"Adina (Bicara Tujuh Belas)"





“Lumpuh ayah boleh diubatkan dengan izin Allah”

“Sama-sama usahakan, moga ayah dapat berjalan semula,” bicara Raiqah.

“Ada yang cakap, kalau kita selalu amalkan tanam badan dalam pasir pantai, nanti kaki boleh sembuh dari lumpuh,” bicara Abyatina.

“Nanti kita usahakan,” ibu Abyatina tiba-tiba muncul di ruang tamu. “Usaha dan tawakal, sama-sama berdoa, moga Allah beri izin”

Rizqullah muncul semula di ruang tamu. Ceria sahaja wajahnya sambil memandang tepat wajah Abyatina.  Rizqullah keluar sebentar bersama Zabarjad, pergi ke kedai membeli sedikit barangan dapur.

“Boleh saja kalau nak bawak ayah ke Teluk Batik. Pasir pantai sana mungkin sesuai, dan anginnya juga sangat menenangkan. Boleh juga berkelah satu keluarga,” bicara Rizqullah.

“Sambil menyelam, minum air,” kata Abyatina.

“Nak lemas kalau buat macam tu?” soal Rizqullah berseloroh. Abyatina sekadar tersenyum.

Rizqullah kemudian menemani Abyatina pergi ke klinik desa. Seperti yang dijanjikan, pagi itu Abyatina ke klinik atas urusan yang tidak diketahui Rizqullah. Klinik tersebut tidaklah jauh dari rumah, namun bila berteman lain suasananya.

“Rasanya pertama kali kan kita jalan pagi-pagi macam ni….”

“Yalah, sebab selalunya waktu pagi-pagi macam ni Ina berdengkur lagi kan,” usik Rizqullah.

“Ish, mana ada. Tak pernah tau…”

“Jadi, mengapa dan kenapa?” soal Rizqullah.

“Apa dan kenapa?”

“Ke klinik. Kenapa?”

“Private and confidential…” balas Abyatina tersenyum sahaja.

“Hah? Dengan suami sendiri pun?”

Abyatina sekadar tersenyum, dan mereka tiba di klinik desa. Kelihatan ramai juga yang menunggu, sesuatu yang jarang berlaku sekiranya Abyatina berkunjung ke klinik.

“Katanya ada pemeriksaan kesihatan percuma,” terang Tasha yang turut berada di klinik.

“Oh, patutlah berbondong-bondong datang ke sini pagi ni,” balas Abyatina. Senyuman terukir di wajahnya.

“Siapa tu?” soal Rizqullah.

“Itulah Tasha,” balas Abyatina.

“Tasha?”

“Itulah bakal adik ipar kita…” Abyatina mengukir senyuman.

“Hah, untuk siapa?”

“Lawa tak?” soal Abyatina langsung tidak menjawab pertanyaan Rizqullah.

“Lawa…. Lawanya mengalahkan Ina. Matanya boleh menggunturkan jiwa. Berdegup saatku memandangnya” Rizqullah berseloroh.

“Amboi, nanti ada juga yang yang kena cucuk jarum doktor kot…”

Abyatina tak lama kemudian masuk ke bilik doktor, dan Rizqullah menanti di luar. Kejanggalan dirasai kerana saat itu, hanya Rizqullah sahaja lelaki yang berada di klinik tersebut. Segan dirasakannya, namun ditebalkan sahaja mukanya. Tidak lama kemudian, barulah Rizqullah tahu, pagi itu adalah hari pemeriksaan percuma buat kaum wanita sahaja.

“Aduhai….” keluh Rizqullah.

Kepulangan Abyatina dari klinik ditemani Rizqullah ternyata mengundang seribu satu persoalan. Rizqullah sangat hairan kerana Abyatina berubah menjadi seorang yang berahsia. Langsung tidak menyatakan tujuannya ke klinik desa tersebut. Malah, persoalan makin bertambah apabila Abyatina menyatakan bahawa dia telah ke klinik tersebut beberapa kali.

