Ahad, 30 Mei 2010

Bicara: Bagaimana Cinta Thahirah tercipta?






Sebelum baca, sedikit ingatan saya selitkan. Bicara saya ini memang sangat panjang. Jadi, jika terasa diri mampu membaca, dipersilakan ingin saya katakan.

“Bilakah wujudnya nama tajuk Cinta Thahirah itu?”, seorang rakan saya bertanya sebaik habis membaca novel tulisan saya baru-baru ini.

Seorang rakan lama saya, Razif Azam merupakan orang pertama yang melihat gabungan perkataan yang membentuk tajuk bagi ‘Cinta Thahirah’. Pada pertengahan bulan Mac tahun 2008, Razif merupakan orang pertama yang mengetahui projek novel terbaru saya pada waktu itu. Saya hanya kirimkan sms, dan perkataan Cinta Thahirah itu secara rasminya diketahui orang lain.

Maka itu jawapan saya….

Dua tahun telah berlalu. Novel Cinta Thahirah telah lama siap. Secara rasminya novel CT siap pada awal September 2009, dan merupakan projek novel paling lama pernah saya hasilkan. (bermula pada 20 Mei 2008 hingga 2 September 2009)

Melihat pada sejarah permulaan perjalanan Cinta Thahirah, sehingga kini saya masih tak percaya, saya seperti telah mencipta satu keajaiban bagi diri saya. Kenapa saya bicara begitu? Ya, saya memang tak terlintas untuk hasilkan novel dengan jalan cerita sebegitu.

Satu soalan muncul pula dari mulut rakan saya itu. Soalan yang hampir sama namun diubah sedikit kata soal dihadapannya.

“Bagaimana novel Cinta Thahirah tercipta?”

Hmmm, tak terfikir pula saya akan soalan itu untuk saya jawab. Yalah, saya jarang ingin kongsi atau bercerita kisah terlahirnya sesebuah tulisan saya itu. Maka pada permulaannya, saya agak keberatan untuk berkongsi. Kesannya, soalan yang diajukan itu akhirnya hanya diakhiri dengan satu senyuman saya saja. Soalan yang tidak berbalas.

Namun, untuk hari-hari berikutnya wujud cetusan hati seolah-olah memanggil supaya dimulakan langkah ini. Entah bagaimana pula, saya tergerak untuk mulakan bicara cerita bagaimana wujudnya sebuah Cinta Thahirah. Maka inilah yang akan saya mulakan.

Soalan pertama: Adakah Cinta Thahirah berkaitan dengan sesiapa?
Jawapan saya terus muncul dengan mengatakan “Tidak”

Ya, saya akui ada juga beberapa kenalan cuba mengaitkan novel CT ini dengan seorang kenalan lama saya semasa di SMDB dulu. Cik Thahirah Kamarulail yang muda setahun dari saya, itulah yang mereka perkatakan. Namun, ingin saya tegaskan, bukan kerana dia, maka wujudlah kemudian novel CT. “Tidak”

Saya mulakan kisah bagaimana berlakunya cetusan idea penulisan novel CT. Awal tahun 2008, maka kisah itu bermula. Sewaktu majlis perkahwinan sepupu mak saya atau panggilan mesra saya, Mak Long Nor, maka cetusan idea wujud. Rumah keluarga Mak Long Nor di Ipoh jadi saksi apabila semua ahli keluarga lain berkumpul berganding bahu membantu kelancaran majlis itu. Ya, memang ramai yang muncul sehingga ada sesetengahnya terpaksa mak kenalkan pada saya dek jarang saya jumpa.

Sepupu UIA saya (saya sebenarnya nak tulis namanya, tapi takut kena marah sebab sepupu saya tak benarkan) turut serta pada waktu itu. Ya, memang saya rapat dengannya maka tak hairanlah sepanjang masa saya sentiasa berada dengannya walaupun kebanyakan masanya dihabiskan di dapur. Maka jadilah saya berseorangan, satu-satunya lelaki di dapur sedang kaum hawa lain sibuk menguruskan makanan di dapur. Namun saya tersenyum sinis, sepupu saya tidak pula ringan tulang nak membantu. Cuma jadi pemerhati yang menanti hidangan terhidang di hadapan mata sambil dengan sabar menahan perut yang dah berkeroncong.

“Mungkin dia kekok” Saya beri alasan sedapkan hati kekalkan pandangan positif pada sepupu saya itu.

Di dapur kisah bermula, bila Mak Lang muncul tiba-tiba. Kisah lewatnya kemunculan diceritakan, maka tahulah saya rupa-rupanya Mak Lang ada hal kecemasan. Tayar pancit di tengah jalan, mujurlah anak sulung lelakinya ada kudrat jadi penukar tayar.

Ya saya akui, saya dan sepupu saya tumpang simpati. Tugas dua individu dipegang oleh seorang wanita, dialah bapa, dialah ibu. Itulah Mak Lang pikul dua tugas sejak 6 tahun lalu. Ibu tunggal dengan hatinya cekal, saya akui Mak Lang bukan calang-calang orang. 3 anaknya, 2 lelaki dan anak tunggal perempuannya memang beruntung ada ibu hatinya cekal.

Kisah ketabahan Mak Lang jadi bualan selepas itu. Bicara perlahan yang hanya didengar antara saya dan sepupu saya semakin bertambah isinya. Masing-masing mengimbas kembali kisah bermulanya ketabahan Mak Lang. Ya, semua akui kehilangan Pak Lang berlaku tiba-tiba. Tanpa amaran, Pak Lang meninggal dengan penyakit misteri sehingga doktor terkedu tak tahu apa yang terjadi. Ya, pada asalnya Pak Lang cuma menjalani pemeriksaan kesihatan akibat masalah bengkak kaki. Masih ingat di ingatan Pak Lang jalan tersenyum masuk bilik pemeriksaan. Tak sangka, sejam selepas melihat senyuman itu, doktor muncul beri khabar kejutan yang terduga. Pak Lang dah meninggal…. Semua terkejut.

Mengapa? Saya masih tertanya-tanya hingga kini.

Lalu muncullah bicara dari mulut sepupu saya. Mula-mula dia bicara perihal novel terbaru saya waktu itu yang masih dalam perjalanan penulisannya. Pada waktu itu tinggal beberapa bab lagi untuk saya siapkan novel Kumajipakat. Kemudian bicaranya beralih kepada bentuk cadangan. Katanya: “Novelkan kisah Mak Lang”

Maka di situlah bermula perjalanan Cinta Thahirah. Secara dasarnya saya bersetuju dengan cadangan itu, namun masih belum lakukan sebarang perancangan rapi lagi. Asas perjalanan cerita novel itu mudah, menceritakan kisah Mak Lang sebelum berkahwin, setelah berkahwin, hinggalah kisah kematian Pak Lang diikuti perjalanan hidupnya bergelar ibu tunggal selepas itu. Asas cerita dah ada, maka langkah perlu dibuat selepas ini adalah menambahkan ramuan tambahan dalam cerita itu agar lebih menarik.

Namun sebelum semua itu berjalan, saya memutuskan dahulu untuk mencari tajuk yang sesuai bagi novel itu. Saya pinta bantuan sepupu saya mungkin dapat berikan buah fikiran carikan tajuk supaya ada tarikan. Maka keluarlah senarai hampir 32 tajuk yang diberikannya hasil perbincangan saya dengannya.

Tajuk awal bagi novel ini ialah “Mak Lang”. Namun setelah perbincangan dilakukan, banyak benar tajuk yang dicadangkan kemudian. Antara tajuk yang menarik perhatian, “Bicara MK (singkatan kepada Mak Lang)”, “Jalan Mustaqim”, “Selamat Tinggal Pak Lang”, “Raudhah”, “Cinta Suci”, dan beberapa tajuk lain. Disebabkan terlalu banyak cadangan tajuk itu, akhirnya fikiran tak terdaya nak buat keputusan. Namun terima kasih pada sepupu saya beri bantuan, akhirnya 32 nama langsung tak digunakan. Hehehee…

Kami buntu. Semua tajuk yang dicadangkan kurang menarik dan terlalu umum. Memang sukar untuk mencari keunikan. Namun semua kebuntuan itu terhenti apabila sepupu saya buka kembali novel saya tahun 2007 bertajuk Warisan. Di situlah muncul idea unik darinya.

Tarikannya pada nama Thahirah yang saya coretkan dalam novel itu telah memberi ilham padanya. Katanya, nama itu unik dan jarang kedengaran. Malah nama itu adalah nama gelaran Saidatina Khadijah iaitu At-Thaharah yang bermaksud suci. Lantas fikiran kami kembali kepada senarai 32 tajuk tadi. Tajuk yang ke 21, iaitu “Cinta Suci” kami lihat kembali. Ya, saya akui mungkin sesuatu dapat dilakukan dengan tajuk ini.

Lantas sepupu saya terus mencadangkan tajuk “Cinta At-Thaharah”. Mula-mula saya bersetuju. Namun bila lihat balik pada cara sebutan tajuk, saya rasa macam ada yang tak kena. Rasa macam bebelit sikit nak sebut. Lantas saya putuskan, mungkin patut keluarkan perkataan ‘At’ dipendekkan saja jadi Cinta Thaharah. Nah, sepupu saja tak setuju pulak. Katanya, jadi pelik bila tak ada ‘At’ depan perkataan Thaharah. Jadi dia timbulkan cadangan guna nama Cinta Thahirah. Serta merta terus saja jadi pembangkang. Saya kata, itu dah jadi lain pulak nanti.

Cinta Thahirah? Hmm, dah jadi lain maksud tu. Tambah pula saya ada kenalan yang namanya sama. Tak pasal-pasal pulak nanti orang akan ingat saya dah jatuh cinta pada Thahirah…

Tidak….

Namun setelah hampir 30 minit pujukan beserta hujahnya pada saya, akhirnya termakan juga saya dengan kata-katanya. Saya setuju dengan tiga alasan berdasarkan hujah yang diberikan itu. Pertama, gabungan perkataan itu unik dan mudah disebut. Kedua, maksud Thahirah adalah sama dengan Thaharah. Ketiga, tajuk ini sesuai dengan kisah Mak Lang yang menggambarkan sucinya cintanya pada Pak Lang.

Saya setuju dengan tidak mempedulikan kesan yang mungkin akan timbul dengan pemilihan tajuk itu. Saya tak kisah. Saya bukannya jatuh cinta dengan sesiapa pun….

Maka tajuk dah dipilih. “Cinta Thahirah”. Fasal satu dah tamat. Saya buka pula fasal berikutnya. Apakah tema novel ni? Komedi ke? Cinta ke? Kisah remaja ke? Atau mungkin juga agama?

Huh, bermain juga di fikiran tema yang akan digunakan. Terus terang saya katakan, saya lebih selesa guna tema komedi dan remaja. Namun saya terfikir juga, sesuaikah dua tema itu untuk novel baru ni? Kisah Mak Lang guna tema komedi? Hmmm, macam ada yang tak kena saja.

Maka saya e-melkan persoalan ini pada sepupu saya minta bantuan sedikit. Lantas terus dicadangkannya gunakan tema gabungan: Cinta (semestinya), remaja, keluarga, dan mungkin juga tema agama. Untuk tema cinta, mungkin saya boleh, begitu juga dengan tema remaja. Namun untuk guna tema agama, memang saya jujur akui adalah sesuatu yang sukar. Saya tak pernah ada pengalaman tulis novel dengan tema itu. (novel-novel sebelum ini semua guna tema remaja dan cinta saja)

Maka sepupu saya keluarkan kenyataan pujukan beri keyakinan. Katanya: “Bantuan boleh dihulur kalau saya sudi menerima” Ya, memang saya sudi sangat…

Fasal seterusnya dijalankan. Saya keluarkan buah fikiran untuk menyusun jalan cerita. Persoalan utama yang muncul: “Adakah cukup dengan menceritakan saja kisah Mak Lang?” Memang saya akui, mungkin akan jadi bosan jika jalan cerita hanya tertumpu pada Mak Lang. Jadi saya harus fikirkan bagaimana nak tambah ramuan supaya bosan itu hilang.

