Internet: Lelaki vs wanita

Beberapa minggu lalu, sepupu saya berkunjung ke rumah saya. Pelajar tahun akhir undang-undang UIA ni tiba-tiba memilih rumah keluarga saya untuk menghabiskan cuti dua minggunya. Mungkin mahu cari suasana baru dan mungkin kebosanan terperap di bandar besar Kuala Lumpur. Memang pelik, orang lain kalau cuti habiskan masa dengan famili sendiri tapi sepupu saya ni habiskan masa dengan keluarga saya pula. Saya keluarkan kenyataan ini padanya. Dia tersengih saja. Katanya dengan pernyataan balas berbentuk soalan: Ni pun bukan ke famili aku jugak?

Ya, betul juga hujahnya itu.... Lagipun keluarganya tinggal di Kuala Lumpur. Ulang alik dari rumah ke kampus tiap-tiap hari. Tak perlu menetap di asrama. Tiap-tiap hari mengadap keluarga sendiri. Jadi rasanya tak salah nak mengadap keluarga sederhana saya ni.

Soalan pertama sebaik sepupu saya keluar dari Proton Saganya terus keluar dari mulut saya. "Mana buku-buku tebal?"

Dia tersenyum saja. Bukan apa, setiap kali berkunjung ke Taiping, memang tak sah kalau 'teman-teman' bukunya itu tak ikut dia. Waktu cuti pun sibuk nak menelaah buku undang-undangnya yang tebal- tebal belaka.... Huh, bukan senang nak jadi lawyer ni rupanya...

Tanpa sebarang buku, tanpa sebarang kertas kerja atau apa saja yang berkaitan dengan pengajiannya di UIA, kali ini dia hanya ditemani komputer ribanya berserta 'bagasi' pakaiannya untuk dua minggu (sepupu saya ni memang sakan kalau bergaya). Jadi, kiranya sepanjang dua minggu berada di rumah, buat pertama kalinya mindanya bebas dari perkara belajar.

Saya akui, dia bukan calang-calang orang. Bayangkan sejak dari sekolah rendah sampailah masuk universiti, akademiknya memang bagai langit dengan bumi kalau nak dibandingkan dengan saya ni. UPSR, PMR, SPM, semuanya dapat A untuk semua subjek. Antara pelajar cemerlang sekolahnya, nak banding dengan saya... hmmm kecilnya rasanya.

Ah, bukan itu yang ingin saya fokuskan.... Perihal dirinya yang memang rapat dengan saya sejak kecil lagi memang tak dapat dinafikan. Walaupun umurnya lebih tua dari saya, cara berfikir kami memang sama saja. Anak kepada adik bongsu ayah saya ni memang petah berkata-kata tapi pada masa yang sama senantiasa berdiam diri bila berhadapan dengan orang ramai. Cakap bila perlu, itulah caranya.

Jadi, bila muncul semula sepupu saya ni, hah terkenang kembali zaman kanak-kanak. Dan sekarang bila berjumpa balik, memang jauh berbeza. Lain pula rasanya walaupun kemesaraan tu masih tetap sama. Yalah, maklumlah wajah sepupu saya ni dah matang dan pastinya makin cantik. Tengok sekali pun dah boleh bergetar jatung rasanya. Mungkin ikut wajah mak saudara saya. Tak heranlah di UIA saja, berduyun-duyun cuba nak pikat dia. Namun dia tolak walaupun ada yang tersangkut dengannya.

Oh, lupa saya untuk perkatakan... Sepupu saya ni perempuan.. atau mungkin selayaknya dipanggil sebagai wanita...

Namun bukan wajah ayunya yang menggentarkan jiwa itu yang ingin saya utarakan. Ah, ke mana kalau kuah tumpah kalau tak ke nasinya. Itu yang saya katakan pada mak bila mak sentiasa puji kecantikan wajah sepupu saya ni. Namun itu bukan isu utamanya.

