itulah pertama kali masing-masing menjadi sibuk dek mahu menyambut tetamu.  Abyatina bakal dikunjungi seluruh isi keluarganya. Kunjungan pertama secara besar-besaran, maka banyak kerja persiapannya.

Tujuan utama kunjungan tersebut tidak pula dinyatakan. Namun, kunjungan itu telah dimaklumkan adik Abyatina, Zabarjad menerusi perbualan telefon. Mungkin sekadar kunjungan biasa mahu melihat-lihat kehidupan Abyatina setelah setahun berkahwin. Mungkin satu ujian buat Rizqullah.

“Kenapa begitu negatif pandangan abangmu Ina?” soal Rizqullah di awal pagi. Termenung panjang Rizqullah pagi itu.

Kunjungan Zaafarani abang si Abyatina pada hari sebelumnya ternyata mendatangkan bingung buat Rizqullah. Kunjungan itu ibarat seribu satu tersirat, punyai maksud yang sukar ditafsirkan.

“Abang Zaf memang begitu. Mulutnya tak dijaga, selalu buat orang lain terasa di hati. Tapi niatnya baik,” bicara Abyatina.

Kunjungan abang Abyatina itu satu kejutan. Pada petang tersebut, perseteruan tercipta. Kunjungan yang pada mulanya sekadar bertanya khabar akhirnya bertukar kepada pertikaman lidah. Rizqullah dan Zaafarani berbalas hujah.

Zaafarani mengkritik Rizqullah. Katanya, Rizqullah bukan calon terbaik buat Abyatina. Katanya lagi, Abyatina sepatutnya lebih bahagia dari apa yang dinikmatinya kini. Katanya lagi, Abyatina lebih terseksa dari bahagia.

“Faham benarkah kamu dengan isteri saya?” soal Rizqullah menahan amarah.

“Mu bukan selayaknya nak nilai aku, abang kepada Abyatina,” balas Zaafarani.

“Bukan saya persoalkan. Tapi betulkah Abyatina terseksa? Betulkah Abyatina tak bahagia? Betulkah Abyatina tersilap pilih?” soal Rizqullah.

Bicara petang itu memang sangat panas. Masing-masing bertikam lidah. Hakikatnya, Zaafarani usianya lebih muda dari Rizqullah. Namun, gelaran sebagai abang ipar buat Rizqullah telah menyebabkan kata-kata yang dilemparkan kepada Rizqullah dilihat agak kurang ajar dan tidak menghormati Rizqullah yang lebih tua daripadanya.

“Dari awal aku tahu, kamu bukan orang yang sebaiknya buat Abyatina. Kamu hanya tambahkan kesedihan Abyatina,” bicara Zaafarani.

“Saya tahu apa yang terbaik buat Abyatina”
“Andai Abyatina terluka satu masa nanti, kamu tanggunglah akibatnya, sebab aku sentiasa menjaga Abyatina sampai bila-bila. Berapa banyak kamu ungkapkan cinta tidak akan bermakna andai hatimu telah mati dan kotor. Insaflah, kerana ungkapan cinta itu hanya akan menjadi satu kepuasan nafsu semata-mata, menidakkan kehebatan sebenar dari Yang Maha Esa," kata abang Abyatina.
Perbualan terhenti dan Zaafarni pulang meninggalkan Rizqullah di ruang tamu. Kunjungan yang pada awalnya disambut dengan baik oleh Rizqullah berakhir dengan kisah yang penuh amarah.

“Mengapa?” soal Abyatina tak lama kemudian.

“Soal hati dan perasaan, bila dinafikan, maka pedihnya bukan kepalang,” luah Rizqullah sedikit terkilan dengan kata-kata Zaafarani itu. Abyatina tanpa sedar terus memeluk Rizqullah.

Konflik antara Zaafarani dan Rizqullah bermula di fasa baru.

Menjelang tengah hari, kaum kerabat keluarga Abyatina berkunjung ke rumahnya. Tak semua yang hadir, kerana kunjungan itu tidak disertai keluarga Zaafarani. Mungkin pertikaman lidah pada hari sebelumnya telah menyebabkan abang Abyatina itu tidak muncul. Ibu dan ayah Abyatina juga tidak hadir pada tengah hari itu. Mungkin Ustaz Man tidak punyai kemampuan untuk hadir dek lumpuh separuh badan dan ibunya pula sudah semestinya harus berada di sisi Ustaz Man.