Adakah saya perlu gunakan plot biasa, maksudnya penceritaan menurut susunan kronologi masa atau mungkin saya perlu gunakan teknik imbas kembali diselitkan di antara perjalanan cerita itu? Saya tahu, kalau cerita tersusun saja ikut waktu, mungkin bosan, tambah-tambah bila nak cerita kisah Mak Lang. Saya tahu juga, saya perlu selitkan kisah lain supaya perjalanan kisah Mak Lang itu tak jadi kaku. Saya tahu juga, jika hanya cerita kisah Mak Lang, mungkin panjang novel akan jadi pendek. Lantas saya berfikir.

Maka saya kemudian telah beri kata putus. Teknik penceritaan yang akan digunakan ialah imbas kembali. Kisah Mak Lang akan jadi kisah yang akan diceritakan pula oleh seseorang. Itu cadangan asal yang telah saya putuskan. Maksudnya, kisah Mak Lang akan diceritakan oleh satu watak lain yang berada dalam waktu sekarang. Tapi itu cadangan asal sebab lain pula jadinya bila saya mula menulis.

Bagi menambah ramuan, saya juga telah putuskan bahawa kisah-kisah lain yang telah saya hadapi dan lihat akan saya selitkan dalam novel. Saya akan ceritakan secara tersirat sebagai mesej dan juga sindiran di dalam cerita. Maka itulah yang mewujudkan kisah beza darjat kenduri orang kaya dan kebanyakan, itu jugalah yang mewujudkan kisah pengislaman seorang lelaki Cina, dan itu jugalah yang mewujudkan kisah cinta Ayah dan Ibu. (Ayah dan Ibu tu nama watak dalam novel, bukan mak ayah saya yer…)

Fasal berikut berjalan pula. Setelah membuat rangka jalan cerita dalam novel dan mengenal pasti jumlah watak yang ada, maka saya fikirkan pula nama-nama watak yang akan digunakan. Maka untuk itu, saya berbicara dengan sepupu saya. Watak utama pada asalnya saya ingin guna nama Mak Lang saya, Saadiah namun ditentang keras sepupu saya. Alasan diberi, mahu lindung privasi Mak Lang. Maka muncullah nama dicadangkan sepupu saya. Namanya, Thahirah. Hah, untuk ini saya pula menentang jadi pembangkang. Saya tidak akan sama sekali guna nama itu. Cukuplah saya gunakan sebagai tajuk novel. Alasannya? Saya tak mahu timbulnya fitnah…

Perbincangan menerusi sms berlaku. Akhirnya muncullah cadangan bernas yang masing-masing setuju. Nama Khadijah diambil. Ya, memang sesuai benar kerana nama ini merupakan nama isteri Rasulullah, Saidatina Khadijah yang mempunyai gelaran At-Thaharah, selari pula dengan tajuk novel itu. Maka keputusan dah dibuat. Kemudian watak heronya difikirkan pula. Sepupu saya cadangkan Zayid nama diberi. Saya tanya kenapa? Katanya nama Zayid itu kalau disusun semula boleh bentuk nama saya, Yazid. Hah, nak guna nama tu?

Saya setuju tapi saya ubah sikit namanya. Saya jadikan Zahid namanya. Selepas itu pemilihan nama lain berjalan untuk watak-watak lain. Sheera dan Yasmin dipilih sebagai watak adik-adik Zahid. (nama Yasmin merupakan nama rakan lama saya). Izham pula jadi rakan karib Zahid. Kemudian muncullah nama-nama lain seperti Erma, Fadhilah (nama Mak Long Nor saya), Ustaz Kamarul, Jasmin, Cik Long, dan Ayah Long. Semua nama itu saya senaraikan terus untuk digunakan bagi watak-watak dalam novel CT.

Kemudian sepupu saya suarakan cadangan. Katanya, adalah lebih baik jika saya kaitkan novel CT ini dengan novel saya sebelum ini, Kumajipakat. Saya tanya kenapa? Katanya supaya banyak lagi cerita yang dapat dimuatkan jika dua novel ini saling berkait. Barulah bosan tak timbul bila baca novel CT. Saya setuju.

Saya putuskan untuk pilih beberapa watak dari Kumajipakat untuk muncul dalam novel CT. Watak Murni paling sesuai diambil kerana peranannya dalam novel Kumajipakat agak kecil. Jadi lebih mudah untuk dibentuk cerita dari watak Murni. (Murni diambil dari nama rakan saya). Watak utama dalam Kumajipakat, Fariz juga saya putuskan untuk muncul dalam CT. Namun saya kecilkan peranannya. Watak Ayu (diambil dari nama rakan sekelas saya) adik Fariz juga digunakan dengan peranan yang kecil juga. (Ayu rakan karib Murni dalam novel Kumajipakat). Satu lagi watak yang saya ambil ialah Sara, rakan baik Fahmi.

Fasal berikut diatur. Saya membuat pula perincian terhadap jalan cerita. Setelah rangka cerita secara kasar yang telah saya buat sebelum ini, saya lakukan proses perincian pula. Untuk itu, saya telah memulakan proses pengumpulan bahan cerita. Kisah Mak Lang saya cuba dapatkan dari ahli keluarga lain. Namun, tugasnya menjadi sukar apabila Mak Lang berat untuk berkongsi dan bila ditanya pada ahli keluarga lain, masing-masing tak tahu nak berikan kisah. Ya, saya akui Mak Lang orangnya suka berahsia. Maka kisah Mak Lang untuk saya dapatkan bagi perincian cerita menemui jalan sukar. Saya sedikit buntu.

Lantas, kegagalan selesaikan misi akhirnya bertukar membentuk satu idea baru pula. Jika kisah Mak Lang sukar untuk dikumpulkan, maka mungkin saya beralih pula pada kisah Pak Lang (arwah). Ya, saya akui pasti perkaitan akan wujud juga nanti antara Pak Lang dan Mak Lang. Setidak-tidaknya, sedikit kisah Mak Lang dapat dijelmakan.

Tugas kumpul kisah Pak Lang lebih mudah. Banyak yang saya dapat dan memang tak dihairankan sebab Pak Lang ringan mulut bila berbicara dengan orang lain. Jadi banyak kisahnya dikongsi dengan orang lain termasuk adik perempuannya a.k.a mak saya sendiri. Pengumpulan kisah ini juga turut dibantu sepupu saya.

Setelah meneliti semua bahan yang dikumpul, saya telah buat satu keputusan yang agak drastik. Pelan asal, menceritakan kisah Mak Lang akhirnya bertukar. Kisah pak Lang pula yang jadi fokus utama saya namun kisahnya itu difokuskan pada hubungannya dengan Mak Lang. Secara keseluruhannya, bahan kisah dari Pak lang telah cukup dan kuat untuk saya melakukan penulisan novel.

Namun, sepupu saya mulakan bicara pula. Katanya, setelah meneliti semua bahan yang dikumpul, dia merasakan kisah Pak Lang tak sepatutnya didedahkan pada umum menerusi novel. Alasannya, mahu cerita itu jadi kisah eksklusif untuk keluarga Pak Lang sahaja. Hakikatnya, saya juga sependapat. Benar, saya juga tak sampai hati nak tulis kisah sebenar Pak Lang. Tak semua boleh dikongsi umum. Itu hujah saya….

Maka, saya peruntukkan selama sebulan untuk teliti semua kisah Pak Lang. Setiap kisah itu saya olah dan ubah suai dibentuk menjadi kisah baru. Maksud yang lebih mudah, kisah Pak Lang itu hanya menjadi inspirasi untuk saya membentuk sebuah cerita. Namun fokus asal iaitu menceritakan kisah ketabahan Mak Lang masih kekal. Cuma jalan ceritanya saja saya reka sendiri itu pun inspirasi dari kisah Pak Lang. Tempoh sebulan itu memang sukar kerana saya terpaksa memerah otak untuk hasilkan sebuah cerita baru.

Dalam tempoh itu juga, saya juga turut menyelitkan kisah-kisah yang pernah saya lalui. Kisah saya hadapi asma, kisah saya berhadapan dengan beberapa wanita, kisah saya bersama keluarga banyak juga saya selitkan. Namun, saya jelmakan dalam bentuk tersirat iaitu kisahnya tidak menggambarkan keadaan sepenuhnya mengenai saya. Sengaja dibuat begitu moga tidak ada yang terasa di hati bila membaca (yalah, kisah saya berkait dengan orang lain juga).

Bagi memenuhi tema agama yang dicadangkan sepupu saya, maka bantuan diperlukan. Ya, kemahiran tinggi dan pengetahuan luas sepupu saya, memang banyak bantu saya. Keturuan keluarga saya yang berasal dari keluarga Cina beri cetusan idea. Cadangan kisah pengislaman seorang lelaki Cina dinyatakan. Saya tanya dari mana nak dapat bahan? Lantas dia keluarkan satu naskah buku bertajuk: “Mencari Kebenaran, Suatu Dialog Islam-Kristian” yang diterbitkan Persatuan Ulama Malaysia.

Benar, buku itu banyak membantu. Dalam tulisan novel saya, saya ambil petikan dari buku itu (m/s 8 hingga 28). Saya akui mungkin ini satu bentuk ciplak. Tapi nawaitu saya hanyalah mahu berkongsi cerita dari buku itu dengan niat untuk berdakwah cetus kesedaran betapa benarnya Islam itu.

Sepupu saya menghulurkan bantuan lagi cetuskan idea memenuhi tema agama. Dengan sukarela, maka dia telah merujuk semua 30 juzuk al-Quran bagi memetik ayat-ayat yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam novel. Proses ini saya turut ikuti dan memakan masa hampir dua bulan menyiapkan penelitian dan pemilihan ayat dari al-Quran. Cadangan memasukkan ayat ini datang dari sepupu saya atas satu hujah, memperkuatkan penceritaan selain memberi keyakinan kepada pembaca. Saya akui, proses memilih ayat al-Quran yang selari dengan tema novel ini satu proses yang memang rumit.

Langkah berikutnya, saya meninjau pula latar tempat. Secara keseluruhannya, latar tempat sepenuhnya di Taiping, kecuali untuk babak perkahwinan mak saudara Zahid yang mengambil latar Pulau Pinang. Bagi menghayati setiap latar itu, saya telah peruntukkan masa selama sehari untuk meninjau tempat-tempat di Taiping, antaranya Masjid Daerah Taiping, MRSM Taiping, Kg. Jambu, Tesco Taiping, Taman Tasik Taiping, Hospital Taiping dan Taman Sri Hijau.

Masa yang paling banyak saya peruntukkan untuk menghayati latar tempat adalah di Taman Tasik Taiping (saya peruntukkan selama 5 jam- 2jam pagi, dan 3 jam petang), Masjid Daerah Taiping (selama 2 jam), serta kawasan perumahan Kg. Jambu (2 jam). Kenapa saya guna banyak masa? Hujahnya mudah, saya mahu hayati dan dapat gambaran sebenar latar tersebut. Cara ini memudahkan saya untuk menggambarkan suasana tempat apabila saya menulis nanti.

Babak berikut diteruskan. Setalah perincian cerita dibuat, dan semua langkah telah diambil, maka bermulah tarian jari saya di atas papan kekunci notebook saya. ‘Ceritera 1’ telah saya mulakan secara rasmi pada 20 Mei 2008, dengan memulakan babak perbualan antara Khadijah yang sedang sibuk membaca novel tulisan Zahid, dengan Murni yang setia berada di ruang tamu mendengat serba sedikit kisah Zahid dari Khadijah. Perbualan itu akhirnya membawa cerita menuju kepada pengkisahan Zahid.