“Sakitkah Abyatina? Ya, memang sakit, tapi ada sakit lainkah?” bisik Rizqullah sendirian berjalan di sisi Abyatina pulang ke rumah.

Kisah Yaqzan mengambil tempat saat mereka tiba di rumah. Raiqah membuka bicara terkejut dengan kunjungan secara tiba-tiba Yaqzan pada pagi itu. Namun, belum sempat Yaqzan naik ke rumah, Zabarajad muncul tiba-tiba. Zabarjad dalam nada marah meminta Yaqzan meninggalkan halaman rumah mereka.

“Kenapa Yaqzan muncul?” Abyatina kehairanan.

“Kenapa Yaqzan itu menjadi alien?” soal Rizqullah berseloroh.

“Abang Riz, panjang kisahnya. Ibarat filem Star Wars yang bersambung-sambung sirinya,” balas Zabarjad berseloroh.

“Dan apa kaitan dengan Star Wars?” soal Rizqullah bertambah hairan.

“Yaqzan tu ibarat Darth Vader, dan Rizqullah ni ibarat Luke Skywalker,” ibu Abyatina tiba-tiba mencelah.

“Hah?” Abyatina terkejut. Masing-masing berpandangan. Rizqullah tersenyum, Zabarjad ketawa kecil. Situasi di dapur bertukar kelucuan. Mak Cik Ros rupa-rupanya pengikut setia filem Star Wars. Sungguh tak disangka mereka.

“Eh, dulu pun pernah melalui zaman muda mudi juga…” balas ibu Abyatina tersenyum.

Sekeluarga ketawa. Lucu dirasakan.

Cadangan untuk membawa Ustaz Man ke Teluk Batik ditimbulkan semula oleh Rizqullah pada tengah harinya. Maka kisah seterusnya adalah perancangan seorang demi seorang oleh setiap ahli keluarga. Ustaz Man tidak mengetahui perbincangan tersebut, kerana sesi perbincangan itu berlangsung di dapur.

“Mungkin hari esok sama-sama kita bawa ayah ke pantai,” bicara Raiqah, kakak sulung Abyatina.

“Kalau boleh biarlah semua pergi, sama-sama temankan ayahmu,” pinta ibu Abyatina.

“Maknanya kenalah telefon abang Zaf,” kata Abyatina.

Rizqullah berubah sedikit wajahnya. Air mukanya menjadi berbeza. Namun hanya diam dan membisu sahaja.

Malam itu, Abyatina ke meja tulis. Membuka kembali buku notanya. Sudah lama tidak dinukilkan sesuatu di atasnya. Maka, dalam senyuman, pena diambil, dan bicara diperdengarkan di atas helaian muka surat itu.

“Sejauh mana dugaan Allah, andai hati senantiasa mengingati-Nya, maka kusut itu tak akan menjengah. Sesungguhnya, saat kesusahan itu, doa dan tawakal adalah ubat paling mujarab, dan pemanisnya ialah sokongan dari insan yang disayangi. Bila seorang suami ada di sisi isterinya, sepahit mana pun rintangan itu, manisnya masih akan terjelma”

Pena diletakkan. Mata Abyatina terpejam. Lena di meja tersebut. Rizqullah tersenyum saat masuk ke dalam bilik. Lantas diangkat Abyatina, lalu diletakkan di atas katil. Mungkin Abyatina sangat keletihan. Dahi Abyatina dikucup Rizqullah.

“Selamat malam Abyatinaku,” bisik Rizqullah.

Dalam konflik dan pelbagai persoalan yang terwujud, Abyatina tenang mengharunginya. Memang sukar, namun itulah resam dunia. Rizqullah ternyata faham akan keadaan tersebut, terus menyokong Abyatina walaupun terlalu banyak ujiannya.

“Mungkinkah Yaqzan yang menyihir Abyatina?” soal Raiqah kepada Rizqullah pada petang itu. Perbualan tercipta di beranda rumah.