“Salam dikirim dari mereka,” bicara Raiqah, kakak Abayatina.

Walaupun rumah Abyatina kecil, namun seluruh isi keluarga dapat menikmati hidangan tengah hari dengan selesa. Kesemua masakan yang dihidangkan disediakan Abyatina, dengan bantuan Rizqullah sekali sekala. Rancangan asalnya, sesi makan tengah hari itu akan berlangsung di rumah ibu mertua Abyatina yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Namun, pada hari itu, keluarga mertuanya itu tiada di rumah, berada di Kuala Lumpur melawat kenalan keluarga yang sakit.

“Sambal telur Abyatina masih macam dulu. Memikat!” bicara Absyar, abang Abyatina sewaktu makan.

Memang kepakaran Abyatina. Air tangan Abyatina memasak sambal telur sangat memikat seluruh keluarganya. Resipi rahsia yang dipelajari dari arwah neneknya. Maka setiap kali Abyatina berada di dapur, seluruh isi keluarga akan memintanya memasak sambal telur.

Petang itu, Abyatina mengikut keluarganya pulang ke kampung. Rizqullah tidak dapat mengikut Abyatina kerana keesokannya adalah hari bekerja. Seperti biasa, awal pagi lagi Rizqullah perlu ke sekolah. Maka, sekali lagi Abyatina bersendirian pulang ke kampung.

“Makin berat untuk pulang ke kampung selepas apa yang jadi semalam,” luah Rizqullah kepada Abyatina sebelum isterinya itu bertolak pulang ke kampung. Abyatina menaiki kereta abangnya, Absyar.

“Lupakan saja kata-kata abang Zaf semalam,” pujuk Abyatina.

“Bukan mudah….”

Setibanya di kampung, perbualan mula bertukar dalam nada yang berbeza. Kisah Absyar abang Abyatina mengambil tempat. Khabarnya ternyata sesuatu yang mengukir senyuman di bibir Abyatina sendiri.

“Abangmu dah kemaruk nak berbini…” usik Raiqah, kakak Abyatina.

“Apa?” tersengih si Abyatina.

Kisahnya telah bermula awal lagi sebelum itu. Absyar telah meluahkan hasrat untuk berkahwin. Niat itu ternyata mengembirakan seluruh keluarga, namun kelucuan timbul tatkala luahan hasrat hati itu dinyatakan kepada Ustaz Man.

“Tapi, Syar tak ada calon….” luah Absyar kepada Ustaz Man.

“Pulak dah mu ni…,” balas Ustaz Man menepuk dahinya.

“Dah tu, macam mana nak kahwin kalau calonnya tak ada?” soal pula Mak Cik Ros, ibu Abyatina ketawa kecil.

“Err,…. Kalau dulu si Ina tu dijodohkan dengan proses pencarian, takkan tak boleh diaplikasikan untuk Syar juga?” soal Absyar.

“Abang nak jauh ke nak yang dekat?” soal Abyatina yang tiba-tiba muncul di ruang tamu.

“Ada beza ke?” soal Absyar.

“Kalau dekat, demam rindu dek panahan asmara waktu bertunang taklah wujud dalam kalbu di hati,” balas Abyatina berseloroh mengusik Absyar.

“Oh, macam Ina dululah ni. Rindu dek panahan asmara pada Rizqullah, sebab tunangnya berada jauh dari pandangan” usik Absyar kembali.

Terdiam Abyatina. Usikan kepada abangnya dipantulkan semula kepadanya.

“Cis, backfire….” bisik Abyatina sebelum menuju ke dapur.

Malam itu masing-masing menikmati hidangan makanan. Kesemua ahli keluarga hadir, kecuali keluarga Zaafarani yang berada di Pulau Pinang. Makan malam itu masing-masing tersenyum sahaja. Kelihatan seperti menahan kelucuan. Abyatina kadangkala tersengih, sambil menjeling abangnya Absyar. Raiqah turut menyertai sesi senyuman sambil menjeling itu. Absyar menjadi subjek utama yang menimbulkan kelucuan masing-masing. Zabarajad tak lama kemudian turut menyertai sesi sengih menyengih itu, dan di akhirnya Absyar menyedari sengihan-sengihan yang kelihatan sewaktu sesi makan malam itu.