Bagi menghayati atau mengalami proses penghayatan cerita, saya telah lakukan satu tindakan tidak beretika. Perihal ini telah saya coretkan dalam nota, “Kisah kerana novel, maaf dipohon untuk semua”. Sandiwara terhadap rakan-rakan saya itu bertujuan untuk saya dapatkan rasa sebenar perasaan dan emosi watak dalam novel. (Untuk huraian panjang, rujuk nota tersebut). Saya akui, saya berjaya menghayati setiap perjalanan cerita dan itu mudahkan saya untuk meneruskan penulisan.

Saya juga selitkan sedikit beberapa buah lirik lagu sebagai selingan yang akan menggerakkan cerita. Lirik itu diselitkan atas satu faktor sahaja, mahu perjalanan cerita lebih menarik. Banyak lirik yang diambil, dan antaranya seperti lagu Dugaannya-Hujan, Hilang- Meet Uncle Hussein, 25 Rasul- Raihan dan beberapa lagi lirik lagu.

Cabaran paling sukar adalah ketika saya menulis babak lamaran Zahid. Tempoh masa diambil untuk saya tulis babak itu ialah selama 3 minggu. Ya, saya akui babak ini saya harus berhati-hati untuk tulis kerana saya tak ada pengalaman. (masih bujang lagi da…). Begitu juga dengan babak penerimaan lamaran Khadijah, itu juga mengambil masa hampir 2 minggu. Susunan ayat, itulah sebab utama saya tersangkut ketika menulis babak ini. Babak lain yang agak sukar untuk saya tulis ialah babak perdebatan antara Alex dan Ustaz Kamarul ketika berbincang mengenai kesahihan kebenaran kitab Injil. Walaupun saya hanya menyalin sahaja dialog itu, namun saya perlu ubah suai ayat yang digunakan supaya lebih mudah difahami. Beberapa istilah juga perlu saya tukar supaya tidak ada kekeliruan ketika membaca. Contoh istilah itu ialah penggunaan nama Allah yang merujuk kepada Tuhan orang Kristian telah saya tukar kepada perkataan Tuhan sahaja. (isu Allah ini hangat suatu masa dulu dalam negara, namun hanya yang jahil sahaja yang akan melenting…)

Saya telah memperbaiki kelemahan tulisan dalam novel Kumajipakat. Struktur ayat lebih ringkas dan tidak meleret-leret saya gunakan dalam novel CT memperbaiki kelemahan novel Kumajipakat (banyak komen kata novel ni banyak ayat yang meleret-leret). Maksudnya, ayat kali ini lebih pendek dan mudah difahami berbanding novel sebelum ini.

Cabaran terbesar sewaktu dalam proses ‘tarian jari’ ini, dan pasti memang sukar saya lupakan ialah berhadapan kehilangan dua bab cerita yang telah ditulis disebabkan serangan virus dalam fail novel saya. Bayangkan, 27 muka surat yang telah saya tulis hilang begitu saja (Ceritera 2 dan Ceritera 3). Kesannya, saya banyak lakukan penyalinan tulisan dan disimpan sementara dalam ruangan Blogger milik saya (www.yazidrosly-mydablog.blogspot.com) di internet serta menyimpan juga ke dalam pen drive saya supaya situasi sama tidak berulang lagi.

Pada 1 September 2009, saya sampai di penghujung penulisan. Bab di bawah tajuk Nota Akhir Khadijah At-Thaharah saya tuliskan dan menjelaskan keadaan terkini Khadijah secara keseluruhan. Dalam bab ini jugalah, diceritakan bahawa semua kisah yang diceritakan dalam novel itu sebenarnya ditulis Khadijah sendiri. (idea ini dicadangkan sepupu saya). Maksudnya, novel yang saya tulis ini kononnya membayangkan bahawa Khadijahlah yang menulisnya.

2 September 2009, saya cetak helaian terakhir novel, dan itulah penyudah proses lama saya menghasilkan novel Cinta Thahirah.

Adakah saya rasa puas?

Ya, memang perlu diakui tahap kepuasan yang tertinggi, itu yang saya rasakan. Rakan karib saya, Razif Azam merupakan pembaca pertama novel saya. Saya juga turut menghulurkan novel itu pada Nur Adilah, sahabat lama dari SMDB. Novel ini juga disampaikan pada Thahirah Kamarulail, itu pun selepas sepupu saya memujuk saya. (saya akui tajuk novel ini seolah-olah berkait dengan Thahirah). Secara keseluruhannya, saya telah edarkan naskah CT kepada 27 orang sehingga kini. Ya, kecil angkanya kerana tujuan penulisan saya bukan untuk untung wang. Sekadar satu bicara yang mungkin mampu hiburkan hati atau mungkin juga cetus keinsafan.

Maklum balas secara keseluruhan menyatakan novel CT adalah hasil terbaik pernah saya hasilkan. Malah 18 dari 27 yang membaca novel ini ( 9 yang lain tak bagi komen lagi), beri 10 bintang penuh dengan alasan novel ini punya tema agama yang kuat serta terdapat kesinambungan yang sempurna. Saya tersenyum saja. Benarkah atau itu cuma bodekan rakan nak sedapkan hati saya?

Ramai juga yang menyatakan novel CT mirip seperti drama Nur Kasih terutama watak Khadijah yang disamakan wataknya itu dengan Nur Amina. Hujah saya, novel saya ini bermula sebelum wujudnya drama Nur Kasih itu sendiri. Jadi novel ini idea asal saya dan bukan ilham dari drama itu.

Rata-rata menyatakan bahawa babak debat Ustaz Kamarul dan Alex merupakan babak yang paling menarik. Babak yang paling sedih pula semuanya bersetuju babak Zahid meninggal dunia. Ah, mana mungkin babak itu boleh jadi gembira. Babak paling romantik ialah sewaktu Zahid melamar Khadijah dan juga sewaktu Khadijah memberi jawapan lamaran itu.

Langkah seterusnya, sepupu saya ambil kesemua tulisan saya itu dan dipersembahkan di web. Menggunakan Blogger dan kudrat sepenuhnya dari sepupu saya, maka novel saya muncul dalam web Blogger. Novel CT boleh dibaca menerusi: www.cintathahirah.blogspot.com . Setakat ini saya baru ada dua followers dalam blog itu.

Bicara ini adalah jawapan persoalan. Jika ada yang bertanya lagi, maka inilah bicara panjang yang mereka perlu baca. Saya akui, saya bukan penulis profesional. Banyak kelemahan dan perlu belajar dari yang berpengalaman. Tapi saya tahu, untuk berada di puncak saya harus mulakan dari bawah. Maka tulisan ini mungkin permulaan saya di bawah untuk menuju ke puncak.

Ya saya akui, semua ni bermula dengan sebuah kisah. Ilham Mak Lang cetus idea di luar jangkaan. Memang benar, kisah ini didedikasi buat Mak Lang.

Saya mahu cuba sedikit beri dakwah dan mungkin ini secebis usaha yang mampu saya lakukan. Maka itulah yang menghasilkan naskah 260 muka surat yang menjadi sebuah Cinta Thahirah….

p/s:1. watak Ibu adalah cerminan mak saya. Watak Sheera dan Yasmin adalah cerminan dua adik perempuan saya. Watak Zahid, memang jelas cerminan Pak Lang saya.

2. memang panjang bicara ini, itu pun saya cuba ringkaskan. Bukan mudah bila bicara kelahiran sebuah novel…

3. saya gunakan nama sepupu saya untuk watak dalam novel CT. Tapi saya tak boleh nyatakan yang mana nama sepupu saya itu. Andaikan saja mana-mana nama watak wanita dalam novel itu, maka putuskanlah mungkin ini namanya sepupu Yazid Rosly itu.

4. logo Cinta Thahirah dicipta sepupu saya... Fuh, banyak benar sumbangannya...

5. seorang sahabat cadangkan saya poskan semua tulisan dalam novel CT ke Facebook. Soalan saya: Ada ke yang nak baca?

*untuk baca novel ni boleh layari: www.cintathahirah.blogspot.com

Selasa, 25 Mei 2010

10 Sebab Yazid Rosly Tak Akan Bercinta Sekarang


Atas nasihat rakan lama Firdaus Farhani, maka ini merupakan tulisan pertama saya terus menggunakan komputer tanpa perlu menulis di atas kertas dahulu. Maka jimatlah dakwat pen seperti kata rakan saya itu.

Bicara ini mula tercetus bila rakan lama saya Zaki minta saya tunjukkan note Jodoh saya itu pada mereka yang sedang bercinta. Maka saya fikirkan, mungkin saya perlu mulakan tulisan ini. Panjang, tapi kalau tak nak baca tak mengapa. Di sini saya boleh lihat sejauh mana kerajinan seseorang untuk membaca. Kalau sanggup baca, maka kalian memang jenis yang suka membaca.

“Aduhai…”

Keluhan pertama saya dan kemudiannya diikuti dengan angka-angka seterusnya sehingga tidak terhitung jumlah keluhan itu. Memang benar, sejak kebelakangan ini saya banyak benar keluhannya.

Bicara soal bercinta, jika mahu dinyatakan, maka banyaklah hujahnya. Ibarat menjawab persoalan yang mana dulu, telurkah atau ayamkah yang dulu, maka sama jugalah dengan bicara soal cinta bila cuba dinilaikan adakah ada positifnya atau negatifnya yang terdapat dalam nilai cinta itu.

Ah, memang harus diakui indah benar cinta itu. Saya tak nafikan hakikat itu dan memang benar itu semua fitrah yang telah Allah wujudkan dalam diri setiap umat manusia. Kemungkinan untuk rasa cinta, mana mungkin tidak dilalui oleh setiap manusia.

Keluhan saya memang mungkin tiada hentinya. Namun saya harap bila bicara saya ini diselesaikan, maka fahamlah diharapkan moga tidak lagi selepas ini saya masih terus dengan keluhannya.

Kenapa, dan mengapa, persoalan muncul dalam kotak fikiran. Kenapa saya orangnya dan mengapa ramai orangnya. Tak terkata bila seorang wanita luahkan isi hati dengan bentuk penyataan: Saya nak jadi teman special awak. Boleh tak?

Kenapa saya jadi orangnya tempat dituju persoalan begitu. Jika satu maka tak mengapa. Tapi banyangkan jika jumlahnya digandakan sebanyak 6 orang, dan mungkin bertambah selepas ini, huh… saya akui saya kena atur langkah dengan teliti.

Tak pernah pula saya menolak. Tak pernah pula saya terima. Lamaran perempuan ibarat pula seperti perigi cari timbanya, buat saya serba salah. Prinsip saya masih utuh dan kuat, tapi hentaman-hentaman dari wanita yang saya kenali seoalah-olah seperti telah melemahkan keutuhan tembok yang melindungi prinsip saya itu.

Maka saya harus susunkan bicara dijelmakan dengan baris-baris ayat membentuk tulisan. Moga segala godaan dek keingingan beberapa wanita yang mahu menaik taraf hubungan dengan saya dapat saya ketepikan, moga prinsip yang saya junjung masih dapat bertahan setidak-tidaknya untuk tahun-tahun mendatang.

Saya akui, memang ada ketika saya juga tergetar, hampir saja mengikut rentak mereka. Pengaruh mungkin, atau mungkin juga sedikit merasakan kekosongan mahu berkongsi rahsia hati. Tapi saya mampu bertahan, maka prinsip terus dipertahankan.

Saya pandang sinis, rakan-rakan bangga ada teman. Bercouple dah macam laki bini, sms tak henti macam syarikat telko milik bapak sendiri, jalan ke sana sini, macam esoknya dah nak mati tak dapat nak lihat bumi, utus surat, bertukar-tukar hadiah walhal tak sedar dah memudahkan pintu-pintu zina terjadi. Kenapa meraka ni? Tak sedar dirikah? Atau sedar diri tapi masih tak ambil peduli? Mahu dilontarkan kata-kata ini, tapi takut nanti kecil hati. Hah, bila terhantuk sendiri baru nak mengerti….