“Pada fikiran saya memanglah itu yang terlintas. Tapi, tuduh tanpa bukti, tak ubah seperti mencipta fitnah secara melulu,” balas Rizqullah. “Buruknya padah…”

“Yalah, tapi bila diikutkan logik, semuanya tak mustahil. Dari dulu lagi si Yaqzan tu memang sukakan Abyatina, dan sampai sekarang masih lagi kekal perasaan suka tu. Jadi tak mustahil bukan?”

“Logik kalau tak disokong bukti ibarat pokok, bunganya banyak, buahnya tak pernah muncul,” balas Rizqullah.

“Banyak bukti tanpa sedar kita boleh tengok. Kenapa Yaqzan boleh muncul tiba-tiba jadi jurukamera pada majlis kahwin mu dulu, sedangkan tak seorang pun jemputnya? Kenapa sebelum majlis kahwin tu, Yaqzan cetuskan gempar bila biarkan Abyatina peluknya? Dan kenapa tiba-tiba Yaqzan mengamuk datang ke rumah marahkan mu, sambil tangan membawa parang? Kebetulan? Memang tak dirancang? Di luar kawalannya?” soal Raiqah.

Rizqullah terdiam. Terus duduk di anak tangga batu di beranda rumah. Berfikir panjang.

“Mungkinkah beras dan pasir yang bertaburan di atas katil sewaktu majlis perkahwinan itu ada makna tersiratnya?” luah Rizqullah. “Apakah itu tandanya satu bentuk sihir?”

Fikiran Rizqullah mengimbas kembali malam hari perkahwinan itu. Abyatina dan Rizqullah berada dalam kehairanan apabila mendapati terdapat beras dan pasir ditabur di atas katil mereka. Namun, kisah itu tidak pernah dikongsikan dengan sesiapa. Menjadi rahsia buat mereka berdua.

“Beras dan pasir? Di mana, dan bagaimana?” soal Raiqah kehairanan.

“Panjang ceritanya….”

Keesokan harinya, seluruh ahli keluarga sibuk kembali. Kali ini melakukan persiapan untuk ke Teluk Batik. Ustaz Man akan dibawa ke sana, merasai pasir pantai di sana, mencuba cara tradisional bagi mengubati lumpuh Ustaz Man. Pada masa yang sama, seisi keluarga juga akan menikmati sesi perkelahan.

“Sudah lama detik sebegini tak dirasai,” luah Abyatina, orang paling gembira pagi itu. Teruja tidak lagi dapat dilindung.

Keluarga Zaafarani muncul pagi itu. Raiqah yang menelefon Zaafarani. Situasi itu tidak disenangi Rizqullah. Sebolehnya, Rizqullah mahu cuba mengelak dari bertembung dengan Zaafarani setelah konflik yang telah melanda.

“Anggap apa yang terjadi sebelum ini tak pernah terjadi,” bicara Abyatina memujuk Rizqullah.

“Menafikan apa yang terjadi tak semudah disangka bila hati dah terguris,” balas Rizqullah.

Maka, bermulalah perjalanan dari kampung ke Teluk Batik. Tiga buah kereta bergerak, dan perjalanannya hampir satu jam setengah.

Abyatina dan Rizqullah banyak menghabiskan masa bersama berjalan-jalan di tepi pantai. Mereka mencari privasi sendiri, mungkin mahu nikmati hari indah bersama. Ustaz Man pula menikmati dingin pasir pantai sebaik ditanam separuh badan. Zaafarani yang banyak membantu Ustaz Man, dibantu juga Zabarjad dan Absyar. Proses menanam itu dipenuhi dengan gelak ketawa.

“Jangan ada tungau merayap sudah…” seloroh Ustaz Man tersenyum.