“Ok, sengih tu tak salah. Tapi kenapa sampai berjemaah nak menyengih ni?” soal Absyar.

“Itu namanya berkat….” balas Zabarjad berseloroh.

Namun suasana ceria makan malam itu tidaklah seceria sebelum ini. Sejak Ustaz Man lumpuh, mereka tidak lagi dapat makan malam bersama. Ustaz Man hanya berada di atas, makan bersama Mak Cik Ros. Hanya kadangkala sahaja Ustaz Man akan turun ke dapur dengan bantuan anak-anaknya.

“Mungkin lagi ceria kalau ayah ada di sini, makan sekali dengan kita,” luah Abyatina sugul.

“Mungkin….” luah Raiqah.

“Hah, apa kata, kita bawak semua lauk-lauk dengan nasi ni, bawak naik ke atas. Meriahkan sikit suasana kat atas makan dengan ayah,” bicara Rafiqin, adik Abyatina. Rafiqin adik paling bongsu dalam keluarga, masih lagi belajar di tingkatan empat.

“Hah, cadangan bijak darimu,” bicara Raiqah.

Maka, rombongan makan malam itu bergerak naik ke atas. Lauk-pauk dan hidangan lain diangkut bersama. Abyatina membawa minuman, manakala Raiqah mengusung gelas. Rafiqin membawa lauk-pauk, dan Absyar membawa nasi. Zabarjad pula membawa tikar mengkuang. Sesi perkelahan bersambung di atas bersama Ustaz Man. Tersenyum Ustaz Man, saat kesemua ahli keluarga berkumpul di sisinya di ruang tamu. Saat paling mengharukan.

“Alang-alang menyeluk pekasam dah semuanya berkumpul di atas ni, alangkah bagus kalau kita keluarkan cadangan calon untuk Abang Lang kita yang dah kemaruk nak berbini….” usik Abyatina buat Absyar.

“Hah, kalau akak, bagi je Cik Nurul kampung sebelah tu,” Raiqah bersuara.

“Cik Nurul mana pulak tu?” soal Zabarjad.

“Alah Cik Nurul tukang jahit tu,” terang Abyatina.

“Bukan cikgu ke dia tu?” bicara Absyar tiba-tiba mencelah.

“Amboi, serba tahu ya!” Abyatina, Zabarjad, Rafiqin, dan Raiqah berkata serentak.

“Kitorang sendiri pun tak tau Cik Nurul kerja apa tau,”  bicara Abyatina.

Ustaz Man dan isterinya ketawa kecil. Suasana meriah dan ceria tercipta. Mengurangkan sedikit sunyi yang dirasakan.

“Apa kata kalau anak Mak Kiah kat sebelah kedai tu?” cadang pula Rafiqin.

“Hah, Mak Kiah? Ada anak perempuan ke dia tu?” soal Raiqah.

“Ada. Takkan akak tak tau?”

“Memanglah ada. Tapi anak dia tu baru 7 tahun,” ibu Abyatina bersuara sambil ketawa kecil.

“Hahaha, ada ke nak calonkan dengan Abang Lang,” bicara Abyatina ketawa.

“Tak pun Cik Tasha yang tinggal tepi masjid tu. Huh, orang dia lawa betul. Baru je habis belajar kat UKM dia tu,” cadang ibu Abyatina, turut mula menyertai perbualan berseloroh itu.

“Eh, bukan Shila ke namanya?” soal Absyar.

“Shila tu adik dia. Sekarang ni masih sekolah. Kan sebaya dengan Rafiqin,” terang Raiqah.

“Oh, akak dia tak pernah nampak pulak. Lawa ke?” soal Absyar.

“Nampaknya dah ada orang minat…” usik Abyatina tersenyum.

“Tanya jelah. Bukan berminat,” terang Absyar tegas.

“Tapi lawa tau Syar. Mak tengok pun tak berkedip mata,” bicara Mak Cik Ros.

Absyar sekadar tersenyum . Tiada lagi bicara darinya.