Mungkin…

Saya tak tahu apa menariknya perihal saya. Nak dibicarakan, saya bukan mampu buat tafsiran. Mereka yang melihat saya, itu yang boleh untuk minta pandangan perihal saya. Kerana jika ditafsirkan perihal diri sendiri, maka semua yang muncul baik-baik belaka saja. Itu yang saya hairan. Menarikkah saya sampai hampir 6 wanita keluarkan kenyataan yang tujuannya sama.

Disebabkan kisah berjalan, maka saya usulkan alasan atau mungkin juga hujah bagi redakan keadaan. Tujuannya untuk mereka fahami, prinsip itu satu disiplin yang tinggi. Bukan mudah untuk dikorbankan. Maka saya usulkan angka-angka disusuli pula dengan hujah beri penjelasan. Mungkin ini satu barisan berbentuk alasan.

Angka pertama:
Tajuknya berbunyi ‘Kerana mahu keutuhan agama’.
Sayangnya agama melebihi daripada segalanya. Itu alasan pertama saya. Tidak mungkin saya lebihkan yang lain dan korbankan agama saya. Saya tak tahu apa alasannya, bila kusyuk solat direntap, fikiran melayang ingatkan teman di hati. Ah, memang itu selalu terjadi. Wajah si dia sampai dalam doa terus diingati. Tak salah, tapi bila Maha Pencipta telah diatasi, solat lagikah kita untuk Allah. Boleh jadi solat kita tak diterima. Itu bahaya. Agama boleh terhanyut.

Islam tak menghalang umatnya bercinta. Tapi bila benda haram dah turut serta, takut nanti jadi Islam pada nama. Bila erti cinta gunakan kiblat barat dan Yahudi, maka tak heranlah di tepi pantai pegang tangan. Tangkap gambar berdua uploadkan di facebook dan lepas tu minta orang lain komen. Beberapa orang komen semua cakap romantiknya gambar berdua pegang tangan. Hah, eloklah tu, masing-masing dapat saham wujudkan maksiat.

Bercinta tak salah. Salahnya letak pada si pencinta itu. Islam ada cara, nak ikut tak susah. Tapi bukan semua nak buat, alasan semua kata tak seronok. Nah, itu dah terbukti agama dah tak utuh dalam diri. Sebab itu saya tak mahu bercinta.

Angka kedua:
Tajuknya berbunyi ‘Kerana sayangnya pada ibu dan bapa’
Teringat kata-kata mak: “Memang betul perempuan tu manis macam madu, tapi kena ingat juga, perempuan juga boleh jadi racun yang ada bisanya…”

Ingatan itu kuat. Itu hujah saya. Saya sayangkan mak. Maka tak sanggup saya nak fikir soal cinta. Tak pernah mak menghalang, tapi saya tahu jika bercinta, mungkin terbuka pintu-pintu derhaka yang mungkin kita tak sedari.

Harus semua akui, bila cinta, penipuan berjalan dan menemani si pencinta. Yalah, kata orang nak cover diri, tak nak kecoh-kecoh sebab ini urusan peribadi. Tapi bila tipu diri sendiri, mak dan ayah jadi mangsa sandiwara, kononya ke bandar jumpa kawan sepuluh tahun tak jumpa. Tapi cerita sebenar jumpa teman, lain jantina dan kemudian pegang tangan, macamlah tak boleh hidup untuk sepuluh tahun lagi sampai tak nak lepas tangan. Balik rumah tersenyum, kata kat mak esok nak keluar lagi. Kawan ajak tengok wayang. Mintak duit kat mak kononnya nak belanja kawan. Tapi akhirnya duit tu guna belanja teman yang katanya special. Baguslah tu. Tipu mak korbankan kejujuran. Tipu itu dah jadi derhaka. Tak pernahkah mereka terfikir?

Sambil tonton tv, handphone di tangan. Tak henti-henti inbox sms berlaku penambahan. Mak dan ayah tanya siapa sms? Selamba jawab, tak ada apa, ini cuma kawan. Hah, eloklah tu, tipu lagi sebab hakikatnya sms datang dari teman bertaraf kekasih. Mak dan ayah diperbodohkan. Derhaka sekali lagi.

Bayangkan, setiap kali tipu dilakukan, maka semakin jauh kita dari ibu dan bapa. Berkat boleh hilang, rezeki yang murah pergi dan kita tercari-cari kenikmatan hidup. Itu yang berlaku.

Kesannya? Hah, kalau nasib badan tak baik, bila dah membunting barulah nak menyesal. Nah, itulah balasan anak derhaka. Jadi saya nasihatkan diri saya, jangan jadi anak derhaka supaya tak tersalah langkah terbuntingkan anak orang…

Sebab itu saya tak bercinta….

Angka ketiga:
Tajuknya berbunyi ‘Kerana mengejar cita-cita’
Saya ada cita-cita. PhD jadi sasaran. Maka mungkin sepuluh tahun masa diperlukan. Untuk tempoh itu, itulah matlamat utama perjalanan hidup saya. Maka segala perkara kecil yang tak diperlukan, saya harus sapu ke tepi minta dibiarkan. Belajar fokus utama dan bukan keseronokan.

Kenapa saya sasarkan itu sebagai matlamat? Semuanya bermula bila ayah mula berkorban. Saya cuma sambungkan apa yang ditinggalkan ayah. Benar, jika tidak, mungkin ayah dah ada PhD. Tapi tanggungjawab bapa atasi semuanya, maka hasrat itu dihentikan. Alasan itu buatkan saya tetapkan keazaman. Cita-cita ayah akan saya sambungkan.

Bercinta itu cuma satu keperluan tapi bukan satu kemestian. Jadi bagi saya, bercinta itu bukan keutamaan tapi itu tak bermaksud saya akan tinggalkan. Faktor masa jadi keutamaan maka untuk kini, bercinta tak terlintas dalam fikiran. Kenapa saya harus bazirkan tenaga dengan segala permasalahan cinta sedangkan segala tenaga itu boleh saya gunakan untuk matlamat dan cita-cita. Saya gunakan hujah ini diberikan buat setiap teman yang cuba jadi pembangkang memperlekehkan saya yang tak nak berteman.

Ada apa dengan cinta, jika mampu jadi parasit senyap rosakkan masa depan. Cita-cita saya atasi segalanya. Maka itu saya tak bercinta.

Angka keempat:
Tajuknya berbunyi ‘Mahu mencontohi Rasulullah’
Pernahkah Rasulullah bercinta? Saya ajukan soalan kepada setiap rakan untuk mereka fikirkan. Sirah Rasulullah bukti bahawa bercinta itu bukan satu keperluan untuk jaminan bahagia masa depan. Lihat saja Rasulullah, tak pun bercinta tapi bahagia dengan Khadijah.

Jadi timbul persoalan. Adakah Islam haramkan bercinta? Ah, tidak jawapannya. Lihat saja pada sabda Rasulullah:

“Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah.” Riwayat Ibn Majah

Maka saya simpulkan, bercintalah. Tapi ikutlah caranya. Saya pegang prinsip itu. Maka saya katakan, jika mahu contohi Rasulullah, saya akan bercinta tapi biarlah cinta itu dimulakan dengan sebuah perkahwinan dan bukan kebiasaan umum, memulakan perkahwinan dengan sebuah percintaan.

Maka mencontohi Rasulullah, saya tak bercinta.

Angka kelima:
Tajuknya berbunyi ‘Tidak mahu membazirkan masa’
Jangan sesiapa pun cuba nafikan hakikat ini. Bercinta banyak masanya diperuntukkan. Itu pernyataan yang memang perlu diakui. Dan sebagai pelajar, maka saya simpulkan bahawa, bukankah peruntukkan masa demi cinta itu satu bentuk pembaziran? Kena ingat, keutamaan pelajar bukannya bercinta tapi BELAJAR.

Saya hairan, bukanlah lebih baik habiskan masa mungkin menghafal tarikh-tarikh penting untuk subjek Sejarah daripada cuba menghafal setiap tarikh penting pasangan kita? Bukanlah lebih baik jika bersms tanya soalan yang tak faham daripada habiskan masa siang dan malam sms dengan kekasih hati sampai key pad dah nak tercabut dek terlalu sibuknya bekerja melayani perasaan cinta itu? Bukankah lebih baik jika pena itu rosak dek sibuknya dengan kerja daripada key pad yang rosak dek banyaknya bersms?

Saya hairan. Bagi saya kenapalah perlu peruntukkan waktu untuk bercinta sedangkan peruntukkan waktu bercinta itu boleh digunakan untuk memperbaiki prestasi pembelajaran. Itu yang lebih baik sebab itu adalah pemberi jaminan untuk kehidupan akan datang. Tapi bercinta, adakah akan buatkan kita berjaya pada masa depan? Belum tentu, itu jawapannya.

Maka tidak mahu buang masa, saya tak bercinta.

Angka keenam:
Tajuknya berbunyi ‘Mengelakkan dari terbukanya pintu-pintu zina’
Saya minta sesiapa yang cuba jadi pembangkang, silakan beri hujah menentang angka enam ini. Hujah itu akan saya hentamkan kembali dengan petikan kalam Allah:

“Dan janganlah kamu ,menghampiri zina,sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan mendatangkan keburukan.”[surah al-isra:32]

Percintaan itu permulaan penzinaan. Cukup dengan menghantar sms dengan pernyataan: “Saya rindu kat awak”. Nah, maka kunci pinta zina itu telah disentuh. Kemudian sms dibalas pula: “Saya pun rindu kat awak juga”. Nah, kunci yang disentuh itu dimasukkan pula ke dalam lubang kunci pintu. Selepas itu berbalas kembali: “Jom kita jumpa…” Nah, kunci yang telah berada di pintu itu dipulas pula. Kemudia dibalas kembali sms itu: “Jom jumpa kat shopping mall” Nah, terbukalah sudah pintu zina itu.

Itu belum lihat pada perkara yang lebih luas lagi. Berdating, nah lagilah terbuka seluas-luasnya pintu zina. Bukan lagi dah terbuka, malah dah ada yang tolak masuk pasangan itu ke dalam pintu itu, siapa lagi kalau bukan syaitan laknatullah. Pegang tangan, nah itu tak perlu lagi diperkatakan. Bukan lagi berada di luar pintu zina, tapi dah masuk pun. Saat pegang tangan, sikit saja bisikan syaitan, maka wujudklah cetusan hati penzinaan. Alasan nak buat zina tu? Nak rapatkan lagi kasih sayang katanya…

“Kepala hotakmu….” Teringat pula kata-kata Ustaz Wahab dalam kuliah pengajian di masjid beberapa tahun dulu. Kata-kata dilemparkan bila dia cerita saat dia berhadapan pasangan remaja yang dah berzina dan kemudian bila ditanya alasannya, maka hujah itulah dikeluarkan.

Nak saya lanjutkan lagi bagaimana terbuka pintu zina? Cukuplah dengan dua hujah itu.

Maka, elak diri terbuka pintu zina, saya tak bercinta.

Angka ketujuh:
Tajuknya berbunyi ‘Untuk hidup dengan ekonomi diri yang kukuh’
Wang dibazirkan, maka goyahlah ekonomi diri. Maka hutanglah sana dan hutanglah sini. Tak sedar ke duit dah dibazirkan. Sanggup belanja pasangan tengok wayang siap dua buah filem, lepas tu duit makan untuk seminggu lagi dah lebur. Akhirnya ke mana nak dituju? Mulalah telefon mak dan ayah, cakap duit tak cukup. Kalau mak tak bagi, pergilah pula minta kat kawan.