Zaafarani dan Rizqullah langsung tidak bertegur sapa. Rizqullah lebih banyak mengelakkan dirinya dari Zaafarani dan perkara ini disedari Abyatina. Maka, mungkin itulah sebabnya Abyatina mengajak Rizqullah berjalan-jalan di tepi pantai.  Saat yang lain menikmati perkelahan, Abyatina dan Rizqullah hilang jauh dari pandangan.

“Biarkanlah. Orang baru kahwin, manisnya masih banyak lagi,” bicara ibu Abyatina.

“Dah setahun kahwinnya. Manisnya macam tak pernah hilang,” kata Raiqah.

“Biarkan saja. Sementara masih berdua lagi. Nanti kalau dah bertiga, tak ada peluang dah,” bicara Ustaz Man berbaring di dalam pasir pantai. Mak Cik Ros setia duduk di sisi Ustaz Man.

“Bertiga?” soal Mak Cik Ros hairan.

Ustaz Man sekadar tersenyum. Fikirannya terus teringat kembali akan perbualannya dengan Abyatina malam sebelumnya. Abyatina bangun seawal tiga pagi mengejutkan Ustaz Man yang bertahajud.

“Apakah ada kesan santau buat orang yang mengandung?” soal Abyatina.  “Apakah akan terjejas kandungannya?”

Soalan tersebut mengejutkan Ustaz Man. Tak terlintas di fikirannya.

“Bukan santau itu yang berkuasa menentukan baik dan buruknya nasib kandungan itu. Hanya Allah yang punyai hak untuk menentukan buruk baiknya kandungan tersebut. Setiap rezeki itu bukan ditentukan manusia, kerana semuanya datang mutlak dari Allah,” balas Ustaz Man.

“Insya-Allah,” tersenyum Abyatina.

“Kenapa Ina tanya begitu?”

“Sekadar bertanya saja…”

Walaupun mendatangkan kehairanan, Ustaz Man sekadar tersenyum tanpa bertanya selanjutnya pada malam itu.

“Mengandungkah Abyatina?” bisik Ustaz Man bersendirian.

Tengah hari itu, masing-masing menikmati hidangan. Dengan hembusan angin di tepi pantai, beralaskan tikar mengkuang, seisi keluarga bersama-sama merasai hidangan yang disediakan. Dengan kerjasama mantap dari Abyatina, Raiqah, dan Mak Cik Ros, dan turut dibantu Rafiqin dan Absyar, maka hidangan yang disediakan itu kelihatan sangat menyelerakan. Bertungkus lumus mereka memasak sebelum bertolak ke Teluk Batik.

Ustaz Man diangkat keluar setelah beberapa waktu dibiarkan ditanam di bawah pasir. Tersenyum sahaja Ustaz Man sebaik diangkat keluar. Zaafarani dan Zabarjad yang mengangkatnya.

“Sejuk benar pasirnya,” kata Ustaz Man.

“Insya-Allah ayah. Moga ada berkatnya. Moga boleh menghilangkan lumpuh tu,” luah Zaafarani.

Ustaz Man kemudian menyertai sesi makan tengah hari itu. Tenang wajah kelihatan padanya. Mungkin bahagia dan gembira.

Malam itu Abyatina termenung panjang di jendela. Setelah dua hari di kampung, kini Abyatina kembali ke rumahnya. Banyak perkara yang bermain di fikirannya, mungkin mengenangkan nasib siri dugaan demi dugaan yang dihadapinya.

“Ina takut kalau santau yang ada ni akan jadikan Ina sebagai isteri yang tak menjalankan tugasnya buat abang,” luah Abyatina.

“Insya-Allah.  Jangan risau. Bukan soal tanggungjawab yang perlu difikirkan, tapi kesihatan Ina yang lebih penting. Sihat Abyatina, sihatlah juga Rizqullah. Sihatkan diri, itu tanggungjawab Ina kini,” bicara Rizqullah.