Suasana bertukar menjadi panik seketika. Saat masing-masing menikmati hidangan sambil berbual, Abyatina tiba-tiba batuk, dan berterusan tanpa henti. Batuknya semakin kuat membuatkan seisi keluarga menjadi risau.

“Ina tak apa-apa ke?” soal Raiqah sambil menggosok belakang Abyatina cuba membantu sekadar yang termampu.

Abyatina sekadar menggelengkan kepalanya. Kedua-dua tapak tangannya menutup mulut menahan batuk yang tak berhenti. Namun batuk itu masih berterusan terus menggusarkan yang lain.

Ustaz Man memandang penuh kerisauan. Dia tahu, ada yang tak kena pada Abyatina.

Penyudahnya, Abyatina terkejut. Darah memenuhi tangan yang menekup mulutnya. Tambah mengejutkan, serpihan-serpihan kaca turut kelihatan di tapak tangannya itu. Terkesima dan terdiam.

“Kenapa ada kaca?” soal ibu Abyatina spontan.

Ustaz Man memerhatikan kaca di tapak tangan Abyatina. Kaca yang bercampur darah yang keluar dari mulut Abyatina itu sesuatu yang luar biasa.

“Selalu jadi macam ni Ina?” soal Ustaz Man.

Abyatina sekadar mengangguk. Tidak lagi mampu berbicara. Dadanya terasa cukup pedih.

“Inilah namanya santau. Ilmu paling halus, membinasakan mangsanya sedikit demi sedikit,” bicara Ustaz Man.

“Santau?” soal ibu Abyatina terkejut.

Malam itu kisah Abyatina sekali lagi menjadi tumpuan. Jika selama ini sakit Abyatina dalam kesamaran, malam itu semuanya terungkai. Kaca demi kaca keluar dari mulut Abyatina tanpa henti. Darah berterusan tersembur keluar.  Abyatina semakin lemah. Tidak bermaya tak lama kemudian.

“Allahuakbar!” ibu Abyatina menjerit takala Abyatina terus rebah di atas ribanya.

Abyatina dibawa masuk ke bilik. Ustaz Man menggagahkan diri mengambil wuduk, dan bacaan Yassin dimulakannya.  Malam itu situasi menjadi kelam kabut.

“Jadi benarlah Abyatina disihir?” soal Rizqullah pada hari keesokannya. Awal pagi lagi dia tiba di kampung Abyatina apabila mendapat khabar berita tersebut.

“Mu lebih tahu dari kami semua,” balas Ustaz Man.

“Saya tahu Abyatina sakit. Tapi saya buntu, tak tahu apa sakitnya,” balas Rizqullah. “Mungkin disihir, tapi apa buktinya? Sebab tu saya putuskan, biar ayah saja yang cuba ubatkan Ina,” terang Rizqullah.

“Tak, apa. Semuanya dah makin jelas. Kaca yang keluar itu tandanya santau dah menyerang tubuh Abyatina,” bicara Ustaz Man. “Insya-Allah, sama-sama kita ubatkan sampai sembuh”

Abyatina tiba-tiba keluar dari bilik, muncul di ruang tamu apabila menyedari kehadiran Rizqullah. Tersenyum sedikit sebelum menghulurkan tangan untuk bersalam. Suaminya muncul di pagi itu. Lantas spontan bersuara.

“Boleh tak teman Ina pergi ke klinik hari ni?” soal Abyatina.

“Di mana kliniknya? Apa tujuannya?” soal Rizqullah hairan.

“Klinik desa sini je. Boleh atau tak?” soal Abyatina.

“Nak dukung sampai ke klinik pun boleh,” seloroh Rizqullah.

Abyatina sekadar tersenyum. Pagi bertukar ceria. Abyatina pulih semula. Tidak lagi lemah seperti malam sebelumnya.

“Assalamualaikum”

Salam kedengaran. Masing-masing kehairanan. Tetamu di awal pagi, sesuatu yang jarang berlaku. Maka Abyatina terus menjenguk ke arah tingkap, melihat tetamu yang berkunjung itu.

“Hah, abang alien?” luah Abyatina spontan.

“Alien?” Rizqullah kehairanan.