Beli hadiah mahal-mahal. Ada sampai ratusan ringgit. Ah, bodohnya mereka kerana bukankah lebih baik duit ratusan tu guna untuk beli buku tambahan tingkatkan prestasi belajar. Bila cakap macam tu semua tersengih macam kerang busuk. Kononnya tak macholah atau kadang-kadang guna alasan tak nak jadi budak skema.

Ah, pendek sungguh akal manusia-manusia tak sedar diri ni. Tak fikir ke masa depan? Apa salahnya jadi budak skema kalau nanti hidup senang lenang dengan kejayaan, daripada jadi macho tapi sudahnya jadi macam peminta sedekah terkinja-kinja cari pekerjaan dengan taraf kekal sebagai penganggur.

Ah, bukan mereka nak mengerti ruginya pembaziran wang dek cinta ini.

Maka, kerana sayangkan wang, saya tidak bercinta.

Angka kelapan:
Tajuknya berbunyi ‘Saya anti budaya sekular Barat’
Saya nak tanya kepada mereka yang bercinta: “Dari mana datangnya budaya couple ni? Dari zaman Rasulullah ke?

Orang Islam sendiri tak sedar faktor utama kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol adalah bahana cinta. Pernah pada zaman kegemilangan Islam di Sepanyol, musuh Islam terjumpa lelaki Islam menangis. Bila ditanya apa sebabnya maka jawab lelaki itu: “Saya menangis kerana takutkan segala azab disebabkan dosa saya” Maka musuh Islam itu simpulkan bahawa ini bukanlah waktu yang sesuai untuk jatuhnya kerajaan Islam.

Betahun lamanya, kisah yang sama berlaku. Seorang lelaki lain dilihat sedang menangis. Ditanya soalan yang sama. Maka jawab lelaki itu: “Saya menangis kerana kecewa cinta saya tak kesampaian”. Maka musuh Islam simpulkan: “Inilah masanya kita jatuhkan kerajaan Islam.

Tak nampak lagikah, kerana cinta Islam tergadai. Tapi lihat sekarang, berapa ramai orang Islam yang tak bercouple sekarang? Ah, kecilnya angka itu. Semua dah hanyut ikut trend budaya Barat.

Bohong jika sesiapa cakap couple itu budaya Islam. Ingat itu semua datang dari Yahudi dan musuh-mush Islam.

Maka, bencikan budaya Barat, saya tak bercinta.

Angka kesembilan:
Tajuknya berbunyi ‘Lihat kesan kegagalan cinta’
Maka saya katakan, kepedihan. Benar, cinta bila gagal, maka pedihnya jawapannya. Tapi saya tahu, tak ramai yang fikir soal tu. Lumrah, bila sedih turut serta kecewa, maka haru-biru hidup buat seketika.

Teringat pula lagu Yuna, Dan Sebenarnya. Hah, itulah rasanya bila putus cinta. Mendayu-dayu lagunya nak gambarkan kelukaan hati. Masih menaruh harapan agar kembali, tapi hakikat jauh panggang dari api. Mustahil.

Itu satu hal. Masuk fasa lain pula. Makan masa juga jadinya bila nak pulihkan hati terluka tu. Mungkin seminggu, mungkin sebulan, mungkin setahun, atau mungkin tak boleh…. Jadi dah satu hal lagi. Buang masa, buang tenaga. Masa terbuang bila fikiran terus mengelamun sampai study dah macam tak wujud lagi. Tenaga terbazir, bila seluruh tenaga itu hanya digunakan untuk digunakan dalam tangisan.

Apa yang saya nak cakap? Malangnya ibu bapa mereka. Habis ribuan ringgit, tapi anak dah putus harapan dengan alasan dangkal kata dah kecewa hati…. Ikut hati saya nak ketuk je kepala mereka ni. Oooi… sedarlah diri. Masa depan lagi penting….

Maka, lihat gagal cinta, saya tak bercinta.

Angka kesepuluh:
Tajuknya berbunyi ‘Bencinya saya pada maksiat’
Agak-agaknya, dosa tak kalau buat maksiat? Nah, soalan bodoh dikeluarkan. Mungkin struktur ayat ditukar sikit. Tukarkan maksiat kepada bercinta. Yalah bercinta tu bersamaan maksiat [bercinta = maksiat] (ini bukan formula Matematik baru…) Jadi kalau dah bercinta, maka selamat datang kepada maksiat.

Maksiat tu tetamunya dosa. Maka dosa itu duit belanja ke neraka. Kumpul banyak-banyak dosa, maka kedudukan kelas dalam neraka pun makin tinggi. Dapatlah kelas lima bintang a.k.a neraka jahannam. Maksudnya, lagi lama bercinta maka bertambahlah koleksi simpanan bekalan untuk menuju ke pintu neraka.

Kenapa saya kata maksiat? Banyak yang haram dari yang halal. Mudah lagi jadi perkara mungkar dari perkara yang baik. Adakah dengan bercouple ni, solat boleh sepuluh kali ganda kusyuk? Bohong kalau ada yang cakap boleh. Tapi saya tak nafikan mungkin masih ada namun jumlahnya sangat kecil.

Bagitahu saya, perkara apa yang boleh mendatangkan pahala bila bercouple ni? Tergagap-gagap nanti nak bagi jawapan. Yalah, sms dengan perempuan bukan muhrim, dapat pahalakah? Keluar dengan lelaki bukan muhrim berdua sahaja, boleh dapat kesenangan syurga ke? Berutus-utus hadiah dan surat, adakah boleh buat kita lebih taat pada Allah? Benda dah haram kalau dibuat lagi, mana mungkin boleh buat kita lebih taat pada Allah. Hujah saya mudah, maksiat dan bercinta ibarat rakan karib seperti Spongebob dan Patrick (masa saya tulis ni, saya tonton kartun Spongebob Squarepants. Hehehe…).

Maka, betapa bencinya saya pada maksiat, saya tak bercinta.

Angka sebanyak sepuluh itu satu hujah buat 6 wanita yang cuba merobek prinsip saya. Saya campurkan kesemua angka tersebut dan kemudian saya bentukkan menjadi satu tajuk. Sepuluh angka itu saya simpulkan menjadi barisan pernyataan ini.

“Sepuluh sebab Yazid Rosly tak akan bercinta sekarang”

Harap mengerti bicara saya.

Saya bukan anti bercinta. Saya akui saya akan bercinta juga nanti. Namun bagi saya, biarlah percintaan saya itu dimulakan dengan sebuah perkahwinan. Itu lebih indah dan dituntut juga dalam Islam.

Jika saya berjumpa seseorang yang tepat benar dengan ciri-ciri yang saya ingini dalam waktu saya sedang belajar ini, maka saya akan hampirinya. Saya bukan mahu bercinta, tapi adalah lebih baik saya berkawan dengannya.

Jadi bicara ini buat 6 wanita di sana, fahamilah 10 angka yang saya coretkan. Pernyataan ini untuk mereka di sana. Tanda bahawa saya belum bersedia….

p/s: 1- Saya pandang sinis saja pada mereka yg declare dlm facebook bagi tahu dah couple dengan si polan bin/binti si polan. Siap tulis nama lagi. Tapi pelik, nama mak dengan ayah, tak pula nak tulis dalam info facebook tu? Dah belakangkan mak bapak ke?

2- saya bukan benci untuk bercinta tapi caranya itu haruslah kena sebagai orang Islam yang sebenar. Jangan esok bila dah tersilap langkah baru nak menyesal. Masa tu dah tak guna….
[bakal Dr. Muhammad Yazid Rosly… hehehe… :’)]

Khamis, 13 Mei 2010

Bicara: Salam Hari Ibu buat mak...

Saya bukanlah selalu menghabiskan masa menonton filem baik di panggung atau di televisyen. Namun baru-baru ini, saya tiba-tiba tertarik untuk menonton sebuah filem di televisyen, itupun bila mak saya turut serta menonton. Filem keluaran tahun 1998, Stepmom lakonan Julia Roberts, Susan Sarandon, Ed Harris, Jena Malone, Liam Aiken saya tonton bersama mak. Filem yang berkedudukan nombor dua (berada di belakang filem Adam Patch) selama dua minggu berturut-turut sewaktu tayangan di Amerika Utara ini memang ada kekuatan ceritanya. Maka tak hairan bila saya lihat air mata pada wajah mak ketika menonton filem ini. Memang menyentuh perasaan tapi mata saya masih kebal untuk mengeluarkan titisan air mata.

Kisah Isabel, seorang wanita muda bekerjaya lakonan Julia Roberts yang cuba membiasakan diri dengan dua bakal anak tirinya cukup menarik. Kisah konflik anak gadis yang baru berusia 12 tahun dan budak kecil yang nakal ternyata mencabar kesabaran Isabel. Tanpa memberikan beban apabila ibu kandung dua kanak-kanak ini turut bersikap terlalu defensif terhadap anak-anaknya sehingga menyebabkan Isabel tidak diberikan peluang untuk cuba mengenali dengan lebih rapat anak-anak tersebut.

Kisah mula berubah apabila si ibu kandung ini, Jackie Harrison telah disahkan sukar untuk sembuh dari penyakit barahnya. Bayangkan berhadapan dengan semua dugaan ini bersendirian, tidak diketahui sesiapa dan pada masa yang sama menghadapi konflik rumah tangga serta pada masa yang sama juga memikirkan masa depan anak-anaknya nanti telah menekan seluruh kehidupannya. Bertarung dengan barah dan pada masa yang sama bertarung dengan bahagia hidup.

Permusuhan Isabel dan Jackie tamat serta-merta bila Isabel tahu keadaan sebenar kesihatan Jackie. Maka bermulalah babak-babak yang menyentuh hati tatkala Jackie membantu Isabel mengenali dengan lebih dalam perihal dan sifat anak-anaknya. Sedikit tersentuh bila saya dengar dialog antara Jackie dan Isabel:

Kata Isabel: “Saya takut satu hari nanti, bila Anna (anak perempuan Jackie) berkahwin, saya berdua dengannya sedang bersiap-siap di dalam bilik, memakaikan gaun padanya, dia gembira dengan wajah tersenyum, dan tiba-tiba dia berkata, saya berharap ibu saya akan berada di sini…”

Jackie menjawab dengan linangan air mata: “Saya memang mengenali anak-anak saya sepenuhnya. Saya memang mempunyai segala kenangan silam mereka tapi awak mempunyai segala kenangan masa depan….”

Indahnya kata-kata ini. Betapa mulianya hati dua orang ibu walaupun salah seorangnya cuma ibu tiri saja.

Penghujung cerita, mereka sekeluarga menyambut Krismas. Turut serta bakal ibu tiri mereka, Isabel yang disambut dengan penuh mesra oleh Jackie yang telah lemah menanti hari untuk mati. Seluruh keluarga bersatu tanpa sebarang konflik.

Kehadiran Isabel ada hikmahnya. Menjadi pengganti anak-anak Jackie satu hari nanti. Di penghujung cerita Jackie berkata kepada anak perempuannya, Anna: Ibu takut dengan apa yang akan berlaku pada ibu nanti (mati), tapi ibu tak takut bila fikir kamu semua lagi sebab ibu tahu kamu tak apa-apa…”

Memang benar dan telah diakui suluruh kehidupan di dunia ini. Ibu memang besar pengorbanannya. Hakikat itu saya tak perlu lagi pertikaikan. Filem yang saya tonton itu cuma menggambarkan sedikit saja pengorbanan ibu. Hakikatnya memang jauh lebih besar jika mahu digambarkan pengorbanan itu.

Ah, panjang benar mukadimah kali ini. Entahlah, tujuan utama saya tulis ini bukanlah mahu pula nak jadi pengulas filem, bukan juga mahu menjadi pembikin filem, bukan juga mahu menyatakan keseronokan menonton filem itu. Namun mesej yang disampaikan yang bertitik pada satu iaitu pengorbanan seorang ibu, itulah matlamat saya.