Abyatina bangun di pertengahan malam. Tahajud yang diniatkan sebelum tidur akhirnya termakbul. Sebaik selesai berwuduk, maka Rizqullah juga terjaga dari tidurnya. Melihat Abyatina bangun untuk solat, maka Rizqullah juga turut mengatur langkah yang sama. Mereka bertahajud malam itu sehinggalah Subuh menjelma. Sayu dan tenang, bercampur dalam rasa kesyukuran.

“Moga Allah berkati Ina, sihat dan bertemu bahagia,” bisik Rizqullah sebaik selesai solat Subuh, mengusap kepala Abayatina saat salam dihulurkan isterinya itu.

“Abang, Ina nak minta maaf banyak-banyak. Mohon maaf yang tak terhingga”

“Mengapa pula? Salah apakah?”

“Mungkin berdosa buat Ina sebab rahsiakan begitu lama”

“Rahsia apakah? Besar sangatkah?”

“Minta maaf banyak-banyak abang….”  Abyatina sekali mencium tangan Rizqullah. Semakin hairan Rizqullah.

“Apakah silapmu Ina?” soal Rizqullah hairan.

“Ibarat elipsis, mesejnya masih boleh difahami walaupun perkataan itu dipadamkan,” bicara Abyatina.

“Elipsis?” Rizqullah semakin kurang jelas.

“Sekali lagi Ina mohon maaf banyak-banyak…”

“Ina, jangan terlalu serba salah. Walau apa pun silapnya, pintu maaf sentiasa akan ada. Tapi, apakah elipsisnya, apakah salahnya?” soal Rizqullah saat menggenggam erat tangan Abyatina.  

“Ini elipsisnya,” terang Abyatina saat tanggannya menarik tangan Rizqullah dan diletakkan di perutnya.

“Apakah?.....” Rizqullah terkelu.

“Mohon maaf kerana elipsis ini, maka abang tanpa sedar dalam perjalanan menjadi seorang ayah,” terang Abyatina.

“Apakah elipsis itu ialah hamil?” soal Rizqullah.

“Kadangkala deria sentuhan itu lebih berkuasa dari kata-kata. Maka dari situ ellipsis tercipta. Tak perlu dibicarakan, namun tetap dapat difahami,” kata Abyatina tersenyum sambil tangannya terus menggenggam tangan Rizqullah yang masih lagi berada di atas perutnya.

“Ya, sentuhan deria rasa punyai makna yang lebih besar. Syukur buatmu ya Allah….” Rizqullah terus memeluk Abyatina. Berita paling menggembirakan sejak perkahwinan mereka. Satu rahmat yang tak terkata.

“Maaf kerana berahsia,” bicara Abyatina.

“Perlukah maaf andai rahsia itu satu berita gembira?” soal Rizqullah tersenyum. “Ina, kamu memang licik, sembunyikan sehingga sesiapa pun tak tahu. Namun itulah nilai yang paling mahal yang ada dalam dirimu. Indah dan mungkin juga comel”

Kisah ulang alik ke klinik desa oleh Abyatina telah difahami Rizqullah. Rahsia dibuka pada pagi Subuh itu.

“Apa khabar ayah,” bicara Abyatina mengusik Rizqullah.

“Hai, ibu…”

Rizqullah terus mendukung Abyatina. Mungkin terlalu gembira. Dibawa Abyatina sehingga ke dapur. Rizqullah pada pagi itu menyiapkan sarapan khas. Abyatina sekadar berehat. Sekadar memerhati Rizqullah yang tekun memasak di dapur.

“Moga ada berkatnya buatmu Rizqullah,” bisik Abyatina sendirian. Tersenyum sahaja.






*Tamat sudah Bicara Tujuh Belas*

Apakah romantis Abyatina dan Rizqullah akan berterusan? Bertemu di lain bicara.


Nota: ‘Elipsis’ membawa maksud pengguguran sebahagian kata dalam suatu ungkapan, tetapi dapat difahami dalam konteks berkenaan. Misalan bagi soalan Sudah makan?, dijawab Sudah sahaja.
(Kamus Dewan Edisi Keempat)


**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 



 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina








Ulasan

Catatan Popular