Yaqzan berdiri di halaman rumah. Kelihatan tenang, sambil pandangannya terus menunduk melihat tanah. Abyatina terkejut, Rizqullah kehairanan. Yaqzan yang khabarnya telah lama tidak kedengaran tiba-tiba muncul pada pagi itu.

“Apakah yang dimahukannya lagi?” soal Abyatina hairan.

“Dan kenapakah Ina memanggilnya alien?” Rizqullah pula tiba-tiba mencelah. Sedikit kelucuan timbul.

Masing-masing berpandangan. Tidak tahu langkah yang perlu dilakukan.





*Tamat sudah Bicara Enam Belas*

Apakah Yaqzan akan menyerang sekali lagi? Akan bersambung di lain bicara.

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 

"I was born to love you mum"
  


*Terima kasih kepada saudari Aida atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.

 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina







Sabtu, 7 Julai 2012

Yazid Rosly jawab soalan: Edisi Dua




Agak lama juga entri berbentuk soalan tidak diposkan di blog. Pelbagai soalan diajukan kepada saya menerusi Facebook mahupun e-mel. Bukanlah seorang yang sangat popular, namun apabila ada yang bertanya dan mengajukan soalan kepada saya, maka rasa terharu itu wujud. Maka ini adalah Edisi Kedua bagi ‘Yazid Rosly jawab soalan.

Terdapat puluhan soalan ditanya, namun dipilih beberapa soalan sahaja. Soalan-soalan ini telah terperam hampir berbulan lamanya dan ada yang telah dijawab, serta ada yang masih tidak berbalas.

Edisi Dua.

Soalan: Apakah pandangan politik Yazid yang sebenar? Apakah menyokong kerajaan ataupun menyokong pembangkang? Baru-baru ini kedengaran cakap-cakap yang Yazid sertai Pemuda UMNO. Benarkah?

Pandangan politik saya sehingga kini masih lagi bersifat neutral, membawa maksud saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Penilaian dan pandangan saya mengenai dunia politik Malaysia adalah berpaksikan kepada nilai berkecuali. Harus diakui, keluarga saya adalah penyokong kuat sebelah parti, namun itu tidaklah mempengaruhi pandangan politik saya pada waktu ini.

Mengenai khabar angin nyatakan bahawa saya telah sertai Pemuda UMNO, cerita tersebut adalah tidak benar. Sehingga kini saya masih tidak menyertai mana-mana organisasi dan parti politik. Tambahan pula, saya masih terikat dengan peraturan AUKU, dan semestinya amat mustahil untuk saya mengaktifkan diri dengan politik.

Saya akan menyokong mana-mana dasar kerajaan yang bagus untuk rakyat, namun pada masa yang sama andai pihak pembangkang memberikan pandangan dan idea yang bernas, maka saya juga akan menyokong mereka.

Mungkin di masa akan datang, saya akan menyatakan sokongan saya terhadap mana-mana parti politik, namun untuk kini, saya masih berkecuali.


Soalan: Benarkah Yazid aktif dengan pelbagai program di bawah UMNO? Dengar cerita Yazid banyak terlibat dengan aktiviti berkaitan UMNO.

Tidak sama sekali. Saya tidak aktif dengan mana-mana program berkaitan politik ataupun program anjuran parti politik. Namun, sebelum menyambung pengajian di UPSI, saya ada mengikuti beberapa program politik. Itupun sewaktu pilihanraya Bukit Gantang tahun 2009. Pada waktu itu saya ada mengikuti beberapa siri ceramah politik pada waktu itu. Baik di kem Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, kedua-keduanya saya ikuti siri jelajah ceramah mereka.

Saya masih ingat pada waktu itu, saya ada menyertai perhimpunan yang menyaksikan Tun Dr Mahthir Mohamad berucap di Simpang. Saya juga tidak ketinggalan mengikuti siri ceramah Datuk Seri Nizar di Ayer Kuning. Malah saya juga berkesempatan bersalam dengan Datuk Seri Nizar pada waktu itu. Saya juga turut menghadiri majlis Tan Seri Muhyiddin Yassin yang pada waktu itu baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Sekiranya disoal tentang keterlibatan saya dalam dunia politik, maka pilhanraya Bukit Gantang itu sajalah yang boleh dikaitkan.