Isunya bermula pada pagi hari berikutnya selepas sarapan sewaktu mak saya sibuk menyiapkan Adrina adik bongsu saya ke tadika, maka bermula bicara saya antara saya dengan sepupu saya itu. Pagi itu dimulakan dengan bicara broadband yang semakin menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Terus selepas itu sepupu saya mengeluarkan notebooknya diletakkan di atas meja makan di dapur. Tanpa disuruh pun, untuk tumpang sekaki saya pun mengambil notebook saya. Terasa kecil pula rasanya bila nak keluarkan notebook saya. Bukan apa sepupu saya jenama notebooknya Apple. Saya pula guna notebook Asus yang dibeli 5 tahun lepas. Jadi kiranya ibarat komputer zaman dinosaur berjumpa dengan komputer zaman siber... hehee...

Bicara broadband mula kedengaran bila masing-masing nak buka e-mel. Modem USB masing-masing mula digunakan. Beza pengendali broadband antara saya dan sepupu saya telah mencetuskan idea pula. Antara Celcom dan Maxis, yang mana lebih bagus broadbandnya?... Hmmm, untuk persoalan itu, saya kalah bila broadband Maxis sepupu saya lebih pantas dan lebih luas liputan di rumah saya. Bayangkan broadband dia sentiasa full bar walau di mana pun tempat dia berada di dalam rumah. Celcom saya cuma penuh bila berada di ruang tamu...

Ah, kekalahan itu bukan isunya juga. Isu ini tercetus bila sepupu saya itu membuka e-mel yahoonya tak berapa lama lepas tu. "banyak betul sampah dalam inbox..."

Saya tak hairan pun bila itulah yang dikatakan sepupu saya. Yalah saya juga mengalami perkara yang sama bila e-mel senantiasa dipenuhi dengan mel-mel yang tarafnya tak ubah seperti sampah.

"Tahniah, anda terpilih sebagai pemenang RM 20 ribu..."
"Ikut link ini utk jadi kaya..."
"Video hangat...."
"Rahsia cepat kaya..."
"Gadis kesepian... hubungi saya"

Hah, inilah mel sampah yang saya perkatakan. Walaupun saya spam, mel ni masih terus singgah dalam inbox saya. Dari mesej nak jadi kaya samapilah mesej yang bertaraf 18SX, malah ada juga mel yang cuba nak menggoda saya, saya akui keluhan yang diutarakan sepupu saya ni memang ada asasnya.

Namun di penghujung bicaranya itu, dia berkata bahawa e-mel wanitalah yang lebih banyak dinganggu dengan mel-mel sampah ni. Untuk hujah itu, saya gelengkan kepala. Saya tak fikir itu kesimpulan yang bernas kerana saya sebagai lelaki juga banyak menerima mel sebegitu. Maka bermula perang hujah namun taklah sehangat debat Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Shabery Cheek. Hanya pertindihan pendapat ketika bicara, itu saja yang berlaku berlaku.

Lantas keluar satu cabaran untuk menyokong hujah masing-masing. Saya dengan hujah menyatakan lelaki lebih banyak dinganggu dalam internet, dan sepupu saya dengan hujah vice versa dari hujah saya. Kata sepakat diputuskan, selama tempoh dua minggu ini, kami akan mencari jawapan untuk satu soalan ini: "Internet: Lelaki vs wanita, yang mana lebih banyak diganggu..."

Apakah langkah yang diatur untuk bukti terhadap hujah masing-masing?

Inilah langkahnya.... Pertama, kami terus membuka akaun Facebook yang baru menggunakan nama baru. Satu akaun perempuan, manakala satu lagi lelaki. Gambar diletakkan dan yang pasti memang cantik rupanya baik lelaki dan perempuan. Tujuannya untuk menarik minat orang. Langkah membentuk 2 akaun palsu FB ni bukan dibuat secara berasingan tapi kami lakukan secara bersama untuk mengelakkan berlaku berat sebelah.