Kisah ibu saya, atau lebih tepat mak saya dari dulu, kini, dan pastinya sehingga bila-bila… pengorbanan setiap tindakannya, kasih sayang yang dianugerahkan kepada anak-anaknya, ketiadaan jemu mendidik dan memberi panduan, kesabaran walaupun banyak penghalangnya, itulah satu kisah yang tidak ada insan yang mampu mengambil tempat dan tarafnya sebagai ibu.

Bilakah bermulanya pengorbanan mak?

Seawal usia 20 tahun, maka bermulalah kisahnya. Usianya masih muda, malah ada matlamat hidupnya. Bukan tak ada kelulusan dan tak juga tidak punyai kepintarannya. Mak korbankan hidupnya demi menurut kemahuan ibu bapanya. Tak hairan pengorbanan itu dek kerisauannya sendiri bila terpaksa menolak setiap pinangan orang terhadapnya dan pada masa yang sama melihat wajah Tok Wan dan Tok Yam yang bertambah kerisauan. Akhirnya, cita-cita dikorbankan demi menjadi anak yang solehah. Mahu sejukkan dan senangkan hati ibu bapa, pinangan terkakhir mak diterima, itupun selepas persaingan sengit di antara dua guru lelaki menemui penamat yang dimenangi guru nun jauh di Pantai Remis dan pastinya itulah ayah saya kini.

Kisah bermula sebagai isteri muda. Berkat patuhnya pada Tok Wan dan Tok Yam, maka mak mendapat keluarga mertua yang begitu baik. Bayangkan, Tok Rahmah (nenek sebelah ayah saya) lebih utamakan menantunya berbanding ayah sendiri sampaikan bila orang datang, semuanya ingat mak anak kandung Tok Rahmah. Bayangkan dalam segala hal, mak akan jadi nombor satu dan ayuh ikut di belakang di nombor dua. Itu belum kira perihal ayah saya, ibarat seperti suami idaman setiap wanita. Agamanya kuat, malah ringan tangan dengan kerja-kerja di rumah, hingga kadang-kadang mak ibarat jadi permaisuri di rumah, banyak berehat kerana ayah banyak bantu mak. Bayangkan nak susun atur perbot, belum sempat nak fikir, ayah dah aturkan segalanya. Bukan quen control, malah mak sendiri pun jadi serba salah bila ayah tolong mak buat kerja. Tapi itu sifat ayah, suka mengemas rumah.

Hehe.. bukan nak puji sendiri, tapi itulah kata-kata yang saya dengar sendiri dari mulut Tok Rahmah, ibu ayah saya merangkap nenek saya.

Jadi, saya simpulkan, itulah berkat bila patuh pada kata-kata ibu bapa. Berkat itu memang tak terucap nikmatnya.

Setahun berlalu, maka muncullah saya dalam keluarga. Anak sulung, dan usia mak baru 21 tahun. Huh, itu cabaran besar buat mak sebagai ibu muda. Terus hasrat dan cita-cita mak sebelum ini mengejar kerjaya idaman, dipadamkan terus. Saya dijaga dengan sepenuhnya. Tok Rahmah, Tok Yam jadi assistant bantu mak jaga saya. Pengalaman mak tak banyak, tapi jadi cekap dengan bantuan dua ibu ini.

Hah, itu pengorbanan pertama mak buat saya. Usia mudanya dikorbankan. Melangkah usia 21 tahun, kepentingan dirinya jadi nombor dua. Nombor satu menjadi tempat buat anaknya iaitu saya…

Itu belum masuk ragam saya sewaktu kecil lagi. Tiap-tiap hari terkejar-kejar mengikut rentak saya yang selalu merayap ke sana dan ke sini di sekitar kampung sehingga kadang kala penat dibuatnya mak mencari saya. Cari di merata tempat, rupa-rupanya saya dah ada di rumah Tok Rahmah (rumah Tok Rahmah tak jauh dari rumah mak tinggal)

Ya, saya akui, kisah kecil saya memang penuh dengan kenakalan. Malah sehingga kini gelaran tersebut tak dapat dirampas oleh adik-adik saya yang lain. Sayalah yang paling nakal sewaktu usia kecil.

Tahun 1992, kisah keluarga berubah. Ayah ditukarkan ke SMK Treacher Methodist, maka bermulalah kehidupan baru di Taiping. Pada tahun itu juga Izhar adik pertama saya lahir. Maka tugas sebagai ibu buat mak berganda.

Saya masih ingat, hari pertama saya ke tadika, bagaimana saya dipakaikan baju baru uniform tadika Kemas, dengan rambut disikatkan mak, dengan muka putih disapu bedak sambil mak nyanyikan lagu “Pok amai-amai belalang kupu-kupu, pok Yazid pandai, tadika kita tuju….”

Itu sajalah rangkap yang masih saya ingat. Kononnya mahu hilangkan ketakutan saya, tapi lain pula jadinya bila mak terpaksa tunggu sampai pukul 11 di tadika dek saya yang buat hal di tadika menangis tak mahu ditinggalkan mak. Mak sabar tak pernah pula dengar rungutan. Dan tempoh setahun itu, tiap-tiap hari mak hantar dengan basikal ke tadika, walaupun kadang-kadang tak sihat. Saya ingat lagi, pernah mak kena selsema. Lepas saja ambil saya, sampai rumah terus terlena sampai pukul 3 petang sehingga terlupa nak masak tengah hari. Mujurlah hari tu Isnin, ayah saya puasa sunat Isnin seperti kebiasaan.

Cerita sama terjadi lagi bila masuk tahun satu. Saya buat hal lagi kali ni lebih dasyat. Hari pertama saja, mak kena jadi jaga kat sekolah. Saya buat hal selama seminggu. Masa tu jugalah mak kena tebalkan muka seret saya tiap-tiap hari naikkan saya ke atas bas sampai terpaksa pula dipujuk konduktor bas. Huh, malu pula bila ingat waktu tu. Tapi mak, sabar je. Tak pernah pula dengar rungutnya….

Saya juga sampai sekarang masih terus ingat bagaimana mak terpaksa menjadi ibu dan ayah pada waktu yang sama. Ketika ayah berada jauh di Pulau Pinang menyambung pengajian di USM, kekuatan mak membolehkan famili saya terurus dengan baik. Bukan mudah tambahan pula pada waktu tu saya pula menghadapi UPSR. Ayah pula yang hanya ada di rumah 2 hari seminggu pasti memberi cabaran besar buat mak untuk ambil peranan ayah untuk lima hari yang lain. Masih ingat lagi saya, mak sanggup temankan saya buat kerja rumah walhal mak dah tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Huh, memang sukar bila dua peranan dipegang oleh seorang saja. Ditambah dengan kerenah 3 adik saya yang lain, bila saya kenang kini, saya rasa cukup kesian dengan mak. Sendiri berkorban dan tak ada tempat lain untuk mengeluh atau mengadu lagi. Yalah waktu tu, Tok Yam (ibu mak saya a.k.a nenek saya) baru saja meninggal…

Kisah remaja saya bermula. Sekolah menengah lain pula ceritanya. Keadaan tak berubah sebab ayah tak habis lagi belajar. Jadi bayangkan terpaksa pula nak jaga anak yang awal remaja, dengan emosi lain macam yang kadang kala tak difahami, dicuba juga mak untuk mendidik saya dengan baik. Yalah, bukan mudah untuk seorang wanita fahami hal lelaki yang mungkin lebih mudah difahami oleh ayah.

Maka tak hairanlah saya sedikit terhanyut ketika itu. Bukan mak tak berjaya jaga saya, tapi mungkin terlepas pandang tanpa mak sedari. Yalah mak seorang wanita, kadang-kadang tak faham keperluan lelaki. Ada perkara yang hanya difahami oleh lelaki saja dan dalam hal ni ayahlah orangnya. Tapi saya tak salahkan mak. Saya tahu, itu fitrah kejadian manusia.

Saya hanyut bercinta dengan seorang rakan ni… hmm… Seronok, tapi bila dah kepala terhantuk, baru tahu pedihnya hati. Ah, itu kisah cinta kebudak-budakan yang tak ada maknanya tapi berguna untuk pengalaman. Saya ingat lagi, orang pertama yang dekati saya semestinya mak sebaik putus saja hubungan cinta tu. Saya masih ingat lagi kata mak pada saya yang waktu tu macam tak keruan.

Kata mak: “Memang betul perempuan tu manis macam madu, tapi kena ingat juga perempuan juga boleh jadi racun yang ada bisanya…”

Saya sedar. Setahun berlalu saya perbetulkan keadaan. Pelajaran pulih dan matlamat itu ditujukan pada mak. PMR dan keputusannya, saya tujukan pada mak. Hasrat itu berjaya bila mak menangis gembira bila saya cemerlang PMR. Titisan air mata mak gembira adalah saat terindah yang saya tak lupakan sampai hari ini.

Ini untuk mak. Itu kata hati saya bila dapat keputusan PMR dulu.

Kisah berubah. Saya berpindah. Kini MRSM Taiping jadi medan baru saya. Matlamat tetap sama juga. Semuanya khas buat mak. Lucu pun ada bila saya dah jadi macam penunggu di telefon awam blok kediaman, tiap-tiap hari lepas Zohor, Asar, dan Isyak, saya telefon mak. Rumah tak jauh, sampai ada pula yang kata saya ni anak mak. Ah, pedulikan kata mereka, kerana itulah cara saya cuba mahu membalas jasa mak. Senantiasa mengingati dia dan berada di sisi dia.

Setiap kali habis jawab exam, saya telefon. Kata-kata nasihat mak dah macam ubat beri semangat pada saya. Mak tetap berjasa walau di mana saya berada.

Kisah sedih bermula. Saya kini di Matrik Perak. Suasana baru lagi, tapi bezanya saya lebih jauh dari mak. Saya tak kisah. Tak lama lepas tu saya sakit. Teruk sangat dan akhirnya tangguh dulu pengajian. Saya berehat panjang.

Saya masih ingat lagi, mak sanggup jaga malam sampai pukul lima pagi temani saya yang tak boleh tidur sakit teruk sebab nafas tak cukup. Memang benar asma bukan perkara kecil. Tersengguk-sengguk sambil mata melihat surah Yaasin dengan kedengaran bacaan merdu tanpa henti dari mak. Mak urut dada saya walaupun tahu itu tak akan pulihkan asma saya dengan mudah. Mak tahu, tapi sekurang-kurangnya mak cuba. Saya tahu mak sebak. Bacaan mak kadang-kadang tenggelam suaranya mungkin tahan sebak. Saya tahu, mak menitiskan air mata sebab nampak kesan basah pada helaian-helain buku Yaasin.

Pernah mak peluk erat saya seaktu saya sakit teruk. Bila saya dah pulih sikit, saya tanya mak kenapa mak buat macam tu. Kata mak, dia harap sekurang-kurang dia nak saya tahu yang saya tak bersendirian bila sakit. Mak cakap kalau boleh dia nak semua sakit tu pindah pada dia. Saya sebak bila dengar.

Kisah sakit saya berterusan untuk tahun-tahun berikutnya. Pengajian saya tertangguh. Kesannya amat mendalam. Saya masih ingat, dan itu memang menekan jiwa. Saya masih ingat, saat mak bawa saya ke hospital sebelum dirujuk ke klinik psikatarik. Doktor sahkan saya dapat kemurungan. Banyak ubat diberi. Mak sabar saja walaupun terpaksa tebalkan muka ulang alik ke klinik tersebut setiap bulan dapatkan rawatan. Stigma orang, klinik tu untuk orang gila mak pedulikan saja.