Namun saya akui, selepas menyambung pengajian di UPSI, saya tidak sama sekali menyertai mana-mana program politik kerana keterbatasan masa.

Baik BN mahupun PR, andai program itu bermanfaat, adalah sesuatu yang tidak salah untuk menyertainya.

Soalan: Apakah status sebenar Yazid? Solo atau telah berpunya?

Solo dan tidak berpunya. Sehingga kini, soal sedemikian memang tidak terlintas di fikiran. Ya, mungkin sebelum ini kedengaran perkhabaran tentang soal pertunangan dan sebagainya, namun semua kisah dan khabar berita itu kini hanya tinggal kenangan sahaja. Kisah yang terjadi itu biarlah menjadi rahsia yang sukar untuk dikongsikan.

Pada waktu ini, saya tidak memiliki mana-mana wanita, dan untuk memikirkan soal hati dan perasaan pada waktu ini, sesungguhnya adalah amat jauh sekali. Lebih selesa ‘bercinta’ dengan tulisan dan mata pena pada waktu ini.

Namun, andai terjumpa mana-mana yang terpikat di hati, mungkin kisah berikutnya akan berlainan. Mungkin.

Soalan: Adakah terdapat perkaitan di antara watak Thahirah dalam cerpen “Kiblat Cintaku” dengan Thahirah Kamarulail, individu yang gambarnya disiarkan di dalam cerpen tersebut? Apakah hubungan Yazid dengannya?

Tiada perkaitan sama sekali. Thahirah yang digambarkan dalam cerpen “Kiblat Cintaku” adalah sama sekali berbeza perwatakannya dengan Thahirah Kamarulail. Tiada sebarang perkaitan di antara watak Thahirah dalam cerpen tersebut dengan Thahirah yang sebenar. Semua kisah dalam cerpen tersebut adalah rekaan semata-mata.

Thahirah Kamarulail adalah sahabat lama sewaktu di sekolah dahulu. Kini sekadar berhubung di Facebook sahaja.

Watak Thahirah itu dicipta sebelum disiarkan gambar tersebut. Watak Thahirah bukan berinspirasi daripada gambar tersebut.  Kebetulan apabila siap, saya meminta izin kepada Thahirah untuk disiarkan gambarnya sebagai pembuka bicara cerpen tersebut. Maka, sememangnya tiada perkaitan dengan individu di dalam gambar tersebut.

Soalan: Mengapa siri Adina semakin lambat diposkan di blog?

Keterbatasan waktu adalah sebabnya. Untuk semester empat, saya ternyata tidak mempunyai ruang yang banyak untuk digunakan bagi penghasilan siri Adina. Tambahan pula, faktor kesihatan juga menjadi penghalang besar untuk saya hasilkan siri baru Adina. Malah, hakikatnya penceritaan dalam siri Adina semakin rumit. Maka masa yang banyak diperlukan supaya penceritaan dalam siri baru Adina akan lebih baik dan menarik.

Soalan: Betul ke Yazid tak reti pakai selipar?

Lawak juga soalan ni. Namun memang benar, saya tak reti pakai selipar. Memang dari kecil lagi saya tak pandai kalau berjalan menggunakan selipar. Kaki akan menjadi kekok untuk berjalan sekiranya menggunakan selipar. Maka, untuk ke mana sahaja, saya akan memilih sandal ataupun kasut sarung untuk bergerak. Jika sandal pun, saya akan pastikan sandal tersebut tidak memerlukan saya mengepitnya menggunakan jari kaki saya. Agak memalukan, namun itulah hakikatnya. Memang tak reti pakai selipar.

Soalan: Saya lihat di Facebook, Yazid selalu berkongsi pelbagai perkara yang berfaedah dalam status. Namun pada masa yang sama, kadangkala saya lihat Yazid sering juga berkongsi video-video dari artis-artis luar negara. Mengapa ya?

Mengapa? Soalnya salahkah perkongsian tersebut?

Saya tak pasti, namun bagi saya perkongsian di Facebook bukanlah harus dijumudkan kepada perkongsian berkaitan agama semata-mata, kerana hakikatnya Facebook berfungsi sebagai laman sosial, dan bukannya laman untuk berdakwah semata-mata.