Akaun perempuan, gambar rakan sekuliah sepupu saya digunakan. Akaun lelaki pula, gambar abang saudara yang tua 2 tahun dari saya digunakan. Nah, siap saja akaun beserta dengan segala info asas yang diperlukan, kami kemudian membiarkan akaun tersebut. Hasilnya hanya dapat dilihat untuk tempoh yang lain nanti.

Langkah kedua, saya kemudian menghasilkan klip video yang memaparkan gambar-gambar cun sepupu saya. Menggunakan Movie Maker, saya hasilkan klip durasinya selama 2 minit. Hampir 25 keping gambar digunakan itu pun setelah 2 jam memujuk sepupu saya untuk menggunakan gambarnya dalam klip tersebut.

Hah, gambar cun sepupu saya telah siap, maka saya teruskan langkah berikutnya. Saya hasilkan pula klip video dengan format yang sama juga. Namun kali ini gambar cun sepupu saya diganti dengan gambar abang saudara yang memang cukup memikat rupanya, maksudnya handsome....

Siap dua video tersebut, maka langkah ketiga dibuat. Tugas ini saya serahkan pada sepupu saya. Dua video tersebut kemudian diuploadkan ke Youtube. Selesai saja tugas itu, kami biarkan dulu untuk lihat hasilnya yang memerlukan satu tempoh yang lain nanti. Maka kami kena sabar...

Beberapa hari kemudian, atau lebih tepat hari Khamis malam Jumaat, serwaktu famili lain sibuk menonton drama seram Penunggu Gunung Raya di TV3, kami mengatur langkah keempat. Setelah perbincangan hampir dua hari, maka malam itu kami putuskan untuk atur langkah ini. Dua notebook digunakan sambil yang lain sibuk menonton tv.

Saya buka laman chat yang banyak di web. Sepupu saya memilih satu laman chat yang cukup popular dalam kalangan chatter... (tak perlulah sebut laman tu). Apakah tujuannya? "Hah, mari kita lihat personaliti dan perihal para pengguna ruangan chat ini. Adakah wanita atau lelaki yang banyak jadi mangsa dalam internet". Sepupu saya keluarkan bicara mencabar hujah saya sebelum ini.

Pada rancangan asal, saya akan menjadi rakan chat lelaki manakala sepupu saya wanita. Tapi rancangan diubah. Kami yang akan jadi dua personaliti rekaan yang berbeza jantina itu. Dalam tempoh satu jam menggunakan laman chat itu, setengah jam tempoh digunakan kami untuk menjadi chatter wanita dan baki tempoh berikutnya sebagai chatter lelaki.

Masa bermula. Chatter wanita watak kami. Huh, tak sampai seminit saja masuk dalam ruangan chat, 5 orang chatter lain mula cuba berchating dengan watak wanita ni. Tempoh berikutnya jumlah itu semakin bertambah. Dan setelah setengah jam, jumlah rasminya sebanyak 37 orang, satu jumlah yang kami tak duga. Tambah terkejut, semua chatter itu lelaki. Jawapan persoalan mula terjawab. Sepupu saya tersenyum saja.

Tempoh berikutnya, watak bertukar. Kini kami menjadi chatter lelaki pula. Keadaan berbeza mula dilihat. Jumlah chatter yang ingin berchatting jadi tak banyak. Pelik tapi itu hakikatnya. Dan dalam tempoh setengah jam itu, hanya 9 orang chatter saja yang berjaya kami pancing. 6 perempuan, 3 lelaki. Angka yang menghentam dengan kuat terhadap hujah saya. Sepupu saya tersenyum sekali lagi.

Semasa berchatting, kedua-dua watak kami mainkan menjadi seorang yang pasif. Maksudnya, watak itu tidak akan banyak menyoal sebaliknya hanya banyak disoal. Watak juga tidak akan banyak bercakap tapi lebih banyak menjawab pertanyaan chatter lain. Tujuannya untuk menilai perwatakan setiap chatter itu sendiri.