Kisah berlalu. Perlahan-lahan saya pulih. Sumbangan mak besar. Dia berada di sisi saya setiap saat. Dia sentiasa menyokong saya sepanjang masa. Bila saya tertekan dulu, maklah yang redakan tekanan. Bila saya rungsing dulu, maklah yang tenangkan hati. Bila saya hilang yakin diri dulu, maklah yang serapkan semangat pada saya. Setiap saat mak ada di belakang. Memang benar besar pengorbanan mak.

Beberapa bulan lagi saya akan kembali kepada pengajian. Saya berjauhan kembali. Tapi saya tahu saya akan sentiasa di sisi mak. Ya, mungkin nanti handphone saya sibuk kembali. Perbualan mak dan saya pasti akan menguasai setiap waktu. Saya tak kisah bila setiap kali lepas kelas dan saya telefon mak, kemudiannya ada orang cakap saya ni ‘anak mak’, anak manja, atau apa saja gelaran pun. Apa saya kisah. Saya lakukan demi balas jasa mak. Apalah sangat tindakan saya ni jika nak dibandingkan pengorbanan mak yang jauh lebih besar. Biarlah apa orang nak kata.

Bayangkan semua yang mak korbankan untuk saya itu digandakan sebanyak enam kali…. Tak terbayang saya betapa hebatnya mak yang punyai enam orang anak.

Mak sanggup tinggalkan cita-citanya demi patuh pada ibu dan bapanya. Mak sanggup lupakan semua cita-citanya semata-mata mahu saya membesar dengan sempurna. Saya tahu, pengorbanan mak sungguh besar. Mungkin sepatutnya mak seorang guru sekarang. Mungkin juga mak sepatutnya pegawai kerajaan kerana mak sepatutnya layak. Dia tinggalkan semua untuk berkorban. Anak-anaknya nombor satu daripada dirinya.

Tak apa, jika mak berkorban, biarlah saya yang sambungkan cita-cita mak. Biarlah saya banggakan mak nanti. Itu janji saya. Saya nak mak sepanjang masa tersenyum di wajah dan hati.

Sungguh murni hati mak, korbankan segala-galanya.

Saya akui, ketika saya menulis tulisan ini, saya memang menitiskan air mata. Saya tak malu untuk akuinya kerana air mata itu adalah kerana terharunya saya dengan pengorbanan dan jasa mak. Tak salah untuk itu…

Malam semalam saya lakukan solat hajat. Saya memohon moga mak bahagia sepanjang masa tanpa sedikit pun rasa kesedihan. Mak selayaknya perlu rasa begitu atas segala pengorbanannya.

Malam semalam saya curi sekejap telefon mak. Saya bluetoothkan lagu Selamat Hari Ibu nyanyian Hujan. Saya tukarkan nada dering The Show nyanyian Lenka yang mak gunakan untuk alarm jam telefon kepada lagu Selamat Hari Ibu itu dan mak tak tahu. Pagi tadi mak terkejut bangun pagi terdengar lagu yang berbeza. Dan pagi itu jugalah beberapa kali mak mainkan semula lagu tersebut. Mak tersenyum saja mungkin gembira.

Penghujung bicara, saya tiupkan Salam Hari Ibu buat mak. Moga mak tahu, saya sangat sayangkan mak. Maklah nombor satu di hati saya.

‘Selamat Hari Ibu- Hujan’

Dengarkan lah lagu
Laguku ini
Ikhlas dari hati... Hanyalah untuk mu

Akulah anak mu
Anak mu yang selalu
Memelukmu...
Menciummu...

Memang banyak dosa yang telah ku lakukan
Menyakiti dikau ku mohon maafkan

Selamat Hari Ibu...
Ku ucap kepada mu...
Walauku jauh disini
Ku harap kau terus menanti kepulanganku
Tuk menemani mu hingga ke akhir nanti
Aku janji...

Kau tak tahu ku sentiasa bersyukur
Punyai pari-pari iaitu kamu
Ku pastikan agar kau sentiasa bahgia
Ingin ku nyatakan engkau milik syurga

Memang banyak dosa yang telah ku lakukan
Menyakiti dikau ku mohon maafkan

Selamat Hari Ibu...
Ku ucap kepada mu...
Walauku jauh disini
Ku harap kau terus menanti kepulanganku
Tuk menemani mu hingga ke akhir nanti
Aku janji...

Selamat Hari Ibu...
Ku ucap kepada mu...
Walauku jauh disini
Ku harap kau terus menanti kepulanganku
Tuk menemani mu hingga ke akhir nanti
Aku janji...


p/s: tulisan ini memang panjang namun saya tahu itu belum cukup menggambarkan betapa besarnya pengorbanan mak buat saya.
Tulisan ini hanya setitis air dari tasik dan air tasik itu menyuburkan segenap pokok di sekitarnya. Sayalah, dan kamilah (Muhammad Yazid Rosly, Muhammad Izhar Rosly, Muhammad Izwan Rosly, Muhammad Ikhmal Rosly, Nur Aisyah Nadhirah Rosly, Nur Adrina Najiha Rosly) merupakan pokok itu. Kami mohon maaf pada mak untuk setiap kesalahan kami…

Khamis, 6 Mei 2010

Internet: Lelaki vs wanita

Beberapa minggu lalu, sepupu saya berkunjung ke rumah saya. Pelajar tahun akhir undang-undang UIA ni tiba-tiba memilih rumah keluarga saya untuk menghabiskan cuti dua minggunya. Mungkin mahu cari suasana baru dan mungkin kebosanan terperap di bandar besar Kuala Lumpur. Memang pelik, orang lain kalau cuti habiskan masa dengan famili sendiri tapi sepupu saya ni habiskan masa dengan keluarga saya pula. Saya keluarkan kenyataan ini padanya. Dia tersengih saja. Katanya dengan pernyataan balas berbentuk soalan: Ni pun bukan ke famili aku jugak?

Ya, betul juga hujahnya itu.... Lagipun keluarganya tinggal di Kuala Lumpur. Ulang alik dari rumah ke kampus tiap-tiap hari. Tak perlu menetap di asrama. Tiap-tiap hari mengadap keluarga sendiri. Jadi rasanya tak salah nak mengadap keluarga sederhana saya ni.

Soalan pertama sebaik sepupu saya keluar dari Proton Saganya terus keluar dari mulut saya. "Mana buku-buku tebal?"

Dia tersenyum saja. Bukan apa, setiap kali berkunjung ke Taiping, memang tak sah kalau 'teman-teman' bukunya itu tak ikut dia. Waktu cuti pun sibuk nak menelaah buku undang-undangnya yang tebal- tebal belaka.... Huh, bukan senang nak jadi lawyer ni rupanya...

Tanpa sebarang buku, tanpa sebarang kertas kerja atau apa saja yang berkaitan dengan pengajiannya di UIA, kali ini dia hanya ditemani komputer ribanya berserta 'bagasi' pakaiannya untuk dua minggu (sepupu saya ni memang sakan kalau bergaya). Jadi, kiranya sepanjang dua minggu berada di rumah, buat pertama kalinya mindanya bebas dari perkara belajar.

Saya akui, dia bukan calang-calang orang. Bayangkan sejak dari sekolah rendah sampailah masuk universiti, akademiknya memang bagai langit dengan bumi kalau nak dibandingkan dengan saya ni. UPSR, PMR, SPM, semuanya dapat A untuk semua subjek. Antara pelajar cemerlang sekolahnya, nak banding dengan saya... hmmm kecilnya rasanya.

Ah, bukan itu yang ingin saya fokuskan.... Perihal dirinya yang memang rapat dengan saya sejak kecil lagi memang tak dapat dinafikan. Walaupun umurnya lebih tua dari saya, cara berfikir kami memang sama saja. Anak kepada adik bongsu ayah saya ni memang petah berkata-kata tapi pada masa yang sama senantiasa berdiam diri bila berhadapan dengan orang ramai. Cakap bila perlu, itulah caranya.

Jadi, bila muncul semula sepupu saya ni, hah terkenang kembali zaman kanak-kanak. Dan sekarang bila berjumpa balik, memang jauh berbeza. Lain pula rasanya walaupun kemesaraan tu masih tetap sama. Yalah, maklumlah wajah sepupu saya ni dah matang dan pastinya makin cantik. Tengok sekali pun dah boleh bergetar jatung rasanya. Mungkin ikut wajah mak saudara saya. Tak heranlah di UIA saja, berduyun-duyun cuba nak pikat dia. Namun dia tolak walaupun ada yang tersangkut dengannya.

Oh, lupa saya untuk perkatakan... Sepupu saya ni perempuan.. atau mungkin selayaknya dipanggil sebagai wanita...

Namun bukan wajah ayunya yang menggentarkan jiwa itu yang ingin saya utarakan. Ah, ke mana kalau kuah tumpah kalau tak ke nasinya. Itu yang saya katakan pada mak bila mak sentiasa puji kecantikan wajah sepupu saya ni. Namun itu bukan isu utamanya.

Isunya bermula pada pagi hari berikutnya selepas sarapan sewaktu mak saya sibuk menyiapkan Adrina adik bongsu saya ke tadika, maka bermula bicara saya antara saya dengan sepupu saya itu. Pagi itu dimulakan dengan bicara broadband yang semakin menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Terus selepas itu sepupu saya mengeluarkan notebooknya diletakkan di atas meja makan di dapur. Tanpa disuruh pun, untuk tumpang sekaki saya pun mengambil notebook saya. Terasa kecil pula rasanya bila nak keluarkan notebook saya. Bukan apa sepupu saya jenama notebooknya Apple. Saya pula guna notebook Asus yang dibeli 5 tahun lepas. Jadi kiranya ibarat komputer zaman dinosaur berjumpa dengan komputer zaman siber... hehee...

Bicara broadband mula kedengaran bila masing-masing nak buka e-mel. Modem USB masing-masing mula digunakan. Beza pengendali broadband antara saya dan sepupu saya telah mencetuskan idea pula. Antara Celcom dan Maxis, yang mana lebih bagus broadbandnya?... Hmmm, untuk persoalan itu, saya kalah bila broadband Maxis sepupu saya lebih pantas dan lebih luas liputan di rumah saya. Bayangkan broadband dia sentiasa full bar walau di mana pun tempat dia berada di dalam rumah. Celcom saya cuma penuh bila berada di ruang tamu...

Ah, kekalahan itu bukan isunya juga. Isu ini tercetus bila sepupu saya itu membuka e-mel yahoonya tak berapa lama lepas tu. "banyak betul sampah dalam inbox..."

Saya tak hairan pun bila itulah yang dikatakan sepupu saya. Yalah saya juga mengalami perkara yang sama bila e-mel senantiasa dipenuhi dengan mel-mel yang tarafnya tak ubah seperti sampah.

"Tahniah, anda terpilih sebagai pemenang RM 20 ribu..."
"Ikut link ini utk jadi kaya..."
"Video hangat...."
"Rahsia cepat kaya..."
"Gadis kesepian... hubungi saya"

Hah, inilah mel sampah yang saya perkatakan. Walaupun saya spam, mel ni masih terus singgah dalam inbox saya. Dari mesej nak jadi kaya samapilah mesej yang bertaraf 18SX, malah ada juga mel yang cuba nak menggoda saya, saya akui keluhan yang diutarakan sepupu saya ni memang ada asasnya.

Namun di penghujung bicaranya itu, dia berkata bahawa e-mel wanitalah yang lebih banyak dinganggu dengan mel-mel sampah ni. Untuk hujah itu, saya gelengkan kepala. Saya tak fikir itu kesimpulan yang bernas kerana saya sebagai lelaki juga banyak menerima mel sebegitu. Maka bermula perang hujah namun taklah sehangat debat Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Shabery Cheek. Hanya pertindihan pendapat ketika bicara, itu saja yang berlaku berlaku.

Lantas keluar satu cabaran untuk menyokong hujah masing-masing. Saya dengan hujah menyatakan lelaki lebih banyak dinganggu dalam internet, dan sepupu saya dengan hujah vice versa dari hujah saya. Kata sepakat diputuskan, selama tempoh dua minggu ini, kami akan mencari jawapan untuk satu soalan ini: "Internet: Lelaki vs wanita, yang mana lebih banyak diganggu..."