Di Facebook, saya akan berkongsi pendapat dan fikiran saya. Mana yang baik akan dikongsikan. Saya juga akan berkongsi lagu dan video yang digemari dan diminati. Benar, mungkin saya banyak meminati lagu-lagu dari artis luar negara, namun itu tak bermakna saya kurang dalam soal hal keagamaan. Jangan dijumudkan, bila minat pada perkara hiburan, maka seseorang itu telah jauh dari agamanya. Salah tafsiran itu, kerana Facebook bukanlah satu-satunya dunia yang kita ada.


Soalan: Mengapa siri Adina semakin lama semakin perlahan dihasilkan dan diterbitkan di blog?

Entahlah. Sukar nak dijelaskan. Namun, saya akui, proses penghasilan siri Adina semakin lama semakin sukar. Mungkin itulah punca semakin lama semakin lambat penghasilan siri ini. Tidak seperti di awal sirinya yang menyaksikan kerancakan penulisan siri ini, kini saya merasakan proses menulisnya semakin payah dan rumit.

Mungkin kerana konflik dan ceritanya yang semakin kompleks dan semakin berkembang menyebabkan penulisan bagi siri ini semakin perlahan dan sukar. Saya akui, apabila menulis Siri Adina (Bicara Sepuluh), kesukaran itu mula dirasainya. Selepas siri itulah, penghasilan siri-siri berikut dalam siri Adina mula semakin perlahan.

Malah kini, apabila mahu menulis siri Adina, untuk menulis beberapa baris ayat pun cukup sukar dan kadangkala mengambil masa yang agak lama. Mungkin sedang mengalami “writer’s block” atau mungkin proses menulis itu menjadi terlalu rumit.

Saya tak pasti akan ada lagi siri Adina untuk berikutnya, namun selepas siri Adina (Bicara Enam Belas), mungkin saya akan rehatkan siri ini dalam tempoh yang cukup lama, atau dihentikan sahaja siri ini. Mungkin.

Mungkin Siri Adina tidak akan menemui penamatnya.

Soalan: Siapakah pelakon yang paling Yazid minati sekarang?

Tasha Shilla dan Tiz Zaqyah semestinya. Dua pelakon ini punyai karektor yang sangat menarik selain mutu lakonan yang cukup mantap. Saya mula meminati Tiz Zaqyah sejak di awal pembabitannya sewaktu menjadi pelakon tambahan dalam siri Impian Ilyana di TV3 lagi. Apabila Tiz menjadi pelakon utama dalam drama bersiri Nur Kasih, minat terhadap pelakon ini memang tak dapat disangkal lagi.

Bagi Tasha Shilla pula, saya mula meminati lakonannya dalam drama bersiri Gemilang, drama terawal lakonannya. Saya cukup suka melihat penghayatan watak yang dilakonkan Tasha Shilla. Kelihatan mantap walaupun pada waktu itu Tasha baru berada di awal pembabitan dalam dunia lakonan.

Kesemua drama lakonannya akan saya tonton. Saya memang mengikuti setiap perkembangan Tasha. Setiap drama terbaru lakonannya akan saya tonton. Mungkin agak fanatik, namun itu bukanlah suatu kesalahan.

Berkaitan kontroversi di antara Tasha Shilla dan Neelofa, semestinya saya menyokong Tasha Shilla. Yalah, mengapa perlu dipersoalkan kemenangan Tasha dalam Anugerah Bintang Popular tersebut? Neelofa dah kelihatan seperti kemaruk nak menang pula. Bukan nak memperkecilkan Neelofa, namun dari sudut mutu lakonan, saya fikir Tasha jauh lebih baik dari Neelofa. 

Namun sedih, kerana rupanya tak ramai yang mengenali Tasha Shilla. Pelik juga bila difikirkan.

Ya, kedua-dua pelakon memang cantik dan mempesona. Mungkin itu juga salah satu faktor. Tiz dan Tasha, dua pelakon yang menjadi pilihan saya.

Soalan: Antara BN dan PR, mana yang menjadi pilihan Yazid?

Saya menyokong mana-mana yang mendokong dan memperjuangkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat. Bukan BN atau PR, tapi Islam itu yang saya sokong.

Soalan: Yazid peminat fanatik kumpulan Queen ke?