Dalam tempoh menjadi watak wanita itu, daripada 37 yang berchatting, 11 daripadanya lebih mahu berbual dalam cara yang biasa, maksudnya tidak ada perbualan yang lebih dari sepatutnya. 26 chatter lain pula bolehlah saya katakan agak miang. Semuanya cuba nak mengurat, ada yang minta no telefon, dan ada juga tanya alamat rumah. Lebih dasyat, ada yang minta untuk berjumpa dan lakukan perkara yang haram itu.... senang cakap nak berzina... Masyaallah.... bahaya betul ni. Dari jumlah 37 itu, hanya 3 sahaja yang memberitahu umur mereka, selebihnya kami kena tanya sendiri, dan jumlah besar sebanyak 30 orang pula ingin tahu umur watak kami.

Dari jumlah itu, 19 orang berumur 30 tahun ke atas, selebihnya bawah 30 tahun. Dalam jumlah itu juga, kami dapati 18 chatter perbualannya berunsur seksual yang cuba menggoda watak kami. Huh, terkejut dengan jumlah tu. 23 daripada chatter cuba tanya no telefon, 2 pula cuba tanya alamat pula, manakala 1 pula cuba tanya alamat e-mel.

Dalam tempoh menjadi watak lelaki pula, kesemua 9 chatter bertanya umur watak kami. 4 pula cuba bertanya perkerjaan, dan 2 pula cuba bertanya asal tempat. Tidak banyak yang boleh saya perkatakan apabila menjadi watak lelaki ini kerana perwatakan 9 chatter ini hampir sama. Berbeza ketika menjadi wanita tadi, perbualan lebih tertumpu pada kehidupan seharian, apa yang dibuat, kerja apa, dan kebanyakan lebih ingin tahu asal usul dan taraf hidup. Senang cerita, kami jadi lebih tenang ketika melayan 9 chatter ini. Namun dalam jumlah 9 ini, semuanya ternyata mengeluarkan soalan pertama yang sama. "Berapa umur awak?"

Daripada kesemua chatter itu, 6 chatter perempuan berusia atas 30 tahun dan semuanya masih bujang. Terus tafsiran saya dan sepupu saya keluar dari mulut.... Mungkin mereka ni sunyi....

Sepupu saya tersenyum. Kemenangan miliknya. Hujahnya kelihatan semakin jelas kuat. Saya diamkan diri. Mungkin ini hanya kemenangan awal saja...

Sembilan hari berikutnya, notebook masing-masing mula menjadi perhatian semula. Inilah masanya yang akan menjadi penentu hujah siapa yang dapat diakui. Saya mulakan langkah pertama dengan membuka laman Youtube. Cuba meninjau apa yang telah terjadi pada 2 video yang telah diuploadkan itu. Saya mulakan dengan video gambar abang saudara saya. Hmm... tak ada sebarang perubahan. Semuanya sama saja seperti sembilan hari yang lalu. Tidak ada sebarang komen dan hanya 15 orang saja yang menonton video itu. Pelik, orang yang sebegini handsome tak dapat perhatian? Walhal di kampus dulu, ramai yang tergila-gilakan abang saudara saya ni.

Sepupu saya buka pula video gambarnya sendiri itu. Nah, sekali lagi angka menghentam hujah saya. Terdapat hampir 27 komen diberi, 4 daripadanya perempuan dan selebihnya lelaki. Jumlah yang menonton lebih mengejutkan saya, 135 orang telah menonton video tersebut. Huh... saya terkedu. Hujah sepupu saya makin kuat.

Langkah kedua saya ambil. Akaun Facebook palsu yang saya gunakan gambar abang saudara saya itu saya buka. Selepas sembilan hari,saya dah dapat 5 orang kawan. Ruangan friend request saya berjumlah 12 orang. Maknanya saya dah dapat 17 orang kawan dalam tempoh itu. Saya juga mendapat 2 mesej dalam inbox facebook. Ruangan wall saya.... hmm kosong dan tak ada siapa yang tulis pun.