Apakah langkah yang diatur untuk bukti terhadap hujah masing-masing?

Inilah langkahnya.... Pertama, kami terus membuka akaun Facebook yang baru menggunakan nama baru. Satu akaun perempuan, manakala satu lagi lelaki. Gambar diletakkan dan yang pasti memang cantik rupanya baik lelaki dan perempuan. Tujuannya untuk menarik minat orang. Langkah membentuk 2 akaun palsu FB ni bukan dibuat secara berasingan tapi kami lakukan secara bersama untuk mengelakkan berlaku berat sebelah.

Akaun perempuan, gambar rakan sekuliah sepupu saya digunakan. Akaun lelaki pula, gambar abang saudara yang tua 2 tahun dari saya digunakan. Nah, siap saja akaun beserta dengan segala info asas yang diperlukan, kami kemudian membiarkan akaun tersebut. Hasilnya hanya dapat dilihat untuk tempoh yang lain nanti.

Langkah kedua, saya kemudian menghasilkan klip video yang memaparkan gambar-gambar cun sepupu saya. Menggunakan Movie Maker, saya hasilkan klip durasinya selama 2 minit. Hampir 25 keping gambar digunakan itu pun setelah 2 jam memujuk sepupu saya untuk menggunakan gambarnya dalam klip tersebut.

Hah, gambar cun sepupu saya telah siap, maka saya teruskan langkah berikutnya. Saya hasilkan pula klip video dengan format yang sama juga. Namun kali ini gambar cun sepupu saya diganti dengan gambar abang saudara yang memang cukup memikat rupanya, maksudnya handsome....

Siap dua video tersebut, maka langkah ketiga dibuat. Tugas ini saya serahkan pada sepupu saya. Dua video tersebut kemudian diuploadkan ke Youtube. Selesai saja tugas itu, kami biarkan dulu untuk lihat hasilnya yang memerlukan satu tempoh yang lain nanti. Maka kami kena sabar...

Beberapa hari kemudian, atau lebih tepat hari Khamis malam Jumaat, serwaktu famili lain sibuk menonton drama seram Penunggu Gunung Raya di TV3, kami mengatur langkah keempat. Setelah perbincangan hampir dua hari, maka malam itu kami putuskan untuk atur langkah ini. Dua notebook digunakan sambil yang lain sibuk menonton tv.

Saya buka laman chat yang banyak di web. Sepupu saya memilih satu laman chat yang cukup popular dalam kalangan chatter... (tak perlulah sebut laman tu). Apakah tujuannya? "Hah, mari kita lihat personaliti dan perihal para pengguna ruangan chat ini. Adakah wanita atau lelaki yang banyak jadi mangsa dalam internet". Sepupu saya keluarkan bicara mencabar hujah saya sebelum ini.

Pada rancangan asal, saya akan menjadi rakan chat lelaki manakala sepupu saya wanita. Tapi rancangan diubah. Kami yang akan jadi dua personaliti rekaan yang berbeza jantina itu. Dalam tempoh satu jam menggunakan laman chat itu, setengah jam tempoh digunakan kami untuk menjadi chatter wanita dan baki tempoh berikutnya sebagai chatter lelaki.

Masa bermula. Chatter wanita watak kami. Huh, tak sampai seminit saja masuk dalam ruangan chat, 5 orang chatter lain mula cuba berchating dengan watak wanita ni. Tempoh berikutnya jumlah itu semakin bertambah. Dan setelah setengah jam, jumlah rasminya sebanyak 37 orang, satu jumlah yang kami tak duga. Tambah terkejut, semua chatter itu lelaki. Jawapan persoalan mula terjawab. Sepupu saya tersenyum saja.

Tempoh berikutnya, watak bertukar. Kini kami menjadi chatter lelaki pula. Keadaan berbeza mula dilihat. Jumlah chatter yang ingin berchatting jadi tak banyak. Pelik tapi itu hakikatnya. Dan dalam tempoh setengah jam itu, hanya 9 orang chatter saja yang berjaya kami pancing. 6 perempuan, 3 lelaki. Angka yang menghentam dengan kuat terhadap hujah saya. Sepupu saya tersenyum sekali lagi.

Semasa berchatting, kedua-dua watak kami mainkan menjadi seorang yang pasif. Maksudnya, watak itu tidak akan banyak menyoal sebaliknya hanya banyak disoal. Watak juga tidak akan banyak bercakap tapi lebih banyak menjawab pertanyaan chatter lain. Tujuannya untuk menilai perwatakan setiap chatter itu sendiri.

Dalam tempoh menjadi watak wanita itu, daripada 37 yang berchatting, 11 daripadanya lebih mahu berbual dalam cara yang biasa, maksudnya tidak ada perbualan yang lebih dari sepatutnya. 26 chatter lain pula bolehlah saya katakan agak miang. Semuanya cuba nak mengurat, ada yang minta no telefon, dan ada juga tanya alamat rumah. Lebih dasyat, ada yang minta untuk berjumpa dan lakukan perkara yang haram itu.... senang cakap nak berzina... Masyaallah.... bahaya betul ni. Dari jumlah 37 itu, hanya 3 sahaja yang memberitahu umur mereka, selebihnya kami kena tanya sendiri, dan jumlah besar sebanyak 30 orang pula ingin tahu umur watak kami.

Dari jumlah itu, 19 orang berumur 30 tahun ke atas, selebihnya bawah 30 tahun. Dalam jumlah itu juga, kami dapati 18 chatter perbualannya berunsur seksual yang cuba menggoda watak kami. Huh, terkejut dengan jumlah tu. 23 daripada chatter cuba tanya no telefon, 2 pula cuba tanya alamat pula, manakala 1 pula cuba tanya alamat e-mel.

Dalam tempoh menjadi watak lelaki pula, kesemua 9 chatter bertanya umur watak kami. 4 pula cuba bertanya perkerjaan, dan 2 pula cuba bertanya asal tempat. Tidak banyak yang boleh saya perkatakan apabila menjadi watak lelaki ini kerana perwatakan 9 chatter ini hampir sama. Berbeza ketika menjadi wanita tadi, perbualan lebih tertumpu pada kehidupan seharian, apa yang dibuat, kerja apa, dan kebanyakan lebih ingin tahu asal usul dan taraf hidup. Senang cerita, kami jadi lebih tenang ketika melayan 9 chatter ini. Namun dalam jumlah 9 ini, semuanya ternyata mengeluarkan soalan pertama yang sama. "Berapa umur awak?"

Daripada kesemua chatter itu, 6 chatter perempuan berusia atas 30 tahun dan semuanya masih bujang. Terus tafsiran saya dan sepupu saya keluar dari mulut.... Mungkin mereka ni sunyi....

Sepupu saya tersenyum. Kemenangan miliknya. Hujahnya kelihatan semakin jelas kuat. Saya diamkan diri. Mungkin ini hanya kemenangan awal saja...

Sembilan hari berikutnya, notebook masing-masing mula menjadi perhatian semula. Inilah masanya yang akan menjadi penentu hujah siapa yang dapat diakui. Saya mulakan langkah pertama dengan membuka laman Youtube. Cuba meninjau apa yang telah terjadi pada 2 video yang telah diuploadkan itu. Saya mulakan dengan video gambar abang saudara saya. Hmm... tak ada sebarang perubahan. Semuanya sama saja seperti sembilan hari yang lalu. Tidak ada sebarang komen dan hanya 15 orang saja yang menonton video itu. Pelik, orang yang sebegini handsome tak dapat perhatian? Walhal di kampus dulu, ramai yang tergila-gilakan abang saudara saya ni.

Sepupu saya buka pula video gambarnya sendiri itu. Nah, sekali lagi angka menghentam hujah saya. Terdapat hampir 27 komen diberi, 4 daripadanya perempuan dan selebihnya lelaki. Jumlah yang menonton lebih mengejutkan saya, 135 orang telah menonton video tersebut. Huh... saya terkedu. Hujah sepupu saya makin kuat.

Langkah kedua saya ambil. Akaun Facebook palsu yang saya gunakan gambar abang saudara saya itu saya buka. Selepas sembilan hari,saya dah dapat 5 orang kawan. Ruangan friend request saya berjumlah 12 orang. Maknanya saya dah dapat 17 orang kawan dalam tempoh itu. Saya juga mendapat 2 mesej dalam inbox facebook. Ruangan wall saya.... hmm kosong dan tak ada siapa yang tulis pun.

Sepupu saya buka akaun palsu versi wanita. Huh, angka sekali lagi menghentam. Sebaik login, saya dapati terdapat 35 friend request. Dari jumlah itu, 30 lelaki, 5 perempuan. Kebanyakan mereka berumur 25 tahun ke atas. Maknanya terdapat 45 orang kawan selapas sembilan hari. Ruangan inbox pula, terdapat 17 mesej diterima dan kesemuanya dari lelaki. Dalam ruangan wall pula, terdapat 9 individu telah menulis pada wall tersebut dan semuanya dari lelaki. 4 orang pula menanda 'likes' pada kiriman wall yang diltulis kami pada hari pertama kami wujudkan akaun palsu ini.

Saya terkedu.... Kalah teruk ibarat kekalahan Samy Vellu di parlimen Sungai Siput....

Angka tak pernah menipu. Itu kata sepupu saya. Dan akhirnya saya terpaksa akui, ya... benarlah wanita lebih banyak dinganggu berbanding lelaki di internet. Lelaki pula, hmm saya kena akui spesies ini lebih banyak mengganggu daripada diganggu.

Konklusi terhadap angka itu, saya rasakan bahawa kaum wanita haruslah berhati-hati bila gunakan internet. Bukan apa, jika silap langkah, boleh hanyut jadinya. Silap langkah boleh jadi mangsa pula... Maka dengan melihat angka itu, saya akui tak hairanlah betapa ramai wanita menjadi mangsa penggunaan internet seperti yang banyak dilihat pada ruangan akhbar. Rogol, zina, ditipu, dicabul, dirompak... semuanya mungkin terjadi dek internet sahaja. Jadi kesimpulannya.... hati-hati wahai wanita sekalian.

Bagi lelaki, saya fikir perlulah kita lebih bersikap bertamadun sikit. Jadikan agama panduan utama, jangan nafsu punca segala. Janganlah kita jadi pemangsa tapi jadilah pelindung buat wanita.

Internet tak salah. Makhluk-makhluk yang gunakanya itulah yang perlu dituding jari...

Saya keluarkan kata-kata nasihat ini pada sepupu saya. Hati-hati ya, jangan sampai terhanyut...

Lantas dia membalas dengan satu bentuk soalan: Habis tu, tunang aku nak letak mana?

Saya tersengih. Oh, lupa pula... Awal tahun ni dia dah jadi tunangan orang.... Cepat benar orang sambar dia dan cepat benar dia disambar.... Ya, benarlah tu, dia tak perlu risau lagi sebab dia dah selamat pun dengan tunangnya...

Seminggu berlalu, saya ibarat peniaga kecil yang dikejar along. Adik-adik saya mula meminta wang yang saya pinjam. Walaupun tak ada bunga, tapi susah pula saya nak bayar kembali.

Hah, semua terjadi dengan satu kekalahan. Saya kena belanja sepupu saya KFC lengkap dengan pakej menonton wayang dengan 2 buah filem, dan saya kini kering tak berduit.

Saya sedih dalam kekalahan, sepupu saya girang dalam kemenagan.

p/s: jika ditanya siapakah yang mencetuskan idea untuk menulis novel Cinta Thahirah, maka sepupu sayalah orang yang bertanggungjawab. Jadi siapakah namanya? Hah, saya tak boleh bagitahu, itu permintaan dia sendiri.