Ya, semestinya kerana Queen adalah sebuah band terbaik yang pernah muncul dalam industri muzik dunia. Itu pandangan saya.

Soalan: Apakah ciri-ciri isteri yang Yazid impikan?

‘Complicated’ soalan tersebut. Namun yang pasti, perkara pertama yang saya mahukan sudah semestinya seorang wanita yang mantap pegangan agamanya.

Orangnya mesti dari kawasan Utara Malaysia (Pulau Pinang, Kedah, Perlis, atau Perak Utara) supaya loghat utara akan terus kekal dan mekar dalam keluarga saya nanti. Kalau boleh, asal usulnya dari kawasan desa dan kampung. Petah berbicara, dan seorang yang berani. Pandai memasak, dan bijak dalam soal pengurusan kewangan. Seorang yang kreatif. Kalau boleh juga, biarlah seorang guru seperti saya (sangat suka guru tadika). Suka pada kanak-kanak.

Seorang yang berdikari dan tajam pemikirannya. Seorang yang rajin membaca, dan paling penting bahan bacaan berilmiah.

Kalau ciri fizikal pula, saya impikan seorang yang berkulit putih mulus (putih melepak). Tak terlalu tinggi, lebih baik rendah sikit dari saya. Suka seorang yang ada lesung pipit, sebab manis kalau tersenyum. Namun ciri-ciri fizikal ini bukanlah keutamaan. Apa yang penting ialah hati yang ikhlas dan bersih.

Ah, indahnya membayangkan ciri-ciri yang diinginkan. Insya-Allah.

Soalan: Kalau dah berkeluarga, berapa orang anak yang Yazid nak?

Empat orang. Dua lelaki, dua perempuan. Tapi semua ni rezeki dari Allah. Jauh lagi nak difikirkan.


Soalan: Apakah tempat yang paling tak disukai untuk dikunjungi?

Hospital, kedai gunting rambut, bank, dan tempat-tempat yang memerlukan urusan kaunter.

Mungkin kerana itu, bila cuti saja, rambut dibiarkan panjang, dan tidak selalu mengeluarkan wang bila berada di rumah. Semua urusan pembayaran bil dan yuran juga dilakukan secara online sahaja.

Soalan: Selain membaca dan menulis, apakah aktiviti yang sering dilakukan bila lapang?

Melukis. Walaupun tak cantik lukisannya, namun melukis dapat beri ketenangan. Ya, saya tak warisi bakat seni lukis yang ada pada ayah. Namun, minat melukis itu masih ada.

Soalan: Berapakah umur yang menjadi sasaran Yazid untuk berkahwin?

Mungkin 30 tahun. Itulah umur sewaktu ayah saya berkahwin dulu. Bukan mahu ikut jejaknya, namun gerak hati saya merasakan mungkin itulah umur paling sesuai untuk saya berkahwin. Persediaan untuk mendirikan rumah tangga bukanlah satu perkara yang mudah. Persediaan yang mantap harus ada.

Soalan: Jodoh, apakah pilihan ibu atau pilihan sendiri yang akan dipilih Yazid?

Kalau boleh biarlah pilihan sendiri. Namun kalau susah dan masih tak jumpa jodohnya, mungkin minta mak tolong carikan. Ada berkatnya juga. Namun macam menyusahkan mak pula. Jauh lagi soal tersebut. Semuanya ketentuan Allah.

Soalan: Berapakah jumlah keseluruhan Siri Adina yang akan Yazid poskan di blog?

Mungkin dalam 60 siri kesemuanya. Saya tak pasti lagi, kerana jalan ceritanya memang sangat panjang. Namun sekarang sedang mengalami kebuntuan dalam proses penulisan bagi siri ini.

Soalan: Jika tidak memilih bidang pendidikan, apakah bidang yang Yazid akan pilih?

Sebenarnya, pada asalnya bidang pendidikan bukan pilihan saya. Minat saya lebih cederung kepada bidang undang-undang. Saya lebih berminat untuk menjadi seorang peguam berbanding guru.  Namun, di akhirnya gerak hati sewaktu mengisi borang UPU telah mengubah pendirian saya. Semuanya atas dorongan dan galakan dari ayah sendiri yang juga seorang guru.

Benar, guru gajinya sikit, tapi banyak berkatnya.