Sepupu saya buka akaun palsu versi wanita. Huh, angka sekali lagi menghentam. Sebaik login, saya dapati terdapat 35 friend request. Dari jumlah itu, 30 lelaki, 5 perempuan. Kebanyakan mereka berumur 25 tahun ke atas. Maknanya terdapat 45 orang kawan selapas sembilan hari. Ruangan inbox pula, terdapat 17 mesej diterima dan kesemuanya dari lelaki. Dalam ruangan wall pula, terdapat 9 individu telah menulis pada wall tersebut dan semuanya dari lelaki. 4 orang pula menanda 'likes' pada kiriman wall yang diltulis kami pada hari pertama kami wujudkan akaun palsu ini.

Saya terkedu.... Kalah teruk ibarat kekalahan Samy Vellu di parlimen Sungai Siput....

Angka tak pernah menipu. Itu kata sepupu saya. Dan akhirnya saya terpaksa akui, ya... benarlah wanita lebih banyak dinganggu berbanding lelaki di internet. Lelaki pula, hmm saya kena akui spesies ini lebih banyak mengganggu daripada diganggu.

Konklusi terhadap angka itu, saya rasakan bahawa kaum wanita haruslah berhati-hati bila gunakan internet. Bukan apa, jika silap langkah, boleh hanyut jadinya. Silap langkah boleh jadi mangsa pula... Maka dengan melihat angka itu, saya akui tak hairanlah betapa ramai wanita menjadi mangsa penggunaan internet seperti yang banyak dilihat pada ruangan akhbar. Rogol, zina, ditipu, dicabul, dirompak... semuanya mungkin terjadi dek internet sahaja. Jadi kesimpulannya.... hati-hati wahai wanita sekalian.

Bagi lelaki, saya fikir perlulah kita lebih bersikap bertamadun sikit. Jadikan agama panduan utama, jangan nafsu punca segala. Janganlah kita jadi pemangsa tapi jadilah pelindung buat wanita.

Internet tak salah. Makhluk-makhluk yang gunakanya itulah yang perlu dituding jari...

Saya keluarkan kata-kata nasihat ini pada sepupu saya. Hati-hati ya, jangan sampai terhanyut...

Lantas dia membalas dengan satu bentuk soalan: Habis tu, tunang aku nak letak mana?

Saya tersengih. Oh, lupa pula... Awal tahun ni dia dah jadi tunangan orang.... Cepat benar orang sambar dia dan cepat benar dia disambar.... Ya, benarlah tu, dia tak perlu risau lagi sebab dia dah selamat pun dengan tunangnya...

Seminggu berlalu, saya ibarat peniaga kecil yang dikejar along. Adik-adik saya mula meminta wang yang saya pinjam. Walaupun tak ada bunga, tapi susah pula saya nak bayar kembali.

Hah, semua terjadi dengan satu kekalahan. Saya kena belanja sepupu saya KFC lengkap dengan pakej menonton wayang dengan 2 buah filem, dan saya kini kering tak berduit.

Saya sedih dalam kekalahan, sepupu saya girang dalam kemenagan.

p/s: jika ditanya siapakah yang mencetuskan idea untuk menulis novel Cinta Thahirah, maka sepupu sayalah orang yang bertanggungjawab. Jadi siapakah namanya? Hah, saya tak boleh bagitahu, itu permintaan dia sendiri.

Ulasan

nashfahrenheit berkata…
saudara yazid rosly, tidakkah saudara merasakan sudah tiba masa untuk anda mencantikkan lagi penampilan blog anda supaya sesuai dengan imej blog seorang penulis sastera? saudara boleh gunakan template yg lebih kemas supaya nampak lebih professional. hanya cadangan.

Catatan Popular